KONSEP
PENGELUARAN
7.1
Pengenalan
Konsep pengeluaran dalam
ekonomi Islam membawa pengertian yang amat luas dan ia menekankan pengeluaran
barangan-perkhidmatan yang berguna dan bermanfaat ditawarkan kepada pengguna
dengan penggunaan sumber secara optimum. Proses pengeluaran akan memastikan
sumber mentah dan manusia digunakan secara sepenuhnya untuk mengeluaran
barangan yang mampu memberi kepuasan yang maksimum kepada pengguna dalam usaha
memenuhi keperluan hidupnya dan tuntutan agamanya. Dalam aspek pengeluaran ini
hubungan antara pengeluar-pengguna ialah penawaran.
Di antara ayat al-Quran
yang menganjurkan tentang pengeluaran
ialah;
“Dialah Allah yang
menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu…”.
(al-Baqarah: 29)
“Dan Dia telah
menundukkan (pula) bagimu matahari yang terus menerus beredar (dalam orbitnya)
dan telah menundukkan bagimu malam dan siang”.
(Ibrahim:
33)
7.2
Definasi
Pengeluaran
Dalam
konteks ekonomi Islam, Aidit Ghazali (1990: 66-67) mengulas bahawa pengeluaran
ialah suatu usaha mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang efektif dan
diperlukan, boleh membawa pembaikan kepada moral dan fizikal manusia. Manakala
menurut M.A. Mannan (1986: 55) pengeluaran ialah menjadikan sesuatu benda itu
berguna dan boleh memberi perkhidmatan kepada manusia. Dalam ekonomi konvensional sepertimana yang diutarakan
oleh David W. Pearce (1983: 354), pengeluaran ialah tindakan mengubah
faktor-faktor pengeluaran kepada barangan-perkhidmatan yang dikehendaki untuk
penggunaan dan pelaburan.
Pengeluaran adalah proses ekonomi yang berkaitan dengan
penawaran. Ia penting kerana tanpanya pengagihan dan penggunaan akan terbantut
dan manusia gagal memperolehi barang-barang keperluan yang asas sehingga
menyukarkan hidup mereka. Tanpa melakukan aktiviti pengeluaran, seseorang dari
segi agama adalah melakukan kesalahan kepada kemanusiaan. Aktiviti Pengeluaran
harus dilaksanakan sehingga keperluan masyarakat dapat dipenuhi sehingga
berlaku keseimbangan permintaan-penawaran.
Bekerja dan berusaha adalah fitrah manusia. Manusia
dijadikan untuk berusaha gigih bagi memenuhi keperluan hidupnya. Mereka perlu
melakukan aktiviti ekonomi pengeluaran melalui kepayahan, kepenatan dan
kesusahan. Hasilnya mereka akan mendapat imbalan yang sewajarnya
dalam bentuk upah, kekayaan, aset dan barangan. Ia juga boleh membantu mencipta peluang-peluang pekerjaan
baru dalam usaha mencapai gunatenaga penuh dalam semua sektor ekonomi.
7.3
Objektif
Pengeluaran
Beberapa sarjana ekonomi Islam membincangkan secara
serius tentang objektif pengeluaran dalam Islam yang disifatkan sebagai lebih
menyeluruh jika hendak dibandingkan dengan ekonomi konvensional. Objektif
pengeluaran dalam Islam ialah meningkatkan kekayaan dan keuntungan serta untuk
mendapatkan keredhaan Allah sehingga aktiviti pengeluaran tersebut dapat
meningkatkan kebajikan ekonomi, kualiti barangan-perkhidmatan dan
mengefisienkan penggunaan sumber.
Secara
terperinci Nejatullah Siddiqi (1972:11-34) dalam bukunya The Economic
Enterprise In Islam berpendapat objektif pengeluaran dalam ekonomi Islam
antara lain ialah;
a.
Menyediakan
keperluan diri secara sederhana. Usaha pengeluaran barangan-perkhidmatan
makanan, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan yang asas bagi membolehkan
menjalani kehidupan biasa secara sederhana.
b.
Memenuhi keperluan
orang yang di bawah tanggungan. Pengeluaran untuk memenuhi tanggungjawab
menyara kehidupan keluarga dan ibu bapa supaya tidak dihimpit oleh kesusahan
bahkan beroleh kemudahan dalam kehidupan.
c.
