Tuesday, June 12, 2012

Suatu Pandangan Sisi Mengenai Prof. Dr. Fazlur Rahman

Rumusan:


Prof. Dr. Fazlur Rahman merupakan seorang pemikir dan reformis Islam yang berpandangan jauh serta mempunyai pandangan yang kritis. Beliau sangat kritis terhadap kitab-kitab klasik dan tafsirannya terhadap ajaran Islam serta terhadap institusi-institusi Islam. Beliau sebenarnya mahu supaya ajaran Islam yang sebenar tidak diselewengkan dengan tafsiran-tafsiran kitab klasik tersebut sehingga menjadikan ajaran Islam tidak sesuai (releven) dengan permasalahan kehidupan abad-abad moden. Menyentuh tentang fenomena Kebangkitan Islam, beliau bersikap terbuka dan kritis kerana terdapat aspek  negatif atau kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pendokong dan penyokong aliran-aliran Kebangkitan Islam bagi memastikan kehidupan (survival) Islam di abad akan datang. Pengalaman pendidikan beliau memang cukup sempurna dan tidak dapat dipertikaikan lagi dengan; memperolehi disiplin pengajian Islam tradisional sewaktu di Pakistan dan pengajian Islam moden sewaktu di Oxford. Kemudian memilih kerjaya sebagai pensyarah, penyelidik dan pentadbir bukan setakat di Barat, malah di negaranya sendiri, Pakistan.

            Pada peringkat itu, terutamanya sewaktu bertugas di Institute of Islamic Research dan Advisory Council of Islamic Ideology di Pakistan, pemikiran Rahman bertembung dan bertentangan dengan pemikiran aliran Tradisionalis, Konservatif dan Modenis Islam kontemporari kerana dakwaan beliau untuk membawa Islam kepada landasan yang sebenar dan jauh dari apa yang beliau sifatkan sebagai "penyelewengan Islam". Di sini beliau memberi "tafsiran baru Islam" atau "perumusan kembali Islam" dan semua institusinya sesuai dengan perkembangan modenisasi dan keperluan masyarakat. Tafsiran baru beliau ini merujuk kepada konteks sosio-sejarah (historicism) dan pemahaman terhadap al-Qur'an, Sunnah yang sahih serta mengenepikan tafsiran-tafsiran lain mengenai Islam yang beliau sifatkan tidak menepati kehendak al-Qur'an dan bersifat "mengundur ke belakang".

            Penghijrahan beliau ke Chicago untuk melepaskan diri dari kemelut politik semasa di Pakistan di era 1960an dan demi mendapatkan kebebasan ilmiah, menjadikannya seorang yang begitu gigih berjuang mempertahankan Islam di dunia Barat menentang kritikan Orientalis dan Missionari Kristian terhadap Islam. Biar pun perjuangannya membawa suatu bentuk Modenisme Baru atau Neo-Modenisme Islam dikecam hebat oleh kalangan Konservatif-Fundamentalis di Pakistan dan hampir bersendirian dalam perjuangan tersebut, namun beliau tidak tunduk kepada sebarang tekanan malah dengan gigih melontarkan gagasan Islamnya dengan harapan untuk membawa pembaharuan yang konstruktif kepada kehidupan umat Islam selaras dengan ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah. 

            Fazlur Rahman melakukan "reformasi dalaman" terhadap tradisi Islam dengan tujuan untuk membawa umat Islam menghayati Islam yang sebenar dan bebas dari sebarang penyelewengan sama ada yang berpunca dari salah tafsiran, pengambilan unsur asing dan budaya setempat ataupun kerana kejahilan. Keterbelakangan dan kemunduran Islam dan umatnya selama ini menurut beliau adalah kerana kegagalan mereka menghidupkan kembali seluruh institusi keagamaan dan kehidupan berdasarkan pengajaran al-Qur'an. Lantaran itu beliau berusaha membawa umat Islam kepada Islam yang sebenar berdasarkan al-Qur'an dan al-Sunnah serta membezakannya daripada Islam yang berlaku dalam sejarah (Historical Islam) yang selama ini memberikan tafsiran yang bersifat "mengundur ke belakang" kepada Islam. Intipati reformasi beliau mengarah kepada intelektualisme dan kajian pensejarahan (historicism) kerana ia dapat digunakan untuk mencari semula formula (petunjuk) yang sebenar bagi berbagai dimensi kehidupan yang semakin jauh dari petunjuk Islam yang sebenar.

