Saturday, March 1, 2014

Islam dan Hubungan Etnik (T8)


ISLAM DAN HUBUNGAN ETNIK



1.              Pendahuluan
Dalam usaha mencapai keharmonian etnik, Malaysia telah melaksanakan berbagai polisi dan dasar yang boleh membawa pelbagai etnik yang berbeza bertemu, berbincang, membina persefahaman, bertoleransi dan seterusnya bekerjasama dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara. Ini penting bagi memastikan rancangan-rancangan pembangunan negara dapat berjalan dengan baik dan dinikmati secara bersama. Di antara dasar-dasar Islam yang dilancarkan oleh kerajaan untuk pembangunan dan hubungan etnik ialah Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dan Islam Hadhari. Dasar Islam ini diperkenalkan dengan mengambil kira kemampuan ajaran Islam bagi memastikan kehidupan yang aman, sejahtera dan harmonis di kalangan rakyat Malaysia yang tidak sahaja terdiri dari pelbagai etnik tetapi juga pelbagai agama.

2.         Realiti Kehidupan Masyarakat dan Hubungan Etnik
Dalam surah al-Hujurat ayat 13, Allah berfirman yang bermaksud;
“Wahai manusia! Kami jadikan kamu dari lelaki dan wanita, dan Kami jadikan kamu berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah mereka yang bertakwa”.

Ayat ini menjelaskan kebijaksanaan dan kebesaran Allah menjadikan manusia terdiri dari pelbagai bangsa, suku, lelaki dan wanita supaya mereka saling kenal mengenali, memahami dan mengetahui di antara satu sama lain. Interaksi etnik dapat membantu kesedaran, pemahaman dan pemindahan nilai-nilai murni serta ilmu pengetahuan berguna yang dapat membantu kemajuan hidup manusia. Sukar untuk dibayangkan mengenai tamadun manusia jika tidak berlaku pemindahan nilai-nilai murni dan ilmu pengetahuan di kalangan pelbagai etnik. Tiada idea-idea baru dan sistem hidup manusia menjadi statik serta mundur.
Kegiatan yangmembolehkan berinteraksi dengan etnik lain dengan penuh penghargaan dan saling hormat menghormati menyebabkan pelbagai idea dan pendekatan baru bakal muncul di bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan sosial dapat diterokai sehingga menjadikan kehidupan manusia lebih sempurna. Malangnya sekiranya perbezaan etnik ini dibawa ke arah kebencian, ketamakan dan egoism ia akan menjerumuskan kehidupan manusia kepada peperangan, sabotaj dan kekolotan yang membinasakan.

3.         Asas Hubungan Sosial Dalam Islam
3.1       Berkenal-kenalan (al-Taaruf)
Merupakan asas perhubungan sosial masyarakat untuk hidup dengan penuh perasaan kasih sayang dan sikap ambil berat. Berkenalan penting bagi memulakan kerjasama yang membawa kebaikan kepada manusia. Permusuhan merugikan semua pihak. Berkenalan merupakan suatu tindakan meliputi usaha untuk mengetahui latar belakang kehidupan individu lain dan budaya masyarakatnya melalui nama, tempat tinggal, keluarga, pendidikan dan isu-isu sosial yang lain. Kesedaran mengenai individu lain boleh membina persamaan dan mengenepikan perbezaan bagi mewujudkan perkenalan yang membina.

3.2       Persefahaman (al-Tafahum)
Persefahaman ialah saling sentiasa bersetuju untuk bekerjasama antara satu sama lain. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan berbagai program kemasyarakatan yang boleh mempertemukan masyarakat pelbagai etnik seperti dalam kegiatan sukan, politik, ekonomi, sosial melalui mesyuarat dan gotong-royong. Pertemuan sebegini mampu membina interaksi yang positif ke arah persefahaman. Suara azan waktu subuh umpamanya kadangkala boleh menjejaskan ketenangan tidur orang lain yang bukan beragama Islam, perayaan Thaipusam dengan perarakan Kavadi boleh menyebabkan kesesakan jalanraya yang menyusahkan pengguna yang lain, pembakaran mercun dan bunga api Tahun Baru Cina boleh menyebabkan bunyi bising yang menggangu ketenangan pihak lain. Semua ini tidak menimbulkan masalah jika semua etnik mengetahui, saling bersefahaman dan meraikan perayaan agama dan perbezaan budaya antara pelbagai etnik.

3.3       Bantu membantu (al-Taawun)
Dalam kehidupan bermasyarakat, sifat bantu membantu hendaklah di arah kepada mencari kebaikan dan bukan untuk tujuan ke arah perkara kejahatan. Sifat bantu membantu dapat mengelakkan timbul pelbagai masalah dalam masyarakat dan memudahkan segala urusan. Ia boleh dilakukan melalui bantuan kewangan, tenaga, barangan, peralatan, masa dan khidmat nasihat kepada ahli masyarakat yang menghadapi kesusahan dan ditimpa malapetaka. Dalam usaha untuk pembangunan negara, sifat ini berupaya melahirkan masyarakat yang cakna dan mengambil berat keadaan mereka yang kurang bernasib baik dan menanggung masalah hidup supaya sama-sama menikmati kemakmuran negara.

