KONSEP TAMADUN
1. Konsep Tamadun
1.1 Definisi Tamadun
Menurut Bahasa dan Istilah
Mengikut Kamus Dewan, perkataan tamadun bererti kebudayaan,
peradaban dan kemajuan. Kemajuan meliputi dari sudut rohani (spiritual) dan
jasmani (fizikal) sesuatu bangsa atau masyarakat. Pengertian ini menepati makna
tamadun dari kacamata Islam.
Dalam bahasa Melayu/Indonesia perkataan peradaban adalah
sinonim dengan tamadun. Beradab bererti bersopan, terhormat, hidup diatur oleh
hukum, mempunyai tingkat kebudayaan (cara hidup) yang lebih tinggi daripada
orang lain (biadab). Dari segi penggunaan, istilah tamadun lebih menyeluruh daripada
istilah peradaban.
Dalam bahasa Inggeris pula perkataan yang sama
pengertiannya dengan tamadun ialah ”civilization”.
Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin iaitu ”civitas” yang membawa maksud kota atau city dalam bahasa Inggeris.
Penggunaan perkatan ini mula digunakan dan terjelma dalam buku-buku
Inggeris pada kurun ke-19 Masihi.
Dalam bahasa Arab terdapat beberapa istilah yang
digunakan dalam membicarakan konsep tamadun iaitu istilah ”umran”, ”hadarah”, ”madaniah” dan ”tamadun”. Sejarawan Muslim pertama menulis tentang tamadun ialah
Ibn khaldun yang merupakan seorang pakar ilmu kemasyarakatan Islam yang ulung. Perbincangannya
tentang tamadun terkandung dalam bukunya yang bertajuk “Al-Muqaddimah li Kitab al-Ibar”. Beliau menggunakan istilah “umran” bagi menerangkan sifat-sifat
tamadun. Prof Franz Rosenthal (seorang sarjana Barat) menterjemahkan istilah
“umran” sebagai perbandaran (urbanization)
dan tamadun (civilization). Jesteru
itu apa yang dikatakan “umran” dalam
kurun ke-14 adalah sama dengan pengertian tamadun dalam kurun ke-20.
Dari segi bahasa istilah “umran” adalah kata terbitan dari perkataan “amara” yang bererti sebagai
kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju, yang
berlawanan dengan kawasan kering, tandus atau terbiar dan binasa. Dengan
pengertian lain “umran” menyatakan
penghidupan menetap yang menjadi asas kepada semua tamadun. Untuk menjelaskan
lagi konsep Umran Ibn Khaldun telah meletakkan beberapa ciri bagi “umran” iaitu seperti mempunyai;
* Pegangan
agama yang kuat
* Sistem
kenegaraan yang tersusun rapi
* Kehidupan
cara bandar
* Pencapaian
kaedah penulisan yang tinggi
* Kepakaran
dalam bidang senilukis dan senireka.
Jelas di sini bahawa konsep “umran” yang diutarakan oleh Ibn Khaldun merangkumi semua aspek
kemajuan dalam masyarakat. Ibn Khaldun turut menggunakan istilah “hadharah” dengan diberi pengertian yang
sama dengan “umran” (kehidupan yang menetap). Dari segi bahasa “hadharah” bermaksud “satu wilayah,
daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan yang berlawanan dengan
perkataan “badwi” atau “badawah”.
Istilah ”hadarah”
ini turut digunakan oleh Malik Bennabi (seorang pemikir Islam dari Algeria).
Menurut beliau istilah hadarah bermakna
“berada di tahap maju”. Lawannya ialah “badawah” yang selalu difahami sebagai
hidup ditepi-tepi bukit (jauh dari kemajuan). Kehidupan “badawah” lebih banyak bersandarkan kepada pertanian dan ternakan
untuk memenuhi keperluan hidup, sedangkan kehidupan hadarah lebih banyak bersandarkan perindustrian dan perniagaan.
Menurut Malik Bennabi terdapat dua pengertian yang khusus
bagi istilah “hadharah” iaitu:
i. Pengertian
Objektif
Iaitu
satu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan
dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dalam
sesebuah masyarakat.
ii. Pengertian
Yang Subjektif
Ia
menggambarkan suatu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan
berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas, atau digambarkan sebagai kehidupan
yang dapat atau hampir dapat ideal. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif
sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan nilai-nilai yang dianuti.
Sehubungan dengan itu apa yang dikehendaki oleh Malik Bennabi
ialah suatu kehidupan di mana manusia dapat mempergunakan unsur-unsur alam yang
berbentuk material dengan sebaik mungkin untuk memudahkan kelangsungan hidup di
dunia ini dengan mengambil nilai kerohanian sebagai dasar perjuangan. Beliau
berpendapat sebarang bentuk tamadun yang tidak berasaskan kerohanian tidak akan
berjaya serta tidak dapat bertahan lama.
Istilah
”madaniah” pula muncul pada abad ke 20
Masihi. Penulis-penulis seperti Muhammad Farid Wajdi dan Syeikh Muhammad Abduh
telah menggunakan perkataan tersebut dengan meluas dalam tulisan-tulisan
mereka. Istilah “madaniah” mempunyai
perkaitan dengan tamadun atau kebudayaan bandar (city-based culture) kerana ia diambil dari perkataan Arab “madinah” atau “city” dari bahasa Latin. Pertalian di antara ”civitas”dan
”civilization” mempunyai banyak
persamaan dengan perkataan ”madinah”
dan ”madaniah”. Wujudnya perkaitan
antara tamadun dengan bandar kerana bandar biasanya menginduki sesebuah
tamadun.
Pada abad ke 20 Jurji Zaydan (penulis Arab Kristian)
telah menggunakan perkataan tamadun dalam bukunya ”Tarikh al-Tamadun al-Islami”. Buku ini terkenal sebagai sebuah buku
yang lengkap dalam memperkatakan tamadun Islam dan sejarah perkembangannya dan
telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Dari segi bahasa, tamadun berasal
dari perkataan ”madinah” yang membawa
erti membina, mendirikan bandar, menaikan taraf ke tahap beradab, menghaluskan
budi pekerti, menimbulkan sifat keinsanan sejati serta menjauhi sifat
kebinatangan dan telah mencapai tahap kehalusan budi pekerti serta kebudayaan
yang luhur.
Dr. Lutpi Ibrahim telah membuat rumusan terhadap
penggunaan istilah di atas seperti berikut:
* Al-Hadharah
merupakan pencapaian dalam hal kerohanian seperti pemikiran dan sebagainya yang
berdasarkan akidah, syariah dan akhlak.
Ini merupakan hubungan manusia demgan manusia yang bersumberkan wahyu.
* Al-Madaniah
merupakan pencapaian dari segi kebendaan seperti alat teknologi dalam
pertanian, pengeluaran, pengangkutan, seni bina dan lain-lain lagi. Ia
merupakan hubungan dengan alam sekitar yang bersifat kebendaan dan bersumberkan
wahyu.
* Tamadun
merangkumi kedua-dua aspek yang tersebut di atas.
Kesimpulannya, pentakrifan tamadun iaitu satu bentuk
pencapaian kehidupan manusia dalam aspek pemikiran, rohani dan jasmani. Ia
meliputi kehidupan yang diatur oleh hukum dan mempunyai tingkat kebudayaan
(cara hidup) yang tinggi.
1.2 Definasi Tamadun Islam
Pelbagai definasi tamadun yang telah diutarakan oleh
sarjana dan para pengkaji tamadun Islam.
Di antaranya ialah:
Prof. Syed Naquib Al-Attas telah memberi satu takrifan
mengenai tamadun Islam sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah
mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh
masyarakatnya.
Ibn Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau tamadun
Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebehi keperluan asas kehidupan
sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang
lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni. Tamadun Islam ialah satu tamadun
yang didirikan oleh masyarakat yang mengelarkan diri mereka Muslim.
Muhammad Asad mensifatkan tamadun Islam sebagai satu tamadun
yang bersifat ideologi. Beliau menyatakan, tamadun kita adalah tamadun yang
berideologi, al-Quran adalah sumber ideologi tersebut dan lebih dari itu
sebagai justifikasinya yang unggul dan proses pembentukannya adalah berdasarkan
syariah.
Al-Syahid Syed Qutb dalam bukunya ”Ma’alim fi at-Tariq” telah membicarakan tentang masyarakat Islam.
Menurut beliau,, masyarakat Islam ialah masyarakat yang bertamadun. Masyarakat
Islam ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam dari sudut akidah,
ibadah, undang-undang, akhlak dan cara hidup.
Manakala Profesor Ismail al-Faruqi dalam kertas kerjanya
yang bertajuk ”Islam: The Civilization Force”, menyatakan bahawa
tauhid merupakan inti dasar kepada tamadun Islam kini merupakan idea yang
bertemakan kenyataan yang menggambarkan peranan manusia masa kini dan masa
lampau. Ilmu tauhid juga memberi gambaran dan membentuk cara berfikir dan
tingkahlaku umat Islam ke jalan yang diredhai oleh Allah. Ilmu tauhid merupakan
sumber penggerak yang penting dalam membentuk identiti dan kebudayaan dan
tamadun Islam.