            Fazlur Rahman secara khusus melihat fenomena Kebangkitan Islam yang berlaku seharusnya berjalan seiring dengan gagasan Neo-Modenisme Islamnya. Beliau memberi pengertian Kebangkitan Islam yang komprehensif Menurut beliau, yang antara lain iaitu; pertambahan mendadak jumlah umat Islam di negara Barat, menghidupkan kembali serta memperkuatkan undang-undang Islam tradisional atau nilai-nilai sosio-keagamaan Islam tertentu di beberapa negara Islam dan sokongan politik terhadap gerakan-gerakan pembebasan Islam di mana umat Islam tertindas atau menjadi minoriti.

            Susur-galur Kebangkitan Islam secara sistematiknya dalam penelitian beliau bermula dari aliran Pra-Modenisme / Fundamentalisme, diikuti oleh Modenisme Klasik dan Pasca Modenisme / Neo-Fundamentalisme telah banyak memberi sumbangan kepada kekuatan Islam. Namun pada penganalisaan beliau terdapat beberapa kelemahan dasar yang merencatkan kejayaannya yang perlu diperbetulkan. Pembetulan ini dilakukan dengan pengenalan gagasan beliau iaitu Neo-Modenisme Islam.

            Keseluruhan pemikiran Fazlur Rahman berpusat kepada kenyataan bahawa pra-syarat Kebangkitan Islam ialah Kebangkitan Intelektual kerana kemampuannya membawa kebangkitan yang menyeluruh dalam setiap bidang kehidupan seperti politik, ekonomi, sosial mahu pun pendidikan. Sebab itulah beliau tidak henti-henti mengkritik institusi-institusi Islam supaya berada dalam landasan yang benar dengan membuat perbezaan di antara Islam yang berlaku dalam sejarah (Historical Islam) dan Islam tulin (Normative Islam) dengan melakukan kajian pensejarahan (historicism).

            Fazlur Rahman dalam analisanya mengenai institusi politik mendapati Kebangkitan Islam tidak akan berkesan sekiranya masih wujud pengamalan sistem politik teokrasi, diktator atau ketenteraan-agama kerana ia menyekat dan menafikan hak kebebasan rakyat. Sistem politik sedemikian lebih banyak memperlihatkan penguasaan individu atau segelintir orang yang terlalu berkuasa dengan menundukkan rakyat massa di bawah kekuatan persenjataan mereka atau dengan tafsiran-tafsiran politik-keagamaan yang dapat menjamin pengukuhan kekuasaan mereka. Keadaan sebegini tidak menjamin keselamatan rakyat, ketakutan, malah rakyat tiada ruang untuk mengkritik dan memberi pandangan yang membina kerana corak politik begini lebih bersifat sehala.

            Untuk memastikan keberkesanan Kebangkitan Islam, pelaksanaan sistem pemerintahan demokrasi-shura di mana ketua negara mentadbir dengan dibantu oleh Majlis Perundangan yang dipilih oleh rakyat hendaklah dipertahankan serta dilaksanakan. Melalui kaedah ini rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka untuk dipertimbangkan oleh pemerintah selama mana ianya benar. Pemerintah mestilah bersikap adil dan amanah serta komited dengan ajaran Islam sebagaimana mandat yang diberi oleh rakyat. Fazlur Rahman menolak semua bentuk pemerintahan otokrasi dan juga diktator-keagamaan seperti amalan golongan Sunni dan Syicah dengan  alasan ia tidak sesuai dengan yang dikehendaki oleh al-Qur'an dan al-Sunnah.

            Beliau turut melihat kecenderungan pihak yang berkuasa atau aliran-aliran dalam Kebangkitan Islam melancarkan jihad terhadap sesama Islam dan memaksa orang lain secara kekerasan agar mengikut fahaman mereka sebagai fenomena negatif. Menurut beliau antara punca yang menggagalkan keberkesanan Kebangkitan Islam ialah sikap memandang diri mereka sendiri sahaja yang betul dan pihak lain sebagai sesat dan salah. Sikap sombong, bangga diri dan memandang rendah pihak lain ini telah menjerumuskan mereka menggunakan fatwa-fatwa keagamaan untuk menghalalkan jihad terhadap sesama Islam yang terdiri dari aliran atau kumpulan atau individu yang tidak sehaluan dengan mereka. Akibatnya, ini membawa kepada peperangan dan pertentangan yang tidak berkesudahan serta menyempitkan dasar kebebasan berfikir yang digalakkan oleh Islam. Suatu keadaan yang menyebabkan umat Islam tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyusun strategi bagi menghadapi musuh Islam yang sebenar.

