Saturday, November 16, 2019


ISC402 L9
BAB 9

 

KEMAHIRAN SOSIAL ISLAM


Setiap individu manusia perlu memiliki kemahiran sosial. Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan. Kemahiran sosial adalah sebahagian daripada kepintaran akal seseorang individu. Begitu pun faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif boleh mematangkan seseorang dan memberikan tahap kemahiran sosial yang baik dalam interaksi. Punca seseorang kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan atau pun  tiada pendedahan yang wajar untuk mereka mengatasinya.
Kemahiran sosial Islam perlu dimiliki kerana ia mampu mencapai matlamat kita kepada orang lain dan menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta berupaya untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang.
Apabila berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya kita cuba berkomunikasi dengan mereka dengan bahasa (perkataan) verbal dan juga bukan verbal seperti isyarat tangan, ekspresi muka, tahap intonasi suara, gaya berjalan dan sebagainya. Dari satu segi yang lain, individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti anti sosial dan gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial.
Kemahiran sosial yang dimiliki dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuh aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat dengan;
  • hubungan yang lebih baik dan boleh dipercayai di kalangan rakan sebaya dan rakan  sekerja dan lain-lain.
  • pencapaian lebih baik dengan membuka lebih banyak peluang dan potensi untuk kerjaya, perniagaan atau kehidupan melalui jaringan kenalan yang ada.
  • meningkatkan harga diri, kemahiran menyelesaikan masalah, mengendalikan stress dengan berkesan dan kesejahteraan.
  • meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat  dan menghormati pandangan orang lain.
  • Boleh memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan serta mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka 
    Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan;
  • suasana tegang dan cemas dalam interaksi
  • tidak mampu menerima perbezaan pendapat
  • mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul
  • mencari keburukan dan kesalahan orang lain.  
    Dengan ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi. Mereka juga mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai pemimpin berbanding individu yang tidak berupaya menunjukkan tahap keyakinan diri yang baik atau tidak berani memberikan pendapat dan idea kreatif.
Kemahiran sosial dapat diperolehi melalui;

  • Komunikasi dan melahirkan perasaan; Bertanya, berbincang mengenai aktiviti harian bagi menggerakkan perbualan.

  • Melibatkan diri dalam kumpulan; Mengambil bahagian dalam perbincangan kerja atau keluarga dan membuat keputusan.

  • Tunjukkan inisiatif; Berikan galakan kepada minatnya, benarkan kesilapan dan beri peluang berfikir secara kritikal ketika menjawab soalan.

  • Menjaga diri sendiri dan orang lain; Berakhlak, beretika dan beradab tertib dengan menunjukkan empati, menghargai dan menghormati orang lain dan berbudi bahasa.

  • Ketegasan; Berlatih mengawal intonasi  dan  kedudukan tubuh (berdiri, berjalan atau duduk) supaya nampak baik dan meyakinkan. Bersuara mempertahankan diri tanpa menggunakan keganasan atau penghinaan.

  • Berfikiran terbuka dan berpengalaman luas; Berikan pendedahan kepada benda, tempat, orang, dan aktiviti baharu yang boleh meluaskan minat supaya mereka juga akan mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain.

 
Kepentingan membina perhubungan dan jaringan sosial melalui dakwah telah diamalkan pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi dengan tujuan mempertingkatkan seruan Islam.
“... dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan- perkataan yang baik ...”
(Al-Baqarah: 83)
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang berlaku zalim di antara mereka...”
(Al-Ankabut: 46)
 
Hadith Rasulullah yang bermaksud; 
                                                                                                                                                                                                                                                   "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain". (Hadith Riwayat al-Tabarani).                                                                                                                             

Sunday, November 3, 2019

L8

ISC402 L8




                                                                                     BAB 8


KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH
Kemahiran penyelesaian masalah diperlukan apabila wujud sesuatu rintangan dalam mencapai matlamat. Penyelesaian masalah merupakan keupayaan menggunakan minda untuk mencari idea dan langkah-langkah mengatasi kekurangan atau halangan yang ada untuk mencapai objektif yang dihasratkan. Menyelesaikan masalah dengan bijak adalah penting dalam kehidupan seharian kita kerana dapat memajukan lagi kehidupan kita dan menjadikan kehidupan kita lebih selesa dan selamat.