Menyediakan
keperluan masa depan. Pengeluaran untuk menghasilkan barangan-perkhidmatan dan
keuntungan yang dapat disimpan pada masa ada kelebihan dan dapat digunakan di
masa-masa mendatang yang manusia tidak ada pengetahuan mengenainya terutamanya
pada masa kesusahan.
d.
Peruntukan untuk
generasi akan datang. Hasil dari aktiviti pengeluaran tidak dibelanjakan atau
digunakan tetapi disimpan untuk warisan generasi akan datang sama ada melalui
sumber mentah, wang, emas, saham, faraid, wakaf, hadiah dan sebagainya.
e.
Khidmat sosial dan
sumbangan pada jalan Allah. Hasil pengeluaran digunakan untuk memenuhi agenda
jihad memenuhi keperluan rakyat atau orang ramai melalui pemberian secara
sukarela terhadap golongan fakir, miskin dan al-mustadh’afin (golongan
yang memerlukan) supaya mereka dapat bebas dari kesukaran hidup dan dapat
menjalani hidup yang lebih sempurna dan juga menghasilkan barangan-perkhidmatan
yang baik dan diperlukan dengan harga yang murah.
7.4
Kepentingan
Pengeluaran
a.
Allah menyediakan pelbagai kemudahan asas bagi
manusia di bumi ini untuk keperluan hidup manusia. Manusia sentiasa didorong
oleh Islam supaya berusaha gigih dan bekerja dalam aktiviti pengeluaran seperti
berniaga, berternak dan bertani.
b.
Kebanyakan Nabi dan Rasul terlibat dalam bidang
pengeluaran. Ada kalangan nabi yang menjadi peniaga, penternak, petani dan
tukang besi. Ini bagi menunjukkan sanjungan kepada sikap berdikari dan kurang
pergantungan kepada pihak lain.
c.
Memenuhi keperluan masyarakat dalam tahap yang
sesuai seperti dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat.
d.
Asas pembangunan negara dan umat Islam. Masyarakat
Islam mesti bekerja keras bagi memenuhi keperluan masyarakatnya dan ini dapat
membantu pertumbuhan ekonomi.
e.
Menggelak diri dari unsur-unsur kemalasan yang bukan
setakat merugikan individu yang terlibat tetapi juga struktur negara dan
masyarakat.
Pada
realitinya amat sedikit kita dapati manusia yang secara individu mengeluarkan
sendiri barangan keperluan untuk kehidupannya sebaliknya terpaksa bergantung
kepada bantuan orang lain untuk barangan atau perkhidmatan yang diperlukannya.
7.5
Konsep
Barangan dan Perkhidmatan
Ekonomi
konvensional melihat barangan sebagai sesuatu yang memiliki cita rasa dan nilai
ekonomi, sementara perkhidmatan sebagai sebarang urusan yang memudahkan
aktiviti pengeluaran dan pengagihan. Ini berbeza dengan ekonomi Islam yang
melihat barangan-perkhidmatan bukan sahaja sebagai sesuatu yang mempunyai nilai
ekonomi iaitu boleh mendatangkan keuntungan tetapi juga berupaya memenuhi
kehendak keagamaan dan keperluan masyarakat. Ia juga berusaha mewujudkan
manusia yang terlibat dalam kegiatan ekonomi supaya menjadi manusia yang baik,
sabar, bertanggungjawab, rajin bekerja, berhemah dan amanah dalam aktiviti
ekonomi bagi memastikan peruntukan sumber yang optimum dan suasana kegiatan
ekonomi yang harmonis.
Monzer
Kahf (1982:27-29) menggunakan perkataan yang sesuai dengan barangan sebagai al-Tayyibah
dan al-Rizq yang bermaksud barangan yang baik dan suci. Dengan
pengertian barangan pengguna adalah barangan yang baik, suci, berkualiti,
meningkatkan nilai akhlak serta membawa kebaikan. Sementara barangan yang tidak
ada kebaikan, membawa kepada dosa dan maksiat, merbahaya pada fizikal,
merosakkan nilai akhlak, serta tidak membantu kehidupan manusia secara
keseluruhannya tidak boleh dianggap sebagai barangan dan dilarang
penggunaannya. Di antara contohnya ialah aktiviti pelacuran, perjudian, hiburan
bebas, perniagaan haram, minuman keras dan sebagainya. Dalam Islam, menggunakan
barangan yang baik merupakan suatu kebajikan dan menggunakan ciptaan Allah
merupakan suatu ibadah.
