KONSEP
MANUSIA
1. Kejadian manusia
Manusia
adalah makhluk yang berjiwa utama, datang dari langit ke bumi asalnya. Manusia
adalah makhluk yang berfikiran, bernaluri, berinteraksi sosial. Manusia berasal
dari Adam dan Hawa. Adam dijadikan dari tanah dan Hawa dijadikan dari tulang
rusuk kiri Adam. Dari kedua mereka lahir generasi manusia di bumi ini. Roh
adalah sesuatu yang mulia di sisi Allah digunakan untuk menghidupkan jasad
manusia. Lantaran itu manusia dijadikan dari jasad dan roh. Manusia dikurniakan
akal untuk berinisiatif, kreatif, berperadaban dan mempunyai sosio-budaya.
Kemuliaan dan kesempurnaan manusia bukan sahaja kerana susunan organ dan
anotominya sahaja tetapi juga pada kemampuan intelektual, emosi dan sebagainya.
Manusia tahu membezakan yang baik dan buruk lebih baik dari binatang.
2. Manusia sebagai khalifah
Manusia
bukanlah malaikat, jin ataupun syaitan. Manusia bukan dicipta secara melulu dan
menerima takdir. Manusia dicipta sebagai makhluk yang mempunyai kecerdasan
pemikiran, usaha dan segala-galanya untuk kebaikan dirinya dan alam. Hakikat
manusia sebagai khalifah atau hamba Allah bukan suatu penghinaan, sebaliknya
merupakan gelaran tertinggi sebagai mandat pentadbir alam ini. Walau
bagaimanapun bukan semua manusia layak menjadi khalifah tetapi hanya manusia
yang melaksanakan konsep perhambaan diri dan takwa kepada Allah sahaja yang
layak.
Khalifah adalah pentadbir, pemerintah,
penyambung tugas Rasulullah s.a.w. menyampaikan kebenaran dan pembasmi
kebatilan. Khalifah mestilah jujur dan adil tidak melakukan penyelewengan dan
bertindak penuh saksama serta melaksanakan kebaikan. Khalifah patut menyebarkan
maklumat Islam kepada semua pihak. Memiliki sifat-sifat mahmudah dan menjauhi
sifat mazmumah. Khalifah menyusun kehidupan ini supaya teratur dalam sistem
yang dikehendaki oleh Allah selaku penciptanya. Untuk itu, Khalifah dikurniakan
Allah kemampuan mencari dan memiliki ilmu, beragama dan hidup bermasyarakat
mengikut perintah Allah. Sekiranya menusia menjauhi perintah ini dan mengikut
hawa nafsu, mereka akan hidup dengan kesesatan, keraguan dan kezaliman.
Kejadian
manusia tidak sia-sia kerana ia kelak akan dikembalikan ke tempat asalnya
(akhirat). Kehidupan manusia di dunia dengan segala corak ragamnya (peristiwa)
adalah untuk menjalani ujian Allah. (al-Muluk: 2). Bahan ujian tidak hanya
terbatas kepada kesusahan, kesempitan, kemiskinan dan bala bencana, tetapi juga
merangkumi kepandaian, kesenangan, kekayaan, pangkat dan pengaruh. (al-Anbiya:
35). Termasuklah jawatan Khalifah di muka bumi. Khalifah akan diuji untuk
kebaikan dan kemuliaannya. Tanpa ujian hidup manusia akan sia-sia dan menjadi
mainan. Manusia akan sama, tiada yang baik dan jahat, yang takwa dan yang
durjana. (al-Qalam: 35). Kesamaan adalah mustahil. (al-Muluk: 22). Tanpa ujian
tidak ada erti bagi hidup ini. Oleh itu hidup adalah ujian.
Hakikat
bahawa hidup adalah ujian (khalifah) merupakan suatu daya kekuatan dalam
mengharungi gelombang kehidupan, bahkan sebagai penawar penyakit gelisah,
kehampaan, kekosongan dan putus asa dalam kehidupan. Seseorang yang menyedari
bahawa kehidupan adalah ujian Allah; dirinya yang sempurna, kecacatannya,
kebolehan, ilmu, kekayaan, jawatan, pangkat, sihat, sakit, gembira dan duka
pasti akan dinilai Allah akan member kesan positif dalam kehidupan individu,
masyarakat dan negara sehingga melahirkan sifat-sifat;
·
Sentiasa bersedia menghadapi
ujian secara berterusan
·
Waspada dan teliti menjalani
ujian
·
Menimbulkan rangsangan untuk
mendapat nilai yang lebih baik
·
Merasakan tanggungjawab
terhadap segala perbuatan
·
Tidak putus asa, kekosongan,
kehampaan kerana apa jua keadaan
·
Merasa hidupnya terisi dan
bererti
3. Konsep ujian Allah (Ibtila’)
Allah adalah
pemberi rezeki dan rezeki yang diperolehi milik Allah. Allah berkuasa memberi
dan menyempitkan rezeki. Manusia dengan segala kemampuan yang diberikan Allah
hanya mampu berusaha, tetapi setiap usaha tidak semestinya berakhir seperti
yang diharapkan. Ada manusia yang luas rezekinya menjadi kaya raya dan ada yang
sempit rezeki menjadi miskin. Mungkin orang kaya itu kerja keras tetapi ada
juga orang kaya yang tidak berusaha gigih. Ini menunjukkan bahawa memperolehi
rezeki adalah di luar batas kemampuan manusia. Allah tidak menyamaratakan
pemberian rezeki itu kepada semua orang. Ia menjadi pengajaran mengenai bukti
kekuasaan Allah. Lantas menjadikan manusia beriman dan bersyukur.
