Tuesday, June 12, 2012

Asas Islam 3


SYARIAH RABBANIYAH:
TEGUH, SEMPURNA DAN BENAR


1. Pendahuluan
Demi mencapai impian hidup dunia yang harmoni dan bebas dari kezaliman yang bermaharajalela, mampukah manusia menggubal peraturan hidup seperti yang diimpikan itu?. Sejak dahulu hingga sekarang manusia menyangka bahawa mereka mampu menggubal undang-undang dan peraturan bagi menyusun kehidupan masyarakat dan negara. Kebanyakan mereka tidak merasai perlunya merujuk kepada wahyu dalam membuat undang-undang. Ada juga yang beranggapan Allah tidak menurunkan apa-apa ketentuan mengenai urusan dunia, semua terserah kepada akal dan kebijaksanaan manusia sendiri. Srkiranya bercakap mengenai agama, apa yang mereka fikirkan dan fahami tidak lain hanyalah soal ibadah semata-semata. Semua urusan dunia seolah-olah tidak ada kaitan dengan agama. Fahaman seperti ini amat bertentangan dengan hakikat Islam yang sebenarnya.

Islam bererti menyerah diri, tunduk dan patuh kepada segala ketentuan dan hukum-hukum yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasul-Nya. Ini bukan bermakna Islam tidak mengiktiraf keupayaan akal manusia. Sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah jadikan ada hikmah serta fungsinya yang tersendiri. Akal merupakan anugerah Allah yang paling istimewa. Dengan adanya akal manusia layak untuk menerima taklif (pertanggungjawaban hukum syarak). Fungsi akal adalah untuk memahami tuntutan syarak, hikmah-hikmahnya, cara-cara melaksana dan mengembangkannya, bukan mengkritik, menentang dan menolak apa yang disyariatkan Allah. Firman Allah yang bermaksud;
“Katakanlah, apakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?”. (al-Baqarah: 140)
Ternyata, syariah Islam adalah peraturan hidup yang digubal oleh Allah untuk diterima pakai oleh manusia khususnya manusia muslim.  

2. Definasi Syariah
Dari segi bahasa syariah berasal daripada perkataan Arab iaitu syir’ah yang mempunyai dua maksud iaitu sumber air dan jalan yang lurus. Walaupun ia membawa dua maksud yang berbeza tetapi mempunyai makna yang saling berkaitan antara satu sama lain. Pengertian pertama berasaskan kepada kebiasaan ungkapan orang Arab, manakala pengertian yang kedua berpandukan kepada maksud al-Quran;
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas satu syariat (peraturan dan undang-undang) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui”. (al-Jathiyah: 18)

Perkataan syariah secara literal seperti di atas menunjukkan bahawa syariah diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan air yang jernih kerana dengannya jiwa manusia hidup dan menjadi lebih bernilai. Air adalah suatu bahan yang dijadikan Allah s.w.t. dan disebutkan fungsinya dalam firman-Nya yang bermaksud;
“Dan Kami jadikan daripada air itu tiap-tiap sesuatu yang hidup”. (al-Anbiya: 30)

Ini bererti bahawa air adalah sumber kehidupan dan penghidupan. Tidak ada kehidupan jika tidak ada air dan kalau tidak ada air maka tidak akan ada penghidupan. Mengenai kehidupan dalam konteks Islam  Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Sahutilah seruan Allah dan Rasul, apabila kamu diseru kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu”. (al-Anfal: 24)

Ayat di atas memberi peringatan kepada orang yang beriman bahawa menyahut seruan Allah dan Rasul dengan menunaikan hukum-hakam seperti berjihad, melaksanakan hukum Islam, mencegah kemungkaran dan sebagainya akan memberikan kehidupan yang lebih bererti dan hakiki kepada manusia.    

Dari segi istilah, syariah ialah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah untuk hamba-Nya melalui perantaraan para Rasul-Nya. Allah menuntut hamba-Nya mentaati dan melaksanakannya tanpa sebarang perubahan dan pengurangan. Peraturan dan hukum ini dinamakan syariah kerana ia betul sepertimana jalan yang lurus, tanpa ada kepalsuan (simpang-siur) dari jalan yang benar. Syariah juga membawa pengertian mengenai segala perintah Allah ke atas hamba-Nya yang terdiri daripada seluruh hukum yang diturunkan melalui para Rasul-Nya sama ada perintah tersebut berkaitan dengan perbuatan amali ataupun iktikadi. Syariah juga membawa maksud al-din (pergantungan) dan juga al-millah (kecenderungan). 

Berdasarkan kepada ayat suci al-Quran dan kitab yang ditulis oleh para ulama, didapati perkataan syariah digunakan untuk dua pengertian iaitu umum dan khusus. Pengertian umum adalah berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu; Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah–belah mengenainya’’. (al-Syura: 13)

Ayat ini menunjukkan bahawa syariah ialah agama atau al-din itu sendiri, iaitu yang merangkumi perkara-perkara dasar, prinsip-prinsip asas, tasawur serta nilai-nilai yang utama yang disyariatkan kepada nabi-nabi.

Manakala pengertian khusus pula ialah hukum yang diperundangkan oleh Allah untuk mengatur kehidupan dalam pelbagai bidang seperti muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya. Ia adalah sebahagian dari kandungan Islam iaitu pembahagian yang diperincikan oleh ulama bahawa Islam itu mengandungi akidah, syariah dan akhlak. Syariah yang dimaksudkan di sini ialah satu aspek dari isi kandungan al-Din Islam, iaitu berkaitan dengan hukum yang mengatur urusan kehidupan dalam semua bidang. Hukum ini adalah berbeza di antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan nabi-nabi yang sebelumnya. Ini dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud;
“Untuk tiap-tiap umat di antara kamu Kami berikan aturan dan jalan yang terang”. (al-Maidah: 48)
      
Secara ringkasnya, syariah adalah peraturan hidup yang digaris dan digubal oleh Allah yang disampaikan kepada makhluk-Nya melalui wahyu yang dibawa oleh malaikat Jibril kepada Rasul yang dipilih oleh Allah dari kalangan manusia sendiri. Peraturan yang digubal oleh Allah bukan hanya mengatur hubungan manusia dan Tuhan, malah meliputi semua aspek kehidupan sama ada urusan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa tetapi juga berkaitan dengan makhluk yang lain di dunia ini.

Meneliti kupasan syariah secara literal menjelaskan bahawa keperluan manusia kepadanya tidak dapat dinafikan sama sekali bersesuaian dengan sifatnya sebagai sumber air untuk kelangsungan kehidupan manusia dan benar serta jelasnya dari sebarang kepalsuan, kebatilan dan kesesatan. Sekiranya syariah benar-benar berfungsi dalam masyarakat, mereka berupaya mencapai kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan. Sebaliknya jika syariah tidak dilaksanakan maka akan terbentuk sebuah masyarakat yang lemah dan tidak berperaturan.

