KEMAHIRAN KERJA BERJEMAAH
1. PENDAHULUAN
Kerja berjemaah (amal
jamai’e) dikenali juga sebagai team work atau kerja berkumpulan. Ia
boleh membantu seseorang untuk mendapatkan kekuatan dalam diri bagi memenuhi
keperluan sosial dan psikologikal serta mencapai matlamat hidup. Pepatah Melayu
ada menyebutkan tentang perumpamaan lidi jika diikat banyak boleh menjadi
penyapu yang mampu mengumpulkan sampah yang banyak.
2. DEFINASI
Menurut Kamus Dewan, amal ialah apa sahaja yang
dilakukan, perbuatan dan pekerjaan. Jamai’e ialah sekumpulan manusia yang
berkumpul untuk bekerjasama untuk mencapai tujuan yang sama. Ia bermaksud sekumpulan
manusia bersepakat untuk bekerjasama melakukan sesuatu aktiviti dengan
mengupayakan setiap potensi yang dimiliki untuk mencapai sesuatu objektif.
Mustafa Masyhur (2001) melihat amal jamai’e sebagai sesuatu yang dirancang oleh
pasukan yang mempunyai peraturan, sistem dan prinsip bagi mencapai matlamat
yang diimpikan. Amal atau kerja yang dilakukan itu bukan hanya dari segi
fizikal dan material sahaja tetapi juga meliputi aspek spiritual kerana aspek akidah merupakan
elemen yang mengikat diri setiap orang dalam melaksanakan tugasnya secara
berjamaah. Yusuf al-Qardhawi melihat amal jamai’e sebagai suatu keperluan bagi
mendepani tuntutan kehidupan seperti menyuruh bekerjasama dalam melaksanakan perkara
kebajikan dan ketakwaan (1981). Begitu pun bagi Said Hawwa, amal jamai’e tidak
akan berjaya sekiranya wujud sifat mementingkan diri sendiri serta tidak ada
pengorbanan harta benda, jiwa dan tenaga. (2006).
Dari suatu sisi yang
berbeza, K. Smith (2000) menegaskan bahawa kerja berpasukan lebih produktif
daripada kerja secara individu. Ia akan cepat dapat membantu organisasi
mencapai matlamat organisasi kerana setiap ahli dalam organisasi merasakan
bahawa mereka berada dalam satu pasukan dan diterima baik oleh ahli lain dalam
pasukan tersebut. Oxford Dictionary mendefinasikan team work sebagai
pasukan yang bekerja bersama atau kerjasama yang disusun.
3. CIRI-CIRI
KERJA BERJEMAAH
Dalam sesuatu organisasi, ciri-ciri kerja
berjemaah merupakan teras utama bagi mendokong kejayaan organisasi. Di
antaranya ialah;
A. Kerjasama
Merupakan suatu usaha yang dilakukan oleh
beberapa orang atau kelompok untuk mencapai tujuan bersama. Dalam kehidupan
seharian dan dalam sesuatu organisasi, kerjasama amat diperlukan untuk
menjayakan sesuatu tugasan melalui bersama-sama menghasilkan idea yang bernas
dan seterusnya bersama dalam melaksanakannya. “Berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing”, merupakan peribahasa Melayu yang menjadi pendorong kepada kerja
berjemaah.
B. Amanah
Merupakan asas kepada kecemerlangan
pekerjaan. Tidak amanah membawa kegagalan. Amanah tidak sahaja kepada kerja dan
tugasan dan diberi tetapi juga amanah kepada Allah kerana segala yang
diamanahkan kepada seseorang akan dinilai di akhirat kelak. Setiap ahli
organisasi mesti bersifat amanah dalam melaksanakan tugas dan tidak
menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan dan cuai dalam melakukan
pekerjaan. Dengan amalan sifat amanah, setiap ahli organisasi akan dapat
melaksanakan kerja dengan tekun, gigih dan bersungguh-sungguh.
C. Kepercayaan
Ia sangat penting dalam organisasi sebagai
daya dorong untuk membina kesepakatan bagi melahirkan strategi yang berkesan
dan mencapai matlamat yang diingini. Dalam organisasi, harapan yang tinggi
biasanya diletakkan kepada seseorang yang boleh dipercayai untuk melaksanakan
sesuatu tugasan besar dan penting bagi mengatasi sesuatu masalah. Memilih orang
yang sangat dipercayai amat penting bagi mengetuai organisasi kerana kekuatan
organisasi terletak kepada kepercayaan yang lahir dalam diri setiap ahli
organisasi. Kepercayaan yang kuat ini akan menzahirkan strategi yang berkesan
melalui semangat bekerja kuat untuk kejayaan organisasi.
