Friday, June 13, 2014

Tazkirah Menjelang Peperiksaan

Berada bersama dengan Rektor UiTM Kelantan, Dato' Dr. Helmi, Timbalan Rektor HEP, Tn Hj. Shukri, En. Nik Abdul Rahman dan pegawai UiTM yang lain untuk solat hajat dan tazkirah menjelang peperiksaan jun 2014.





TAZKIRAH MENEMPUH PEPERIKSAAN
MOHD ZUHAIRI SAFUAN


Peperiksaan bakal tiba, masa berlalu dengan sangat  pantas dan terasa betapa bernilainya setiap detik. Rugi rasanya jika masa diisi dengan perkara yang tidak berfaedah. Kini setiap detik dilalui bersama buku dan nota.
Rasulullah s.a.w. bersabda; 
“Ada dua jenis nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang”. 

Masa yang dipersiakan tidak dapat diputarkan kembali. Pengalaman semalam mendidik kita untuk menempuh hari esok.  Selagi esok tidak menjelang selagi itu kita terus berusaha bersungguh-sungguh. Peperiksaan sesuatu yang mesti ditempuhi oleh setiap pelajar bagi menentukan kemampuan dalam memahami sesuatu yang dipelajari. Persaingan untuk memperoleh keputusan yang baik merupakan suatu yang baik sekiranya berlaku dalam suasana yang positif. Malangnya peperiksaan juga boleh menjadi punca tekanan kepada pelajar sekiranya tidak dapat menghadapinya dengan betul.
Oleh itu sebagai pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan, hendaklah memastikan; 
1.             Cara Belajar. Pelajar yang bersedia lebih awal akan lebih bermotivasi menghadapi peperiksaan. Kelalaian di awal semester boleh menjadi punca berlakunya tekanan. Pengurusan masa yang efektif penting dalam menghadapi hari menjelang peperiksaan agar kejayaan menjadi kenyataan. Jadualkan waktu untuk ulangkaji secara sistematik dan disiplinkan diri untuk mematuhinya.  Kemudian memberi fokus dengan rancangan ulangkaji yang strategik dan membuat sasaran Memahami format peperiksaan dan seterusnya mengkategorikan soalan mengikut aras kesukaran. Melakukan perkongsian pintar, jangan kedekut ilmu, jumpa pensyarah atau kawan jika tidak faham. Kerap melakukan latih tubi. Allah pasti memberi jalan keluar yang terbaik.
Ambil peduli suasana persekitaran belajar yang tidak kondusif. Ini boleh berlaku apabila masyarakat pelajar setempat tidak sedia untuk bekerjasama meskipun inginkan kejayaan. Dalam masa yang sama harapan menggunung ibubapa untuk melihat kejayaan anak juga boleh menjadi penyumbang. Buang sifat buruk sangka, jangan merendahkan orang lain dan jangan bermusuhan. Berusaha untuk mendapatkan jiran yang baik ataupun kawan serumah yang mampu bekerjasama. Wujudkan keharmonian dalam rumah. Jangan bertengkar dengan ibu/bapa/sahabat bagi mewujudkan suasana kegembiraan. Jangan derhaka kepada ibu bapa dan guru. Cari teman (ibu/bapa/adik beradik/sahabat) yang boleh duduk bersama ketika mengulangkaji dan menyediakan minuman untuk kesegaran. Pastikan kebersihan rumah supaya selesa dan tenang kerana ia akan melahirkan rasa rajin untuk belajar. Kesihatan diri sendiri dipastikan dalam keadaan baik.
2.             Mengurus Tekanan; Ia biasa dialami oleh setiap manusia apatah lagi seorang pelajar. Akan tetapi jangan terlalu tertekan. Tekanan tidak boleh dielakkan dalam kehidupan. Bagaimana untuk menghadapinya hendaklah mengikut cara Islam.  Arahkan segala pengharapan dan keputusan kepada Allah s.w.t. dengan berusaha, berdoa dan bertawakal. Tekanan menyebabkan pelajar cepat bosan, murung, terlalu merendah diri, terganggu jiwa hingga putus asa untuk belajar. Kesannya ada pelajar yang tidak mengambil peperiksaan atau mengambilnya dengan sambil lewa kerana menganggap perjuangannya pada peperiksaan sudah berakhir.
 “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya”.

3.             Ketakwaan; diperolehi melalui amalan seperti solat hajat, doa dan zikir walaupun sibuk membuat ulangkaji. Jangan meninggalkan solat sama ada ibubapa ataupun pelajar sendiri. Iringi solat fardu dengan solat sunat. Sucikan diri dari dosa sama ada sedar ataupun tidak. Perbanyakan berzikir, membaca al-Quran walaupun sebaris ayat sehari sebagai amalan kehidupan seharian. Renungi dan perhatikan keindahan alam ciptaan Allah sebagai salah satu cara terapi mencari ketenangan. Berfikir dengan positif boleh membentuk sikap optimis. Jangan lakukan perkara yang di luar batasan agama. Sentiasa sabar kerana setiap usaha pasti ada rintangan yang perlu dihadapi. Perjuangan menuntut ilmu menuntut kesabaran terutamanya dari gangguan luar, kepenatan dan hambatan masa. Tanpa kesabaran tiada sesiapa yang mampu berdepan dengan kesukaran.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya kerana amat banyaknya." 
Rehatkan fikiran. Berfikir positif bahawa Allah s.w.t membantu apabila usaha sudah dilakukan. Akan tetapi sekiranya tidak mampu untuk mendapat keputusan yang baik, hendaklah redha dengan keputusan itu kerana mungkin ada kesilapan yang tidak disedari telah berlaku. Memastikan spiritual dan mental yang kental. Spiritual dan mental yang lemah menyebabkan pelajar mudah mengaku kalah sebelum berjuang dan putus asa. Kekuatan mental muncul dari sikap dan pemikiran yang optimis serta stabil dalam berusaha mencapai matlamat. Manakala kekuatan spiritual lahir dari hubungan kita dengan Yang Esa dengan memperbaiki niat; 
 “Katakanlah sesungguhnya solatku,ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam”.

Perbaiki niat ke landasan yang sebenar bahawa yang menjadi matlamat bukannya peperiksaan ataupun keputusan yang cemerlang ataupun kemegahan kejayaan tetapi ialah kerana keredhaan Allah supaya usaha mengulangkaji pelajaran merupakan ibadah. Menjaga solat dengan sempurna, wuduk yang betul, amalkan zikir dan baca al-Quran. Berbaik sangka dengan keadilan Allah dengan sering berdoa sendirian dan juga meminta ibu bapa mendoakan kejayaan. Ibu dikehendaki berdoa sebanyak yang mampu untuk anak mendapat keputusan yang cemerlang kerana doa ibu lebih dekat dengan Allah sementelah sifat ibu jika dibandingkan dengan ayah adalah lebih penyayang dan emosional. Rujuk antara lain surah al-A’raf:126, al-Mukminun:118, Yusuf:101, Taha:23-35. Sekiranya tidak mendapat keputusan yang baik walaupun selepas gigih berusaha, tentu ada hikmah yang lebih baik pada kita di masa hadapan pada perancangan Allah. Bertawakal kepada Allah setelah gigih berusaha agar dikurnia keputusannya positif kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
"Jikalau engkau telah bulat tekad untuk melaksanakan sesuatu maka bertawakallah kepada Allah."

Dari Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sekiranya kamu semua bertawakal kepada Allah dengan sebenar tawakal, niscayalah Dia akan memberikan rezeki padamu sekalian sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Berpagian burung berperut kosong dan pulang petang dengan perut penuh berisi.”

































Kepada semua pelajarku... siswa/i Uitm di hatiku....
Selamat berjuang! 
Berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Semoga berjaya dalam peperiksaan.
Berjaya dalam kehidupan yang penuh rahmat Allah...Amin...


UiTM Kampus Kota Bharu
9 Jun 2014 


Menjelang Peperiksaan Jun 2014

Minggu-minggu terakhir sebelum peperiksaan akhir...
agak sibuk untuk membuat penilaian kepada
presentation pelajar statistik, finance & marketing ini.
Mereka berusaha untuk memberi persembahan yang terbaik, inovatif & kreatif.