ASAS
PEMBANGUNAN PERSONALITI
2.1 TAUHID
Pengertian tauhid dari segi bahasa berasal
dari perkataan ahad yang bererti mengesakan. Dari segi istilah; beriktiqad dan
mempercayai Allah SWT itu Esa, Tunggal tidak ada syirik dan sekutu bagi-Nya. Tauhid
merupakan satu pegangan hidup yang
mempercayai bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan tidak sekutu atau yang
menyerupai-Nya. Ilmu tauhid juga adalah ilmu yang menerangkan hukum syarak
dalam bidang iktiqad yang diperoleh dari dalil yang qat’ie (pasti) yang
berdasarkan ketetapan akal. Tauhid merupakan roh Islam, umbi akidah dan sumber
ibadah.
- Jenis Tauhid
- Tauhid Rububiyyah; Mempercayai Allah SWT sebagai Rabb atau pencipta dan penguasa terhadap sesuatu. Allah adalah pencipta sekelian makhluk dan alam ini, pemilik, pentadbir dan pemberi segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatupun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (QS 7:191)
- Tauhid Uluhiyyah; Beriktiqad dan beriman bahawa Allah SWT sahaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahan-Nya. Allah sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepada-Nya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah SWT yang bermaksud; Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (QS 23:) 23.
- Tauhid Asma’ wa al-Sifat; Beriktiqad dan beriman bahawa Allah SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah SWT mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesasaran-Nya. Beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya. Tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna merupakan nama sekaligus sifat Allah.
- Pengaruh Tauhid Dalam Kehidupan
- Membebaskan manusia dari pengabdian selain dari Allah,menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa selain Allah SWT. Sebagai contoh Bilal bin Rabah,bagaimana jiwa tauhid telah merubah kehidupannya muncul sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi siksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya.
- Mewujudkan keikhlasan dalam beribadah.
- Berada di landasan yang betul dan tepat.
- Menjauhkan diri daripada sifat cintakan (hubbu) dunia.
- Membentuk peribadi mulia dengan sifat mahmuddah dan menghindari sifat mazmummah.
- Meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan bertawakal.
- Melahirkan rasa syukur.
- Membentuk sifat berani kerana takut hanya kepada Allah.
2.2
TAQWA
Berasal dari perkataan waqa yang bererti memelihara hubungan baik dengan Allah SWT dengan melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. “Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka. (al-Tahrim: 6). Sayyid Qutub menyatakan dalam tafsir “Fi Zilal al-Quran” menjelaskan bahawa Taqwa adalah kepekaan hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang berterusan dan berhati-hati terhadap semua larangan Allah dalam kehidupan.
2.3
KHILAFAH
Bererti kepimpinan atau kekuasaan. Ia juga
disebut dengan Imamah. Khilafah adalah kekuasaan umum atas seluruh umat, pelaksanaan
urusan umat, Imamah atau Khilafah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam
menjaga agama dan pengaturan urusan dunia. Setiap individu perlu memahami
bahawa mereka memikul amanah Allah SWT, perlu mentadbir dan membangun alam ini
sejajar dengan ketetapanNya. Sebagai khalifah mereka perlu melengkapkan diri
dengan ilmu dan kemahiran serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik demi
kesejahteraan sejagat.
2.4 TAZKIYYAH
Bermaksud pembersihan, penyucian atau penyuburan.
Dalam konteks ahli tasawuf, tazkiyah
merujuk kepada bersih daripada sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah.
Tazkiyah al-Nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ialah
membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis
maknawi yang menghalang untuk sampai kepada hadrat Allah yang Quddus. Tazkiyah al-Nafs
amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu mencari kesejahteraan hidup di dunia
dan akhirat. Tazkiyah bukan bermakna menolak kehidupan dunia tetapi mengawal
berlandaskan syariat. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia dengan melakukan
segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah.
2.5
UKHUWWAH
Bermaksud saudara,teman,sahabat dan lain-lain
lagi. Dari segi istilah: Menurut Al-Quran ukhuwwah ialah perasaan kasih sayang,
tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur bermesra dan cinta mencintai di antara sesama
umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin
adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertaqwalah
kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat” (surah al-Hujurat: 10). Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Daripada Nu’man bin Bashir r.a.; Bahawa
Rasulullah SAW bersabda: Perbandingan orang mukmin pada kasih sayang mereka
adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota berasa sakit seluruh
badan akan turut merasainya.”
a. Prinsip-prinsip
Ukhuwwah
i. Perdamaian
atau hubungan yang baik, saling bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan
perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya
sekiranya kamu orang yang beriman”(Al-anfal: 12).
ii. Saling kasih mengasihi dan cinta mencintai
ke arah mengeratkan lagi ikatan ukhuwwah. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali
tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kau
cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah
mengetahuinya”. (Ali Imran: 92).
Kasih Sayang dan cinta mencintai boleh dipertingkatkan
melalui sedekah. Dapat disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika
sanggup mengorbankan sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan
yang memerlukan. malang.
2 . Ikhlas. Hanya orang ikhlas sahaja yang
dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan hidup berukhuwah. Ikhlas
akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.
3. Amanah. Orang yang tidak amanah merupakan perosak
sifat kemanusian dan ketamadunan kerana Allah SWT telah memberikan amanah
kepada manusia untuk memakmurkan alam ini.
4. Belas Kasihan. Sifat Ini penting kerana
tanpanya menyebabkan kekejaman dan penindasan berelaku secara berleluasa di dalam
masyarakat.
Adab Ukhuwah
1. Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya.
Jika tidak mampu diberikan apa yang
lebih dari hajatnya.
2. Bersegera membantu sahabat yang
memerlukan bantuan.
3. Menyembunyi rahsia sahabat.
4. Menutup keaiban sahabat.
5. Menghindarkan perbuatan bantah-membantah.
6. Tidak sindir-menyindir dan perli-memperli.
7. Sentiasa mendoakan sahabat semasa senang
atau susah.
8. Sentisasa melafazkan dengan perkataan “inni
uhibbuka fillah”.
9. Sentiasa bertanya khabar.
10. Sentiasa mengucapkan terima kasih di atas
bantuan yang diberikan.
KESIMPULAN
Asas pembentukan personaliti atau sahsiah
Muslim adalah berpanduan acuan Rabbaniah. Hidup manusia adalah dalam lingkungan 3 pola hubungan iaitu
hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Ketiga-tiga
hubungan tersebut mestilah berpaksikan kepada manual yang telah ditentukan oleh
Allah SWT. Ketiga-ketiga hubungan itu mestilah dijaga dengan baik supaya tugas
manusia sebagai khalifah di bumi dapat dilaksanakan secara terbaik dan sentiasa
mendapat keredhaan Allah SWT.