Begitupun
manusia tidak boleh berserah diri dan berpeluk tubuh menunggu rezeki. Manusia
adalah makhluk yang paling tinggi darjat, paling sempurna kejadian,
dianugerahkan akal serta berkemampuan untuk berusaha di samping berdoa. Ramai
kalangan manusia berdoa dilimpahkan rezeki tetapi masih miskin, diberi
kedudukan tinggi namun tidak dikabulkan Allah. Ketentuan Allah ini menunjukkan
kasih sayang Allah kepada manusia kerana sesuatu yang diberi Allah merupakan
sesuatu yang terbaik untuk manusia. Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Sekiranya sesuatu yang dipohon itu baik untuk individu, keluarga dan agama,
pasti akan dikabulkan Allah. Oleh kerana manusia tidak tahu yang mana baik dan
yang mana buruk, seringkali ia kecewa. Andainya tiada kesabaran, mungkin
manusia akan melanggar syariat agama.
Allah hendak
menguji kesabaran, kesungguhan dan kekuatan iman. Orang yang Berjaya akan
mendapat nikmat. Orang yang gagal akan rugi. Ada manusia bukan Islam dan orang
Islam sendiri mudah sahaja mendapat apa yang diingininya dengan usaha yang
sedikit, tidak pernah berdoa kepada Allah. Tapi dikabulkan Allah. Hakikatnya, tidak
sama orang yang Allah suka dengan orang yang Allah murka.
Rezeki
adalah pemberian Allah. Orang kaya tidak wajar bersikap sombong, angkuh dan
menyangka harta itu adalah miliknya abadi. Persoalan rezeki tidak selalunya
tunduk kepada petua atau rancangan manusia. Sesungguhnya rezeki adalah urusan
Allah.Pepatah melayu ada menyebutkan; “Rajin dan usaha tangga kejayaan”. Namun
ada manusia gigih tapi tidak Berjaya. Dan; “ilmu pengetahuan kunci rezeki”. Namun
ramai orang yang tidak berpendidikan tinggi menjadi usahawan kaya.
PEMBANGUNAN
INSAN
KONSEP
ILMU
1. Definasi Ilmu
Ilmu dalam
bahasa Arab ialah memerhati, mengetahui dan kebenaran. Ilmu menurut Prof.
Dr. Syed Naquib al-Attas ialah ketibaan
sesuatu makna hasil dari maklumat yang benar ke dalam diri seseorang. Dalam
bahasa Inggeris disebut knowledge iaitupengetahuan
yang sistematik dan boleh diuji kebenarannya. Menurut Prof. Dr. Fazlur Rahman,
ilmu pengetahuan yang manusia perolehi mampu melahirkan kreativiti dan
mengeksploitasi daya semulajadinya (akal) untuk menjadi manusia yang baik, adil
dan progresif.
Sumber ilmu
dalam Islam ialah wahyu Allah dan ilmu tidak semata-mata muncul melalui
keupayaan dan usaha pancaindera manusia. Seterusnya ilmu diperolehi melalui
pembacaan, kajian dan mendengar dari berbagai-bagai sumber ilmu setiap hari. Ia
bukan setakat untuk mendapatkan diploma atau ijazah. Ini dilakukan tanpa
henti-henti dan jemu hingga ke akhir hayat. Ilmu pengetahun hidup subur dengan
belajar dan membaca dan ia akan menjadi beku apabila aktiviti pembelajaran
dihentikan.
Banyak ayat
al-Quran menekankan tentang kepentingan menuntut ilmu dengan menyatakan bahawa
Allah mengajar manusia ilmu pengetahuan dan nama-nama benda serta manusia perlu
sentiasa memohon kepada Allah untuk menambah ilmu seperti dalam surah al-Alaq ayat 1-5 (anjuran membaca),
surah al-Baqarah ayat 31-32 (nama-nama
benda diajarkan Allah) serta peranan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan dalam
ayat 138 surah Ali-Imran dan manusia
dikehendaki berdoa kepada Allah supaya ditambahkan ilmu melalui ayat 114 surah Taha.
Al-Sunnah
menekankan kewajipan menuntut ilmu, kewajipan bagi lelaki dan wanita menuntut
ilmu, proses menuntut ilmu dari buaian hingga ke saat kematian, lebih baik
menuntut ilmu dari sembahyang sunat yang banyak. Begitu juga ulama sepakat
mengenai pentingnya ilmu pengetahuan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan
dunia dan akhirat.
2. Kepentingan Ilmu
a. Kecemerlangan sesuatu tamadun bergantung
kepada penguasaan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa / negara/ umat.
b. Pencapaian ilmu mampu membawa kepada
kekuasaan dan ketinggian darjat / taraf hidup manusia. Contohnya Negara Amerika
Syarikat dan Jerman.
c. Tanpa ilmu tertentu akan menjadikan
sesuatu bangsa itu lemah untuk berdepan dengan bangsa yang lain. Contohnya
angsa yang pernah mengalami penjajahan.
d. Ilmu membawa ketetapan keyakinan dan
kepercayaan kepada ketauhidan Allah. Contohnya perkembangan tamadun Islam
Abbasiyah.
e. Ilmu memberi keselesaan kepada setiap
aspek kehidupan sosio-ekonomi dan sosio-politik. Contohnya bangsa Jepun.
f. Ilmu menunjukkan manusia sikap positif
yang sepatutnya mereka amalkan dalam kehidupan seperti jujur, adil dan ihsan.
3.
Klasifikasi Ilmu
a.
