Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 8

Kuliah 8:


KONSEP PENGGUNAAN


8.1          Pengenalan
Penggunaan merupakan aktiviti ekonomi selepas pengeluaran. Pengeluaran tidak bermakna sekiranya tiada penggunaan. Penggunaan melibatkan hubungan erat di antara pengguna dengan pengeluar iaitu permintaan dan utiliti (kegunaan). Dengan pengertian pendorong utama kepada penggunaan ialah kehendak manusia. Penggunaan menggalakkan manusia menggunakan pendapatannya untuk berbelanja dan juga untuk meningkatkan pendapatannya. Konsep penggunaan dalam ekonomi Islam adalah berbeza dengan ekonomi konvensional terutamanya dari segi kehendak, jenis barangan, kuantiti barangan dan matlamat penggunaannya.

8.2          Definasi Penggunaan
Ekonomi konvensional mendefinasikan penggunaan sebagai tindakan menggunakan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak-kehendak semasa (Pearce: 1983:81). Penggunaan dalam bahasa Arab disebut al-Istihlaq iaitu melenyapkan zat (benda) dan menghilangkan faedahnya. Dengan pengertian, menggunapakai sesuatu barangan yang boleh memberi faedah bagi menghasilkan sesuatu manfaat atau menggunakan barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan manusia.

Penggunaan ialah menggunakan sesuatu yang baik dan menyenangkan. Sikap tidak menggunakan sesuatu daripada nikmat hidup dunia dianggap sebagai tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Manusia bebas menggunakan sesuatu selama mana barangan atau perkhidmatan itu tidak membawa keburukan dan menjamin kebajikan masyarakat. Islam melarang penggunaan yang berlebih-lebihan mengikut hawa nafsu sebaliknya menyeru kepada penggunaan yang baik, sederhana dan seimbang.

8.3          Falsafah Penggunaan
Islam menetapkan panduan bagi penggunaan iaitu tidak semata-mata bersifat kebendaan sahaja tetapi juga bersifat kerohanian. Di antara falsafah penggunaan dalam Islam ialah;
1.                   Kemanfaatan (Kemaslahatan)
Manusia perlu kepada barangan dan perkhidmatan kerana keperluan sebenar (maslahah) untuk kehidupan. Imam al-Syatibi meletakkan lima perkara asas bagi setiap individu untuk menjalani kehidupan dunianya dengan sempurna iaitu; nyawa, agama, akal, harta dan keturunan. Oleh itu setiap barangan dan perkhidmatan yang melindungi lima asas itu dianggap sebagai barangan keperluan sebenar yang bermanfaat (maslahah) kepada manusia kerana ia boleh membawa manusia kepada ketaatan kepada Allah dan menjadikan kehidupannya sejahtera dan bahagia.

2.                   Pemilikan
Penggunaan hanya boleh berlaku setelah sesuatu barangan atau perkhidmatan dimiliki oleh seseorang. Penggunaan hanya boleh berlaku sekiranya seseorang telah terlibat dalam usaha-usaha ekonomi seperti bekerja dan berniaga ruang lingkup yang diakui oleh agama sehingga ia memperolehi harta dapat menggunakannya untuk semua urusan hidup. Konsep pemilikan dalam Islam memberi hak sepenuhnya kepada seseorang untuk mengguna pakai atau mengeksploitasi barangan dan perkhidmatannya dengan sepenuhnya dan hak pemilikan ini dilindungi oleh undang-undang.

3.            Pengabdian
Penggunaan tidak terlepas dari tujuan hidup manusia iaitu pengabdian diri kepada Allah. Ini kerana di akhirat kelak manusia akan ditanya mengenai bagaimana cara ia mendapatkan harta dan bagaimana pula harta itu digunakannya seperti menggunakan harta dari upah kerja yang dilakukan ataupun menggunakan hartanya untuk bersedekah dan membayar zakat. Penggunaan barangan-perkhidmatan bagi seorang pengguna muslim adalah untuk memenuhi tuntutan pengabdiannya kepada Allah dengan berbelanja untuk kehidupan dunianya seperti nafkah dan juga untuk kehidupannya di akhirat kelak melalui sedekah, wakaf, zakat dan lain-lain lagi.

