Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 5

Kuliah 5:

TOKOH PEMIKIR EKONOMI ISLAM


5.1          Tokoh Ekonomi Islam dan Sumbangannya
Pemikiran berkembang kerana wujud suatu fahaman, doktrin atau ajaran. Seluruh kegiatan hidup dan tingkahlaku manusia dicorakkan oleh pemikiran yang dipercayainya. Oleh kerana masyarakat Islam menganut ajaran Islam maka pemikiran masyarakat Islam akan melahirkan pemikiran ekonomi Islam yang tersendiri yang berasaskan agama dan tauhid. Ia berkembang dan bercambah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. melalui ijtihad yang pada peringkat awal berkisar pada tajuk bidang fiqh.

Pemikiran ekonomi Islam berkembang kerana wujud ayat (nas) yang berkaitan dengan ekonomi dalam al-Quran dan al-Sunnah, perkembangan pelbagai disiplin ilmu dan perkembangan sosial masyarakat Islam yang menimbulkan pelbagai isu ekonomi. Di antara tokoh-tokoh yang menyumbang kepada pemikiran ekonomi Islam ialah;
a.                   Abu Yusuf  (113-182 H / 731-798 M)
Ya’qub bin Ibrahim bin Habib bin Khunais lahir di Kufah dan meninggal di Baghdad merupakan tokoh pemikir ekonomi Islam yang terawal. Beliau menuntut ilmu dari kalangan ulama mazhab hanafi dan dilantik oleh Khalifah Harun al-Rasyid sebagai Ketua Mahkamah Agung (Qadhi al-Qudhah). Beliau aktif mengajar ilmunya dan menulis antara lain kitabnya yang terkenal ialah al-Jawami’, Rad ‘ala Siyar al-Auza’i dan al-Atsar.  Melalui kitab al-Kharaj (Percukaian) beliau menekankan pentingnya sistem percukaian kepada pembangunan ekonomi, cara mengutip cukai dan cara pengagihannya, keupayaan membayar cukai, memberi pertimbangan kepada kesenangan pembayar semasa menentukan masa membayar dan pentadbiran cukai berpusat. Abu Yusuf juga menekankan pembangunan sektor pertanian dengan menyarankan peranan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam seperti pengairan, benteng, tanah dan infrastruktur pertanian. Beliau turut menekankan pentingnya campurtangan kerajaan dalam aktiviti ekonomi bagi pembangunan ekonomi dengan menyediakan pelbagai prasarana yang boleh membawa kepada kesejahteraan rakyat. Beliau menegaskan perlunya sistem pentadbiran ekonomi yang amanah, efisien, adil dan cekap dalam melaksanakan kebijaksanaan ekonomi.

b.                  Ibn Taimiyah (661-728 H / 1263-1328 M)
Taqi al-Din Abu Abbas Ahmad lahir di Harran, Syria dan bermazhab Hanbali. Keilmuannya menyebabkan ia ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan namun ditolaknya secara baik kerana beliau tidak suka dikongkong namun beliau terkena juga dengan tempias fitnah dan empat kali dipenjarakan. Pemikiran ekonomi beliau dapat diambil dari karyanya seperti Majmu’ Fatawa Syeikh al-Islam, al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wa al-Ra’yah dan al-Hisbah fi al-Islam. Melalui al-Hisbah fi al-Islam, beliau membahaskan tentang sistem pasaran, harga, penawaran, persaingan dalam pasaran, buruh dan upah, hak milik awam, tanggungjawab kerajaan memenuhi keperluan asas rakyat, kawalan harga dan peranan sektor awam. Dalam buku al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’i wal Ra’yah (Public and Private Laws in Islam) beliau membincangkan konsep harga yang adil iaitu dengan persetujuan semua pihak yang terbabit, untung, sistem pasaran bergantung kepada permintaan dan penawaran selain kesan cukai kerajaan kepada penjual dipindahkan kepada pembeli sehingga memberi kesan kepada penetapan harga, peranan kerajaan memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi, menentang konsep kebebasan ekonomi dan sebagainya.  Beliau menegaskan perlunya ditegakkan upah atau gaji yang adil kepada pekerja sehingga mereka mendapat sejumlah pendapatan yang membolehkan mereka hidup sempurna.