3.4       Persaudaraan (al-Ukhuwah)
Persaudaraan ialah ikatan kerohanian (psikologi) yang mendalam dalam jiwa sehingga menghasilkan kasih sayang, belas kasihan dan tanggungjawab. Ia merasa diri orang lain seperti dirinya sendiri. Susah senang gembira dan derita dirasai bersama. Oleh itu ia cuba untuk menghindari sebarang masalah dari menimpa diri orang lain kerana ia sendiri tidak mahu dirinya ditimpa masalah sedemikian. Perasaan ikatan yang mendalam ini bukan diasaskan kepada hubungan darah dan keturunan tetapi lebih tinggi dari itu mereka diikat oleh kebersamaan etnik, lokaliti, negara, rantau dan sebagai warga dunia yang sama.

3.5       Kasih sayang (al-Mahabbah)
Ia merupakan sifat kemanusiaan supaya mengasihi orang lain selain dari diri sendiri supaya masyarakat berada dalam ikatan perasaan kasih sayang yang kukuh. Ini sekaligus dapat menghilangkan sifat-sifat buruk yang melingkar dalam masyarakat seperti kedengkian, permusuhan, kebencian dan sebagainya agar dapat menjamin kehidupan masyarakat yang lebih aman damai.

3.6       Saling menjamin (al-Tadhamun)
Suatu usaha ke arah melahirkan masyarakat yang saling bertanggungjawab terutamanya bagi membantu ahli masyarakat lain yang menghadapi masalah hidup. Ia merupakan suatu jaminan sosial kepada setiap ahli masyarakat tanpa mengira etnik. Dengan lain perkataan ia merupakan hak asasi manusia yang dianjurkan oleh Islam seperti pemberian nafkah, berzakat, membayar cukai dan sebagainya.

5.         Maqasid al-Syariah
             Tujuan Islam disebarkan kepada seluruh manusia menerusi dakwah adalah untuk memberi kebaikan (rahmat) kepada kehidupan manusia. Dengan sebab itu tujuan Islam adalah untuk memelihara 5 perkara asas dalam kehidupan iaitu agama, akal, nyawa, harta dan keturunan manusia sejagat. Ajaran Islam baik yang berbentuk perintah mahupun larangan adalah untuk kebaikan hidup manusia. Dengan sebab itu diwajibkan berdakwah mengikut kemampuan suapaya Islam terus berkembang dan dijatuhkan hukuman berat bagi kesalahan murtad. Islam menjamin kehidupan manusia dengan perintah menjaga nyawa dan kesihatan serta larangan Islam terhadap jenayah bunuh diri, pembunuhan dan mencederakan pihak lain. Islam menyanjung akal yang sejahtera dengan galakkan menuntut ilmu dan menggunakan akal untuk memikirkan perkara yang munasabah. Dalam masa yang sama Islam melarang amalan yang merosakkan akal seperti minum arak, salahguna dadah dan memikir sesuatu dari segi logik yang melampaui kemampuan akal fikiran manusia untuk memahaminya. Fitrah manusia amat sukakan harta dan kekayaan. Untuk itu mereka sanggup bersusah payah untuk mendapatkan harta yang banyak sehingga kadangkala melanggar batas-batas kemanusiaan dengan sifat tamak haloba. Justeru itu ajaran Islam mengalakkan manusia mencari harta yang baik dan dengan cara-cara yang baik supaya manusia menjadi baik dan kehidupan mereka pun akan menjadi baik. Islam melarang sikap tidak mahu bekerja untuk mencari harta dunia, larangan terlalu mencintai harta dan galakkan menggunakan harta untuk bersedekah, berzakat, membayar cukai dan membantu manusia lain. Islam mahu survival hidup manusia berlangsung dalam suasana teratur, baik dan harmonis melalui galakan untuk memelihara adab moral, tingkah laku serta berfikiran sihat. Untuk itu Islam menggalakkan perkahwinan di antara lelaki dan wanita supaya mereka menjadi baik. Bahkan menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita sebagai suami isteri ini untuk bukan setakat melahirkan zuriat tetapi juga memberi didikan yang sempurna kepada anak mereka untuk menjadi manusia baik yang bertanggungjawab.
Inilah Maqasid al-Syariah Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam yang impaknya bukan sahaja baik kepada manusia Islam tetapi juga kepada orang yang bukan Islam dari etnik yang berbeza. Ini sebagai suatu bukti kukuh bahawa Islam adalah agama rahmat untuk seluruh alam.