Menyelesaikan masalah adalah satu proses mental untuk mengatasi halangan yang sedang dihadapi berdasarkan tujuan tertentu. Menyelesaikan sesuatu masalah boleh dijadikan sebagai cabaran kepada seseorang. Dengan ini seseorang individu akan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah sekiranya terdesak untuk menanggani keadaan yang tidak menyenangkan. Proses penyelesaian masalah bermula dengan menyedari masalah, mengenal pasti dan memahami masalah. Seterusnya, meneroka pilihan penyelesaian masalah dan meninjau kesan akibat pilihan penyelesaian masalah. Kemudian baru memilih penyelesaian masalah yang terbaik dan melaksanakannya. Apabila terdapat banyak kesan negatif, maka pilihan itu hendaklah dipertimbangkan semula ataupun ditolak.
Setiap kita mesti mengetahui cara menghadapi masalah supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih baik. Strategi untuk mengurus masalah ialah;
  • Kawal emosi
  • Jauhkan diri dari situasi yang boleh menimbulkan kemarahan
  • Luahkan perasaan secara asertif (kawalan diri)
  • Kenal pasti sebab berlakunya konflik. Siapakah yang bertanggungjawab? Sekiranya perlu, jauhkan diri dari orang yang menimbulkan konflik dan memikirkan cara dan merancang strategi untuk menyelesaikannya.
  • Bertanya kepada orang tersebut sama ada dia mempunyai masa untuk berbincang.
  • Beritahu mereka bagaimana perasaan kita (contohnya: Saya sangat sedih ketika ini)
  • Dengar. Benarkan orang itu memberi maklum balas.
  • Berbincang tentang alternatif lain untuk menyelesaikan konflik tersebut.
  • Teruskan untuk berbincang dengan tenang
  • Sekiranya konflik itu tidak boleh diselesaikan atau kemarahan anda semakin bertambah, beritahu orang itu yang kita perlu beredar dan ingin membicarakan tentang hal tersebut kemudian. 
  • 8.1 KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH KENDIRI
  • Zahirkan perasaan dan tindakan kita secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas hak orang lain. Menghormati diri kita dan diri orang lain. Berkelakuan asertif iaitu kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam kehidupan ini masalah dan konflik tidak dapat dielakkan. Gangguan emosi boleh wujud dengan segera disebabkan masalah perhubungan. Dengan bersikap asertif memperkatakan sesuatu secara berpatutan dan bertindak secara menghormati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni sesama kita. Menyedari bahawa kita adalah hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, menyedari bahawa kita mempunyai beberapa kekurangan dan hidup ini sebagai "sharing" atau perkongsian sesama kita.
  • 8.2 KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH ORGANISASI
  • Lazimnya, isu-isu dalam sesebuah organisasi berpunca daripada masalah-masalah biasa yang berkisar pada penglibatan dan pelaksanaan. Punca setiap masalah adalah kurangnya kesedaran diri, sama ada dalam kalangan pasukan kepimpinan atau kakitangan, atau kedua-duanya secara menyeluruh.
  • Mengadakan mesyuarat yang melibatkan semua jabatan sekali atau dua kali sebulan adalah cara baik untuk berkongsi perkembangan (termasuk kejayaan dan cabaran) di jabatan masing-masing.