Jelaslah di sini menampakkan bahawa tamadun Islam itu
merupakan sebuah tamadun yang bebas dari mana-mana pengaruh asing. Ia
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
1.3 Masyarakat yang bertamadun menurut
Islam
Masyarakat bertamadun menurut Islam ialah masyarakat yang
dibentuk berasaskan Islam sebagai al-Din berteraskan kepada akidah,
syariah dan akhlak. Masyarakat yang
benar-benar melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di bumi dan menumpukan
sepenuh pengabdian kepada Allah s.w.t. Masyarakat yang menghayati syariah dan
undang-undang dalam segenap kehidupan dan menolak undang-undang dan sistem
selain undang-undang Allah. Membina kehidupan di atas nilai-nilai moral yang
ditentukan Allah dan mengambil manfaat daripada peraturan alam dengan
menggunakanya untuk memajukan kehidupan manusia.
Dalam menggambarkan masyarakat Islam yang bertamadun al--Syahid
Syed Qutb dalam bukunya “Ma’alim fi
at-Tariq” telah menjelaskan masyarakat Islam ialah masyarakat yang bertamadun
iaitu masyarakat yang melaksanakan Islam dari sudut akidah, ibadah,
undang-undang, akhlak dan cara hidup. Pembinaan masyarakat Islam yang pertama
di Madinah oleh Rasulullah s.a.w. adalah sebagai penjelasan kepada maksud
sebenarnya masyarakat yang bertamadun mengikut konteks Islam.
1.4 Asas-Asas
Tamadun Islam
Tamadun Islam dibentuk daripada berbagai corak dan rupa
itu mempunyai asas-asas yang kukuh.
Asas-asasnya adalah seperti berikut;
i. Akidah
Akidah ialah kepercayaan seluruh jiwa raga terhadap
keEsaan Allah, kudrat dan iradat-Nya, tiada yang disembah selain-Nya. Apabila
seseorang itu sudah beriman dengan Allah maka ia wajib mematuhi segala apa yang terkandung dalam
lafaz syahadah. Keyakinan individu terhadap akidah atau konsep tauhid inilah
menyebabkan ia sanggup mempertahankan kebenaran dan menumpaskan kebatilan
dengan mengorbankan hartabenda juga jiwa raga semata-mata kerana Allah sebagai
bukti ketakwaan. Contohnya seperti Abu Bakar As-Siddik, Bilal Bin al-Rabah dan
lain-lain.
Bertitiktolak daripada asas ini umat Islam telah bersatu
dan berjaya membina tamadun yang tinggi bukan kerana mengejar harta kekayaan
dan kesenangan hidup duniawai semata-mata atau kerana kepentingan golongan
tertentu yang terdiri daripada pelbagai puak, bangsa dan keturunan. Tujuan
utamanya ialah untuk menjalin hubungan di antara manusia dengan Tuhan, manusia
sesama manusia dan manusia dengan alam sekitar.
ii. Syariah
Syariah merupakan undang-undang yang telah ditetapkan
oleh Allah untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia untuk membawa kesejahteraan
hidup di dunia dan akhirat. Pengamalan syariah sesungguhnya mampu membentuk
manusia berakhlak mulia dan manusia tersebut pula dapat melahirkan tamadun yang
unggul berbanding dengan peradaban lain. Orang Islam yang mengamalkan syariah
akan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap sesama manusia, Tuhan dan
makhluk-makhluk yang lain sebagai tanggungjawab khalifah Allah di muka bumi
ini. Oleh itu usaha ke arah kemajuan bukanlah melonggokkan alat-alat canggih,
komputer, pesawat, nuklear dan sebagainya, kerana tamadun Islam tidak akan
lahir daripada longgokan material sahaja tetapi ia lahir daripada dasar murni
keagamaan yang bersepadu.
iii. Akhlak
Akhlak merupakan amalan
mulia yang menjadi teras sesuatu umat. Ia merupakan kelakuan atau tingkahlaku
dalam menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Ia juga
merupakan hasil tindakan yang lahir dari seseorang muslim yang berasaskan dari
iman dan pelaksanaan undang-undang Allah melalui amalan. Dari akidah dan syariah
akan lahir menifestasi tingkahlaku sebenar sifat-sifat muslim yang terpuji.
Dari sini juga lahir Muslim sufi, zahid dan sebagainya dengan cara mempelajari
dan mengamalkan ilmu tasawuf.
iv. Ilmu Pengetahuan
Kegemilangan tamadun Islam silam ditempa di antara lain
berdasarkan penghayatan budaya ilmu yang tinggi di kalangan masyarakatnya. Dalam
al-Quran terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang kepentingan ilmu pengetahuan
menghendaki supaya manusia berfikir dan belajar. Ini jelas daripada penurunan wahyu yang
pertama kepada Rasulullah s.a.w. melalui surah al-Alaq ayat 1-5. Islam
menjelaskan bahawa menuntut ilmu adalah satu proses seumur hidup yang berterusan
mulai dari buaian hingga ke liang lahat. Islam telah menjelaskan kepentingan
ilmu pengetahuan dalam proses pembinaan manusia dan ketamadunannya. Dengan ilmu
manusia mengenal Allah, mengetahui kehidupan ini, mengetahui siapa dirinya
serta alam sekitarnya. Dengan ilmu yang telah membawa umat Islam ke mercu
kejayaan sebagaimana yang telah dicapai oleh umat Islam terdahulu. Meninjau
kedudukan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat Islam kini amat
mendukacitakan terutama dalam bidang sains dan teknologi. Seharusnya umat Islam
berusaha menanganinya secepat mungkin demi menjaga maruah agama Islam di
samping meletakkan umat Islam setara dengan bangsa-bangsa lain di zaman moden
ini.
v. Kekuatan Material
Pada dasarnya Islam
tidak menolak keduniaan,
malah Islam menggalakan
umatnya memanfaatkan dengan sewajarnya sebarang bentuk material baik di langit mahupun di bumi. Menurut perspektif
Islam, unsur material yang dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan
sebaik-baiknya dan dijadikan modal dalam pembinaan tamadun. Kekuatan material
ditanggapi masyarakat moden hari ini sebagai kekuatan ekonomi dari sudut kepesatan
perindustrian, kecanggihan alat-alat persenjataan, penemuan-penemuan hasil
kajian sains dan teknologi dan lain-lain. Sehubungan dengan itu, umat Islam
hari ini harus peka dengan keperluan berkenaan dan bersedia menerima cabaran
itu demi meningkatkan martabat umat Islam.
Material juga perlu untuk
kemajuan dan penyebaran agama serta untuk peningkatan taraf hidup manusia.
1.5 Sumber-Sumber Tamadun Islam
Di antara sumber-sumber tamadun Islam ialah:
i. Al-Quran
ii. Al-Sunnah
iii. Al-Ijmak
iv. Al-Ijtihad
v. Tamadun yang lain.
i. Al-Quran
Al-Quran merupakan sumber utama yang mengarahkan
perjalanan tamadun sepanjang sejarah perkembangannya. Oleh itu pembangunan
tamadun Islam mendapat hidayah daripada kitab al-Quran khususnya dalam
memantapkan beberapa aspek nilai yang menjadi asas orientasi mukmin dalam
merancang dan melaksanakan pembangunan tamadunnya.
Al-Quran adalah kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi
Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Di dalamnya
terkandung risalah Islam yang merangkumi ilmu, hikmat dan petunjuk berkaitan
dengan kepercayaaan, ibadat, kemasyarakatan, pentadbiran, hukum dan isi
pengajaran yang berkaitan dengan hidup. Al-Quran juga merupakan mukjizat kepada
Nabi Muhammad yang kekal sepanjang zaman. Al-Quran juga sebagai sumber pencetus
kepada kebanyakan bidang ilmu. Oleh itu
adalah wajar dikatakan al-Qur’an adalah sumber inspirasi dalam membina tamadun
Islam kerana pendorong dan penggerak utama orang Islam adalah al-Quran. Ahmad
Shalaby menjelaskan ”al-Quran mengandungi asas-asas sistem yang kukuh teguh bagi
agama dan dunia (tamadun). Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini
dengan sebaik-baiknya nescaya bakal terbentuk suatu sistem yang sempurna dan
sesuai untuk manusia seluruhnya di berbagai zaman dan tempat”.
ii. Al-Sunnah
Al-Sunnah didefinisikan sebagai apa yang datang daripada
Rasulullah s.a.w. selain daripada al-Quran meliputi perkataan, perbuatan dan
persetujuan yang dijadikan dalil hukum. Dalam konteks tamadun Islam, al-Sunnah
merupakan sumber yang kedua selepas al-Quran.
Al-Sunnah berfungsi sebagai penguat dan penyokong kepada hukum-hukum
yang terdapat di dalam al-Quran, penghurai dan pentafsir kepada ayat-ayat
al-Quran dengan berbagai cara menjadikan keterangan tasyri’ iaitu menentukan
sesuatu hukum yang tidak ada dalam al-Quran dan keterangan bagi nas. Al-Quran
menyediakan panduan sedangkan al-Sunnah pula berperanan melaksanakannya.