D. Komitmen
Ia terhasil dari keyakinan individu
terhadap nilai, misi dan tujuan organisasi. Organisasi memerlukan ahli yang
komited bersungguh-sungguh untuk melaksanakan misi dan tujuan organisasi.
Lantaran itu individu yang mempunyai komitmen yang tinggi akan terus menyumbang
kepada matlamat organisasi tanpa merasa penat dan jemu. Ini sekaligus akan
membawa organisasi ke arah kecemerlangan.
4. KEPENTINGAN
KERJA BERJEMAAH
A. Berkongsi
maklumat dan bertukar pandangan
Setiap ahli organisasi perlu sentiasa
bertukar fikiran dan berkongsi idea supaya boleh dimanfaatkan bersama untuk
organisasi. Ini dapat membantu kalangan mereka menambah ilmu pengetahuan,
kemahiran dan pengalaman untuk mengendalikan tugasan dalam organisasi. Ini
bolehmenjadikan setiap tugasan yang dilakukan dapat dilaksanakan dengan pantas
dan efektif.
B. Dapat menyelesaikan
kerja yang rumit dan sukar
Ironinya bekerja secara berkumpulan bukan
sesuatu yang mudah kerana setiap ahli organisasi mempunyai masalah yang
tersendiri. Akan tetapi, setiap masalah tersebut jika dikongsi bersama dengan
menggunakan tenaga yang optimum sudah pasti ia akan cepat diselesaikan dengan
bantuan antara satu sama lain. Kerja yang sukar akan menjadi lebih mudah dan
masa yang panjang akan menjadi lebih pendek dengan kualiti hasil kerja yang
terbaik.
C. Menzahirkan daya
kreativiti yang lebih lancar
Setiap individu mempunyai cara dan kaedah
tersendiri untuk menyelesaikan tugasan mereka dalam sesebuah organisasi.
Sekiranya setiap idea ini diraikan dan dihargai, ia boleh dikombinasikan untuk
menjadi lebih komprehensif dan kreatif. Pada masa yang sama perasaan tertekan
emosi untuk cepat menyelesaikan tugasan secara individu menjadi berkurangan
kerana masalah itu telah diselesaikan secara bersama dengan menggunakan idea
berkumpulan. Idea baru dan saling bantu membantu dapat memajukan organisasi.
D. Mengeratkan semangat
ukhuwah dan setiakawan
Apabila setiap ahli organisasi bergerak
serentak maka banyak nilai-nilai murni yang ada dalam diri mereka seperti
kasih-sayang, ambil berat, tolong-menolong dan bertolak ansur akan terpancar
ketika mana mereka melaksanakan tugasan organisasi. Setiap mereka mesti
berkomunikasi baik supaya segala mesej dapat difahami sekaligus dapat
mengeratkan hubungan kemanusiaan. Berkomunikasi secara positif dengan lemah
lembut, menjaga percakapan dan sopan-santun. Pada masa yang sama sikap negatif
seperti bercakap besar, panas baran dan penggunaan kata-kata kesat hendaklah
dielakkan kerana ia boleh menyebabkan perasaan kecil hati dan mengundang
persengketaan.
5. CABARAN
TERHADAP KERJA BERJEMAAH
A. Memberi kefahaman terhadap ahli organisasi atau pasukan
Setiap organisasi mempunyai matlamat yang hendak
dicapai sama ada untuk mencapai tingkat keuntungan atau kebajikan sosial atau
kredibiliti kepimpinan atau seumpamanya. Seluruh gerak kerja dan infrastruktur
organisasi diarahkan kepada matlamat organisasi. Walau bagaimanapun ada
kalangan ahli organisasi kerana tahap pengetahuan dan latar belakang yang
berbeza menyebabkan berlaku salah faham terhadap matlamat organisasi sehingga
melambatkan kalau tidak pun menggagalkan matlamat organisasi. Oleh itu
organisasi perlu memastikan setiap matlamat organisasi diketahui dan dapat
difahami serta berupaya mempertingkatkan komitmen ahli untuk memajukan
organisasi.
B. Kepimpinan yang lemah tidak efektif
Pemimpin yang
berkarisma boleh memajukan organisasi dengan arahan yang jelas, bacaan yang
tepat dan bimbingan yang meyakinkan. Pemimpin organisasi mesti dipilih dari kalangan mereka yang berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman,
cekap dan bertanggungjawab bagi menghadapi situasi sukar dan memutuskan hala
tuju organisasi. Organisasi yang barisan kepimpinannya tidak memiliki
sifat-sifat ini bakal menjerumuskan organisasi ke jurang kegagalan, kerugian
dan menghancurkan harapan setiap ahli organisasi.
C. Komunikasi yang kurang berkesan
Mewujudkan kepercayaan
di antara setiap ahli dalam organisasi adalah amat penting walaupun sukar untuk
disempurnakan. Komunikasi yang lemah dan kurang berkesan menyebabkan tiadanya
suasana bertukar-tukar pandangan dan bersama-sama menyelesaikan tugasan
organisasi. Komunikasi yang berkesan boleh memberi panduan kepada ahli
organisasi bagi mengurangkan salah faham di kalangan mereka. Ahli organisasi
juga perlu menjadi individu yang terbaik dari segi mental dan fizikal dengan
bertindak balas cepat menyelesaikan masalah organisasi dengan berupaya
berkomunikasi secara terbuka dan jujur di antara mereka, bersedia menerima
perbezaan pendapat dan berani menghadapi setiap konflik yang timbul.
D. Budaya negatif
Tiada sikap tolong
menolong, bekerjasama dan bertolak ansur. Sikap negatif ahli-ahli dalam organisasi mesti
diminimakan untuk kemantapan organisasi. Jangan keterlaluan mementingkan diri
sendiri sehingga tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain. Jangan saling
membenci, bermusuhan dan memandang rendah orang lain. Jangan tenggelam dengan
masalah peribadi sehingga sukar memajukan organisasi. Sebaiknya merendah diri,
memahami dan belajar bekerjasama serta bertolak ansur.
E. Strategi kerja yang tidak terancang
Strategi kerja seperti arahan yang jelas, amalan
berpsikologi dan pembahagian tugas amat penting bagi keberkesanan organisasi.
Setiap tugasan perlu disusun dengan teratur supaya dapat dilaksanakan dengan
lancar. Sekiranya organisasi tidak mempunyai strategi yang mantap, pasukan
kerja akan hilang rujukan, merasa tertekan dan hilang semangat kerja merupakan
kegagalan organisasi.
6. PENYELESAIAN MASALAH
A. Mempertingkatkan kualiti diri
Ini dilakukan melalui
pencarian ilmu, kemahiran dan pengalaman yang mantap. Setiap ahli organisasi
perlu saling melengkapi antara satu sama lain dengan menutup kekurangan dan
kelemahan yang ada. Berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan, memantapkan
kemahiran dan mencari pelbagai pengalaman bagi memperkayakan organisasi dalam
semua proses kerja.
B. Meningkatkan karisma kepimpinan
Dalam kerja berpasukan
melalui amalan shura dan bertindak mengutamakan keadilan dan kebebasan
menyatakan pandangan yang berbeza untuk kepentingan bersama. Pemimpin mesti
dibentuk supaya bertanggungjawab, memberi harapan, meningkatkan keyakinan diri
dan peniup semangat. Pemimpin bukan sahaja sebagai penunjuk arah tetapi juga
sebagai pembimbing ahli organisasi untuk memastikan segala urusan kerja
berjalan baik.
C. Komunikasi yang berkesan
Dalam sesuatu pasukan
adalah amat penting dipupuk amalan komunikasi secara sopan, pengucapan intonasi
yang betul dan bahasa badan yang tepat serta niat yang baik. Setiap ahli
organisasi berusaha untuk berkomunikasi secara
jujur, terbuka dan menerima perbezaan serta bersedia menghadapi konflik
bagi menghadapi salah faham, tekanan dan persengketaan. Komunikasi yang baik
memberikan semangat berpasukan yang kuat dan komunikasi yang lemah mengoyahkan
semangat untuk bekerja secara efisyen.
D. Peningkatan nilai akhlak dalam diri
Merupakan suatu
keperluan bagi organisasi untuk membentuk ahli yang berfikiran terbuka, benar,
tabah, tolak ansur dan saling membantu perlu diutamakan dalam hala tuju
organisasi. Sikap negatif seperti malas, irihati dan adu domba wajar dielakkan
supaya suasana dalam organisasi diwarnai dengan semangat setiakawan dan
kegembiraan. Ini mesti diusahakan walaupun sukar.
E. Peningkatan strategi kerja
Melalui perancangan
yang teratur, pemimpin organisasi akan memberi tugasan kepada ahli organisasi
supaya dapat diselesaikan pada masa yang ditetapkan sebagaimana spesifikasi
yang dikehendaki. Sekiranya tugasan tersebut berhadapan dengan masalah, setiap
ahli organisasi perlu bersatu menyelesaikannya dan menambahbaik perkara
tersebut supaya berada di landasan yang betul untuk kejayaan organisasi.
F. Pengabdian diri kepada Allah
Ahli dan kepimpinan
organisasi mesti menunjukkan peningkatan pengabdian diri kepada Allah melalui
amalan solat, doa, zikir dan tawakal bagi mendapat keberkatan hidup dan
kerahmatan organisasi. Membina hubungan spiritual dengan Allah mempu menjadikan
suasana organisasi teratur dan tenang serta menggelakkan ketegangan.
Kemahiran kerja
berjemaah melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada
pelbagai latar belakang sosio budaya untuk mencapai matlamat yang sama. Ia adalah kebolehan untuk;
·
membina
hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama
mereka untuk mencapai matlamat yang sama.
·
Kebolehan
memahami orang lain dan mengambil peranan silih berganti sebagai pemimpin dan
yang dipimpin.
·
Mengenali dan
menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain untuk memudahkan
mengurus konflik.
·
Memberi
sumbangan kepada perancangan dan menyelaras hasil usaha jemaah untuk
menghasilkan produk berkualiti atau perkhidmatan yang berkesan.
·
Bertanggungjawab
terhadap keputusan kumpulan dengan menyelesaikan setiap kekurangan.
Dalam
berorganisasi, membina kumpulan jemaah yang mantap sangat penting
kerana ia dapat menyumbang kepada produktiviti dan perkhidmatan yang
berkualiti. Jemaah ini dibentuk melalui penghargaan terhadap
setiap orang, keputusan dibuat berdasarkan shura, setiap ahli jemaah saling
mempercayai dan hormat menghormati. Setiap orang
diberikan kebebasan untuk menggunakan kreativitinya, kemampuannya dan kepakarannya. Sentiasa wujud suasana mesra di antara ahli. Setiap mereka berbangga dengan hasil kerja jemaah dan pencapaian organisasi.
· Melatih kemahiran kepimpinan, mengurus dan amalan berorganisasi.
· Memupuk
kebolehan berkomunikasi dan jaringan sosial.
· Mendorong
sifat mempercayai, menghormati , kerjasama dan saling membantu.
· Melahirkan minat
untuk menggunakan kreativiti, meneroka idea-idea baru dan menerima perubahan.
· Melahirkan
ahli jemaah yang berkebolehan menyelesaikan masalah secara kolektif dan
sistematik dengan suasana mesra.
· Memberi
peluang kepada ahli menyertai proses membuat keputusan dalam perkara yang
berkaitan tugas harian mereka.
· Mengurangkan
krisis dan konflik serta mewujudkan suasana harmoni dan selesa serta berbangga
dengan hasil kerja pasukan.
Islam sering
menyeru supaya kita hidup dalam berjemaah. Ini dibuktikan dalam hadith Rasulullah
SAW yang bermaksud “Seseorang yang solat
jemaah lebih baik daripada solat berseorangan”. Begitu juga sorotan sejarah
Islam membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting sepertimana peristiwa
Perang Uhud apabila tentera Islam yang bilangannya lebih kecil tetapi brsatu
dapat menewaskan pihak musuh yang lebih besar jumlahnya, apabila mereka
bertindak secara berkumpulan dan mempunyai perancangan yang teliti.
7. KESIMPULAN
Kemahiran kerja berjemaah merupakansatu daripada
sistem pengurusan gerak kerja yang sistematik dalam sesebuah organisasi.
Sebagai satu prosedur kerja yang berpandukan ketetapan yang digariskan oleh
organisasi, banyak faedah yang boleh diperolehi oleh organisasi dan individu
yang terlibat dengan organisasi yang berkenaan dari segi psikologikal,
sosiologikal dan ekonomikal.
RUJUKAN
Baba, S. 2005. Konsep Khalifah dan
Komunikasi Dalam Pasukan.
Hawa, S. 2006. Memahami Prinsip-Prinsip
Amal Islami. Terj. Darus Sanawi. Kula Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Smith, K. 2000. Teamwork Content. Canada.
No comments:
Post a Comment