  • Para pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea bagaimana jabatan-jabatan mereka boleh bekerjasama bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil yang memberangsangkan. Dengan cara ini, mereka betul-betul dapat mengeluarkan anak buah mereka daripada gelembung pasukan dan memberi perspektif yang lebih meluas tentang sumbangan mereka kepada organisasi secara keseluruhannya.
  • Mengadakan mesyuarat yang melibatkan semua jabatan sekali atau dua kali sebulan adalah cara baik untuk berkongsi perkembangan (termasuk kejayaan dan cabaran) di jabatan masing-masing. Pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea bagaimana organisasi mereka boleh bekerjasama bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil yang memberangsangkan. Dengan cara ini, mereka dapat mengeluarkan pekerja mereka daripada masalah organisasi dan memberi perspektif yang lebih luas tentang sumbangan mereka kepada organisasi secara keseluruhannya.
  • Pemimpin yang efektif melibatkan diri dengan pasukan sepanjang masa. Mereka sentiasa memberi sokongan yang diperlukan dan mudah dihubungi untuk mendapatkan nasihat dan panduan. Mereka perlu bersifat proaktif dalam mengenal pasti apa yang diperlukan oleh kakitangan untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.
  • Mungkin pahit untuk ditelan tetapi apabila semua orang diam seribu bahasa, inilah masanya pemimpin mengeluarkan kata-kata yang berani.
  • Mungkin ada sesetengah pekerja yang kurang selesa berbicara tentang kesukaran kerja yang dialami dan mengapa ia timbul, tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengemudi organisasi anda untuk mencapai penyelesaian. Selesaikan masalah itu. Jangan lari dari masalah; ia hanya akan meruncingkan suasana dan menjadikannya lebih sukar untuk ditangani.
  • Tunjukkan penghargaan kepada sumbangan kakitangan anda dengan kata-kata seperti, “Terima kasih Nurul Aswani kerana menyediakan slaid itu untuk saya atau bagus kerja kamu Faizzudin, saya sangat menghargainya.” Itu sudah cukup untuk membuat pekerja anda merasa dihargai. Atau anda boleh juga berbelanja mereka makan tengah hari di luar.
  • Sebagai seorang pemimpin, anda boleh menunjukkan yang anda prihatin dalam pelbagai cara, dan yang paling mudah adalah dengan memberikan pujian ikhlas kepada kakitangan atau rakan sekerja setiap hari. Biasakan diri membuatnya tetapi ia haruslah ikhlas dan spesifik. Anda mungkin akan terkejut dengan perbezaan yang terhasil.
  • Gunakan perkataan ‘kita’ dan ‘kami’ sebanyak mana yang mungkin dalam pelbagai cara yang membina dan positif dan letakkan orang lain sebagai tumpuan utama.
  • Syarikat organisasi mendapat kontrak yang besar? Beritahu kejayaan ahli pasukan yang mendapatkan kontrak tersebut ke seluruh organisasi.
  • Kegagalan patut ditanggung bersama, seperti juga kejayaan. Tetapi apabila keadaan menjadi sukar, kakitangan akan memerlukan pemimpin yang membuat keputusan dan pemimpin yang baik adalah mereka yang tidak menuding jari kepada orang lain, tidak kira dalam apa jua keadaan.

 


 

ISC402 L7




BAB 7

KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM


 7.1 KETAATAN
Prinsip utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak.

Maksud firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“.

Maksud hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Al Khaliq”. (Hadith Shahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”. (Riwayat Muslim)

Namun begitu ketaatan pada pimpinan organisasi boleh berlaku apabila;
 Organisasi itu milik pemerintah.
 Organisasi bukan milik pemerintah (NGO), ketaatan tidak sama seperti pemerintah.
 
Hadith di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi  sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan dirinya sendiri.

7.2 EMOSI
Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi, membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah, bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan, iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal digabungkan dengan sempurna.

7.3 PENAMPILAN
Pengurusan Diri
Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang pengeluaran atau pun perkhidmatan. Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan  orang yang patut dihormati kerana usahanya membentuk masa hadapan kita.

Mengurus Masa
Bagi menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, anda mesti berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih panjang.

Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja.

Kemahiran Berfikir dan Belajar
Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca, membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati segala usaha kita.

 7.4 PERWATAKAN
(Rujuk Artikel Sebelum ini)
7.5 KEWANGAN
Bagi orang Islam, Nabi Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.
Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan tanggungjawab. 4 strategi pengurusan kewangan Islam ialah;
1. Mencari Rezeki Yang Halal. Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” Rezeki dan limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.
2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah. Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insurans konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.
3. Melabur Tanpa Berhutang. Matlamat pelaburan kita ialah untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan pinjaman mendedahkan kita kepada tindakan saman atau diisytiharkan muflis bagi kes yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya kita melabur dalam melabur dalam saham amanah yang patuh Syariah.
4. Menunaikan Zakat dan Bersedekah (Infaq). Kita mesti melaksanakan tanggungjawab zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang kita miliki telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul) dengan kadar 2.5% daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.

 

Saturday, October 19, 2019

ISC402 L6

ISC402 L6

 

KEMAHIRAN KOMUNIKASI

 

Komunikasi amat penting dalam kehidupan seharian. Walau di mana seseorang itu berada, kepakaran dan pengetahuan bagaimana untuk berkomunikasi amat penting bagi menjamin kesefahaman antara satu sama lain. Komunikasi berlaku apabila sebarang maklumat dipindahkan daripada diri seseorang kepada orang lain untuk menerima maklumat yang ingin disampaikan. Kedua belah pihak perlu mempunyai persefahaman agar maklumat tersebut dapat dikongsi bersama.

 

6.1 PENGERTIAN KOMUNIKASI

Dari segi bahasa, komunikasi berasal dari perkataan Latin, ”comunicare yang bererti “to make common”.  The Oxford English Dictionary mendefinisikan komunikasi sebagai The imparting, conveying, or exchange of ideas, knowledge, information, etc“. (Pemberian, penyampaian atau pertukaran idea, pengetahuan, informasi dsb). Pengertian komunikasi yang paling popular dan lengkap diberikan oleh Harold Lasswell; Who says what in which channel to whom and with what effect”. (Siapa mengatakan apa melalui saluran mana kepada siapa dan dengan pengaruh apa). Iaitu komunikator (who), pesanan/mesej (what), media atau saluran (channel), komunikator (whom), dan pengaruh atau kesan (effect). Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, komunikasi ditakrifkan sebagai perhubungan secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain. Komunikasi adalah satu proses apabila seseorang individu yang mempunyai kepentingan bagi menyampaikan maklumat secara verbal atau non verbal yang akan mempengaruhi tingkah laku orang lain.

    1. JENIS KOMUNIKASI

  1. Komunikasi verbal: dengan kata-kata meliputi aspek-aspek berikut;

a.  Perbendaharaan kata-kata (vocabulary). Komunikasi tidak akan berkesan apabila mesej disampaikan dengan kata-kata yang tidak difahami, oleh itu kata-kata penting dalam berkomunikasi.

  1. Kepantasan (racing). Komunikasi akan lebih berkesan dan berjaya apabila kepantasan tutur bicara dapat diatur dengan baik, tidak terlalu cepat atau terlalu lambat.
  2.  Intonasi suara: Akan mempengaruhi makna mesej secara dramatik sehingga mesej akan menjadi lain ertinya bila diucapkan dengan intonasi suara yang berbeza. Intonasi suara yang tidak profesional merupakan antara halangan dalam berkomunikasi.

  1. Humor. Dapat meningkatkan keceriaan. Dugan (1989), mengatakan bahawa ketawa dapat membantu menghilangkan stress dan hiba. Humor merupakan satu selingan dalam berkomunikasi. Ketawa mempunyai hubungan fizikal dan spritual terhadap penerimaan mesej.