Fungsi al-Sunnah boleh dikatakan sebagai penterjemah
amali dan perincian kepada al-Quran. Kedua-dua sumber ini merupakan sumber
inspirasi umat Islam untuk membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun
mereka. Dari sinilah datangnya dorongan
dan semangat mereka untuk menerokai alam kemajuan di segenap bidang. Segala
kemajuan yang dicipta dikehendaki mengikuti lunas-lunas yang telah ditentukan
oleh kedua-dua sumber ini.
iii. Ijma’
Ijma’ ialah kesepakatan seluruh ulama Islam pada suatu
masa sesudah kewafatan Rasulullah terhadap sesuatu hukum syarak yang berlaku di
atas sesuatu perkara yang berkaitan dengan al-Din.
Ijma’ adalah hujjah atau dalil dalam pembinaan hukum. Malah ia merupakan asas
yang ketiga dalam pembinaan hukum Islam. Kedudukan Ijma’ dari segi ketepatan
hukum adalah sama seperti hukum-hukum yang ditetapkan oleh al-Quran dan
al-Sunnah. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud;
”Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan
taatilah Rasul dan ulil amri di kalangan kamu....”. (Al-Nisa’: 59).
vi. Ijtihad
Ijtihad ialah
pencurahan daya pemikiran secara bersungguh-sungguh dan habis-habisan untuk mendapatkan
sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah yang tidak terdapat hukumnya
secara qat’ie atau secara putus dari
al-Quran dan al-Sunnah. Ijtihad dilakukan dengan berpandukan kepada dasar-dasar
umum dan roh yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam hal ini bukan semua orang boleh mengeluarkan hukum
syarak. Di antara syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang mujtahid ialah
orang yang benar-benar menguasai bahasa Arab dan ertikata yang sebenarnya
memahami al-Quran dalam erti kata mengetahui ayat-ayat yang nasikh dan mansukh
dan sebagainya. Memahami hadith dengan betul dan boleh meneliti dengan
baik. Mengetahui kaedah-kaedah mengambil
hukum, mengetahui masalah-masalah yang telah diijmakkan dan berbagai-bagai
lagi. Perlu diingatkan ijtihad hanya berlaku kepada perkara-perkara yang tidak
qat’ie.
Berhubung dengan dalil kebenaran menggunakan ijtihad;
Muaz Bin Jabal yang diutuskan oleh Rasulullah ke negeri Yaman. Baginda bertanya
kepada Muaz apa yang beliau akan lakukan sekiranya dikemukakan sesuatu masalah?
Jawab Muaz: ‘Dengan kitab Allah’. Tanya Nabi: ‘Jika tidak terdapat jawapannya
dari kitab Allah?. Jawab Muaz: Sunnah Rasulullah’. Berkata Nabi: ‘Jika masih
belum didapati jawapannya?. Jawab Muaz, ‘Aku akan berijtihad dengan
pendapatku’. Rasulullah gembira dengan
pendapat Muaz itu.
v. Tamadun Asing.
Islam tidak menolak segala hasil tamadun asing yang tidak
bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Islam bersifat terbuka kepada semua
tamadun selagi ianya tidak bercanggah dengan nilai Islam. Berdasarkan
keistimewaan inilah tamadun Islam berkembang dengan cemerlang.
Sehubungan dengan ini Profesor Muhammad Qutb menjelaskan bahawa Islam melindungi dan menyuburkan
hasil-hasil tamadun yang dirintis oleh Greek, Romawi, Parsi dan negeri-negeri
yang berada di bawah kekuasaannya selagi ia tidak bercanggah dengan konsep
kepercayaan kepada Allah dan tidak menyelewengkan manusia dari tugasnya
beribadat kepada-Nya. Begitu juga menurut beliau lagi, Islam tidak menentang
perkembangan kemajuan dan tamadun lain selama ia mendatangkan kebaikan kepada
manusia. Tamadun Islam tampil menentang tamadun-tamadun palsu dan akan berjuang
sedaya upaya untuk melindungi umat manusia dari kemusnahan.
1.6 Prinsip-Prinsip tamadun Islam
i. Memelihara
jiwa dan nyawa
ii. Memelihara
akal
iii. Memelihara
maruah dan keturunan
vi. Memelihara
harta benda
v. Memelihara
hak dan kebebasan
1.7 Matlamat Tamadun Islam
Terdapat jurang perbezaan di antara matlamat tamadun
Islam dengan matlamat tamadun moden khasnya Barat. Matlamat tamadun Barat hanya
berkisar di sekitar melahirkan hubungan harmonis di antara manusia dengan
manusia dan manusia dengan alam sekitar atas dasar perhubungan yang berbentuk
material semata-mata tanpa mengambilkira aspek spritual (akidah dan
akhlak). Matlamat tamadun Islam ialah
menjalinkan hubungan di antara manusia dengan Allah sebagai pencipta alam, di antara
manusia sesama manusia dan di antara manusia dengan alam sekelilingnya. Oleh
itu hubungan manusia dengan Allah adalah sebagai perkara utama yang perlu
ditekankan dan sebagai landasan kepada manusia untuk menjalin hubungan sesama
mereka dan menjalinkan hubungan dengan alam.
i. Hubungan Di antara Manusia
Dengan Allah
Hubungan manusia dengan Allah disebut sebagai ”hablum minnallah”. Hubungan yang wujud itu meliputi hubungan
fizikal dan metafizik, kebendaan dan kerohanian. Allah menjadikan manusia
dengan tujuan untuk menghambakan diri kepada-Nya iaitu untuk beribadah kepada-Nya
seperti yang diterangkan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia
melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”
(al-Zariat:
56)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa hubungan di antara
manusia dengan penciptanya adalah hubungan yang berterusan dan tidak
putus-putus dalam kehidupan seseorang Muslim. Prinsip hubungan seorang hamba
dengan Khaliknya mesti dijelmakan dalam setiap aspek hidup sama ada hubungan itu berbentuk ibadah
khusus mahupun ibadah umum. Ini akan dapat mewujudkan fenomena yang dikehendaki
Islam iaitu manusia meletakkan Allah sebagai keutamaan yang teratas dalam
setiap agenda. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara apabila ada pada seseorang
dapatlah dia merasakan kemanisan imannya;
Pertama, Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala yang lain. Kedua,
dia tidak menyintai seseorang kecuali kerana Allah dan yang ktiga, dia benci
kepada perbuatan kufur sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api
neraka”.
Hubungan yang erat di antara hamba dan pencipta pasti
melahirkan jiwa yang bersih dan tenteram yang mampu memakmurkan alam ini dalam
bentuk serta acuan yang dikehendaki oleh syariat di samping melaksanakan segala
tuntutan ”amar makruf nahi mungkar”
(seru kepada yang baik dan cegah dari keburukan) dalam segala agenda bertindak
mereka.
ii. Hubungan Sesama Manusia
Hubungan manusia sesama manusia dikenali sebagai ”hablum minannas”. Manusia pada setiap masa perlu menghubungkan
diri sesama manusia dalam segenap bidang kehidupan. Masyarakat Islam ialah
sebuah masyarakat yang bersifat universal. Islam terbuka kepada seluruh umat
manusia tanpa memandang kepada perbezaan jenis, warna kulit, bahasa, bangsa,
adat resam serta tidak terbatas kepada lingkungan geografi. Apa yang
dikehendaki oleh Islam ialah saling kenal mengenal serta mengadakan hubungan yang
baik sesama manusia dalam segenap lapangan hidup sama ada yang berupa peribadi
atau kemasyarakatan. Perbezaan yang sedia ada seperti perbezaan warna kulit,
kelainan keturunan, bahasa dan bangsa adalah menggambarkan kebesaran Allah
serta sebagai satu rahmat kepada manusia. Ini juga dapat menyedarkan manusia
bahawa mereka sebenarnya saling memerlukan di antara satu sama lain. Ini
diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah
ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, lalu Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling takwa di antara
kamu”. (al-Hujurat: 13)
Satu perkara yang tidak dapat dinafikan sering berlaku
dalam tamadun moden pada hari ini ialah isu kezaliman dan penganiayaan sesama
manusia yang berlaku secara meluas. Nilai sebagai manusia tidak terjamin,
kemanusiaan sudah luput lalu nilai-nilai kebinatangan yang menjadi pegangan
orang yang tidak berakidah. Pada hari ini isu-isu perbezaan bangsa, warna kulit
dan etnik menjadi penghalang besar kepada wujudnya kesatuan di kalangan
manusia. Berbeza sekali dengan Islam yang menyeru kepada konsep persaudaraan
sejagat. Keanggotaannya terbuka luas untuk semua umat manusia tanpa mengira
darjat atau keturunan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud;
“Tidak ada kelebihan seorang Arab ke atas
seorang ‘ajam (bukan Arab) kecuali kerana takwanya”.
iii. Hubungan Manusia Dengan Alam
Manusia ditugaskan sebagai khalifah yang diamanahkan oleh
Allah untuk memakmurkan alam ini. Segala kemakmuran dan kerosakan yang berlaku
di alam ini akan dipersoalkan oleh Allah. Mereka sentiasa diperingatkan oleh
Allah supaya tidak melakukan kerosakan dan kemusnahan seperti firman Allah yang
bermaksud;
“Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka
bumi ini”. (al-Baqarah: 11)
Mustafa Haji Daud menjelaskan
bahawa perundangan yang telah digubal oleh Allah dalam hubungan manusia dengan
alam sekitarnya mempengaruhi atau memberi kesan kepada manusia dalam dua
perkara iaitu;
a) Supaya manusia
sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah apabila ia dikurniakan pangkat,
kebesaran dan harta kekayaan.
b) Supaya semua
dipergunakan sebaik mungkin bagi memperolehi keredhaan Allah.
