KONSEPSI ISLAM SEBAGAI
SUATU CARA HIDUP (AL-DIN)
- Pendahuluan
Persoalan agama telah
menjadi tema perbincangan pelbagai pihak khususnya dari kalangan ahli
sosiologi, antropologi dan sains untuk melihat asal usul agama, kandungannya
dan keperluan manusia kepadanya. Mereka cuba mengkaji hakikat kejadian
manusia dan apakah kesudahan bagi kehidupan manusia. Namun tidak dapat
menemukan jawapan konkrit yang dapat dipertanggungjawabkan. Al-Quran sebagai
wahyu Allah dan sumber utama Islam telah memberikan jawapan kepada semua
persoalan tersebut dan telah menegaskan bahawa Islam adalah agama dari Allah
dan agama yang benar untuk panduan hidup manusia.
- Manusia
dan Agama
Manusia sering membuat
kajian siapakah dirinya yang sebenar. Namun jawapannya tidak pernah memuaskan
hati mereka sendiri kecuali jawapan itu datang dari pencipta manusia itu
sendiri. Menurut Islam, manusia dijadikan Allah sebagai makhluk yang paling
sempurna yang tiada tolok bandingnya dengan makhluk yang lain. Manusia berasal
dari Nabi Adam a.s. sebagai manusia yang pertama dan diciptakan Allah dari unsur-unsur
tanah. Kemudian Allah meniupkan roh ke tubuh Adam dan jadilah Adam sebagai
makhluk yang mempunyai dan unsur iaitu roh dan jasad atau spiritual dan
fizikal.
Proses kejadian manusia seterusnya
bermula dengan proses yang berperingkat-peringkat; air mani (nutfah), segumpal
darah (alaqah), segumpal darah yang sempurna (mudghah), tulang
dan daging. Kejadian Adam daripada tanah disempurnakan apabila Allah meniupkan
padanya roh yang membolehkan Adam bernafas dan hidup. Bentuk manusia yang
sempurna dan indah dari segi fizikal dan spiritual ini adalah kejadian makhluk
yang tiada tandingannya jika dibandingkan dengan kejadian makhluk-makhluk yang
lain sehingga pada suatu keadaan ia mengundang perasaan dengki iblis dan
dendamnya untuk memusnahkan anak cucu Adam a.s.
Walaupun manusia
dianugerahi Allah akal namun akal mempunyai kelemahan iaitu kemampuan yang
terbatas dan relatif, tidak dapat membezakan perkara (nilai) baik dan
buruk dengan tepat, mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu mementingkan
diri sendiri, tidak mampu mengetahui secara tepat tentang masa depan.
Kedudukannya sebagai hamba Allah iaitu makhluk yang dicipta Allah membawa
pengertian bahawa manusia perlu patuh, taat dan menyerah diri kepada Allah
sebagai penciptanya secara total dalam kehidupannya. Inilah yang dinamakan
konsep manusia sebagai khalifah di muka bumi. Ia mempunyai tanggungjawab yang
perlu dipenuhi dan dibekalkan dengan segala persediaan yang rapi.
Agama dapat menyelamatkan
manusia dari kelemahan manusia ini dan berupaya menjadikan manusia yang baiki
keperibadiannya Agama dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan kerana akal
manusia dan pengalamannya yang terbatas. Tidak dapat memahami hakikat Tuhan,
perkara alam ghaib dan sebagainya. Beragama merupakan fitrah manusia dan
menjadi salah satu daripada ciri-ciri ketamadunan manusia. Fitrah beragama
mendorong manusia melakukan sesuatu yang mulia dan meninggalkan sesuatu yang
buruk sesuai dengan kehendak kepercayaan beragamanya. Agama sebagai manusia
meletakkan pengharapan dari hambatan cabaran hidup dan manusia mencari panduan
untuk kehidupan. Manusia dalam perjalanan hidupnya ingin mencari Tuhannya dan
menuju kembali kepada ketuhanan iaitu agama. Fitrah ini wujud dalam diri manusia
secara tetap. Maksud firman Allah;
“Sekiranya
kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Tentu
mereka akan mengatakan; Allah”. (Luqman: 25)
Dalam perjalanan hidup
dunia ada manusia yang terlupa akan fitrah ini tetapi ia akan muncul kembali
ketika mana manusia terbelenggu dengan kehidupan yang penuh dengan kesukaran,
kesedihan, malapetaka dan sebagainya. Ketika ini manusia secara spontan akan
menyebut tentang Tuhan dan agama lantas memohon bantuan Tuhannya. Justeru itu
manusia memerlukan agama kerana;
·
Agama merupakan fitrah
manusia
·
Mengawal kemurnian
kepercayaan
·
Keselamatan jiwa dan
ketenteraman hidup
·
Kejahilan manusia untuk memahami hakikat kehidupan
·
Kelemahan akal manusia untuk mencipta panduan hidup
·
Membentuk masyarakat dan negara yang sistematik
Dalam hal ini, Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam
memberi panduan kepada manusia untuk memenuhi fitrah hidupnya dengan panduan
yang positif seperti cara berfikir, berpakaian, makan, minum, berkahwin, bersosial,
berekonomi dan bernegara. Agama merupakan unsur yang mampu menyempurnakan
kehidupan manusia. Islam mengajarkan tentang kesedaran sejagat, perhubungan
yang bermakna bagi hubungan sesama manusia dan hubungan hidup manusia dengan
alam tabie yang luas. Sebab itu tafakur tentang alam tabie atau
bahagian-bahagiannya kerap dianjurkan oleh al-Quran.