Ilmu Fardu Ain
Ilmu Asas
tentang Islam seperti ilmu agama mengenai akidah, syariah dan akhlak. Dinamakan
juga ilmu naqliyah berasaskan wahyu
Allah. Wajib diajarkan apabila umur baligh (matang), memahami dan
mengamalkannya. Boleh dilakukan secara hafalan dan ikutan. Melaksanakan
tuntutan manusia sebagai Khalifah Allah.
b. Ilmu Fardu Kifayah
Dinamakan
juga ilmu aqliyah iaitu ilmu yang
berdasarkan penggunaan akal manusia. Atau ilmu untuk keperluan hidup seperti
amalan / ibadah yang kolektif sifatnya dan ilmu sains tulen, sains sosial dan
teknikal. Ilmu ini juga harus merangkumi bidang ilmu tinggi atau ilmu kemahiran
khusus seperti sains, teknologi, kedoktoran, kejuruteraan, ekonomi, perundangan
dan sebagainya. Juga meliputi ilmu pengetahuan umum untuk meningkatkan daya
intelek; ilmu agama / moral bagi membentuk nilai murni dan ilmu pengetahuan
seperti bahasa, bagi membentuk identiti negara.
Menumpukan
tenaga dan mengorbankan perhatian kepada bidang kepakaran merupakan suatu yang
wajib bagi membina kehidupan masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.
Pembacaan pelbagai bidang daripada pelbagai jenis ilmu pengetahuan berupaya
menyuburkan otak dan daya fikiran kepada inovasi dan kreativiti. Pengetahuan
kepada bahasa-bahasa asing amat penting bagi penyuburan budaya ilmu di kalangan
masyarakat dan dapat membantu membela Islam dari tohmahan negatif dan
menggerakkan aktiviti dakwah kepada bangsa-bangsa dunia.
Wujud
kesepaduan (integrated) antara ilmu
dunia dan ilmu agama atau ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Ia berjalan
serentak dan beriringan bagi membentuk individu manusia yang berilmu
pengetahuan dan berakhlak baik. Begitupun terdapat kecenderungan negatif
usaha-usaha untuk membezakan ilmu agama dan ilmu umum (dualism of knowledge) sehingga menimbulkan fenomena peningkatan
yang satu bererti kemunduran yang satu lagi. Oleh itu usaha untuk
mengintegrasikan / menerap nilai-nilai dan budaya Islam dalam sistem pendidikan
atau Islamisasi Ilmu (Islamization of
Knowledge) wajar dilakukan secara serius supaya ilmu tidak terus secular
(terpisah) yang kemudian boleh memberi kesan kepada aspek spiritual, moral dan
budaya.
Ilmu
pengetahuan adalah bersifat universal di mana ia tidak khusus kepada kepunyaan
sesuatu bangsa sebaliknya ia dikongsi bersama semua umat manusia. Setiap
pencapaian baru merupakan apa yang telah dicapai oleh manusia sebelum ini.
Orang Islam berpegang dengan prinsip bahawa untuk memelihara akal fikiran ialah
dengan cara mempergunakan akal untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui
pembacaan, berfikir, berbincang dan melakukan penyelidikan.
Budaya ilmu
wujud dalam masyarakat apabila masyarakat hidup berdasarkan ilmu di mana ilmu
menjadi landasan bagi setiap cara hidup manusia ia juga merujuk kepada kegiatan
yang berterusan untuk mencari, meneroka, menghayati, menguasai dan mengamalkan
ilmu. Suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat terlibat secara langsung
dalam kegiatan keilmuan. Dengan pengertian ilmu pengetahuan menjadi keutamaan
di setiap masa dan tempat.
Matlamat
pembudayaan ilmu ialah untuk membentuk individu dan masyarakat yang dapat
melaksanakan pengabdian diri kepada Allah, dimuliakan Allah dan manusia lain,
menjamin kejayaan kehidupan dunia dan akhirat.
4. Aplikasi Nilai-Nilai Murni
Nilai-nilai
murni merupakan himpunan akhlak yang membentuk keperibadian unggul. Ia
mengandungi nilai positif dan nilai negative. Nilai negatif ialah meninggalkan
perkara yang ditegah Allah. Nilai positif ialah melakukan perkara yang disuruh
Allah. Nilai menjadi pegangan dan kepercayaan sesuatu bangsa dan diamalkan
dalam kehidupan.
Di Malaysia, di antara nilai-nilai murni yang
diamalkan ialah; bersih (suci rohani dan fizikal), cekap (pantas, tepat dan berkualiti),
amanah (tidak mungkir terhadap sesuatu perkara), tanggungjawab (komitmen
terhadap tugas), ikhlas (suci hati dari niat buruk), dedikasi (penyerahan diri
kepada tugas), sederhana (tidak keterlaluan), tekun (teliti dan
bersungguh-sungguh), sabar (tahan menerima cabaran), disiplin (mengawal diri),
kerjasama (bersatu dengan orang lain), menghargai masa (tidak buang atau
melenggah-lenggahkan masa tanpa membuat sesuatu kerja).
a. Ibubapa
Melakukan
kebaikan dan berjasa kepada dua ibu bapa. Lebih utama lagi ketika mereka telah
tua, uzur dan lemah. Jangan mengeluarkan tutur kata yang kasar, menyinggung
perasaannya. Sepatutnya anak menunjukkan
kasih-sayang, lemah-lembut, kesabaran, syukur dan mesra kepada keduanya.
Sewajarnya menggunakan budi bahasa yang halus laksana bahasa yang digunakan
oleh seorang hamba kepada Tuannya. Malah dikehendaki berdiri menghormati
keduanya, larangan berjalan di hadapannya, larangan duduk sebelum ia duduk dan
jangan memanggilnya dengan nama sebenarnya.
Memberi
nafkah bantuan kewangan dan memenuhi keperluannya dari segi makanan, pakaian
dan rumah kediaman sehingga ia merasa selesa dalam menjalani kehidupan. Apatah
lagi bagi ibu bapa yang miskin dan susah. Berusaha mengatasi segala kerumitan
dan kesusahan mereka serta jangan melakukan sesuatu yang boleh menambahkan
kekusutan mereka. Ini bagi membolehkan mereka hidup gembira setelah banyak
pengorbanan yang telah mereka lalui dalam membesarkan anak-anak. Kesakitan
seorang ibu melahir, mengasuh dan mendidik anak begitu juga kepayahan seorang
ayah membesarkan dan member pendidikan kepada anak tidak dapat dibayar oleh
anak walaupun dengan pengorbanan seluruh hartanya.
Keredhaan
Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa. Apabila ibu bapa telah tua, anak
hendaklah menjaga dan memeliharanya serta bersabar dengan telatah dan kelakuan
mereka yang kadangkala cerewet, serba tidak kena, cepat berkecil hati dan
sebagainya. Apabila ibubapa telah meninggal dunia, mendoakan keampunan dan
kesejahteraan keduanya, memenuhi janji dan wasiatnya dan meneruskan perhubungan
baik silaturahim dengan kawan-kawannya. Dikehendaki juga menziarahi kuburnya,
membacakan al-Quran, bersedekah, berpuasa dan menunaikan haji untuk
menghadiahkan pahala kepada kedua ibubapa yang disayanginya.
b. Guru
Menghormati
guru kerana ia adalah manusia yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dan
beramal dengan keilmuannya. Tanggungjawab
guru mengajarkan ilmu adalah umpama memberi harta yang berfaedah. Seorang
pelajar harus menghormati guru, berniat baik untuk menuntut ilmu serta menghindari
akhlak yang buruk. Menolong guru jika diperlukan. Memanggil guru dengan nama
yang memperlihatkan kemualiaannya. Harus tunduk patuh kepada nasihat guru
sepertimana kepatuhan seorang pesakit kepada nasihat doktornya.
c. Jiran
Sebagai
orang yang paling hampir dengan kita, jiran ialah orang yang tinggal
berhampiran atau sebelah menyebelah seseorang tetangga dalam lingkungan 40 buah
rumah di segenap penjuru. Ada kemungkinan jiran ini berlainan agama, ataupun
ada kalangan mereka merupakan saudara mara, jiran dekat dan jiran jauh.
Hubungan social dengan jiran hendaklah positif. Dikehendaki berbuat baik kepada
jiran dan larangan menyakiti jiran. Lindungi jiran dari bahaya dan kesukaran.
Membantu jiran jika ia memerlukannya, memenuhi undangannya, pinjam meminjam,
ziarahinya jika sakit.
“Tidak
beriman kamu jika kamu makan dengan kenyang, sedangkan jiran kamu kelaparan”.
Dalam
berurusan dengan jiran, dikehendaki mengucapkan salam ketika bertemu. Menolong
jiran ketika mereka berdepan dengan musibah / kesukaran / kemalangan. Gembira
jika jiran mendapat sesuatu yang menyenangkan. Memaafkan segala kesalahan yang
pernah dilakukan. Larangan melihat aurat mereka dan tutup semua rahsia mereka
dari pengetahuan umum. Membantu mengawasi rumah mereka jika mereka tiada di
rumah. Jangan menyempitkan laluan masuk ke rumahnya.
d. Kawan
Kawan
menjadi tempat harapan untuk mendapatkan pertolongan dan perbincangan.
Dikehendaki menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang masih muda. Dilarang
menyakiti kawan dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebaiknya menggunakan
bahasa yang ramah-tamah. Merendah diri dengan mereka, menepati janji, amanah
dan larangan menyombong diri. Jangan membiarkan masa berlalu lebih dari tiga
hari tanpa bertegur sapa jika berlaku perselisihan faham. Saling bantu-membantu,
tolak ansur dan pemaaf. Larangan memasuki rumah mereka kecuali dengan meminta
izin memberi salam dan sekiranya tidak dizinkan beredarlah. Hendaklah sentiasa
bermanis muka dan menepati janji. Menyayangi mereka sebagaimana menyayangi diri
sendiri.
Menutup
semua keaiban dan kekurangan kawan. Larangan buruk sangka. Tenteramkan hati
mereka ketika ditimpa musibah, sakit dan keuzuran. Menghargai kawan dan
sentiasa nasihat menasihati atas perkara kebaikan dan takwa. Jangan menzalimi
kawan atau melampau batas dalam setiap urusan. Jangan jadi pendendam kepada
kawan. Sebaiknya betulkan kesalahan kawan. Berkasih sayang kerana Allah.
Lindungi kawan dari kesukaran dengan bantuan. Bersama-sama suka dan duka.
HUBUNGAN
SOSIAL
INDIVIDU
1. Pengurusan Diri
Individu
muslim mempunyai cara dan gaya hidup yang tersendiri dan istimewa yang
membezakannya dengan individu yang bukan Islam. Mereka berbeza dari sudut
fesyen, tingkahlaku, dan usaha sehingga menjadikan mereka contoh tauladan
terbaik untuk manusia. Seorang muslim yang sejati tidak tergamak membiarkan
dirinya tidak kemas, tidak terurus, gaya yang buruk, keadaan yang kotor, comot,
tidak mempedulikan aspek lahiriah, memakai pakaian yang busuk dan kotor. Semua
ini sangat dibenci dan dilarang oleh Islam. Ini kerana bentuk, gaya, fesyen
yang teratur, kemas dan indah melayakkan dirinya memgang amanah Allah sebagai
khalifah. Individu muslim harus bertindak secara seimbang antara kehendak
jasmani, akal dan spiritualnya. Tidak ekstrim pada yang satu dan mengabaikan yang
satu lagi.
a. Jasmani:
Menjaga
kesihatan dengan bersederhana dalam makan minum. Makan makanan yang bersih dan
halal. Jangan sama sekali pelahap dan tamak. Makan dan minum sekadar untuk
memelihara kesihatan, tenaga dan kecergasan. Jauhkan diri dari perkara yang
memabukkan dan mengkhayalkan. Tidur awal pada waktu malam dan bangun awal pagi.