Hubungan manusia dengan alam sejagat boleh dibahagikan
kepada:
a) Hubungan
manusia dengan alam ”nabatat” iaitu alam
tumbuh-tumbuhan adalah makhluk Allah yang perlu dipelihara dengan sebaiknya.
b) hubungan
manusia dengan alam ”jamadat” iaitu
alam rijid seperti batu, tanah, gunung dan kayu
c) Hubungan
manusia dengan ”hayawaniyat” aitu
alam haiwan juga perlu dijaga.
Manusia dituntut supaya mengasihani dan mempunyai
perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama makhluk walaupun terhadap
haiwan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak mengasihani terhadap
makhluk di bumi nescaya ia tidak akan dikasihani makhluk di langit”
Sehubungan dengan itu manusia sebagai pembina tamadun
harus merencana sesuatu perkara terlebih dahulu. Mereka harus mengambil kira
kemakmuran dan keselesaan setiap makhluk yang ada di alam ini. Kerosakan dan
kemusnahan yang berlaku ke atas makhluk bererti mereka melanggar perintah Allah
dan akan menerima balasan. Kegagalan manusia memegang amanah Allah ini membawa
kesan terhadap alam sekitar malah kehidupan mereka sendiri. Segala kerosakan yang berlaku di alam ini
adalah hasil daripada tindakan atau perlakuan manusia itu sendiri. Keadaan ini
telah dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Telah berlaku kerosakan di bumi dan di laut
disebabkan oleh tangan-tangan manusia”.
(al-Rum: 41)
.
1.8 Ciri-Ciri Tamadun Islam
Terdapat beberapa ciri-ciri yang membantu untuk mencapai
matlamat tamadun Islam di antaranya ialah;
a. Penggunaan
tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Tulisan mempercepatkan proses penyebaran
kebudayaan Islam dan seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi
kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan manusia. Contohnya
Kebangkitan kecemerlangan tamadun Islam di Sepanyol (Andalusia) pada abad ke 8M
adalah kerana pemimpin Islam pada ketika itu cintakan kepada ilmu pengetahuan.
b. Kemunculan kota
atau bandar bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang datang
untuk pelbagai aktiviti lain. Contoh pada peringakat awal Islam bandar Makkah
dan Madinah sahaja yang ditadbirkan Islam, kemudian muncul pula bandar-bandar
lain seperti di Afrika Utara, Afrika Tengah, Andalus dan lain-lain.
c. Wujud
ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam dan akhirnya turut sama-sama
membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju. Perbezaan peranan yang dimainkan melahirkan
pembahagian kerja seterusnya wujud suatu bentuk ekonomi bandar.
d. Wujud
bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan generasi berikutnya seperti
istana, masjid dan monumen-monumen penting lain yang mempunyai ciri-ciri
senibina tersendiri.
e. Wujud negara
Islam. Menurut sebahagian penulis-penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri
tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang
Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam. (keterangan
lebih lanjut lihat tamadun Islam dan Tamadun
Alam Melayu oleh Wan Abdullah Wan Mahmood).
1.9 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri umum tamadun Islam pada dasarnya mempunyai
persamaan dengan ciri-ciri tamadun Barat sebagaimana yang telah diperkatakan
sebelum ini. Ciri-ciri khusus tamadun Islam terkandung dalam ciri-ciri
keistimewaan tamadun Islam yang menggambarkan nilai sebenarnya ketamadunan
Islam yang merupakan ciri-ciri yang membezakannya dengan tamadun yang lain. Di
antara ciri-ciri tersebut ialah;
i) Pegangan akidah
Tamadun Islam berbeza dengan tamadun lain, kerana tamadun
Islam didasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Sumber matlamat dan
tujuan kehidupan manusia adalah ditetapkan oleh Allah. Al-Quran sebagai kitab
Allah yang terakhir diturunkan kepada manusia mengandungi segala nilai, dasar,
prinsip serta hukum-hakam yang membimbing manusia untuk mencapai perkembangan
dan kesempurnaan hidupnya. Ajaran-ajaran yang dibawa oleh al-Quran telah
mewujudkan tamadun yang unggul yang dipersembahkan oleh Islam kepada
kemanusiaan.
ii) Tidak dipengaruhi hawa nafsu
Tamadun yang berteraskan kepada ajaran Islam sebagai
“al-Din” memiliki panduan yang asli dan menyeluruh sebagai panduan sepanjang
hayat dan tidak dipengaruhi hawa nafsu dan pendangan individu. Perkara-perkara
yang berkaitan dengan halal haram, baik buruk, apa yang boleh dan apa yang
tidak boleh semuanya jelas tertera di dalam kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya. Panduannya bersifat kekal, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan
diadili dengan panduan atau undang-undang yang sama-sama. Ini berbeza dengan
perundangan manusia yang dicipta oleh satu kumpulan atau bangsa yang tidak terjamin
dari dipengaruhi oleh dorongan hawa nafsu dalam mewujudkan undang-undang
tersebut.
iii) Terbuka kepada semua tamadun
Tamadun Islam bersifat universal kerana al-Quran dan
al-Sunnah adalah sumber utama kepada seluruh umat manusia. Ajarannya bersifat
terbuka dan menerima semua tamadun atau kebudayaan asalkan tidak bertentangan
dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. Pada peringkat awal, Islam dibawa oleh
bangsa Arab diketuai oleh Rasulullah s.a.w. seolah-olah bersifat tempatan,
kesukuan seperti agama kristian dan Yahudi. Akan tetapi ajarannya berbeza
kerana Negara Islam tidak memperjuang
hak bangsa Arab semata-mata malah bersifat universal. Sikap Islam amat menghargai perkara yang
berfaedah bagi kepentingan ummah. Oleh
itu pada hari ini dunia telah menyaksikan realiti bahawa kebudayaan Arab,
Parsi, India, China, Greek dan lain-lain yang bertepatan dengan al-Quran dan
al-Sunnah menjadi sumber terbesar dalam tamadun Islam.
iv) Sesuai dengan fitrah manusia
Tamadun Islam tegak di atas dasar yang seimbang dengan fitrah
atau tabiat semualajadi dan selaras dengan kehendak manusia itu sendiri. Ia
bertujuan untuk meningkatkan taraf kemanusiaan ke peringkat yang sempurna
sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri. Oleh itulah Allah telah menurunkan
Islam kepada umat manusia untuk diaplikasikan di dunia ini. Segala kepatuhan
terhadap suruhan Allah adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Ajaran-ajaran
dan nilai yang di bawa oleh Islam adalah bertujuan untuk kebahagiaan hidup
manusia di dunia dan akhirat. Justeru itu tidak hairan jika tamadun Islam yang
berteraskan kepada ajaran-ajarannya selaras dengan fitrah dan keperluan manusia.
v) Bersifat syumul, konsisten dan
global (universal)
Kesyumulan atau kesempurnaan ajaran Islam yang mendasari
tamadun boleh diterangkan seperti berikut;
Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua
zaman, lebarnya mengatur segenap aspek kehidupan manusia dan dalamnya
merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.
Tamadun Islam tidak menghadkan batas-batas dalam
kehidupan manusia. Tidak terikat kepada
bangsa-bangsa tertentu atau tempat tertentu tetapi ia milik seluruh manusia
yang berpegang kepada al-Din. Ini
bermakna tamadun Islam sangat sesuai dengan segala situasi dan menepati
keperluan dan peredaran zaman. Perkembangan tamadun Islam berpegang kepada
konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau sempadan geografi
tertentu dan inilah yang membezakannya dengan tamadun lain seperti tamadun
China, Greek, Parsi atau tamadun Barat hari ini.
vi) Sepadu (intergrated)
Tamadun Islam bersifat intergrated iaitu memadukan antara nilai rohani (spritual) dengan
nilai kebendaan (material). Kesepaduan di antara tanggungjawab ibadah kepada
Allah s.w.t. dan urusan kehidupan duniawi dan antara kepentingan individu dan
masyarakat. Konsep kesepaduan dan keseimbangan
ini selaras dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri dari unsur
rohani dan jasmani. Ini adalah berbeza dengan tamadun Barat yang mengamalkan
konsep dualisme dalam tamadunnya.