            Sikap apologetik terhadap Barat yang tertanam di sanubari kalangan penggerak Kebangkitan Islam bukan sahaja merencatkan malah membawa jauh kebelakang usaha-usaha Kebangkitan Islam. Mereka keterlaluan dalam memuja Barat dengan mengambil contoh dari institusi-institusi Barat tanpa kritik sehingga menjadikan umat Islam "peniru" Barat. Mereka tidak secara serius mengkaji semula warisan tradisi Islam zaman lampau sebagai teladan bagi kehidupan moden. Menurut Fazlur Rahman, mengenepikan sama sekali warisan tradisi bererti membuang asas-asas untuk kehidupan masa hadapan, sedangkan kehidupan masa hadapan berdiri dari warisan tradisi lampau. Lantaran itu sikap apologatik mampu mengagalkan Kebangkitan Islam kerana ia menjadikan umat Islam sebagai westernizer (orang yang diBaratkan) atau hamba kepada Barat. Sebaliknya sikap kritis dan berpegang kepada warisan tradisi serta ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah wajar menjadi pegangan supaya dasar kehidupan lebih bercorak Islamik. Ironisnya, Kebangkitan Islam mestilah beroperasi dengan idea dan kaedah-kaedah yang bersifat Islamik dan tidak seharusnya bersifat keBaratan (Westernized).

            Antara sebab lain ketidakberkesannya Kebangkitan Islam menurut Fazlur Rahman ialah keadaan di mana kebanyakan pendukung aliran Kebangkitan Islam tersebut terperangkap dan terkongkong dengan pandangan pemimpin mereka sehingga memberikan taraf kudus (suci) kepadanya. Kemudian mengenepikan sama sekali ruang untuk menerima pandangan serta tafsiran pihak lain, walaupun benar. Adakalanya ia menjadi lebih buruk apabila pemimpin berkenaan tidak menyampaikan secara komprehensif dan konstruktif pandangan-pandangan keagamaan sehingga menjadikan pandangan mereka berpihak kepada kebenaran diri sendiri serta menafikan kebenaran orang lain. Para penyokong kemudiannya mengikut saranan pemimpin mereka tanpa berbelah bahagi serta menutup ruang kepada sebarang perbincangan dan perdebatan dengan pihak lain. Sebab itu mereka tidak berupaya untuk membina sebuah pemerintahan yang Islamik kerana kumpulan pemikiran yang ada hanyalah pemikiran kepemimpinan mereka sahaja dan bukannya gabungan pemikiran para pemikir aliran-aliran Kebangkitan Islam.

            Kebangkitan Islam menurut Fazlur Rahman akan menjadi negatif apabila para penggeraknya cuba menarik perhatian atau mendapatkan simpati masyarakat umum supaya menjadi ahli atau pun penyokong mereka dengan menggunakan slogan-slogan yang penuh muslihat (catchy slogan) dan merangsang semangat (demagogy). Dengan kaedah ini mereka dapat memperdayakan anak-anak muda dan mereka yang berminat dengan Islam untuk bergabung dalam aliran mereka. Akan tetapi agak malang kerana mereka tidak berusaha dengan kadar yang sepatutnya untuk mempraktikkan slogan tersebut. Fazlur Rahman menggelar keadaan ini sebagai "Uniform Phenomena" kerana mereka bersemangat tetapi tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup untuk bercakap dan melaksanakan tanggungjawab Islam.