7.6
Jenis
Barangan dan Perkhidmatan
Ekonomi
Islam meletakkan pemilihan jenis barangan dan perkhidmatan adalah berasaskan
matlamat pengguna Islam sendiri. Surtahman Kastin Hasan dalam bukunya Ekonomi
Islam: Dasar dan Amalan (1995) menggariskan matlamat tersebut sebagai;
memenuhi keperluan hidup secara sederhana, menghindari penggunaan barangan yang
dilarang, tidak boros dan membazir, dan penggunaan serta kepuasan yang terhasil
tidak menjadi matlamat akhir pengguna. Setelah matlamat kepenggunaan dipastikan
barulah seseorang pengguna Islam mengatur pilihannya mulai dengan barangan atau
perkhidmatan yang;
a.
Dharuriyat (barangan keperluan asas); semua benda asas yang diperlukan bagi kehidupan manusia
bagi melindungi diri, agama, akal, keturunan dan harta. Tanpa keperluan asas
ini manusia tidak berupaya untuk hidup sempurna, meruntuhkan nilai-nilai
kemanusiaan, hidup dicengkam suasana kesusahan malah mungkin tidak boleh hidup
seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan. Tanpa makanan
manusia akan kebuluran, tanpa rumah manusia akan kesejukan dan tanpa penjagaan
kesihatan manusia menderita diserang pelbagai jenis penyakit. Kegagalan untuk
memiliki atau memperolehi barangan-perkhidmatan ini menyebabkan individu dan
kelompok berada dalam kedudukan kelas bawahan atau pada tahap kemiskinan.
b.
Hajiyat (barangan kemudahan dan keselesaan); benda yang membantu meningkatkan kecekapan, memudahkan
hidup manusia dan meningkatkan kualiti kehidupan. Adanya menyenangkan dan
menjadikan hidup lebih selesa tanpa melanggar batas-batas kesederhanaan. Mereka
yang tergolong dalam kategori ini dinamakan golongan kelas menengah atau
golongan berpendapatan sederhana. Contohnya ialah makanan yang berzat serta
lazat dan pakaian yang selesa. Ini kerana badan yang sihat, cergas
dan kuat kerana pemakanan yang berzat. Dari sudut kesihatan mampu menjadikan
seseorang itu dapat bekerja rajin dan gigih. Islam membenarkan manusia
menikmati kesenangan dan itu merupakan tabiat semulajadi manusia. Malah tidak
salah untuk menghiasi kehidupan dengan pelbagai perhiasan yang manusia suka mengikut
kemampuan yang ada kerana ia mencerminkan kehebatan kurniaan Allah. Firman
Allah:
“Katakanlah (Wahai Muhammad) siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan
Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan demikian juga
benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?”
(al-a’raf: 32)
“Apabila Tuhan sudah mengurniakan rezeki-Nya ke atasmu, Ia lebih suka
melihat rezeki-Nya itu pada dirimu (dalam bentuk pemakanan, pakaian dan
kehidupan yang baik)”.
(Riwayat
Abu Dawud)
c.
Kamaliyat (barangan mewah); Benda yang tidak membantu meningkatkan kecekapan tetapi
mungkin sebaliknya. Ia adalah barangan-perkhidmatan yang menunjukkan gaya,
prestij, perbezaan, kemegahan, kemewahan, kesempurnaan dan kelayakan. Mereka
dikategorikan sebagai golongan kaya dan kelas atasan. Contohnya ialah baju mahal, barang kemas,
kereta mewah, kehidupan berprestij, perhiasan diri dan rumah mewah. Kos yang
dikeluarkan untuk mendapatkannya adalah melebihi faedah yang boleh diperolehi
darinya. Bahkan pada keadaan tertentu boleh menghalang kecekapan ekonomi
melalui pembaziran gunatenaga, modal dan bahan mentah. Barangan mewah boleh
terus dikeluarkan tetapi langkah untuk pengagihan semula kekayaan daripada
orang kaya yang sedikit kepada orang miskin yang ramai perlu dilakukan (kuasa
beli) melalui pengeluaran barangan-perkhidmatan yang diperlukan dan sekaligus
ia menyediakan peluang pekerjaan yang besar. Jika keadaan ini tidak
diseimbangkan dikhuatiri ia boleh mendedahkan ekonomi kepada pengangguran dan barangan
tiada pasaran. Ini kerana penggunaan barangan mewah bukan suatu pembaziran
ekonomi secara menyeluruh kerana wujudnya permintaan. Islam menegah kemewahan
hidup sebegini kerana ia menggalakkan pertumbuhan industri yang tidak produktif
dan tidak bermoral yang boleh menggugat keharmonian masyarakat. Sesuatu benda
atau perkhidmatan itu diharamkan apabila ia membawa kepada perkara keji seperti
sombong dan angkuh.
