Tuesday, June 12, 2012

Ekonomi Islam 4

Kuliah 4:

SEJARAH PERKEMBANGAN EKONOMI ISLAM



4.1               Perkembangan
Amalan ekonomi Islam telah muncul sejak zaman pemerintahan Nabi Yusuf a.s. hingga ke zaman junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. (Sarimah Hanim, 2006:5) dan seterusnya hingga ke akhir zaman. Sobri (1989:44-51) telah membahagikan sejarah perkambangan ekonomi Islam kepada 3 tahap iaitu tahap kesuburan, kemerosotan (kemunduran) dan kebangkitan.

4.1.1          Tahap Pertama: Pertumbuhan
Tahap percambahan dan kesuburan ekonomi Islam bermula pada zaman Rasulullah s.w.w. Amalan ekonomi pada masa ini amat terhad dan tertumpu kepada penternakan dan perniagaan sahaja. Ijtihad ulama Islam hanya tertumpu kepada penjelasan hukum muamalat dan penyelesaian masalah ekonomi pada masa itu sahaja. Tindakan para ulama itu telah menyebabkan prinsip-prinsip ekonomi dalam Islam gagal disingkap secara menyeluruh. Pada abad ke 2 hijrah, para ulama Islam telah menghasilkan beberapa penulisan terutamanya kitab-kitab fiqh yang membincangkan tentang kegiatan ekonomi secara terperinci sesuai dengan arus perkembangan ekonomi yang menuntut kepada ijtihad ulama bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kegiatan perekonomian. Di antara kitab-kitab fiqh yang mengandungi beberapa aspek ekonomi adalah seperti berikut;
a.            Golongan Mazhab Maliki.
i.              Al-Mudawanat oleh Imam Malik.
ii.             Al-Jamil al-Quran oleh Abdullah al-Qurtubi.
iii.            Bidayah al-Mujahid wal Nihayat al-Muqtasid oleh Ibn Rusyd.
b.            Golongan Mazhab Hanbali.
i.              Ahkam al-Quran oleh al-Jassas.
ii.             Al-Mabsut oleh al-Sarkhasi.
iii.            Tuhfat al-Fuqaha oleh al-Samarqandi.
iv.           Al-Muhalla oleh Ibn Hazm.
v.            Al-Mughni oleh Imam Muhammad Ibn Qudamah.
vi.           Al-Fatawa al-Kubra Ibn Taimiyah.

c.             Golongan Mazhab Syafie.
i.             Al-Umm oleh Imam Syafie.
ii.            Al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi.
iii.           Al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti.
Selain dari kitab-kitab di atas, terdapat juga beberapa kitab yang membincangkan tajuk-tajuk ekonomi secara khusus seperti isu riba, monopoli, sistem harga, syarikat, pasaran dan sebagainya dengan merujuk kepada dalil al-Quran dan al-Sunnah iaitu;
i.                    Al-Kharaj oleh Abu Yusuf.
ii.                 Al-Kharaj oleh Yahya Ibn Adam.
iii.               Al-Amwal oleh Abu Ubaid Ibn Salam.
iv.               Al-Kasb fi ar Rizq oleh Imam Muhammad al-Syaibani.
v.                 Muqaddimah oleh Ibn Khaldun.
vi.               Al-I’bar oleh Ibn Khaldun.
vii.             Al-Hisbah fil Islam oleh Ibn Taimiyah.
viii.           Al-Siyasah al-Syariah fil Islah al-Ra’i wal Ra’yah oleh Ibn Taimiyah.

4.1.2          Tahap Kedua: Kemerosotan (Kemunduran)
Perkembangan Ekonomi Islam mula terhalang apabila berlaku perpecahan di kalangan masyarakat dan negara Islam. Bermula pada abad ke 4 hijrah (abad 12 masihi), para pemerintah dan masyarakat awam terlibat dengan kegiatan fitnah-memfitnah (Sobri, 1989: 48). Era kemerosotan ini berpanjangan selama enam abad lamanya. Ia bermula dari kehancuran kota Baghdad pada 22 Januari 1258 M (15 Muharram 656 H) dan kejatuhan empayar Abbasiyah semasa pemerintahan Musta’sim serta berakhir dalam lingkungan pertengahan abad ke 19 M (abad ke 13 H). Era ini juga menyaksikan kemunculan empayar Uthmaniyah yang ditubuhkan pada tahun 1299 M oleh seorang pemimpin yang berbangsa Turki yang dikenali sebagai Uthman 1 sehingga kejatuhannya ke tangan koloni Eropah.

Pada masa ini umat Islam berada dalam kegelapan kerana hilang punca dalam menghadapi isu dan permasalahan semasa dalam semua aspek keperluan hidup termasuklah dalam aspek ekonomi dan kewangan. Peluang ini telah diambil oleh sarjana barat untuk mengeksploitasi dan memutarbelit fakta-fakta ilmu pengetahuan yang telah dipelopori oleh sarjana Islam. Mereka mengutarakan idea-idea baru yang kebanyakannya perlu kepada penelitian dan pengkajian yang mendalam dalam aspek fiqh dan syariah kerana tidak mempunyai ayat (nas) yang jelas sama ada dalam al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ ataupun al-Qiyas seperti dalam aspek pasaran saham.

Akibat dari perbezaan politik ini timbul perpecahan di kalangan umat Islam sehingga menjangkau kepada semua aspek kehidupan mereka seperti keagamaan, keilmuan, ekonomi dan sosial sehingga menyebabkan mereka lemah. Dalam masa yang sama umat Islam berdepan dengan cabaran luaran hasil dari serangan Monggol dan siri Perang Salib. Tidak kurang juga kerana merebaknya kefahaman sufi dan amalan zuhud. Bahkan akhirnya negara umat Islam banyak yang jatuh di bawah penjajahan negara Barat. Keadaan ini menyebabkan tradisi kelimuan menjadi beku dengan meluasnya amalan taklid dan sekaligus menutup pintu ijtihad. Ekonomi Islam menjadi tersimpan di kitab-kitab lama tanpa diamalkan. Kemajuan ekonomi Barat menyebabkan umat Islam menggunakan sistem ekonomi Barat dalam kehidupan mereka.

a.            Faktor-Faktor kemerosotan ekonomi Islam ialah;
i.             Perpecahan empayar Islam
Kerajaan Abbasiyah telah berpecah kepada beberapa wilayah (imarah) yang  memencilkan diri dari pemerintahan pusat (khalifah) dan mempunyai kuasa tersendiri. Ada sesetengah wilayah kelihatan masih bernaung di bawah kerajaan pusat tetapi sebenarnya bebas memerintah kawasan mereka dengan tidak mengindahkan kerajaan pusat malah sentiasa memberontak menentang kerajaan pusat. Perebutan kuasa ini telah melalaikan umat Islam dari meneruskan usaha mengkaji dan mendalami ilmu-ilmu kehidupan serta mencipta teori-teori baru bersesuaian dengan keperluan semasa tetapi tidak bercanggah dengan perundangan Islam.  Ini termasuklah disiplin ekonomi dan segala cabangnya.

ii.            Penjajahan luar
Apabila negara umat Islam tidak stabil, musuh mengambil kesempatan untuk memusnahan kekuatan Islam dengan berbagai cara. Di antara musuh-musuh Islam pada masa itu ialah bangsa Georgia, Armenia dan Alani di sebelah utara, tentera Salib di sebelah barat dan di sebelah timur pula ialah kerajaan Monggol (Tartar). Suatu keadaan yang menyebabkan umat Islam terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa yang cukup untuk membina kekuatan sendiri dari sudut ilmu pengetahuan.
               