4.            Amanah
Penggunaan adalah amanah Allah. Gelagat pengguna terarah kepada kebaikan kerana mengikut peraturan syarak dan hidup penuh kesopanan. Ia perlu bersyukur dengan nikmat penggunaan barangan-perkhidmatan yang baik sehingga dapat memenuhi kehidupan berakhlak murni. Dalam masa yang sama menyekat dan menghindari diri dari menggunakan barangan-perkhidmatan yang menjejaskan kehidupan beragama. Oleh itu peraturan syarak diperlukan bagi mengawal sifat dan kehendak manusia yang tidak terbatas. Penyalahgunaan harta kekayaan ke jalan yang boleh menjejaskan keharmonian hidup manusia adalah dikecam oleh Islam. Jauhi sifat bakhil dan boros dengan mengamalkan kesederhanaan dengan membandingkan antara pendapatan dan perbelanjaan.

5.            Kesederhanaan
Penggunaan hendaklah setakat mana yang perlu memenuhi keperluan minima dalam lingkungan dharuriyat dan hajiyat sahaja secara sederhana dan seimbang seperti memenuhi keperluan anak, isteri dan ibu bapa hingga lebih jauh sehingga kepada membantu keperluan asas jiran, anak yatim, orang tua dan sebagainya berdasarkan kemampuan. Penggunaan secara berlebih-lebihan, boros, tidak efisien dan membazir dikecam Islam. Lebihan dalam pendapatan hendaklah digunakan untuk tabungan simpanan di masa hadapan yang tidak menentu dan amal kebaikan untuk membantu sesama manusia selaras dengan perintah Allah.

8.4          Matlamat Penggunaan
Monzer Kahf (1982: 18) berpendapat, matlamat penggunaan dalam Islam mengarah kepada dua perkara iaitu; kepuasan penggunaan barangan dan perkhidmatan, serta kejayaan di akhirat. Manakala Anas Zarqa (Siddiqi 1981: 56) berpendapat matlamat penggunaan dalam Islam adalah untuk memaksimumkan pahala dengan berpandukan syariah dengan tertakluk kepada tiga syarat; iaitu penggunaan mestilah disertai dengan niat kerana Allah, mestilah menurut susunan kepentingan dan keperluan barangan (iaitu dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat), dan penggunaan mestilah seimbang dan sederhana. Ini juga bagi mengurangkan sikap keterlaluan mengikut kehendak psikologi, sebalinya mengarah kepada kehendak kerohanian.

8.5          Kepentingan Penggunaan
Gelagat pengguna menentukan keadaan pasaran. Kegiatan kepenggunaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Ini berlaku kerana pengguna (manusia) merupakan elemen terpenting yang menggerakkan pasaran melalui permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Ia berlaku kerana kehendak manusia yang pelbagai akan menggerakkan proses pengeluaran. Ini seterusnya akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Kepentingan penggunaan dalam Islam antara lain ialah;
1.                   Bersesuaian dengan kehendak Allah
Allah menyediakan potensi yang sempurna kepada manusia bagi menjayakan kehidupan mereka. Potensi ini mengarahkan manusia berusaha mengekspolitasi sumber-sumber alam dalam bentuk pengeluaran. Manusia akan memperolehi sesuatu hanya apabila mereka berusaha dan berikhtiar untuk pertumbuhan ekonomi dengan penggunaan barangan-perkhidmatan yang halal, baik, bersih, tidak memudaratkan serta menjauhi penggunaan yang haram.

2.            Kesederhanaan
Penggunaan perlu kepada kesederhanaan sebagai langkah kawalan dan bagi merangsang pengeluaran barangan-perkhidmatan serta memastikan tabungan yang boleh membantu pada masa kesukaran. Penggunaan juga memenuhi permintaan orang kaya dan orang miskin dengan keperluan yang munasabah. Ini kerana kekurangan akan membawa kepada keperitan hidup sedangkan berlebih-lebihan boleh membawa kepada pembaziran.

3.            Beretika
Etika penggunaan yang baik amat perlu bagi memastikan aktiviti kepenggunaan memberikan kesejahteraan hidup kepada masyarakat. Justeru itu Islam menetapkan agar aktiviti penggunaan tidak melibatkan aktiviti yang haram, menunjuk-nunjuk, bangga diri dan sombong malah merugikan kerana membazir sumber yang sepatutnya disimpan untuk keperluan generasi akan datang. Penggunaan dalam ekonomi Islam membawa pelakunya kepada rasa kesyukuran dan kepuasan kerana berupaya memenuhi kehendak fizikal dan spiritual manusia.