3. Istilah Berkaitan Dengan Syariah
Terdapat beberapa istilah yang mempunyai perkaitan amat rapat dengan perkataan syariah iaitu fiqh, hukum, undang-undang, nas dan masadir. Berikut dijelaskan maksud istilah-istilah tersebut supaya mudah difahami.
a. Fiqh
Ia bermaksud keilmuan atau kefahaman mengenai hukum syariah yang bersifat amali yang difahami melalui dalil-dalil yang terperinci. Fiqh sebagai satu disiplin ilmu telah dibahaskan dalam empat bidang yang besar iaitu Fiqh Ibadat, Fiqh Muamalat, Fiqh Munakahat dan Fiqh Jinayat. Fiqh ialah satu pecahan dari syariah yang luas. Secara umum ia membawa makna kefahaman tentang sesuatu. Sebagai satu istilah akademik, ia bermaksud pemahaman secara mendalam. Pada zaman awal Islam, fiqh diertikan sebagai memahami apa saja ajaran Islam sama ada yang bersifat amali atau iktikadi. Imam Abu Hanifah pernah menulis tentang ilmu tauhid dan kitab tersebut diberi nama al-Fiqh al-Akbar (Fiqh Yang Agung).

Oleh itu fiqh merupakan disiplin ilmu untuk memahami isi-isi syariah. Ia diperolehi melalui usaha-usaha akal yang tajam oleh para fuqaha atau ulama terhadap nas-nas syarak sama ada al-Quran ataupun al-Sunnah. Lapangan fiqh merupakan lapangan ijtihadi. Ia terdedah kepada unsur-unsur penggunaan akal serta ijtihad para mujtahid dalam mencari ketentuan hukum syarak untuk diamalkan oleh masyarakat yang berbeza dan pada zaman yang berlainan atas landasan syariah yang tetap dan tidak berubah-ubah. Fokus kepada perbahasan fiqh ialah mencari ketentuan hukum syarak bagi perbuatan mukallaf sama ada harus, wajib, sunat, makruh, haram, sah, batal dan sebagainya.

b. Hukum
Fuqaha mentakrifkan hukum sebagai khitab atau mesej Allah yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf. Mesej itu disampaikan kepada manusia melalui kaedah wahyu (terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah). Aspek hukum dan bidang fiqh mempunyai kaitan yang rapat. Segala perintah atau mesej yang hendak disampaikan oleh Allah mungkin sukar dihayati melainkan setelah difahami dengan baik oleh manusia.

Lantaran itu juga hukum Allah hanya ditujukan kepada golongan mukallaf. Pengkaji hukum ini digelar sebagai faqih dalam kata mufrad (singular) dan fuqaha dalam kata jamak (plural) yang bermaksud orang yang amat memahami. Dalam konteks ini ia ditujukan kepada orang yang boleh memahami secara halus dan terperinci tentang hukum syarak. Usaha-usaha untuk memahami ini perlu kepada pengkajian yang mendalam dan terperinci. Oleh itu Allah s.w.t. walaupun bersifat amat memahami segala sesuatu tidak disebut faqih kerana pemahaman Allah mengenai sesuatu tidak memerlukan kepada pengkajian.
c.Undang-undang
Merupakan norma-norma hukum yang diterima dan diperkanunkan oleh Badan-badan Perundangan tertentu serta menerusi proses-proses tertentu. Dalam konteks undang-undang Islam, ia bermaksud ketetapan syariat yang mutlak atau yang telah mengalami proses ijtihad secara halus serta ditetapkan oleh badan perundangan negara Islam sebagai satu undang-undang yang dilaksanakan di negara berkenaan. Ini menunjukkan bahawa undang-undang  boleh dibahagikan kepada dua:
·         Hukum qat’ie; ditetapkan oleh Allah
·         Hukum ijtihadi; ditentukan oleh manusia tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.
  
Melalui proses perundangan, segala hukum yang datang daripada Allah s.w.t. dapat direalisasikan dalam kehidupan masyarakat sebagai sistem hidup yang lengkap. Ia juga merupakan terjemahan hakiki kepada ungkapan “al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan hidup manusia”.

d. Nas
Ia disebut juga dalil, bermaksud ayat al-Quran atau hadith Rasulullah s.a.w. yang digunakan sebagai hujah atau pembuktian dalam menentukan sesuatu hukum.

e. Masadir
Iaitu sumber-sumber syariah. Ia terbahagi kepada:
·         Asasi: al-Quran dan al-Sunnah.
·         Ijtihadi; Disepakati  iaitu al-Ijmak dan al-Qiyas dan tidak disepakati seperti Masalih al-Mursalah, al-Istihsan, al-Istishab, al-Urf, Syar’u Man Qablana dan lain-lain.

4. Maqasid al-Syariah
Maqasid bermaksud matlamat, tujuan dan rahsia-rahsia yang ditentukan oleh Allah  dalam setiap peraturannya (syariah).

Maqasid al-syariah terdapat dalam al-Quran, di antaranya firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185  bermaksud;
“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.
Manakala maqasid al-syariah yang terdapat dalam sunnah, diantaranya sabda nabi s.a.w. bermaksudnya;
“Sesungguhnya agama itu mudah”.  (Riwayat al-Bukhari)
  
Teori maqasid menekankan jaminan kebaikan dunia dan akhirat melalui peraturan syariah dan perlaksanaannya. Jaminan tersebut bukan suatu kenyataan kosong, tetapi satu kebenaran kerana Islam telah menyediakan berbagai wasilah dan strategi untuk merealisasikan matlamat yang agung tersebut. Ia merangkumi strategi pengukuhan dan strategi kawalan yang rapi bagi merealisasikan seluruh matlamat tersebut. Oleh itu teori maqasid merupakan gabungan antara matlamat syariah dan strategi bersepadu yang rapi dan mantap. Tanpa wasilah dan strategi, matlamat yang agung itu tidak memberi apa-apa makna kepada kehidupan manusia dunia dan akhirat.

Sesungguhnya seluruh ciptaan Allah termasuk peraturan hidup mempunyai matlamat yang agung iaitu untuk menjamin kepentingan (maslahah) manusia di dunia dan di akhirat. Oleh kerana kepentingan manusia adalah berbeza-beza maka maqasid juga mempunyai peringkatnya yang berbeza-beza selaras dengan keperluan manusia. Menurut al-Syatibi, tahap maqasid yang paling penting bagi manusia ialah dharuriyat iaitu memelihara keperluan asasi. Manakala tahap kedua dipanggil hajiyat iaitu memelihara keperluan sampingan dan tahap ketiga pula disebut sebagai kamaliyat atau tahsiniyat iaitu memelihara keselesaan dan keharmonian hidup.

4.1 Maqasid Dharuriyat
Merupakan perkara paling penting bagi menjamin kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Jika tidak ada salah satu daripadanya akan merosakkan sistem  hidup di dunia dan menghilangkan kebahagiaan di akhirat. Dinamakan dharuriyat kerana kaitannya secara langsung dengan sistem kehidupan manusia. Operasi sistem hidup adalah bergantung kepada wujudnya dharuriyat. Sekiranya dharuriyat itu tidak ada, maka hancurlah sistem kehidupan sama ada di peringkat individu atau ummah dan juga negara.