iii.           Isu tertutup bidang ijtihad
Tertutupnya pintu ijtihad bermaksud;
·                     Para ulama tidak mengkaji isu-isu semasa dan seterusnya tidak mengeluarkan ijtihad untuk menentukan hukum ke atas isu semasa tersebut. Atau
·                     Para ulama hanya berpegang kepada ijtihad-ijtihad terdahulu (bertaklid) dengan alasan semua perkara yang penting telah dibincangkan dengan jelas dan tidak memerlukan ijtihad lagi.
Isu ini berpunca dari perpecahan di kalangan umat Islam yang berbilang bangsa dan usaha-usaha individu untuk mempromosikan mazhab masing-masing untuk kepentingan peribadi.  Taklid berlaku kerana;
·                     Pengkajian perundangan Islam telah lengkap di mana empat mazhab telah dikenal pasti dapat membantu Islam untuk menghadapi segala perubahan yang berlaku sepanjang zaman. Mazhab-mazhab tersebut ialah Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali dan umat Islam dibenarkan mengikuti empat mazhab tersebut.
·                     Penurunan kuasa khalifah Abbasiyah kepada menteri di setiap wilayah (wazir) yang kebanyakannya bermazhab Syiah. Mereka ini lebih berminat untuk mengukuhkan kuasa mereka dan mencari penyokong dengan mempromosikan mazhab mereka daripada membincangkan masalah semasa.
·                     Perpecahan empayar Abbasiyah membawa kepada setiap wilayah memilih mazhab masing-masing mengikut cita rasa mereka. Contohnya Mesir (Egypt) menggunakan ajaran mazhab Syafie, Turki dan India menggunakan mazhab Hanafi.
·                     Terdapat segelintir individu yang tidak mempunyai kelayakan untuk mengeluar ijtihad mengaku hendak berbuat demikian.
Situasi ini memberi ruang kepada sistem undang-undang barat menular masuk ke dalam institusi perlembagaan kerajaan Islam pada ketika itu khususnya untuk mengatasi masalah semasa yang tidak ada peruntukan secara terperinci dan jelas dalam al-Quran, Sunnah dan ijtihad ulama terdahulu. Contohnya isu semasa tersebut ialah pelaksanaan institusi kewangan selain Bait al-Mal, pasaran saham, modal dan pasaran masa depan. Keadaan ini secara langsung menjejaskan pemikiran dan pengkajian ke atas sistem ekonomi Islam dan cabangnya. Malahan umat Islam tersepit di antara nereka yang tidak mahu melanggar syariah atau tidak dapat mengejar arus pembaharuan dan kemajuan khususnya dalam sektor kewangan.

iv.           Pengaruh Barat di dunia Islam
Amalan taklid menyebabkan orang ramai terkeliru terhadap Islam. Oleh itu mereka menoleh ke Barat untuk mencari jawapan yang diperlukan pada masa itu. Walaupun ada perbincangan dan hasil usaha para fuqaha terdahulu khususnya dalam bidang ekonomi tetapi ianya masih berbentuk fiqh. Ini menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan dalam realiti sistem ekonomi moden. Kemunculan Revolusi Industri pada abad ke 18 Masihi di Barat telah menarik minat umat Islam dalam usaha mengembangkan modal yang sedia ada. Terdapat banyak teori baru yang diperkenalkan oleh sarjana Barat seperti teori ”interest” adalah keuntungan, sewa dan upah kepada penggunaan modal kewangan sehingga ada di kalangan umat Islam telah menghalalkan pembayaran dan penerimaan ”interest” dalam pinjaman pelaburan atau pengeluaran yang produktif.

Umat Islam bukan sahaja terpengaruh dengan teori ekonomi moden (Barat), malahan mereka telah terikut-ikut dengan semua sistem kehidupan masyarakat Barat sama ada dari segi politik, sosial, pendidikan, kekeluargaan, kehakiman dan sebagainya. Para ulama dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan kerana mereka menganggap kemajuan adalah pembaratan.

4.1.3          Tahap Ketiga: Kebangkitan semula
Era kebangkitan bermula pada tahun 1930an dengan berkembangnya pemikiran mengenai asas falsafah ekonomi Islam dan prinsip-prinsipnya. Ini menjadi landasan kepada bentuk-bentuk pengkajian yang lain. Dalam tempoh ini perkembangan pemikiran ekonomi Islam adalah dalam bentuk pengumpulan fakta khususnya hasil dari percubaan-percubaan yang dilakukan untuk membuktikan ekonomi Islam adalah praktikal seperti penubuhan bank percubaan berlandaskan Islam di Mitt Ghamr, Mesir pada tahun 1963. Ia diikuti pula dengan penubuhan Bank Sosial Nasser di Mesir pada tahun yang sama. Gerak kerja pengkajian ekonomi Islam oleh para sarjana boleh dibahagikan kepada 3 jenis kajian, iaitu kajian sebahagian, kajian menyeluruh dan kajian sejarah (al-Fanjari, 1988: 31-34 dan Sobri, 1989: 49-51).

Kajian sebahagian lebih menumpu kepada penghuraian bahagian-bahagian tertentu dalam ekonomi Islam seperti riba, harga, urusniaga, syarikat insuran, hak milik swasta dan awam, kebebasan ekonomi, hisbah dan lain-lain. Kajian menyeluruh  adalah bertujuan untuk menyingkap prinsip dan strategi ekonomi Islam secara menyeluruh. Di antara kajian tersebut ialah; Al-Iqtisad al-Islami wal Iqtisad al-Mu’asyir oleh M. Abdullah al-Arabi, Al-Iqtisaduna oleh M. Baqir al-Sadr dan Nizamul Islam al-Iqtisad oleh Muhammad al-Mubarak. Manakala kajian sejarah pula merupakan analisis sistem ekonomi mengikut tempoh masa atau pun mengikut tempoh tertentu. Di antara contoh kajian tersebut adalah;
i.                    Sistem Ekonomi Pada Zaman Pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab oleh Ahmad al-Shafie.
ii.                  Padangan Ibn Taimiyah Terhadap Campurtangan Kerajaan Dalam Ekonomi oleh Dr. Muhammad al-Mubarak
iii.                Pemikiran Ekonomi Dalam Muqaddimah Ibn Khaldun oleh Muhammad Ali Nasyat.

a.                   Faktor-faktor kebangkitan pemikiran ekonomi Islam ialah;
i.                    Kesedaran dakwah untuk kembali melaksanakan Islam secara menyeluruh dalam segala aspek kehidupan.
ii.                  Krisis ekonomi dunia pada tahun 1930an, 1940an dan 1950an.
iii.                Pendedahan minda sarjana Islam terhadap kebangkitan sistem sosialis.
iv.                Revolusi Komunisme di Rusia.
v.                  Kelahiran para sarjana yang mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi moden dan ilmu fiqh.

b.                  Faktor-faktor kecemerlangan ekonomi Islam
Secara umumnya terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan ekonomi Islam sehingga kini. Di antaranya ialah;
i.                    Kemerdekaan yang dicapai oleh kebanyakan negara Islam selepas Perang Dunia Kedua dan juga keperluan untuk meningkatkan ekonomi negara berdasarkan Islam telah mendorong pembangunan ekonomi Islam di peringkat awal perkembangannya.
ii.                  Keruntuhan modal dan kemiskinan teruk dihadapi oleh masyarakat Islam (kesan daripada penjajahan) akhirnya membawa kepada kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada Islam dan melaksanakannya dalam seluruh kehidupan.
iii.                First International Conference on Islamic Economics yang diadakan di Makkah pada Februari 1976 merupakan pemangkin di peringkat antarabangsa dan membawa kepada pertumbuhan pesat kajian ekonomi Islam.
iv.                Beberapa institusi juga telah memainkan peranan penting ke arah pembangunan ekonomi Islam. Di antara institusi terpenting itu ialah Association of Muslim Social Scientists, Leicester, United Kingdom (1973); Islamis Economics Research Bereau, Dhaka, Bangladesh (1976); Centre of Research in Islamic Economics, King Abdulaziz University, Jeddah (1977).
Pelaksanaan idea Ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme Barat akhirnya mendatangkan masalah kepada negara dan umat Islam. Mereka berusaha untuk mencari alternatif Islam dalam penyelesaian masalah ekonomi. Gema Kebangkitan Islam yang berlaku di era 1970an untuk mengembalikan umat Islam kepada Cara hidup Islam yang sebenar telah mencetuskan dorongan baru kepada intelektual Islam untuk mengkaji bidang politik, ekonomi dan sosial selaras dengan ajaran Islam. Islamic Development Bank ditubuhkan pada tahun 1974 hasil dari keputusan Organization of Islamic Conference (OIC). Kebangkitan semula pemikiran ekonomi Islam telah menyebabkan berlangsungnya seminar-seminar mengenai ekonomi Islam seperti First International Conference on Islamic Economic di London 1976, The Muslim World and Future Economic Order Conference di London 1977, International Seminar on the Monetery and Fiscal Economic di Makkah 1978, The Seminar on Islamic Economics di Dacca 1979, Seminar on Islamic Banking di Dacca 1980 dan The International Seminar on Monetery and Fiscal Economics of Islam di Islamabad 1981.

Dalam pada itu Pakistan dan Iran serius melaksanakan agenda ekonomi Islam hasil dari Dasar Islamisasi. Pada tahun 1979 Pakistan melaksanakan percukaian Islam, institusi zakat dan mudharabah. Begitu juga dengan Sudan. Malaysia pula mulai tahun 1983 telah menggerakkan pelaksanaan sistem kewangan Islam melalui penubuhan Bank Islam, Takaful Islam dan skim Perbankan Tanpa Faedah di bank-bank konvensional.


4 comments:

  1. Salam..nak mintak kebenaran copy sebagai bahan assignment saya..perkongsian yang sangat berguna.

    ReplyDelete
  2. salam, boleh tau tak mana dapat sumber rujukan ni. saya nak buat research.

    ReplyDelete
  3. Saya copy ye untuk buat research

    ReplyDelete