  1. Komunikasi Non Verbal. Penyampaian mesej tanpa kata-kata dan komunikasi non verbal memberikan erti pada komunikasi verbal (boleh difahami). Terdiri daripada:

a. Ekspresi wajah/muka. Wajah merupakan sumber yang kaya dengan komunikasi, kerana ekspresi wajah cerminan suasana emosi seseorang.

b. Kontak mata. Merupakan isyarat semulajadi untuk berkomunikasi. Dengan kontak mata (bukan tenung) semasa berinterakasi atau soal jawab bererti seseorang itu terlibat dan menghargai orang yang berbicara dengannya. Ia sanggup memerhati dan bukan sekadar mendengar. Melalui kontak mata juga memberikan kesempatan atau peluang pada orang lain untuk memerhati yang lain.

c. Sentuhan. Komunikasi sentuhan lebih bersifat spontan daripada komunikasi                        verbal. Beberapa mesej seperti perhatian yang sungguh-sungguh, dorongan emosi, kasih sayang atau simpati dapat dilakukan melalui sentuhan.

d. Keadaan/kedudukan tubuh badan (Postur tubuh) dan gaya berjalan. Cara seseorang berjalan, duduk, berdiri dan bergerak memperlihatkan ekspresi dirinya. Postur tubuh dan gaya berjalan merefleksikan emosi, konsep diri dan tahap kesihatannya.

e. Suara (Sound). Rintihan, menarik nafas panjang, dengusan, tangisan juga salah satu ungkapan perasaan dan fikiran seseorang yang dapat dijadikan komunikasi. Bila dikombinasikan dengan semua bentuk komunikasi non verbal lainnya seperti dengus atau suara dapat menjadi pesan yang sangat jelas.

f. Gerak isyarat. Dapat memperteguh/memperkukuh dialog/komunikasi. Menggunakan isyarat sebagai sebahagian dari komunikasi seperti menghentak-hentak kaki atau mengerakkan tangan semasa berbicara/bertutur menunjukkan seseorang dalam keadaan stress atau buntu atau sebagai usaha untuk menghilangkan stress.

 

    1. Komunikasi Intrapersonal;
      Berlaku dalam diri sendiri. Tahap kemampuan diri sebelum berkomunikasi dengan  orang lain. Meliputi berfikir, persepsi dan menilai. Ia asas proses komunikasi dengan membentuk mesej (enkod) dalam diri sesuai dengan konteks sebelum menghantar dengan simbol lisan dan bukan lisan kepada penerima. Satu proses memberi makna dalam diri individu (Sheldtesky, 2000). Satu proses komunikasi dalam diri, dialog dalaman, individu menyesuaikan diri dengan persekitarannya, persepsi yang ada dalam diri individu. Proses ini berlaku spontan/dirancang dalam diri sendiri. Faktor yang mempengaruhi komunikasi intrapersonal; kebolehan diri, perasaan, kepercayaan, penampilan, peranan sosial, psikologi dan kemampuan teknikal. Ia sebagai asas kepada komunikasi yang seterusnya.
       
    2. Komunikasi Interpersonal; Bertujuan untuk berkongsi maklumat, menyelesaikan masalah, menanggani konflik, memahami diri sendiri dan orang lain serta mengukuhkan hubungan. Proses interaksi yang dipilih, sistematik, unik dan berterusan antara individu untuk maksud bersama. Ciri-ciri; melibatkan sumber dan penerima, secara bersemuka, jarak yang dekat, komunikasi lisan dan tanpa lisan, asas hubungan sosial.
       
       
    3. KAEDAH KOMUNIKASI

  • Penyampai perlu jelas mengenai maklumat dan tujuan yang ingin disampaikan. Bahan mestilah tersusun, ringkas, padat, sesuai dengan tahap pemikiran pendengar dan jelas supaya mudah difahami.
  • Penyampai perlu terlebih dahulu memahami situasi, keadaan dan jiwa pendengar sebelum pendengar memahami diri penyampai maklumat.
  • Penyampaian sentiasa segar kepada pendengar. Penyampai boleh menambah beberapa bahan yang menarik seperti statistik, kata-kata hikmah, carta dan seumpamanya di samping penggunaan teknologi terkini yang sesuai.
  • Menggunakan teknik pengucapan yang baik dengan gaya yang menarik seperti mengawal kadar kelajuan sebutan perkataan dan intonasi suara, memilih bahasa dan istilah yang sesuai, ekspresi muka dan hubungan mata antara penyampai dan pendengar.
  • Kredibiliti adalah syarat penting komunikasi. 2 cara untuk memperoleh kredibiliti: i. Penutur mesti yakin dan percaya apa yang disampaikan berdasarkan sumber yang sahih, fakta yang tepat dan maklumat yang betul. ii. Penutur terlebih dahulu melakukan apa yang  diperkatakan supaya orang yang mendengar akan lebih terkesan di hati.

    1. ETIKA KOMUNIKASI DALAM ISLAM

  1. Jujur dan terus terang. Dengan keyakinan dan perasaan yang sama-sama dimiliki. Jika “tidak” bererti “Tidak; Tidak mengerti katakan tidak mengerti dan orang yang tidak setuju mengungkapkan ketidaksetujuan itu secara langsung. Bukan berselindung di sebalik kata-kata.
  2. Menjaga keharmonian hubungan sosial. Menjaga keamanan dan keharmonian sosial adalah lebih beretika daripada menyatakan kepentingan dan pemikiran semata-mata.
  3. Tidak menganggu proses komunikasi. Dengar dahulu apa yang hendak disampaikan dan jangan sesekali menyampuk atau memotong sebelum sesuatu idea atau mesej selesai disampaikan.
  4. Menjauhi perbahasan atau perdebatan. Maksud hadith; Aku jamin rumah di dasar Syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar dan aku jamin rumah di tengah Syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau dan aku jamin rumah di puncak Syurga bagi yang baik akhlaknya”. (Riwayat Abu Daud).
  5. Menjauhi perkataan keji, mencela dan melaknat.
  6. Menghidari mengumpat dan mengadu domba.
  7. Berhati-hati dan adil dalam memuji. Adab berkomunikasi disentuh oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang  bermaksud; “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka dia hendaklah mengucapkan yang baik atau pun dia hanya diam”.
    Etika-etika lain ialah;

  1. Berbicara dengan jelas dan mudah difahami.
  2. Tidak berlagak atau dengan cara yang sombong.
  3. Menghindari terlalu banyak berbicara sehingga membosankan.
  4. Mengulangi kata-kata yang penting jika perlu.
  5. Menghindari dusta.
     
    6.7 LAIN-LAIN KOMUNIKASI
    a. Komunikasi massa ialah perhubungan dengan orang ramai. Berkomunikasi secara langsung atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dan lain-lain dengan bercakap, berbincang, bertukar pendapat dan lain-lain.
    b. Kumpulan (group); Interaksi antara individu membentuk entiti untuk capai tujuan bersama. Ciri-ciri; Bilangan ahli dalam kumpulan; tentukan jenis kumpulan besar atau kecil. Lingkungan 3-12 orang kumpulan kecil. Interaksi; bersemuka, mesej disampaikan dan dikongsi untuk capai objektif. Hubungan; berdasarkan amalan, norma dan perlakuan yang diterima untk perkukuh dan menstabilkan kumpulan. Saling bergantungan; saling memerlukan dan bertanggungjawab capai matlamat yang sama. Identiti; semangat kekitaan kepada kumpulan. Cabaran; kumpulan yang semakin besar sukar diurus kerana banyak pandangan yang berbeza.
    c. Organisasi; Melibatkan konsep komunikasi dan organisasi. Komunikasi ialah proses penghantaran dan penerimaan maklumat. Organisasi ialah struktur dalam sistem yang mengandungi kumpulan dan individu yang bekerjasama untuk mencapai objektif. Peranan komunikasi dalam organisasi (Goldhaber, 1993); pengarahan (aktiviti lancar), koordinasi (struktur), sistem, teknologi, prosedur, sumber manusia, budaya yang wujud, persahabatan (untuk kukuh organisasi), dipercayai dan diterima (melalui komunikasi lisan dan bukan lisan).

KESIMPULAN


Komunikasi sesuatu yang penting di dalam kehidupan. Komunikasi berlaku dengan beberapa cara. Kemahiran komunikasi menjadi salah satu syarat untuk meraih kejayaan hidup. Perlu beretika ketika berkomunikasi supaya membawa kepada matlamat yang baik.