KEMAHIRAN KOMUNIKASI
1.
PENDAHULUAN
Komunikasi
amat penting dalam kehidupan seharian. Walau di mana seseorang itu berada, kepakaran
dan pengetahuan bagaimana untuk berkomunikasi amat penting bagi menjamin
kesefahaman antara satu sama lain. Komunikasi berlaku apabila sebarang maklumat
dipindahkan daripada diri seseorang kepada orang lain untuk menerima maklumat
yang ingin disampaikan. Kedua belah pihak perlu mempunyai persefahaman agar
maklumat tersebut dapat dikongsi bersama.
2.
DEFINASI
Dari segi bahasa, komunikasi berasal dari perkataan Latin, ”comunicare”
yang bererti “to make common”. The Oxford English Dictionary
mendefinisikan komunikasi
sebagai “The
imparting, conveying, or exchange of ideas, knowledge, information, etc“.
(Pemberian, penyampaian atau pertukaran idea,
pengetahuan, informasi
dsb). Pengertian komunikasi
yang paling popular dan lengkap diberikan
oleh Harold Lasswell; “Who says what in which channel to whom and with what effect” iaitu siapa mengatakan apa melalui saluran
mana kepada siapa dan dengan pengaruh apa. Iaitu komunikator
(who),
pesanan atau mesej (what), media atau saluran (channel), komunikator (whom)
dan pengaruh atau kesan (effect). Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, komunikasi ditakrifkan
sebagai perhubungan secara langsung
atau dengan perantaraan
surat, radio, telefon dan lain-lain. Komunikasi adalah satu
proses apabila seseorang individu yang mempunyai kepentingan bagi menyampaikan
maklumat secara verbal atau non verbal yang akan mempengaruhi
tingkah laku orang lain.
3.
PROSES KOMUNIKASI
Ia
merupakan pemindahan maklumat daripada individu atau kelompok atau
organisasi (penghantar) kepada individu
atau kelompok atau organisasi lain (penerima) dengan menggunakan simbol,
perkataan, rajah atau lainnya melalui perantaraan media seperti media cetak
ataupun media elektronik. Proses komunikasi boleh mengalami gangguan (noise) sama ada pada peringkat
penghantar, enkod (simbol), media saluran, dekod (tafsiran terhadap simbol) dan
juga penerima.
4.
JENIS KOMUNIKASI
1. Komunikasi verbal: Ia merupakan proses komunikasi secara
langsung atau bersemuka iaitu berbicara (berkata-kata) dengan orang lain tanpa
perantara atau media komunikasi sebagai penghantar informasi, meliputi aspek-aspek
berikut;
a. Perbendaharaan
kata-kata (vocabulary). Komunikasi
tidak akan berkesan apabila mesej
disampaikan dengan kata-kata yang tidak difahami, oleh itu kata-kata penting
dalam berkomunikasi.
b. Kepantasan (racing). Komunikasi akan lebih berkesan
dan berjaya apabila kepantasan tutur bicara dapat diatur dengan baik, tidak terlalu
cepat atau terlalu lambat.
c. Intonasi suara: Akan
mempengaruhi makna mesej secara dramatik sehingga mesej akan menjadi lain
ertinya bila diucapkan dengan intonasi suara yang berbeza. Intonasi suara yang
tidak profesional merupakan antara halangan dalam berkomunikasi.
d.
Humor.
Dapat meningkatkan keceriaan. Dugan (1989), mengatakan bahawa ketawa dapat membantu
menghilangkan stress dan hiba. Humor merupakan satu selingan dalam
berkomunikasi. Ketawa mempunyai hubungan fizikal dan spritual terhadap
penerimaan mesej.
2.
Komunikasi
Non Verbal.
Penyampaian mesej tanpa kata-kata tetapi memerlukan bantuan media komunikasi
sebagai penghantar informasi komunikasi. Ada kalanya ia juga meliputi
komunikasi jarak jauh. Komunikasi non verbal memberikan erti pada komunikasi verbal
sehingga boleh difahami. Ia terdiri daripada:
a. Ekspresi wajah atau muka. Wajah merupakan
sumber yang kaya dengan komunikasi, kerana ekspresi wajah cerminan suasana
emosi seseorang.
b. Kontak
mata. Merupakan isyarat semulajadi untuk berkomunikasi. Dengan kontak mata
(bukan tenung) semasa berinterakasi atau soal jawab bererti seseorang itu
terlibat dan menghargai orang yang berbicara dengannya kerana mata menunjukkan
keyakinan diri, keikhlasan dan minat terhadap isi komunikasi. Ia sanggup
memerhati dan bukan sekadar mendengar. Melalui kontak mata juga memberikan
kesempatan atau peluang pada orang lain untuk memerhati yang lain.
c. Sentuhan. Komunikasi sentuhan lebih
bersifat spontan daripada komunikasi verbal. Beberapa mesej
seperti perhatian yang sungguh-sungguh, dorongan emosi, kasih sayang atau
simpati dapat dilakukan melalui sentuhan.
d. Keadaan/kedudukan tubuh badan (Postur
tubuh) dan gaya berjalan. Cara seseorang
berjalan, duduk, berdiri dan bergerak memperlihatkan ekspresi dirinya. Postur
tubuh dan gaya berjalan merefleksikan emosi, konsep diri dan tahap
kesihatannya.
e. Suara (Sound).
Rintihan, menarik nafas panjang, dengusan, tangisan juga salah satu ungkapan
perasaan dan fikiran seseorang yang dapat dijadikan komunikasi. Bila dikombinasikan
dengan semua bentuk komunikasi non verbal lainnya seperti dengus atau suara
dapat menjadi pesan yang sangat jelas.
f. Gerak isyarat. Dapat memperteguh dan
memperkukuh dialog atau komunikasi. Menggunakan isyarat sebagai sebahagian dari
komunikasi seperti menghentak-hentak kaki atau mengerakkan tangan semasa
berbicara atau bertutur menunjukkan seseorang dalam keadaan stress atau buntu atau sebagai usaha untuk menghilangkan stress.
5.
KONTEKS KOMUNIKASI
a.
Komunikasi Intrapersonal. Berlaku dalam diri sendiri. Tahap kemampuan diri
sebelum berkomunikasi dengan orang lain.
Meliputi berfikir, persepsi dan menilai. Ia asas proses komunikasi dengan
membentuk mesej (enkod) dalam diri sesuai dengan konteks sebelum menghantar
dengan simbol lisan dan bukan lisan kepada penerima. Satu proses memberi makna
dalam diri individu (Sheldtesky, 2000). Satu proses komunikasi dalam diri,
dialog dalaman, individu menyesuaikan diri dengan persekitarannya, persepsi
yang ada dalam diri individu. Proses ini berlaku spontan/dirancang dalam diri
sendiri. Faktor yang mempengaruhi komunikasi intrapersonal; kebolehan diri,
perasaan, kepercayaan, penampilan, peranan sosial, psikologi dan kemampuan
teknikal. Ia sebagai asas kepada komunikasi yang seterusnya.
b.
Komunikasi Interpersonal. Bertujuan untuk berkongsi maklumat,
menyelesaikan masalah, menanggani konflik, memahami diri sendiri dan orang lain
serta mengukuhkan hubungan. Proses interaksi yang dipilih, sistematik, unik dan
berterusan antara individu untuk maksud bersama. Ciri-ciri; melibatkan sumber
dan penerima, secara bersemuka, jarak yang dekat, komunikasi lisan dan tanpa
lisan, asas hubungan sosial.
c.
Komunikasi Awam. Individu berkomunikasi dengan beberapa
orang atau khalayak yang ramai secara formal atauun tidak formal seperti
memberi ucapan dalam suatu majlis.
d.
Komunikasi Massa. Komunikasi massa ialah perhubungan dengan
orang ramai. Berkomunikasi secara langsung atau dengan perantaraan media
seperti surat khabar, radio, telefon dan lain-lain. Ia melibatkan penghantar
komunikasi yang mempunyai sumber dan penerimaan yang ramai tetapi tidak saling
mengenali.
e. Kumpulan (group); Interaksi
antara individu membentuk entiti untuk capai tujuan bersama. Ciri-ciri;
Bilangan ahli dalam kumpulan; tentukan jenis kumpulan besar atau kecil.
Lingkungan 3-12 orang kumpulan kecil. Interaksi; bersemuka, mesej disampaikan
dan dikongsi untuk capai objektif. Hubungan; berdasarkan amalan, norma dan
perlakuan yang diterima untk perkukuh dan menstabilkan kumpulan. Saling
bergantungan; saling memerlukan dan bertanggungjawab capai matlamat yang sama.
Identiti; semangat kekitaan kepada kumpulan. Cabaran; kumpulan yang semakin
besar sukar diurus kerana banyak pandangan yang berbeza.
f. Organisasi; Melibatkan konsep komunikasi dan organisasi. Komunikasi ialah
proses penghantaran dan penerimaan maklumat. Organisasi ialah struktur dalam
sistem yang mengandungi kumpulan dan individu yang bekerjasama untuk mencapai
objektif. Peranan komunikasi dalam organisasi (Goldhaber, 1993); pengarahan
(aktiviti lancar), koordinasi (struktur), sistem, teknologi, prosedur, sumber
manusia, budaya yang wujud, persahabatan (untuk kukuh organisasi), dipercayai
dan diterima (melalui komunikasi lisan dan bukan lisan).
6.
KAEDAH KOMUNIKASI
· Penyampai perlu menjelaskan maklumat dan tujuan yang ingin disampaikan. Bahan mestilah tersusun,
ringkas, padat, sesuai dengan tahap pemikiran pendengar dan jelas supaya mudah
difahami.
· Penyampai perlu terlebih dahulu memahami situasi, keadaan dan jiwa pendengar sebelum pendengar memahami diri penyampai maklumat.
· Penyampaian sentiasa segar kepada pendengar. Penyampai boleh menambah
beberapa bahan yang menarik seperti statistik, kata-kata hikmah, carta dan seumpamanya di samping penggunaan teknologi terkini yang
sesuai.
· Menggunakan teknik pengucapan yang baik
dengan gaya yang menarik seperti mengawal
kadar kelajuan sebutan perkataan dan intonasi suara, memilih bahasa dan istilah yang sesuai, ekspresi muka dan hubungan mata antara penyampai dan pendengar.
· Kredibiliti adalah syarat penting komunikasi. Ada dua cara untuk memperoleh kredibiliti: i. Penutur mesti yakin dan percaya apa yang disampaikan berdasarkan sumber yang sahih, fakta yang
tepat dan maklumat yang betul.
ii.
Penutur terlebih dahulu melakukan apa yang diperkatakan supaya orang yang mendengar akan lebih terkesan di hati.
7.
ETIKA KOMUNIKASI
DALAM ISLAM
a. Jujur
dan terus terang. Dengan keyakinan dan perasaan
yang sama-sama dimiliki. Jika “tidak” bererti “Tidak; Tidak mengerti katakan tidak mengerti dan
orang yang tidak setuju mengungkapkan ketidaksetujuan itu secara langsung.
Bukan berselindung di sebalik kata-kata.
b. Mewujudkan hubungan silaturahim melalui
sistem pengenalan manusia di antara satu sama lain sehingga membentuk
keharmonian hubungan sosial. Menjaga keamanan dan keharmonian sosial adalah
lebih beretika daripada
menyatakan kepentingan dan pemikiran
semata-mata.
c. Tidak menganggu proses komunikasi. Diam
dan dengar dahulu apa yang hendak disampaikan dan jangan sesekali menyampuk
atau memotong sebelum sesuatu idea atau mesej selesai disampaikan.
d. Menjauhi perbahasan atau perdebatan.
Maksud hadith; “Aku jamin rumah di dasar
Syurga bagi yang menghindari berdebat
sekalipun ia benar dan aku jamin rumah di tengah
Syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau
dan aku jamin rumah di puncak
Syurga bagi yang baik akhlaknya”. (Riwayat Abu Daud).
e. Berbicara dengan menggunakan intonasi yang
jelas dan mudah difahami. Tidak menggunakan bahasa yang keras atau bahasa yang
terlalu lembut, gaya berlagak atau dengan cara yang sombong.
f. Menjauhi perkataan keji, mencela, melaknat,
dusta, mengumpat dan mengadu domba.
g. Berhati-hati
dan adil dalam memuji. Adab
berkomunikasi disentuh oleh Rasulullah SAW dalam hadith yang bermaksud; “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka dia hendaklah
mengucapkan yang baik atau pun dia hanya diam”.
8.
MASALAH
DALAM KOMUNIKASI
Komunikasi
berhadapan dengan halangan atau masalah yang boleh menyebabkan komunikasi tidak
berkesan dan gagal. Di antaranya ialah;
· Psikologi. Ia wujud
apabila berlaku tanggapan yang berbeza di antara penghantar dan penerima mesej
komunikasi akibat dari cara berfikir dan pengalaman hidup yang tidak sama.
Dalam sesuatu organisasi, pemimpin bertanggungjawab untuk membentuk satu sistem
komunikasi formal yang baik. Sekiranya pemimpin memberikan satu tugasan tetapi
pekerja membuat tafsiran yang salah sehingga merasakan tugasan itu satu beban.
Pada masa yang sama pemimpin organisasi memberikan tugasan tersebut untuk
mempertingkatkan kemahiran kerja.
· Sosiologi. Ini
berlaku apabila berlaku interaksi sosio-budaya di kalangan ahli masyarakat dan
organisasi kerja dalam keadaan latar belakang mereka yang berbeza seperti umur,
jantina, tempat lahir, bahasa, warna kulit, agama, tahap pendidikan dan pangkat
boleh menghalang keberkesanan komunikasi.
· Fizikal. Masalah
ini lahir dari bunyi bising media komunikasi seperti televisyen, radio,
kenderaan dan mesin sehingga menyebabkan informasi yang disampaikan tidak dapat
difahami dan gagal. Bahkan ia juga mempengaruhi emosi penghantar dan penerima
komunikasi.
9.
KESIMPULAN
Komunikasi sesuatu yang penting di dalam kehidupan. Ia tidak dapat
dipisahkan dari kehidupan manusia kerana komunikasi mampu mengatur dan
mewariskan kebudayaan. Komunikasi berlaku dengan beberapa cara. Kemahiran komunikasi
menjadi salah satu syarat untuk meraih kejayaan hidup. Perlu beretika ketika berkomunikasi
supaya membawa kepada matlamat yang baik.
No comments:
Post a Comment