1.10 Faktor Keruntuhan Tamadun
Menurut Ibn Khaldun kemerosotan sesebuah tamadun
merupakan putaran sejarah. Pada peringkat permulaan sesuatu tamadun itu berjaya
kerana berpegang kepada nilai-nilai baik
tetapi selepas mencapai kegemilangan nilai-nilai tersebut merosot kerana
limpahan kemewahan dan penyelewengan. Para sarjana yang lain pula berpendapat
sesebuah tamadun itu merosot bukan disebabkan oleh hukum sejarah. Kemerosotan
sesebuah tamadun itu boleh dielakkan sekiranya mereka belajar dari sejarah
dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Berdasarkan sejarah, sesebuah tamadun
itu boleh merosot disebabkan faktor-faktor berikut;
a) Berlaku
ketidakadilan dengan wujudnya jurang perbezaan yang begitu ketara di antara
golongan kaya dan miskin. Situasi seperti ini dapat diperhatikan di penghujung
tamadun Romawi pada kurun ke 3M dan ke 4M.
b) Berleluasanya
penindasan dan kezaliman sehingga persoalan hak-hak kemanusiaan telah
diketepikan sama sekali. Kehidupan bertamadun sudah tidak bermakna lagi apabila
sistem kenegaraan dan perundangan telah tidak dihormati malah dicabuli dengan
sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya. wilayah
kolonial yang merupakan sebahagian daripada tamadun Barat telah tumbang
disebabkan penindasan dan kezaliman yang
dilakukan.
c) Berlaku keruntuhan
moral dan nilai dalam masyarakat terutama di kalangan pemimpin yang menandakan
musnahnya penghayatan terhadap budi pekerti yang murni dan mulia. Berdasarkan
sejarah kemerosotan tamadun Yunani, Romawi dan Islam boleh dikaitkan dengan
keruntuhan moral dan nilai terutama di kalangan pemimpin. Seorang penyair Arab, Ahmad Shauqi Bek pernah
menukilkan ” Sesungguhnya tertegaknya sebuah umat itu adalah disebabkan
ketinggian moralnya. Sekiranya moral mereka hilang maka umat tersebut lenyap”.
d) Amalan sikap
tertutup dan tidak mahu menerima perubahan terutama dari segi perubahan
teknologi atau perubahan struktur politik, ekonomi dan sosial. Sikap tertutup
seperti ini sudah tentu merencatkan daya kreativiti dan inovatif sesebuah
masyarakat yang seterusnya membawa mereka dalam keadaan beku atau jumud
berpanjangan. Seorang tokoh pemikir semasa bernama Edward de Bono menyatakan
bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap anjakan
paradigma (paradigm shift). Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun
Islam Uthmaniyah mengalami keruntuhan dari dalam disebabkan oleh sikap tertutup
yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial.
e) Mala petaka
atau bencana alam seperti banjir dan gempa bumi yang menyebabkan kerosakan
secara besar-besaran dan boleh memusnahkan sesebuah tamadun. Faktor seperti ini
juga merupakan salah satu penyebab kemerosotan sesebuah tamadun. Bagaimana pun faktor ini diluar kawalan
manusia untuk menghalangnya daripada berlaku.
d) Penolakan agama
sebagai sistem kehidupan (agama tidak lagi menjadi faktor penting dalam
pemikiran dan tindakan politik pemimpin negara-negara).
2. Konsep Tamadun Barat
Kebanyakan pemikir Barat lebih menonjolkan aspek
pencapaian kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah
masyarakat itu bertamadun ataupun tidak. Keadaan begini tidak aneh jika dirujuk
kepada asas aspirasi tamadun Barat yang lebih merujuk kepada falsafah tamadun
Yunani dan Romawi yang diwarisi masyarakat Barat sama ada melalui sistem politik,
falsafah, pemikiran, sosial mahupun ilmu pengetahuan.
Sebagai contohnya nature tamadun Yunani itu sendiri lebih
tertumpu kepada sesuatu yang bersifat fizikal yang terangkum dalam empat ciri
utama;
·
Hanya yakin terhadap sesuatu yang dapat dirasa melalui pancaindera dan
mengabaikan perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera.
·
Kurang cenderung kepada nilai-nilai agama.
·
Amat meminati sesuatu yang bersifat duniawi dan kemewahan hidup kebendaan.
·
Mendukung daya fanatik kebangsaan yang cukup kuat.
2.1 Definisi Tamadun Barat
Konsep dan pengertian tamadun Barat boleh dilihat melalui
huraian yang diutarakan oleh tokoh-tokoh
Barat berikut;
·
Arnold Toynbee
“Tamadun ialah satu sistem masyarakat yang dapat membantu
manusia menambahkan hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat
elemen iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni”.
·
J.K.Fiebleman
“Tamadun ialah kepandaian mengeksploitasi material oleh
masyarakat. Dengan lain perkataan, proses masyarakat terhadap material dengan
menjadikan barang baru bagi keperluan tertentu. Di samping world view masyarakat itu sendiri berubah oleh benda-benda itu,
ataupun daya usaha manusia itu dan kesannya ke
atas nilai manusia itu”.
·
Will Durant
”Tamadun ialah peraturan masyarakat yang dapat membantu
meningkatkan pengeluaran kebudayaan dan ia merangkumi empat elemen iaitu ekonomi,
sistem politik, tradisi moral dan kesenian”.
2.2 Perkembangan Tamadun Barat
Pemikiran dan falsafah sejarah Barat adalah berteraskan
pemikiran dan falsafah sejarah Yunani dan juga Rumawi. Ia menjadi asas
kehidupan bagi orang Barat sejak beribu-ribu tahun dahulu setelah negara-negara
Barat dikuasai oleh agama Kristian yang menjadi empayar Rom dan Byzantine.
Orang Kristian lebih menumpukan kepada bidang kerohanian dari bidang keduniaan
yang akhirnya membawa pemisahan di antara agama dari sistem pemerintahan atau
gereja dan negara. Paderi-paderi Kristian telah menyalahgunakan kuasa gereja
sehingga berlakunya pemberontakan terhadap institusi gereja dan agama Kristian
di Eropah. Serentak dengan itu lahir ideologi sekular di Barat (fahaman yang
memisahkan di antara urusan dunia dan akhirat/agama).
Akhirnya, orang Barat mula menerokai bidang sains
khususnya sains fizik dengan membelakangkan falsafah agama yang berbentuk
spritual. Bermula pemisahan keilmuan di antara kehidupan dan beragama dalam
masyarakat Barat. Agama menjadi sesuatu yang asing dan terpencil, gereja
ditinggalkan oleh manusia Barat dan kehidupan seharian terpisah dari ajaran
agama. Kemudian timbul pula teori-teori falsafah dan pemikiran seperti teori
evolusi dipelopori oleh Darwin pada tahun 1959, teori kesatuan kebudayaan oleh
Oswald Spengler, teori nasionalisme dan lain-lain. Daripada pemikiran dan
falsafah inilah yang membentuk kerangka kehidupan masyarakat moden sekarang.
2.3 Dasar Tamadun Barat
Dasar tamadun Barat amat berkaitan dengan falsafah dan
tradisi berfikir masyarakat Barat yang melahirkan tamadun tersebut. Orang Barat
telah melahirkan aliran pemikiran yang disebut materialisme. Menurut Dr. Yusof
al-Qardhawi, materialisme ialah pemikiran yang hanya mempercayai segala sesuatu
yang ada kaitannya dengan material semata-mata. Beliau menjelaskan pemikiran
Barat adalah pemikiran materialisme yang memandang rendah terhadap
perkara-perkara spritual. Dalam menjelaskan ciri-ciri pemikiran tamadun Barat,
Dr. Yusof al-Qardhawi telah merumuskan kepada perkara-perkara berikut;
·
Kejahilan dalam memahami konsep ketuhanan
·
Kecenderungan kebendaan
·
Aliran sekularisme
·
Perbalahan dan pertelingkahan
·
Rasa lebih tinggi daripada orang lain.
Manakala sifat-sifat asasi tamadun Barat yang diutarakan
oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seperti berikut;
·
Tamadun Barat diikat dengan pengaruh adat-adat dahulu.
·
Berasaskan falsafah (pemikiran)dan
bukannya agama.
·
Bersifat humanisme iaitu manusia sebagai penentu nilai.
·
Dualisme dalam kehidupan iaitu memisahkan di antara rohani dan jasmani,
juga membezakan antara wahyu dan sains.
·
Tiada konsep tauhid.
Berdasarkan pandangan-pandangan di atas dapat disimpulkan
bahawa tamadun Barat berteraskan kepada falsafah kemanusiaan mutlak (bersifat
kebendaan). Oleh kerana keterikatan
dengan manusia secara mutlak maka segala nilai yang wujud dalam tamadun Barat
adalah berdasarkan lingkungan yang berbentuk jasmani semata-mata malah diadun
pula dengan unsur nafsu. Justeru itu ia menafikan peranan tauhid atau peranan
agama dalam pembentukan tamadun.
Maryam Jameelah membuat komentar terhadap falsafah
tamadun Barat sebagai tamadun yang mempunyai jasad, tetapi tidak mempunyai jiwa
dan tidak mempunyai nilai akhlak. Akhirnya tamadun ini tidak lebih daripada
tamadun ”Ciptaan Mesin”. Masyarakatnya pula dibentuk oleh mesin, sedangkan
mesin tidak mempunyai jiwa dan perasaan. Inilah faktor yang menyeret masyarakat
Barat gagal mengemukakan tamadun yang mampu mewujudkan kebahagiaan dan
ketenangan jiwa. Ia cuma mampu memberi kepuasan fizikal tetapi tidak kejiwaan
dan kerohanian.
