KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK
Oleh
Mohd Zuhairi Safuan
1.
Kebudayaan (Culture)
Seluruh cara hidup manusia dalam aspek
pemikiran dan kebendaan meliputi kepercayaan, ilmu pengetahuan, undang-undang,
ekonomi, kesusilaan, kesenian, seni bina, kebolehan serta kebiasaan dan sebagainya.
Ia diwarisi generasi ke generasi melalui pembelajaran dan berbeza di antara
satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Kebudayaan manusia dipengaruhi
oleh faktor-faktor seperti persekitaran tempat tinggal, bangsa dan etnik,
psikologi dan kegiatan ekonomi.
2.
Masyarakat (Society)
Satu organisasi sosial yang besar,
kompleks dan moden di mana ahli-ahlinya hidup bersama, saling bergantung,
bekerjasama, berkongsi nilai, sama budaya dan wujud garis panduan tingkah laku sosial
bagi menggambarkan organisasi yang bersatu padu dan berbeza dengan yang lain.
Masyarakat boleh dikelaskan mengikut ekonomi seperti masyarakat feudal,
kapitalis, sosialis. Ia juga boleh dikelaskan mengikut agama seperti masyarakat
Islam, Kristian, Hindu dan Buddha ataupun mengikut jenis pengeluaran ekonomi seperti
masyarakat tani dan masyarakat industri.
3.
Institusi Sosial
Pola tingkah laku yang telah
dipersetujui bagi memenuhi keperluan sosial atau suatu cara yang seragam (standard) untuk mengatasi berbagai
masalah yang timbul dalam masyarakat. Di antara contohnya ialah institusi
politik, institusi ekonomi, institusi perkahwinan, institusi agama dan
sebagainya. Kewujudan institusi sosial ini berupaya memberikan kehidupan yang
lebih stabil dalam masyarakat.
4.
Mobiliti Sosial
Proses perubahan individu atau
masyarakat dari suatu tingkat sosial ke suatu tingkat sosial lain yang lebih
tinggi dalam satu sistem stratifikasi sosial. Ia berupa mobiliti yang bersifat
mendatar (horizontal) dan menaik (vertical). Mobiliti sosial biasanya
dilihat dari segi pekerjaan. Stratifikasi sosial sesebuah masyarakat yang
terlalu rigid seperti mengikut ras, keturunan dan warna kulit boleh menyebabkan
tidak berlaku mobiliti sosial secara terbuka. Pada masa ini sebenarnya peluang
untuk mobiliti sosial adalah anjal (fleksible),
terbuka dan luas. Ia tidak seperti keadaan dalam masyarakat yang mempunyai
sistem sosial seperti kasta dan apartheid
yang tiada langsung peluang untuk mobiliti sosial.
5.
Perubahan Sosial (Social Change)
Perubahan atau pindaan struktur dan
fungsi atau peranan suatu sistem sosial. Perubahan sosial boleh berlaku secara lambat
(evolusi) dan juga cepat (revolusi) kerana penerimaan idea-idea baru dan
tekanan untuk proses perubahan. Ia merupakan suatu proses yang berlaku kerana
keperluan bersama dalam masyarakat untuk melakukan perubahan demi memperkuatkan
kedudukan mereka dan menyempurnakan kehidupan masyarakat. Berlaku perubahan
dalam kehidupan berkeluarga, politik, ekonomi, nilai, agama, teknik dan
sebagainya. Banyak contoh yang boleh diketengahkan antaranya ialah hilangnya
semangat gotong royong, masyarakat berteknologi, berkembangnya institusi
didikan kanak-kanak pra-sekolah serta rumah jagaan untuk orang tua, wanita
keluar bekerja dan sebagainya.
6.
Status Sosial (Social Status)
Kedudukan social atau peranan individu
dalam masyarakat. Ia merupakan manifestasi bahawa setiap individu memiliki
status sosialnya yang tersendiri. Ia adalah berkaitan dengan hak dan
tanggungjawab tetapi tidak semestinya berbentuk hiraki tinggi ataupun rendah. Status
sosial boleh dinilai melalui jawatan, pendidikan, kekayaan, keturunan, dan
sebagainya. Contohnya antara lain ialah peguam, menteri, doktor, pekerja
kilang, petani, pengurus, imam, ibu dan datuk. Apabila status sosial dilihat
dari sudut lebih tinggi maka akan wujud hiraki yang biasanya dikaitkan dengan
pangkat atau darjat. Ia juga merupakan penghormatan masyarakat terhadap
individu. Status sosial ini boleh diwarisi dari generasi ke generasi sejak
lahir dan juga boleh diusahakan untuk memperolehinya dengan latihan kerja keras.
Status sosial berkait rapat dengan peranan seseorang dalam masyarakat.
Adakalanya seorang memiliki dua status sosial seperti seorang ibu dan juga
sebagai seorang yang berkerjaya.
7.
Masyarakat Majmuk (Plural Society)
Masyarakat yang terdiri dari berbagai
kelompok ras dan etnik yang berlainan cara hidup tetapi berada di bawah satu
bentuk pemerintahan politik. Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini mempunyai
kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri dan berbeza, tidak
bergantung kepada etnik lain tetapi hidup bersama-sama dan bercampur gaul. Ciri
utama bentuk masyarakat ini ialah perpecahan, konflik, percanggahan dan
paksaan. Kehidupan mereka terasing dalam satu sistem tersendiri walaupun hidup
berdekatan dan berlaku interaksi sosial terhad yang biasanya pada sektor
ekonomi sahaja.
8.
Ras (Race)
Sekelompok manusia yang mempunyai
persamaan fizikal seperti warna kulit, bentuk kepala, mata, telinga, rambut dan
sebagainya kerana dari baka atau biologi yang sama. Ada tiga ras utama, iaitu; Caucacoid (orang putih), Negroid (orang negro) dan Mongoloid (orang berkulit coklat). Tiga
etnik ini mempunyai perbezaan bentuk tubuh badan dan warna kulit. Sebenarnya
manusia sering bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan perkahwinan
campur kerap berlaku sehingga sukar membuat penggolongan berdasarkan ras
sedemikian.
9.
Rasisme (Racism)
Kepercayaan bahawa sesuatu ras lebih
utama, unggul (superior) dari ras
yang lain berdasarkan faktor biologi, kebolehan, kecerdasan, keupayaan,
kebudayaan dan sebagainya. Pelaksanaan rasisme menyebabkan wujud ketidakadilan,
diskriminas, kebencian, permusuhan dan ketidaksamaan. Contohnya orang kulit
putih di Afrika Selatan merasa lebih hebat daripada orang kulit hitam.
10.
Etnik (Ethnic)
Merupakan klasifikasi manusia berasaskan faktor sosial
dan kebudayaan iaitu sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir
seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi tetapi ia
membezakan mereka dari kelompok lain dalam sesuatu masyarakat manusia yang
lebih besar. Etnik berkait rapat dengan konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa
memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan
dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat
majmuk Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi
hidup di bawah sistem politik yang sama. Etnik dapat dikelaskan melalui
perbezaan budaya. Di Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Melanau
dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat
etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sahaja sebagai sebagai wajar,
betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah. Konsep
etnik juga membentuk etnisiti iaitu semangat kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sebagai contohnya orang Portugis di Melaka percaya mereka merupakan
sama etnik dengan orang Portugis di Portugal kerana nilai, adat resam, tradisi
dan kepercayaan yang sama.
11.
Asimilasi (Assimilation)
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan
penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu
kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Ia melibatkan kumpulan etnik
minoriti kehilangan identiti dan terserap kepada kebudayaan dan sosial etnik
mijoriti. Mereka yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan
akhirnya menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi
sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi
kebudayaan dan identiti seperti bahasa, pakaian dan adat resam. Konsep ini diwakili
dengan formula A+B+C=A, dalam hal ini A mewakili golongan majoriti dominan
sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya orang Melayu di
Selatan Thailand mengalami proses asimilasi sehingga menyebabkan nama, bahasa,
fesyen dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan
dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku ke atas
masyarakat Jawa, bugis, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh
berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan
Nyoya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan
kepercayaan atau agama etnik tersebut. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung
kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima
identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti
menerima kumpulan etnik minoriti.
12.
Akomodasi (Accomodation)
Penyesuaian iaitu suatu keadaan atau
proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan
atau mengelakkan konflik dengan mengadakan interaksi secara damai untuk
sementara ataupun untuk selama-lamanya. Ini dilakukan menerusi perundingan dan juga
tolak ansur tetapi mereka meneruskan sikap mereka untuk hidup berasingan. Ia
juga melibatkan proses kerjasama dan tolak ansur yang menekankan keseimbangan
serta tidak menghilangkan indentiti sesuatu kelompok. Di Malaysia contoh
akomodasi yang ketara ialah penggunaan bahasa Melayu dan amalan kebebasan beragama
terhadap rakyat yang terdiri dari etnik bukan Melayu.
13.
Amalgamasi
Satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras
bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Bentuk proses amalgamasi
adalah perkahwinan campur antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza. Teori
amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di mana A, B, dan C mewakili
kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil
daripada penyatuan A,B dan C yang biasanya dinamakan antara lain seperti Pan
Asia, Melayu-Arab, China-India dan seumpamanya.
14.
Akulturasi
Akulturasi ialah proses perubahan kebudayaan melalui
pinjam meminjam kebudayaan hasil dari perhubungan antara mereka. Ia merupakan
proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari
sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok
manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu
kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya
diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Ia tidak menyebabkan kehilangan
identiti asal masyarakat penerima tetapi merupakan proses pinjam meminjam
dengan diolah menjadi unsur kebudayaan sendiri. Di Malaysia contohnya ialah bahasa,
tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi jika tidak diolah
dengan baik, ia akan memberi kesan yang
tidak baik kepada masyarakat.
15.
Segregasi
Pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik
dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara sehingga berlaku
interaksi yang minima ataupun sehingga tiada langsung interaksi antara mereka.
Pemisahan dan pengasingan berlaku dalam pekerjaan, tempat tinggal, perkahwinan,
kesihatan, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi
wujud sama ada didasari oleh undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika
Selatan (1948-1994) dan juga sikap memencilkan diri etnik tertentu untuk
menentang asimilasi dengan etnik lain.
16.
Prasangka (Prejudice)
Sikap kurang baik atau tanggapan negatif
terhadap individu atau kelompok lain kerana faktor-faktor tertentu seperti ras,
agama, pekerjaan, jantina dan kelas. Prasangka biasanya bersifat umum yang
tidak rasional iaitu penilaian yang dibentuk sebelum tinjauan dibuat terhadap
faktor-faktor tersebut. Ia juga bersifat stereotaip, emosional dan
diskriminasi. Sikap ini tidak berubah walaupun individu itu telah mendapat
pengetahuan dan bukti baru yang berbeza. Prasangka juga boleh mendatangkan
kesan melalui perkataan dan perbuatan seperti mencaci kelompok lain, melakukan
diskriminasi malah perlakuan jenayah.
17.
Sekularisasi (Secularization)
Suatu konsep bahawa kerajaan atau
entiti lain harus wujud secara terasing dari
agama. Dari suatu segi, sekularisme dapat memberikan hak untuk menjadi
bebas dari peraturan dan ajaran agama. Ia juga merupakan kebebasan dari
pengenaan agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali
pada hal ehwal agama. Dari segi lain, ia turut merujukkan pada pandangan bahawa
aktiviti manusia dan semua keputusan yang dibuat harus berasaskan pada bukti
dan fakta yang tidak berat sebelah kepada pengaruh keagamaan. Ia juga merupakan
proses keruntuhan peranan agama dalam hidup sehingga masyarakat bercorak
lebih bebas dari penguasaan simbol dan institusi agama.
assalamualaikum, boleh saya tau info/nota ini dari sumber mana? saya nk buat sebagai rujukan
ReplyDelete