”Tidakkah mereka memerhatikan unta bagaimana ia
diciptakan? Dan langit bagaimana ia dihamparkan?”. (al-Ghasiyah: 17-20)
2.1 Definasi Agama
Menurut Kamus Dewan, agama ialah kepercayaan kepada Tuhan dan
sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya.
Perkataan agama berasal dari bahasa sanskrit. Dalam bahasa Inggeris disebut religion.
Perkataan agama selalu digunakan sebagai menggambarkan hubungan manusia dan
Tuhan dalam bentuk kepercayaan dan amalan khas yang tertentu.
- Definasi al-Din
Al-Din ialah sistem
hidup atau cara hidup Islam merupakan sistem hidup yang benar dijadikan Allah untuk
panduan hidup manusia bagi membantu mereka untuk mendapatkan kesejahteraan hidup
di dunia dan di akhirat. Skop al-Din lebih luas dari skop agama kerana
ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia; spiritual dan material, dunia
dan akhirat, individu dan masyarakat.
Islam sebagai al-Din bermaksud tiada pertentangan atau pemisahan di
antara Islam dengan seluruh aspek kehidupan manusia. Ia adalah sistem hidup
yang sempurna kerana dicipta oleh Allah Yang Maha Sempurna. Islam sebagai al-Din
ialah agama yang benar yang menyelamatkan manusia, kerana perkara-perkara
berikut;
·
Islam memberikan kepada manusia huraian tentang perhubungan yang tepat
antara manusia, Tuhan dan alam semesta.
·
Islam memberikan manusia kaedah perlaksanaan tugas rohaniah demi untuk
menjadikannya berjaya sebagai makhluk rohaniah serta hubungannya dengan Tuhan
yang menjadikannya. Kebahagiaan hidupnya terletak pada perlaksanaan tugas
rohaniah yang murni.
·
Islam dan budayanya membantu manusia dalam menentukan keutamaan dalam
dirinya dan dalam kehidupannya. Inilah yang menjayakan kejayaan dalam diri dan
masyarakat serta peradaban yang didokongnya.
·
Islam dan budayanya memberikan manusia aturan-aturan kehidupan yang lengkap
dari masalah yang paling kecil hingga kepada masalah yang paling besar melalui
sistem syariat yang puncanya adalah transenden (melangkaui), berbeza dari undang-undang
ciptaan manusia yang tidak boleh mencapai penghormatan sebagaimana yang diperolehi
oleh Islam yang transenden.
Islam bukan agama yang keluar dari kekosongan. Ia keluar dari mata air yang
bersih. Mata air itu adalah masyarakat Islam itu sendiri yang individu di
dalamnya melaksanakan kehidupan secara islami. Antara perkara penting yang
perlu dilakukan sekarang ialah semua orang Islam menyedari kedudukan tradisi
Islam mereka sendiri serta ciri-cirinya dan kepentingan untuk mereka beriltizam
dengan Islam.
- Definasi Islam
Bahasa
Dari segi bahasa Islam berasal dari perkataan Salam yang bererti damai,
suci,
sejahtera dan menyerah.
Istilah
Dari segi istilah
syarak, Islam ialah kepatuhan terhadap kehendak Allah, mentauhidkan-Nya dan
patuh taat terhadap peraturan dan ajaran-Nya. Peraturan dan ajaran Allah ini
adalah bermanfaat dan menjadi penyelamat kepada manusia. Islam datang dari
Allah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nama Islam sendiri diberi oleh Allah.
”Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”. (Ali Imran: 19)
“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan ke atas kamu
nikmat-Ku dan Aku redhakan untuk kamu Islam sebagai al-Din”. (al-Maidah: 3)
Islam tidak dicipta oleh Nabi Muhammad sebagaimana
tohmahan segelintir orientalis menggelar penganut Islam sebagai Muhammedan dan
Islam sebagai Muhammedanisme iaitu ajaran Nabi Muhammad. Oleh itu Islam
bukan berasal dari nama seorang tokoh seperti agama Buddha dari Siddartha
Gautama Buddha dan agama Kristian dari tokoh bernama Jesus Christ ataupun
sempena nama tempat yang suci seperti agama Hindu dari nama Lembah Indus ataupun
nama suatu bangsa seperti agama Yahudi.
- Skop
Ajaran Islam
Islam sebagai al-Din
merangkumi dua dimensi utama iaitu; hubungan manusia dengan Allah dan hubungan
manusia dengan kehidupan dunia. Dua dimensi ini saling berkaitan, sepadu dan harmonis dalam Sistem Asas
Islam dan Sistem Hidup Islam. Dengan pengertian apabila seseorang melaksanakan
konsep akidah Islam dalam masa yang sama ia terkesan juga dalam bidang ekonomi,
politik dan sosial iaitu satu kesedaran bahawa Allah menyediakan metod
kehidupan dan sentiasa memerhati bagaimana manusia melaksanakan kehidupannya
sama ada betul atau pun salah. Oleh yang demikian jangkauan skop ajaran Islam
adalah seluas aspek kehidupan manusia
itu sendiri.
Sistem Asas Islam
- Akidah
Merupakan kepercayaan
yang tersimpul kukuh dalam jiwa mengenai hakikat dan nilai-nilai yang mutlak,
tetap, pasti dan suci. Ia berteraskan akal dan perasaan yang berpandukan wahyu.
Ia bertunjangkan keimanan kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Akidah
mendorong manusia bertindak selaras dengan kepercayaannya sebagai motivasi
dalam kehidupan. Akidah menjadikan manusia bersifat takwa, ikhlas dan ihsan. Ia
merupakan ikatan kukuh antara manusia dan Allah. Fokus utama akidah ialah
kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta Qada’ dan
Qadar.
- Syariah
Merupakan panduan, peraturan, sistem, hukum yang ditetapkan Allah untuk
mengatur kehidupan manusia secara individu, seperti; bersuci (Toharah),
sembahyang, puasa, zakat dan haji; meliputi juga urusan individu yang berkaitan
dengan masyarakat seperti; perkahwinan (Munakahat), pewarisan (Warathah);
dan juga urusan kenegaraan seperti; perniagaan, pemerintahan, jenayah,
persoalan antarabangsa dan sebagainya.
Syariah memberi panduan kepada tingkahlaku perbuatan manusia berupa kaedah
ibadah khusus dan juga ibadah umum sebagai latihan jasmani dan rohani manusia
supaya dapat memakmurkan dunia ini dengan kebijaksanaan dan kebaikan. Syariah
juga menetapkan sesuatu perkara itu sebagai wajib, sunat, batal, haram, halal,
makruh dan harus.
- Akhlak
Islam menawarkan sistem akhlak yang lengkap yang menyusun tingkahlaku
manusia dari segi zahir dan batin. Akhlak ialah sifat yang tertanam dalam jiwa
melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia secara spontan. Islam mengajarkan
tentang kebaikan akhlak dan menjauhi akhlak yang buruk. Akhlak menentukan watak manusia sama ada baik atau pun
jahat. Watak manusia bakal mewarnai kehidupan dunia sama ada bahagia ataupun
derita. Tujuan perutusan Rasulullah juga adalah untuk kesempurnaan akhlak yang
baik bagi manusia. Semua aspek kehidupan manusia mempunyai panduan akhlak.
Manusia yang tidak berakhlak baik bakal menjerumuskan kehidupan kepada
persengketaan, ketegangan fikiran dan kehancuran. Akhlak dalam Islam merangkumi
pelbagai dimensi seperti;
·
Perkara berkaitan dengan individu.
Rohani atau jiwa ada perasaan dan potensinya. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa dan
sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”.
Jasmani ada keperluan yang perlu dipenuhi. Maksud firman Allah;
”Makan dan minumlah kamu, tetapi jangan berlebih-lebihan”.(al-A’raf: 31)
Akal ada bakat dan lapangannya yang istimewa. Maksud firman Allah;
”Katakanlah: Sesungguhnya aku hendak memperingatkan
kepada kamu satu perkara sahaja iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan
ikhlas) berdua-dua atau bersendirian kemudian kam fikirkan”. (Saba’: 46)
·
Perkara berkaitan dengan keluarga
Perhubungan suami isteri atas dasar saling
hormat-menghormati, kasih-sayang, bertanggungjawab dan menjalankan peranan
masing-masing. Maksud firman Allah;
”Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila
kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mngkin kamu tidak menyukai
sesuatu. Padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”. (al-Nisa’: 19)
Perhubungan anak dan ibu bapa. Anak dilarang dari
menyakiti dan menyusahkan ibubapa. Ibu bapa dikehendaki memberi nafkah, menjaga
kebajikan dan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.
”Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya”. (al-Ahqaf: 15)
Perhubungan antara kaum kerabat dan sanak saudara dengan penuh kebaikan
atas perasaan ambil berat dan tanggungjawab. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat
kebajikan dan membantu kaum kerabat”.
(al-Nahl: 90)
·
Perkara berkaitan dengan masyarakat
Adab sopan dalam pergaulan. Menghormati antara satu sama lain. Maksud firman Allah;
”Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu
sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu
lebih baik bagi kamu, agar kamu selalu beringat”. (al-Nur: 27)
Amanah dalam kegiatan ekonomi. Saling bekerjasama untuk
memenuhi segala keperluan antara satu sama lain lebih utama dari meraih keuntungan.