2.4 Perbezaan Di antara Tamadun
Islam dan Barat
Perbezaan di antara tamadun Islam dan Barat dapat dilihat
dalam aspek-aspek berikut;
·
Agama.
Dalam tamadun Islam, agama Islam yang mengatur setiap
aspek kehidupan manusia merangkumi akidah, syariah dan akhlak. Ia juga mengatur
sistem politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Manakala dalam tamadun Barat,
agama adalah sebahagian dari kebudayaan. Oleh itu aspek lain mengalami perubahan,
pengembangan dan kemerosotan. Mereka mengatur kehidupan berasaskan kepada
pemikiran semata-mata. Dalam masa yang sama peranan agama disempitkan kepada
persoalan nikah kahwin, kematian dan upacara-upacara ibadah khusus.
·
Kesepaduan dan Pengawalan
Dalam Islam terdapat konsep kesepaduan dan pengawalan. Hubungan manusia dengan Allah berkait rapat dengan
hubungan sesama manusia. Begitu juga dengan perkembangan ”Maddi” (kebendaan) berkait rapat dengan perkembangan ”Ruhi”
(Spritual). Segala kegiatan kehidupan
seharian mesti mengikut prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Islam. Walaupun
ia merupakan kegiatan antara sesama manusia tetapi ia tidak terlepas dari
kawalan Ilahi.
Pada Tamadun Barat, tidak wujud konsep kesepaduan. Sistem
sekular Barat mangajarkan bahawa perkara-perkara keduniaan hanya untuk
kepentingan duniawi semata-mata tanpa
ada kaitan dengan keagamaan dan keakhiratan.
Aktiviti kehidupan dianggap tidak ada hubungan dengan Tuhan. Segala
nilai baik seperti keadilan, keikhlasan, amanah dan sebagainya tidak
wujud. Golongan yang kuat, berada dan
berpengaruh akan terus menerus hidup dalam kesenangan manakala golongan yang
lemah selama-lamanya akan teraniaya.
·
Konsep kemajuan
Konsep kemajuan dalam tamadun Islam dicapai dan
diperolehi dengan cara yang betul serta mempunyai matlamat yang jelas dan
dibenarkan oleh agama. Islam bukan hanya
melihat kepada matlamat yang baik tetapi kaedah dan wasilahnya yang digunakan
mestilah halal dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak. Sebagai contohnya,
Islam menggalakkan kemajuan dan penerokaan sains dan teknologi tetapi tidak
membenarkan menggunakannya untuk tujuan kemusnahan. Islam juga menggalakkan
membina kemajuan tetapi melarang membuat penindasan ke atas rakyat untuk mencapai
tujuan tersebut. Kaedah fiqh ada
menyatakan ”matlamat tidak menghalalkan cara”.
Konsep kemajuan menurut kaca mata Barat pula lebih
menjuruskan kepada untuk mendapatkan keuntungan, mengeluarkan produk-produk
dalam kuantiti yang dirasakan perlu, mencanangkan ciptaan-ciptaan baru dan
seumpamanya. Ia tidak mempersoalkan
kemajuan itu bagaimana dicapai, apakah bentuk pembaharuan itu, bagaimana ia dicapai
dan apakah matlamatnya. Dalam tamadun Barat
semua cara adalah halal asalkan matlamat mereka tercapai,
walaupun pencapaian itu mungkin di atas pertumpahan darah, maksiat, kezaliman
dan tangisan orang lain.
·
Kesempurnaan Kemajuan
Tamadun Islam memberi penekanan kepada akhlak, rohani,
jasmani dan akliah secara seimbang dan sepadu. Penekanannya bersifat
”komprehensif” dan ”multidemension”.
Pembangunan kebendaan atau fizikal adalah sebagai alat untuk menyempurnakan tuntutan
keagamaan dan kerohanian. Contohnya kita perlu mempunyai kekuatan dan
kemantapan ekonomi supaya dapat memenuhi kewajipan dalam Islam seperti zakat,
mengerjakan haji serta dapat membangunkan masyarakat dengan sumbangan-sumbangan
yang lain.
Sedangkan Tamadun Barat memberi tumpuan hanya kepada
pembangunan kebendaan semata-mata dan soal-soal
spritual di kesampingkan. Keadaan ini menjadikan manusia sentiasa
berlumba-lumba untuk memenuhi tuntutan dunia dan nafsu yang tidak terbatas.
Akhirnya lahir manusia yang maju dari segi material tetapi kosong jiwanya.
Islam menolak tamadun asing atau mana-mana tamadun yang hanya mementingkan
kebendaan semata-mata. Menurut Islam, tamadun yang berasaskan kebendaan tanpa
diimbangi dengan keutuhan spritual sebagai tamadun yang sakit dan termasuk
dalam konsep tamadun jahiliyah yang akibatnya membawa kepada kerosakan. Keadaan
ini disebut dalam al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
”Maka apakah mereka tidak menjadikan
perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan
orang-orang yang sebelum mereka, Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka
dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu” (Muhammad
: 10)
3 Nilai-Nilai
Universal Dalam Tamadun
3.1 Definisi Nilai
Perkataan nilai berasal dari perkataan Latin ”Valere” yang bererti untuk menjadi kuat
dan bernilai. Ia digunakan untuk semua perkara seperti sikap, idea dan matlamat
yang bermutu (bernilai). Sebenarnya perkataan nilai dimaksudkan kepada
kepentingan sesuatu. Ia merupakan sifat ketinggian (pemikiran, agama,
kemasyarakatan dan lain-lain). Di kalangan ahli falsafah, nilai ini merujuk
kepada pemikiran atau sesuatu sistem politik, ekonomi, sosial, agama dan
sebagainya. Dalam konteks psikologi masyarakat, nilai adalah suatu perkara yang
penting kerana ia dianggap sebagai faktor penentu kepada tingkah laku sosial.
3.2 Nilai-Nilai
Universal dalam Tamadun
·
Nilai
kepercayaan
Nilai
kepercayaan ialah mempercayai keesaan Allah.
Nilai keimanan terhadap Allah menjadi asas motivasi yang menggerakkan
seseorang muslim ke arah pelbagai bidang bagi menghadapi cabaran hidup. Pada
waktu yang sama ia berfungsi sebagai hamba yang taat kepada Allah dan berjihad
ke jalan-Nya serta kuat berusaha meraih segala peluang kebaikan yang diredhai
oleh Tuhannya.
Nilai kepercayaan merupakan aspek asasi dalam tamadun Islam
dan juga dalam ajaran Islam. Kekuatan ajaran Islam terletak pada aspek ini,
contohnya nilai takwa, ikhlas, ihsan dan lain-lain. Aspek ini membawa insan ke martabat
yang tinggi di sisi Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
”....Sesungguhnya orang yang paling mulia
dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa”. (Al-Hujurat
: 13)
·
Nilai keilmuan
Keilmuan mengikut perspektif tamadun Islam merupakan
nilai yang tidak terpisah dari akidah. Ia sering berkaitan dan akidah menjadi
asas motivasi kecemerlangan ilmu. Hal
ini disebabkan akidah Islam tegak di atas keilmuan. Keimanan dan keyakinan
kepada Allah dalam Islam adalah berasaskan kepada kesedaran fikiran dan
pengetahuan, hal ini jelas kenyataannya dalam al-Quran di mana ayat-ayat
al-Quran yang diturunkan tentang ketuhanan dan kejadian yang menunjukkan
kekuasaan Allah. Menganjur dan mendorongkan manusia supaya berfikir, memerhati
dan bukannya menerima dengan membuta tuli kebenarannya.
Perhatian Islam terhadap kepentingan ilmu pengetahuan
amat jelas. Ayat-ayat al-Quran yang mula diturunkan menekankan masalah ini, di
mana perkataan Iqra’ (bacalah) dan perkataan Qalam (pena) digunakan (lihat
surah al-’Alaq :1-5). Bacaan dan pena
sebagai alat untuk menulis merupakan dua perkara penting bagi menyampaikan
seseorang kepada pengetahuan. Maka
berasaskan ayat-ayat ini tidak sepatutnya wujud orang yang buta huruf dan jahil
dalam masyarakat Islam.
·
Nilai Akhlak
Akhlak menurut perspektif Islam ialah meletakkan keimanan
seseorang kepada Allah dalam bentuk praktis.
Firman Allah yang bermaksud;
”Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada
orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah sedang dia pun mengerjakan
kebaikan”. (al-Nisa’ : 125).
Manusia yang berakhlak menurut Islam ialah manusia yang
menyerahkan diri secara menyeluruh kepada Allah. Penyerahan dan perhambaan
kepada Allah ini membebaskan manusia dari segala bentuk kepatuhan dan
perhambaan selain daripada Allah.
Tamadun yang dibina di atas nilai kebendaan semata-mata
seumpama jasad tanpa roh seperti tamadun Barat sekarang. Aspek akhlak ini
menjadi nilai yang penting kerana nilai-nilai inilah yang akan dibawa oleh
manusia untuk menemui Allah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah dalam
al-Quran. Tanpa akhlak, nilai keimanan
dan amal tidak akan sempurna dan tamadun Islam tidak akan terbina ataupun jika
terbina, hanyalah dalam bentuk yang pincang.