            Kegagalan aliran-aliran Kebangkitan Islam untuk membuat penilaian yang realistik terhadap situasi sosio-ekonomi dan politik semasa berdasarkan prinsip al-Qur'an telah menyebabkan berlaku penyelewengan dari norma (semangat) ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah yang akhirnya membawa kepada terbantutnya kemajuan Islam kerana Islam tidak dapat memberi jawaban kepada banyak persoalan baru di dunia moden. Menurut beliau yang menentukan perundangan Islam ialah prinsip, nilai dan tujuan moral al-Qur'an dan bukannya literal ayat. Sebenarnya beliau mahu membangunkan Kebangkitan Islam abad-abad moden ini dengan tafsiran Islam yang tepat dari pemahaman terhadap al-Qur'an dan al-Sunnah.

            Fazlur Rahman begitu optimis bahawa keberkesanan Kebangkitan Islam bergantung kepada kekuatan sistem pendidikan yang wujud. Beliau mengkritik hebat sistem pendidikan madrasah dan universiti di negara-negara Islam  kerana bersifat negatif. Beliau memberi saranan keras agar dilakukan reformasi pendidikan yang menyeluruh khususnya dari segi falsafah, matlamat, kaedah pengajaran dan kurikulum. Begitupun beliau melihat wujud elemen negatif dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara-negara Islam, seperti: metodologi pendidikan yang mengutamakan hafalan dan menyempitkan ruangan untuk berkreasi serta objektif peperiksaan hanyalah untuk menilai sejauhmana kemampuan pelajar menghafal.

            Menurut beliau amat malang sekali kerana tapisan dalam sistem pendidikan membenarkan keadaan di mana sebahagian besar pelajar yang memasuki bidang pengajian agama merupakan mereka yang gagal untuk memasuki bidang lain yang lebih menguntungkan. Pemisahan (dichotomy) antara mata pelajaran agama dan bukan agama menyebabkan kegagalan untuk membentuk pelajar dengan nilai-nilai Islam. Kurikulum yang bersifat sekular ini membawa kepada nilai-nilai hidup yang asing dan bercanggah dengan Islam. Malah ada kurikulum pendidikan yang mengenepikan warisan disiplin pengajian zaman pertengahan dengan anggapan ia tidak lagi bersesuaian dengan kehendak semasa sehingga menjadikan mereka terputus dari akar umbi (roots) pengajian Islam. Suatu keadaan yang merugikan Kebangkitan Islam.

            Fazlur Rahman menyarankan supaya diperluaskan kurikulum pendidikan kepada usaha melakukan integrasi ilmu keagamaan dengan ilmu umum (sains). Pelaksanaan Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamization of Knowledge) adalah dengan berpandukan al-Qur'an. Islamisasi ilmu dilakukan dengan menggunakan daya kreatif iaitu penilaian semula terhadap tradisi Islam, adakah ianya benar atau pun salah. Kemudian mempelajari secara kritis serta menilai ilmu pengetahuan moden tradisi Barat di mana penilaian dan sikap kritis merupakan langkah pertama untuk memperolehi ilmu pengetahuan baru.

            Fazlur Rahman melihat antara beberapa lagi punca keterbelakangan dan kemunduran umat Islam ialah kegagalan untuk memberikan jawapan yang konstruktif terhadap peranan wanita dalam kehidupan masyarakat. Dengan jumlah mereka yang besar iaitu lebih daripada separuh umat Islam, peranan dan potensi mereka mestilah dikenal pasti dan difahami dalam konteks agama dan keperluan masyarakat semasa. Sebab itulah persoalan pendidikan wanita, persamaan sosial dan penglibatan dalam kegiatan sosio-ekonomi menjadi landasan reformasi sosial beliau kerana kemajuan Islam bergantung kepada kualiti umatnya  termasuklah kaum wanita.

            Untuk memastikan keberkesanan Kebangkitan Islam, suatu rumusan tentang sistem kewangan negara yang komprehensif dan kompetitif mesti disediakan terlebih dahulu. Institusi zakat menurut beliau seharusnya diberi peranan besar sebagai dana negara yang menyediakan perbelanjaan untuk seluruh sektor negara seperti pendidikan, pembangunan sosial, prasarana ekonomi, komunikasi, pentadbiran awam dan sebagainya. Demikian halnya juga, beliau membezakan antara Sistem Bank pada masa ini dengan amalan riba yang ditegah oleh Islam kerana terdapat perbezaan fungsi antara keduanya; riba ialah lebihan berganda yang bersifat eksploitasi, sementara faedah bank (interest) ialah peratusan tertentu dari pokok pinjaman yang perlu dilunaskan apabila membayar pinjaman dan ia bersifat "ekonomi pembangunan".

