ISLAM DAN
EKONOMI
1.1
Definasi al-Iqtisad
Dalam
bahasa Arab, ekonomi ialah al-Iqtisad yang bererti berjimat cermat
ataupun kesederhanaan iaitu suatu situasi di antara kekurangan dan pembaziran
(Akram, 1990: 30). Ia merujuk kepada pengurusan perbelanjaan yang baik bagi
memenuhi keperluan hidup. Ia juga memberi makna yang lebih luas menurut kacamata
Islam yang mengajar umatnya bersederhana seperti dalam penggunaan air untuk
tujuan bersuci, bersederhana dalam makan dan minum, bersederhana dalam
perbelanjaan dan lain-lain. Walaupun begitu penggunaan al-Iqtisad bukan bermaksud tidak proaktif dan pasif dalam usaha
mengatur urusan kehidupan manusia tetapi memberi makna bagaimana kita
melaksanakan usaha mengikut peraturan ke arah mencapai matlamat dengan cara
yang berhemah. Oleh yang demikian maksud al-Iqtisad
dengan pengertian yang lebih luas ialah cara untuk membentuk sikap dan tingkah
laku manusia dalam mengurus kehendak dan keperluan-keperluan mereka yang kurang
atau tidak cukup serta bagaimana mereka membangunkannya untuk memenuhi
keperluan tersebut.
Al-Quran
ada menyebutkan perkataan yang berbagai-bagai selain daripada perkataan al-Iqtisad, di antaranya ialah;
“Bersederhanalah
kamu (waqsid) dalam berjalan….”.
(Luqman: 19)
Firman
Allah s.w.t. lagi yang bermaksud;
“Di antara
mereka ada golongan yang pertengahan (muqtasidah)…”.
(al-Maidah:
66)
Begitu
juga firman-Nya yang bermaksud;
“Maka ada
di antara mereka yang menganiaya diri mereka dan ada di antara mereka golongan
yang pertengahan (muqtasid)…”.
(Fathir: 32)
Dari
al-Hadith pula dapat difahami dengan jelas maksud al-Iqtisad yang
sebenarnya sebagaimana Nabi s.a.w.
bersabda yang bermaksud;
“Tidak
akan rugi orang yang mencari kebaikan dan tidak akan menyesal orang yang
bermesyuarat dan tidak akan melarat orang yang bersederhana dalam
perbelanjaan”.
(Riwayat al-Tabarani)
Nabi s.a.w. bersabda lagi yang maksudnya;
“Tiada
berkurangan atau miskin orang yang bersederhana dalam perbelanjaan”.
(Riwayat al-Suyuti)
Maksud al-Iqtisad dalam al-Hadith di atas ialah
mentadbir atau mengurus hal-hal yang berkaitan dengan urusan perbelanjaan (tadbir al-nafaqah). Oleh itu al-Iqtisad merujuk kepada maksud
mengurus urusan yang berkaitan dengan perbelanjaan harta dengan cara yang
sederhana dan berhemah berdasarkan nilai-nilai Islam.
Beberapa
sarjana Ekonomi Islam memberikan definasi yang tersendiri. M.A. Mannan
umpamanya mendefinasikan Ekonomi Islam sebagai ilmu sosial yang mengkaji
masalah-masalah ekonomi sesuatu golongan masyarakat yang berpegang dengan
nilai-nilai Islam. Manakala Dr. Muhammad Abdullah al-A’rabi menjelaskan Ekonomi
Islam sebagai dasar-dasar umum ekonomi yang disimpulkan dari al-Quran dan
al-Sunnah. Dr. Sobri Solomon pula
mendefinasikan Ekonomi Islam sebagai ilmu yang berkaitan rumusan-rumusan
tafsiran peristiwa manusia dalam menghadapi hal-hal kebendaan adalah sebahagian
daripada keseluruhan ajaran Islam itu sendiri yang tidak boleh dipisahkan.
Ini
membawa maksud bahawa Ekonomi Islam ialah sains sosial yang mengkaji
masalah-masalah ekonomi suatu golongan masyarakat yang berpegang kepada nilai-nilai
Islam di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang terangkum dalam Cara Hidup Islam. Ia
kajian tentang sekelompok masyarakat yang beriman dengan nilai-nilai hidup
sebagai muslim. Masyarakat manusia yang bertindak sebagai hamba yang tunduk
patuh kepada Allah Tuhan yang memiliki kekayaan dan pencipta kehidupan.
