Tuesday, December 13, 2016

Tetamu Dari Australia & Germany




Keuzuran

Keuzuran...

Melewati satu tahun lebih...ku cuba bangkit dari keuzuran yang ku alami. Ku pohonkan doa diberikan kesejahteraan hidup. Ku cuba menyusun kekuatan minda bagi menghadapi keuzuran yang silih berganti...
Insyaallah kesakitan ini, kedukaan ini akan lama kelamaan menghilang.

Ku tabahkan melaluinya dengan sokongan isteriku Chek Asma...memapah perlahan-lahan dari keuzuran yang menyakitkan.

Ku biasa zahirkan ..seolah-olah tiada apa..aku ni sihat-sihat sahaja ...kepada orang lain.

Dalam usaha ini...ku akan ke udara lagi...memaparkan beberapa event yang sudah "back dated"...namun suatu yang bernilai untuk ku keluar dari keuzuran ini. Terima kasih.

Sunday, March 20, 2016

Segamat







 



Abang & Adik





Sampai Di Sini..khidmat 25 tahun



25 tahun sudah aku mencurah bakti di UiTM. Kini berbaki 5 tahun setengah lagi perkhidmatanku sebelum aku pencen wajib umur 56 pada nov 2021. Alhamdulillah.










Anugerah Cemerlang 2014

Alhamdulillah...buat kali ke 2















Cenderahati PNB

Memenuhi undangan perasmian bangunan Permodalan Nasional Berhad Kota Bharu





Friday, February 26, 2016

Teluk Chempedak, Kuantan















Kesepaduan Dalam Kepelbagaian


KESEPADUAN DALAM KEPELBAGAIAN



1.    Pengenalan
Pengetahuan mengenai psiko-sosial amat penting untuk mengetahui banyak perkara mengenai manusia dan kemanusiaan sebagai pemudahcara mengurus hal ehwal manusia yang cukup komplikated. Dunia hari ini telah melalui fasa-fasa terakhir perkembangan manusia yang hampir menuju kesempurnaan dengan pengetahuan mengenai unsur spiritual dan fizikal manusia ditambah pula dengan kehebatan manusia menundukkan teknologi yang saban hari semakin maju. Semua ini penting bagi memastikan kejayaan mengurus manusia dan kehidupannya sehingga mampu memberi kesejahteraan hidup yang lebih bermakna.
2.    Konsep Masyarakat dan Budaya
2.1      Perspektif Barat
Orang yang tinggal di Barat iaitu di benua Eropah dan Amerika dinamakan sebagai masyarakat Barat dan mereka berfikiran lebih terbuka dalam banyak aspek kehidupan. Budaya Barat merupakan pewaris tamadun lama greek-Kristian. Ia mewakili nilai dan pengaruh kebudayaan Kristian dan Bible dalam pemikiran rohani, adat resam dan tradisi etnik atau moral. Kebudayaan Barat berkembang dengan beraneka ragam falsafah zaman pertengahan dan humanisme Kristian dan juga sekular. Pemikiran rasional berkembang sepanjang zaman dan berlaku eksperimen kesedaran, naturalisme, romantisisme, sains, demokrasi dan sosialisme serta sekularisme.
2.2      Perspektif Islam
Manusia berasal dari keturunan yang satu iaitu Adam dan Hawa. Dari sini manusia berkembang menjadi beberapa keluarga, puak dan etnik serta berlaku proses migrasi ke seluruh benua penjuru dunia. Ini menyebabkan manusia berpecah kepada pelbagai etnik dengan bahasa, warna kulit, bentuk tubuh, negara, kepercayaan dan kebudayaan yang berbeza lantaran iklim dan bentuk rupa bumi yang berbeza. Dari asal-usul yang sama ini manusia membina persaudaraan besar dan mengurangkan tekanan kebanggaan kepada etnik kerana manusia akan menuju kepada destinasi yang sama akhirnya iaitu kembali kepada Allah. Allah akan menilai hanya kebaikan dalam kehidupan mereka.
Islam sebagai al-Din atau Suatu Cara Hidup menerima hakikat perbezaan ini dan melihat perbezaan sebagai satu kelebihan. Islam menolak pendirian fanatik dari segala perbezaan warna kulit, bahasa, etnik dan kebudayaan. Islam berpendapat pendirian tersebut sebagai sesat dan khurafat di sepanjang zaman. Islam menyanjung kemanusiaan sejati (humanisme) dan pembentukan masyarakat dunia yang bersatu pada kepercayaan dan norma tingkahlaku yang tertentu. Tidak ada perbezaan mulia atau hina atas dasar etnik, bahasa, warna kulit, lokaliti dan sebagainya. Kemuliaan individu atau etnik adalah kerana takwanya kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Pertentangan kelas, kasta sosial, kesukuan, kawalan kekayaan dan dominasi individu dalam masyarakat bertentangan dengan cara hidup sosial dalam Islam.
Suatu hakikat betapa setiap masyarakat manusia atau etnik mempunyai bukan sahaja keunikan fizikal seperti seperti bentuk dan saiz tubuh badan tetapi juga perbezaan sistem nilai, psikologi, agama, budaya, sejarah, bahasa, budaya, sosial, ekonomi dan juga politik. Kepelbagaian manusia mewujudkan kerencaman pola kehidupan masyarakat sehingga sering menimbulkan polimik, salah faham dan persepsi yang bertentangan. Tambahan pula agama sering dijadikan titik pemisah yang nyata antara perhubungan sesama masyarakat yang berbeza. Pada hal interaksi kalangan etnik yang berbeza dalam sektor ekonomi dan percampuran sosial mereka boleh membina kepercayaan kebersamaan mereka bagi memecahkan tembok tebal chauvinistik sedia ada. Ini sekaligus mampu membentuk sensitiviti dan sentimen yang positif.
3.    Konsep Kesepaduan Dalam Kepelbagaian Etnik
3.1      Realiti Kepelbagaian Masyarakat Di Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai penduduk pelbagai etnik sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun di Malaysia Timur iaitu Sabah serta Sarawak. Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Murut, Iban, Dayak dan Orang Asli merupakan antara etnik terbesar yang mewarnai kehidupan berbeza dalam satu kesatuan bangsa Malaysia. Dalam konteks antropologi dan sosiologi, kajian terhadap etnik berbeza merupakan suatu yang penting bagi mewujudkan perhubungan baik dan harmonis di kalangan pelbagai etnik. Pengetahuan dan kefahaman antara satu sama lain membolehkan kerjasama padu antara mereka untuk berganding bahu membawa kemajuan kepada negara Malaysia. Justeru itu amat penting untuk mengetahui konsep-konsep antropologi dan sosiologi berikut untuk memahami realiti kepelbagaian masyarakat.
i.               Kebudayaan (Culture)
Seluruh cara hidup manusia dalam aspek pemikiran dan kebendaan meliputi kepercayaan, ilmu pengetahuan, undang-undang, ekonomi, politik, kesusilaan, kesenian, seni bina, kebolehan serta kebiasaan dan sebagainya. Kebudayaan boleh diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya melalui pembelajaran dan ia berbeza di antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Kebudayaan manusia boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persekitaran tempat tinggal, etnik, psikologi dan kegiatan ekonomi.
ii.             Masyarakat (Society)
Satu organisasi sosial yang besar, kompleks dan moden di mana ahli-ahlinya hidup bersama dalam satu kawasan, saling bergantung, bekerjasama, berkongsi nilai, budaya dan wujud garis panduan tingkah laku sosial bagi menggambarkan organisasi yang bersatu padu dan berbeza dengan yang lain. Masyarakat boleh dikelaskan mengikut kegiatan ekonomi seperti masyarakat feudal, kapitalis dan sosialis. Ia juga boleh dikelaskan mengikut agama seperti masyarakat Islam, Kristian, Hindu dan Buddha ataupun mengikut jenis pengeluaran ekonomi seperti masyarakat tani dan masyarakat industri. Pada asasnya masyarakat berpunca dari sekumpulan keluarga dan keluarga merupakan gabungan antara seorang lelaki dan perempuan yang berkahwin serta bersatu atas suatu tanggungjawab kehidupan.
iii.           Institusi Sosial (Social Institution)
Pola tingkah laku yang telah dipersetujui bersama bagi memenuhi keperluan sosial atau suatu cara yang seragam (standard) untuk mengatasi berbagai masalah yang timbul dalam masyarakat. Di antara contohnya ialah institusi politik, pendidikan, agama, ekonomi, perkahwinan dan sebagainya. Kewujudan institusi sosial ini berupaya memberikan kehidupan yang lebih stabil dan terkawal dalam masyarakat.
iv.       Mobiliti Sosial
Proses perubahan individu atau masyarakat dari suatu tingkat sosial ke suatu tingkat sosial lain yang lebih tinggi dalam satu sistem stratifikasi (tingkat) sosial. Ia berupa mobiliti yang bersifat mendatar (horizontal) dan juga menaik (vertical). Pada masa ini mobiliti sosial biasanya dilihat dari segi pekerjaan. Stratifikasi sosial sesebuah masyarakat yang terlalu ketat (rigid) seperti mengikut ras, keturunan dan juga warna kulit boleh menyebabkan tidak berlaku mobiliti sosial secara terbuka. Pada masa ini sebenarnya peluang untuk mobiliti sosial adalah anjal (fleksible), terbuka dan luas. Ia tidak seperti keadaan dalam masyarakat yang mempunyai sistem sosial seperti kasta dan apartheid yang tiada langsung peluang untuk mobiliti sosial akibat dari penindasan bahkan kezaliman.
iv.            Perubahan Sosial (Social Change)
Perubahan struktur dan fungsi atau perubahan peranan suatu sistem sosial. Perubahan sosial boleh berlaku secara perlahan (evolusi) dan juga cepat (revolusi) kerana penerimaan idea-idea baru yang ada di sekeliling dan juga tekanan ke arah untuk proses perubahan. Ia merupakan suatu proses yang berlaku kerana keperluan bersama dalam masyarakat untuk melakukan perubahan demi memperkuatkan kedudukan mereka dan menyempurnakan kehidupan masyarakat. Oleh kerana itu berlaku banyak perubahan dalam kehidupan berkeluarga, politik, ekonomi, nilai, agama, teknik dan sebagainya. Banyak contoh yang boleh diketengahkan antaranya ialah hilangnya semangat gotong royong, masyarakat berteknologi, berkembangnya institusi didikan kanak-kanak pra-sekolah serta rumah jagaan untuk orang tua, wanita keluar bekerja dan sebagainya.
vi.       Status Sosial (Social Status)
Kedudukan sosial atau peranan individu dalam masyarakat. Ia merupakan manifestasi bahawa setiap individu memiliki status sosialnya yang tersendiri. Ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan hak dan tanggungjawab tetapi tidak semestinya berbentuk hiraki tinggi ataupun rendah. Status sosial boleh dinilai melalui jawatan, pendidikan, kekayaan, keturunan dan sebagainya. Contohnya antara lain ialah peguam, menteri, doktor, pekerja kilang, petani, pengurus, imam, ibu dan datuk. Apabila status sosial dilihat dari sudut lebih tinggi maka akan wujud hiraki yang biasanya dikaitkan dengan pangkat atau darjat. Ia juga merupakan penghormatan masyarakat terhadap individu. Status sosial ini boleh diwarisi dari generasi ke generasi sejak lahir dan juga boleh diusahakan untuk memperolehinya dengan latihan kerja keras. Oleh kerana status sosial berkait rapat dengan peranan seseorang dalam masyarakat maka adakalanya seseorang individu memiliki dua status sosial seperti seorang ibu dan juga sebagai seorang yang berkerjaya, seorang ketua kampung tetapi juga menjadi imam masjid, seorang ahli politik dan juga seorang usahawan.
vii.      Masyarakat Majmuk (Plural Society)
Masyarakat yang terdiri dari berbagai kelompok ras dan etnik yang berlainan cara hidup tetapi berada di bawah satu bentuk pemerintahan politik. Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini mempunyai kebudayaan, agama, bahasa, warna kulit dan adat resam yang tersendiri dan berbeza. Mereka tidak bergantung kepada etnik lain tetapi hidup bersama-sama dan bercampur gaul. Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah perpecahan, konflik, percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dalam satu sistem yang tersendiri, walaupun hidup berdekatan antara satu sama lain dan berlaku interaksi sosial terhad yang biasanya pada sektor ekonomi sahaja.
viii.     Sekularisasi (Secularization)
Sekularisasi merupakan suatu proses untuk menjadi sekular. Ia suatu konsep bahawa kerajaan atau entiti lain seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya harus wujud secara terasing dari agama. Dari suatu segi, sekularisme dapat memberikan hak untuk menjadi bebas dari peraturan dan ajaran agama. Ia juga merupakan kebebasan dari pengenaan agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali pada hal ehwal agama. Dari segi lain, ia turut merujukkan pada pandangan bahawa aktiviti manusia dan semua keputusan hidup yang dibuat harus berasaskan pada bukti dan fakta yang tidak berat sebelah kepada pengaruh keagamaan. Ia juga merupakan proses keruntuhan peranan agama dalam hidup sehingga masyarakat bercorak lebih bebas dari penguasaan simbol dan institusi agama. Kebebasan dari kongkongan agama dan memperkecilkan peranan agama dalam kehidupan manusia adalah intipati sekularisme.
3.2     Konsep Ras, Etnik dan Bangsa
i.        Ras (Race)
Sekelompok manusia yang mempunyai persamaan fizikal seperti warna kulit, bentuk kepala, mata, telinga, rambut, saiz dan sebagainya kerana dari baka atau biologi yang sama. Ada tiga ras utama di dunia, iaitu; Caucacoid (orang putih), Negroid (orang negro) dan Mongoloid (orang berkulit coklat). Tiga etnik ini mempunyai perbezaan bentuk tubuh badan dan warna kulit. Mereka berbeza kerana menyesuaikan diri mengikut iklim dan bentuk geografi alam yang didiami. Sebenarnya manusia sering bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan perkahwinan campur kerap berlaku sehingga sukar membuat penggolongan berdasarkan ras sedemikian.
ii.       Rasisme (Racism)
Kepercayaan bahawa sesuatu ras adalah lebih utama, unggul (superior) dari ras yang lain berdasarkan faktor keturunan, biologi, kebolehan, kecerdasan, keupayaan, kebudayaan dan sebagainya. Ia terbentuk dalam pemikiran dan kepercayaan serta boleh dilihat dalam perjalanan sesuatu institusi masyarakat seperti agama, bahasa, warna kulit dan sebagainya. Pelaksanaan rasisme menyebabkan wujud sikap ketidakadilan, diskriminasi, kebencian, permusuhan dan ketidaksamaan terhadap orang lain yang berlainan ras. Contohnya orang kulit putih di Afrika Selatan merasa lebih hebat daripada orang kulit hitam.
iii.        Etnik (Ethnic)
Merupakan klasifikasi manusia berasaskan faktor sosial dan kebudayaan iaitu sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam termasuk adat resam, pakaian, bahasa, politik dan kegiatan ekonomi tetapi ia membezakan mereka dari kelompok lain dalam sesuatu masyarakat manusia yang lebih besar. Etnik berkait rapat dengan konsep ras dan bangsa. Akan tetapi ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan tetapi hidup di bawah suatu sistem politik yang sama. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Di Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Bajau, Melanau, Iban, Dayak dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sahaja sebagai sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah. Konsep etnik juga membentuk etnisiti iaitu semangat kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sebagai contohnya orang Portugis di Melaka percaya mereka adalah sama etnik dengan orang Portugis di Portugal kerana nilai, adat resam, tradisi dan kepercayaan yang sama.
3.3    Konsep Prejudis, Stereotaip dan Diskriminasi
i.             Prejudis (Prejudice)
Sangkaan kurang baik (prasangka) atau tanggapan negatif terhadap individu atau kelompok lain kerana faktor-faktor tertentu seperti ras, agama, pekerjaan, jantina, negeri dan kelas. Ia tidak diluahkan secara terbuka tetapi hanya dalam hati. Prasangka biasanya bersifat umum yang tidak rasional iaitu penilaian yang dibentuk sebelum tinjauan dibuat terhadap faktor-faktor tersebut. Ia juga bersifat stereotaip, emosional dan diskriminasi. Sikap ini sukar diubah atau tidak berubah walaupun individu itu telah mendapat pengetahuan dan bukti baru yang berbeza. Prasangka juga boleh mendatangkan kesan melalui perkataan dan perbuatan seperti mencaci kelompok lain, melakukan diskriminasi malah perlakuan jenayah. Contohnya, orang Melayu malas berusaha sebab itu hidup dalam kesusahan. Adakah ini betul?
ii.      Stereotaip
Kenyataan umum yang negatif dan luahan pandangan yang sempit seseorang terhadap individu atau kelompok lain sama ada negatif ataupun positif secara berlebih-lebihan. Akan tetapi pada realitinya pandangan itu tidak betul. Walau bagaimanapun stereotaip negatif selalu terserlah dalam persoalan hubungan antara etnik. Contohnya, Islam agama keganasan dan setiap orang Islam adalah pengganas. Ini dikaitkan dengan kegiatan IS (Islamic State) yang membunuh sesiapa sahaja dengan cara yang kejam.
iii.      Diskriminasi
Tindakan individu atau kelompok atau organisasi menafikan hak pihak lain untuk untuk mendapat hak atau manfaat yang sepatutnya dari segi undang-undang. Ia juga adalah layanan yang berbeza diberikan kepada individu atau kelompok kerana faktor ras, agama etnik dan jantina. Contohnya, wanita di negara-negara Asia perlu melalui beberapa tapisan sebelum layak untuk memegang jawatan tinggi berbanding dengan jantina lelaki.
iv.       Segregasi
Pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara sehingga berlaku interaksi yang minima ataupun sehingga tiada langsung interaksi antara mereka. Pemisahan dan pengasingan berlaku dalam pekerjaan, tempat tinggal, perkahwinan, kemudahan kesihatan, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang seperti Dasar Apartheid di Afrika Selatan (1948-1994) dan juga sikap memencilkan diri etnik tertentu untuk menentang asimilasi dengan etnik lain.

3.4      Konsep Asimilasi, Akomodasi, Amalgamasi dan Akulturasi.

i.         Asimilasi (Assimilation)
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Ia melibatkan kumpulan etnik minoriti kehilangan identiti dan terserap kepada kebudayaan dan sosial etnik majoriti. Mereka yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan akhirnya menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti seperti bahasa, pakaian dan adat resam. Konsep asimilasi mutlak digambarkan dengan formula A+B+C=A, dalam hal ini A mewakili golongan majoriti dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya orang Melayu di Selatan Thailand mengalami proses asimilasi sehingga menyebabkan nama, bahasa, fesyen dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku ke atas masyarakat Jawa, Bugis, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama etnik tersebut. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.
ii.        Akomodasi (Accomodation)
Penyesuaian iaitu suatu keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan atau mengelakkan konflik dengan mengadakan interaksi secara damai untuk sementara ataupun untuk selama-lamanya. Ini dilakukan menerusi perundingan dan juga tolak ansur tetapi mereka meneruskan sikap mereka untuk hidup berasingan. Ia juga melibatkan proses kerjasama dan tolak ansur yang menekankan keseimbangan serta tidak menghilangkan indentiti sesuatu kelompok. Di Malaysia contoh akomodasi yang ketara ialah penggunaan bahasa Melayu dan amalan kebebasan beragama terhadap rakyat yang terdiri dari etnik bukan Melayu.
iii.       Amalgamasi (Amalgamation)
Satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru iaitu penyatuan biologi. Bentuk proses amalgamasi adalah perkahwinan campur antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di mana A, B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A, B dan C yang biasanya dinamakan antara lain seperti Pan-Asia, Melayu-Arab, China-India dan seumpamanya.

iv.       Akulturasi (Acculturation)
Akulturasi ialah proses perubahan kebudayaan melalui pinjam meminjam kebudayaan hasil dari perhubungan antara kelompok yang berlainan. Ia merupakan proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Ia tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima tetapi merupakan proses pinjam meminjam dengan diolah menjadi unsur kebudayaan sendiri. Di Malaysia contohnya ialah bahasa, tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi jika tidak diolah dengan baik, ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat.
4.    KONSEP MASYARAKAT MAJMUK MENURUT ISLAM
4.1       Masyarakat Majmuk
Dalam menghadapi kehidupan masyarakat majmuk, Islam telah meletakkan panduan kepada umatnya seperti bertolak ansur, keadilan, kebaikan dan rahmat. Islam adalah agama yang menjadi rahmat untuk dunia kerana Islam telah bersungguh-sungguh menentang sifat perkauman dan menyeru kepada perpaduan. Perkataan Islam sendiri membawa pengertian selamat, sejahtera dan keamanan. Ini membawa pengertian seseorang yang menganut Islam telah mendapat kesejahteraan dan ketika berinteraksi dengan orang lain mereka dikehendaki mengamalkan akhlak dan nilai-nilai yang baik seperti kasih-sayang, membantu dan belas kasihan.
Beberapa asas telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berurusan dengan warganegara yang bukan Islam. Sikap menghormati akidah orang lain sekalipun ia berbeza dengan akidah Islam dan sikap tasamuh dalam pergaulan serta sikap mementingkan keadilan seperti yang dituntut oleh ajaran Islam telah menyebabkan agama Islam dan penganutnya dihormati dan disanjung. Tasamuh ialah sama-sama berlaku baik, lemah lembut dan saling pemaaf. Ia membawa kepada pengamalan akhlak terpuji dalam pergaulan, rasa saling menghargai antara satu sama lain, toleransi beragama dengan saling menghormati hak dan kewajiban dan tidak saling menganggu. Tidak  memandang rendah suku bangsa, agama atau kebudayaan lain, apa lagi bersikap menghina, membenci atau memusuhinyn. Tidak boleh menyerang dan mencela dengan celaan yang membuat pihak lain sakit perasaannya. Asas ini terkandung dalam banyak ayat al-Quran di antaranya:
"Dan janganlah kamu mencela oorang yang berdoa kepada selain Allah, yang menyebabkan mereka mencela Allah dengan permusuhan dengan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menghiasi untuk setiap umat amalan mereka, lalu Dia memberitakan kepada apa yang mereka lakukan".
               (al-An'am, 6: 108)
Islam telah memperuntukkan hak-hak tertentu untuk orang bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Mereka diistilahkan sebagai golongan zimmi iaitu orang yang dijamin oleh Islam untuk mendapat perlindungan dan pembelaan dari serangan musuh. Dengan ini jiwa, harta dan maruah mereka adalah dihormati dan dilindungi secara adil dan saksama. Masyarakat Islam tidak boleh campur tangan dalam akidah, ibadat, adat, kebudayaan dan peraturan hidup orang bukan Islam. Mereka diberi otonomi dalam aspek kepercayaan dan bebas untuk melakukan peribadatan. Mereka juga dibenarkan bergiat dalam aspek sosio-ekonomi dalam batas yang tidak mengganggu ketertiban umum dan tidak berlawanan dengan nilai akhlak yang telah ditetapkan. Ini kerana masyarakat Islam adalah masyarakat yang menjunjung tinggi prinsip keadilan dan memperjuangkan keadilan untuk seluruh warganya tanpa memandang kepercayaan, bangsa dan sebagainya. Pada pandangan Islam, keadilan adalah hak semua manusia, baik musuh atau kawan. Islam tidak membenarkan permusuhan dan kebencian mengalahkan keadilan bahkan Islam menganggap bahawa keadilan lebih dekat kepada takwa.

       4.2       Konsep Umat
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan; Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu pada sisi Allah ialah yang lebih takwanya antara kamu; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”.
                                      (al-Hujurat, 49: 13)

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih-sayang antara kamu dengan orang yang kamu musuhi daripada mereka. Dan Allah Maha Kuasa dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama tersebut (Islam), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mangasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah melarang kamu dari menjadikan teman orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; dan sesiapa yang menjadi teman mereka, maka itulah orang yang zalim”.
                                                                                (al-Mumtahanah, 60: 7-9)

Masyarakat Islam adalah masyarakat yang berpegang kuat kepada al-Din Islam iaitu mengesakan Allah sebagai Tuhan Pencipta Alam Yang Maha Besar yang suci dari segala sifat kekurangan dan tiada yang menjadi saingan bagi-Nya. Masyarakat Islam menjadikan ajaran Islam sebagai panduan hidup. Peranan individu dalam masyarakat adalah saling melengkapi dan muncul tanggungjawab sosial di mana setiap individu bertanggungjawab ke atas kesejahteraan bersama dalam masyarakat. Tanggungjawab ini tidak semata-mata kepada masyarakat tetapi juga kepada Allah. Dalam masa yang sama, masyarakat juga bertanggungjawab ke atas individu yang menjadi ahli masyarakat. Mereka saling mempunyai hak dan tanggungjawab. Islam menyeru masyarakat Islam menyanjung perpaduan bersendikan iman bukan kerana keturunan, warna kulit, bahasa, negeri dan juga melalui amalan ibadah khusus dan am seperti solat dan haji. Masyarakat Islam menjaga kebenaran, kebaikan dan tegas memerangi kejahatan dan keburukan. Masyarakat Islam perlu saling menyayangi antara satu sama lain, mengasihi yang muda dan menghormati yang tua, menggembirakan mereka yang ditimpa masalah, mengunjungi yang sakit, menghargai hak orang lain dan sebagainya.

4.3       Asas Masyarakat Islam
Ajaran Islam melalui al-Qur’an dan al-Sunnah telah meletakkan asas-asas yang kukuh dalam pembentukan kehidupan masyarakat Islam. Di antaranya ialah;
· Akidah Islam
Asas utama pembentukan masyarakat Islam adalah untuk memelihara, menjaga dan menegakkan akidah tauhid. Ia membebaskan manusia daripada belenggu khurafat yang boleh membawa kemunduran iaitu kepercayaan karut yang tidak berasaskan rasional. Akidah tauhid juga membebaskan manusia daripada belenggu modenisme yang menafikan kewujudan Tuhan sehingga membawa kehancuran akhlak manusia dan sistem nilai. Dalam apa keadaan dan suasana, segala sistem yang digariskan oleh manusia, sama ada ekonomi, politik, pendidikan mahupun sosial merupakan persoalan akidah. Akidah adalah dasar hidup manusia. Hidup tanpa iman adalah hidup yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Dengan kata lain setiap sagmen kehidupan manusia mesti berdasarkan keimanan. Islam merupakan agama yang benar, lengkap dan mencakupi keseluruhan sistem hidup manusia. Ia adalah agama yang diciptakan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana yang menjadikan seluruh makhluk alam ini. Oleh itu masyarakat Islam adalah masyarakat yang diikat dengan ikatan akidah Islam. Orang yang beriman adalah mereka yang percaya kepada Allah Yang Maha Esa, menerima segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sebagai sistem yang berdasarkan nilai iman dan takwa. Asas inilah yang menyatukan seluruh umat manusia di dunia ini. Mereka lahir daripada jenis yang sama, keturunan yang sama dan agama yang sama yang diwarisi daripada Nabi Adam A.S. Mereka semua adalah hamba Allah dan mereka bersaudara dan berkasih sayang. Persaudaraan yang diikat dengan asas keimanan akan membentuk suatu hubungan yang kukuh antara umat Islam. Ia melahirkan perasaan dan semangat bantu membantu dan tolong menolong antara satu sama lain. Hubungan kasih sayang yang berteraskan iman pula laksana satu jasad; apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh jasad turut merasai sakit dan demam serta berjaga malam.
Syariah Islam
Allah yang mencipta sekalian makhluk, mentadbir dan mengurus serta mengawasinya. Allah memberikan manusia akal yang terbatas keupayaannya. Manusia perlu panduan Allah untuk menjalani hidup yang sempurna dan bagi mendapatkan kesejahteraan dunia dan akhirat. Semua manusia perlu patuh kepada undang-undang Allah atau syariah. Mereka perlu hidup berperaturan mengikut ketetapan yang ditentukan Allah untuk menjamin kestabilan alam keseluruhannya. Syariah Islam yang diciptakan Allah S.W.T. diturunkan bagi mengatur kehidupan manusia dalam hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain. Tujuan syariah adalah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada sebarang bentuk kemudaratan. Apabila manusia berpegang kepada peraturan Allah maka tertegaklah sebuah masyarakat yang kuat dan bersatu padu kerana semuanya mempunyak hak, tatacara hidup, tujuan dan matlamat yang sama.
•Akhlak Islam
Akhlak merupakan asas utama untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Misi kedatangan Rasulullah S.A.W. adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda adalah contoh yang paling unggul dalam akhlak. Tingkah laku Rasulullah menjadi ikutan orang Islam. Apabila akhlak yang terpuji diamalkan oleh setiap orang Islam sama ada sebagai suami, isteri, ibu, bapa, anak, pemimpin atau rakyat dan lain-lain, secara tidak langsung telah mempamerkan suatu sikap yang sama di antara satu sama lain dalam masyarakat. Keseragaman sikap dan tindakan melambangkan wujud kesefahaman dalam fikiran akan membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu dan kukuh.


5.    KESIMPULAN
Manusia perlu hidup bermasyarakat kerana keperluan jasmani dan rohani yang tidak mampu diusahakan sendiri. Hidup bermasyarakat dalam Islam bermaksud hidup dalam satu organisasi yang berpaksikan Islam sebagai suatu cara hidup. Kehidupan manusia tidak akan mantap tanpa wujudnya organisasi bernama masyarakat. Ini kerana hanya masyarakat Islam sahaja yang boleh menjamin kebahagiaan hakiki melalui jalinan erat antara hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.

Wednesday, January 6, 2016

Sunday, January 3, 2016

CV MZS 2016


CURRICULUM VITAE


Mohd Zuhairi Safuan.JPG



Nama :                                 Mohd Zuhairi Bin Safuan

Tarikh Lahir :                     03 November 1965

Tempat kelahiran :         Klang, Selangor, Malaysia.

Jantina :                              Lelaki

Warganegara :                  Malaysia

Jawatan :                            Pensyarah Kanan DM52

Fakulti :                               Akademi Pengajian Islam Kontemporari  (ACIS)

Universiti                           Universiti Teknologi Mara, Kampus Kelantan, 18500 Machang, Kelantan

E-mail :                                zuhairi144@uitm.edu.my  atau mohdzuhairisafuan@gmail.com

Alamat Rumah :               Lot 4460, Kg. Rupek, Jalan Pasir Hor, 15150 Kota Bharu, Kelantan

Pendidikan :                      1. Sarjana Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah),
Universiti Kebangsaan Malaysia 1998
Tajuk: Pemikiran Islam Fazlur Rahman Tentang Kebangkitan Islam
                                               2. Sarjanamuda Pengajian Islam (al-Quran & al-Sunnah),
Universiti Kebangsaan Malaysia 1989
Tajuk: Suatu Tinjauan Mengenai Etika Kerja Jepun Dari Sudut Pandangan Islam

Anugerah :                         Khidmat Setia 25 Tahun UiTM
                                               Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010
                                               Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014

Pengalaman :                   Pensyarah UiTM Disember 1989 hingga sekarang
Pengajar Sambilan Diploma Eksekutif Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan
Pengajar Sambilan PACE-PJJ Universiti Utara Malaysia (UUM), Semester Januari 2011. April 2011. Julai 2011. Oktober 2011. Januari 2011. April 2011. Julai 2011. Oktober 2011. Julai 2015. Okt 2015.

Penulisan :                        Buku:
1.       Asas Pendidikan Islam: 1996
2.       Ekonomi Islam: 2003
3.       Konsep Asas Ekonomi Islam: 2004
4.       Konsep dan Penghayatan Islam: 2006
5.       Tamadun Islam: Sumbangan dan Cabaran: 2006
6.       Tamadun Islam dan Tamadun Asia: 2009
7.       Keindahan Islam: 2010
8.       Pemikiran Tamadun Islam: 2011
9.       Asas-Asas Ekonomi Islam: 2012
10.   Dimensi Hubungan Etnik Di Malaysia: 2013

Artikel:
1.         Islam Menggalakkan Umatnya Rajin Bekerja, Cahaya, Disember 1989, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 11-13.
2.         Al-Farabi: Kesempurnaan Kehidupan Hendaklah Mengambil Kira Pembangunan Rohani dan Jasmani, Cahaya, April 1990, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 9-12.
3.         Anak-Anak Yatim Perlu Pembelaan, Cahaya, Ogos 1990, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 29-32.
4.         Pertunangan Antara Tuntutan Syarak dan Adat, Cahaya, Ogos 1990, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 62-64.
5.         Tariq Bin Ziyad Memperkenalkan Benua Eropah Kepada Islam dan Ketamadunan Moden, Cahaya, Disember 1990, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 33-35 & 39.
6.         Ibnu Taimiyah: Kestabilan Masyarakat dan Negara Bergantung Kepada Pemimpin Yang Berwibawa, Cahaya, April 1991, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 42-48.
7.         Sistem Politik Islam Berdasarkan Pengabdian Diri Kepada Allah, Cahaya, Disember 1991, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 29-35.
8.         Panduan Untuk Kekalkan Silaturrahim, Ummi, Febuari 1992, Ummah Media Sdn. Bhd., Shah Alam, hlm. 52-53.
9.         Minta Izin Masuk Rumah, Uswah, Mac 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 7-8.
10.     Fatimah Az Zahrah: Ketua Wanita Syurga, Pendidik, April 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 22-24.
11.     Silaturrahim Sebagai Pengukuh Ikatan Sosial, Cahaya, April 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 32-36.
12.     Mengapa Masih Mengamalkan Sistem Kapitalis Sedangkan Kelemahannya Sudah Ternyata, Jurnal Akademik, Jil. 2 Bil. 1, 1992, ITM Johor, hlm. 15-23.
13.     Mengintai, Uswah, Jun 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 7 & 15.
14.     Membetulkan Diri Penting Untuk Setiap Muslim: Saiyidina Umar, Sinaran Islam, Ogos 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 23-25.
15.     Bagaimana Nasib Umat Islam Bila Menjadi Minoriti: Suatu Pengajaran dari Sejarah, Cahaya, Ogos 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 17-23.
16.     Bagaimana Nasib Umat Islam Bila Menjadi Minoriti: Suatu Pengajaran dari Sejarah (Sambungan), Cahaya, Disember 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 20-27.
17.     Umar Bin Al-Khattab: Sahabat Yang Kaya Dengan Ilmu, Cahaya, Disember 1992, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 40-42.
18.     Umar Bin Al-Khattab: Manusia Yang Kaya Dengan Ilmu, Pendidik, September 1993, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 5-8.
19.     Poligami Sebagai Penyelesaian Terakhir Masalah Sosial, Jurnal Akademik, Jil. 3 Bil. 1, Disember 1992, ITM Johor, 1-16.
20.     Poligami Sebagai Penyelesaian Terakhir Masalah Sosial, Cahaya, Januari 1993, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 37-46.
21.     Bagaimana Mencegah kaum Belia Meniru Budaya Barat, Cahaya, April 1993, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 22-24.
22.     Tafsiran Saidina Ali Mengenai Politik, Seni dan Tauhid, Cahaya, Julai 1993, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 36-40.
23.     Masyarakat Islam Menghargai Kualiti, Dakwah, Ogos 1993, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 11-15.
24.     Masyarakat Islam Menghargai Kualiti (Sambungan), Dakwah, September 1993, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 11-13.
25.     Fundamentalisme: Dalam Pemikiran Islam dan Kristian, Jurnal Akademik, Jil. 4, Bil. 1, Januari 1994, ITM Johor, hlm. 1-7.
26.     Kualiti Alam Sekitar: Terletak Kepada Kebijaksanaan Manusia, Cahaya, Oktober 1993, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 43-49.
27.     Fundamentalisme: Istilah Barat Yang Mengelirukan, Mastika, November 1993, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., Kuala Lumpur, hlm. 54-55.
28.     Mengenal Allah Melalui Rahmat dan Nikmat-Nya, Cahaya, Januari 1994, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 30-34.
29.     Reformasi Nabi Muhammad S.A.W., Risalah Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Segamat, Johor, 20 Ogos 1994, hlm. 12-13.
30.     Peranan Media Massa Dalam Mempertingkatkan Kefahaman Tentang Islam: Potensi dan Masalah, Jurnal Akademik, Jil. 5, Bil. 1, Januari 1995, ITM Johor, hlm. 47-50.
31.     Benarkah Mundurnya Ummah Kerana Islam?, Cahaya, April 1995, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 44-46.
32.     Kemunduran Umat Islam Perlu Ditanggani, Cahaya, April 1995, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 47-50.
33.     Islam Ancaman Utama Barat, Al-Islam, Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. , Kuala Lumpur, hlm. 78-81.
34.     Wanita & Kosmetik, Dakwah, Ogos 1995, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 42-44.
35.     Penghinaan Terhadap Islam Tiada Kesudahan, Cahaya, Bil. 4, 1995, BAHEIS, Kuala Lumpur, hlm. 40-43.
36.     Media dan Remaja, Cahaya, Bil. 2/1999, JAKIM, Kuala Lumpur, hlm. 7.
37.     Perspektif Ekonomi Islam Ke Arah Melahirkan Pengguna Bijak, Sinar Rohani, Bil. 2/1999, JAKIM, Kuala Lumpur, hlm. 9-13.
38.     Perkembangan Teknologi Media Dari Perspektif Islam: Pecah Monopoli Barat, Tamadun, Mac 1999, hlm. 62-65.
39.     Peranan Sedekah Dalam Ekonomi Islam, Sinar Rohani, Bil. 3/99, JAKIM, Kuala Lumpur, hlm. 30-34.
40.     Dunia Islam Menjelang Alaf 21, Sinar Rohani, Bil. 4/99, JAKIM, Kuala Lumpur, hlm. 6-9.
41.     Cabaran Teknologi Maklumat dan Media Massa Terhadap Umat Islam, Sinar Rohani, Bil. 2/2000, JAKIM, Kuala Lumpur, hlm. 30-34.
42.     Pandangan Fazlur Rahman Terhadap Beberapa Isu Dalam Pendidikan Islam, Jurnal Tasawur Islam, Pusat Pendidikan Islam, UiTM Shah Alam, Sept. 2000/J Akhir 1421.
43.     Perkembangan Protestant di Malaysia, Jurnal Academic Minds, UiTM Kampus Kelantan, Bil. 1 Januari – Jun 2005.

Penyelidikan:
1.       “Persepsi Pelajar Pengajian Tinggi Terhadap Pendidikan Islam – Kes Di ITM”. 27 April 1994. Pusat Penyelidikan dan Perundingan, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Penyuntingan:
1.       Editor Luar, Dewan Bahasa dan Pustaka (Ruj: DBP/329/14 k. 5 (47))
o    The Islamic Conception of Justice, Majid Khadduri, The John Hopkins University Press, Baltimore and London, 1984.
o    Muhammad Encyclopaedia of Seerah, Vol. 2 & 4, Afzalur Rahman, The Muslim School Trust of London, 1984, 1986.