Namun apa yang selalu berlaku ialah kehendak manusia
bukan merupakan keperluan sebenar manusia, tetapi ia biasanya merupakan
keinginan nafsu. Islam telah mengenali tabiat manusia
sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya
manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir”.
(al-Ma’arij: 19)
“Dijadikan
indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini iaitu
wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan,
binatang ternakan dan sawah ladang”.
(Ali-‘Imran: 14)
Oleh
itu tidak benar untuk mengatakan sumber ekonomi adalah terhad kerana apa yang
berlaku ialah kehendak manusia yang melampau dan tidak terhad menyebabkan
sumber ekonomi tidak dapat diurus dengan berhemat. Ekonomi Islam cuba
mengurangkan keperluan manusia terhadap kebendaan yang berlebih-lebihan kerana
kegagalan mengawal kehendak manusia yang tidak terbatas ini merupakan punca
kepada timbulnya pelbagai masalah dalam ekonomi.
7.7
Klasifikasi
Keperluan Manusia
Sarjana
ekonomi Islam seperti Afzalur Rahman (1985), M.A. Mannan (1986: 47-48) dan
Muslehuddin (1980: 58) mengklasifikasikan barangan keperluan manusia kepada
tiga iaitu; barangan keperluan asas, barangan keperluan kecekapan dan barangan
mewah. Pengguna Islam hanya berbelanja dalam klasifikasi keperluan asas (dharuriyat)
dan barangan kecekapan (hajiyat) sedangkan yang lebih dari itu adalah
membazir dan tidak produktif.
7.8
Jumlah
Barangan dan Perkhidmatan
Jumlah
barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan untuk pasaran bukan hanya mengikut
kehendak pengguna tetapi juga ditentukan oleh kerajaan supaya kerajaan dapat
menyeimbangkan penawaran dan permintaan barangan dharuriyat, hajiyat dan
kamaliyat. Kerajaan perlu bijaksana melihat keperluan rakyat melalui
aspek saiz penggunaan dan taraf hidup rakyat supaya ia boleh menentukan polisi
ekonomi negara menjurus kepada keutamaan pengeluaran barangan dharuriyat,
mengeluarkan sedikit barangan hajiyat dan kamaliyat serta
menggelakkan pemborosan dan pembaziran.
Pengeluar
memproses sumber ekonomi sehingga menjadi barangan dengan cekap sedangkan
jumlah barangan ditentukan oleh kerajaan dan pengguna. Jumlah permintaan
pengguna kepada barangan dan perkhidmatan akan jatuh jika barangan itu sedikit
kegunaannya. Begitu juga dengan pengeluaran barangan mewah, saiz permintaannya
kecil dan Islam menyifatkannya sebagai mengikut hawa nafsu dan boleh memberi
kesan sosio-moral dalam hidup bermasyarakat. Permintaan kepada barangan
keperluan dharuriyat dan hajiyat akan mengurangkan permintaan
barangan-perkhidmatan mewah (kamaliyat) begitu juga permintaan tinggi
terhadap barangan halal akan mengurangkan permintaan terhadap barangan-perkhidmatan
yang haram.
Dalam
pada itu tuanpunya firma dan kilang boleh mengeluarkan barangan-perkhidmatan
dengan jumlah yang lebih besar terutamanya pada barangan keperluan asas (dharuriyat)
dengan kos yang lebih rendah kerana penggunaan sumber pengeluaran yang optimum
bagi menolong orang ramai mendapatkan barangan-perkhidmatan dengan mudah dan
dalam masa yang sama memperoleh ganjaran pahala dari Allah juga keuntungan dari
jualan.