Maqasid dharuriyat terdiri dari lima perkara asas iaitu agama (Islam), nyawa, akal, keturunan (maruah) dan harta. Untuk memelihara lima perkara asas itu Islam menentukannya dengan cara;
·               Melaksanakan dan menegakkannya dengan menetapkan peraturan untuk manusia mematuhinya. Semua ini ditetapkan dalam Rukun Iman dan Rukun Islam.
·               Memeliharanya supaya berkekalan dengan mengadakan satu kaedah untuk mengelak daripada berlaku kerosakan.

Dalam menggambarkan kedudukan dan kepentingan dharuriyat, al-Syatibi  berkata;
“Sekiranya tidak wujud agama maka tidak ada pembalasan yang ditunggu-tunggu,  jika tidak ada orang mukallaf maka tidak ada orang yang beramal dengan agama, jika tidak ada keturunan maka tidak ada yang hidup dan jika tidak ada harta maka berakhirlah kehidupan”.   
Berikut ini dihuraikan kepentingan memelihara lima perkara tersebut;
a. Memelihara Agama
Agama Islam dijadikan asas pertama kerana ia suatu agama yang mengatur sistem hidup manusia seluruhnya sama ada dalam urusan akidah atau peraturan-peraturan hidup seperti muamalat, politik dan sebagainya. Memelihara agama menrut al-Syatibi dilakukan melalui dua cara;  
·               Bagi menjamin tertegaknya agama, disyariatkan prinsip dan dasar pengabdian (usul al-ta’abbud) yang terdiri daripada iman, dua kalimah syahadah, solat, puasa, dakwah dan sebagainya.
·               Bagi menjamin terpeliharanya agama (individu dan negara) dari sebarang pencerobohan, Allah mensyariatkan jihad, hukuman berat ke atas orang murtad dan sebagainya.

b. Memelihara Nyawa
Islam menjamin keselamatan nyawa dan tubuh badan. Justeru itu Islam telah mewajibkan setiap individu untuk menjaga keselamatan diri masing-masing dan pada masa yang sama melarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan orang lain. Memelihara nyawa dilakukan melalui dua cara;
·               Bagi menjamin lahir keturunan dan zuriat, Allah mensyariatkan perkahwinan. Kemudian ia menyediakan perkara yang membantu kehidupan seperti makanan, minuman, tempat tinggal dan lain-lain.
·               Bagi menjamin keselamatan zuriat dan keturunan manusia (nyawa dan diri mereka) dari pencerobohan, Allah mengharamkan sebarang usaha atau  pencerobohan yang membahayakan nyawa manusia seperti pembunuhan, jenayah, dan seumpamanya.

Perlu dijelaskan bahawa memelihara nyawa dalam konteks individu adalah lebih utama dari memelihara agama. Sebab itu Islam menyediakan kaedah rukhsah makan perkara yang diharamkan dalam keadaan yang memaksa atau terpaksa. Dalam konteks ummah/negara, memelihara agama mesti didahulukan daripada memelihara nyawa. Sebab itu jihad disyariatkan bagi menjaga keutuhan ummah sehingga memungkinkan terlaksananya tuntutan khilafah di muka bumi ini. Oleh itu segala pengorbanan ke arah itu mesti dilakukan lebih-lebih lagi segalanya itu akan dibayar dengan kemuliaan dan syurga di akhirat kelak. Berhubung dengan kewajipan memelihara nyawa ini Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud;
“Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seseorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara manusia semuanya”.
Firman-Nya lagi dalam surah al-An’am ayat 151 yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak”.

c. Memelihara Akal
Akal merupakan neraca taklif. Tanpa akal gugurlah segala taklif. Kemuliaan akal seseorang menurut Islam adalah bertitik tolak dari unsur iman. Apabila akal manusia yang bebas memilih telah memilih iman sebagai pegangan, maknanya di situlah letaknya kemuliaan.Untuk memelihara akal, Islam telah menyediakan peraturan-peraturan berikut;
·               Mengharamkan perkara yang merosakkan akal dan melemahkan daya fikiran seperti arak. Sebagai langkah menjaga akal maka Islam mengenakan hukuman yang berat ke atas peminum arak.
·               Menyediakan program pembebasan akal dari pegangan yang sesat.
·               Menyuburkan akal sama ada dari segi fizikal dan daya fikirannya. Dari segi fizikal perhatian diberikan kepada jenis dan kaedah pemakanan yang baik untuk pembinaan akal. Dari segi daya fikiran pula, akal hendaklah dibekalkan dengan unsur-unsur kerohanian dan keilmuan seperti ilmu al-Quran dan sebagainya.
Hakikat ini difahami dari firman Allah dalam surah Taha ayat 114 yang bermaksud;
“Ya Tuhanku! Tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.

d. Memelihara Keturunan
Memelihara kesucian dan peraturan keturunan dapat menghapuskan gejala kecelaruan keturunan yang menjadi punca kepada kehancuran institusi keluarga, masyarakat dan negara malah alam seluruhnya. Tambahan pula memang sudah menjadi fitrah bagi setiap manusia menyanjung tinggi kesucian keturunan. Memelihara keturunan dilakukan melalui dua cara;
·               Islam menyediakan peraturan yang menjamin keturunan mengikut disiplin syarak iaitu perkahwinan. Malah demi menjamin kekuatan sebuah keluarga, Islam memberikan kaedah memilih pasangan hidup berasaskan keagamaan, keturunan yang baik, harta dan juga rupa paras. Kejayaan institusi keluarga akan menjamin keutuhan masyarakat.
·               Islam mengadakan peraturan yang menyekat sebarang bentuk pencerobohan ke atas kesucian keturunan dan disiplinnya seperti pengharaman zina, qazaf, pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang halal nikah dan sebagainya.
Dalam soal pengharaman zina, Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang salah”.

e. Memelihara Harta
Islam meletakkan kedudukan harta sebagai perkara asas yang lima kerana kepentingannya yang jelas dalam sistem hidup manusia iaitu;
·               Dengan harta, manusia dapat hidup dan menegakkan tuntutan khilafah di muka bumi.
·               Harta adalah tunggak kepada tubuh badan manusia dan kesihatan mereka.
·               Keinginan memiliki harta merupakan fitrah.
·               Umat dan negara bergantung kepada harta untuk beroperasi.
Memelihara harta dilakukan melalui dua cara;
·               Untuk menentukan manusia dapat memiliki harta mengikut cara yang betul,  Islam mensyariatkan kontrak pemilikan seperti jual beli dan kaedah-kaedah pemilikan lain seperti hibah dan sebagainya.
·               Bagi mencegah sebarang pencerobohan ke atas harta dan pemiliknya, Islam mengharamkan rasuah, riba, judi dan sebagainya. Islam juga mengharamkan pembaziran dan merosakkan harta sama ada dalam konteks individu ataupun negara.
Pengharaman riba dijelaskan oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud;
“Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”.  
Syariah Islam juga menggesa penganutnya membelanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud;
“Hendaklah kamu membelanjakan harta kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”.

