PENGHAYATAN AKHLAK
1. PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk istimewa
kerana keperibadiannya merupakan akhlak sedangkan persoalan akhlak merupakan
salah satu dari tiga asas Islam selain dari akidah dan syariah. Akhlak tidak
akan wujud dalam diri seseorang sekiranya ia tidak memiliki akidah dan syariah
yang betul. Misi risalah Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan akhlak
manusia. Sesebuah negara memerlukan rakyat yang berakhlak baik bagi membina
kemajuan negara dan pada masa yang sama negara boleh musnah kerana akhlak
rakyat yang buruk dan jahat.
2. DEFINASI
Menurut Kamus Dewan,
penghayatan menggambarkan proses menghayati atau mendalami, menjiwai sesuatu
sama ada melalui penglihatan, pendengaran, pembacaan atau sebagainya. Melalui
penghayatan, seseorang dapat merealisasikan sesuatu yang ditanggapinya dalam
kehidupan sama ada secara individu mahupun masyarakat (Kamus Dewan 1994: 447). Akhlak dari
perkataan khuluq yang bermaksud
tingkah laku, tabiat, perbuatan, perangai dan membentuk peribadi. Imam al-Ghazali
dalam Ihya Ulumuddin berkata akhlak
adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang yang dengannya menghasilkan
sesuatu perbuatan secara
sepontan. Ibn Miskawayh menyatakan bahawa akhlak merupakan situasi kejiwaan
yang mendorong seseorang insan melakukan perbuatan dengan senang tanpa berfikir
dan perancangan rapi.
Allah SWT mencipta perasaan semulajadi ini dalam diri manusia
sebagaimana maksud firman Allah surah
al-Shams ayat 7; “Demi jiwa dan kesempurnaan ciptaannya, maka Allah
mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan. Sesungguhnya telah
berbahagia orang yang menyucikannya dan kecewa orang yang mengotorkannya”.
Ayat ini menjelaskan betapa Allah
telah menciptakan dalam diri manusia unsur baik dan unsur buruk (fasik), maka
terpulang kepada manusia untuk memilih salah satu daripadanya. Rasulullah
saw bersabda yang bermaksud, “Kamu
tidak akan dapat menarik manusia dengan hartamu tetapi kamu tariklah mereka
dengan tingkah laku yang baik.” Dalam hadith yang lain, baginda bersabda yang
bermaksud, “Orang
yang paling aku kasihi adalah mereka yang memiliki tingkahlaku yang terbaik dan
orang yang akan mendapat perlindungan adalah meraka yang mengasihi dan dikasihi.”
(Al-Tabarani).
Etika dalam bahasa Inggeris ialah ethics
yang berpunca dari bahasa Greek, ethos yang
bererti nilai-nilai atau perkara-perkara yang berkaitan dengan sikap. Moral
didefinasikan sebagai tingkahlaku yang ditentukan oleh etika.
Di antara ciri-ciri akhlak Islam ialah;
o
Kebaikannya bersifat mutlak dan universal
o
Bersumber dari Allah
Akhlak Islam mempunyai skop yang luas, iaitu;
§
Akhlak dengan Allah; iaitu beriman kepada Allah dengan melakukan
ibadah dengan mengabdi diri, tunduk, taat dan patuh. Sentiasa mengharapkan
Allah dalam setiap usaha dan amalan.
§
Akhlak sesama manusia; iaitu melakukan perbuatan baik, memulia dan
menghormati orang lain.
§
Akhlak kepada makhluk selain manusia; iaitu menghormati malaikat
dan jin, binatang yang diternak hendaklah diberikan keperluan yang secukupnya
manakala binatang yang digunakan untuk bekerja hendaklah tidak dibebani
pekerjaan yang di luar kesanggupannya. Berakhlak dengan alam melalui usaha
untuk memakmurkan sumber-sumber alam semulajadi.
3.
MENGAMALKAN SIFAT MAHMUDAH
Akhlak mahmudah ialah perbuatan terpuji
menurut pandangan akal dan syariat Islam. Ia adalah sifat peribadi Rasulullah
s.a.w. dan amalan utama penganut Islam yang sejati. Imam al-Ghazali menetapkan
empat prinsip utama bagi melahirkan akhlak terpuji iaitu;
·
Hikmah (Kebijaksanaan) iaitu kekuatan akal yang membolehkan
individu membezakan di antara perkara baik dan buruk. Sifat ini akan melahirkan
baik hati, cerdik, bersangka baik dan pertimbangan baik.
·
Adil. Ia adalah kekuatan jiwa yang dapat meletakkan perasaan marah
dan nafsunya mengikut kesesuaian keadaan berlandaskan pertimbangan akal dan syariat.
·
Berani (Syajaah). Ia adalah
keupayaan diri mengawal perasaan marah. Pemarah, berani, bermujahadah dengan
nafsu, menanggung penderitaan, lemah-lembut dan tetap pendirian.
·
Kesucian (Iffah). Ia
adalah keupayaan diri mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada
kemahuan akal dan syariat. Pemurah, rendah diri, memlihara penglihatan, malu,
sabar, pemaaf, tolong-menolong, peramah dan kurang mengharap orang lain.
Apabila empat sifat ini wujud dalam diri manusia, barulah akan
melahirkan sifat-sifat mahmudah yang lain. Jika sifat ini terhakis atau
berlebihan dalam diri manusia akan melahirkan sifat yang keji pula. Hadith
Rasulullah SAW; “Sebaik-baik perkara adalah bersederhana".
4.
BERPANDUKAN SYARIAH
Syariah
Islam mengandungi sistem perundangan, sistem etika dan sistem nilai-nilai yang
boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Syariah merangkumi semua
aspek kehidupan manusia seperti hal ehwal peribadi, sosial, politik dan
intelektual. Ia memberi makna dan isi kandungan kepada tingkah laku orang Islam
dalam menjalankan kegiatan mereka di dunia. Skop syariah adalah seluas Islam
sebagai al-Din. Skop yang cuba
dijelaskan di sini ialah syariah sebagai peraturan Allah dalam konteks hubungan
manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan makhluk (sesama manusia,
dengan tumbuhan, binatang, jin dan alam seluruhnya). Perhubungan manusia dengan
Allah merupakan ketaatan terhadap segala perintah dan larangan-Nya.
la
direalisasikan dalam konteks ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus seperti
solat, puasa, zakat, haji, baca al-Quran, zikir dan seumpamanya. Ibadah umum
pula ialah perlakuan atau tindak tanduk manusia ketika berhubungan dengan
selain Allah iaitu sesama manusia, alam, haiwan, jin dan cakrawala. Semua
perbuatan manusia akan menjadi amal salih apabila melalui syarat yang tertentu
iaitu niat kerana Allah (ikhlas), perkara itu harus dari sudut syarak, tidak
meninggalkan ibadat khusus dan memberi komitmen yang jitu. Perhubungan sesama
manusia adalah ibadat umum seperti sosial, ekonomi, politik, perkahwinan,
pendidikan, pengurusan, perniagaan, pembangunan, harta pusaka, jihad dan
sebagainya. Segala bentuk interaksi ini perlu dilakukan menurut peraturan yang
selari dengan syarak. Apabila syariah Allah dipraktikkan, Allah memberi jaminan
manusia akan mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Penguatkuasaan
segala perintah dan larangan yang terdapat dalam syariat Islam tertakluk kepada
hukum taklifi iaitu wajib, sunat,
haram, harus dan makruh. Bagi menjamin pematuhan, undang-undang syariah tidak
semata-mata bergantung pada hukum keduniaan, iaitu kekuatan pendapat orang
ramai dan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti pasukan polis, mahkamah
dan penjara. Faktor pematuhan yang utama dalam kes syariah ialah kesedaran
penganutnya akan kewujudan Allah dan sifat Allah yang Maha Melihat dan juga
keyakinan bahawa semua perkataan dan perbuatan setiap individu dicatatkkan oleh
malaikat yang mengiringinya. Di akhirat, semua manusia akan dibawa kehadapan
Allah untuk disoal tentang amalannya.
Keyakinan
dan kesedaran inilah yang membentuk hati nurani yang disedarkan dalam pemikiran
manusia yang akan menyeru individu ke arah jalan yang benar dan membenci
kejahatan. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang faedah penggunaan hukum
atau sekatan-sekatan yang lain. Hati nurani manusia boleh dicemarkan oleh nafsu
jahat yang boleh mengakibatkan keganasan dan keingkaran. Pada masa ini
pengamalan akhlak mazmumah atau
gejala keruntuhan akhlak seperti fitnah, rasuah, minum arak, seks bebas,
salahguna dadah dan sebagainya mampu mempengaruhi individu dan masyarakat.
Tekanan
sosial juga boleh memainkan peranan sebagai pencegah yang berkesan dan
ketakutan terhadap hukum perundangan boleh menghindarkan diri dari keburukan yang
ingin dilakukan. Walau bagaimanapun, hukum ini hanya digunakan dalam kes
pelanggaran yang konkrit, yang terbukti atau yang diakui, sedangkan rasa cinta
kepada Tuhan dan rasa takut kepada-Nya mencegah perlanggaran yang dilakukan
secara sembunyi serta menggalakkan perbuatan sukarela yang baik dan amal kebajikan.
Syariah
Islam memerlukan pemerintah mengambil langkah-langkah pencegahan terhadap
sebarang pelanggaran hukum yang berlaku atau yang berulang kali berlaku. Dalam
kebanyakan kes, syariah tidak mendefinisikan bentuk hukuman yang seharusnya
dikenakan tetapi menyerahkannya kepada kebijaksanaan pemerintah. Hanya bagi
beberapa jenis pelanggaran sahaja yang dinyatakan hukumannya yang khusus iaitu,
pembunuhan, pencurian, perompakan, zina dan pengambilan arak. Hukuman khusus
berkenaan perbuatan salah ini dikenali sebagai hudud, manakala hukuman yang tidak didefinisikan oleh syariah
dikenali sebagai takzir. Individu
yang berkenaan juga perlu membentuk semula personaliti mereka dengan bertaubat
kepada Allah, istiqamah melakukan perkara ibadah dan menjauhkan diri dari pihak
yang boleh memesongkan akhlak mereka.
5.
MEMPUNYAI PENDIRIAN
Ilmu merupakan satu pembolehubah. Ia
membolehkan berlakunya banyak penambahbaikan. Seseorang yang berilmu akan dapat
mencari jalan untuk mendekatkan dirinya kepada Allah dan melakukan yang terbaik
untuk masyarakat. Ilmu juga melambangkan kuasa. Manusia yang berilmu akan berupaya
untuk mengawal nafsunya.
6.
MENJADI ROLE MODEL
Tujuan hidup seorang Muslim adalah untuk
membina personaliti dirinya sendiri, persekitaran sosialnya dan dunia umumnya.
Bagi memenuhi tujuan tersebut, seseorang itu perlu melengkapkan dirinya dan
bekerjasama dengan masyarakatnya dalam kehidupan berteraskan penghayatan akhlak dan menjalankan
aktiviti kemanusiaan yang betul. Penguasaan ilmu menjadi teras kepada pembangunan
modal insan. Ia juga merupakan alat muhasabah diri yang dapat membantu mengenal
dan membaiki diri.