Ibn Taimiyah membenarkan campur tangan kerajaan dalam pasaran dengan sebab menopoli, penyorokan dan spekulasi. Beliau melihat suatu keperluan untuk menentukan jumlah keuntungan yang adil serta tidak merugikan pembeli. Di antara tulisannya ialah mengenai institusi hisbah (pengawasan) yang berperanan untuk menjaga persaingan secara saksama dan berurusan dengan jujur serta membenteras monopoli dan diskriminasi harga. Bahkan penentuan harga boleh diputuskan melalui mesyuarat. Ini boleh dilakukan dengan penguatkuasaan peraturan-peraturan terhadap pengeluar, pedagang dan orang tengah (broker). Berhubung dengan pemilikan individu, Ibn Taimiyah membenarkan pihak berkuasa untuk memendekkan tempoh atau menarik balik pemilikan tersebut. Walaupun begitu Ibn Taimiyah juga amat menekankan kepada peranan dan tanggungjawab kerajaan untuk menentukan keperluan asas rakyat sebagai suatu kewajipan yang mesti dipatuhi. (Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1980: 106).

c.                   Ibn Khaldun (732-808 H / 1332-1404 M)
Abdul Rahman Abu Zaid Waliddin Bin Khaldun al-Maliki al-Khadrami lahir di Tunisia. Merupakan ilmuan yang hebat lahir dari kalangan golongan atasan dan pernah berkhidmat kepada kerajaan Sepanyol Islam di Seville sebagai setiausaha kerajaan dan juga sebagai hakim. Tulisan beliau seperti Muqaddimah, al-Ibar dan Ta’rif Ibn Khaldun bukan setakat catatan peristiwa tetapi juga bagai sebuah ensiklopedia lengkap untuk dirujuk. Beliau pakar dalam bidang sejarah, sosiologi dan ekonomi. Dalam Muqaddimah, beliau melihat wujudnya perkaitan di antara faktor ekonomi, politik, sosial, etika dan pendidikan sebagai aspek-aspek tamadun yang mempengaruhi kehidupan manusia. Justeru itu beliau turut membicarakan konsep asas ekonomi seperti teori dan ukuran nilai ditentukan oleh penerimaan manusia, pembentukan modal, meminimakan cukai ke atas rakyat dan meningkatkan perbelanjaan awam dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan meluaskan manfaat kewangan negara, kadar gaji atau upah boleh mempengaruhi ekonomi cergas ataupun merundum, pembahagian buruh mengikut kemahiran, sistem harga ditentukan oleh teori permintaan-penawaran, hukum permintaan dan penawaran yang dinamis, penggunaan dan pengeluaran, negara yang lebih pengeluaran dan melaksanakan hubungan perdagangan antarabangsa adalah lebih maju, pertumbuhan penduduk meningkatkan pengeluaran dan permintaan, kemajuan membawa kepada permintaan dan sebagainya.

Ibn Khaldun boleh dianggap sebagai pelopor kepada ahli fikir perdagangan kerana pandangannya tentang kepentingan emas dan perak. Beliau juga berpendapat terdapat perkaitan di antara perkembangan ekonomi dan kestabilan politik, pasaran bebas dapat memastikan pembahagian yang saksama tanpa menafikan perlunya campurtangan kerajaan. Mengenai tenaga manusia, beliau menekankan faktor buruh dalam teori nilainya dan kepentingan modal intelektual. Beliau menyedari kebaikan dan keperluan pembahagian buruh sebelum diperkatakan oleh Ricardo. Beliau juga telah menjelaskan teori penduduk sebelum Malthus. Ibnu Khaldun juga mendahului Adam Smith dalam banyak hal dan boleh dianggap sebagai guru kepada Proundhon, Marx dan Engels. Oleh itu Ibn Khaldun dianggap sebagai ahli ekonomi Islam yang terulung dan bapa (pengasas) kepada sains ekonomi.  (Muhamad Nejatullah, 1989: 105).