Kehidupan manusia mengikut corak acuan yang ditentukan Allah dengan menggunakan
berbagai-bagai aspek ekonomi sebagai suatu cara untuk memupuk kebaikan
kehidupan manusia dan menghampirkan diri kepada Allah.
Ekonomi
Islam ialah suatu pemikiran dan ajaran yang mengarah dan menyusun kegiatan
ekonomi selaras dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah serta ijtihad ulama dalam
mentafsir dan menyelesaikan masalah-masalah yang berhubung dengan ekonomi. Ia
bukan suatu ilmu (sains) yang bersifat menghurai dan menganalisa gejala-gejala
ekonomi untuk diperturunkan sebagai undang-undang dan membentuk mazhab atau
pemikiran, tetapi lebih bersifat positif mengarahkan aktiviti ekonomi menurut
ketetapan Allah s.w.t.
Ekonomi
Islam terbentuk melalui ajaran Islam yang sentiasa terikat dengan asas dan
prinsip yang tersurat di dalam al-Quran
dan al-Sunnah dan ia bukan suatu ideologi ataupun pemikiran bebas yang
tidak ada panduan. Ini berbeza dengan Ekonomi Konvensional yang mementingkan
kepuasan kebendaan semata-mata, tidak mengakui wujud Tuhan sekaligus
mengenepikan persoalan nilai-nilai (values) baik dan buruk tetapi tunduk
kepada tindakan-tindakan manusia dan kuasa-kuasa pasaran sama ada yang
berkaitan dengan kepentingan individu mahupun kepentingan masyarakat. Jika ada
pun pertimbangan untuk kebajikan ekonomi, ia tiada kaitan dengan nilai
kehidupan keagamaan tetapi hanya bagi memenuhi tuntutan kemanusiaan dan
keduniaan. Justeru itu antara fokus utama dalam Ekonomi Konvensional ialah
utilitarianisme, materialisme, laissez-faire dan seumpamanya.
1.2
Al-Iqtisad dan Maqasid
Syariah
Secara
umumnya Maqasid al-Syariah bermaksud tujuan atau matlamat syariat Islam
diturunkan oleh Allah. Manakala secara khususnya bermaksud tujuan atau matlamat
sesuatu hukum sama ada berbentuk suruhan atau larangan yang diturunkan oleh
Allah kepada manusia melalui ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
yang tersimpul dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Al-Quran
dan al-Sunnah telah menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t. adalah Maha
Kaya dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan atau tidak memerlukan apa-apa daripada
makhluk-Nya. Walaupun Allah tidak memerlukan apa-apa daripada manusia dan manusia tidak boleh memberikan
apa-apa manfaat atau mudharat kepada Allah, namun Allah telah menjadikan
manusia dalam bentuk yang terbaik dan paling sempurna untuk memikul tugas
sebagai khalifah menguruskan segala yang ada di langit dan di bumi. Allah telah
mengutuskan seorang rasul pembawa petunjuk untuk melakukan reformasi dalam
perjalanan hidup manusia iaitu syariat Islam. Syariat ini diturunkah demi untuk
kebaikan dan kesejahteraan manusia sama ada untuk tempoh terdekat atau tempoh
yang jauh. Tanpa syariat Islam kehidupan manusia tidak akan stabil dan aman.
Syariat
Islam bertanggungjawab menjaga dan menjamin kepentingan (maslahah) manusia sedangkan kepentingan manusia adalah berbeza-beza.
Oleh itu maqasid juga mempunyai
peringkat yang berbeza-beza selaras dengan bentuk-bentuk kepentingan manusia.
Tahap maqasid yang paling penting
disebut sebagai Dharuriyat kemudian
diikuti pula dengan peringkat Hajiyat
dan kemudian Tahsiniyat.
1. Maqasid Dharuriyat
Maqasid
ini menjadi tiang seri bagi kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Tanpa maqasid
dharuriyat ini kehidupan manusia akan terhenti dan langsung tidak dapat
berjalan dengan normal, kehidupan manusia akan cacat dan di akhirat pula akan
menerima azab. Fuqaha telah membahagikan maqasid dharuriyat ini kepada
lima perkara iaitu; agama (Islam), nyawa (diri), akal, keturunan dan harta.
a. Memelihara agama
Agama
Islam dijadikan asas pertama kerana ia suatu agama yang mengatur sistem hidup
manusia seluruhnya sama ada dalam urusan pegangan akidah atau peraturan hidup
seperti muamalah, politik dan sebagainya. Bagi menjamin wujud dan tertegaknya
agama maka Allah mensyariatkan rangkaian usul-usul pengabdian yang terdiri
daripada iman, dua kalimah syahadah, sembahyang dan lain-lain. Bagi menjamin
terpeliharanya agama (di peringkat individu dan negara) dari sebarang
pencerobohan maka Allah mensyariatkan jihad, hukuman yang berat ke atas orang
yang murtad dan lain-lain.
b.
Memelihara
nyawa
Allah
telah mengangkat kemuliaan manusia mengatasi makhluk lain dengan menyerahkan
urusan pemerintahan dan pentadbiran bumi kepada manusia. Bagi menjamin wujudnya
keturunan dan zuriat, Allah mensyariatkan perkahwinan dan Ia juga menyediakan
perkara yang membantu kehidupan seperti makanan, minuman dan lain-lain. Bagi
menjamin keselamatan keturunan manusia dari pencerobohan, Allah mengharamkan
sebarang tindakan yang membahayakan nyawa dan diri manusia seperti pembunuhan
dan seumpamanya.
c.
Memelihara
akal
Akal
merupakan neraca taklif. Tanpa akal gugur segala taklif. Kemuliaan akal
seseorang ialah apabila ia telah memilih iman sebagai pegangan. Bagi menjaga akal, Allah
mengharamkan perkara-perkara yang merosakkan akal dan melemahkan daya
fikirannya seperti arak.
d.
Memelihara
keturunan
Bagi
menjaga keturunan Islam menyediakan peraturan yang menjamin keturunan mengikut
disiplin syarak iaitu perkahwinan.
e. Memelihara harta
Untuk
menentukan manusia dapat memiliki harta benda mengikut cara yang betul, Islam
mensyariatkan “kontrak pemilikan”
seperti jual beli dan kaedah-kaedah pemilikan lain seperti hibah dan
lain-lain. Bagi mencegah sebarang pencerobohan ke atas harta benda dan
pemilikannya, Islam mengharamkan pemilikan secara yang tidak betul seperti
mencuri, menipu, rasuah dan lain-lain. Islam juga mengharamkan pembaziran dan
kerosakan harta benda sama ada dalam konteks individu atau negara. Islam juga
menghalang penyerahan harta kepada individu yang tidak bijak menguruskan
harta.
2. Maqasid Hajiyat
Iaitu
sesuatu (maqasid) yang diperlukan
untuk mendapatkan kelapangan hidup dan menghilangkan kesempitan yang membawa
kesusahan. Sekiranya maqasid ini
tidak diambil perhatian, banyak kesukaran akan dihadapi walaupun tidak sampai
kepada menghancurkan sistem kehidupan manusia atau maslahat hidup mereka.
Contoh maqasid ini di dalam muamalat
ialah seperti jual beli salam, qirad,
musaqat dan lain-lain.
3.
Maqasid
Tahsiniyat
Iaitu
melakukan sesuatu amalan atau adat yang baik dan terpuji serta menjauhi
perkara-perkara yang dianggap tidak baik oleh akal yang sempurna. Pada umumnya
ia berkaitan dengan perkara-perkara sunat dan akhlak-akhlak yang mulia. Contoh
maqasid ini dalam muamalat ialah seperti mengharamkan penipuan, sorok barang
untuk mengaut keuntungan, menyembunyikan kecacatan barang dan lain-lain.
Begitulah
peranan yang dimainkan oleh maqasid
al-syariah dalam mengatur kehidupan manusia. Asas syariat Islam ialah
setiap orang bebas untuk menggunakan kebaikan yang dihalalkan Allah s.w.t.,
tetapi kebebasan itu dibatasi oleh beberapa peraturan untuk memastikan agar ia
tidak mendatangkan kerugian kepada maslahah umum. Sayidina Umar al-Khattab pada
masa pemerintahannya pernah melarang orang ramai memakan daging selama dua hari
berturut-turut dalam satu minggu kerana bekalan daging sangat berkurangan
ketika itu dan tidak cukup untuk bekalan semua penduduk Madinah dan beliau
melarang masyarakat menyembelih binatang buat sementara waktu.
Ini
menunjukkan bahawa dalam usaha menegakkan maslahah umum menuntut campur tangan
kerajaan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan ekonomi yang boleh
mendatangkan mudharat kepada masyarakat mencakupi penindasan, rasuah, monopoli
dan sebagainya.
1.3
Peranan
Manusia Dalam Ekonomi
Dalam
bahasa Arab, manusia disebut sebagai al-nas,
al-insan dan al-ins yang bererti
makhluk yang lupa dan makhluk yang jinak. Nama-nama lain adalah seperti al-basyar, bani adam. Ia dinyatakan
Allah s.w.t. dalam Surah al-Hujurat ayat 13, al-‘Alaq ayat 2, al-Zaariyat ayat
56 begitu juga al-Kahfi ayat 110. Dari segi istilah, manusia adalah makhluk
Allah s.w.t. yang terbaik yang dijadikan dari unsur jasmani dan rohani.
Dengannya manusia boleh berfungsi sebagai makhluk yang teristimewa dan bergelar
sebagai khalifah di muka bumi.
Kejadian
manusia adalah begitu sempurna. Ia merupakan gabungan dua unsur iaitu jasmani
dan rohani. Unsur jasmani yang terdapat pada diri manusia dijadikan daripada
tanah. Segala tuntutan dan keperluan hidup yang bersifat jasmani juga berkait
rapat dengan tanah. Ia terkumpul dalam tiga perkara utama iaitu makanan dan
minuman, pakaian dan perhiasan serta tempat tinggal dan keamanan. Unsur rohani
juga mempunyai keperluan yang sesuai dengan sifat kerohaniannya. Ia terangkum
dalam aspek akidah, syariah dan akhlak. Kejadian manusia yang sempurna ini
apabila dikaitkan dengan ekonomi memperlihatkan bahawa agama Islam adalah amat
lengkap. Kedua-dua unsur sama ada jasmani atau rohani diberi perhatian secara
serentak oleh Ekonomi Islam. Sumber-sumber dalam ekonomi Islam iaitu modal,
tanah, buruh dan usaha mempunyai hukum halal dan haram yang mengimbangi antara
tuntutan jasmani dan rohani. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Wahai manusia! Makanlah yang halal
lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, janganlah kamu mengikut
langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata
bagi kamu”.
(al-Baqarah: 168)
Islam
memberi perhatian dengan arahan dan panduan dalam semua urusan kehidupan
manusia ke arah memelihara aspek rohani dan jasmani, benda dan jiwa dalam
bentuk yang dapat menjamin wujudnya keseimbangan di antara dua sudut itu
sehingga setiap manusia sentiasa terikat dengan tuhannya dalam segala aktiviti
yang dilakukannya. Dengan demikian setiap insan akan berterusan terikat dengan
suruhan-suruhan dan larangan-larangan agama, juga dengan arahan-arahan dan
panduan-panduan serta bimbingan tuhan. Dengan demikian manusia tidak akan lupa
dan cuai dengan arahan-arahan tersebut dan tidak pula bersikap melampaui batas dengan berlaku zalim.
Dalam
Ekonomi Islam tanggungjawab manusia sebagai khalifah adalah memikul amanah
berdasarkan kepada panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Allah s.w.t. Di
antaranya;
i.
Membangun dan mengolah sumber alam di
atas dan di dalam perut bumi hingga boleh dimanfaatkan bagi kehidupan manusia.
Begitu juga memelihara dan menggunakan bahan-bahan yang berguna mengikut
lunas-lunas Islam.
ii.
Tidak mengkhianati amanah. Segala
usaha dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh dan mengelakkan diri dari
melakukan sebarang perbuatan negatif kerana segala tingkahlakunya diperhatikan
oleh Allah s.w.t. Orang yang mengkhianati amanah Allah adalah orang yang gagal
sebagai khalifah di muka bumi. Firman Allah s.w.t. , maksudnya;
“Dia
berkata: Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan
kamu khalifah di bumi, kemudian Dia akan mengawasi tingkah laku kamu”.
(al-A’raf: 129)
iii.
Berbelanja pada jalan Allah. Apa yang
telah dihasilkan oleh manusia daripada sumber alam hendaklah dibelanjakan
dengan cara dan tujuan yang baik.
Ekonomi
Islam juga tidak seperti Ekonomi Konvensional yang melihat manusia hanya
sebagai manusia fizikal atau manusia ekonomi (economic man). Ekonomi
Islam melihat manusia sebagai entiti yang merangkumi fizikal dan spiritual yang
memegang mandat sebagai khalifah dan hamba Allah. Manusia adalah faktor penentu berjaya atau gagalnya ekonomi. Bentuk
aktiviti ekonomi yang bakal dicorakkan oleh manusia harus diredhai oleh Allah. Malek ben Nabi (Siddiqi 1980: 42-43) mengkritik pandangan
yang mengatakan bahawa dinamisme ekonomi terletak kepada pelaburan modal.
Menurut beliau dinamisme ekonomi terletak kepada manusia dan keazaman
masyarakat iaitu bagaimana cara untuk memanfaatkan manusia dan keazamannya. Ini
menjelaskan betapa pembangunan ekonomi dan kebendaan tidak dapat berjalan
dengan betul sekiranya unsur dalaman manusia tidak dibangunkan dengan
sepenuhnya. Beliau kesal Negara Dunia Ketiga kerap memberi fokus kepada modal
dalam perancangan pembangunan ekonominya dan apabila tidak cukup modal
negara-negara tersebut meminjam kepada pihak lain dan bergantung kepada pakar
asing yang tidak benar-benar mengetahui mengenai situasi tempatan. Strategi ini
menurut Malik ben Nabi telah menemui kegagalan dan beliau memberi contoh
positif betapa pembangunan negara China berjaya kerana mereka menggerakkan
ekonominya selaras dengan budaya masyarakatnya dan mengikut situasi tempatan.
Lantaran itu sistem Ekonomi Islam melihat manusia secara sempurna dan
memberi tanggungjawab kepada manusia supaya melaksanakan kegiatan ekonomi
secara seimbang dan tekun.
1.4
Ekonomi
dan Ibadah
Ibadah
dalam bahasa Arab bererti taat, tunduk, patuh, setia, sembah dan perhambakan
diri kepada orang lain. Dari segi istilah menurut Ibn Taimiyah, ibadah
merangkumi bersama makna kehinaan dan kecintaan terhadap Allah s.w.t. iaitu
kemuncak kehinaan diri apabila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaan
kepada Allah dalam segala perbuatan.
Berdasarkan
pengertian ibadah di atas dapat difahami bahawa ibadah mengandungi dua perkara;
Pertama: Komitmen dengan apa yang disyariatkan oleh Allah dan seruan rasul-Nya
sama ada dalam bentuk perintah atau larangan, penghalalan dan pengharaman. Ini
merupakan unsur ketaatan dan ketundukan kepada Allah. Kedua: Komitmen ini lahir
dari hati yang cintakan Allah s.w.t. Tiada yang lain dalam kewujudan ini yang
layak dicintai lebih dari Allah s.w.t. Allah pemilik jasa dan kebaikan. Dia-lah
yang telah menjadikan manusia. Dia-lah yang menjadikan semua yang terdapat di
atas permukaan bumi untuk manusia. Dia-lah segala-galanya. Siapakah yang lebih
utama dari Allah untuk dicintai?
Konsep
ibadah dalam Islam terlalu luas bidangnya. Ia meliputi segala aspek kehidupan
manusia sama ada dalam skop ekonomi, politik, sosial dan lain-lain. Secara
umumnya ia dapat dibahagikan kepada ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah
khusus atau disebut juga ibadah formal merupakan segala perlakuan yang
berhubungan terus dengan Allah seperti mengerjakan solat, membaca al-Quran,
berzikir dan seumpamanya. Ibadah umum atau disebut ibadah tidak formal adalah
terdiri dari dua perkara, iaitu tugas harian dan semulajadi. Tugas harian
bermaksud pekerjaan harian seperti berniaga bagi peniaga, mengajar bagi guru
dan sebagainya. Tugas semulajadi pula bermaksud pekerjaan yang dituntut oleh
naluri semulajadi manusia seperti makan, tidur dan sebagainya.
Allah
s.w.t. sentiasa memberi galakan kepada umat manusia untuk melakukan pekerjaan
yang baik dan menjalankan pekerjaannya itu dengan bersungguh-sungguh dan tekun
supaya pekerjaan itu menjadi satu amal salih yang berhak diberikan ganjaran
oleh Allah s.w.t. Menurut pandangan Islam sesuatu pekerjaan itu walau apa
bentuk pun merupakan kehormatan dan kemuliaan kepada pihak pekerja dan suatu
perkara yang dapat menyelesaikan serta memenuhi keperluan mereka. Islam bukan
hanya mengangkat taraf pekerjaan itu ke taraf kemuliaan sahaja malah Islam
memandang pekerjaan itu sebagai sejenis ibadah, istighfar dan suatu
bentuk kesyukuran terhadap nikmat kurniaan Allah. Dalam hal ini Allah telah
berfirman yang ditujukan kepada kaum keluarga Nabi Daud a.s. yang maksudnya;
“Beramallah kamu wahai keluarga Nabi Daud untuk bersyukur. Dan
sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur”.
(Saba’: 13)
Dari
penerangan di atas dapat difahami bahawa sesuatu pekerjaan itu dikira ibadah
apabila memenuhi syarat-syarat berikut;
·
Kerja itu diharuskan oleh Syarak.
Kerja yang ditegah oleh Islam seperti kerja-kerja yang melibatkan riba, arak
dan sebagainya sudah pasti tidak akan menjadi ibadah. Sesungguhnya Allah Maha
Baik dan tidak akan menerima yang tidak baik.
·
Niat yang baik, seperti untuk menjaga
kehormatan diri, membiayai keluarga, memberikan manfaat kepada umat,
memakmurkan bumi dan sebagainya.
·
Melakukan kerja dengan tekun dan
sebaik mungkin. Amalan ini disukai oleh Allah dan rasul-Nya.
·
Mematuhi hukum-hukum yang telah
ditetapkan oleh Allah. Dalam usaha mencari rezeki seseorang itu tidak boleh
berlaku zalim, menipu, merampas harta orang lain dan sebagainya.
·
Tidak menghalang dari menunaikan
kewajipan asasi terhadap Allah. Sekiranya menghalang kewajipan asas, maka ia
tidak lagi dikira sebagai ibadah.
·
Disertakan dengan rasa syukur terhadap
Allah. Bersyukur menjadikan rezeki seseorang itu diberkati dan ditambahkan
kurniaannya.
Bidang
ekonomi merupakan sebahagian daripada Cara Hidup Islam yang menyeluruh dan
lengkap yang diasaskan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama. Malah ia
juga menyediakan mekanisme menyelesaikan masalah-masalah baru dalam ekonomi
melalui qiyas dan ijtihad. Oleh itu ekonomi dalam Islam tunduk di bawah kawalan
suatu sistem yang mempunyai prinsip-prinsip keagamaan. Banyak nas al-Quran dan
al-Sunnah menyentuh bidang ini khususnya dalam pemilikan harta, pengeluaran,
perniagaan, pinjaman, zakat dan sebagainya.
Masyarakat
Islam di zaman awal telah mempraktikkan Islam sebagai cara hidup. Kemunculan
ulama-ulama seperti Imam Malik, al-Syafii, al-Nawawi, al-Suyuti dan sebagainya
dan perbahasan mereka dalam kitab-kitab fiqh telah menyebabkan muncul
teori-teori ekonomi seperti harga, syarikat, riba, pasaran, monopoli dan
sebagainya hasil dari kajian yang teliti mengenai dalil-dalil al-Quran dan
al-Sunnah. Usaha gigih para ulama dan sarjana Islam untuk merumuskan ekonomi
Islam telah menampakkan hasil dan ia perlukan komitmen yang konsisten melalui
penyelidikan yang serius. Mereka meletakkan ekonomi Islam sebagai suatu perkara
fardu ain dan aktivitinya berjalan selaras dengan nilai-nilai Islam yang
menguntungkan kepada semua pihak yang terlibat di dunia dan di akhirat. Islam
juga meletakkan kegiatan ekonomi sebagai penting kerana ia membantu memenuhi
keperluan hidup beragama.
Ekonomi
Islam terangkum dalam fiqh muamalat seperti urusan jualbeli, pinjaman,
gadaian, pemilikan harta dan sebagainya. Demikian halnya juga dengan tafsiran
yang dibuat oleh para ulama dan sarjana Islam seperti peranan kerajaan dalam
ekonomi, percukaian, konsep harga, untung, pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Dengan lain perkataan, Ekonomi Islam merupakan satu sistem ekonomi yang
komprehensif kerana tidak mengabaikan faktor-faktor agama, politik dan sosial.
1.5
Ekonomi
dan Jihad
Islam
meletakkan faktor kebendaan dalam persoalan ekonomi di tempat yang penting.
Sebagai buktinya Allah ada menyebutkan dalam kitab-Nya di antara lain yang
bermaksud;
“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia”.
(al-Kahfi:
46)
Rasullullah
bersabda yang bermaksud;
“Berusaha mencari rezeki yang
halal itu adalah suatu kewajipan”.
Dan sabda
baginda lagi;
“Mencari rezeki yang halal itu
sejenis jihad”.
Bukti lain
yang menunjukkan bahawa bergiat dalam bidang ekonomi adalah dipandang setaraf
dengan jihad pada jalan Allah ialah hadith berikut;
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah sedang berada
bersama dengan para sahabatnya dan mereka nampak seorang pemuda keluar pada
waktu awal pagi untuk pergi bekerja dan para sahabat pun berkata: “Aduhai
kesiannya orang muda ini, alangkah baiknya kalau pada zaman muda dan gagah
sasanya itu digunakan untuk berjihad pada jalan Allah…”. Maka Rasulullah s.a.w.
bersabda yang maksudnya;
“Janganlah kamu berkata begitu kerana orang muda itu berusaha
mencari rezekinya sendiri supaya dia tidak terpaksa mengemis dan meminta belas
kesihan orang dan dirinya pun tidak merasa terikat kepada orang lain, kerana
sebenarnya dia pun sedang berjihad pada jalan Allah, dan kalaulah dia berusaha
untuk menyara hidup kedua ibu bapanya yang sedang uzur dan daif ataupun kepada
anak cucunya yang masih lemah untuk mencukupi keperluan hidup mereka dan
melepaskan mereka daripada menjadi beban orang ramai maka dia adalah di jalan
Allah”.
Begitulah
pengiktirafan yang diberikan oleh Islam kepada mereka yang berusaha mencari
rezeki di muka bumi ini. Asalkan memenuhi syarat-syarat suatu pekerjaan itu
menjadi ibadah seperti yang telah disebutkan di atas maka mereka beroleh
pahala menyamai orang yang berjuang pada
jalan Allah sehingga akhirnya terbukti umat Islam berjaya menguasai bidang
ekonomi di zaman kegemilangan Andalus dan Baghdad kerana mereka melaksanakan
kegiatan ekonomi secara bersungguh-sungguh sebagai satu daipada tuntutan agama
dan keperluan hidup. Kegiatan ekonomi dianggap sebagai satu cara untuk
meninggikan syiar Islam kerana umat Islam percaya bahawa mereka perlu
menggunakan segala sumber alam dan potensi mental fizikal mereka untuk
melaksanakan kegiatan ekonomi. Mereka berjihad untuk melaksanakan aktiviti
ekonomi pengeluaran, pelaburan dan perkhidmatan sebagaimana yang dibenarkan
oleh agama dan berusaha untuk keluar dari suasana pergantungan ekonomi kepada
pihak yang bukan Islam dan membina kekuatan ekonomi yang tersendiri.
1.6
Penutup
Ekonomi
Islam berteraskan agama Islam dan membantu manusia melaksanakan fungsinya
sebagai khalifah yang bertangungjawab melaksanakan aktiviti ekonomi sehingga
membawa kebaikan dan kemakmuran kepada hidup manusia.
salam sir, saya nama rujukan buku ekonomi islam yang telah dinyatakan di atas... sekian wassalam
ReplyDeletethanks you
ReplyDelete