4.            Bermatlamat
Pengguna Islam mempunyai matlamat dalam kepenggunaan iaitu memenuhi keutamaan kepentingan (dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat) dan penggunaan barangan dan perkhidmatan yang sesuai dengan syarak yang boleh menjamin kehidupan di akhirat dan kesempurnaan hidup di dunia melalui usaha-usaha memenuhi keperluan hidup. Pengguna Islam harus menahan diri dari berbelanja secara boros barangan-perkhidmatan yang tidak perlu dan juga barangan mewah kerana dikhuatiri banyak sumber ekonomi difokuskan pada aspek tersebut dan mengkesampingkan barangan-perkhidmatan perlu.

5.            Sistematik
Penggunaan dapat memastikan agihan sumber dan kekayaan negara secara sistematik iaitu barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pasaran sesuai dengan kehidupan masyarakat dan tidak mendatangkan mudharat kepada masyarakat. Penggunaan juga beredar secara sempurna di kalangan semua lapisan masyarakat. Ia juga dilakukan mengikut susunan keutamaan dan kekayaan tidak tertumpu kepada orang kaya sahaja.

8.6          Pembentukan Kehendak Manusia
Dalam ekonomi konvensional, kehendak manusia merupakan punca  utama kemajuan ekonomi, ”…kehendak manusia merupakan satu daripada perkara pokok dalam kehidupan ekonomi serta punca utama kepada semua kemajuan ekonomi”. (Bhende, Subhash dan Fernando; 1975: 22). Kehendak manusia lahir secara semulajadi (nature), tanggungjawab sosial, pembangunan ekonomi dan kesan demonstrasi; Secara semulajadinya, manusia akan memerlukan makanan, pakaian, tempat tinggal dan beberapa keperluan asas untuk hidup. Manusia hidup bersosial yang mudah mempengaruhi orang lain ataupun terpengaruh oleh orang lain melalui pemerhatian, pendengaran dan sebagainya.

Pembangunan ekonomi menyebabkan manusia hendak bukan setakat kepada kuantiti yang besar tetapi juga kepada pilihan barangan yang lebih baik. Keadaan sekeliling mempengaruhi kehendak manusia. Ia hendak memiliki sebagaimana yang orang lain ada tanpa mengira adakah itu satu keperluan sebenar atau sekadar hendak menggunakan barangan dan perkhidmatan tertentu. Pada kebiasaannya tahap kemajuan seseorang atau satu bangsa akan mempengaruhi kehendak penggunaannya.

Di antara ciri-ciri utama kehendak manusia dalam ekonomi konvensional ialah;

1.            Tidak terbatas. Apabila sesuatu kehendak telah dipenuhi maka akan timbul pula kehendak yang lain sebagai suatu proses kitaran. Ia berlaku selagi manusia hidup. Contohnya, seseorang yang makan makanan segera KFC dalam masa yang sama hendak juga makan makanan segera jenama McDota dan A&W.


2.                   Boleh dipenuhi. Ia boleh dipenuhi sekiranya ada sumber alam atau wang yang boleh memenuhi kehendak tersebut. Contohnya, seseorang yang berkehendakkan kereta jenis BMW boleh memilikinya jika dia mempunyai kemampuan kewangan.


3.                    Berulang-ulang. Manusia tidak akan merasa puas dengan apa yang telah diperolehinya. Kehendaknya hanya dipuaskan secara sementara kerana tidak lama kemudian ia berkehendakkan perkara yang sama tidak cukup dengan satu kali.


4.                   Saling melengkapi. Sesuatu barangan dan perkhidmatan tidak dapat memenuhi kehendak manusia secara sempurna kerana sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah bersifat saling melengkapi bagi memenuhi keperluan manusia yang berbagai.

5.                   Bersaing. Manusia dapat membuat banyak pilihan terhadap barangan dan perkhidmatan. Ini menyebabkan berlaku persaingan antara kehendak-kehendak itu untuk memenuhi pilihan utama kehendak seseorang manusia.

