MASYARAKAT MAJMUK DAN PENDIDIKAN
Oleh
Mohd
Zuhairi Bin Safuan
1.
Pendahuluan
Sosiologi pendidikan membincangkan aspek-aspek sosial
yang boleh mempengaruhi pendidikan. Kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia
banyak mempengaruhi sistem pendidikan di Malaysia. Oleh itu ia memberi impak
besar dalam merumuskan Dasar Pendidikan Negara. Peristiwa 13 Mei 1969 dan Kg.
Medan 6 Mac 2001 banyak memberi pengajaran perlunya sistem pendidikan memberi
sumbangan kepada perpaduan.
Masyarakat majmuk terdiri dari berbagai kelompok ras /
etnik yang berlainan tetapi berada di bawah satu bentuk pemerintahan. Masyarakat majmuk pelbagai etnik ini
mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri.
Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah konflik,
percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dan interaksi sosial yang
terhad yang biasanya pada sektor ekonomi sahaja. Malaysia yang mempunyai masyarakat
majmuk mesti menanggani persoalan hubungan etnik ini sebaik mungkin supaya seluruh
tenaga dan fikiran rakyat dapat disalurkan kepada pembangunan negara.
Oleh itu pelajar mesti didedahkan dalam situasi
pembelajarannya tentang;
a. Kesedaran mengenai kewujudan masyarakat
majmuk. Pelajar harus mengamalkan persefahaman, toleransi, kerjasama dan
perpaduan melalui pergaulan yang sihat di kalangan masyarakat majmuk dalam
semua aktiviti pembelajaran dan kehidupan kampus. Ini kerana dalam bidang
sosial; mereka berbeza dari segi pakaian, agama, tempat tinggal, pendidikan,
bahasa dan sebagainya. Ada pertubuhan sosial yang berbeza dan sekolah yang
berbeza. Majoriti orang Melayu tinggal di luar Bandar, orang China tinggal di
lombong yang kemudiannya menjadi Bandar dan orang India di estet kesan dari
dasar (divide and rule) “pecah dan perintah” penjajah Inggeris.
Keadaan ini telah mengurangkan interaksi sosial tetapi
memperkuatkan semangat kekitaan etnik yang menyuburkan prasangka dan
ketidaktahuan mengenai etnik yang lain. Setiap etnik mempunyai sistem
pendidikan yang tersendiri (vernacular). Orang Melayu belajar di sekolah Melayu
yang menggunakan bahasa Melayu. Di UiTM, pensyarah dari kalangan kaum lain dapat
membantu dalam aspek ini.
b. Pelajar harus mengambil aspek kebaikan
dari kemajmukkan demi memperkayakan kehidupan. Ini kerana setiap etnik
mempunyai agama yang berbeza Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Animisme dan
lain-lain sehingga membawa kepada polarisasi etnik. Perbezaan boleh menebal
jika sentimen perbezaan dimainkan oleh pemimpin agama. Pelajar boleh mengetahui
dan memahami aspek persamaan dan perbezaan agama selain anutannya dan
menghormati amalan kebebasan agama. Ini membantu mewujudkan masyarakat yang
bersatupadu dan bertanggungjawab.
c. Pelajar perlu melakukan
mobiliti sosial melalui pendidikan untuk menjamin keseimbangan ekonomi antara kaum.
Ini kerana dalam bidang ekonomi; Ada pembahagian yang jelas seperti orang
Melayu bergiat dalam pertanian, sebagai nelayan dan sektor awam yang berpendapatan
rendah dan sederhana, orang China dalam sektor perniagaan dan perlombongan yang
berpendapatan sederhana dan tinggi, manakala orang India dalam sektor
perladangan, perkilangan dan keretapi yang berpendapatan rendah.
Berlaku ketidakseimbangan pendapatan sehingga berlaku
tuntutan setiap etnik untuk mendapat hak yang lebih munasabah dan baik yang
kesannya jika tidak ditangani membawa kepada ketidakstabilan negara.
d.
Berusaha menjadi pelajar yang
bersikap moderat dan harmonis dalam semua kegiatan berpersatuan. Ini kerana
dalam realiti dunia politik masyarakat majmuk mementingkan survival
masing-masing dengan dipimpin oleh kalangan mereka sendiri dan sukar menerima
kalangan pemimpin etnik lain. Setiap etnik ada parti politik tersendiri. Orang
Melayu (UMNO dan PAS), orang China (MCA, DAP, Gerakan), orang India (MIC, IPP)
dan demikian juga di Sabah dan Sarawak.
Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum, gagal
mendapat kepercayaan rakyat. Kewujudan parti politik berasaskan etnik menyuarakan
kepentingan masing-masing sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan
semangat perkauman terutamanya pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan,
ekonomi dan sebagainya. Kita pernah didedahkan mengenai perjuangan chauvanisme
persatuan bahasa Cina dan persatuan bahasa Tamil di UM.
2. Penutup
Pendidikan dan perpaduan merupakan ramuan penting untuk
Malaysia menjadi negara yang maju, makmur, aman dan damai. Pengetahuan dan
penggunaan ilmu sosiologi dalam pendidikan dapat membantu penting usaha-usaha perpaduan
negara demi untuk kemajuan politik, ekonomi dan sosial. Perasaan kekitaan dan
taatsetia terhadap Negara Malaysia perlu digerakkan melalui pendidikan. Sekian
terima kasih.