4.2. Maqasid Hajiyat
Merupakan sesuatu yang diperlukan untuk mendapatkan kelapangan dalam kehidupan sekaligus menghilangkan kesempitan yang pada kebiasaannya membawa kepada kesusahan. Apabila maqasid itu tidak diambil perhatian maka banyak kesukaran akan dihadapi. Walaupun begitu ia tidak sampai kepada menghancurkan sistem kehidupan manusia atau maslahat hidup mereka. Asas dan intisari kepada maqasid ini ialah menghindarkan kesusahan, mempermudahkan sesuatu dan menyediakan saluran-saluran kesenangan.

Dalam bidang ibadat sebagai contohnya Islam memberikan keringanan (rukhsah) pada masa kesempitan, umpamanya mengizinkan berbuka puasa Ramadhan kepada orang sakit dan musafir. Dalam bidang  muamalat umpamanya, Islam mensyariatkan berbagai-bagai akad yang berhubungan dengan jual beli, sewa menyewa dan yang sehubungan dengannya. Dalam adat seperti menikmati sesuatu yang bagus dan baik selagi ia halal dari segi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Dalam bidang perundangan umpamanya, Islam menyuruh hakim mengecualikan hukuman ke atas seorang pesalah kerana wujud syubhat (kesamaran pada kes). Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud;
“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu”.

4.3. Maqasid Tahsiniyat
Iaitu melakukan sesuatu amalan atau adat yang baik dan terpuji serta menjauhi perkara-perkara tidak baik pada pandangan akal yang sempurna. Pada umumnya ia berkaitan dengan akhlak, pergaulan dan perkara-perkara sunat. Ia diperlukan untuk memelihara maruah dan akhlak manusia sama ada dalam bidang ibadat, muamalat, adat, perundangan dan lain-lain. Sebagai contohnya di bidang ibadat, Islam mewajibkan wudhu, menutup aurat sebelum mengerjakan solat. Dalam bidang muamalat umpamanya, Islam mengharamkan menyembunyikan kecacatan barang-barang, sorok barang untuk mengaut keuntungan dan seumpamanya. Dalam bidang adat dan tata susila pula Islam menekankan supaya menjaga adab makan, berpakaian, percakapan dan lain-lain. Di antara nas umum yang berkaitan dengan maqasid ini ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Aku diutuskan untuk menyempurnakan kebaikan / kemuliaan akhlak”.
Sekiranya manusia hidup berpandukan Islam semata-mata akan terpenuhlah semua hajat dan keperluan mereka kerana semuanya telah diselesaikan oleh syariah Islam. Oleh itu adakah landasan lain sebagai cara hidup (way of life) yang menjadi pilihan umat Islam selain daripada Islam?

Memahami maslahat dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat bermakna memahami apakah perkara pokok (primary), keperluan kedua (secondary) dan yang lain daripada itu. Perkara dharuriyat adalah perkara pokok (primary). Perkara hajiyat adalah keperluan kedua (secondary) dan perkara tahsiniyat adalah sebagai penyempurnaan. Dalam kehidupan ini tidak boleh diutamakan perkara hajiyat sehingga menggadaikan perkara dharuriyat dan tidak boleh memberi keutamaan kepada perkara tahsiniyat sehingga merosakkan perkara-perkara hajiyat dan dharuriyat. Contohnya, seseorang yang menekankan aspek penjagaan kesihatan badan merupakan tahsiniyat sehingga dia mengabaikan penekanan kepada penegakan undang-undang Allah yang merupakan perkara dharuriyat.

Hukum-hukum dharuriyat wajib dipelihara keseluruhannya kecuali wujudnya keadaan di mana pemeliharaan sesuatu hukum dharuri akan mendatangkan kerosakan kepada hukum dharuri yang lebih penting daripadanya. Kerana itu diwajibkan berjihad ke atas umat Islam untuk memelihara agama sekalipun di sana terjadi pengorbanan nyawa, kerana memelihara agama itu lebih penting daripada menjaga nyawa. Kecuaian umat daripada memahami perkara-perkara dasar berhubung dengan syariah telah menyebabkan mereka meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya dalam banyak hal.       

5. Skop, Perlaksanaan dan Penguatkuasaan Syariah
5.1 Skop Syariah
Skop syariah mencakupi;
·               Hubungan antara manusia dengan Allah.
·               Hubungan antara manusia sesama manusia.
·               Hubungan antara manusia dengan makhluk lain di muka bumi ini.

5.2 Perlaksanaan Syariah
Dalam aspek perlaksanaan kepada perintah dan larangan Allah, syariat Islam terbahagi kepada tiga iaitu;
·               Kewajipan yang menjadi tanggungjawab individu serta dilaksanakan di peringkat individu. Sebagai contohnya kewajipan seorang hamba terhadap penciptanya melalui ibadah-ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya.
·               Kewajipan yang dituntut melaksanakannya secara kolektif atau berjemaah yang menjadi tanggungjawab bersama setiap umat Islam. Sebagai contohnya kewajipan jihad, dakwah, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dan tuntutan-tuntutan fardhu kifayah yang lain.
·               Kewajipan pemerintah melaksanakannya seperti menjaga kedaulatan agama, menghapuskan kemungkaran, menegakkan keadilan, keamanan dan sebagainya.

5.3 Penguatkuasaan syariah
Penguatkuasaan syariah adalah tertakluk kepada hukum-hukum taklifi yang lima iaitu: wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

6. Keistimewaan Syariah Islam
Keistimewaan Syariah Islamiyah yang menunjukkan kemuliaan dan ketinggian kedudukannya berbanding dengan perundangan ciptaan manusia terlalu banyak untuk disebut, tetapi beberapa ciri yang utama dan penting boleh disebut sebagai contoh, antaranya; 
a. Berorientasikan wahyu
Sumber utama syariah adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan dua pendekatan iaitu wahyu dalam bentuk lafaz dan makna iaitu al-Quran dan wahyu dalam bentuk makna sahaja iaitu al-Sunnah. Justeru itu, syariat Islam lebih istimewa berbanding undang-undang ciptaan manusia. Apabila manusia mencipta undang-undang manusia sentiasa ada cara untuk mengatasi atau melepasi undang-undang itu. Sebab itu pada sesetengah keadaan, jaring undang-undang hanya mampu menjerat “ikan bilis” manakala “si jerung” dapat memboloskan diri. Berpegang dengan syariah rabbaniyah ini adalah sumber kebahagiaan diri sekiranya manusia berpegang dengan hukum yang diturunkan Allah. Berusaha untuk mencapai keredhaan-Nya dan beriman bahawa semua yang terkandung dalam agama ini adalah dari Allah dan untuk Allah s.w.t.  

