Sunday, April 12, 2020

ISC04


METOD PEMBANGUNAN PERSONALITI



1.    METOD ISLAM
Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka secara seimbang dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Ia bertujuan bagi melahirkan insan Rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal salih. Kanak-kanak pada peringkat awal umur, tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Oleh itu mereka perlu dibentuk dan dididik dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam soal pendidikan awal tetapi berbeza dari segi pembentukan sahsiah kerana ia bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi juga pemantapan akhlak dengan menerapkan keimanan ke dalam roh dan jiwanya. Pendidikan Barat hanya menumpukan kepada pembinaan akal, fizikal dan nafsu semata-mata. Sementara Pendidikan Islam bermatlamat untuk mendidik, memberi kesedaran hakikat diri manusia iaitu roh. Ia juga bermatlamat untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Roh atau rohani disebut sebagai sains kerohanian (spiritual science) atau spiritual quotient (SQ) iaitu kemampuan jiwa yang dimiliki seseorang untuk membangun dirinya secara utuh melalui pelbagai kegiatan positif sehingga mampu menyelesaikan berbagai persoalan dengan melihat makna yang terkandung di dalamnya. Orang yang memiliki kecerdasan spiritual (SQ) akan mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapinya dengan melihat permasalahan itu dari sisi positifnya sehingga permasalahan dapat diselesaikan dengan baik dan cenderung melihat suatu masalah dari maknanya. Ia merupakan didikan yang dilaksanakan secara saksama dan bersepadu dalam membina 3 komponen manusia iaitu akal,  nafsu dan roh.
Dalam Islam solat merupakan latihan bagi pembentukan rohani. Pembinaan generasi berkeperibadian baik adalah melalui latihan mendirikan solat. Rasulullah SAW memerintahkan ibu bapa mulai mendidik anak-anak ketika berusia 7 tahun sebagai latihan praktikal membentuk spiritual quotient (SQ). Ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak jika mereka lalai melaksanakan solat apabila telah mencapai usia 10 tahun. Ini menunjukkan solat adalah tanggungjawab berat yang diamanahkan kepada ibu bapa kerana ia membina rohani dan peribadi individu muslim seawal usia muda. Solat amat penting, ia mesti dilaksanakan secara kolektif bersama ahli keluarga kerana ini dapat mendisiplinkan seluruh kehidupan berkeluarga. Latihan bersolat merupakan satu langkah yang praktikal dalam proses membentuk rohani anak-anak perlu dimulakan sejak pada usia muda. Seperti kenyataan Pepatah Melayu, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Jika proses latihan ini diabaikan, Ruh yang terbiar tanpa didikan dan latihan akan dijangkiti pelbagai penyakit, seperti; Iri hati, buruk sangka, sombong, angkuh, bongkak, merasa sempurna (ujub), suka menunjuk-nunjuk kelebihan (riya’), mencari nama, kehormatan, kedekut, kikir, bakhil, membangga diri, dendam, tamak, mementingkan kebendaan, gila kuasa, gila dunia dan pemarah. Setiap Muslim mesti berusaha untuk membersihkan diri yang sering lalai, lupa dari sifat-sifat yang tercela atau menghindari perkara-perkata yang boleh mengotorkan hati atau ruh. Gunakan akal dan perasaan berdasarkan wahyu untuk memahami dan menyelidiki hakikat kehidupan. Amalkan sifat yang menyinari Jiwa, Ruh, Hati, yang menurut Imam al-Ghazali di antaranya ialah;
  Taubat: menyesali perbuatan yang tercela dan keji
·      Taqwa: takut kepada Allah SWT
·      Ikhlas: niat dan amal yang tulus atau suci
·      Syukur: rasa terima kasih
·      Redha: tenang menerima takdir Allah SWT
·      Sabar: tahan menerima cubaan
·      Zuhud: hidup bersederhana
·      Tawakal: menggantungkan atau menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT
·      Mahabbah: perasaan cinta kepada allah SWT
·      Zikrul maut: selalu mengingati mati
Konsep tarbiyah aqliyah adalah suatu konsep pendidikan akal untuk berfikir benar, agar terbebas dari pemikiran tanpa dasar (asas) sehingga mampu membuat keputusan yang tepat dan benar. Pendidikan adalah peningkatan pemikiran akal dan latihan secara teratur untuk berpikir benar, dan mampu menjaga pemikiran dari pengaruh yang pelbagai  sehingga dapat membuat keputusan yang tepat dan benar.