6.                   Bertukar menjadi tabiat. Kehendak yang selalu dipenuhi akan bertukar menjadi tabiat dan berubah mengikut masa, tempat dan individu. Kehendak manusia sering berubah mengikut keperluan jasadnya (biologi) dan juga keadaan persekitarannya.

Pada hakikatnya ekonomi konvensional meletakkan sepenuhnya kepada kehendak manusia dan utiliti barangan-perkhidmatan untuk menentukan kepenggunaan sedangkan ekonomi Islam menyandarkannya kepada panduan peraturan syariat. Oleh itu konsep “kehendak” dan “keperluan” dari perspektif ekonomi Islam adalah amat berbeza dengan ekonomi konvensional kerana Islam membezakan antara kehendak manusia dengan keperluan manusia. Ini membawa erti tidak semua kehendak manusia perlu dipenuhi kerana Islam menetapkan keutamaan dalam memenuhi sesuatu keperluan. 

8.7          Matlamat Perlakuan Pengguna
Matlamat perlakuan pengguna ekonomi konvensional adalah bermotifkan kepuasan, keuntungan peribadi, persaingan dan kebebasan. Walau bagaimanapun pakar-pakar ekonomi Islam menyatakan bahawa matlamat pengguna Islam tidak sahaja dilihat dari sudut kebendaan tetapi juga dari sudut kerohanian iaitu untuk mencapai kesejahteraan dan kejayaan di dunia dan di akhirat melalui pelaksanaan panduan syariat.

Justeru itu pengguna Islam tidak menggunakan; barangan dan perkhidmatan yang dilarang oleh agama, barangan mewah yang mengikut selera nafsu kesombongan, barangan yang bertentangan dengan ajaran akhlak dan sosio-budaya Islam iaitu kemungkaran serta skala penggunaan yang sederhana sesuai dengan definasi ekonomi Islam iaitu al-Iqtisad. Dengan pengertian penggunaan dalam ekonomi Islam ingin membawa gelagat pengguna muslim kepada penggunaan yang sederhana tanpa pembaziran dan penggunaan yang perlu untuk kebaikan hidup mereka.

8.8          Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Gelagat Pengguna Islam
Ekonomi konvensional menetapkan perkara berikut sebagai mempengaruhi gelagat pengguna iaitu; pilihan pengguna, pendapatan, harga barangan lain yang berkaitan, perubahan agihan pendapatan, saiz  dan struktur penduduk, polisi kerajaan, faktor musim dan kadar interest. Ini berbeza dengan ekonomi Islam yang memberi tumpuan kepada memenuhi keperluan dan bukannya memenuhi kehendak serta menjauhi barangan tertentu kerana larangan agama. Menurut Monzer Kahf (1982:18-32), gelagat pengguna Islam dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut;
1.                   Kepercayaan kepada Hari Akhirat
Kepercayaan kepada hidup selepas mati memberi kesan betapa pengguna Islam perlu merancang dengan sebaik-baiknya utiliti penggunaan mereka bagi kehidupan dunia meliputi perbelanjaan nafkah dan penggunaan untuk kehidupan akhirat seperti derma, zakat dan wakaf kepada golongan yang serba kekurangan kerana kesan penggunaan di dunia adalah serta merta manakala kesan penggunaan untuk akhirat adalah tertangguh tetapi saling berkaitan. Perbelanjaan atau penggunaan sebegini menggambarkan ketaatan seorang manusia kepada Tuhannya dan menunjukkan perasaaan kasih sayangnya kepada manusia lain kerana sanggup membahagikan keutamaan penggunannya.

2.                   Konsep al-Falah
Kejayaan dalam sebarang aktiviti ekonomi adalah untuk mendapat keredaan Allah iaitu penyucian niat dan tindakan dari sebarang tingkah laku yang bercanggah dengan syariat dan nilai akhlak. Aktiviti penggunaan yang dilakukan dianggap sebagai amanah dan tanggungjawab individu kepada Tuhannya dan sebagai memenuhi keperluan masyarakatnya. Masa, sumber dan peranan yang dilakukan oleh pengguna Islam adalah untuk memastikan kejayaan kepada kehidupan menurut budaya Islam iaitu suasana ekonomi dan sosio-politik yang sejahtera dan harmonis. Penggunaan barangan-perkhidmatan yang baik akan menggerakkan pertumbuhan ekonomi dengan jaminan peluang pekerjaan yang mampu memberi pendapatan yang mencukupi untuk perbelanjaan umum. Ini sekaligus memudahkan kerajaan menyediakan kemudahan prasarana dan iklim sosio-ekonomi yang kondusif.

3.            Konsep harta
Harta sebagai rezeki milik Allah dan manusia diberi amanah menggunakannya bagi faedah kebaikan kehidupan. Harta ialah pendapatan dan kekayaan. Ia merupakan alat kehidupan dan bukan matlamat hidup. Ia kurniaan Allah dan sebagai tanggungjawab. Kesilapan dalam menggunakan harta bakal dilaknat oleh Allah. Ia mesti dibelanjakan untuk mendatangkan kepuasan dalam penggunaan dan sebahagiannya untuk tabungan. Harta boleh digunakan untuk manfaat dunia dan juga untuk manfaat di akhirat. Harta ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan juga negara melalui instrumen seperti nafkah, zakat, cukai dan sebagainya.

4.            Konsep barangan dan perkhidmatan
Pengguna Islam hanya akan memilih dan menggunakan barangan- perkhidmatan yang halal, baik, berguna, berakhlak dan menggelakkan barangan-perkhidmatan yang haram, merbahaya kepada kesihatan, bertentangan dengan agama dan merendahkan sosio-moral. Ia juga semestinya tidak memberi mudharat kepada kesihatan dan kehidupan masyarakat. Penggunaannya akan meningkatkan rasa kesyukuran, ketenteraman, pengabdian dan kerjasama sesama manusia.

5.            Beretika dalam penggunaan
Segala yang ada di alam ini adalah kurniaan Allah, manusia seharusnya menggunakannya dengan baik dan suci kerana manusia menggunakan (meminjam guna) hak milik Allah. Oleh itu seorang pengguna Islam mesti mencorakkan penggunaan untuk perbelanjaan yang sesuai dengan budaya Islam iaitu bagi memenuhi keperluan dirinya, keluarganya dan masyarakatnya kerana kehandak Allah. Ia juga perlu perbelanjaan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pengguna muslim juga rasional dalam penggunaan, dermawan, tidak boros, tidak bakhil dan sebagainya. Dengan kata lain saiz penggunaan Islam adalah sederhana tetapi dinamik kerana penggunaannya mengikut kepentingan.

8.9          Penentuan Jumlah Permintaan
Pada kebiasaannya kehendak manusia dalam penggunaan adalah melebihi keperluan sebenar yang diperlukan. Ini menyebabkan sumber ekonomi yang ada digunakan dengan terlalu banyak bagi mengeluarkan barangan yang tidak begitu penting yang disifatkan membazir oleh Islam. Pengguna Islam menetapkan jumlah permintaan selaras dengan kehendak Islam iaitu membeli barangan yang perlu dengan harga yang mampu dibayar. Ia membawa kepada keadaan permintaan akan berubah bila harga berubah. Pengguna Islam berupaya mencorakkan pasaran kerana Islam mementingkan kesederhanaan, merancang keutamaan, membuat perimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan supaya dapat menggelakkan budaya berhutang. Jumlah permintaan dalam ekonomi bergantung kepada keupayaan sebenar pengguna dan langkah yang diambil oleh kerajaan selaras dengan panduan syariah iaitu pengguna mendapat pendapatan yang membolehkannya menampung keperluan hidup yang sederhana.

8.10        Kesimpulan
Penggunaan Islam mampu mewujudkan keseimbangan dan kesempurnaan dalam aktiviti ekonomi melalui pengetahuan mengenai kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas. Islam menyusun kehidupan yang realistik dalam ekonomi melalui penggunaan barangan dan perkhidmatan yang asas, sebelum memenuhi penggunaan yang lebih baik dan lebih sempurna. Amalan penggunaan dalam Islam dilakukan secara sederhana sehingga dapat membentuk gelagat pengguna yang bertanggungjawab yang dapat menggerakkan aktiviti ekonomi yang memberi kesejahteraan kepada semua peringkat masyarakat.


No comments:

Post a Comment