Mengambil ubat ketika sakit sahaja. Menjauhi perkara yang boleh melemahkan dan
membinasakan badan seperti berjaga malam dan tabiat buruk yang lain. Melakukan
senaman yang sesuai dengan jasmani, umur dan status sosial. Mengatur senaman
pada waktu yang sesuai dan dilakukan secara sederhana. Memastikan tubuh badan
sentiasa bersih, sering mandi, memakai bau-bauan wangi. Bersih pakaian. Tidak
redha melihat pakaiannya kotor dan berbau busuk.
Menjaga kesihatan mulut dengan menggosok gigi
ketika hendak tidur dan selepas bangun dari tidur dengan siwak atau berus gigi.
Jika perlu berjumpa doctor gigi. Muliakan kepala dengan membersihkan rambut,
melumur minyak dan menyikatnya agar terurus. Sentiasa memeriksa diri sebelum
keluar rumah bertemu dengan orang lain supaya kemas tetapi sederhana dan tidak
berlebih-lebihan. Orang akan melihat diri kita sedap mata memandang dan
memberikan pujian. Pakai pakaian yang elok, menutup aurat dan cantik. Sentiasa
memelihara kuku, misai, rambut dan bulu ketiak supaya bersih dan pendek.
b. Akal:
Memelihara
akal dengan menuntut ilmu pengetahuan. Selagi hidup teruskan usaha menuntut
pelbagai ilmu agama dan dunia walaupun di mana dan dengan sesiapa jua. Orang
yang berilmu mendapat kemuliaan Allah, lebih takwa dan mengetahui kebesaran
Allah.
c. Jiwa:
Individu
mesti menyedari jiwanya merangkumi roh, nyawa dan hati sentiasa mencari
kebenaran dari Tuhannya (Allah). Justeru itu sucikan jiwa dengan amal ibadah
siang dan malam tanpa putus. Sedar tentang godaan syaitan laknat dengan memohon
hidayah dan keampunan dari Allah. Melaksanakan segala aktiviti ibadah dengan
taat dan khusyuk. Sentiasa berzikir, bertasbih, bertahmid mengingati Allah.
Menghadiri majlis-majlis ilmu keagamaan untuk menambah pengetahuan mengenai
kebesaran Allah serta berupaya menjernihkan jiwa melalui kemanisan iman.
Memilih kawan-kawan yang salih dan kuat ibadah supaya dapat membentuk suasana
persekitaran yang membina jiwa dengan kemurnian iman. Jauhi suasana maksiat dan
dosa yang menggelap gelitakan jiwa. Sentiasa memastikan hidup dipenuhi dengan
doa memohon perlindungan, kesihatan, rezeki, iman dan petunjuk.
2. Pengurusan Masa
"Demi masa. Sesungguhnya manusia
itu berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal salih
serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran". (al-Asr:
1-4)
Kata pujangga masa adalah emas kerana terlalu berharga. Masa tiada
galang ganti yang setara. Masa tidak boleh dibeli dan tidak dijual. Berusaha
mendapatkan masa yang telah berlalu dengan menukar emas sebagai ganti adalah
suatu yang mustahil. Tidak cukup dengan itu masa juga ibarat pedang tajam yang
sentiasa memotong. Andai kita gagal merancang dan memikirkan pengurusan masa,
pedang masa itu akan memancung dan memotong serta menghancur lumatkan kehidupan
kita. Sebenarnya hakikat masa itu adalah satu bentuk amanah kehidupan dari
Allah yang tidak akan kembali. “Masa
itu emas”. “Masa itu kekayaan”. Masa mesti diurus dengan
baik. Kesedaran tentang masa dan perubahannya boleh memanfaatkan kehidupan.
Individu akan rugi hidupnya jika ia lalai tentang mada dan tidak memelihara
disiplin masa. Jangan membuang masa dan tidak menghargai masa yang ada. Jangan
bazirkan masa dengan hiburan dan bersiar-siar sebaliknya penuhinya dengan
belajar, bekerja dan melakukan amal salih. Masa tidak boleh diganti dan ia akan
berjalan terus tanpa henti sehingga individu itu menjadi tua dan mati. Sembahyang
merupakan pendidikan positif menjadikan kehidupan individu lebih teratur.
Kewajipan sembahyang lima kali dalam tempoh 24 jam, individu tentu dapat
memerhatikan perjalanan masa dan selalu sedar tentang perubahan masa.
Ibn Sina
hanya berusia 58 tahun ketika kematiannya tetapi manusia yang kaya dengan ilmu ini
pernah berdoa; “Ya Allah! Berikanlah
kepadaku hidup walaupun hidup itu tidak panjang, tetapi penuh erti dan
manfaat”. Kebolehan mengurus masa penting bagi setiap individu untuk
Berjaya dalam hidup. Ia perlu tahu masa bila ia sepatutnya belajar, beriadah, tidur,
menonton televisyen, solat dan sebagainya.
Individu
yang berjaya mesti mempunyai sistem jadual yang sendiri dan ketat. Mereka
mematuhi jadual kerana jadual boleh mendisiplinkan kehidupan supaya menjadi
lebih berfokus dalam mengejar matlamat hidup. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24
jam. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya akan
memberi faedah hanya kepada merka yang pandai mengurus masa.
Rasullulah s.a.w berpesan: “Bersedialah;
Masa hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin dan senang sebelum susah.” Sebagai
individu yang sedang di alam pendidikan, individu itu sepatutnya membuat persediaan masa belajar di peringkat awal bagi memudahkan
menghadapi peperiksaan pada peringkat akhir.
Sebelum dapat mengurus masa
dengan bijak, terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan
individu kehilangan masa dengan cara yang tidak berfaedah iaitu; keluarga, rakan-rakan,
aktiviti yang tidak berfaedah, pengaruh media massa dan sikap. Oleh itu setiap
individu sepatutnya; membuat senarai semua aktiviti yang dijalankan dalam satu
hari, susun aktiviti berdasarkan kepentingannya, elak menyenarai aktiviti yang
tidak berfaedah, agih masa untuk setiap aktiviti, buat jadual aktiviti dengan
peruntukkan masa, disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah tetapkan
dan jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminggu.
Masa tidak diukur
melalui kuantitinya tetapi kualitinya. Bukan lama atau singkat, panjang atau
pendeknya tetapi bergantung pada bagaimana ia diurus. Individu perlu tahu;
·
Masa berkait rapat dengan kehidupan seharian.
·
Masa yang berlalu akan dihitung di hadapan Allah.
·
Optimumkan masa dengan mengambilkira faktor kemampuan dan tenaga.
Islam adalah agama yang
meletakkan pengurusan masa sebagai teras kecemerlangan. Ibadat dalam Islam amat
berkait rapat dengan masa. Orang yang cemerlang di dunia dan terbilang di
akhirat adalah orang yang mencontohi baginda dalam menguruskan masa seharian.
Rasulullah tidak akan membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa ada peningkatan
dari segi kualiti ketakwaan dan peningkatan mutu pekerjaan. Baginda
mengingatkan bahawa, masa adalah amanah yang akan dipersoal kelak pada hari
kiamat maksudnya; Tidak akan berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat
sehinggalah ditanya tentang empat perkara. Umurnya ke mana dihabiskan. Masa
mudanya ke mana digunakannya. Hartanya dari mana diperolehi dan ke mana
digunakannya dan tentang ilmunya apa yang diperbuat
dengannya.
Dalam persoalan pengurusan
masa, sama ada di peringkat pekerja mahupun pelajar kita tidak dapat lari dari
membincangkan sifat masa. Masa akan terus berdetik dan berlalu tetapi tidak
akan kembali. Masa yang berlalu tidak boleh dicari ganti. Masa amat pantas
bergerak meninggalkan manusia tanpa menunggu kita sehinggalah apabila hampir
menjelang hari kiamat masa sehari berlalu bagaikan satu percikan api atau
sesaat sahaja. Satu sikap yang wajar dibuang ialah sikap suka menangguh.
Hayatilah nasihat Sayidina Ali kepada gabenor Mesir yang baru dilantik “Janganlah
engkau berlengah-lengah lagi apabila sudah tiba masa untuk melakukannya”.
Sikap bertangguh masa boleh menjejaskan produktiviti.
MASYARAKAT
1. Perpaduan, Keadilan dan Tanggungjawab.
Islam
menghendaki umatnya berpegang teguh dengan ajaran Islam dan memperkukuhkan
hubungan persaudaraan sesama meraka. Jika mereka berpecah belah, mereka bakal
ditimpakan kehinaan dan menjadi lemah dalam semua segmen kehidupan. Islam
menghendaki manusia menyedari betapa mereka dari asal-usul yang sama iaitu Adam
dan Hawa. Oleh itu mereka harus mengelakkan perbalahan, pertelingkahan dan
permusuhan yang bukan hanya menjerumuskan kehidupan kepada kemusnahan dan
kematian tetapi juga menghapuskan kepercayaan satu sama lain mengenai
nilai-nilai kebaikan. Islam tidak menganggap perbezaan darjat, pangkat, bangsa,
budaya, warna kulit, kelas dan bahasa sebagai faktor perpecahan. Faktor-faktor tersebut
harus digembeling untuk menjadi punca interaksi dan komunikasi positif sesama
manusia.
Perbezaan
ini menurut Islam merupakan rahmat alam dan bukti kebesaran Allah Maha
Pencipta. Islam meraikan perbezaan ini tetapi mesti mengakui ketuhanan Allah S.W.T.
dan kerasulan Muhammad s.a.w. Tidak ada kasta sosial dalam Islam kerana yang
paling mulia ialah mereka yang patuh takwa melaksanakan perintah Allah. Islam
melihat kepada ketakwaannya jika ia orang Islam dan dan dari segi kemanusiaan
jika ia orang bukan Islam. Islam berusaha untuk menggelakkan pertelagahan dan
pergeseran sesama manusia kepada kehidupan yang penuh dengan sifat mengenali
antara satu sama lain, kebaikan, kasih sayang, ambil berat, hormat menghormati,
toleransi, tolong menolong dan sebagainya.
Islam
mengajar kita mengenai universalism atau kesejagatan. Manusia diminta supaya
menganggap segala yang ada sebagai makhluk Allah, menggelakkan kezaliman,
mewujudkan hubungan yang bermakna antara manusia. Inilah kebudayaan Islam yang
berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Ia menggalakkan manusia hidup aman damai
antara orang Islam dan orang yang bukan Islam atas dasar bekerjasama untuk
kebaikan dan menolak keburukan. Islam mencipta masyarakat manusia yang merdeka
dengan penghayatan prinsip kebebasan dan persamaan serta mengenepikan
penindasan dan sekatan. Masyarakat bebas melakukan apa sahaja selama mana tidak
melanggar ketentuan syariat Allah.