Maksud firman Allah;
”Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang iaitu mereka
yang apabila menerima tukaran dari orang lain, mereka meminta dipenuhi. Dan
apabila mereka menukar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi”. (al-Muthaffifin: 1-3)
Adil dalam politik dan pemerintahan. Kehidupan rakyat
akan lebih terjamin dan harmonis jika pemerintah amanah dan bertanggungjawab. Maksud
firman Allah;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada
yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukuman di antara
manusia supaya menetapkannya dengan adil”. (al-Nisa: 58)
·
Perkara berkaitan dengan makhluk yang tidak berakal
Hendaklah melakukan kebaikan. Maksud firman Allah;
”Peliharalah dirimu dari siksa Allah yang berkenaan
dengan binatang-binatang yang tidak boleh bercakap. Tunggangilah ia dengan cara
yang baik dan makanlah ia dengan cara yang baik”. (Hadith)
·
Perkara berkaitan dengan alam raya
Tafakur mencari kebenaran. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya
malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang yang
mengingati Allah sambil berdiri dan duduk serta dalam keadaan berbaring, dan
mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata; Wahai Tuhan
kami! Tidak Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau”. (Ali Imran: 190-191).
Sistem Hidup Islam
- Politik
Politik atau al-siyasah bermaksud kewajipan menanggani
sesuatu yang mendatangkan permasalahan. Ahli politik
ialah orang yang menyelesaikan sesuatu masalah. Politik adalah perkara asas
dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Ia adalah perjuangan untuk mendapatkan
dan melaksanakan pemerintahan. Matlamat politik Islam ialah menyebarkan amanah,
kebaikan, keadilan, keamanan, akhlak, kebebasan, musyawarah, tanggungjawab dan
kebajikan serta menghapuskan kejahatan dan kemungkaran.
Politik dalam Islam
berpaksikan tauhid, risalah dan khilafah. Tauhid dalam politik ertinya Allah
adalah pemilik kedaulatan di alam ini termasuklah manusia dan sistem
politiknya. Risalah
politik ertinya perlaksanaan sistem politik mesti selari dengan ajaran yang
disampaikan oleh rasulullah dari al-Quran dan al-Sunnah. Manakala Khilafah
politik ialah manusia sebagai khalifah bertindak mewakili Allah dalam urusan
politiknya. Oleh itu ia tidak bebas bertindak kecuali mengikut kehendak Allah. Politik, pemerintahan dan pentadbiran tidak
boleh dipisahkan dari Islam kerana Islam telah memberikan panduan lengkap
mengenainya. Pemisahan politik dari Islam boleh membawa kepada berlakunya
perkara-perkara larangan Islam seperti ketidakadilan, rasuah, pecah amanah,
penipuan, pembaziran, salahguna kuasa, kezaliman, permusuhan dan sebagainya.
Politik Islam terbuka kepada ijtihad selaras dengan perkembangan masyarakat
yang sentiasa berubah dalam setiap bidang. Nabi Muhammad s.a.w. menyusun
pentadbiran negara melalui Sahifah Madinah iaitu perlembagaan bertulis
yang pertama di dunia bagi mengatur hubungan muhajirin-ansar dan tanggungjawab
kepada negara bagi orang yahudi dan nasrani.
- Ekonomi
Ekonomi adalah ilmu yang
mengkaji kegiatan manusia selaras dengan tuntutan syariah sama ada dalam aspek
pengeluaran, pemasaran, penggunaan ataupun pengurusan sumber untuk kebaikan
diri, masyarakat dan negara dari segi rohani dan jasmani bagi memperoleh
keredhaan Allah. Ekonomi merupakan antara aspek terpenting Cara Hidup Islam
kerana ia memperlihatkan keadilan dan memberi kebahagiaan kepada hidup manusia.
Islam mengajar manusia bahawa sistem ekonomi mesti diasaskan kepada prinsip
kebenaran, keadilan dan amanah dengan galakkan untuk usaha-usaha mencari rezeki
kehidupan di semua penjuru dunia.
Ekonomi juga adalah
prasyarat pembinaan sesuatu tamadun yang utuh. Ciri-ciri Ekonomi dalam Islam
ialah; tidak bercanggah dengan prinsip dan syariat Islam. Penipuan,
penyelewengan, perjudian, riba dan rasuah ditegah. Barangan dan perkhidmatan
yang ditawarkan hendaklah halal, bersih, suci dan berguna serta tidak
membahayakan. Ekonomi Islam menggalakkan berjimat cermat dan larangan pembaziran,
pemborosan, menunjuk kemewahan dan bakhil. Penggunaan sumber ekonomi hendaklah
mengikut etika dan ketentuan syariat. Bukan mengikut kehendak nafsu manusia.
Islam membenarkan persaingan ekonomi selama mana ia bersifat terbuka dan adil
untuk semua yang terbabit dalam ekonomi di samping menuntut mereka saling
tolong menolong dan berakhlak dalam aktiviti itu.
Ekonomi dalam Islam juga
mengajarkan tentang tanggungjawab peserta ekonomi kepada tanggungjawab agama,
masyarakat dan negara melalui bayaran cukai, zakat dan sumbangan. Ia juga
sebagai jaminan sosial kepada ahli masyarakat yang tidak berupaya untuk
terlibat aktif dalam bidang ekonomi. Unsur-unsur yang haram dalam aktiviti
ekonomi seperti yang melibatkan arak, judi, pelacuran, riba, penipuan dan
sebagainya yang memudaratkan semua pihak diberi perhatian berat.