6.         Aplikasi Hubungan Sosial Islam dan Hubungan Etnik
6.1       Komunikasi positif
Masyarakat pelbagai etnik patut mengamalkan komunikasi positif melalui pertemuan individu atau perjumpaan kelompok dengan cara memberi ucapan selamat, senyuman, perkataan yang bersopan, memberi perhatian semasa berhubungan dan hubungan kemesraan yang baik. Dalam masa yang sama mengenepikan komunikasi negatif seperti penggunaan perkataan yang buruk, bermasam muka serta memandang rendah kepada etnik lain.

6.2       Ziarah menziarahi
Melalui amalan berziarah masyarakat pelbagai etnik dapat sentiasa menjaga hubungan kemesraan dan sikap mengambil berat antara satu sama lain. Ia didahului dengan meminta izin untuk membuat kunjungan ke rumah. Atau jika tidak pun ziarah boleh dilakukan di luar atau halaman rumah ketika duduk berehat, sambil membasuh kereta, menyapu sampah, mengemas dan sebagainya asalkan kedua belah pihak telah mengetahui keadaan hal ehwal diri masing-masing.

6.3       Mengambil berat
Semua etnik di Malaysia harus mengambil berat mengenai apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka yang melibatkan etnik lain dalam konteks membantu kebaikan dan kebenaran serta menjauhi kejahatan dan keburukan seperti soal keselamatan, kesihatan, pendidikan dan sebagainya. Sikap ini mampu menjamin kewujudan suatu masyarakat yang sensitif kepada unsur-unsur yang positif dan negatif dalam kehidupan mereka.

6.4       Hormat menghormati
Mewujudkan hubungan etnik berdasarkan prinsip hormat menghormati dengan  memuliakan manusia lain atas dasar kemanusiaan dan bukannya diasaskan atas perbezaan bahasa, etnik, agama dan warna kulit. Hormat menghormati dengan memuliakan orang lain dan memberikan kedudukan yang tinggi di samping rasa rendah diri. Keadaan ini dapat memberikan kesan kejiwaan yang mendalam mengenai keikhlasan dan baik hati.

6.         Konsep Kejiranan di Malaysia
Jiran ialah mereka yang tinggal berhampiran atau berdekatan dengan rumah kita yang selalu juga disebut sebagai orang sebelah ataupun tetangga. Ia meliputi 40 rumah di sebelah barat, timur, utara dan selatan serta jiran di atas dan di bawah dalam konteks kehidupan metropolitan.  Konsep kejiranan amat penting diamalkan kerana ia merupakan pihak yang paling awal ditemui untuk mendapatkan bantuan ketika kecemasan, kesusahan serta kematian. Ia perlu sentiasa dipupuk dan disuburkan melalui hubungan kejiranan di tempat kerja, institusi sosial (seperti pasar, klinik), institusi agama, institusi politik dan kegiatan rekreasi.
Sikap dan insiatif individu, perancangan fizikal oleh kerajaan dan penubuhan persatuan penduduk seperti rukun tetangga dapat membantu memperkukuhkan semangat kejiranan. Sikap mementingkan diri sendiri individu (privacy) harus ada batasannya walaupun suasana hidup kontemporari dengan corak hidup perbandaran (urban) penuh dengan persaingan dan batasan sempadan fizikal rumah.
Amalan bertegur sapa, memberi salam dan menziarahi jiran boleh merapatkan hubungan kejiranan. Etnik Cina pada kebiasaannya merasa superior dengan cara hidup perbandaran kerana mereka merupakan majoriti di bandar sedangkan etnik India kelihatan tersisih kerana selama ini dipengaruhi oleh psikologi tinggal di estet. Manakala etnik Melayu mulai mencari kekuatan di bandar selaras dengan Dasar Ekonomi Baru. Kejiranan di kampung lebih terserlah kerana etnik Cina dan India fasih berbahasa Melayu dan mengetahui budaya etnik Melayu. Bahkan ada kalangan mereka yang berkongsi budaya yang sama dari segi pakaian, masakan, sukan dan sebagainya kerana mereka hidup erat bersama.

7.         Toleransi Islam Dalam Hubungan Etnik
Islam menjamin tahap toleransi yang tinggi dengan menjamin hak kebebasan agama setiap rakyat pelbagai etnik bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing tanpa gangguan sehingga agama mereka berupaya membentuk kebudayaan yang harmonis. Islam melarang sebarang tindakan kejam dilakukan kepada orang bukan Islam sekiranya mereka boleh hidup bersama aman dan damai. Islam membenarkan amalan ibadah orang bukan Islam dan pembinaan rumah ibadah selagi mana mereka menghormati hak kebebasan orang Islam untuk melakukan perkara yang sama.

7.1       Layanan yang baik
Kewajipan bagi anak yang beragama Islam untuk memberi layanan terbaik kepada ibu bapa yang bukan beragama Islam dalam aspek kebajikan, kesihatan dan kewangan kecuali dalam persoalan kepercayaan agama. Darah daging tidak akan berbeza walaupun berlainan agama.

