Sunday, April 12, 2020

ISC09


KEMAHIRAN SOSIAL ISLAM




1.    PENDAHULUAN
Manusia melalui pelbagai peringkat perkembangan dari usia bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya ketika tua dalam persekitaran yang membina seperti suka berkawan dan menerima diri secara positif. Sekiranya mereka melalui persekitaran yang tidak sihat maka mereka terdedah kepada kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial hingga mereka merasai tidak dihargai, tidak dipercayai bahkan tidak dihormati. Oleh yang demikian, setiap individu perlu memiliki kemahiran sosial tertentu dalam menentukan mereka boleh hidup dengan berjaya dan bahagia. Dari satu segi yang lain, individu yang mengalami gangguan personaliti seperti personaliti anti sosial dan gangguan kebimbangan sosial turut mempunyai kekurangan dalam aspek kemahiran sosial.

2.    DEFINASI
Kemahiran sosial ialah beberapa set kemahiran yang perlu dimiliki apabila berinteraksi dengan individu lain dalam pelbagai situasi kemasyarakatan. Kemahiran sosial adalah sebahagian daripada kepintaran akal seseorang individu. Begitu pun faktor persekitaran seperti pendedahan yang kerap dalam pergaulan positif boleh mematangkan seseorang dan memberikan tahap kemahiran sosial yang baik dalam interaksi. Punca seseorang kurang mahir dari segi interaksi sosialnya adalah kerana kurang pergaulan atau pun tiada pendedahan yang wajar untuk mereka mengatasinya. Kemahiran sosial Islam perlu dimiliki kerana ia mampu mencapai matlamat individu kepada orang lain dan menghasilkan satu bentuk perhubungan positif dan harmonis serta berupaya untuk mengekalkan perhubungan bagi jangka masa panjang. Apabila berinteraksi dengan orang lain, sebenarnya individu cuba berkomunikasi secara efektif dengan mereka dengan bahasa (perkataan) verbal dan juga bukan verbal seperti isyarat tangan, ekspresi muka, tahap intonasi suara, gaya berjalan dan sebagainya.

3.    FAKTOR PEMBENTUKAN KEMAHIRAN SOSIAL
Setiap hari dalam semua media massa dipaparkan mengenai keruntuhan akhlak, kebejatan moral dan tingkahlaku songsang setiap lapisan masyarakat meliputi kanak-kanak, remaja dan juga orang dewasa bahkan yang telah tua. Hasil penilitian banyak pihak didapati faktor berikut mempengaruhi pembentukan kemahiran sosial;
    Hubungan individu dengan ibu bapa; Maksud hadith Rasulullah SAW riwayat Muslim, “Tidak ada seorang bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci dari sebarang dosa), maka kedua ibubapanyalah yang akan menjadikan anak itu sama ada sebagai seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”. Institusi keluarga menjadi tunjang kepada pembentukan keperibadian individu terutamanya asuhan emosi dan tingkahlaku dari ibu dan bapa. Ibu bapa berperanan penting menanam nilai hidup positif kepada anak-anak seperti kasih-sayang, minat, bakat, naluri, kesungguhan dan penghormatan kerana banyak masa dihabiskan hidup bersama ibu bapa.
   Hubungan individu dengan rakan sebaya; Di luar institusi keluarga, setiap individu akan berinteraksi dengan rakan sebaya untuk belajar dan bermain sesuatu. Dalam masa yang sama individu sedang melalui tempoh transisi remaja apabila perkembangan intelek, keperibadian, emosi dan sosialnya turut dipengaruhi oleh rakan sebayanya.Individu kena memilih rakan sebaya yang baik keperibadian, tinggi kesungguhan dan ada kebijaksanaan.
• Faktor persekitaran; Persekitaran mempengaruhi tabiat hidup manusia. Persekitaran urban, semi urban dan juga kedesaan boleh mempengaruhi pembentukan kemahiran sosial. Persekitaran yang baik boleh menghasilkan keperibadian yang baik. Begitu juga sebaliknya. Manusia bersifat suka meniru, menyerap, mendapatkan sesuatu apa yang ada di persekitarannya. Maksud hadith Rasulullah SAW riwayat Bukhari; “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang salih dan orang yang bersahabat dengan orang yang buruk perangai adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan tukang besi. Pasti kamu akan dapat bauan minyak wangi dari penjual minyak wangi sama ada membeli atau pun tidak. Sedangkan dari tukang besi, kamu akan merasa bahangnya atau kainmu dan kamu akan mendapat bau yang busuk”.
   Globalisasi dan media massa; Teknologi mendedahkan individu dengan segala-galanya tanpa batas sempadan. Maklumat tentang apa sahaja yang boleh mempengaruhi intelek, emosi dan tingkah laku individu boleh didapati di sekitar individu melalui surat khabar, majalah, iklan, internet, radio dan televisyen bahkan melalui whatsapp, instagram, tweeter dan seumpamanya. Lebih lama masa yang diambil untuk menatapi media tersebut maka lebih dalam kesan yang diperolehi.