·
Nilai Ekonomi /Kebendaan
Walaupun Islam menekankan nilai kerohanian dan akhlak
dalam pembinaan tamadunnya, ini tidak bererti Islam menolak langsung nilai
kebendaan. Islam menerima nilai kebendaan atau material sebagai aspek pembantu
dalam tamadunnya. Dalam membangunkan aspek-aspek material, kepakaran di bidang
sains dan teknologi amat diperlukan. Penggunaan sains dan teknologi untuk
pembangunan mestilah dalam bentuk yang diredhai Allah dan dapat memberi
keamanan kepada manusia dan bukan untuk mencabuli hak-hak Allah serta
memudharatkan manusia.
Nilai kebendaan penting dalam Tamadun Islam kerana pada
al-Quran dan al-Sunnah sendiri terdapat penekanan kepada ibadah-ibadah dalam
bentuk material seperti penunaian zakat, jihad (harta) dan lain-lain. Firman
Allah yang bermaksud;
”.. dan berjihadlah dengan harta dan dirimu
di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu
mengetahui”. (al-Taubah: 41).
·
Nilai Kerja /Usaha
Nilai kerja dan usaha berfungsi sebagai bukti yang
praktis untuk teori-teori yang dihasilkan oleh ilmu. Ini kerana teori keilmuan
berkaitan dengan kehidupan tidak mungkin
mewujudkan tamadun dan berguna kepada masyarakat kecuali apabila dilaksanakan
melalui usaha dan pekerjaan yang nyata. Nilai pekerjaan mendapat kedudukan yang
istimewa iaitu pekerjaan yang sedia memberi ruang keselesaan kepada kehidupan dan
mampu memenuhi tuntutannya. Pekerjaan mencakupi segala bidang perkhidmatan
manusia, termasuklah segala macam kelengkapan, keperluan dan peningkatan
penghasilan. Pekerjaan yang merangkumi seluruh pekhidmatan ini berfungsi kepada
penghidupan dan pembangunan tamadun. Pekerjaan dari segi perspektif tamadun
Islam ialah sebarang pekerjaan yang dirancangkan dengan rapi sehingga
menjelaskan kesepaduan di antara iman, ilmu dan amal.
·
Nilai kemanusiaan
Apabila nilai kemanusiaan atau ”moral manusia” menjadi
asas hidup umat manusia dalam sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu akan
menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun. Sebaliknya bila sahaja ”benda atau ”kebendaan” merupakan
nilai yang tinggi atau diutamakan bagi sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu
adalah masyarakat yang dikira mundur, terkebelakang atau dalam ertikata
sebenarnya tidak bertamadun. Sesungguhnya Islam mengiktiraf nilai kemanusiaan
yang menyebabkan lahirnya aspek yang membezakan antara manusia dan haiwan.
·
Nilai Kekeluargaaan
Keluarga menjadi kaedah utama dalam pembentukan
masyarakat dan keluarga dibina di atas asas pembahagian tugas di antara suami
dan isteri, maka masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun
kerana keluarga dalam bentuk ini merupakan tapak dan pengkalan kepada
nilai-nilai kemanusiaan itu dibentuk dan dipupuk untuk menjadi panduan generasi
muda. Nilai-nilai itu tidak mungkin dibentuk kecuali dalam sebuah keluarga.
4 Interaksi Dalam
Tamadun
Interaksi merupakan proses sosial hasil daripada situasi
pertembungan di antara budaya/peradaban atau pendukung-pendukung
budaya/peradaban itu sendiri, ataupun pertembungan itu boleh berlaku tanpa
pendukung-pendukungnya. Tindakan atau perkembangan aktif antara satu sama lain
dan mesti berlaku tindakbalas dua atau beberapa pihak yang terlibat.
4.1 Faktor-Faktor Yang Mewujudkan Interaksi
·
Toleransi
pemimpin
Kepimpinan merupakan faktor penting yang mempengaruhi
interaksi antara tamadun. Interaksi antara tamadun berlaku dalam keadaan aman
apabila terdapatnya seorang pemimpin atau raja bersifat toleransi dan adil. Sebaliknya
seorang pemerintah atau raja yang zalim serta tidak mempunyai sifat toleransi
menyukarkan interaksi antara tamadun. Contohnya, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan
seorang pemimpin yang mempunyai sifat toleransi. Baginda tidak menyekat
kegiatan agama penganut-penganut Yahudi dan Kristian semasa pemerintahan Islam
di Madinah sebaliknya hak mereka telah dilindungi secara perundangan.
·
Sikap golongan agama
Lazimnya golongan ini
seperti sami, paderi serta alim ulama sentiasa berusaha untuk mewujudkan
suasana harmonis dan memberi penekanan kepada sifat-sifat keinsanan.
Nilai-nilai keinsanan dalam kehidupan sentiasa ditekankan kerana setiap agama
menyeru manusia supaya berbaik-baik di
antara manusia. Namun demikian terdapat
juga contoh-contoh yang menunjukkan bahawa golongan agama turut mewujudkan
konflik antara masyarakat yang berbeza tamadun. Contohnya, Paus Urban II dalam
perjumpaan besar-besaran penganut Kristian di Clermont, Perancis pada tahun
1095M telah menyeru orang-orang Kristian berperang dengan orang-orang Islam
yang dikatakan bertindak zalim ke atas penganut-penganut Kristian.
·
Pemikiran
Yang Terbuka
Sikap
terbuka sesuatu tamadun memberi peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran
dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai aspek.
Sikap terbuka tamadun Islam contohnya terhadap tamadun Greek, Romawi dan Parsi
terutama dalam aspek keilmuan telah membawa umat Islam ke mercu kejayaan dalam
bidang tersebut.
Sikap tertutup dan tidak mahu menerima perubahan terutama
dari segi perubahan teknologi atau perubahan struktur politik, ekonomi dan
sosial mampu merencatkan daya kreativiti dan inovatif sesebuah masyarakat yang
seterusnya membawa mereka dalam keadaan beku atau jumud berpanjangan. Seorang tokoh pemikir kini, Edward de Bono
menyatakan bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap anjakan
paradigma (paradigm shift). Dalam
sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyah mengalami keruntuhan
dari dalam disebabkan sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan
teknologi dan sosial.
·
Persamaan Aspek Nilai
Tamadun besar dunia mempunyai persamaan dari aspek nilai
seperti nilai akhlak yang merangkumi
pendidikan, ekonomi, keluarga,
nilai komuniti atau masyarakat dan politik dan pemerintahan. Pendidikan
merupakan aspek yang penting dalam setiap tamadun. Transformasi dalaman dilakukan
kepada seseorang individu sebelum dia dapat menguasai persekitaran luaran. Cuma
yang berbeza di antara tamadun ialah bagaimana transformasi tersebut dilakukan
dan apakah elemen-elemen yang dipentingkan. Dalam Tamadun Islam tauhid
memainkan peranan penting dalam transformai manusia. Manakala dalam ajaran Budha dan beberapa
ajaran Hindu, transformasi sifat dapat dicapai melalui proses mencari diri
sendiri.
Dalam kegiatan ekonomi dalam tamadun awal berlangsung
dalam konteks ”moral semesta”. Dalam ajaran Buddha muncul konsep hak-hak
kehidupan, manakala dalam ajaran Islam prinsip berkaitan dengan halal dan haram
mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan akhlak. Penipuan, riba, rasuah
dan penyelewengan ditegah dalam Islam. Keadaan ini adalah sama dalam ajaran
kristian yang melarang perkara-perkara
tersebut.
Institusi keluarga merupakan unit yang penting dalam
setiap tamadun. Tamadun China menekankan kepada pentingnya hubungan kasih
sayang dan hirarki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Dalam Tamadun Islam, tanggungjawab
perlu dilakukan oleh setiap anggota keluarga yang berasaskan kepada perasaan
kasih sayang dan hormat menghormati. Manakala dalam Tamadun Hindu pembinaan
keluarga mempunyai matlamat untuk membentuk sokongan yang berbentuk fizikal dan
kerohanian di samping menjadi penerusan zuriat. Ikatan keluarga didasarkan
kepada kasih sayang dan rasa hormat.
Komuniti atau masyarakat merupakan unit yang penting
dalam setiap tamadun. Dalam Tamadun
Islam ikatan sesama anggota kominiti bukan sahaja ditentukan oleh hubungan
kekerabatan, tetapi hubungan sesama agama dan hubungan sesama manusia yang
merangkumi hubungan dengan orang Islam dan bukan Islam. Pembentukan komuniti
China banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan China di mana hubungan
kekerabatan berasaskan hubungan darah dan pemusatan kuasa kepada bapa atau
lelaki adalah amat kuat. Dalam Tamadun India pula hubungan yang berlaku dalam
komuniti adalah berasaskan kepada sistem kasta yang mempengaruhi setiap
tindakan dalam komuniti tersebut.
Dalam aspek politik dan kerajaan, falsafah tamadun-tamadun tradisional menekankan kepada moraliti atau akhlak
sebagai asas kerajaan. Peranan dan tanggungjawab kerajaan dijelaskan melalui
peranan dan tanggungjawab pemerintah. Raja sebagai pemimpin mesti mempunyai
akhlak yang baik. Adil adalah prinsip asas yang mesti dimiliki oleh seorang
pemimpin.