Pendidikan akal, antaranya meliputi;
  Latihan perasaan agar cermat dan benar, betul dan tepat dalam memilih sesuatu.
·      Melatih memperhatikan sesuatu yang nyata dan memikirkannya menurut hakikat
·      Pengaturan cara berfikir dan membekalkan dengan pengetahuan yang berguna
·      Menguatkan daya intuisi dan melatihnya membiasakan berfikir secara sistematik
Tahap Pendidikan Akal ialah;
·      Pengetahuan (Kognitif), iaitu menguji daya ingatan. Iaitu mengenal dan mengingat bahan yang dipelajari.
·      Kefahaman (Afektif), iaitu menguji tahap kefahaman, mengerti dan tahu. Kemampuan menyimpulkan bahan yang telah dipelajari.
·      Aplikasi. Penggunaan ilmu yang dipelajari. Iaitu mampu menggunakan dan mengolah bahan dan kaedah yang dipelajari dalam kehidupan.
·      Analisa. Dapat membuat andaian dan pencerakinan. Iaitu mampu menghuraikan sesuatu bahan ke dalam suatu idea.
·      Sintesis. Dapat menggunakan pengetahuan untuk penghasilan sesuatu yang baru).
Pendidikan Jasmani merupakan satu proses pembelajaran yang  menyeluruh merangkumi semua aspek domain seperti psikomotor, kognitif, afektif, sosial dan emosi. Melalui pendidikan jasmani, pelajar akan diberi ruang untuk mencuba dan mengalami sendiri pengalaman semua aktiviti fizikal yang dijalaninya.
Kesihatan yang baik menjadikan seseorang individu lebih selesa meneruskan kehidupan dan menikmati kebahagiaan. Perumpamaan Arab menyatakan “al-Aqlu salim fi jismi salim” yang bermaksud akal yang sihat datangnya dari tubuh badan yang sihat. Matlamatnya pendidikan jasmani adalah untuk meningkatkan kesegaran fizikal, mengembangkan kemahiran psikomotor, pengetahuan dan perilaku hidup sihat dan aktif serta kecerdasan emosi.
Islam sangat mementingkan kesihatan. Umat Islam diperintah menjaga tubuh badan agar sentiasa sihat dan berikhtiar berubat apabila sakit. Amalan Untuk Menjaga Kesihatan Jasmani. Makan yang halal dan berkualiti. “Wahai orang yang  beriman! Makanlah barang yang baik dari apa yang  diberikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah  hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang  disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melampaui batas, maka tidaklah berdosa baginya (memakan atau menggunakan benda-benda yang haram) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Mengasihani”.(al-Baqarah: 172-173).
Makan secara sederhana dan seimbang. Makanan hendaklah diambil dalam kadar yang sederhana dan berimbang serta tidak makan secara rakus dan pelahap. Pengambilan makanan hanyalah untuk memperkuatkan tubuh, memelihara kesihatan, mendapatkan tenaga dan kecergasan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas (al-A’raf: 31). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasan”. (Riwayat al-Tarmizi).
Menjaga penampilan diri contohnya kekemasan rambut. Diberitakan bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi kami, lalu terlihat seorang lelaki yang rambutnya mengerbang, lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak adakah sesuatu pada lelaki itu yang boleh digunakan untuk menyikat rambutnya? (Riwayat Muslim). Menjaga kebersihan badan dan pakaian, Rasulullah SAW menyarankan agar mandi dengan sempurna terutamanya pada hari Jumaat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi (Riwayat Bukhari). Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap Muslim mandi satu hari dalam seminggu di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Melakukan riadah badan atau bersukan. beriadah adalah sebahagian amalan gaya hidup sihat. Islam menggalakkan umatnya mengamalkan aktiviti latihan jasmani yang bersesuaian. Sayidina Umar RA yang menggalakkan bersukan dan latihan jasmani. Katanya: “Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”. Gaya hidup yang sihat juga dapat diperolehi dengan melakukan ibadah khusus seperti berwudhuk, bersolat dan berpuasa. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk daripada terus melekat di badan atau rongga. Persekitaran yang bersih memberikan oksigen yang menyegarkan spiritual dan fizikal. Berfikiran positif boleh menyihatkan otak dan mengurangkan stress.

2.    PENGUKUHAN
Teori pengukuhan (reinforcement theory) merupakan teori yang paling berkesan dalam motivasi perubahan tingkahlaku. Menurut teori ini, manusia melakukan apa saja kerana mengharapkan ganjaran. Justeru ganjaran berfungsi sebagai pengubah kepada sesuatu tingkah laku. Teori pengukuhan mengatakan bahawa seseorang berhubung dengan yang lain kerana menjangkakan akan memperolehi sesuatu. Jika pada jangkaannya tidak akan mendapat sesuatu perhubungan, perubahan tidak akan berlaku.
Pengukuhan juga dikenali sebagai peneguhan. Ia dilakukan untuk mengalakkan sesuatu perlakuan itu diulangi. Pengukuhan diberikan kerana;
·      Untuk memuaskan kehendak individu.
·      Untuk mengurangkan tekanan dan merangsang otak.
Pengukuhan terbahagi kepada 2 iaitu;
A.      PENGUKUHAN POSITIF. Pengukuhan atau peneguhan positif memberi keseronokan dan lebih berkesan. Di antaranya ialah dengan memberikan; Pujian, hadiah, makanan, kata-kata perangsang, penajaan, kenaikan pangkat, gaji, imbuhan, bonus dan sentuhan.
B.      PENGUKUHAN NEGATIF. Pengukuhan atau peneguhan negatif boleh membawa kesakitan fizikal atau emosi, kadang-kadang pelaku tidak dapat menerimanya sehingga menjadi dendam. Di antaranya ialah pukulan, denda, ejekan dan ancaman.
Islam mewajibkan setiap individu muslim agar melaksanakan tuntutan syariah sebagai pembuka jalan kepada kehidupan spiritual dan melaksanakan cara hidup berakhlak sebagai hasil dari pelaksanaan syariah. Sepertimana individu yang melakukan solat tanpa ikhlas adalah pekerjaan yang sia-sia dan ia tidak memperolehi manfaat solat yang boleh membentuk personalitinya menjadi fokus, taat, redha, memantapkan fisiologi dan melebarkan interaksi sosial tetapi dilabel sebagai hipokrit yang sia-sia.
Islam turut memberi penekanan kepada penampilan luaran kerana ia boleh menggambarkan perwatakan seseorang individu. Oleh itu sejak kecil lagi kanak-kanak perlu dibimbing dan dilatih supaya dapat menjaga diri, bercakap benar, suka menolong, melakukan perkara yang betul secara seimbang meliputi rohani, akal dan jasmani. Rasulullah SAW pernah menegur mereka yang terlalu ekstrem melakukan ibadat, sabda baginda yang bermaksud; “Tidakkah diberitahu kepadaku bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersembahyang di malam hari? Ya, jawabnya baginda bersabda; Janganlah berbuat demikian, berpuasalah dan berbukalah, tidur dan bangunlah kerana sesungguhnya badan mu mempunyai hak ke atas mu”.
Ahli kerohanian Islam mencadangkan individu muslim agar kurangkan; makan, tidur, percakapan yang tidak berfaedah dan perbelanjaan yang tidak berfaedah supaya dapat menyatukan aspek luaran dan dalaman manusia. Dalam sejarah Islam pula, jumlah tentera Islam yang kecil berjaya menewaskan tentera musyrikin yang lebih ramai. Kejayaan ini adalah hasil pendidikan dan latihan Rasulullah SAW. Mereka bukan sahaja gagah jasmani tetapi juga rohani mereka terisi dengan cahaya iman serta ketinggian jihad hasil dari ketakwaan kepada Allah melalui kesabaran dan strategi akal.
Bagi menyelesaikan masalah spiritual individu seperti tekanan perasaan atau kemurungan (depression) yang menyebabkan individu mengalami gejala seperti lemah, malas, gila, putus asa, kecewa, kehilangan, kebinasaan, kematian orang yang tersayang, membawa kepada ada hasrat untuk membunuh diri. Ini berpunca dari kegagalan individu untk mencapai sesuatu yang dihajati dalam kehidupan sedangkan dalam hidup ini manusia tidak mampu untuk memenuhi semua kehendaknya yang tidak ada had. Pada pandangan Islam semua manusia tidak sempurna, tidak dapat memenuhi semua kehendaknya sendiri bahkan itu adalah semulajadi makhluk bernama manusia (nature). Cara untuk menyelesaikan masalah kemurungan ialah dengan mengawal diri ataupun mengelak atau juga mencegah dari berlaku. Kawal diri dengan membataskan keinginan pada perkara yang perlu sahaja dan munasabah untuk diperolehi. Kawal kemarahan dan nafsu syahwat, bersyukur dengan membandingkan diri sendiri dengan orang lain dan menginsafi bahawa manusia makhluk yang punya kelemahan. Berdoa dan berharap serta berusaha semoga Allah Tuhan yang pengasih, pemurah lagi bijaksana memberikan rezekinya kepada manusia.
Individu yang ada perasaan dengki iaitu keinginan untuk kemusnahan orang yang dia merasa dengki, boleh diubati dengan perasaan syukur atas apa yang diperlehinya dan  menyedari bahawa harta dan kedudukan manusia adalah amanah dan kurniaan Allah kepada individu itu dan ia boleh hilang jika dikehendaki Allah.

No comments:

Post a Comment