Masyarakat
Islam yang hendak diwujudkan ialah masyarakat yang tidak dibelenggu oleh
perasaan dendam dan dengki kerana perasaan itu muncul mungkin akibat kezaliman
sosial dan perlakuan buruk sebahagian orang terhadap sebahagian yang lain. Atau
mungkin juga akibat dari faktor luar yang cuba memecahbelahkan masyarakat
dengan membakar api pertarungan antara kelompok. Masyarakat Islam tidak
mengutamakan fanatik nasionalis atas persaudaraan Islam. Tidak juga memusuhi
orang Islam dan mencintai musuh Islam. Perpaduan dalam Islam mampu
menggembeling kerjasama, menjana kekuatan dan menutup kelemahan. Islam membenci
perpecahan tetapi menganjurkan perpaduan.
NEGARA
Perlembagaan
Negara Malaysia
Digubal
oleh Sir Lord Reid dan Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell
(Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan) dengan
mendapatkan maklum balas dari Raja-raja Melayu, parti politik, orang ramai dan
individu.
1. Perkara 152
Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan
bahasa rasmi negara termaktub dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152 (1a),
Fasal (3) dan ianya diperuntukan lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
dalam Seksyen 2 dan Seksyen 6. Namun demikian tiada larangan untuk mempelajari
dan menggunakan bahasa-bahasa yang lain. Penggunaan Bahasa Melayu adalah
sebagai penghubung masyarakat pelbagai etnik dan budaya kerana penggunaan
pelbagai bahasa yang tidak difahami boleh mencetuskan konflik. Bahasa Melayu
menjadi Lingua-Franca di Alam Melayu kerana penggunanya yang ramai dari Acheh
hingga ke Irian Jaya bahkan hingga ke Malagasi, Afrika Selatan dan Sri Lanka.
Penuturan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
bertujuan untuk mewujudkan perpaduan di kalangan warganegara dan mempunyai
fungsi yang simbolis. Perlaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bermaksud
penggunaan bahasa tersebut dalam semua urusan terutama urusan pentadbiran
negara. Walaupun pada hari ini Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dan
bahasa rasmi negara, sejauhmanakah hak ini dilaksanakan. Penggunaan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi terutama sekali di
Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) kian hari kian dipinggirkan. Kesalahan
berbahasa di kalangan masyarakat kian ketara kerana wujudnya kejahilan tentang
penuturan menggunakan bahasa Melayu dengan betul di kalangan penuturnya
merupakan perkembangan yang tidak sihat kepada bahasa Melayu.
2.
Perkara 153
Memperuntukkan
kepada Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kedudukan atau hak istimewa orang
Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan etnik-etnik lain. Orang
Melayu dan Bumiputera dilindungi oleh Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 153
sebagai peneraju dan pemilik Negara ini. Ia meliputi jawatan perkhidmatan awam,
biasiswa, bantuan, pendidikan, lessen, permit dan sebagainya.
Oleh itu keseimbangan
peluang dan kekayaan serta kemakmuran negara dapat dinikmati secara menyeluruh
dan kepentingan etnik yang lain juga tidak dinafikan. Ini kerana pejuang Melayu
dan Bumiputera Sabah dan Sarawak banyak berjasa mencetuskan semangat kemerdekaan
menentang penjajahan dan menyokong institusi kenegaraan.
2. Rukun Negara
Digubal
pada 31 ogos 1970 dengan tujuan untuk memupuk integrasi nasional dan semangat
perpaduan antara etnik setelah peristiwa berdarah 13 mei 1969 yang antara lain
disebabkan oleh jurang perbezaan yang ketara antara orang melayu dengan
etnik-etnik yang lain. Rukun Negara mewujudkan jati diri Malaysia untuk memacu
pembangunan Negara. Ia mengandungi 5 prinsip iaitu;
i.
Kepercayaan kepada Tuhan (kehidupan beragama)
ii.
Kesetiaan kepada raja dan Negara (Raja sebagai lambang perpaduan)
iii.
Keluhuran perlembagaan (Undang-undang tertinggi yang dipatuhi)
iv.
Kedaulatan undang-undang (Rakyat diperakui hak dalam perundangan)
v.
Kesopanan dan kesusilaan (Rakyat dikehendaki berakhlak mulia)
3. Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan adalah tonggak kepada perubahan/ transformasi individu,
masyarakat dan juga negara. Sistem pendidikan yang berkesan memberi impak
kepada perubahan pemikiran, kecenderungan, cita-cita dan perubahan manusia.
Reformasi pendidikan di Malaysia telah dilakukan sejak merdeka dan sentiasa
dipertingkatkan. Di antara dasar yang digunapakai dalam pelan pendidikan negara
ialah Laporan Razak 1956 dan Laporan Abdul Rahman Talib 1961 yang menumpukan usaha
untuk perpaduan kaum dan menghasilkan tenaga manusia profesional. Demikian juga dengan pengenalan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah 1980 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.
Refomasi
Pendidikan yang yang berlaku pada tahun 1988 dari aspek kurikulum
merupakan reformasi yang penting kepada sistem pendidikan negara kerana ia
menyentuh perkara-perkara asasi dalam kehidupan insan. Di antara perubahan yang
berlaku ialah wujudnya Falsafah Pendidikan Negara iaitu;
”Pendidikan di
Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk menjadikan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran Negara”.
Dasar Pendidikan juga menekankan aspek Pendidikan
Islam. Berdasarkan kepada Laporan Razak
1956, kerajaan telah mewajibkan mata pelajaran Agama Islam di semua sekolah kerajaan
dan swasta. Akta Pelajaran 1961 yang dikuatkuasakan pada tahun 1962 menetapkan
bahawa pelajaran Agama Islam telah dimasukkan sepenuhnya dalam jadual waktu
pelajaran biasa kepada murid-murid beragama Islam di sekolah rendah dan
menengah bantuan kerajaan selama 2 jam seminggu (120 minit) dan guru-gurunya
dilantik oleh kementerian pelajaran untuk mengajar matapelajaran tersebut.
Sistem pendidikan
mula diperkenalkan di kalangan masyarakat Melayu secara tidak formal di rumah,
surau, masjid, pondok dan madrasah. Tumpuan khusus adalah untuk mengenal huruf
dan mampu membaca serta akhirnya boleh menulis. Kemudian wujud Sekolah Melayu
yang mengajarkan pendidikan akademik dan Sekolah Agama Petang yang mengajarkan
al-Quran dan ilmu-ilmu keagamaan. Sistem pendidikan Melayu-Islam yang formal
bemula dengan Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran Seterusnya
pengenalan KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah) 1982 dan KBSM (Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah) 1988 yang menumpukan usaha untuk mewujudkan masyarakat
yang bersepadu, berdisiplin dan terlatih.
CABARAN
APLIKASI HUBUNGAN SOSIAL
Masyarakat
Melayu-Islam di Malaysia yang selama ini hidup bersendikan ajaran Islam seperti
persaudaraan, berpegang kepada adab, kebenaran, persamaan dan sebagainya yang
serba sedikit bercampur dengan budaya setempat mulai mengalami perubahan
struktur akibat dari cabaran dalaman dan cabaran yang dating dari pihak luar.
1. Individualistik
Individu
dilarang Islam daripada menyendiri dan mementingkan diri sendiri. Sikap ego,
bongkak dan takbur merupakan kesan dari individualistic. Individu sepatutnya
melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ziarah, gotong royong,
sembahyang berjemaah dan sebagainya. Ini dapat menonjolkan bahawa ia adalah
sebahagian dari ahli masyarakat. Melalui pergaulan positif yang dijalinkan
bersama ahli masyarakat akan mendedahkan kita kepada kepentingan perpaduan,
bekerjasama dan faham memahami. Ini juga untuk menghidupkan semangat kejiranan.
Individu juga digalakkan menjadi penggerak masyarakat ke arah melahirkan
komuniti yang berkualiti.
2. Materialistik
Pergaulan
bebas tanpa batas kesopanan, pendedahan aurat dan perzinaan berlaku secara
berleluasa. Pusat dan taman hiburan (Amusement
Park) seperti menyediakan peluang bagi kegiatan seks bebas dan pesta
maksiat. Kes khalawat dan perzinaan menyebabkan antara lain kenaikan drastic
kadar kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi lantas menunjukkan
kerendahan moral masyarakat. Artis yang menjadi idola peminat gagal menunjukkan
model yang baik kerana mereka sering dikaitkan dengan unsur-unsur yang tidak
selari dengan Islam.
Budaya
hedonism (seronok) seperti pengamalan budaya hiburan, rock, rap, boros dan
hidup mewah. Mereka berhibur sehingga lupa terhadap tanggungjawab agama dan negara.
Kadangkala bentuk hiburan songsang ini diorganisasikan dengan tersusun di
setiap malam minggu ataupun atas nama pertandingan tertentu ataupun uji bakat
tertentu. Muzik rock dan rap ala-Amerika yang penuh dengan aksi tidak bermoral
penyanyi dan pemuziknya serta budaya hidup boros dan mewah kalangan tertentu
bagi mengikut selera kehidupan metropolitan tanpa mengikut keperluan.
3. Anti sosial
Ada kalangan
ahli masyarakat yang sanggup melakukan sesuatu tindakan untuk memecahbelahkan
masyarakat dengan memfitnah, mencerca, menghina, memukul dan seumpamanya
sehingga mencetuskan kekacauan dan menghancurkan keamanan. Sebarang
perselisihan boleh diatasi di meja perundingan tanpa pertumpahan darah dan
kecederaan serta kemusnahan harta benda. Terdapat juga kalangan masyarakat yang
menjadi perosak kemudahan awam seperti papan tanda, pondok menunggu bas,
telefon awam, lif, wayar elektrik, kabel telefon, laman web kerajaan dan
sebagainya.
Mereka tidak
menghargai harta awam bahkan memusnahkannya dengan tujuan ingin berseronok,
mencari kepuasan, inginkan perhatian terpengaruh dan meluahkan tekanan perasaan
yang dihadapi. Sebenarnya beban anti sosial ini akan kembali kepada setiap
rakyat kerana kerajaan akan membaik pulih kemudahan itu dengan menggunakan wang
rakyat dari kutipan cukai ataupun kerajaan akan mengurangkan peruntukan untuk
perbelanjaan pembangunan yang lain.
4.
Globalisasi
Dunia
diumpamakan sebagi suatu “kampong kecil”, “dunia tanpa sempadan” apabila semua
maklumat boleh diperolehi dengan menyeluruh dan pantas dengan menggunakan
teknologi komputer, komunikasi dan multi media. Barat ingin meneruskan hegemoni
mereka terhadap dunia Timur khususnya Dunia Islam yang pernah dijajahnya
melalui penonjolan beberapa isu seperti hak asasi manusia, demokrasi, ekonomi
bebas, sains, teknologi dan budaya sejagat. Keadaan ini boleh melemahkan
pegangan terhadap nilai-nilai hidup Islam dan sekaligus menjejaskan hubungan
sosial masyarakat Islam.
Pendedahan
berterusan instrument multi media dan internet secara global tanpa sempadan dan
had menjadikan maklumat yang negatif seperti pornografi, ajaran sesat, khurafat
dan amalan yang melanggar norma-norma agama begitu cepat dan mudah tersebar.
Akibatnya masyarakat Islam meniru amalan seperti budaya lepak, fesyen up-to-date dan bentuk pemikiran simplistic (ambil mudah) terhadap agama.
Iklan produk bukan setakat memperkenalkan produk baru tetapi juga gaya hidup baru yang merosakkan
seperti dalam iklan Coca-cola, Seven-up, Nescafe, Hotlink dan sebagainya dengan
imej perempuan seksi dan lelaki daring.
As salam..bley ana tnye satu soalan?
ReplyDelete