7.2       Menjaga hak jiran
Hak jiran mesti dipelihara walaupun berlainan kepercayaan agama iaitu berbuat baik kepada jiran tanpa mengira adakah jiran itu mempunyai hubungan darah, jiran Islam ataupun jiran yang bukan beragama Islam. Dilarang memusuhi, menyusahkan dan mengancam jiran. Ini seperti yang dijelaskan oleh hadith-hadith Rasulullah S.A.W.;
“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jirannya”
“Jiran itu tiga: Jiran yang mempunyai satu hak; iaitu jiran orang  bukan Islam (kafir). Jiran yang mempunyai dua hak; iaitu jiran Islam yang ada hak jiran dan hak Islam. Dan jiran yang mempunyai tiga hak; iaitu jiran Islam yang mempunyai hubungan kerabat; mempunyai hak jiran, hak Islam dan hak persaudaraan”

7.3       Kebajikan
Selama mana semua pihak bersikap baik, tolong menolong dan tidak memusuhi di antara satu sama lain maka kebajikan sesama mereka walaupun terdiri dari pelbagai etnik mesti dipelihara dan dijamin kerana setiap pihak berkehendakkan keharmonian dan hubungan baik.

7.4       Hubungan silaturahim
Hubungan silaturahim di kalangan keluarga meskipun berbeza agama perlu diteruskan dan diperkukuhkan kerana mereka memiliki hubungan darah yang sama yang boleh memperkukuhkan hubungan persaudaraan. Ia boleh memberi keuntungan kepada kerja-kerja dakwah Islamiyah kerana tindakan positif yang dilakukan orang Islam kepada orang bukan Islam menonjolkan imej unggul Islam.

7.5       Adab berdialog yang baik
Berdialog dengan etnik dan penganut agama yang berbeza digalakkan dengan syarat ia dilakukan dengan cara yang baik, lemah lembut dan sopan santun demi untuk mencari kebenaran dan persefahaman. Bercakap, mendengar dan melihat tanpa prejudis baik untuk menghargai dan menghormati pihak lain. Dengan cara ini mudah untuk mengetahui yang mana betul dan yang mana salah. Apa yag kabur boleh diperjelaskan dan yang kusut boleh diuraikan.

8.         Islam dan Hubungan Etnik: Pengalaman Malaysia
Malaysia merupakan negara yang aman damai dan makmur. Setiap etnik walaupun berbeza agama berusaha menyumbang kepada kemajuan negara dan bersama-sama menikmati hasil kemakmuran ekonomi negara. Pemerintahan negara dilaksanakan menerusi perkongsian kuasa, sementara hubungan sosial digerakkan melalui perpaduan dan menghormati hak asasi manusia serta aktiviti ekonomi berasaskan kesaksamaan dan keadilan.  Begitu juga peluang pendidikan, kebebasan beragama, perindungan terhadap golongan minoriti dan juga ketuanan Islam merupakan di antara pelbagai intipati dasar kerajaan Malaysia untuk menjamin keharmonian hidup pelbagai etnik di Malaysia. Dengan lain perkataan hubungan etnik di Malaysia dipandu ke arah kemajuan dan kebaikan.
Isu sensitif perkauman yang telah melibatkan ketegangan etnik pada 13 Mei 1969 dan Kampung Medan 4 mac 2001 sentiasa diawasi oleh kerajaan supaya perpaduan kaum dapat terus dipelihara. Fakta al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W. seharusnya ditafsirkan secara jelas, menyeluruh dan relevan dengan keadaan hari ini.

9.         Kesimpulan
Penghayatan Islam yang sebenar bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah begitu penting bagi masyarakat majmuk di Malaysia dan pembangunan negara yang mapan. Pengalaman sejarah Nabi Muhammad  S.A.W. dalam pengurusan pelbagai etnik di Madinah menjadi contoh sandaran kepada kerajaan Malaysia untuk membentuk negara yang maju, bersatupadu dan makmur.





Cabaran Terhadap Hubungan Etnik (T7)


CABARAN TERHADAP HUBUNGAN ETNIK



1.       Pendahuluan
Dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk  yang sempurna seperti Malaysia persoalan hubungan etnik merupakan perkara utama negara yang mesti ditanggani dengan sebaik mungkin supaya seluruh tenaga, modal dan fikiran dapat disalurkan kepada aktiviti pembangunan negara dan rakyat dapat hidup aman damai dan bebas tanpa ketakutan, berinterasi secara sihat dan harmonis. Tempoh panjang semasa menjelang kemerdekaan sehingga ke hari ini hubungan etnik di Malaysia telah melalui suasana yang cukup berliku-liku, dramatik, suka dan duka melalui cabaran yang berbagai ragam.

2.       Jati Diri Malaysia
Jati diri ialah ciri-ciri khusus mengenai seseorang atau juga identiti bangsa yang kemudiannya terangkum dalam semangat, kepercayaan, sikap dan visi dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Setiap bangsa mempunyai jati dirinya yang tersendiri. Jati diri bangsa Malaysia pelbagai etnik ialah;
·        Fungsi Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Negara dan simbol penyatuan negara. Setiap rakyat Malaysia pelbagai etnik mesti memberi taat setia yang tidak berbelah bagi kepada raja dan negara serta mempertahankan instutusi negara.
·        Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi untuk perpaduan dan bahasa pengantar sistem pendidikan tetapi bahasa lain dibenarkan penggunaannya dan dipelajari.
·        Agama Islam sebagai agama rasmi kerana ia telah menjadi pegangan masyarakat sejak zaman kesultanan Melaka. Namun hakikat hidup di Malaysia ialah semua etnik akan terkait dengan hubungan sebagai jiran, teman sekerja dan sebagai satu warganegara yang sama.
·        Majoriti penduduk Malaysia adalah orang Melayu. Ia dominan dari segi kuasa politik dan mendapat hak istimewa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
·        Dominasi ekonomi orang Cina jika tiada agihan saksama kepada etnik lain boleh mendatangkan perasaan negatif kepada etnik lain.

3.       Masyarakat Malaysia Sebelum Penjajahan
Keagungan kerajaan Melayu Melaka telah menjadikan bahasa Melayu sebagai Lingua-France, perkembangan Islam serantau, hubungan diplomatik antara negara China-Melaka dan kelahiran masyarakat majmuk. Walau bagaimanapun semua mereka yang datang ke Tanah Melayu menganggap Tanah Melayu sebagai milik orang Melayu dan mereka datang untuk urusan perniagaan sahaja dan akan kembali semula ke negara asal mereka.

4.       Masyarakat Malaysia Semasa Penjajahan
Penubuhan Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka, Singapura). Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu memulakan campurtangan Inggeris di Tanah Melayu. Inggeris membawa masuk secara besar-besaran orang Cina untuk sektor perlombongan dan orang India di sektor perladangan. Inggeris memberi kemudahan dan perlindungan kepada mereka. Ini kemudiannya membentuk masyarakat majmuk.

5.       Masyarakat Majmuk di Malaysia
Masyarakat majmuk ialah masyarakat berbagai etnik yang mengamalkan budaya, agama dan adat istiadat yang tidak bercampur. Mereka suka hidup di kawasan yang berasingan. Kehidupan mereka dicirikan dengan pertentangan, konflik dan paksaan. Interaksi sosial mereka amat terbatas yang kerapkali dalam bidang ekonomi.
Dalam bidang politik, masyarakat majmuk mementingkan survival masing-masing. Mereka dipimpin oleh kalangan mereka sendiri dan sukar menerima kalangan pemimpin etnik lain. Setiap etnik ada parti politik tersendiri. Orang Melayu mempunyai UMNO dan PAS, orang Cina bernaung di bawah MCA, DAP dan Gerakan, orang India berjuang dalam MIC dan IPF. Demikian juga di Sabah dan Sarawak. Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum tidak begitu mendapat kepercayaan rakyat. Oleh kerana orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak merupakan majoriti maka mereka menguasai bidang politik negara berasaskan sistem demokrasi.
Dalam bidang ekonomi, wujud pembahagian yang jelas seperti orang Melayu bergiat dalam sektor pertanian dan perkhidmatan awam, orang Cina dalam sektor perniagaan dan perlombongan, manakala orang India dalam sektor perladangan dan perkhidmatan. Dominasi etnik Cina dalam perniagaan dan perdagangan adalah majoriti.
Dalam bidang sosial, mereka berbeza dari segi pakaian, agama, tempat tinggal, pendidikan, bahasa dan sebagainya. Ada pertubuhan sosial yang berbeza dan sekolah yang berbeza. Bentuk masyarakat majmuk sebegini mudah mencetuskan konflik seperti apa yang telah berlaku pada 13 Mei 1969 dan Kg. Medan 4 Mac 2001. Apakah mereka sudah ada semangat toleransi dan setiakawan yang sepatutnya untuk boleh hidup bersama dengan kegembiraan?

6.   Cabaran Terhadap Hubungan Etnik
6.1     Pemisahan penempatan
Majoriti orang Melayu tinggal di perkampungan dan kawasan luar bandar, orang Cina tinggal di lombong yang kemudiannya berkembang menjadi bandar dan orang India di estet kesan dari dasar “pecah dan perintah” penjajah Inggeris. Ini mengurangkan interaksi sosial tetapi memperkuatkan semangat kekitaan etnik hingga menyuburkan prasangka buruk, persepsi negatif dan ketidaktahuan mengenai etnik yang lain sehingga membawa kepada salahfaham, hilang kepercayaan, kebencian dan rasa lebih hebat dari etnik lain atau etnosentrisme.

6.2  Pemisahan Pendidikan
Setiap etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri (vernacular). Orang Melayu belajar di sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu. Orang Cina dan India juga mempunyai sekolah Cina dan Tamil yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Semasa penjajahan, Inggeris membenarkan sekolah Cina dan Tamil menggunakan kurikulum dari negara China dan India bahkan gurunya juga dari negara tersebut. Ini mengurangkan interaksi sosial pada tahap awal perkembangan kanak-kanak yang kemudiannya sehingga ke tahap dewasa. Mereka akan berterusan hidup dengan penuh curiga dan memandang rendah etnik lain.

6.3     Perbezaan jenis pekerjaan
Kebanyakan orang Melayu bekerja sebagai petani, nelayan dan kakitangan kerajaan yang rata-ratanya memperolehi pendapatan rendah dan sederhana. Orang Cina bergiat aktif dalam perniagaan yang berpendapatan sederhana dan tinggi dan memiliki pegangan ekuiti ekonomi yang tinggi. Manakala orang India terlibat dalam pekerjaan di estet dan keretapi yang berpendapatan sederhana rendah. Berlaku ketidakseimbangan pendapatan sehingga berlaku tuntutan setiap etnik untuk mendapat hak yang lebih munasabah dan baik yang kesannya jika tidak ditangani membawa kepada ketidakstabilan. Penguasaan kaum tertentu dalam satu sektor tertentu dan di kawasan tertentu telah mewujudkan polarisasi etnik yang menebal sehingga perhubungan antara etnik menjadi terbatas.

6.4  Politik perkauman
Kewujudan parti politik berasaskan etnik yang membawa aspirasi dan menyuarakan kepentingan masing-masing sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan semangat perkauman terutamanya pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Dalam sistem politik demokrasi, ideologi politik nasionalisme hendaklah dipastikan dalam kawalan dan keadaan yang matang supaya ia tidak mendorong kepada semangat perkauman sempit seperti ekstrimis, cauvinis dan rasis. Sebaliknya ia harus diarah kepada penyatuan, setiakawan dan semangat keyakinan untuk kejayaan.

6.5  Perbezaan agama
Setiap etnik mempunyai agama yang berbeza seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Animisme dan lain-lain sehingga membawa kepada polarisasi etnik sekiranya jurang perbezaan itu semakin meluas dan tidak ada usaha untuk membawa kepada dialog antara agama. Perbezaan boleh menebal jika sentimen perbezaan dimainkan oleh pemimpin-pemimpin agama yang berkepentingan dengan merendahkan agama lain atau tindakan kezaliman ke atas penganut agama lain. Suatu hakikat yang penting ialah setiap ajaran apa-apa agama sekalipun akan memerintahkan penganutnya mengamalkan nilai baik dalam kehidupan dan menjauhi nilai-nilai kejahatan. Setiap agama menggalakkan menghormati dan membantu orang lain. Justeru itu ini mampu untuk mewujudkan keharmonian hidup di kalangan rakyat Malaysia.

6.6  Cabaran Globalisasi
Barat ingin meneruskan hegemoni mereka terhadap dunia Timur yang  pernah dijajahnya melalui isu-isu seperti hak asasi manusia, demokrasi, ekonomi bebas, sains dan teknologi dan budaya sejagat. Keadaan ini melemahkan pegangan terhadap nilai-nilai hidup masyarakat Timur sekaligus menyukarkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia Mereka berusaha untuk menekan dan campurtangan dalam urusan dalam negara bagi menjaga kepentingan strategik mereka.  Pergaduhan etnik berlaku di banyak negara di dunia  seperti Rwanda, Burundi, Fiji, Bosnia, Indonesia, Sri Lanka, Israel dan sebagainya disebarkan secara meluas di semua media massa sehingga boleh dijadikan contoh yang negatif dalam hubungan etnik di Malaysia kerana ia diwarnai dengan pembunuhan, pergaduhan dan kemusnahan.

7.       Implikasi Hubungan Etnik
Selepas Jepun tewas di Malaya pada tahun 1945 dan sebelum kedatangan semula Inggeris. Wujud pertentangan di antara etnik Melayu dan China iaitu Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang didominasi oleh etnik China mengancam Orang Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dikuasai etnik China berperang dengan orang Melayu serta kerajaan sehingga menjadikan hubungan etnik menjadi runcing. Rusuhan etnik 13 Mei 1969 antara China dan Melayu adalah sejarah hitam hubungan etnik di Malaysia. Ia berlaku kerana ketidakseimbangan ekonomi tetapi digerakkan dengan menggunakan isu perkauman. Peristiwa pergaduhan etnik Melayu dan India di Kampung Medan, Jalan Kelang Lama pada 12 mac 2001 kerana majlis perkahwinan dan upacara mengurus kematian.

Semua ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada setiap etnik bahawa ketegangan dan pergaduhan etnik mudah berlaku walau pada sebab-sebab yang kecil dan kadangkala dilihat sebagai tidak munasabah sekiranya sensitiviti etnik tidak dipedulikan.

8.       Islam Sebagai Penyelesai Masalah Etnik
Sahifah Madinah atau Perlembagaan Madinah digubal oleh Nabi Muhammad S.A.W. bagi menjalinkan hubungan baik orang Islam antara Ansar dan Muhajirin, Madinah dan Makkah, serta orang Yahudi dan Nasrani melalui satu perjanjian bertulis yang memperkenalkan konsep perpaduan etnik dan tanggungjawab setiap etnik kepada negara supaya dapat memacu pembangunan negara hasil dari semangat bantu membantu antara rakyat pelbagai etnik.

9.       Kesimpulan
Hubungan etnik dan perpaduan merupakan ramuan penting untuk Malaysia menjadi negara yang makmur, aman dan damai. Pengetahuan mengenai kontrak sosial sebelum kemerdekaan adalah sangat penting serta usaha untuk menggembeling kemajuan politik, ekonomi dan sosial. Negara mesti melibatkan sama semua etnik yang ada supaya semua etnik merasai perasaan kekitaan terhadap negara Malaysia.
 


Masyarakat Malaysia Berintegrasi (T6)




HUBUNGAN ETNIK
KE ARAH MASYARAKAT BERINTEGRASI




1.       Pendahuluan
Interaksi etnik Melayu dengan etnik yang lain mempunya akar umbi yang kukuh sebelum era penjajahan. Empayar Melaka amat dikenali sebagai pusat perdagangan barangan Timur dan Barat sehingga menjadikannya sebagai tempat pertemuan etnik Melayu dengan etnik dari China, India, Arab, Portugis, Inggeris, Belanda dan sebagainya. Proses perkahwinan antara etnik dan asimilasi dengan etnik tempatan telah membentuk satu komuniti berintegrasi seperti Baba dan Nyonya (Cina) dan Chitti (India), Cina Peranakan serta Serani (Portugis). Selepas kedatangan penjajah Inggeris berlaku migrasi etnik Cina dan India dalam bentuk paksaan ekonomi. Kalangan mereka ada yang pulang ke negara asal tumpah darah manakala yang selebihnya kekal menetap di Malaysia semasa proses kemerdekaan tahun 1957 dan melalui proses adaptasi serta asimilasi dengan etnik Melayu dalam banyak perkara.

2.       Isu-isu dan Cabaran Dalam Hubungan Etnik di Malaysia
2.1    Demografi
Etnik Melayu, Cina dan India hidup terpisah dan tidak seimbang. Etnik Melayu tinggal di kampung dan kawasan luar bandar di negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang. Manakala etnik Cina tinggal di kawasan bandar dan di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Etnik India tinggal terpisah di estet dan di negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Pertumbuhan ekonomi kawasan perbandaran kemudiannya telah menarik etnik Melayu menghuni kawasan bandar di taman-taman perumahan sehingga mewujudkan suatu pola plural society baru yang bersaing dalam kepelbagaian. Walau bagaimanapun kebanyakan etnik Melayu yang berhijrah ke bandar merupakan tenaga kerja kurang kemahiran ataupun mereka bekerja di sektor yang kurang kompetatif sehingga memaksa mereka berdepan dengan pelbagai masalah kos sara hidup yang melambung tinggi di bandar dan berpotensi untuk mencetuskan pelbagai masalah sosio-ekonomi yang lain.
2.2    Ekonomi
Sistem ekonomi Malaysia berteraskan pasaran bebas kapitalisme. Kerajaan biasanya akan bertindak sebagai pengurus dan membuat peraturan perniagaan yang bersifat mesra pelabur dengan tawaran insentif yang menarik. Begitupun pada sektor tertentu ada amalan sistem ekonomi sosialisme dan ekonomi Islam. Terdapat dualisme dalam ekonomi Malaysia; pertanian dan perindustrian. Ekonomi pertanian didominasikan oleh etnik Melayu dalam sektor pertanian komoditi seperti getah dan kelapa sawit, tanaman makanan seperti padi dan juga perikanan terutama di lautan. Ia dilaksanakan secara sara diri dan sedikit yang dikomersilkan dalam skala besar.
2.3    Politik
Isu perkauman mencorakkan sistem politik dengan penubuhan pelbagai parti politik berteraskan etnik yang berlainan mmemasuki pentas sistem politik demokrasi berparlimen di Malaysia. Kerjasama politik diusahakan dengan kewujudan Parti Perikatan oleh UMNO, MCA dan MIC. Ia kemudiannya diteruskan melalui Barisan Nasional yang mengandungi 14 parti gabungan dari Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Semua parti ini bersetuju untuk sama memberi fokus kepada kerjasama dan pembangunan negara melalui formula tolak ansur dan kebersamaan di tengah-tengah tekanan kepentingan etnik masing-masing. Di pihak pembangkang, telah wujud Barisan Alternatif dan diikuti kemudiannya oleh Pakatan Rakyat memperjuangkan kerjasama pelbagai etnik yang sama.
2.4    Pendidikan
Setiap etnik mempunyai sistem pendidikan sendiri sejak dari zaman penjajahan Inggeris lagi. Etnik Melayu mendapatkan pendidikan di sekolah Melayu. Ada juga kalangan golongan menengah dan atasan Melayu mendapat pendidikan di sekolah Inggeris atau sekolah mubaligh di samping etnik Cina dan India. Sekolah Melayu dibenarkan penubuhannya oleh Inggeris dengan matlamat untuk melahirkan anak Melayu yang lebih sedikit kedudukannya dari ibu bapanya.
Etnik Cina mempunyai sekolah Cina dan etnik India dengan sekolah Tamil. Ia dibiayai oleh masyarakat tersebut dengan kurikulum dan gurunya diambil dari tanah air mereka.  Ini dinamakan sekolah vernacular. Dalam pada itu juga Inggeris membenarkan penubuhan sekolah agama dan kelas pengajian al-Quran untuk orang Melayu.
Selepas kemerdekaan 1957, sistem pendidikan di Malaysia mulai melihat ke dalam bentuk masyarakat plural bagi membentuk identiti Malaysia. Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 memberi fokus kepada penyatuan kanak-kanak dari pelbagai etnik di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan satu bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu. Dalam masa yang sama sekolah Cina dan Tamil menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran yang lain mesti berteraskan senario keMalaysiaan.
Bagi pendidikan tinggi, kerajaan mempertingkatkan kemasukan etnik Melayu ke Institusi Pengajian Tinggi Awam terutamanya selepas konflik etnik 13 Mei 1969 dengan tujuan untuk mewujudkan keseimbangan penyertaan pelbagai etnik dalam bidang pendidikan yang selama ini didominasi oleh etnik Cina.

3.       Dasar Kerajaan ke Arah Hubungan Etnik
3.1    Perlembagaan Persekutuan Malaysia
a.       Bahasa Kebangsaan
Perkara 152 memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi. Semua urusan kerajaan Persekutuan dan Negeri menggunakan bahasa Melayu. Namun demikian tiada larangan untuk mempelajari dan menggunakan bahasa-bahasa lain. Penggunaan bahasa Melayu adalah sebagai penghubung masyarakat pelbagai etnik dan budaya kerana penggunaan pelbagai bahasa yang tidak difahami boleh mencetuskan salah faham dan konflik.
b.       Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera
Perkara 153 memperuntukkan kepada Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kedudukan atau hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Keistimewaan ini meliputi jawatan perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, lesen, permit, perumahan, bantuan dan sebagainya. Ini penting bagi memastikan orang Melayu dan Bumiputera terjamin kedudukannya di negara mereka sendiri. Justeru itu keseimbangan peluang kekayaan dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara menyeluruh dan saksama sementara kepentingan etnik yang lain kekal terpelihara.
3.2    Rukun Negara
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang Ke-13. Rukun Negara diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia. Prinsip-prinsip Rukun Negara ialah;
·         Kepercayaan Kepada Tuhan
·         Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
·         Keluhuran Perlembagaan
·         Kedaulatan Undang-undang
·         Kesopanan dan Kesusilaan
3.3    Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Komited untu mewujudkan perpaduan rakyat melalui Rukun Tetangga, Kelab Rukun Negara, Skim Rondaan Sukarela, TABIKA Perpaduan, Sukan Rakyat dan sebagainya.

4.       Penutup
Di samping dasar-dasar kerajaan, peranan masyarakat melalui aktiviti bercampur pelbagai etnik juga ditagih seperti melalui rumah terbuka, kejiranan, kongsi raya, jamuan masyarakat, difusi budaya dan peranan melalui NGO (Non Government Organization) untuk menyedarkan kepentingan kebersamaan antara etnik dan perlunya mereka dapat sentiasa bersama bagi memastikan keharmonian hidup dan pembangunan negara dapat dikecapi bersama.



Rujukan

Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia. 1994. Bukit Kiara, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam negara (INTAN).
Mahdi Shuid dan Mohd Fauzi Yunus. 2000. Pengajian Malaysia. Petaling Jaya, Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Milne R.S. and Mauzy, Diane K. 1986. Malaysia: Tradition, Modernity and Islam. Boulder and London: Westview Press.
Nazaruddin Hj. Mat Dali. Et. Al. 2003. Malaysian Studies, Nationhood and Citizenship. Petaling Jaya, Selangor: Pearson & Prentice Hall.
Wan Halim Othman. 1992. Asas Hubungan Etnik. Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia.