Tuesday, March 19, 2013

Islamisasi Ilmu Pengetahuan



ISLAMISASI ILMU PENGETAHUAN:
REVIEW PERSPEKTIF FAZLUR RAHMAN

Oleh

MOHD ZUHAIRI SAFUAN

UiTM Kampus Machang, Kelantan




Abstrak
Artikel ini ingin menghuraikan pandangan seorang tokoh pemikir Islam yang terkenal iaitu Prof. Dr. Fazlur Rahman (1919-1988) berhubung dengan Islamisasi Ilmu Pengetahuan dari segi konsep, strategi dan permasalahannya.


Pendahuluan
Gagasan Pengislaman Ilmu Pengetahuan rancak dibicarakan di sekitar akhir tahun 1960an dan 1970an. Ia merupakan reaksi sarjana Islam terhadap dominasi epistimologi Barat. Fazlur Rahman turut melontarkan strategi gagasan Islamisasi Ilmu senada dengan gagasan yang diutarakan oleh Ismail al-Faruqi dan kemudiannya diteruskan secara serius oleh Syed Naquib al-Attas.

Rangka kerja al-Faruqi dalam pengIslaman Ilmu ada 5 iaitu; menguasai disiplin moden, menguasai warisan Islam, memperkukuhkan hubungan Islam dengan setiap ilmu moden,  mencari cara untuk membuat sentesis kreatif antara ilmu Islam dan ilmu moden dan melancarkan pemikiran Islam ke atas trajektori yang memandunya ke arah melaksanakan perintah Allah. (ms 101-102, Masa Hadapan islam, Ziauddin Sardar).

Usaha ini penuh dengan cabaran tetapi sarjana Islam sedang serius menghadapi cabaran ini.

Permasalahan Islamisasi menurut Fazlur Rahman adalah berkaitan dengan persoalan bagaimana untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab kerana kemajuan dunia hari ini berlaku hasil dari pengetahuan yang tidak Islami. Dengan pengertian, dunia moden telah salah dalam menggunakan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan tidak salah tetapi yang salah ialah penggunaannya. Namun begitu penyalahgunaan tidak bergantung kepada ilmu pengetahuan itu sahaja tetapi juga kepada moral pengamalnya ilmu itu. Beliau memberi contoh penemuan atom oleh saintis Barat lebih diutamakan kegunaannya untuk membuat bom atom daripada dimanfaatkan untuk mendapatkan sumber tenaga. Seorang pakar fizik nuklear sepatutnya mengembangkan manfaat tenaga nuklear seperti bagi mendapatkan tenaga elektrik tetapi jika kepakarannya digunakan untuk mencipta bom atom maka tindakannya itu  merupakan keputusan moral yang salah. Contoh lain seperti, manusia mulai menjelajah angkasa lepas sedangkan banyak masalah di bumi belum diselesaikan. Manusia terus menemukan ilmu pengetahuan baru sedangkan masalah etika tidak pernah diselesaikan.

Fazlur Rahman menegaskan betapa kita tidak perlu merancang bagaimana untuk membuat ilmu pengetahuan yang Islami kerana ia hanya membuang masa, wang dan tenaga kerana adalah lebih baik bagi kita mencipta ilmu pengetahuan. Manusia tidak akan dapat mencipta ilmu kerana ia diciptakan Allah dalam akal manusia. Manusia hanya boleh mencipta pemikir yang memiliki kemampuan berfikir yang konstruktif dan positif tanpa meletakkan peraturan bagaimana mereka harus berfikir. Pengetahuan kreatif muncul jika dalam diri kita tertanam sikap Qur’ani (diorientasikan oleh al-Qur’an). Kemudian barulah kita dapat mengapreasi dan menilai tradisi Islam dan juga tradisi Barat.

Konsep Islamisasi Ilmu Pengetahuan
  1. Menerima pendidikan moden sekular sepertimana yang berkembang di Barat dan berusaha untuk “mengIslamkannya” dengan konsep-konsep asas Islam (Rahman 1982: 120-131). Ini dilakukan melalui dua cara iaitu; menerapkan nilai hidup Islam kepada watak pelajar dalam kehidupan individu dan bermasyarakat, kedua; membolehkan kalangan mereka yang berpendidikan ilmu moden menyerapkan kajian disiplin mereka menerusi kandungan (silibus) dan orientasinya dengan nilai-nilai Islam dengan daya kreativiti mereka. Sebagai contohnya ialah ilmu sains sosial adalah sesuai dengan nilai-nilai hidup dan nilai-nilai hidup sesuai dengan ilmu tersebut. Usaha ini perlu dilakukan pada peringkat awal pendidikan iaitu pada waktu pendidikan rendah supaya mereka mudah menerima kesan pembentukan watak. Manakala walaupun ilmu sains tulen bukan sesuatu yang objektif (pasti), namun orientasi pelakunya boleh diberi nilai Islam supaya ia dapat membuat kesimpulan dari kajiannya secara yang menyeluruh. Kaedah ini perlu dilakukan secara serentak supaya pelajar yang telah diserap dengan nilai hidup Islam pada peringkat pengajian yang rendah akan terus menerima kesinambungan apabila menerima suatu kandungan (silibus) yang sepadu dengan nilai orientasi Islam. Masalah akan timbul sekiranya ia tidak dilakukan secara kesinambungan iaitu pelajar akan kembali kepada nilai hidup yang sekular.