d.                  Imam al-Ghazali (451-505 H / 1055-1111 M)
Abu Hamid Ibn Muhammad lahir di Khorman, Iran. Beliau pernah menjadi Profesor di Universiti Nizamiyah, Baghdad dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama, falsafah dan sufi. Imam Ghazali menekankan tentang penyatuan ilmu dan amal dan sentiasa mendorong masyarakat supaya mengkaji al-Quran dan al-Sunnah, juga sangat kritikal terhadap keadaan moral dan agama masyarakat serta mengkritik pemisahan urusan dunia daripada amalan akhirat. Melalui karyanya Ihya’ Ulumuddin beliau membincangkan secara menyeluruh hal-hal ibadat, muamalat, perkahwinan dan jenayah. Melalui kitab al-Mustasfa, Mizan al-Amal dan al-Tibr al-Masbuk Fi-Nasihat al-Muluk menghuraikan wang dan fungsi wang sebagai alat pertukaran dan penentu nilai serta kesan riba al-fadl dan sorok harta terhadap ekonomi, kerajaan patut memungut cukai tambahan ketika perlu sahaja bagi memastikan rakyat tidak dibebani sesuatu yang mereka tidak mampu. Beliau mengkritik sifat sambil lewa dan malas bekerja kerana aktiviti ekonomi adalah ibadah. Memenuhi keperluan hidup individu, keluarga dan membantu golongan yang memerlukan adalah perintah agama. Walau bagaimanapun menurut beliau keinginan untuk pendapatan atau untung yeng lebih besar meskipun baik untuk masa hadapan namun ia adalah suatu ujian bagi manusia. Mengenai teori harga, menurut al-Ghazali para petani terpaksa menjual hasil pertanian dengan harga rendah jika mereka tidak mendapat harga yang memuaskan menunjukkan pengetahuan beliau mengenai kuasa pasaran. Kerajaan boleh menggunakan harta Bait al-Mal bagi menampung kekurangan ataupun membuat pinjaman.

e.            M. N. Siddiqi (1931 M -   )
Muhammad Nejatullah Siddiqi Lahir di Gorakhpur, India. Merupakan Profesor Ekonomi, International Center for Research in Islamic Economics, University King AbdulAziz, Jeddah. Berpengalaman sebagai Profesor dan Dekan, Jabatan Pengajian Islam, Aligarh University. Beliau juga pernah menjawat jawatan Reader in Economics, University Aligarh dan Editor Jurnal Islamic Thought serta sebagai Editor Journal of Research in Islamic Economics (Jeddah). Kepakaran beliau adalah dalam bidang agama, ekonomi Islam dan perbankan Islam. Beliau banyak memberi sumbangan keilmuan dengan menulis dan menterjemah buku serta menulis kertas kerja yang berkaitan dengan Islam dan ekonomi Islam. Di antara karya beliau yang utama ialah; Some Aspects of Islamic Economy, Economic Enterprise in Islam, Banking Without Interest, Muslim Economic Thinking, Issues in Islamic Banking dan Economics: An Islamic Approach.

e.                  M. Umer Chapra (1933 M -  )
Lahir di Arab Saudi dan merupakan penasihat merangkap penyelidik Islamic Research and Training Institute (IRTI) di Islamic Development Bank, Jeddah. Penasihat Kanan Ekonomi, Saudi Arabian Monetary Agency (SAMA) selama 35 tahun. Pensyarah di University of Winsconsin dan University of Kentucky, Amerika Syarikat, Institute of Developments Economics, Pakistan dan Islamic Research Institute di Pakistan. Beliau juga pakar dalam bidang agama, ekonomi Islam dan perbankan Islam. Beliau mencetuskan banyak idea baru dalam ekonomi Islam melalui penulisannya seperti Objectives of Islamic Economic Order, The Islamic Welfare State and Its Role in the Economy, Towards a Just Monetary System, Contribution to Islamic Economy Theory: A Study in Social Economics, Islam and the Economic Challenge, Islam and Economic Development dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment