Wednesday, September 5, 2012

Iman & Amal Penting Bagi Setiap Muslim


IMAN DAN AMAL
OLEH
MOHD ZUHAIRI SAFUAN


“Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki ataupun perempuan sedang ia beriman, sesungguhnya kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang penuh dengan kebaikan dan pasti Kami akan memberikan ganjaran kepada mereka dengan ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan”. (al-Nahl: 97)
Iman mengikut pengertian syarak ialah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang salih dan perlakuan yang baik. Iman sebagai syarat penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan kerana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah ada iman di dalam diri pelakunya. Seseorang yang beriman dengan Allah sebagai Tuhan yang esa dan maha berkuasa, perlu mematuhi segala perintah dan larangan-Nya sehingga membentuk jati dirinya sebagai seorang manusia Islam.
“Bukanlah iman itu dengan berangan-angan mahupun berharap, tetapi iman ialah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”.  (Hadith riwayat Ibn-Najjar dan al-Dailamy)
Iman adalah fitrah yang dicipta Allah kepada manusia. Ia sifat jiwa manusia. Nabi Adam bersin menyebut “alhamdulillah”. Iman membentuk kecenderungan manusia. Manusia yang beriman akan mencorakkan hidupnya menurut peraturan agama. Iman menundukkan manusia kepada Allah dan membebaskannya dari perhambaan kepada yang boleh menjahanamkan hidupnya. Ia mendorong manusia hidup bersih dan suci. Merangsang manusia hormat-menghormati dan bersatupadu. Mengingatkan manusia mengenai kesabaran dan kebaikan sesama manusia. Iman yang benar memberi kesan kepada kepada manusia; jiwa kuat, yakin, tidak mudah kecewa, tidak lemah semangat; redha dan tenang, bersih dari penyakit hati; jiwa yang suka kebaikan dan membenci kejahatan;.
Iman mempunyai 6 rukun iaitu beriman kepada; Allah, malaikat, rasul, kitab, hari Akhirat dan qada’ dan qadar. Iman adalah pendorong kepada amal salih. Kafir pendorong kepada amal keburukan. Iman menjadi tenaga kepada jiwa. Manusia yang beriman akan gigih, sabar dan tabah mengharungi hidup, suka membantu, menjaga maruah diri. Walaupun ia tidak dipuji. Iman membawa kebahagiaan kerana manusia memperoleh perlindungan Allah dan bersama-sama manusia lain belajar, bekerja  dan solat. Tidak menyesali masa lalu dengan sedih menangis, tidak menghadapi masa kini dengan keluh kesah dan tidak menghadapi masa depan dengan takut. Tiada apa yang perlu ditakuti kerana Allah segala-galanya seperti rezeki, jodoh dan ajal. Iman menghasilkan harapan, optimis dan gembira kerana Allah maha berkuasa mengabulkan segala doa dan menolak kemudaratan. Jika sakit, tak putus asa. Jika dalam kesulitan, ia mengharapkan kemudahan. Iman menjadi pendinding amal dari melakukan perkara sia-sia, mungkar dan dosa. Iman menyebabkan kita menghargai masa (muda, sihat, lapang). Tidak lalai dan menangguh amal kebaikan, berdoa diberi kekuatan, kesihatan dan kebaikan.
“Orang yang melupakan Allah, maka Allah akan membuat mereka lupa kepada diri mereka sendiri” (al-Hasyr: 19)
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka...”. (al-Ankabut: 2-3)
Iman berdepan dengan ujian; suka dan duka sebagai bukti kebenaran ucapan lidah dan keyakinan hatinya. Iman boleh bertambah besar dan boleh mengecil hilang dengan; menambah ilmu, membanyakkan ibadah dan menjauhi segala larangan. Amal mendidik dengan persaudaraan, persamaan, kerja keras, sabar dan fokus. Amal memakmurkan dunia dengan pelbagai kegiatan. Tawakal bermaksud melakukan sebab amal dan menyerahkan hasilnya kepada keputusan baik dari Allah.
“Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah nasib mereka sendiri”. (al-Ra’d: 11)
Amal dan perubahan bukan perkara mudah, ia perlu pengorbanan dan kekuatan iman. Adalah menjadi Sunnatullah, orang yang pemalas tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakannya. Kita takut kepada Allah sebab itu kita menyempurnakan amal (Ihsan) seolah-olah Allah melihat amal kita. Ketenteraman jiwa dalam belajar kerana Allah bersama kita. Untuk kesempurnaan ibadah, penghayatan Islam dan untuk kebahagiaan hidup.