Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 2

:Kuliah 2:

KONSEP EKONOMI ISLAM



2.1          Pendahuluan
Ekonomi Islam mempunyai misi dan juga aktiviti tertentu yang mesti diketahui secara sempurna dan tepat. Penilitian terhadap aspek konseptual ini amat penting bagi melihat perbezaan di antara ekonomi Islam dan ekonomi konvensional. Sekaligus menjawab dakwaan bahawa ekonomi Islam adalah sama dengan ekonomi konvensional ataupun ekonomi Islam merupakan tiruan kepada ekonomi konvensional. Keunikan ini akan diulas secara teliti seperti berikut.

2.2               Falsafah Ekonomi Islam
2.2.1          Tauhid (Keesaan)
Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di dunia ini dengan amanah dan tanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan kegiatan hidup yang diredhai oleh Allah. Semua kegiatan ekonomi yang dilaksanakan hendaklah tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan tidak memusnahkan kedamaian hidup manusia. Tauhid mengawal perlakuan manusia dan menjadi petunjuk serta mendorong manusia bertindak di atas sifat manusia sebagai hamba Allah.

2.2.2          Rububiyah (Ketuhanan)
Allah merupakan pencipta kepada sumber dan harta di alam ini. Dia juga adalah pemilik mutlaknya dan Dia berhak menetapkan peraturan bagi penggunaan harta dan sumber tersebut bagi diikuti oleh manusia. Firman Allah;
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah.”
(al-Baqarah: 284)
Dalam konteks ekonomi, Rububiyah boleh difahami sebagai peraturan Ilahi dalam segala aktiviti ekonomi, yang seharusnya menyedarkan manusia supaya bersyukur di dalam segala perkara dan menerimanya sebagai ketentuan Allah.

2.2.3          Khalifah (Pengganti)
Manusia dilantik Allah sebagai khalifah di bumi bagi menguruskan segala sumber manusia dan harta dengan sebaik mungkin dalam usaha peribadatan kepada Allah dan memenuhi kesempurnaan kebaikan hidupnya. Firman Allah bermaksud:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad!): “Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah.”
 (al-Taubah: 105)

Manusia sebagai khalifah Allah di bumi berhak memanipulasikan sumber alam selama ia tidak bercanggah dengan arahan dan juga peraturan pemilik sebenarnya iaitu Allah. 

2.2.4          Tazkiyah (Penyucian)
Tazkiyah ialah memberi penekanan kepada aspek kesucian jiwa dan kemurnian akhlak. Penyucian pemikiran (roh) dan fizikal (tindakan) manusia dari kecenderungan kepada kemungkaran, kezaliman dan penganiayaan. Ia menyucikan manusia dari kegiatan ekonomi perdagangan, perindustrian, pertanian dan sebagainya daripada simptom yang boleh memudaratkan kehidupan seperti amalan riba, arak, dadah dan sorok barang. Allah mahu manusia bergembira dengan manfaat-manfaat keduniaan dan mahu manusia menggelakkan kebinasaan sehingga membawa kepada ketenteraman jiwa.
“Wahai manusia! Makanlah yang halal lagi baik segala apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.
                                                                (al-Baqarah: 168)

2.2.5          Ukhuwwah (Persaudaraan)
Amalan saling bantu-membantu dan bekerjasama melahirkan persaudaraan. Dari persaudaraan lahir perasaan hormat menghormati dan bertanggungjawab kepada sesama manusia. Amalan penipuan, penindasan, pemerasan, bakhil dan seumpamanya tidak boleh wujud dalam sistem ekonomi Islam kerana ia lahir dalam dasar pemikiran yang berbeza. Ukhuwwah melahirkan keadilan sosial sehingga menjadikan kehidupan manusia penuh dengan kebaikan dan keharmonian. Ini kerana dalam satu masa yang sama setiap individu harus gigih berusaha untuk menyara kehidupan diri, keluarga dan juga memberi bantuan kepada orang lain. Firman Allah;
“Janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”.  
(al-An’am: 141)