4.    ASAS KEMAHIRAN SOSIAL
Islam melalui panduan al-Quran menggambarkan suatu contoh keadaan pergaulan sosial sesama manusia supaya manusia terus maju dan cemerlang. Surah al-Sad ayat 24 bermaksud; “Nabi Daud berkata; Sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambing-kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim dengan setengahnya, kecuali orang yang beriman dan beramal salih, sedang mereka amatlah sedikit. Dan Nabi Daud (setelah berfikir) mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun dengan Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat)”.
·      Kemahiran memilih. Individu perlu memilih sama ada benda, orang, tempat, keperluan atau suasana yang disukainya tetapi fitrah manusia sukakan sesuatu yang baik untuk dirinya. Individu harus berkorban untuk memilih sesuatu yang baik untuk dirinya dan meminta petunjuk dari Allah SWT. Ia perlu belajar untuk memilih, menentukan keutamaan untuk memilih dan pasti dengan pilihannya.
·      Kemahiran menilai. Individu berkebolehan untuk menilai baik atau buruk pilihan yang ditentukannya. Sesuatu yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah adalah lebih baik. Perlu diambil perkiraan juga keutamaannya bagi masyarakat dan negara.
·      Kemahiran menghormati. Individu yang memiliki sikap menghormati orang lain pasti punya hubungan baik dengan semua lapisan sosialnya. Akhlak mulianya ini ditunjukkan dengan layanan mesra, sopan, bekerjasama dan menjaga hak privacy orang lain. Hadith riwayat Anas bermaksud; “Tidaklah seorang muda menghormati kepada orang tua kerana tuanya (usianya), melainkan Allah akan membalas penghormatan dengan menghormatinya pula kerana usianya kelak”.
·      Kemahiran menghargai. Individu memandang tinggi seseorang dengan menutur perkataan dan menzahirkan perbuatan dengan sopan dan takzim. Boleh dilakukan dengan melembutkan suara, meminta maaf dan ucapan terima kasih serta memberikan hadiah. Boleh juga menolong orang lain seperti menolong membersihkan sesuatu. Dalam masa yang sama merendahkan diri dan membuang rasa ego diri. Individu juga perlu menghargai diri sendiri dengan memperbaiki diri dan menyayangi diri dari kebinasaan.
5.    KEPENTINGAN KEMAHIRAN SOSIAL
Kemahiran sosial yang dimiliki dapat meningkatkan keupayaan seseorang untuk menempuh aktiviti kehidupan bersosial dalam masyarakat dengan;
·      Daya keyakinan. Meningkatkan rasa keyakinan diri, kemampuan untuk menerima perbezaan pendapat  dan menghormati pandangan orang lain. Menjaga diri sendiri dan orang lain; Berakhlak, beretika dan beradab tertib dengan menunjukkan empati, menghargai dan menghormati orang lain dan berbudi bahasa.
·      Kepimpinan. Berfikiran terbuka dan berpengalaman luas. Berikan pendedahan kepada benda, tempat, orang, dan aktiviti baharu yang boleh meluaskan minat supaya mereka juga akan mempunyai banyak perkara untuk diperkatakan dan dikongsi bersama orang lain. Mereka juga mempunyai peluang lebih cerah untuk dilantik sebagai pemimpin berbanding individu yang tidak berupaya menunjukkan tahap keyakinan diri yang baik atau tidak berani memberikan pendapat dan idea kreatif.
·      Kerja berpasukan. Hubungan yang lebih baik dan boleh dipercayai di kalangan rakan sebaya dan rakan sekerja dan lain-lain dengan sikap saling memahami dan bantu membantu menyelesaikan semua tugas organisasi.
·      Membina hubungan. Melibatkan diri dalam kumpulan; Mengambil bahagian dalam perbincangan kerja atau keluarga dan membuat keputusan. Boleh memberi nasihat dan galakan, bijak membaca suasana untuk memberi teguran dan kritikan serta mengiktiraf kelebihan orang lain dan menerima kelemahan mereka.
·      Pengurusan konflik. Tunjukkan inisiatif. Berikan galakan, benarkan kesilapan dan beri peluang berfikir secara kritikal ketika menjawab soalan. Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, mengendalikan stress dengan berkesan dan menuju kesejahteraan. Dengan ini, mereka mempunyai peluang lebih baik untuk diterima masyarakat dan seterusnya menjadi golongan yang mampu bertahan dalam pelbagai situasi.
·      Komunikasi. Berlatih mengawal intonasi  dan  kedudukan tubuh (berdiri, berjalan atau duduk) supaya nampak baik dan meyakinkan. Bersuara mempertahankan diri tanpa menggunakan keganasan atau penghinaan.Melahirkan perasaan; Bertanya, berbincang mengenai aktiviti harian bagi menggerakkan perbualan. Memastikan pencapaian yang lebih baik dengan membuka lebih banyak peluang dan potensi untuk kerjaya, perniagaan atau kehidupan melalui jaringan kenalan yang ada.

6.    MASALAH KETIADAAN KEMAHIRAN SOSIAL
Kekurangan kemahiran ini akan mewujudkan;
·      Kurang sabar dalam pergaulan. Suasana tegang dan cemas hingga tidak dapat bertolak ansur, berlaku salah faham dan putus hubungan silaturahim. Kesabaran perlu kepada latihan yang berterusan dan bersungguh-sungguh.
·      Kurang kerjasama dalam menyempurnakan tugasan. Berlaku kerana ada individu yang suka mencari keburukan dan kesalahan orang lain. Kemahiran sosial memerlukan semangat berpasukan yang tinggi di mana setiap individu perlu menghormati pandangan orang lain dan saling lengkap melengkapi menutup segala kekurangan.
·      Sukar memberi dan berkongsi idea              . Adakalanya kerana mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja yang betul. Individu juga sukar untuk mengutarakan pandangan dan khuatir pula untuk menegur orang lain. Mereka menghadapi tahap kerisauan yang tinggi akan melakukan kesilapan sehingga tidak berkongsi idea dengan orang lain walaupun idea itu bernas dan untuk kebaikan bersama.

7.    KESIMPULAN
Personaliti memberi gambaran mengenai hubungan sosial yang baik dengan mereka yang ada di sekeliling. Penguasaan kemahiran sosial tertentu mampu membentuk personaliti yang baik dan mampu membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Kepentingan membina perhubungan dan jaringan sosial melalui dakwah juga telah diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dengan tujuan mempertingkatkan seruan Islam. Dari surah al-Baqarah ayat 83 yang maksudnya, “... dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan- perkataan yang baik ...”.“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang berlaku zalim di antara mereka...”  (al-Ankabut: 46). Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;  "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain". (Riwayat al-Tabarani).
                                                                   

No comments:

Post a Comment