- Sosial
Fokus utama ajaran Islam
dalam sosial ialah membentuk masyarakat maju, berjaya dan bahagia. Islam
memberi fokus kepada manusia dengan ketetapan bahawa asal usul manusia adalah
sama iaitu Adam dan Hawa. Islam menghormati hak-hak kemanusiaan dengan
mengiktiraf perbezaan geografi, bangsa dan agama. Manusia perlu hidup bekerjasama
dan bermasyarakat. Islam menganjurkan persaudaraan manusia sejagat melalui
amalan akhlak. Manusia berkembang melalui institusi perkahwinan sehingga wujud
berbagai bangsa, bahasa dan budaya. Individu membentuk masyarakat dan watak
setiap individu menentukan kehidupan sosial. Islam memantapkan sistem
kekeluargaan dengan peranan dan tanggungjawab suami-isteri dalam hubungan
berbentuk kasih sayang dan belas kasihan.
Islam menolak assabiyah
melampau yang tidak membawa kebaikan. Ajaran sosial Islam menekankan kebaikan,
kebajikan, bantu membantu, jamin menjamin, silaturahim dan toleransi. Sistem
perhambaan dihapuskan oleh ajaran sosial Islam. Islam menentang hubungan liar
lelaki-perempuan kerana ia boleh menghancurkan tamadun manusia. Larangan
menceroboh hak individu atau golongan lain. Islam mengambil berat hak keluarga, saudara mara, sahabat
dan jiran. Sifat individualisme melampau dikecam dan
Islam menggalakkan tanggungjawab bersama. Islam meninggikan penghormatan
terhadap wanita serta kasih sayang terhadap kanak-kanak.
- Pengawalan
Ajaran Islam
Dakwah
Berasal dari perkataan
Arab da’a yang bererti seruan. Dari segi istilah syarak, dakwah ertinya
menyeru orang lain kepada kebaikan dan melarangnya dari melakukan kejahatan
atau keburukan. Ini dapat difahami melalui ayat 24 surah al-Nahl iaitu;
“Serulah manusia ke
jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan”.
Melaksanakan tuntutan
dakwah adalah fardhu ain iaitu wajib ke atas setiap orang Islam menurut
keupayaan masing-masing dan hukumnya menjadi fardhu kifayah bagi organisasi
dakwah di kalangan umat Islam untuk menyediakan pendakwah yang mahir berdakwah
dalam apa jua keadaan dan pada kumpulan sasaran yang berbeza. Mereka berdakwah
kepada cara hidup Islam dalam kehidupan individu dam masyarakat. Dalam masa
yang sama menangkis segala tohmahan buruk mengenai Islam.
Jihad
Merupakan daya dinamik
dalam Islam yang boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan
umat Islam. Ia berasal dari perkataan Arab al-Jahdu yang membawa erti
kekuatan, keupayaan, kesusahan dan keberatan. Dari segi syarak, jihad ialah
setiap usaha yang memerlukan curahan daya dan tenaga kekuatan demi
memartabatkan Islam, mendapatkan keampunan dan keredhaan Allah.
Oleh yang demikian
tindakan setiap individu menggunakan segala idea, tindakan dan pendiriannya
dengan menggunakan sumber material atau keupayaan yang dipunyainya dengan
tujuan untuk pengamalan Cara Hidup Islam atau untuk meninggikan syiar Islam
ataupun untuk menghalang serangan musuh dikategorikan sebagai jihad. Maksud
firman Allah;
“Wahai
orang yang beriman! Sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat
menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan
Rasul-Nya dan berjihad ke jalan Allah dengan harta dan jiwam. Itulah yang lebih
baik jika kamu mengetahuinya”. (al-Saff: 10-11)
Jihad adalah tuntutan
Islam bagi menjamin kesejahteraan manusia. Ruang lingkup jihad adalah seluas
Islam sebagai cara hidup. Malah ia bersesuaian dengan keupayaan dan kebolehan
yang dikurniakan Allah kepada setiap manusia.
Banyak jenis jihad yang
boleh diceburi mengikut kemampuan dan situasi. Di antaranya ialah jihad hati,
jihad lisan, jihad tulisan, jihad kekuasaan, jihad perang dan sebagainya.
Seseorang yang tidak rela kemngkaran dan dosa yang berlaku tetapi ia tidak
berkemampuan untuk menghalangnya dengan kekuatan atau kuasa dinamakan sebagai
jihad hati. Dinamakan jihad lisan apabila mulut digunakan melalui ceramah,
dialog, syarahan, pidato dan sebagainya. Jihad tulisan ialah menggunakan pena
atau penulisan seperti melalui buku, jurnal, majalah, blog, surat khabar dan sebagainya untuk
mempertahankan Cara Hidup Islam serta membongkar kepalsuan, kekeliruan dan
penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Jihad harta ialah membelanjakan
harta kepada sesuatu yang diredhai oleh Allah seperti memberi nafkah, sedekah,
wakaf, hadiah dan sebagainya. Ini amat penting untuk menguatkan daya dalaman
iaitu semangat persaudaraan sesama Islam dan keprihatinan sesama manusia jika
ia ditimpa malapetaka. Bahkan jihad harta juga adalah penggerak dan prasyarat
semua jenis jihad kerana jihad menjadi kurang sempurna tanpa sumbangan harta. Jihad
perang merupakan usaha terakhir untuk mempertahankan Islam. Ia berlaku apabila
tidak ada jalan lain lagi yang boleh digunakan terutamanya apabila musuh Islam
bertindak lebih agresif menyerang Islam dan umatnya. Maka menjadi kewajipan
bagi umat Islam mempertahankan diri dan agamanya.
- Sumber Ajaran Islam
Al-Quran
Merupakan Kalamullah (wahyu Allah) yang diturunkan melalui
Rasulullah s.a.w. sebagai petunjuk kepada manusia dalam bahasa Arab dan
membacanya adalah ibadah, Ia bersifat mukjizat khas kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ajarannya bersifat universal untuk seluruh umat manusia. Kekal tidak
berubah hingga Hari Kiamat kerana ia dijamin oleh Allah dan ajarannya bersifat fundamental
iaitu hanya menyentuh perkara-perkara asas sahaja. Ia diturunkan secara berperingkat-peringkat
selama 23 tahun. Al-Quran membicarakan prinsip-prinsip asas yang boleh membawa
kemajuan kepada kebajikan manusia dalam semua bidang kehidupan. Ia bukan
setakat menghuraikan kepentingan hubungan di antara manusia dengan Tuhan tetapi
juga menjelaskan mengenai semua yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan
sosial mereka. Maksud firman Allah;
“Tidak
Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini”. (al-An’am: 38)
Al-Quran memberi petunjuk, penjelasan dan peringatan. Ia mengandungi nilai,
prinsip, hukum, nasihat, anjuran, pengajaran dan amaran. Mengandungi asas
pelbagai ilmu seperti bahasa, sastera, sains, ekonomi, matematik, senibina,
psikologi, perubatan, politik dan sebagainya. Kaedah al-Quran dalam menjelaskan
hukum ialah secara menyeluruh (kulli) iaitu kaedah umum sebagai garis
panduan kepada hukum-hukum yang terperinci, ringkas (ijmali) terutamanya
dalam aspek ibadah dan terperinci (tafsili) seperti pembunuhan, harta
pusaka dan mencuri.
Al-Sunnah
Merupakan perkataan,
perbuatan dan pengakuan Nabi Muhammad s.a.w. bagi mentafsirkan ajaran al-Quran
dan perlaksanaan Islam sebagai cara hiduup. Sunnah Rasulullah adalah sumber
yang berfungsi sebagai penguat, penyokong, pentafsir, penghurai hukum dan keterangan
al-Quran. Metodologi al-Sunnah dalam menerangkan hukum dalam al-Quran ialah;
menyokong dan menguatkan hukum yang telah dinyatakan dalam al-Quran seperti
larangan menderhakai ibu bapa. Penerang, penjelas dan pentafsir ayat-ayat al-Quran
seperti menghuraikan perkara yang disebut secara ringkas dan umum seperti
kewajipan sembahyang dan cara bersembahyang, menentukan ayat-ayat yang mutlak
atau mengkhususkan ayat yang umum seperti menerangkan hukum potong tangan
pencuri, menyatakan hukum yang tidak dinyatakan dalam al-Quran seperti haram
bagi lelaki memakai emas dan sutera serta haram memakan binatang liar yang
bertaring.
Al-Sunnah merupakan
perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Baginda diperintahkan Allah melalui al-Quran
supaya menyelesaikan masalah-masalah manusia mengikut panduan wahyu. Al-Sunnah
bersifat dinamik dengan menyediakan jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul
dalam kehidupan supaya manusia dapat hidup menurut cahaya Ilahi dan tidak
tersesat dari kebenaran.
Al-Ijmak dan al-Ijtihad
Al-Ijmak ialah keazaman
dan persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. pada
suatu masa tertentu selepas kewafatan baginda mengenai sesuatu hukum syarak. Ia
muncul setelah menggunakan logik akal dengan berdasarkan ayat al-Quran dan al-Sunnah.
Ia bersifat dinamik bagi menyelesaikan pelbagai keperluan semasa. Maksud hadith;
“Umatku tidak akan bersepakat dalam perkara salah”.
Al-Ijtihad ialah curahan daya pemikiran untuk mendapatkan sesuatu hukum
syarak atas penemuan baru dalam berbagai bidang yang tiada hukumnya secara jelas
dari al-Quran dan al-Sunnah. Ia menggunakan nilai dan semangat ajaran Islam
memberi kekuatan dan keluasan untuk kehidupan masa hadapan yang pantas berubah.
Al-Qiyas
Menyamakan hukum sesuatu
perkara yang tidak ada nas hukumnya dengan sesuatu perkara yang telah ada nas
hukumnya kerana adanya persamaan illat (sebab) hukum antara kedua-duanya.
Contohnya seperti menyamakan hukum menggunakan harta anak yatim untuk membeli
pakaian dengan hukum memakan harta anak yatim kerana persamaan kedua-duanya dari segi menghabiskan
harta dan menzaliminya.
“Maka
jadikanlah sesuatu itu pengajaran, wahai oran
yang mempunyai pandangan”.
(al-Hasyr: 2)
Al-Quran dan al-Sunnah
sebagai otoriti yang menentukan semua aspek kehidupan manusia dan bersifat muktamad.
Perkara yang tidak disebut di dalam al-Quran akan diambil ketentuannya dari
al-Sunnah. Apabila tidak didapati dari al-Sunnah baru digunakan ijtihad sendiri
atau keputusan pemikiran mereka yang ahli dengan berdasarkan kepada syarat-syarat
tertentu; dengan mentaati syarat-syarat tertentu maka sesuatu keputusan itu
dianggap keputusan yang boleh diakui dan bukan keputusan yang bersifat sebagai
pendapat biasa sahaja. Oleh kerana sikap yang demikian, dalam tradisi Islam
selain dari al-Quran dan al-Sunnah, pandangan dan penjelasan para ulama adalah sangat
dihormati. Mereka dianggap sebagai pemimpin keagamaan yang mewakili para Nabi.
Ini dijelaskan dalam sebuah hadith yang bermaksud;
“Ulama adalah pewaris para Anbia”. (Riwayat al-Bukhari)
- Keistimewaan
Islam
Rabbani/Ketuhanan
Islam bersumberkan wahyu
Allah. Ketuhanan Ilahi dan tauhid bersepadu dalam kehidupan manusia. Allah
memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang mutlak dan mencipta Islam yang sempurna,
sedangkan manusia banyak kelemahan dan kekurangan. Islam bebas daripada
campurtangan manusia dalam menentukan perlaksanaannya sebagai suatu cara hidup untuk
manusia. Ia terjelma dalam sastera, ilmu, pentadbiran, ekonomi, perubatan,
sains dan sebagainya secara bersepadu.
Syumul/Lengkap
Islam memberi panduan kepada kehidupan manusia secara keseluruhannya
dari aspek individu, masyarakat serta bernegara. Islam adalah agama yang
lengkap kerana Islam tidak memisahkan kehidupan material dengan spiritual.
Islam tidak menyeru kepada pengasingan dari kehidupan dunia seperti pertapaan
tetapi Islam menyeru manusia memenuhi keperluan hidup secara bijaksana dan
sederhana. Islam mengajarkan manusia supaya sentiasa menyucikan jiwa dengan
amalan yang baik supaya dapat memperbaiki kehidupan material dengan cara-cara
yang baik.. Islam menolak konsep pemisahan agama dari persoalan kehidupan
kerana ia bakal menjerumuskan manusia kepada kejahatan kemanusiaan.
Wasatiyah/Keseimbangan
Islam memberi keseimbangan antara tuntutan individu dan juga masyarakat.
Manusia mempunyai hak-hak asasi yang perlu dihormati yang boleh membawa
kejayaan kepada hidup individu. Dalam pada itu Islam meletakkan tanggungjawab
sosial kepada individu supaya memelihara keseimbangan antara hak individu dan
kehendak masyarakat supaya dapat mewujudkan kesejahteraan hidup. Ini boleh
diperhatikan melalui amalan solat berjemaah, kewajipan berzakat dan berdakwah.
Waqie/Realiti
Islam agama yang realiti
mudah diamalkan konsep dan ajarannya. Ajaran Islam meliputi kepercayaan dan
amalannya mudah difahami, mudah dan bebas dari sesuatu yang tidak dapat
difahami oleh akal dan bebas dari tahyul. Tiada kepercayaan yang terlalu
berliku-liku dan amalan beragama yang sukar. Semua orang boleh mempelajari al-Quran
dan mengamalkan ajarannya tanpa diskriminasi. Islam mahu manusia menggunakan
kemampuan kebijaksanaan akal untuk melihat Islam secara realiti sebagai suatu cara
hidup. Kepercayaan mesti diamalkan dan bukan teori kosong yang bersifat utopia
yang tidak mampu dilaksanakan dalam realiti kehidupan.
Insaniyah/Kemanusiaan
Ajaran Islam bertujuan
untuk membawa kebaikan dalam kehidupan semua peringkat manusia; kaya dan
miskin, kanak-kanak dan dewasa, individu dan masyarakat dan sebagainya. Ia juga
membantu manusia memenuhi seluruh keperluan hidupnya bagi memenuhi tanggungjawab
kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Manusia harus membantu memenuhi keperluan hidup antara
satu sama lain dan bekerjasama. Ajaran Islam adalah untuk seluruh umat manusia tanpa mengira warna kulit,
bahasa dan bangsa. Islam juga tidak melihat kepada status sosial dan rantau
geografi manusia. Islam menyatukan semua umat manusia.
Alami/Global
Islam adalah agama untuk
seluruh alam. Ia tidak dibatasi oleh zaman tertentu ataupun generasi tertentu.Ia
adalah rahmat dan petunjuk untuk seluruh alam. Islam tidak menganggap perbezaan
darjat, pangkat, bangsa, warna kulit dan bahasa sebagai faktor perpecahan. Ia
seharusnya diekspolitasi secara positif menjadi punca interaksi dan komunikasi
antara sesama manusia. Islam meraikan perbezaan dari segala segi asalkan
mengakui Islam sebagai agama. Masyarakat Islam terdiri dari pelbagai ras,
bangsa, etnik, budaya, negara, bahasa dan warna kulit adalah sama jika mereka
melaksanakan syariat Allah. Tidak ada kasta sosial dalam Islam kerana yang
paling mulia ialah mereka yang melaksanakan perintah Allah dengan penuh
ketakwaan. Islam mahu mengelakkan pertelagahan dan permusuhan antara manusia
sebaliknya mahu kehidupan manusia yang lebih baik. Islam menolak gagasan
nasionalisme sempit tetapi menyanjung toleransi. Gagasan nasionalime dari segi
sejarahnya banyak membawa manusia kepada peperangan, kemusnahan dan prejudis
yang tidak berkesudahan.
- Penyelewengan
Dari Ajaran Islam
Masyarakat Islam perlu
berhati-hati terhadap penyelewengan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam seperti
sistem pemikiran Barat moden dalam berbagai bentuknya seperti komunisme,
positivisme, liberalisme, humanisme, historisisme, saintisme, utilitarianisme
dan sebagainya. Fahaman
menyeleweng ini disebar melalui medium teknologi maklumat dan komunikasi.
Masyarakat Islam juga perlu menggelak diri dari terpengaruh dengan
ajaran-ajaran sesat yang bertopengkan dakwah, tarikat dan sebagainya dengan
memperkenalkan amalan-amalan yang pelik, berahsia dan dijanjikan masuk syurga
dengan cara yang mudah ataupun perlu taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada
ketua kumpulan tersebut. Ajaran sesat ini mudah tersebar kerana kejahilan
masyarakat Islam mengenai Islam yang menjadi anutannya.
- Kesimpulan
Islam merupakan al-Din
yang benar, lengkap, seimbang dan harmonis yang mampu memberi panduan kepada
semua persoalan dalam kehidupan manusia. Ia telah berjaya melalui satu sejarah
kemanusiaan yang panjang, menempuh pelbagai fitnah dan tribulasi dari zaman
Adam a.s. sehingga ke saat ini. Daya tahan Islam ini telah membuktikan
kebenaran sifatnya sebagai al-Din. Walau bagaimanapun terdapat
segelintir manusia yang terpesona dengan permainan dunia seperti pangkat harta,
nama dan mengikut runtunan hawa nafsu seperti tamak, dengki dan sombong tidak
dapat melihat keunggulan Islam sebagai cara hidup yang sebenarnya.
Rujukan
Abdalati,
Hammudah. 1982. Islam Dalam Sorotan (Islam In Focus). Terj.
Anshari Thayib. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Abdullah, Abdul Rahman. 1999. A Glimpse
at the Beuty of Islam. ed. Riyadh :
Darussalam Publishers and Distributors.
Abu’Urwah.
1989. Sistem-Sistem Islam. Shah Alam: Pustaka Salam.
Ahmad,
Khursid. 1983. Islam: Its Meaning and Message.
London:
Islam Council of Europe .
Al-Mawdudi, Abu al-A’la. 1975. Prinsip-Prinsip
Islam. Terj. Abdullah Shaili. Bandung: P.T. al-Ma’arif.
Al-Qardhawi, Yusuf. 1977. al-Khasa’is al-‘Ammah
Li al-Islam. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Bey Ariffin. 1977. Kami Pilih Islam.
Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Emerick,
Yahiya J. 2002. The Complete Idiot’s Guide To Understanding Islam.
United States :
A Pearson Education Company.
Esposito,
John. L. 2002. What Everyone Needs To Know About Islam. New York : Oxford
University Press.
Haron
Din, Dato’ Dr. 2007. ISLAM: Ada
Apa Dengan Islam. Kuala
Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Md.
Akhir Hj Yaacob. 1986. Jihad: Kaedah dan Pelaksanaannya. Shah
Alam: Dewan Pustaka Fajar.
Mohd Sulaiman Haji Yasin. 1984. Pengantar Aqidah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mutahhari, Murtadha. 1984. Perspektif al-Quran Tentang Manusia dan
Agama. Bandung: Pustaka Mizan.
‘Ulwan, Abdullah Naseh. 1988. Ciri-Ciri Da’wah
Islamiyah. Terj. Hj. Mohd Tahir Daeng Mengati. Kuala Kangsar: Pustaka
Ikhwan.
Wan Hussein Azmi. 1988. Panduan Da’wah Islamiah.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Watt, W. Montgomery. 1979. What Is
Islam. 2nd Edition. London and New York : Longman.
Zaidan,
Abdul Karim. 1980. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah. Terj. HM Asywady Syukur
LC. Jakarta :
Penerbit Media Dakwah.
Thaks You
ReplyDelete