b. Adil
Syariah Islam bersifat adil dan berpegang kepada prinsip persamaan sesama manusia di hadapan hukum Allah kerana ia ciptaan Allah yang tiada kepentingan berbanding dengan undang-undang ciptaan manusia. Mengekalkan keadilan dan keseimbangan di dalam perundangan dan peraturan bukan satu perkara yang mudah. Perundangan ciptaan manusia tidak mampu mewujudkan keadilan seperti ini kerana akan ada di antara mereka yang terlalu cenderung ke kiri, manakala yang lain pula terlalu cenderung ke kanan. Namun syariah Islam sangat unik dalam aspek ini, tiada keterlaluan atau pengabaian dalam perundangannya. Ia bersifat sederhana, tidak lari dari keadilan hakiki.

c. Universal
Syariah Islam meliputi semua tempat dan masa serta tiada batas geografi. Beberapa faktor yang menyokong keuniversalan syariah ialah;
·               Ia menjamin kemaslahatan (kepentingan) manusia dulu, kini dan selamanya.
·               Syariah memberikan kelonggaran (rukhsah) dalam perlaksanaan hukum apabila dalam keadaan darurat.
·               Ayat-ayat hukum dalam al-Quran terbahagi kepada beberapa jenis; ada yang terperinci (tafsili) dan ada yang berbentuk menyeluruh (kulli). Ini boleh membuka ruang penafsiran yang lebih bersifat semasa dan sesuai dengan keadaan selagi tidak bertentangan dengan nas.
·               Selain menerima dua sumber utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah, syariah Islam juga menerima sumber lain seperti al-Ijmak, al-Qiyas dan lain-lain sebagai rujukan hukum.    

d. Ganjaran duniawi dan ukhrawi
Setiap tindakan manusia akan menerima pembalasan atau ganjaran bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Hukuman di dunia bersifat menjaga kemaslahatan individu dan masyarakat di dunia. Segala kesalahan manusia tidak akan terlepas begitu sahaja walaupun telah dikenakan hukuman di dunia sekiranya tidak bertaubat.

e. Tetap dan anjal
Segala prinsip dan dasar syariah Islam yang telah ditentukan adalah bersifat tetap dan tidak boleh berubah dan diubah. Anjal pula dilihat dari sudut perlaksanaan kepada ketentuan syariah berasaskan justifikasi yang ditentukan oleh syariah seperti lupa, jahil, kemudaratan. Sebagai contohnya hukum menutup aurat adalah wajib (hukum tetap) tetapi anjal dari sudut fesyen pakaian.

f. Sepadu dan seimbang
Setiap bahagian daripada bahagian yang lain saling berkaitan antara satu sama lain. Oleh itu syariah perlu diamalkan secara keseluruhannya oleh manusia dan bukan sebahagian yang tertentu sahaja. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud;
“ Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya’.’
Kesepaduan dan keseimbangan sistem Islam ini bukan sahaja dalam aspek hukum-hakam bahkan juga dalam segala ciptaan Allah termasuk penciptaan langit dan bumi. Semuanya bersifat sepadu dan seimbang. Keseimbangan juga dapat dilihat dari sudut rohani dan jasmani, dunia dan akhirat, kepentingan individu dan masyarakat.

g. Kesempurnaan
Kesempurnaan syariah merangkumi segenap aspek hidup manusia, memenuhi kepentingan manusia sama ada dalam bentuk dharuriyat, hajiyat dan juga tahsiniyat. Ia merangkumi hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan dengan alam sekeliling. Undang-undang ciptaan manusia tidak memiliki ciri-ciri ini terutamanya yang berkaitan hubungan manusia dengan Tuhan. Setiap muslim hendaklah berasa gembira dan berpuas hati dengan perundangan syariah yang sempurna dan lengkap ini. Syariah menerangkan kepada manusia jalan dan menetapkan kepadanya panduan  dalam perkara kecil atau besar, terang atau tersembunyi, zahir atau batin. Rasulullah s.a.w. ketika menyifatkan syariah yang indah ini telah bersabda yang bermaksud;
“Aku telah tinggalkan kamu di atas (landasan) yang putih bersih, malamnya (terang) seperti siang, tidak akan tergelincir daripadanya kecuali orang yang celaka”. (Riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad)

h. Penyaksian terhadap syariah terdahulu
Sedia dimaklumi bahawa agama Allah itu satu dibawa oleh semua rasul silih berganti sejak dari nabi Adam a.s. sehingga kepada penutup segala rasul Muhammad s.a.w. Walaupun nabi dan rasul ini agama mereka satu pada asasnya, tetapi bagi setiap mereka terdapat perundangan dan peraturan tersendiri kerana setiap umat berbeza keadaan dan kedudukannya serta kerana perkara yang hanya diketahui oleh Allah s.w.t.

Syariah Islam telah didatangkan sebagai penutup kepada semua perundangan yang terdahulu, mengumpulkan semua keelokannya serta menjadi saksi kepadanya. Risalah Islam merangkumi kesemua risalah yang diturunkan sebelumnya, menyempurnakan dan mengatasi kesempurnaan dan kemuliaannya. Hasan al-Basri berkata: “Allah telah menurunkan seratus empat buah kitab, lalu mengumpulkan semua ilmunya di dalam empat buah kitab: Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan (al-Quran), kemudian mengumpulkan semua ilmu yang tiga itu pula di dalam al-Furqan”.

6. Peranan Syariah Dalam Pembangunan Ummah   
Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah salah satu aspek yang penting dalam kehidupan manusia. Walaupun begitu corak dan matlamat pembangunan menurut perspektif Islam adalah berbeza dengan apa yang difahami oleh masyarakat Barat. Pembangunan Islam adalah pembangunan bersepadu meliputi pembangunan fizikal dan pembangunan manusia secara total. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Untuk merealisasikan matlamat tersebut, Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap telah menyediakan panduan atau perundangan (syariah) yang lengkap bagi semua aspek hidup untuk diikuti oleh manusia sebagai pelaku pembangunan. Apakah ada kesangsian di kalangan manusia muslim tentang pembangunan menurut acuan Islam?

61 Pembangunan Menurut Islam
Pembangunan menurut kacamata Islam bukan hanya tertumpu kepada pembangunan kebendaan semata-mata tetapi ia meliputi ruanglingkup yang lebih luas. Secara umumnya pembangunan boleh diiktiraf sebagai satu proses peningkatan kualiti kehidupan seperti usaha-usaha menambah tingkat pendapatan dan penggunaan, taraf pemakanan, kesihatan, pelajaran, suasana yang sesuai untuk meningkatkan harga diri dan kebebasan untuk memilih bagi semua lapisan masyarakat bagi sesebuah negara. Selain dari itu Islam juga melihat pembangunan berdasarkan kewujudan kehidupan yang selesa dan sejahtera bagi manusia dalam memenuhi tuntutan jasmani dan rohani. Kewujudan sebuah negara yang makmur dan aman tenteram dapat memberikan keselesaan jasmani dan rohani serta memaju dan membangunkan manusia dalam semua bidang agar berlakunya peningkatan dalam semua aspek kebajikan manusia seperti moral, spiritual dan material bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Berdasarkan definisi ini dapat difahami bahawa pembangunan dalam Islam adalah meliputi semua aspek pembangunan kebendaan (ekonomi) dan pembangunan insan. Ia ditumpukan kepada usaha mengoptimumkan kesejahteraan manusia, akhlak dan kebendaan, kerohanian dan fizikal, ekonomi dan sosial. Pengertian ini berbeza dari pemahaman umum terhadap pembangunan yang lebih menjurus kepada aspek pembangunan fizikal ataupun pembangunan ekonomi semata-mata.

6.2 Pendekatan Pembangunan Menurut Islam
Pendekatan Islam terhadap pembangunan adalah berlandaskan kepada beberapa falsafah iaitu;
a. Tauhid (keesaan dan kedaulatan Allah)
Tauhid membawa pengertian semua manusia perlu bekerjasama menegakkan      kesaksamaan dan setiap individu berhak ke atas sumber-sumber ciptaan Allah.

b.Rububiyah (Allah sebagai penguasa alam)
Implikasi Rububiyah kepada pembangunan adalah manusia sebagai agen pembangunan bebas bertindak seluas-luasnya tetapi dalam lingkungan garis panduan yang disediakan Allah. Allah sebagai penguasa telah membuat peraturan yang mengarahkan kehidupan makhluk ke arah kesempurnaan dan kesejahteraan.

c. Khalifah (utusan Allah)
Manusia sebagai pelaksana tanggungjawab khalifah di bumi hendaklah bersifat amanah dan bertanggungjawab dalam segala kegiatan pembangunan yang dilakukan.

d. Tazkiyah (penyucian)
Untuk mendekatkan manusia kepada Allah dan menanam perasaan tanggungjawab bersama terhadap sesama manusia dan makhluk lain. Penyucian ini meliputi amalan ibadat dan harta.

6.3 Pembangunan Ummah
Pembangunan ummah merupakan natijah yang terhasil dari pembangunan insan. Pembangunan insan sebenarnya adalah suatu proses kompleks. yang melibatkan beberapa tahap berikut;
a. Pembangunan fizikal atau jasmani
Pembangunan fizikal merujuk kepada pertumbuhan dari segi ketinggian dan berat badan, kematangan sistem organ utama seperti otak, saraf, deria dan sebagainya. Syariah Islam telah meletakkan satu panduan yang jelas bagi menjana pembangunan fizikal seperti menggalakkan seseorang menjalani kehidupan yang sihat dari aspek pemakanan yang berzat dan halal, tidur yang mencukupi dan penjagaan kesihatan. Amalan-amalan ibadah juga boleh menjadi alat untuk penjagaan kesihatan seperti pergerakan dalam solat dan amalan berpuasa. Kelemahan fizikal akan menjadikan umat Islam tidak mampu membina tamadun yang gemilang dan juga menghalang mereka dari melaksanakan ibadah-ibadah tertentu.

b. Pembangunan kognitif
Pembangunan kognitif membawa maksud proses perkembangan individu dari aspek pengetahuan dan keupayaan untuk membuat persepsi, berfikir, memahami dan menggunakan kemahiran dalam menjalani kehidupan. Perkara yang amat berkaitan dengan pembangunan kognitif ini ialah tuntutan menuntut ilmu dan berfikir. Islam jelas menuntut penganutnya agar menuntut ilmu dan ini boleh dilihat dari banyak ayat-ayat al-Quran mahupun hadith yang menekankan agar umat Islam menuntut ilmu dan meletakkan orang yang berilmu lebih tinggi kedudukannya dari mereka yang tidak berilmu. Islam juga menggalakkan penganutnya agar menggunakan akal fikiran dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. Sekiranya tubuh badan manusia memerlukan makanan berkhasiat, akal juga memerlukan bahan-bahan yang berkhasiat dan bermanfaat untuk difikirkan. Ini disebut sebagai bahan intelek. Ia diperoleh dari bahan bacaan yang bersifat intelek dan menjana kreativiti.

c. Pembangunan Emosi
Pembangunan emosi bermaksud perkembangan perasaan dan luahannya dalam konteks hubungan dengan orang lain atau objek lain. Emosi merupakan sumber keseronokan mahupun kesedihan yang berupaya mempengaruhi perkembangan moral seseorang. Selain itu, pembangunan emosi bertujuan menjadikan seseorang itu matang dan mampu mengawal diri berasaskan ilmu dan pengalaman dalam menghadapi sesuatu kejadian atau peristiwa. Pembangunan emosi sangat penting untuk seseorang menilai apa yang berlaku di sekeliling dalam kehidupannya dengan sebaik-baiknya serta dengan adil dan bijaksana.
 
d. Pembangunan Sosial
Pembangunan sosial bermaksud suatu proses perkembangan dalam hubungan antara manusia dengan persekitarannya. Faktor sosial dan budaya merupakan pengaruh penting dalam kehidupan manusia. Keluarga, jiran dan masyarakat sekeliling merupakan keadaan persekitaran di mana individu boleh dipengaruhi ataupun mempengaruhi. Justeru itu Islam menggalakkan agar umatnya saling kenal mengenal antara satu sama lain. Syariah Islam juga mengatur umatnya agar menjalin hubungan sesama mereka seperti dalam adab-adab pergaulan dengan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat persekitaran. Tuntutan syariah agar umatnya saling kasih mengasihani, hormat menghormati, tolong menolong adalah intipati kepada pembangunan sosial ini.

e. Pembangunan Kerohanian
Pembangunan kerohanian merupakan suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertakwa. Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi pincang. Oleh itu pembangunan kerohanian menjadi asas kepada keseluruhan pembangunan yang disebut di atas. Setiap manusia akan menempuh semua dimensi perkembangan tadi sepanjang hayat mereka. Setiap tahap perkembangan ataupun pembangunan tersebut dipandu oleh ajaran syariah Islam. 
                                         
6.4 Syariah Islam Sebagai Pemacu Pembangunan Ummah    
Pembangunan ummah tidak akan menjadi realiti sekiranya dilaksanakan mengikut acuan pembangunan Barat. Barat hanya menitikberatkan pembangunan fizikal yang dipandu oleh akal manusia semata-mata. Akal manusia terbatas kerana manusia tidak mampu memikirkan keperluan manusia yang lain secara menyeluruh. Keperluan manusia hanya diketahui oleh Allah kerana Dia yang mencipta manusia. Syariah diturunkan oleh Allah dengan beberapa objektif yang telah diterangkan sebelum ini yang disebut sebagai maqasid al-syariah. Selain itu syariah Islam juga mempunyai objektif lain yang disebut maqasid ‘ammah (objektif umum), antaranya ialah;
a. Mendidik manusia
Kehidupan manusia terdedah kepada ujian dan dugaan. Manusia yang dicipta oleh Tuhan adalah lemah dan memerlukan pertolongan dari-Nya dalam menghadapi cabaran yang berlaku. Kehidupan di dunia ini penuh dengan cubaan dan ujian. Oleh itu syariah diturunkan bagi mendidik manusia bagaimana untuk menghadapi segala ujian dan cubaan tersebut. Syariah menanamkan keimanan dan nilai-nilai amanah dan kebenaran dalam jiwa seseorang. Sebahagian dari program dalam Islam ialah melalui ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya. Amalan ibadah yang disyariatkan oleh Allah memainkan peranan mendidik jiwa dan membersihkannya dari sifat keji seperti sombong dan sebagainya dan juga untuk mengukuhkan ikatan kemasyarakatan di kalangan umatnya.

b. Menegakkan keadilan
Matlamat keadilan dalam Islam meliputi seluruh aspek kehidupan, undang-undang, kemasyarakatan, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Keadilan merupakan landasan kapada undang-undang Islam di semua peringkat. Melalui nas-nas al-Quran dan hadith serta kandungan syariah, ulama telah menyimpulkan bahawa keadilan adalah matlamat syarak. Di antara nas-nas tersebut ialah surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.”  

Mengenai konsep keadilan Ibn al-Qayyim berkata;
“Sesungguhnya syariah (yang terdiri daripada asas dan binaannya) yang menyentuh bidang hukum dan kepentingan manusia di dunia dan di akhirat adalah (bercirikan) keadilan semuanya.”

c. Persamaan
Bertitik tolak dari hakikat bahawa manusia berasal dari satu keturunan iaitu Adam a.s. dan orang Islam pula mempunyai kesatuan yang menyeluruh dalam segenap aspek  dan kepatuhan maka kedudukan mereka adalah sama di sisi undang-undang. Matlamat persamaan ini mesti dilaksanakan sepanjang masa kecuali apabila bertembung dengan perkara berikut;
·               Halangan tetap (semulajadi yang berkekalan). Iaitu halangan menyamakan lelaki dengan perempuan pada perkara yang menyentuh asal kejadian fitrah manusia seperti halangan berkahwin lebih dari satu bagi perempuan.
·               Halangan kemasyarakatan. Contohnya bagi menjamin kesejahteraan umat, tidak boleh disamakan antara orang berilmu dengan orang yang jahil.

d. Mempermudahkan dan Menghindari Kesusahan
Sebagai agama wahyu terakhir, Islam mempunyai keunggulan yang membolehkan ia kekal sepanjang zaman hingga Hari Kiamat. Ia membawa dasar mempermudahkan sehingga umat Islam dan bukan Islam dapat menerima dan melaksanakan Islam secara mudah, senang dan lapang dada. Matlamat ini digariskan oleh firman Allah surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud;
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Atas dasar itulah Islam tidak menyuruh bertaubat dengan cara membunuh diri seperti mana yang disyariatkan kepada umat yang terdahulu.

e. Perpaduan
Perkara ini ditegaskan oleh Allah beberapa kali supaya setiap individu muslim berpegang teguh kepada ajaran Islam dan mengukuhkan hubungan persaudaraan mereka. Jika mereka berpecah belah maka mereka akan menjadi lemah dan hina.

Itulah beberapa contoh objektif syariah yang menggambarkan keunggulannya hingga dapat memandu umatnya mencapai pembangunan yang sepadu dan berjaya di dunia dan di akhirat.

7. Keperluan Manusia Kepada Syariah dan Kesan Pengabaiannya
7.1 Keperluan Manusia Kepada Syariah
Manusia memerlukan syariah kerana;
·               Syariah Islam adalah perundangan yang lengkap merangkumi seluruh peraturan yang diperlukan oleh manusia. Selain menjelaskan perintah dan larangan, ia juga mengandungi faedah, hikmah, rahsia, maslahat dan pelbagai manfaat kepada manusia di sebalik pensyariatannya sama ada dari segi keimanan, ibadat, kekeluargaan, muamalah, jenayah, hubungan antara rakyat dengan pemerintah dan akhlak yang mulia.
·                Syariah Islam datang dengan keadilan, rahmat dan kebajikan yang tulen untuk menyelesaikan masalah manusia dalam kehidupan di dunia. Tiada keadilan lain yang dapat mengatasinya dan tiada kebaikan yang menandingi kemaslahatan yang terkandung dalam syariah ini. Ia terdiri dari dharuriyat (perkara asas), hajiyat (keperluan biasa) dan tahsiniyat (keperluan tambahan).
·               Sebagai hamba, manusia tidak berhak membuat peraturan tetapi kena mengikut peraturan yang telah ditentukan. Manusia mesti sentiasa bertanya, merujuk dan patuh kepada peraturan Allah. Bagaimanakah mereka mahu berbuat demikian sekiranya mereka tidak tahu apa itu syariah? Oleh itu mereka kena belajar, faham dan mengetahui hukum hakam dalam syariah Islam.
·               Syariah Islam adalah syariah yang terakhir. Syariah ini bersifat istimewa, penuh dengan keringanan, kemudahan dan tiada penekanan yang melebihi kemampuan manusia. Ia sebagai rahmat Allah sesuai dengan kelemahan insan dan kasihan belas-Nya terhadap manusia.

7.2  Kesan Pengabaian Syariah
Kesan pengabaian syariah Islam boleh dilihat dari beberapa aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia seperti dalam aspek ibadah, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
a. Pengabaian dalam ibadah
Ramai dari kalangan orang Islam yang tidak mematuhi perintah mengerjakan ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji. Mereka seolah-olah tidak takut siksaan Allah akibat dari perlanggaran tersebut. Janji azab Allah kepada mereka yang tidak mengerjakan solat dengan dimasukkan ke dalam neraka Saqar tidak sedikit pun membekas di hati. Apakah yang menghalang mereka dari kembali mematuhi perintah Allah? Pengabaian ini menyebabkan berlaku perkara buruk kepada individu, masyarakat dan negara. Hati mereka resah dan tidak tenteram. Kehidupan berkeluarga tidak harmoni dan bahagia dan negara juga ditimpa kesusahan, kemelaratan dan penderitaan.                                                      

b. Pengabaian dalam sosial
Pengabaian ini menyebabkan lahirnya gejala-gejala sosial yang tidak sihat dan mengundang pelbagai krisis dan masalah jenayah dalam sesebuah masyarakat. Di Malaysia misalnya berlakunya peningkatan kadar jenayah seperti rogol, zina, sumbang mahram, penderaan, bunuh, penyalahgunaan dadah, rasuah dan seumpamanya. Hampir setiap hari berita mengenai perbuatan salah laku ini ada tersiar di dada akhbar atau di kaca televisyen. Kegiatan maksiat dan salah laku ini secara jelas menunjukkan betapa masyarakat Islam kini sudah tersasar jauh dari asas-asas Islam yang murni. Mereka membelakangkan bimbingan Allah yang menjadikan dan menghidupkan mereka supaya mengabdikan diri kepada-Nya. Mereka meninggalkan pelaksanaan tuntutan syariah untuk mencapai kehidupan moden. Meninggalkan amar makruf nahi mungkar atas alasan kebebasan individu (human’s right).

c. Pengabaian dalam ekonomi
Pecah amanah, rasuah dan lain-lain bentuk penggelapan wang adalah dosa luar biasa yang sudah dianggap biasa. Ia dosa luar biasa kerana rasuah bukan sahaja merosakkan kehidupan individu yang terlibat, masyarakat dan negara, bahkan menyebabkan penderitaan yang dahsyat di akhirat kelak. Sebaliknya ia dianggap biasa kerana sudah kerap benar dilakukan oleh semua peringkat masyarakat malah hampir menjadi budaya.  Sesuatu yang amat memalukan ialah negara umat Islam adalah paling terkedepan dalam pengamalan rasuah. Kenapa keadaan ini terjadi? Kenapa seorang muslim terlibat dengan rasuah: memberi, menerima atau menjadi perantaranya?   

Pengabaian dalam ekonomi juga dapat dikesan apabila ada kalangan umat Islam yang menghalalkan riba untuk meningkatkan prestasi ekonomi. Ada yang mewujudkan pelacuran berlesen untuk membenteras pelacuran yang haram dan ada yang membolehkan pendedahan aurat untuk tujuan perniagaan. Itu adalah sedikit contoh daripada banyak contoh yang berlaku dalam masyarakat Islam apabila kegiatan ekonomi dijalankan tidak berpandukan syariah.

d. Pengabaian dalam politik
Di kalangan ahli politik, jenayah yang sering diperkatakan adalah politik wang. Untuk mendapat jawatan dan kuasa dengan cara yang tidak bermoral ada yang sanggup menghabiskan wang untuk memancing undi dan sokongan. Politik wang dikecam oleh semua pihak. Seolah-olah semua pihak membencinya tetapi anehnya ia terus berlaku. Apa yang kita perhatikan, ada kalangan mereka yang mengecam politik wang tetapi turut sama melakukannya. Sebenarnya sudah cukup bagi orang yang beriman untuk tidak membudayakan politik wang berdasarkan hadith nabi s.a.w. yang diberitahu oleh Thauban maksudnya;
“Rasulullah s.a.w. melaknati pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantaranya”.  (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Apabila Rasulullah s.a.w. melaknati kita, maka apa upaya untuk kita mendapat ketenangan dan keberkatan  dalam hidup? Wang, harta dan kuasa yang sebanyak mana pun tidak berguna lagi. Betapa ramai orang yang kaya dan berpangkat  tetapi hidupnya resah, rezekinya cukup tetapi masih tidak cukup. Inilah impak laknat yang maknawi sifatnya tetapi sangat menghancurkan kehidupan. Bagaikan mengalami siksaan neraka dunia sebelum neraka akhirat. Sesungguhnya kebinasaan dan kerosakan yang berlaku ini adalah akibat dari perbuatan manusia sendiri. Allah memperingatkannya melalui surah al-Rum ayat 41 yang bermaksud;
“Telah menjadi nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya dengan itu Allah menjadikan mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar”.

8. Kesimpulan
Berdasarkan huraian yang dijelaskan di atas, dapat dikemukakan beberapa rumusan seperti berikut;
a. Syariah Islam adalah peraturan yang diturunkan Allah kepada seluruh umat manusia sebagai panduan hidup dalam menempuh kehidupan. Keperluan terhadap satu panduan yang serba lengkap adalah satu kemestian kerana manusia adalah makhluk yang dicipta serba kekurangan.
b. Syariah Islam adalah peraturan yang mengatur kehidupan manusia agar mereka memperoleh kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kejayaan dan kebahagiaan yang menjadi buruan manusia bukan dihitung berdasarkan kepada pencapaian kemajuan di dunia semata-mata.
c.  Syariah Islam bertujuan untuk memelihara kepentingan manusia khususnya menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Manusia kadangkala lupa peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengejar cita-cita. Manusia hanya mementingkan diri  sendiri kerana godaan nafsu dan perasaan. Oleh itu matlamat syariah (maqasid al-syariah) boleh dijadikan panduan agar manusia tidak mengabaikan kepentingan dan hak orang lain dalam mengejar cita-cita.
d. Pengamalan dan penghayatan objektif umum syariah secara menyeluruh seperti keadilan sejagat, persamaan, mempermudahkan dan menghindarkan kesusahan dan sebagainya merupakan satu petunjuk dan panduan kepada manusia dalam pengurusan dan pembangunan ummah.
e. Pembangunan ummah adalah satu bentuk pembangunan bersepadu yang mengambil kira pembangunan fizikal dan spiritual. Kedua-kedua aspek pembangunan ini memerlukan satu sama lain. Tanpa ada pembangunan fizikal umat Islam juga tidak mampu mewujudkan pembangunan spiritual dan begitu juga sebaliknya.
f. Pengabaian syariah Islam akan memberi impak yang negatif kepada diri, masyarakat dan negara. Allah nenurunkan bala supaya hamba-Nya sedar akan kepentingan menjaga syariah Islam.


Rujukan
.
Abdul Monir Yaacob. 1998. Undang-Undang Dan Masyarakat. Penyunting. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Abdul Qadir Audah. 1986. Islam Dan Perundangan. Terj. Oleh K.H. Firdaus A.N. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

al-Duraini, Dr. Fathi. 1987. Khasais al-Tasyri’ al-Islami fi al-Siyasah wa al-hukm. Beirut.

al-Fasi’, Allal. 1963. Maqasid al-Syariah al-Islamiyah wa Makarimuha. Rabat.

al-Syatibi, Abu Ishak Ibrahim bin Musa. t.t. al-Muwafaqat fi Usul al-Syariah. Beirut.

Hassan, Dr. Husin Hamid. 1971.  Nazariyah al-Maslahah fi al-Fiqh al-Islami. Kaherah.

Hussin Salamon. 1999. Pembangunan Dari Perspektif Islam. Laman Web: http://www.utm.my/skpost/1999905/19990511.htm.

Ibn.‘Asyur, Muhammad al-Tahir. t.t. Maqasid al-Syariah al-Islamiyah. Tunis.

Kamus ekonomi. 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Malik. 1998. al-Muwata’. Beirut.

Maznah Daud. 1997. Pengenalan Syariah. cet. 1. Shah Alam: Dynamic Care.

Mohd Kamal Hassan. 1998. Pendidikan Dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Ruzian Markom. 2003. Apa itu Undang-Undang Islam. Bentong: PTS Publications & Distributor SDN. BHD.

Sukeri Mohamad. 1995. Monograf Syariah 3. Kuala Lumpur: FSAIUM.

Surtahman Kastin Hasan. 1993. Ekonomi Islam: Dasar Dan Amalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Zaidan, Abdul Karim. 1976. Usul al-Dakwah. Maktabah al-Manar al-Islamiyah.








6 comments:

  1. assalamualaikum.. minta izin copy and buat rujukan.. terima kasih :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum wbt. Saya ingin mohon untuk copy dan bt rujukan untuk esei saya. Terima Kasih kerana share. sangat membantu dan memberi manfaat.. Semoga Tuan dan sekeluarga berada dalam limpahan rahmat-Nya. Amin :)

    ReplyDelete
  3. Slm..mohon izin copy utk buat rujukan..tq

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum ustaz.. izinkan sy untuk copy dan digunakan sebagai rujukan assignment ..tq #grup4

    ReplyDelete