            Fazlur Rahman dengan sinis mengkritik slogan "kembali kepada al-Qur'an dan al-Sunnah" sebagai tidak difahami dalam konteks yang betul kerana mereka yang mengutarakan slogan itu hanya berusaha mahu melaksanakan secara literal (harfiah) ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah. Konteks yang sebenar mengenai ajaran al-Qur'an dan al-Sunnah yang murni mestilah dikemukakan terlebih dahulu supaya slogan itu dapat dipraktikkan dan bukan setakat retorik sahaja. Sedangkan metodologi tafsir mufasir klasik dan abad pertengahan iaitu secara literal dan bersilang tidak dapat memberi pandangan dunia (welstanchaung) yang sepadu dan menyeluruh. Lebih buruk lagi wujudnya mereka yang mengkhususkan tafsiran al-Qur'an untuk kelompok mereka sahaja seperti kalangan Syicah dan Sufi serta tafsiran secara kiasan (cibarat) oleh kalangan Muctazilah. Bentuk pentafsiran yang sebegini boleh membawa kemunduran kepada umat Islam.

            Kebangkitan Islam menurut Fazlur Rahman akan menemui jalan buntu sekiranya umat Islam mengambil sikap tidak kritis terhadap al-Sunnah / Hadith, kerana proses evolusi al-Sunnah / Hadith memperlihatkan wujud unsur-unsur menjaga kepentingan politik dan keutamaan kepada mazhab tertentu. Al-Sunnah ialah aplikasi Rasulullah s.a.w. sahaja dan bukannya turut meliputi amalan generasi Islam yang awal. Sementara Ijtihad terbuka kepada kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai Islam dan kemampuan berfikir dan bukan merupakan hak golongan culama' sahaja. Ijtihad ini kemudiannya dikemukakan kepada masyarakat untuk diperdebatkan hingga dapat dirumuskan dan diterima ramai, tetapi dalam perkembangannya ia boleh digantikan dengan Ijtihad lain yang lebih sesuai. Beliau bagaimana pun tidak mahu Ijtihad dilakukan secara bebas dan tidak bertanggungjawab. Beliau hanya bertujuan supaya Islam mampu memberi jawapan dan sesuai (releven) kepada segala persoalan baru dalam kehidupan manusia yang pantas berubah.

            Fazlur Rahman menambah bahawa fenomena "Penutupan Pintu Ijtihad" yang berlaku kerana ketidakberanian intelektual atau kerana hendak mengekalkan struktur hukum dan menjaga perpaduan umat adalah antara punca yang membawa kepada kemunduran dan keterbelakangan Islam. Banyak persoalan dan masalah baru yang timbul gagal dicari penyelesaian yang konkrit hingga menyebabkan masalah itu berpanjangan dan umat Islam tidak berani untuk menanganinya semata-mata tiada hukum yang membenarkan atau melarangnya. Sedangkan itulah realiti kehidupan zaman moden. Oleh itu beliau menganjurkan pelaksanaan Ijtihad secara sistematik dan komprehensif dengan berpandukan tafsiran al-Qur'an secara menyeluruh, kajian terhadap situasi semasa untuk melihat situasi perundangan al-Qur'an, persamaan dan perbezaan dengan situasi perundangan al-Qur'an. Akhirnya, menafsirkan perundangan al-Qur'an untuk menghasilkan hukum baru bagi situasi semasa.

            Tidak syak lagi, Prof. Dr. Fazlur Rahman merupakan pemikir dan reformis besar dunia Islam moden yang berperanan membangkitkan kesedaran seluruh umat Islam dan dalam masa yang sama memberi sumbangan kepada Kebangkitan Islam di bawah sinaran gagasan intelektual moden. Beliau telah mengetengahkan kefahaman bahawa Kebangkitan Islam ialah Kebangkitan Intelektual dan bukannya kebangkitan semangat, slogan mahupun kebangkitan persenjataan. Ini kerana Kebangkitan Intelektual mampu memberi arah tujuan yang jelas dan benar dengan berpandukan sumber asas al-Qur'an dan al-Sunnah terhadap semua aspek Kebangkitan Islam.


No comments:

Post a Comment