Tegas Rahman, masalah yang perlu diselesaikan ialah bagaimana untuk menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada Allah s.w.t dan juga kehidupan. Akibat ketidakmampuan akal yang dikurniakan oleh Allah  kepada manusia untuk menyingkap pengetahuan dan menjadikannya lebih bertanggungjawab atau akibat dari kegagalan mengaplikasikan moral yang muncul dari pengetahuan; telah menimbulkan masalah kepada dunia moden. Ilmu pengetahuan adalah benar dan yang salah ialah penggunaannya.
           
  1. Mengintegrasikan ilmu pegetahuan tradisional (keagamaan) dengan ilmu pengetahuan moden (umum) dalam satu kurikulum dengan cara memanjangkan jam waktu belajar (Rahman 1982: 139). Kaedah sebegini dilaksanakan di Malaysia dan Indonesia dengan mengajarkan ilmu pengetahuan Islam dan ilmu pengetahuan umum dalam satu kurikulum yang sama. Begitupun Rahman menekankan betapa strategi ini hanya dapat dilaksanakan sekiranya telah wujud pengajar (guru) yang berpemikiran sepadu dan kreatif iaitu melalui latihan dan intensif kepada intelektual yang mempunyai komitmen tinggi (Rahman 1982: 139). Guru itu pula hendaklah melalui kurikulum yamg sepadu.

Begitupun Rahman bimbang usaha mengintegrasikan ilmu moden dan ilmu Islam bakal berhadapan dengan cabaran getir dan tanggungjawab yang berat kerana dunia Islam belum memiliki kemampuan intelektual yang cukup untuk melakukan penyesuaian (assimilasi), pengubahsuaian (modification) ataupun penolakan (rejection) terhadap idea-idea pemikiran Barat (Rahman 1970: 656). Ia juga tidak mungkin dapat dicapai sepenuhnya melainkan masyarakat Islam terlebih dahulu membentuk dan memahami metafizik Islam yang berdasarkan al-Qur’an serta mewujudkan pandangan dunia (welstanchaung) Islam yang dijiwai oleh al-Qur’an (Rahman 1982: 133). Dengan pengertian pandangan dunia Islam (Islamic world view) hendaklah dibentuk terlebih dahulu supaya kita tidak apologatik kepada ilmu Barat.

Kaedah Islamisasi Ilmu ini ini mesti dilakukan dengan berpandukan prinsip al-Qur’an iaitu dengan menganalisa

Usaha mengintegrasikan ilmu pengetahuan lama dengan moden mendapat halangan dari neo-fundamentalism yang bersifat anti-Barat dan melepaskan diri secara mental dengan Barat (Islam dan Modernitas pg 162). Ia berjaya mengorientasi masyarakat islam yang berpendidikan moden secara emosional dengan islam tetapi gagal menyediakan kesarjanaan intelektual Islam sebaliknya cuma mencari isu-isu tertentu bagi membezakan masyarakat Islam dengan Barat (Islam dan modernitas, Pg 164).

Melakukan reformasi pendidikan sebagai pendekatan jangka panjang bagi menyelesaikan pelbagai masalah umat Islam. Pendekatan jangka pendek dengan bersedia untuk melaksanakan suatu dasar politik Islam yang tulin dan menyediakan kebebasan intelektualisme kerana pemikiran tidak boleh berkembang hidup jika tidak ada milieu kebebasan intelektual yang membenarkan perbezaan pendapat, konfrontasi antara pandangan dan perdebatan antara gagasan adalah dijamin (Rahman 1982: 125).

Rahman menggesa umat Islam menggunakan teknik penyelidikan moden kerana ia merupakan suatu keperluan jia mereka inginkan kemajuan. Teknik penyelidikan moden ini dapat membantu menyelusuri institusi penting Islam secara jujur dan kritis bagi menentukan kesahannya (validity) dalam usaha menyelesaikan semua persoalan ummah. Beliau menolak dakwaan kekhuatiran umat Islam bahawa penggunaan teknik penyelidikan moden sebagai membahayakan Islam (Rahman 1981: 120).

Penutup
Penting bagi kita memahami trend Islamisasi Ilmu ini. Rahman sebenarnya mahu masyarakat Islam bersifat kreatif dengan melahirkan ilmu pengetahuan baru berdasarkan pandangan hidup al-Qur’an dan tidak apologatik dengan ilmu pengetahuan warisan Barat. Bagi Rahman bidang pendidikan ini merupakan asset penting bagi pembangunan kemanusiaan kerana pendidikan berupaya menyelamatkan agama dari cengkaman eksploitasi politik demagogy (penaik semangat), malah lebih penting lagi pendidikan agama dapat menyelamatkan manusia moden dari watak dirinya sendiri (Rahman 1982: 140).

Rujukan:
  1. Rahman, Fazlur. 1966, Islam, London: Weindenfeld and Nicholson
  2. ---------------------. 1967, The Qur’anic Solution of Pakistan’s Educational Problems, Islamic Studies 6(4): 315-326.
  3. ---------------------. 1970, Revival and Reform in Islam. Dlm. P.M. Holt (pnyt.). The Cambridge History of Islam. Jilid 2B. London: Cambridge University Press.
  4. --------------------. 1980, Islam: Legacy and Contemporary Challenge, Islamic Studies 19(4): 235-246.
  5. --------------------. 1982. Islam and modernity: Tranformation of an Intellectual Tradition. Chicago & London: University of Chicago Press.
  6. --------------------. 1988. Islamization of Knowledge: a Response. The American Journal of Islamic Social Sciences 5(1): 3-11.