Sunday, April 12, 2020

ISC01


FALSAFAH PEMBANGUNAN PERSONALITI



1.    PENDAHULUAN
Falsafah bermaksud hikmah atau kebijaksanaan. Ia mendorong manusia untuk berfikir dengan lebih kritis. Setiap perbuatan manusia menggambarkan apa yang difikirkannya, apa yang dilakukannya adalah apa yang difikirkannya. Oleh yang demikian, seseorang yang berakhlak dan berdisiplin adalah seseorang yang mempunyai fikiran yang sistematik dan teratur serta akal yang sejahtera.

2.    DEFINASI
Personaliti ialah keperibadian merupakan suatu aspek psikologi yang mengkaji keperibadian dan proses individu lain yang menjadikan kita sebagai manusia. Personaliti berasal dari perkataan Latin, “Persona” yang bermaksud topeng atau pelindung muka iaitu suatu keadaan yang merujuk kepada penampilan luaran individu.
Dalam bidang psikologi, personaliti merangkumi pemikiran, persepsi, nilai, sikap, watak, keupayaan, kepercayaan, kecerdasan, motivasi, kebiasaan dan sebagainya. Personaliti menggambarkan sifat keperibadian seseorang dan dikaitkan dengan perwatakan. Personaliti seseorang boleh dikaji dengan memerhatikan tingkah laku, percakapan dan cara menyelesaikan masalah. Ahli psikologi bernama Sigmund Freud mendefinisikan personaliti sebagai sifat yang menggambarkan diri seseorang individu, iaitu merujuk kepada tingkah laku yang boleh diperhatikan oleh orang lain atau merujuk kepada perasaan yang dialami oleh seseorang dalam dirinya sendiri.
Personaliti mempunyai ciri-ciri yang dinamik dan tersusun yang dimiliki oleh individu secara unik. Ciri-ciri ini akan mempengaruhi kognitif, motivasi dan tingkah laku individu tersebut dalam pelbagai situasi. Personaliti merupakan gabungan pelbagai sifat dan konsep kendiri seseorang. Individu yang mempunyai konsep kendiri akan menghasilkan personaliti bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan, cara bertindak, tingkahlaku yang ditunjukkan dan cara seseorang berinteraksi dengan persekitaran dapat membantu mengenali personaliti seseorang. Justeru, perkembangan kanak-kanak amat berkait rapat dengan perkembangan kendiri dan dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu personaliti dan konsep kendiri.
Pada pandangan Islam, personaliti ialah sahsiah atau akhlak yang dimiliki oleh setiap individu. Akhlak membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkah laku atau adat kebiasaan. Akhlak adalah penentu kepada keterampilan seseorang. Ia terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk. Akhlak juga mengambarkan jiwa individu. Imam al-Ghazali (1058-1111) banyak membicarakan persoalan hati, akal dan nafsu. Al-Ghazali menekankan konsep Keabadian Jiwa yang wujud dalam agama dan mempercayai kehidupan selepas mati. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri-ciri keperibadian individu dan mencirikan perbezaan di antara setiap individu. Dalam teori ini, kerohanian yang menguasai atau mengawal jasad manusia.
Dalam al-Quran juga terdapat beberapa istilah yang berkaitan dengan ilmu ini iaitu                                                                                                                                                                      nafsu, hati dan akal. Fungsinya adalah untuk mencari dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Manusia dilahirkan dalam keadaan suci tetapi perubahan bergantung kepada jasmani, akal dan rohnya secara seimbang. Personaliti adalah sifat yang ada pada individu seperti cara berfikir, beraksi, beremosi, persepsi dan memperihalkan sifat-sifat fizikal, emosi dan mental setiap insan.
Manusia dibezakan menerusi dua aspek:
i.      Kemampuan; meliputi pencapaian, kecerdasan dan bakat.
ii.     Personaliti; meliputi watak, sifat, penyesuaian diri, minat, emosi, sikap dan motivasi.
Personaliti juga bermaksud seluruh perlakuan luaran (jasmaniah) atau dalaman (rohaniah) individu yang lahir secara sepontan tanpa paksaan iaitu semua gerak balas anggota fizikal badan. Perlakuan dalaman mencakupi sistem kepercayaan, pegangan hidup, persepsi dan sebagainya. Personaliti merangkumi keseluruhan perlakuan manusia. Personaliti yang sempurna bergantung kepada hubungan dan taqwa kepada Allah SWT.

3.    PEMBANGUNAN PERSONALITI
Pembangunan personaliti merangkumi;
·      Aspek luaran ialah kejayaan yang diperolehi, semangat, pujian dan sebagainya.
·      Aspek dalaman pula terbitnya rasa cinta kepada Allah SWT, bertakwa, bersabar dan segala sifat yang baik.
·      Hasil dari gabungan dua faktor tadi terbentuk seorang muslim yang mempunyai personaliti yang berpandukan al-Quran dan mampu menghadapi segala dugaan.
Personaliti pada masa kini lebih dikenali sebagai modal insan dan ia melibatkan 10 perkara utama;
·      Manusia diciptakan Allah sebaik-baik kejadian (al-Tin: 4). Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)”.
·      Manusia berkedudukan yang tinggi sebagai Khalifah.
·      Manusia dimuliakan dengan diberi kemudahan untuk tadbir urus alam (al-Isra: 70). Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.
·      Manusia dilengkapi pendengaran, penglihatan, perasaan dan hati nurani untuk  menjalani kehidupan dengan baik (al-Sajadah: 7). Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah”.
·      Manusia diberi kelebihan dengan Ilmu berbanding dengan malaikat.
·      Manusia diberi dua kecenderungan untuk bertindak iaitu ke arah kebaikan dan ke arah kejahatan.
·      Manusia sanggup memikul amanah untuk memakmurkan bumi.
·      Manusia diberi kebebasan memilih haluan hidup.
·      Manusia mempunyai keupayaan meningkatkan darjat dirinya mengikut apa yang telah diusahakan.
·      Manusia perlu latih dirinya sebagai hamba Allah SWT.

4.    SUMBER PEMBANGUNAN PERSONALITI
Personaliti adalah sesuatu yang diolah dengan keimanan dan ketakwaan. Oleh yang demikian sumber pembangunan personaliti dalam Islam ialah;
·      Al-Quran: Pedoman dan  petunjuk Allah SWT kepada manusia dalam semua perkara termasuk sam`iyat dan aspek ketamadunan. Sumber perlembagaan hidup dan sumber ilmu pengetahuan dan pendidikan.
·      Al-Sunnah: Segala yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dari sudut percakapan,  perbuatan dan pengakuan. Ia merupakan sumber asasi kedua selepas al-Quran. Berperanan menerangkan dan memperincikan isi kandungan al-Quran. Sabda Rasulullah SAW; “Sesungguhnya Allah tidak menilai atas rupamu serta harta kekayaanmu, akan tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatanmu”. (Riwayat Muslim dan Ibn Majah dari Abu Hurairah). Keperibadian sebenarnya wujud dari cara berfikir (bagaimana ia bersikap dan berfikir) dalam kehidupan.
·      Sahabat: Para personaliti sahabat Rasulullah SAW iaitu Khulafa’ al-Rasyidin seperti istiqamah dan sabar menghadapi penderitaan. Takut kepada Allah SWT (Taqwa). Berpada-pada dengan kehidupan duniawi dan zuhud. Berebut-rebut mencari keredaan Allah SWT. Semangat keberanian dan kepahlawanan. Bersimpati dan pengorbanan jiwa. Mencintai Rasulullah SAW dan mencintai ilmu.
·      Ulama: Banyak istilah ulama seperti yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar. Di antaranya ialah fuqaha iaitu ulama fiqh, mufassirun atau ulama tafsir, ahlul ilmu kalam yang merujuk kepada ulama aqidah, usuliyyun merujuk kepada ulama usul fiqh, muhaddithun merujuk kepada ulama hadith dan lain-lain lagi. Semuanya dianggap sebagai ulama dalam Islam. Ada yang menyatakan bahawa ulama ialah sesiapa sahaja yang tahu dalam apa sahaja bidang ilmu. Ilmu dan kefahaman yang dimiliki menjadikan ulama ini; Sangat takutkan Allah SWT dan sentiasa memastikan setiap tindakan dan keputusan yang dibuat selari dengan kehendak Allah dan Rasul. Bersikap tegas jika berlaku sebarang tindakan yang bercanggah dengan syariah .

5.    KEPENTINGAN PEMBANGUNAN PERSONALITI
·      Diri; melalui pelaksanaan tuntutan agama, membentuk keyakinan, menyatakan penghargaan dan dijadikan ikutan dan model. Menzahirkan kepuasan.
·      Kerjaya; Pembangunan personaliti memberikan motivasi bagi memudahkan kerja. Ia membentuk kepercayaan, kerjasama, penghormatan dan penghargaan.
·      Organisasi; Pembangunan personaliti membentuk kepimpinan organisasi, kepercayaan dan keyakinan. Ia juga boleh membawa kejayaan atau keuntungan dan kebanggaan.

6.    KESIMPULAN
Personaliti adalah gabungan berbagai sifat dan kendiri seseorang. Individu yang mempunyai kendiri positif akan menghasilkan personaliti yang bersesuaian dengan keperluan persekitarannya. Gaya percakapan dan tingkah laku yang ditunjukkan serta cara seseorang itu berinteraksi dengan persekitarannya dapat membantu mengenali personaliti seseorang.

No comments:

Post a Comment