·
Institusi
Agama merupakan unsur yang penting dalam tamadun. Setiap
agama mempunyai institusinya yang tersendiri seperti masjid bagi agama Islam,
gereja untuk agama Kristian dan kuil dalam agama Hindu dan Buddha. Institusi-institusi
ini mempunyai peranan yang sama dalam masyarakat iaitu sebagai tempat ibadah
dan upacara-upacara keagamaan tertentu di samping mempunyai fungsi-fungsi yang lain seperti
sosial dan ekonomi. Dalam Tamadun Islam masjid pada peringkat awal Islam
merupakan tempat perhimpunan penting bagi umat Islam di samping
aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Begitu juga dengan peranan gereja dalam Tamadun Barat, ia bukan sahaja
sebagai tempat ibadah tetapi juga merupakan pusat kegiatan sosial setempat.
Keadaan yang sama juga berlaku di kuil dalam agama Hindu dan Buddha.
Semua tamadun mempunyai nilai, etika dan institusi yang
tersendiri dan ia merupakan keunikan bagi sesebuah tamadun. Walaupun begitu
kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat juga sudut-sudut tertentu dalam
aspek-aspek tersebut mempunyai persamaan-persamaan yang memudahkan berlakunya
interaksi antara tamadun dalam keadaan yang selesa.
4.2 Kesan
interaksi
Interaksi antara tamadun wujud disebabkan oleh semangat toleransi
yang tinggi serta sikap saling menghormati di antara satu tamadun dengan
tamadun yang lain. Keterbukaan seperti ini memungkinkan berlakunya percambahan
pemikiran dan budaya lalu mengelakkan kebekuan atau kejumudan yang boleh
menyebabkan kemerosotan sesebuah tamadun. Interaksi antara tamadun memberi dua
kesan yang penting iaitu kesan positif dan kesan negatif.
a.
Positif
Interaksi antara tamadun Hinduisme dan tamadun Buddhisme
pada zaman silam pada keseluruhannya membuahkan kesan positif. Buddhisme sebagai
sebuah agama yang lahir dalam masyarakat Hindu memiliki ciri-ciri tertentu dari
falsafah Hinduisme seperti Karma, Dharma dan Mokhsa. Selepas Buddha dan
misinya, reformasi Hinduisme dipengaruhi pula oleh pemikiran-pemikiran tertentu dari Buddhisme seperti kritikan
terhadap sistem kasta, pemusatan kuasa rohaniah golongan Brahma, penafian
hak-hak tertentu kaum wanita dan lain-lain. Situasi seperti ini menunjukkan
kedua-dua pihak memperolehi manfaat daripada kewujudan interaksi antara
tamadun.
Interaksi antara Islam dengan Yahudi dan Islam dengan
Kristian pada saat kelahiran Islam di Semenanjung Arab turut memperlihatkan
kesan positif. Hak masyarakat Yahudi,
Kristian dan kelompok-kelompok kaum yang lain diberi jaminan perlindungan dalam
Piagam Madinah yang digubal Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Tempat peribadatan
dilindungi dan kebebasan mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa rasa
takut selama mana tidak menggangu atau menceroboh Islam ataupun masyarakat Muslim.
Pada zaman pemerintahan Umaiyah hingga zaman pemerintahan Uthamaniyah,
masyarakat Yahudi dan kristian hidup
harmoni dan damai di tengah-tengah masyarakat Muslim yang merupakan majoriti.
Mereka bebas mengamalkan agama masing-masing dan ada di antara mereka diberi
kedudukan tinggi dalam pentadbiran kerajaan Islam terutamanya di Andalus.
Interaksi antara Buddhisme di Asia Tenggara dari segi
sosial masyarakat Muslim berinteraksi dengan masyarakat Buddha di Thailand,
Kemboja, Indonesia (Jawa) dan Malaysia sebelum zaman kolonial lagi. Kewujudan Candi
Borobudur di Pulau Jawa yang majoriti penduduknya beragama Islam merupakan
lambang kepada sikap toleransi seperti ini. Begitu juga Interaksi tamadun
Melayu dan Cina ialah memunculkan komuniti Baba
dan Nyonya
Saling berhubung Muslim dan Hindu di India sebelum zaman
kolonial memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Contohnya budaya dalam
berpakaian, pemakanan dan seni bina masyarakat di utara India mengalami
perubahan positif akibat pertembungan dengan tamadun Islam. Wujudnya pengaruh
seni bina Islam dalam seni bina India seperti Taj Mahal. Dari aspek bahasa pula
lahir bahasa Urdu yang merupakan interaksi bahasa Parsi (Islam) dan bahasa
Hindi (Hindu). Manakala bidang muzik pula melahirkan muzik sitar. Begitu juga
masyarakat Muslim di India menerima gaya hidup masyarakat Hindu seperti seni
bina, muzik dan lain-lain.
Interaksi antara tamadun China dengan tamadun Melayu melibatkan
kemahiran dan teknologi serta kebendaan.
Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan
Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera,
membuat tembikar serta pertukangan logam.
b.
Negatif
Hubungan antara Kristian dan Yahudi kurang memuaskan
sejak dari permulaan lagi. Berlaku di Eropah antara kurun ke 9 dan ke 18M, beberapa siri pembunuhan orang
Yahudi secara beramai-ramai. Faktor-faktor berkaitan teologi, ekonomi dan
sosial bertanggungjawab terhadap keadaan seperti ini. Demikian juga terdapat putera-putera kristian
Eropah di zaman pertengahan melancarkan siri Perang Salib (Crusades) terhadap masyarakat Islam di Timur Tengah sehingga begitu
ramai orang Islam dan Yahudi dibunuh. Sekali lagi faktor-faktor yang berkaitan
dengan teologi, ekonomi dan sosial bertanggungjawab selain faktor politik.
Dalam sejarah terdapat beberapa kes di India, panglima
dan tentera Islam bertindak menghancurkan kuil-kuil Hindu sungguhpun perkara
sebegini dilarang oleh hukum Islam sendiri. Keadaan yang sama turut berlaku
apabila raja-raja Hindu bertindak membunuh rakyatnya yang beragama Islam.
Keadaan yang sama juga berlaku sebelum kedatangan Islam ke India, di mana
terdapatnya kejadian golongan Hindu memusnahkan kuil-kuil Hindu dan golongan
Hindu melakukan tindakan yang sama menghancurkan kuil-kuil Budha.
Pemimpin yang ingin menguasai dunia akan menimbulkan kacau-bilau
dan peperangan (Hitler, Bush Jr., Napoleon dan sebagainya). Semangat
nasionalisme yang sempit, seperti usaha Jepun meletakkan seluruh dunia di bawah
satu bumbung penguasaan Jepun atau “Hakko-ichui”
telah membawa penglibatan Jepun dalam Perang Dunia ke 2. Persaingan menguasai
sumber ekonomi negara lain bagi memenuhi keperluan ekonomi kapitalis seperti
negara-negara Barat menjajah hampir seluruh dunia dengan matlamat 3G (God, Gold, Glory).
Namun begitu secara keseluruhannya situasi di benua Asia
sebelum zaman penjajah Barat tanpa mengambil kira hubungan Kristian dan Yahudi,
penganut-penganut Islam, Hindu, Buddha, Konfusianisme, Taoisme termasu penganut
Kristian sendiri berjaya hidup harmonis dan aman damai.
Rujukan
Al-Quran terjemahan
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1977. Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak.
Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
.................................................................... 2001. Risalah
Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.
Abdul Latif
Muda. 1983. Pemikiran Islam Menghadapi Cabaran: Satu kajian Tentang Pemikiran Malek Bennabi. Kuala Lumpur : Angkatan Belia Islam Malaysia .
Abdul Rauh Yaacob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam.
(ed.). Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Al-Qardhawi, Yusuf. 1992. Wawasan Islam: Antara Keaslian dan
Kemodenan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Azam Hamzah
dan Zulekha Yusoff. 1990. Tamadun Islam: Konsep Pencapaiannya. Selangor:
Academe Art Printing Services
Sdn. Bhd.
Azhar Hj. Mad
Aros. 2000. TITAS 1. (et. al. ). Kuala
Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Ibrahim Abu Shah, Prof. Dr., Lelawati Abdul Hamid, Mohd Asri Abdullah.
1977. Kecemerlangan Tamadun Islam: Dalam Menghadapi Cabaran Abad Ke-15
Hijrah/21 Masihi. (et.al.). Shah
Alam: Biroteks ITM.
Ismail
al-Faruqi, Dr. Prof. 1984. Islam: The Civilization Forcs Islamic Civilazation. Seminar, kuala Lumpur , 18-22 May,
1984, Anjuran Berita Harian dan Ministry of Culture Youth And sports.
Mahayudin Haji Yahya. 1986. Tamadun Islam dan Ideologi-Ideologi Masa
Kini. Selangor: Penerbit Nadhi.
M.A.J. Beg,
1980. Islamic And Western Concepts of Civilization. Kuala
Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia .
...................
1980. The Image of Islamic Civilization. Kuala
Lumpur : National Universiti of Malaysia .
Wan Kamariah Lemah (et.al). 1997. Sejarah dan Tamadun Islam. Shah Alam:
Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd.