KONSEP
PENGAGIHAN
10.1 Pengenalan
Segala harta dan sumber alam ini adalah milik Allah yang
perlu dieksploitasi oleh manusia dalam apa jua aktiviti ekonomi. Manusia
yang terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi akan beroleh upah, sewa
dan untung. Manakala mereka yang tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan
ekonomi juga akan beroleh pemberian (infak) dalam bentuk hadiah, zakat,
sedekah, derma, harta pusaka, wakaf dan sebagainya. Semua harta, sumber
kekayaan dan peluang mesti diagihkan secara adil dan saksama sesama manusia
tanpa mengira kelas sosial, kedudukan, agama, warna kulit dan bahasa bagi
menggambarkan perpaduan umat manusia. Ini kerana kegagalan melaksanakan
tanggungjawab pengagihan boleh menyebabkan menularnya gejala kemiskinan, pengangguran
dan kebuluran dalam kehidupan manusia. Pengagihan bukan setakat sebagai tanda
merafakkan kesyukuran kepada Allah tentang rezeki dan pemberian tetapi lebih
dari itu sebagai ujian kepada manusia adakah mereka patuh dan bersyukur ataupun
engkar dan tamak.
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya
lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: “Tuhanku telah
memuliakan aku”. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya,
maka dia berkata: “Tuhanku menghina aku””.
(al-Fajr:
15-16)
10.2 Definasi Pengagihan
Mengikut
Afzalur Rahman (1985: 55), pengagihan ialah kajian tentang bagaimana pendapatan
dan kekayaan negara diagihkan di antara pelbagai faktor pengeluaran yang
memberi sumbangan untuk mendapatkan kekayaan. Manakala dalam ekonomi
konvensional, Pearce (1992: 110) menjelaskan pengagihan sebagai suatu mekanisma
pengagihan pendapatan negara diagihkan di kalangan individu dan kumpulan yang
terlibat dalam kegiatan ekonomi.
Ekonomi konvensional menghadkan hanya mereka yang
terlibat dalam proses pengeluaran sahaja yang berhak untuk mendapat pengagihan
dalam bentuk upah, gaji, sewa dan untung. Akan tetapi Islam melihat konsep
pengagihan dalam konteks yang lebih luas iaitu turut melibatkan mereka yang
tidak secara langsung terlibat dalam aktiviti ekonomi. Muhammad Akram Khan
(1983) dalam bukunya Issues In Islamic Economics, menegaskan bahawa
institusi seperti infaq, zakat dan wiratha merupakan mekanisma
untuk melaksanakan pengagihan daripada segelintir orang kepada golongan yang
ramai. Islam menghendaki ahli masyarakat yang memiliki harta kekayaan supaya
berkongsi dengan orang lain secara sukarela dan jika enggan, tindakan
undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka.
10.3 Kepentingan
Pengagihan
Pelbagai permasalahan ekonomi timbul akibat dari
kegagalan pengagihan yang sewajarnya sebagaimana yang ditentukan oleh syarak
dan bukannya kerana kurangnya sumber atau harta kerana setiap orang telah
ditentukan rezekinya oleh Allah. Harta yang gagal diagihkan dengan adil dan
menyeluruh telah menyebabkan sebahagian besar manusia hidup ditindas, melarat,
susah, miskin dan sebagainya. Dalam masa yang sama segelintir kecil manusia
hidup dengan harta yang banyak dan mewah serta peluang yang banyak.
Keadaan
ini menyebabkan wujud jurang pemisahan yang besar di dalam masyarakat di antara
golongan kaya dan miskin. Seterusnya mencetuskan dendam kesumat dan kebencian
pihak yang merasa tertindas dan serta wujud sifat bongkak dan sombong pihak
yang memiliki harta kekayaan. Ekonomi Islam mahu supaya setiap individu
memperolehi hak masing-masing. Islam
berhasrat untuk mewujudkan perpaduan di kalangan umat manusia dan tidak mahu
wujud perpecahan atas kelas-kelas yang berbeza di kalangan manusia. Oleh itu
Islam mahu supaya harta kekayaan beredar (mobilize) secara sempurna
supaya ia tidak dimonopoli oleh orang kaya sahaja dan bagi melindungi
kepentingan ekonomi mereka yang kurang bernasib baik. Keadaan ini boleh
mendatangkan keburukan ekonomi iaitu berlakunya pembekuan harta yang sepatutnya
dilaburkan sebagai modal dalam aktiviti pengeluaran sehingga kesannya kelak
boleh mengancam pertumbuhan ekonomi negara.
Ekonomi Islam juga berusaha untuk juga mewujudkan sifat
mengambil berat (caring) terhadap mereka yang tidak bergiat secara
langsung dalam aktiviti ekonomi kerana kecacatan, kesihatan dan sebagainya.
Golongan ini tidak terlibat dalam kegiatan ekonomi bukan kerana malas, tetapi
boleh memberi kesan buruk kepada sosio-ekonomi seperti kemiskinan dan
memaparkan sikap meminta-minta, sedih, benci, marah dan dengki. Ekonomi
Islam berusaha mengurangkan pengaruh harta kepada jiwa manusia supaya dengan
segala sumber kekayaan yang dimiliki, manusia tidak lupa tanggungjawab,
sombong, tamak dan tenggelam dengan kemewahan. Ini kerana kekayaan yang
dimiliki oleh mereka ada sebahagiannya merupakan hak orang lain dan hak
kerajaan yang mesti diagihkan.
10.4 Prinsip Pengagihan
a. Adil
Adil ialah keseimbangan. Ia juga bermaksud hak seseorang
itu mestilah diberikan kepadanya. Dalam konteks ekonomi
Islam, hak individu dari segi harta bergantung kepada sumbangannya dalam
aktiviti ekonomi untuk memperolehi harta sebanyak mungkin dengan menurut
batasan syarak. Semua pihak mendapat hak yang sepatutnya. Pekerja mendapat upah
atau gaji, usahawan mendapat untung, tanah menghasilkan bayaran sewa dan modal
menjana keuntungan. Pengagihan dilakukan sehingga tiada pihak yang merasa
teraniaya kerana masing-masing memperoleh sesuatu yang sepadan dengan usaha
yang dilakukan.
b. Ihsan
Oleh kerana pada asalnya Allah pemilik semua harta dan sumber
maka Allah berhak menentukan pengagihannya. Tidak semua orang mendapat
pengagihan yang cukup dalam bentuk upah, maka mereka memerlukan bantuan ihsan.
Ihsan berlaku dari golongan berada kepada golongan kurang berkemampuan seperti
orang miskin, cacat, balu, anak yatim dan seumpamanya. Mereka ini sebahagiannya
tidak aktif dalam aktiviti ekonomi manakala sebahagian yang lain telah berusaha sedaya upaya tetapi gagal
memenuhi semua yang mereka perlukan. Ihsan boleh dilakukan dalam bentuk zakat, sadaqah,
kafarah, faraid, hadiah, derma dan sebagainya. Ini dapat membantu
merapatkan jurang pendapatan di antara golongan kaya dan miskin serta
meningkatkan kuasa beli.
10.5 Kaedah Pengagihan
a. Pembahagian pemilikan
Pemilikan harta memberi kesan kepada pembangunan ekonomi.
Ada tiga bentuk pemilikan dalam Islam iaitu;
i.
Pemilikan individu (private property). Adalah menjadi fitrah manusia cinta dan suka akan harta.
Manusia akan berusaha mencari dan memiliki harta dengan bekerja. Namun tidak
semua orang memiliki kemampuan bekerja yang sama kerana ada yang gigih,
sederhana dan malas. Ada pula yang tidak berupaya kerana ketidaksempurnaan
anggota badan. Namun setiap orang berhak memiliki harta dari hasil usahanya
selama mana ia tidak bercanggah dengan syarak seperti mencuri, menipu,
mengambil riba, merampas dan tidak memudaratkan orang lain. Ia juga boleh
memiliki sesuatu melalui pemberian orang lain dalam bentuk hadiah. Begitu juga
pemilikan melalui harta warisan (faraid) dan juga oleh pemberian
kerajaan.
ii.
Pemilikan awam (public property). Harta yang ada manfaat umum dimiliki secara bersama oleh
masyarakat dan dilarang individu dari memilikinya. Harta awam itu adalah
seperti api, air, tanah, garam, minyak, gas, galian, sungai dan seumpamanya
yang boleh difahami pada masa kini seperti masjid, sekolah, dewan dan hospital
yang digunakan bagi memberi kebaikan kepada masyarakat umum. Jika dimiliki oleh
individu sedangkan semua golongan masyarakat amat memerlukannya ia bakal
menjerumuskan kehidupan masyarakat kepada persengketaan.
iii.
Pemilikan negara (state property). Ia merupakan harta yang diurus selia oleh kerajaan
sebagai milik negara seperti harta milik Bait al-Mal dalam bentuk al-fai’,
jizyah, ghanimah, kaffarah, wasiat, waqaf, nazar, luqatah dan harta
tiada waris. Manakala zakat diurus oleh kerajaan untuk lapan golongan yang
ditentukan oleh syarak. Dalam pada itu harta pemilikan awam juga adalah menjadi
pemilikan negara dengan peranan kerajaan memberi pemilikan kepada individu atau
organisasi untuk melakukan kegiatan ekonomi tertentu seperti tanah untuk
perladangan, perlombongan, kediaman, jalanraya dan sebagainya. Namun kerajaan
boleh mengambil balik hak tersebut sekiranya ia terbiar tidak diusahakan atau
pun ia penting untuk kegunaan masyarakat umum atau negara.
b. Hak
utama terhadap harta
Hak individu untuk memiliki harta melalui kegiatannya
secara langsung dalam proses pengeluaran seperti bekerja, gadaian, sewaan,
pertukaran dan sebagainya. Ini berlaku kerana ketika manusia bekerja ia
menggunakan kepintaran akalnya dan kekuatan fizikalnya untuk mendapatkan harta
dan juga manfaat harta supaya boleh digunakan untuk memenuhi keperluan hidupnya
untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan.
c. Hak
pelengkap terhadap harta
Hak individu untuk memperolehi harta secara tidak
langsung hasil pemberian orang lain setelah ia benar-benar tidak upaya untuk
memenuhi keperluan sendiri melalui derma, pemberian, hadiah, waqaf, wasiat
dan sebagainya.
d. Pencegahan
penyelewengan harta
Pencegahan bagi memastikan aliran harta berlaku dengan
sempurna. Ini dilakukan secara bersepadu melalui larangan memperoleh harta
melalui amalan riba, rasuah, black market, pembekuan harta, pembaziran,
perjudian, spekulasi, monopoli, penipuan, perampasan, sorok barang, pakatan dan
sebagainya. Aktiviti ekonomi ini dilihat negatif oleh ekonomi Islam kerana ia
membahayakan kestabilan sosio-ekonomi negara kerana mewujudkan jurang antara
orang kaya dan orang miskin, mengurangkan modal, mengurangkan
pengeluaran barangan dan perkhidmatan, meningkatkan pengangguran dan mengurangkan
kuasa beli.
10.6 Kaedah Pengagihan Semula
Pengagihan
pendapatan dan harta kadangkala gagal menyempurnakan keperluan manusia dalam
menyara kehidupan kerana kebolehan mental dan keupayaan fizikal yang tidak sama
sehingga mewujudkan ketidakseimbangan pendapatan. Ungkapan yang dikemukakan
oleh Afzalur Rahman (1992: 537) boleh dijadikan panduan untuk menjayakan
pengagihan semula, iaitu “Orang yang kurang bernasib baik seharusnya belajar
bersifat sabar, bertolak ansur dan berpuashati; manakala orang yang berada
harus membentuk nilai-nilai kesyukuran, kebaikan, kemurahan hati dan
menyembunyikan pengorbanan mereka”. Oleh itu pengagihan semula perlu dilakukan
secara komprehensif dalam bentuk kewangan, barangan, perkhidmatan dan peluang
dengan;
a. Cara wajib (compulsory)
Pemindahan harta kepada individu atau pihak lain boleh
dilakukan oleh individu sendiri ataupun oleh kerajaan melalui amalan;
i.
Zakat. Ia
diagihkan kepada lapan golongan sasaran yang ditentukan oleh nas al-Quran iaitu
fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, yang berhutang, fi
sabilillah dan Ibn Sabil. Zakat bukan hanya sebagai cukai keagamaan
tetapi juga merupakan ibadah harta. Kadar zakat dan jenis harta yang dikenakan
zakat ditentukan oleh syarak. Kesan positif agihan zakat dalam kehidupan ialah;
berlakunya pengagihan semula untuk menghapuskan kemiskinan, mengurangkan jurang
ekonomi golongan kaya dan miskin, peningkatan kualiti kehidupan, mengekalkan
kestabilan ekonomi dari segi nilai benar wang dengan mengawal inflasi,
meningkatkan permintaan atau kuasa beli melalui kesaksamaan pendapatan dan
kekayaan, mendorong pelaburan ke arah pertumbuhan optimum, menggalakkan
produktiviti melalui pelaburan semula, tabungan negara dan mewujudkan peluang
pekerjaan bagi mencapai gunatenaga penuh. Fazlur Rahman dalam analisisnya
berdasarkan semangat ajaran al-Quran melihat peranan pengagihan zakat dalam
konteks yang lebih luas dan komprehensif peranan kerajaan sebagai pengurus
iaitu perbelanjaan zakat sepertimana yang ditetapkan dalam al-Quran tidak
semata-mata digunakan untuk menolong orang miskin dan mereka yang
memerlukannya; ia juga digunakan sebagai perbelanjaan untuk kesejahteraan
sosial dalam pengertian yang lebih luas meliputi perbelanjaan untuk membantu
orang yang berhutang, gaji anggota perkhidmatan awam, perbelanjaan diplomatik,
pertahanan, pendidikan, kesihatan dan komunikasi sehingga mencakupi seluruh
aktiviti negara (Rahman 1980: 41).
ii.
Pemberian nafkah (infaq) atau sara hidup. Ia diagihkan kepada ibubapa, isteri, anak, keluarga dan
saudara mara merupakan suatu bentuk kebaikan yang terhasil dari rasa
tanggungjawab dan kasih sayang. Ini dapat menggelakkan mereka dari kesusahan
hidup, kemelaratan dan kemiskinan terutamanya apabila mereka telah tua ataupun
cacat kerana mereka memiliki sesuatu untuk dibelanjakan selaras dengan
keperluan hidup mereka. Islam mewajibkan seseorang membantu kaum kerabat atau
saudaramaranya yang hidup susah terlebih dahulu dan kemudian baru membuat
tindakan untuk menolong orang lain. Ini kerana pemberian nafkah sebegini boleh
memperkukuhkan kepentingan institusi kekeluargaan dan membina perpaduan dalam
masyarakat.
iii.
Pemberian harta warisan (faraid) peninggalan si
mati. Ia merupakan pengagihan
semula harta si mati kepada waris yang berhak dengan penetapan kaedah pengiraan
tertentu bagi menggelakkan perbalahan kerana harta. Ini
dapat menggelakkan waris dari belenggu kemiskinan dan kemelaratan kerana ia
mempunyai harta untuk menyara hidup dari pemberian si mati.
iv.
Cukai kepada kerajaan. Ia boleh digunakan oleh kerajaan bagi menjana
pembangunan negara dan bagi menampung keperluan yang tidak dapat diselesaikan
oleh harta zakat untuk membina infrastruktur, memelihara keamanan dan mengurus
kebajikan rakyat.
2. Cara
pilihan (optional)
Pemindahan harta atau pengagihan kekayaan kepada pihak
lain secara pilihan untuk melakukannya ataupun untuk meninggalkannya boleh
dilakukan melalui;
i.
Wasiat. Orang yang mempunyai
harta boleh membuat kebajikan dengan berwasiat tidak lebih dari 1/3 dari
hartanya. Ia merupakan pesanan si mati agar hartanya kelak akan digunakan untuk
kebajikan apabila ia telah mati. Ia diagihkan semula oleh kerajaan sebagai
penyelia dan akan digunakan oleh institusi yang melaksanakan kerja-kerja
kebajikan seperti yang dikehendaki oleh si mati.
ii.
Waqaf. Seseorang yang
memiliki harta dibenarkan berwaqaf dengan syarat tidak lebih dari 1/3 hartanya.
Ini kerana 2/3 hartanya yang lain mesti diagihkan kepada para waris yang
ditinggalkan bila ia mati. Ini bererti si mati menyerahkan
hartanya untuk tujuan kebajikan umum untuk mengharapkan balasan syurga dari
Allah. Kerajaan akan mengurus harta tersebut mengikut tujuan waqaf sama
ada waqaf khas ataupun waqaf umum. Ia juga boleh digunakan untuk
membina infrastruktur ataupun membiayai sesuatu yang boleh membawa kepada
kebajikan umum seperti institusi pendidikan, kesihatan, ibadah, jaminan sosial
dan sebagainya.
iii.
Derma. Seseorang
boleh menyerahkan hartanya kepada institusi, kerajaan dan orang perseorangan
sebagai pernyataan kasih sayang, simpati, timbang rasa dan kebajikan bagi
memenuhi keperluan masyarakat yang memerlukan kemudahan tertentu. Ia boleh
dilakukan sama ada dengan menderma wang ataupun harta benda. Usaha ini
dapat menampung jurang pengagihan dalam masyarakat seperti untuk bantuan
pembinaan rumah, keperluan makanan dan penjagaan kesihatan orang miskin, anak
yatim, orang tua, orang cacat dan sebagainya.
3. Cara menghalang
Islam menghalang sebarang cara yang boleh menyekat
pengaliran harta dan sumber kekayaan dengan sempurna kepada masyarakat umum.
Oleh itu Islam menetapkan larangan seperti pembekuan harta, riba, penyeludupan,
pasaran gelap, pembaziran, pakatan, spekulasi, mengambil untung besar,
perniagaan yang merosakkan akhlak-moral, penipuan, monopoli dan sebagainya.
10.7 Tanggungjawab
Kerajaan Dalam Pengagihan
Kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang
mengutamakan kepentingan dan memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan melaksanakan
dasar yang boleh membawa kepada perpaduan, menghapuskan kemiskinan, menguatkan
golongan yang lemah dan memenuhi keperluan asas supaya kualiti hidup mereka
meningkat. Untuk tujuan tersebut, kerajaan pada pandangan Muhammad
Abdul Mannan (1986:57-105) dalam bukunya Islamic Economic: Theory and
Practice, bertanggungjawab mewajibkan bayaran zakat, mengharamkan riba
kepada pinjaman penggunaan dan pengeluaran, mewujudkan undang-undang harta
warisan, menggalakkan pinjaman tanpa faedah, tidak menggalakkan penyusutan
sumber-sumber ekonomi, menggalakkan pemberian sedekah, menggalakkan organisasi
takaful (insuran), menggalakkan penubuhan badan waqaf, menguatkuasakan
jaminan sosial bagi keperluan hidup minima, dan menggenakan cukai tambahan
tertentu.
Antara
langkah lain yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah mewujudkan undang-undang
mengenai pemilikan supaya semua pihak bertanggungjawab, mengawasi jaminan
kepentingan umum (dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat) bagi
memastikan keselesaan hidup, menyediakan tenaga manusia yang terlatih dan
berpengetahuan, memperlengkapkan infrastruktur yang sempurna, menyekat aktiviti
yang boleh menghalang atau menyekat aliran pengagihan dengan hukuman yang
setimpal, mengorganisasikan zakat dari segi kutipan dan agihan yang cekap,
bertindak ke atas mereka yang enggan membayar zakat dan memberi keutamaan
kepada Dasar Kewangan Islam yang berasaskan cukai dan mengurangkan perbelanjaan
negara menerusi hutang, mengawal perbelanjaan dari pembaziran dan terlalu
mewah. Firman Allah yang bermaksud;
“Supaya harta itu
jangan hanya beredar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja”.
(al-Hasyr: 7)
10.8 Kesimpulan
Ringkasnya, konsep pengagihan dalam ekonomi Islam tunduk
kepada peraturan Allah dan demi kepentingan keseluruhan hidup manusia. Ia
bagi memastikan setiap manusia dapat menjalani hidup dengan sejahtera dengan
mendapat bahagian yang sewajarnya. Islam mengajarkan kerjasama dan kesaksamaan
ekonomi dalam masyarakat. Semua perbelanjaan yang baik kepada manusia lain
dengan ikhlas dan sukarela bakal beroleh ganjaran pahala dari Allah dan
menjadikan seseorang itu manusia yang bertanggungjawab serta menghalang
keterlaluan kepada sifat individualisme.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAssalamualaikum Tuan
ReplyDeleteSaya seorang pensyarah kolej swasta dan mengajar subjek Ekonomi Islam..sy nak minta sedikit bantuan dr Tuan.Harap dpt berikan alamat emel. Berminat utk dapatkn buku yg ditulis oleh Tuan tapi xjumpa.Harap Tuan dpt membantu.Terima kasih.
rujukan ada disediakan tak ?
ReplyDelete