7.9
Faktor-Faktor
Pengeluaran
Sarjana
ekonomi Islam seperti M.A. Mannan (1986: 56-64) dan Dr. Muhammad Abdul Mun’im
al-Jamal (1992: 89-96) mempunyai pandangan yang berbagai tentang faktor-faktor
pengeluaran yang dapat dirumuskan seperti berikut;
1.
Tanah
Tanah
merupakan aset fizikal alam semulajadi meliputi semua yang ada di bumi, laut
dan udara. Al-Quran dan al-Sunnah banyak menekankan agar tanah diusahakan
secara sewajarnya kerana tanah dilihat sebagai sumber semulajadi dan sumber
boleh pupus. Tanah adalah sumber semulajadi kerana ia merupakan tempat bekerja,
membina rumah, kilang, perlombongan dan bercucuk tanam. Adalah menjadi
kewajipan manusia untuk membangunkan tanah untuk mendapatkan sewa tanah dan
juga upah atau untung hasil dari eksploitasi tenaga buruh seperti pajakan,
sewaan, pertanian, perindustrian dan penternakan. Sumber yang boleh pupus ini
juga adalah untuk generasi akan datang kerana saiznya yang semakin mengecil.
Apa yang penting ialah manusia mesti sentiasa berfikir bagaimana untuk
meningkatkan daya pengeluaran dari penggunaan tanah yang cekap. Jangan jadikan
tanah yang ada terbiar tanpa aktiviti ekonomi kerana ia suatu pembaziran yang
menghalang dari tercapainya kebajikan manusia.
2.
Buruh
Sumber
alam tidak bermakna kepada manusia jika tidak dieksploitasi menjadi sesuatu
yang berguna dengan menggunakan tenaga buruh. Buruh dinamakan juga sebagai
sumber manusia berperanan melakukan kerja-kerja ekonomi secara profesional
dengan menggunakan keupayaan mental ataupun tenaga fizikal yang selalu juga
disebut sebagai kolar putih dan juga kolar biru. Jika perlu buruh berhijrah keluar dari lokalitinya untuk
mencari rezeki dan tidak sahaja menunggu peluang yang tidak diketahui bila akan
muncul. Orang yang bekerja kuat pasti akan berjaya dan tidak ada orang kaya
yang tidak gigih bekerja. Manusia mesti menanggung kesukaran, penderitaan dan
bertungkus lumus untuk mendapatkan kesenangan dan kebahagiaan. Islam memandang
manusia yang bekerja dengan gigih, tekun dan sabar untuk menghasilkan
barangan-perkhidmatan yang diperlukan oleh manusia sebagai ibadah. Manusia yang
malas dan membuang masa dengan sia-sia akan hidup penuh kehinaan, kesusahan dan
kelaparan. Apa yang penting di sini ialah memahami bahawa buruh atau sumber
manusia bukannya mesin atau manusia ekonomi (economic man) tetapi
perkara yang amat penting ialah mengubah orientasi budaya buruh supaya rajin
bersemangat dan produktif.
Buruh
terikat dengan bidang kerja, sosio-moral dan etika kerja. Ia patut menjauhi
kerja-kerja yang membawa kepada dosa, maksiat, kejahatan dan melalikan. Ia
mesti memiliki kecekapan, kesihatan fizikal, kecerdasan mental, pendidikan dan
latihan. Islam melihat buruh bukan setakat sebagai tenaga kerja sahaja kerana
sesiapa yang mengupah buruh mempunyai tanggungjawab moral dan melindungi hak
asasi pekerjanya seperti tawaran gaji yang sewajarnya, pekerjaan yang mampu
dilakukan, memelihara hubungan baik dengan saling bantu membantu dan memelihara
kebajikannya. Buruh juga tidak bebas melakukan apa yang disukainya yang
dilarang oleh syarak. Ia tidak boleh mensabotaj majikannya dan majikannya tidak
boleh menindasnya.
3.
Modal
Modal
ialah harta kekayaan yang membantu untuk menghasilkan lebih banyak kekayaan
seperti mesin, kenderaan, bahan mentah dan wang. Tanpa modal proses pengeluaran
tidak dapat dilakukan hanya dengan usaha gigih manusia sahaja. Modal merupakan
hasil simpanan dari kerja kuat dan jimat cermat. Ia juga boleh diperolehi dari
pelaburan semula wang dalam perniagaan dan juga dari pinjaman tanpa faedah
(riba). Modal mesti bebas dari sebarang unsur riba, penipuan, sorok, perjudian,
spekulasi, pakatan (cartel) dan rasuah. Modal mesti digunakan sebaik
mungkin untuk aktiviti pengeluaran dan juga untuk tujuan tabungan bagi kekayaan
dan pelaburan semula. Islam melihat modal sebagai amanah dengan dijana secara
baik dan tidak diboroskan. Islam menegah manusia menyembunyikan modal kerana ia
boleh mengurangkan kadar kemajuan kerana kegiatan ekonomi tidak mampu
dilaksanakan kerana ketidakcukupan modal. Sebaliknya Islam menggalakkan
pelaburan modal melalui musyarakah dan mudharabah dengan
berkongsi untung-rugi. Modal mesti ditadbir urus dengan baik dan mengelakkan
pemborosan serta penyalahgunaan kerana ia dapat menggelakkan kerugian dan
penderitaan bukan sahaja kepada tuan punya modal tetapi juga kepada para
pekerjanya.
4. Organisasi
Organisasi
ekonomi bertanggungjawab merintis, merancang, menyelia dan melaksanakan
aktiviti pengeluaran pertanian, industri dan perkhidmatan. Organisasi mesti
mempunyai manusia yang baik, berkualiti dan bekerja keras. Ia melakukan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan
yang halal dan berguna untuk kebaikan masyarakat serta menyediakan peluang
pekerjaan kepada masyarakat umum. Organisasi ini berorientasikan amanah,
ketinggian mutu barangan-perkhidmatan dan kebaikan. Ia terbahagi kepada dua
bentuk iaitu mudharabah (berkongsi untung) dan musyarakah
(berkongsi untung rugi). Mudharabah beroperasi bila pemodal menyediakan
modal dan usahawan melaksanakan aktiviti ekonomi dengan untungnya dibahagi sama
mengikut nisbah yang dipersetujui bersama, manakala kerugian akan ditanggung
oleh pemodal sahaja kerana usahawan telah berusaha gigih dan jika rugi ia tidak
mendapat upahnya. Manakala musyarakah
ialah perkongsian ekuiti dan tugas dalam aktiviti ekonomi yang memberi
implikasi untung-rugi ditanggung bersama.
5. Keusahawanan
Keusahawanan menggerakkan pengeluaran dan usaha-usaha
yang produktif. Pengurus atau pengusaha menguruskan kerja-kerja perusahaan
untuk mendapatkan keuntungan yang akhirnya boleh dikongsi bersama dengan
pemegang saham atau untuk keuntungan sendiri dengan melaksanakan prinsip mudharabah
dan juga musyarakah. Untuk itu, ekonomi Islam melihat aspek keusahawanan
perlu kepada keutuhan moral, ketepatan waktu, kesungguhan, produk bermutu dan
kejujuran mengurus sebagai teras keusahawanan yang berjaya. Bahkan
ia dapat mengurangkan kos pengurusan dan penyeliaan.
6. Teknologi
Dalam
perkembangan masa, teknologi dianggap sebagai satu daripada faktor pengeluaran.
Penggunaan teknologi iaitu mesin, jentera dan peralatan telah menambah kekayaan
dan keuntungan manusia melalui jumlah pengeluaran yang dipertingkatkan, kualiti
barangan yang dijamin dan kos pekerja yang dapat dikurangkan. Perubahan
teknologi juga dapat memperkenalkan sistem dan cara kerja yang baru. Masalah
pencemaran dapat dimimimakan untuk kesejahteraan masyarakat. Justeru itu usaha-usaha
penyelidikan dan pembangunan perlu sentiasa digalakkan untuk pengenalan
teknologi baru yang boleh mempertingkatkan output pengeluaran.
7.10
Kesimpulan
Pengeluaran
merupakan aktiviti ekonomi yang penting sama seperti penggunaan dan pengagihan.
Ia adalah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi serta kebajikan
masyarakat. Kehendak-kehendak manusia dikawal ketat dalam menentukan proses
pengeluaran. Begitu juga dengan faktor-faktor pengeluaran akan dimanipulasi
dengan baik oleh usahawan muslim yang beretika Islam. Dari situ muncul aktiviti
penggunaan yang sederhana dan seimbang dalam semua aktiviti ekonomi mengikut
tahap dharuriyat, hajiyat dan kamaliyat.
No comments:
Post a Comment