Berada bersama dengan Rektor UiTM Kelantan, Dato' Dr. Helmi, Timbalan Rektor HEP, Tn Hj. Shukri, En. Nik Abdul Rahman dan pegawai UiTM yang lain untuk solat hajat dan tazkirah menjelang peperiksaan jun 2014.
TAZKIRAH MENEMPUH PEPERIKSAAN
MOHD ZUHAIRI SAFUAN
Peperiksaan bakal
tiba, masa berlalu dengan sangat pantas dan terasa
betapa bernilainya setiap detik. Rugi rasanya jika masa diisi dengan perkara yang tidak berfaedah.
Kini setiap detik dilalui bersama buku dan
nota.
Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Ada dua jenis nikmat yang
sering dilupakan oleh kebanyakan manusia
iaitu nikmat kesihatan dan nikmat waktu lapang”.
Masa yang dipersiakan
tidak dapat diputarkan kembali. Pengalaman semalam mendidik kita
untuk menempuh hari esok. Selagi esok
tidak menjelang selagi itu kita terus berusaha bersungguh-sungguh. Peperiksaan
sesuatu yang mesti ditempuhi oleh setiap pelajar bagi menentukan kemampuan
dalam memahami sesuatu yang dipelajari. Persaingan untuk memperoleh keputusan
yang baik merupakan suatu yang baik sekiranya berlaku dalam suasana yang
positif. Malangnya peperiksaan juga boleh menjadi punca tekanan kepada pelajar
sekiranya tidak dapat menghadapinya dengan betul.
Oleh itu sebagai pelajar yang bakal menghadapi
peperiksaan, hendaklah memastikan;
1.
Cara Belajar.
Pelajar yang bersedia lebih awal akan lebih bermotivasi menghadapi peperiksaan.
Kelalaian di awal semester boleh menjadi punca berlakunya tekanan. Pengurusan
masa yang efektif penting dalam menghadapi hari menjelang peperiksaan agar kejayaan menjadi kenyataan.
Jadualkan waktu untuk ulangkaji secara sistematik dan disiplinkan diri untuk
mematuhinya. Kemudian memberi
fokus
dengan rancangan
ulangkaji yang strategik dan membuat sasaran Memahami format peperiksaan dan
seterusnya mengkategorikan soalan mengikut aras kesukaran. Melakukan perkongsian
pintar, jangan kedekut ilmu, jumpa pensyarah atau kawan jika tidak faham. Kerap
melakukan latih tubi. Allah pasti memberi jalan keluar
yang terbaik.
Ambil peduli suasana persekitaran belajar yang tidak
kondusif. Ini boleh berlaku apabila masyarakat pelajar setempat tidak sedia
untuk bekerjasama meskipun inginkan kejayaan. Dalam masa yang sama harapan
menggunung ibubapa untuk melihat kejayaan anak juga boleh menjadi penyumbang. Buang sifat buruk sangka,
jangan merendahkan orang lain dan jangan bermusuhan. Berusaha untuk mendapatkan jiran yang
baik ataupun kawan serumah yang mampu bekerjasama. Wujudkan keharmonian dalam rumah. Jangan bertengkar
dengan ibu/bapa/sahabat bagi mewujudkan suasana kegembiraan. Jangan derhaka kepada ibu bapa dan guru. Cari
teman (ibu/bapa/adik beradik/sahabat) yang boleh duduk bersama ketika
mengulangkaji dan menyediakan minuman untuk kesegaran. Pastikan kebersihan
rumah supaya selesa dan tenang kerana ia akan melahirkan rasa rajin untuk
belajar. Kesihatan diri sendiri dipastikan dalam keadaan baik.
2.
Mengurus Tekanan; Ia biasa dialami oleh setiap
manusia apatah lagi seorang pelajar. Akan tetapi jangan terlalu tertekan.
Tekanan tidak boleh dielakkan dalam kehidupan. Bagaimana untuk menghadapinya
hendaklah mengikut cara Islam. Arahkan
segala pengharapan dan keputusan kepada Allah s.w.t. dengan berusaha, berdoa
dan bertawakal. Tekanan menyebabkan pelajar cepat bosan, murung, terlalu
merendah diri, terganggu jiwa hingga putus asa untuk belajar. Kesannya ada
pelajar yang tidak mengambil peperiksaan atau mengambilnya dengan sambil lewa
kerana menganggap perjuangannya pada peperiksaan sudah berakhir.
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah,
nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya”.
3.
Ketakwaan; diperolehi
melalui amalan seperti solat hajat, doa dan zikir walaupun sibuk membuat
ulangkaji. Jangan meninggalkan solat sama ada
ibubapa ataupun pelajar sendiri. Iringi solat fardu dengan solat sunat. Sucikan
diri dari dosa sama ada sedar ataupun tidak.
Perbanyakan berzikir, membaca al-Quran walaupun
sebaris ayat sehari sebagai amalan kehidupan seharian. Renungi dan perhatikan keindahan alam
ciptaan Allah sebagai salah satu cara terapi mencari ketenangan. Berfikir
dengan positif boleh membentuk sikap optimis. Jangan lakukan perkara yang di
luar batasan agama. Sentiasa sabar kerana setiap usaha
pasti ada rintangan yang perlu dihadapi. Perjuangan
menuntut ilmu menuntut kesabaran terutamanya dari gangguan luar, kepenatan dan
hambatan masa. Tanpa kesabaran tiada sesiapa yang mampu berdepan dengan
kesukaran.
"Sesungguhnya orang-orang yang
bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya kerana
amat banyaknya."
Rehatkan fikiran. Berfikir positif bahawa Allah s.w.t membantu apabila
usaha sudah dilakukan. Akan tetapi sekiranya tidak mampu untuk mendapat
keputusan yang baik, hendaklah redha dengan keputusan itu kerana mungkin ada
kesilapan yang tidak disedari telah berlaku. Memastikan spiritual dan mental yang kental. Spiritual dan mental
yang lemah menyebabkan pelajar mudah mengaku kalah sebelum berjuang dan putus
asa. Kekuatan mental muncul dari sikap dan pemikiran yang optimis serta stabil
dalam berusaha mencapai matlamat. Manakala kekuatan spiritual lahir dari
hubungan kita dengan Yang Esa dengan memperbaiki
niat;
“Katakanlah sesungguhnya
solatku,ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan seluruh alam”.
Perbaiki niat ke landasan yang sebenar
bahawa yang menjadi matlamat bukannya peperiksaan ataupun keputusan yang
cemerlang ataupun kemegahan kejayaan tetapi ialah kerana keredhaan Allah supaya usaha mengulangkaji pelajaran
merupakan ibadah. Menjaga solat dengan sempurna, wuduk yang betul, amalkan
zikir dan baca al-Quran. Berbaik
sangka dengan keadilan Allah dengan sering berdoa sendirian dan juga meminta ibu bapa mendoakan
kejayaan. Ibu dikehendaki berdoa sebanyak yang
mampu untuk anak mendapat keputusan yang cemerlang kerana doa ibu lebih dekat
dengan Allah sementelah sifat ibu jika dibandingkan dengan ayah adalah lebih
penyayang dan emosional. Rujuk antara lain surah al-A’raf:126, al-Mukminun:118,
Yusuf:101, Taha:23-35. Sekiranya tidak mendapat
keputusan yang baik walaupun selepas gigih berusaha, tentu ada hikmah yang
lebih baik pada kita di masa hadapan pada perancangan Allah. Bertawakal kepada Allah setelah gigih berusaha agar dikurnia
keputusannya positif kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik
untuk kita.
"Jikalau engkau telah bulat tekad
untuk melaksanakan sesuatu maka bertawakallah kepada Allah."
Dari Umar r.a., Rasulullah
s.a.w. bersabda:
"Sekiranya kamu semua bertawakal
kepada Allah dengan sebenar tawakal, niscayalah Dia akan memberikan rezeki
padamu sekalian sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung. Berpagian
burung berperut kosong dan pulang petang dengan perut penuh berisi.”
Kepada semua pelajarku... siswa/i Uitm di
hatiku....
Selamat berjuang!
Berusaha, berdoa dan bertawakal
kepada Allah.
Semoga berjaya dalam peperiksaan.
Berjaya dalam kehidupan yang penuh
rahmat Allah...Amin...
UiTM Kampus Kota Bharu
9 Jun 2014
No comments:
Post a Comment