2.3               Pinsip-Prinsip Ekonomi Islam
Ekonomi Islam mempunyai prinsip-prinsip yang berpunca dari semangat ajaran al-Quran dan al-Sunnah yang dijadikan sebagai garis panduan dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi. Di antaranya ialah;
2.3.1          Kebebasan ekonomi terikat dengan nilai akhlak
Islam menggalakkan manusia terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan mereka seperti pengeluaran, pengunaan dan pengagihan. Kegiatan ekonomi diletakkan sebagai kategori ibadah. Oleh itu manusia bebas memilih jenis kerja dan mengumpul seberapa banyak harta kekayaan mengikut keupayaan masing-masing. Walau bagaimanapun kebebasan ekonomi terikat dengan peraturan syariat seperti haram, halal, harus, syubhah dan sebagainya. Manakala nilai akhlak ialah penyayang, bekerjasama, persaudaraan, amanah dan seumpamanya. Semua ini supaya kehidupan manusia didorong oleh perasaan persaudaraan kepada orang lain, bekerja keras, ihsan, amanah dan membuat pelaburan harta. Dalam masa yang sama penipuan, riba, pembaziran, monopoli, pembekuan modal, rasuah dan sebagainya tiada tempat dalam amalan ekonomi Islam. Firman Allah;
“…Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu”.
(al-Hasyr: 7)

2.3.2          Harta milik Allah
Allah adalah pemilik segala sesuatu dan pencipta semua makhluk. Manusia adalah pemegang amanah atau pengguna semua harta di dunia ini. Mereka dibenarkan mengeluar, memproses dan mengagihkannya untuk tujuan kebaikan dalam kehidupannya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Pemilikan individu (Private ownership) dibenarkan selama mana ia halal, bagaimana cara mendapatkannya, melaksanakan tanggungjawab berzakat dan membayar cukai serta mengikut batasan yang dibenarkan. Firman Allah yang bermaksud;
Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)”.
       (al-Dzariyaat: 19)

Pemilikan umum (Public ownership) ialah harta yang kegunaannya dinikmati secara bersama oleh masyarakat dan disimpan oleh masyarakat seperti air, rumput, api, garam, bahan galian (seperti timah, besi, minyak dan gas) dan  tanah. Ia dikawal selia oleh kerajaan bagi pelaksanaan sesuatu projek yang dapat menjamin kebajikan masyarakat dan kemajuan umum. Jika ia diserahkan kepada pemilikan individu maka ia terdedah kepada suatu keadaan yang boleh membahayakan masyarakat jika individu itu berniat jahat ataupun bakhil, boros, tidak cekap dan sebagainya. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;
“Semua orang Islam berkongsi dalam tiga perkara, iaitu air, rumput dan api”.
            (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

2.3.3          Keadilan sosial
Keadilan perlu ditegakkan supaya supaya seluruh kehidupan sosial manusia penuh dengan keharmonian dan kebaikan. Keadilan mesti dilakukan melalui proses pengeluaran, penggunaan dan pengagihan kerana ia mampu melindungi manusia daripada kejahatan kegiatan ekonomi yang melampaui batas syariat dan norma-norma kemanusiaan abadi. Ketidakadilan ekonomi boleh berlaku apabila orang kaya menggunakan cara yang tidak adil dalam memperolehi kekayaan atau mereka membelanjakan harta secara boros yang boleh membawa keruntuhan kepada kestabilan ekonomi. Begitu juga kegiatan pengeluaran barangan haram dan yang boleh meruntuhkan akhlak boleh memporak perandakan sosial. Keadilan sosial diasaskan kepada kepercayaan bahawa manusia adalah khalifah yang diberi tanggungjawab menguruskan harta Allah dengan amanah, manusia berasal dari rumpun yang satu dan saling memerlukan antara satu sama lain, dan untuk memaksimumkan kesejahteraan hidup manusia melalui polisi kerja, kawalan harga dan pembangunan yang seimbang.

2.3.4          Campurtangan kerajaan
Kerajaan bertanggungjawab dalam sistem ekonomi dalam bentuk pengurusan, seliaan, kawalan, penyusunan, perancangan dan pengagihan, penerangan dan peraturan untuk mewujudkan kelancaran, keadilan dan keseimbangan dalam masyarakat. Kerajaan harus campurtangan dalam urusan ekonomi bagi melindungi keadilan sosial dan menjamin kestabilan ekonomi. Kerajaan mesti memastikan keperluan dan kemudahan awam diberi perhatian dan disediakan. Tugas kerajaan menjaga hak awam seperti orang miskin, lemah dan melarat, mencegah orang ramai mengamalkan riba, mencuri dan menindas orang lemah. Kerajaan berusaha melaksanakan ajaran Islam, melaksanakan polisi ekonomi yang baik dan menjadikan rakyat bertakwa.

Kerajaan bertanggungjawab memberi jaminan sosial dengan menyediakan dana bantuan kepada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan ekonomi. Kerajaan menjamin peluang yang sama kepada semua individu, mengawalselia pasaran supaya berfungsi dengan baik, melaksanakan polisi kerja dan sebagainya. Fokus campurtangan kerajaan ialah jaminan keperluan hidup yang minimum kepada semua ahli masyarakat, agihan pendapatan, jaminan persamaan peluang, pengawasan pasaran, memerangi riba, rasuah dan monopoli serta menetapkan polisi kerja dan kadar upah.

2.4               Matlamat Ekonomi Islam
2.4.1          Mencapai kesejahteraan ekonomi dan memenuhi keperluan hidup
Islam mahu umatnya sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan hidup yang asasi seperti makan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Manusia mesti berusaha gigih dan berhak untuk mendapatkan keperluan tersebut. Islam juga melarang umatnya meminta-minta daripada orang lain bagi memenuhi keperluan kehidupannya. Islam berusaha menjauhi kemiskinan dan kelaparan dalam masyarakat.

2.4.2          Pengagihan pendapatan yang adil dan saksama
Agihan pendapatan dan harta hendaklah dilakukan dengan adil dan saksama supaya harta tertentu tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja dan membiarkan golongan yang lain hidup menderita. Firman Allah yang bermaksud;
“…Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”
(al-Hasyr: 7)

Islam melihat harta sebagai milik masyarakat yang harus digunakan untuk faedah masyarakat. Ini boleh dilakukan melalui menyediakan peluang pekerjaan, pemberian nafkah, pembayaran zakat, faraid, sedekah, wakaf dan sebagainya.

2.4.3          Persaudaraan sejagat
Hubungan sesama manusia berpunca dari Adam dan Hawa. Oleh itu mereka mesti hidup bekerjasama, tolong-menolong dalam memenuhi keperluan hidup dan bukannya menindas, khianat dan sebagainya. Dalam kegiatan ekonomi sifat muafakat membawa berkat. Persaingan ekonomi harus membawa kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial.

2.4.4          Perkhidmatan dan kebajikan sosial
Setiap individu muslim yang melakukan sesuatu aktiviti ekonomi adalah menyumbang kepada kebajikan sosial kerana ia dapat memenuhi kehendak manusia lain dalam kehidupannya. Dalam masa yang sama seseorang itu bukan setakat beroleh pahala kebaikan tetapi juga punca pendapatan dan kekayaan. Ini secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup umum dan menyediakan keperluan sesama mereka.

2.4.5          Kebebasan
Umat Islam harus membina kekuatan supaya tidak bergantung kepada pihak lain dalam memenuhi keperluan hidupnya atau berusaha gigih bagi memecahkan monopoli sesuatu pihak dalam kegiatan ekonomi bagi membina kekuatan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, keselamatan, pendidikan, kewangan dan sebagainya. Bahkan Islam melarang umatnya bekerjasama dengan pihak yang memusuhi Islam dalam setiap bidang yang boleh melemahkan kekuatan ekonomi umat Islam. Ia juga boleh membebaskan individu dari sikap meminta bantuan kepada orang lain.

2.5               Etika Ekonomi Islam
Gelagat pengguna Islam ditentukan oleh kepatuhan mereka kepada syariat Allah iaitu mengamalkan etika dalam aktiviti ekonomi. Etika dalam ekonomi Islam diulas oleh Syed Nawab Haider Naqvi sebagai;
2.5.1          Tauhid
Kepercayaan seseorang akan membentuk sikap dan tindakannya. Bagi pengguna Islam kepercayaannya bahawa Cara hidup Islam ciptaan Allah Yang Maha Agung adalah yang terbaik buat hidupnya akan membentuk sikap dan tingkah lakunya. Percaya bahawa Allah adalah pemilik semua harta di dunia ini dan manusia perlu melaksanakan tanggungjawab harta dengan amanah dan tanpa berlaku penyelewengan. Tauhid memastikan manusia melakukan amalan baik dalam proses pengeluaran, penggunaan dan pengagihan.

2.5.2          Adil
Adil ialah meletakkan sesuatu betul pada tempatnya yang sesuai. Setiap kegiatan ekonomi seperti pengeluaran penggunaan dan pengagihan hendaklah selari dengan syariat Allah yang memastikan kebaikan kepada kehidupan manusia. Justeru itu riba, penipuan, rasuah merupakan tindakan ekonomi yang tidak adil atau zalim kepada manusia lain. Lantaran itu ia perlu dijauhi dan dielakkan.

2.5.3          Kebebasan kehendak
Manusia bebas memenuhi kehendak dirinya tetapi dalam batasan syarak kerana Allah yang menciptanya dan dunianya lebih tahu mengenai kelebihan dan kekurangannya. Dengan itu manusia bebas untuk bekerja dan bebas membelanjakan hartanya menurut kemampuan masing-masing.

2.5.4          Bertanggungjawab
Setiap muslim mesti bertanggungjawab dalam setiap aktiviti ekonomi yang diceburinya supaya tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang lain seperti penindasan harga, kerendahan kualiti dan pencemaran alam sekitar. Mereka mestilah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

2.6               Pandangan Islam terhadap Sistem Ekonomi Konvensional
Islam sebagai al-Din merangkumi sistem kehidupan yang lengkap dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan sama ada politik, ekonomi, sosial, budaya, sains dan teknologi dan lain-lain. Sistem ekonomi Islam yang bersumberkan wahyu mampu memberi impak positif kepada masyarakat  dan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi sejagat. Pengasingan antara agama dengan sistem kehidupan yang ditaja oleh Barat telah mempengaruhi pemikiran umat Islam termasuk dalam aspek perekonomian. Sistem ini  yang berpaksikan kepada akal fikiran semata-mata seperti ekonomi kapitalis, sosialis, komunis dan sebagainya telah mewujudkan pelbagai krisis dalam masyarakat khususnya terhadap umat Islam dan umumnya kepada kemanusiaan sejagat.

2.6.1      Sistem Ekonomi Kapitalisme
a.            Sorotan sejarah ringkas
Kelahiran fahaman ekonomi Kapitalisme akibat krisis yang berlaku dalam masyarakat Eropah di zaman pertengahan. Pertembungan di antara aliran agama (gereja) dan aliran intelek (sains) akhirnya membawa kepada pemisahan di antara agama dengan kehidupan. Teori-teori ekonomi yang dikemukakan tidak lagi merujuk kepada agama. Contohnya amalan riba yang diharamkan oleh agama samawi (langit) awal telah diamalkan dalam sistem ekonomi. Falsafah Kapitalis telah mula tumbuh dalam pemikiran ahli-ahli falsafah Yunani. Pendedahan semula idea tersebut dari segi praktikal hanya  dilakukan di zaman pertengahan oleh John Locke (1632-1704 M). Idea pemikirannya didasarkan kepada menghormati nilai-nilai kemanusiaan yang menyanjungi kebebasan individu sama ada dalam soal agama, pemikiran dan politik.
Kesan dari Revolusi Industri Perancis telah mewujudkan monopoli, penindasan dan kezaliman apabila terkumpulnya punca-punca kekayaan di tangan sebilangan kecil pengusaha-pengusaha ladang dan firma.  Bertambahnya pengeluaran tanpa sebarang sekatan dan berkembangnya pasaran wang dan barangan dan serentak dengan itu berkembang aliran kapitalisme dan akhirnya fahaman ini telah mendominasi masyarakat Barat dan juga seluruh dunia.

 b.           Falsafah ekonomi Kapitalisme
Falsafah ekonomi Kapitalisme berlandaskan kepada pemikiran manusia dan agama bukan menjadi persoalan penting dalam kehidupan. Menurut pandangan Kapitalisme perhatian hendaklah diberikan kepada individu dan individu bebas memiliki faktor-faktor pengeluaran yang bermotifkan keuntungan peribadi. Motto Kapitalisme ialah ”segala-galanya adalah untuk anda sendiri”. Ia menonjolkan konsep ekonomi bebas kepada setiap individu dan konsep ”open door” bagi sektor ekonomi luar. Individu bebas memiliki faktor-faktor pengeluaran yang bermotifkan keuntungan peribadi. 

c.             Objektif ekonomi Kapitalisme
Objektif kegiatan ekonomi Kapitalisme ialah pemilikan dalam bentuk wang.  Sistem pemilikan ini adalah bebas dari kawalan peraturan dan ianya bergantung kepada keupayaan semulajadi individu. Objektif aktiviti ekonomi Kapitalisme adalah bebas berusaha untuk  mencapai kejayaan ekonomi dengan apa cara sekalipun selagi tidak melanggar undang-undang.

d.            Ciri-Ciri utama  ekonomi Kapitalisme
i.             Ketiadaan perancangan
Ketiadaan suatu perancangan ekonomi pusat adalah salah satu ciri penting Kapitalisme. Ekonomi negara-negara kapitalis sebahagian besarnya bergantung kepada tindakan bebas (tetapi saling bergantungan) berjuta-juta ekonomi swasta. Aktiviti yang mereka lakukan tidak diselaras oleh kerajaan pusat. Harga di pasaran yang akan menentukan keputusan, pengiraan dan pengeluaran. Pada prinsipnya ia tidak ditentukan oleh kerajaan tetapi dihasilkan oleh kuasa pasaran.

ii.            Kedaulatan pengguna
Ketiadaan suatu perancangan pusat memberi implikasi wujudnya kedaulatan pengguna. Golongan sosialis beranggapan bahawa kedaulatan pengguna tidak begitu bermakna kerana akan wujudnya agihan pendapatan yang tidak seimbang.

iii.           Kebebasan memilih pekerjaan
Ciri ini dianggap sebagi salah satu ciri yang paling penting dalam Kapitalisme. Kebebsan memilih pekerjaan memberi implikasi kepada kegiatan untuk menarik masuk penawaran buruh mahir yang mencukupi ke dalam sesuatu industri. Seseorang yang diperlukan dari tempat lain, maka gaji yang ditawarkan mestilah cukup tinggi. Ini bermakna kebebasan memilih pekerjaan adalah bertentangan dengan keseimbangan dalam pengagihan pendapatan.

iv,           Kebebasan perusahaan
Kebebasan perusahan persendirian memerlukan faktor-faktor pengeluaran dimiliki oleh orang perseorangan. Kebebasan individu dalam memiliki harta merupakan salah satu ciri sistem ekonomi kapitalis. Kebebasan yang dimaksudkan di sini merangkumi kebebasan memiliki harta melalui pengeluaran, pekerjaan ataupun tukaran dan kebebasan menggunakan harta menurut sesuka hati dengan syarat harta tersebut tidak diambil dari seseorang dengan cara paksa.

v.            Kebebasan menabung dan melabur
Di bawah Kapitalisme hak menabung disokong oleh hak mewariskan harta kekayaan.  Dalam sistem kapitalis para usahawan yang ingin mendapat faedah daripada peluang-peluang pelaburan yang terbuka sebenarnya bertaruh untuk menggunakan secara sementara, dana yang telah dikumpulkan oleh para penabung secara individu dengan menawarkan kadar bunga daripada hasil pelaburan mereka

vi.           Persaingan Monopoli
Model kapitalis adalah satu modal persaingan. Ini perlu, kerana persaingan tidak boleh dielakkan. Persaingan perlu wujud dalam ekonomi kapitalis supaya inisiatif sentiasa terangsang untuk melindungi pengguna dari penindasan  dan untuk memelihara sistem harta fleksible. Persaingan akan membawa satu proses pemilihan yang semulajadi di mana tiap-tiap individu dapat mencapai satu kedudukan yang sesuai dengan diri masing-masing. Mereka yang berkeupayaan dalam kepimpinann ataupun pengurusan organisasi akan menjadi usahawan yang berjaya dan para peniaga yang kurang cekap akan ketinggalan atau tersingkir dari pasaran akibat kegagalan mereka sendiri. Sistem ekonomi Kapitalis menggalakkan keuntungan atau kepuasan yang maksimum, membenarkan pemilikan harta tanpa had, mengamalkan sistem riba dan mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira hak asasi orang lain.

2.6.2      Sistem Ekonomi Sosialisme (Komunisme)
a.            Sorotan sejarah ringkas
Pemikiran Sosialisme telah lama wujud sejak zaman Yunani terutama dalam penulisan buku ”Republica” oleh Plato yang diusahakan dalam suasana huru-hara di Athen.  Revolusi industri berlaku di Eropah pada abad pertengahan telah menimbulkan satu keadaan yang tidak stabil bila menopoli dan penindasan kaum feudal berleluasa.  Ahli falsafah German iaitu Hegel dan Kant begitu terpengaruh dengan pemikiran ini. Mereka telah berusaha memperkukuhkan semula pemerintahan dengan kuasa. Apabila membicarakan berkaitan dengan ekonomi Sosialisme, maka ia tidak boleh dipisahkan dengan pemahaman terhadap pembentukan sistem ekonomi Komunisme kerana prinsip kepada kedua-dua sistem ini adalah hampir sama.

Kelahiran dan pengenalan kepada sistem ekonomi Sosialisme adalah melalui pengalaman para pendokong sistem ekonomi Komunisme yang berasaskan kepada pemikiran Karl Marx dalam bukunya yang terkenal ”Das Kapital”. Kelahiran sistem ekonomi Komunisme adalah disebabkan oleh krisis yang berlaku dalam masyarakat akibat pelaksanaan sistem ekonomi Kapitalis. Suasana ekonomi yang tidak seimbang dan tidak menentu telah menyebabkan berlakunya ketegangan di kalangan masyarakat.  Masalah kelaparan dan pengangguran telah menyebabkan munculnya kritikan hebat kepada sistem Kapitalis di kalangan masyarakat terutama sekali dari kalangan para intelek. Di antara alasan utama yang diketengahkan ialah;
i.                    Berlaku longgokan harta kekayaan pada golongan minoriti dalam masyarakat sahaja.
ii.                  Berlaku eksplotasi di kalangan pengusaha hasil dari amalan persaingan bebas yang akhirnya menjurus kepada masalah monopoli.
iii.                Berlaku ketidakseimbangan dalam ekonomi disebabkan prinsip kebebasan individu yang mutlak menyebabkan ekonomi tidak terkawal.

Karl Marx secara tegas telah menentang doktrin ”laissez Faire”. Beliau menyeru golongan pekerja bangkit menentang golongan kapitalis yang menguasai ekonomi pada masa itu dengan slogan ”daripada setiap individu berdasarkan kemampuan dan kepada setiap individu berdasarkan apa yang diusahakan”. Encyclopedia Britannica mendefinasikan   ekonomi Sosialis sebagai satu dasar atau teori yang bertujuan mencapai agihan kekayaan yang lebih baik menerusi tindakan penguasaan demokratik terpusat dan seterusnya mencapai corak pengeluaran kekayaan yang lebih baik daripada yang wujud masa kini.

b.            Ciri-Ciri Sosialisme
i.             Hak milik negara (wujudnya perancangan)
Semua cara pengeluaran dan sumber-sumber hasil adalah dimiliknegarakan atau menjadi hak komuniti. Hak individu untuk memiliki harta atau sumber pengeluaran tidak diiktiraf dan dinafikan. Penguasa perancangan pusat mempunyai pengetahuan tentang permintaan dan penawaran yang lebih mendalam dari pengusaha-pengusaha persendirian.

ii.            Kesaksamaan  dalam agihan pendapatan
Pihak Sosialis menyatakan bahawa individu dalam hal ekonomi adalah dikawal oleh prinsip kesamaan dan setiap individu akan diberi keperluan hidupnya berasaskan keperluan.

iii.           Penguasaan
Bagi mencapai objektif sosialis, kesatuan negara akan diperintah oleh golongan ”proletariat” yang mengambilalih semua faktor  atau  kaedah  pengeluaran, pengagihan   dan kebebasan berekonomi  dan hak kepada pemilikan harta dihapuskan sama sekali

iv.           Falsafah
Sosialisme berlandaskan kepada pemikiran manusia dan tidak berlandaskan kepada ajaran agama. Pemikiran Sosialis ialah untuk menghapuskan hak milik individu terhadap faktor-faktor pengeluaran. Konsep keuntungan persendirian dalam sistem kapitalisme akan diganti dengan perkhidmatan sosial. Motonya ialah”dari setiap orang mengikut nilai masing-masing”.

c.             Objektif Ekonomi Sosialis
Menghapuskan pemilikan persendirian faktor-faktor pengeluaran. Sifat dan saiz industri dan pengeluaran harus tertakluk kepada keperluan sosial dan bukan dorongan yang bersifat keuntungan. Motif keuntungan persendirian dalam Kapitalisme akan digantikan dengan motif perkhidmatan sosial.

2.7   Sikap Islam Terhadap Ekonomi Konvensional
Kelahiran sistem ekonomi Islam bukan disebabkan oleh krisis yang berlaku dalam masyarakat, tetapi ia lahir bersama ajaran Islam yang diwahyukan oleh Allah.  Aktiviti perekonomian adalah dikira sebagai ibadah. Ini terkandung dalam ajaran Islam itu sendiri. 

Dalam soal pemilikan Islam memberi kebebasan kepada individu untuk memiliki harta perseorangan dengan syarat ia tidak mengabaikan keperluan awam supaya tidak timbul permusuhan antara dua golongan ini. Konsep pemilikan bukan merupakan pemilikan mutlak individu atau masyarakat, tetapi merupakan hak mutlak Allah S.W.T. Manusia dberi hak mengurustadbirkannya sahaja mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh-Nya. Islam menentang keras terhadap penindasan kaum pemodal ke atas masyarakat dengan mengharamkan transisi yang mengandungi unsur-unsur riba. Islam juga tidak menyetujui dasar merampas hartabenda individu untuk dimiliknegarakan selama mana pemilikkan tersebut dibuat melalui salururan-saluran yang sah di sisi syarak dan pemeliliknya telah melangsaikan kesemua tuntutan yang dikenakan ke atasnya.

Berhubung dengan soal perlumbaan (competition) pula Islam tidak menyekatnya malah memberangsangkannya.  Perlumbaan yang diharuskan ialah yang berfungsi  membawa kebaikan sahaja.  Perlumbaan bebas dalam  bidang ekonomi kapitalisme akan menimbulkan berbagai permasalahan terutamanya (abundance) yang menyebabkab kemerosotan ekonomi dan krisis sosial ke atas negara yang kalah.

2.8               Kesimpulan
Ekonomi Islam mempunyai misi yang jelas iaitu untuk membawa kebajikan kepada manusia dan berusaha untuk menjauhkan manusia dari sebarang keburukan melalui langkah-langkah pencegahan dan pembaikan. Ia mengajar manusia mengenai pengertian kepatuhan, keikhlasan dan ibadah supaya manusia mendapat kebaikan dalam setiap aktiviti ekonomi yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment