ASAS PEMBANGUNAN PERSONALITI
1. TAUHID
Pengertian tauhid dari segi bahasa berasal dari perkataan ahad yang bererti
mengesakan. Dari segi istilah; beriktiqad dan mempercayai Allah SWT itu Esa,
Tunggal tidak ada syirik dan sekutu bagi-Nya. Tauhid merupakan satu pegangan hidup yang mempercayai
bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan tidak sekutu atau yang
menyerupai-Nya. Ilmu tauhid juga adalah ilmu yang menerangkan hukum syarak
dalam bidang iktiqad yang diperoleh dari dalil yang qat’ie (pasti) yang berdasarkan ketetapan akal. Tauhid merupakan
roh Islam, umbi akidah dan sumber ibadah.
A. Jenis-Jenis Tauhid
·
Tauhid Rububiyyah; Mempercayai Allah SWT sebagai
Rabb atau pencipta dan penguasa
terhadap sesuatu. Allah adalah pencipta sekelian makhluk dan alam ini, pemilik,
pentadbir dan pemberi segala-galanya. Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan
berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu pun? Sedangkan
berhala-berhala itu sendiri buatan orang.” (al-A’raf:191)
·
Tauhid Uluhiyyah; Percaya bahawa Allah SWT
sahaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahan-Nya. Allah
sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepada-Nya tempat bertawakkal,
tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah
SWT yang bermaksud; Dan sesungguhnya Kami
telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah
kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa
kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?” (al-Mukminun: 23).
·
Tauhid Asma’ wa al-Sifat; Percaya dbahawa Allah
SWT bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha Suci dari segala sifat-sifat
kekurangan dan kelemahan dan Allah SWT mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesasaran-Nya.
Beriman kepada nama-nama Allah dan sifat-Nya. Tauhid ini adalah beriman bahwa
Allah memiliki nama dan sifat baik (asma
ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna merupakan nama sekaligus
sifat Allah.
B. Pengaruh Tauhid
Dalam Kehidupan
·
Membebaskan manusia
dari pengabdian selain dari Allah,menolak segala bentuk pengabdian kepada sesiapa
selain Allah SWT. Sebagai contoh Bilal bin Rabah,bagaimana jiwa tauhid telah merubah
kehidupannya muncul sebagai seorang manusia baru berjiwa merdeka yang sanggup menghadapi
siksaan majikannya dan mempertahankan keyakinan akidah yang dianutinya.
·
Mewujudkan
keikhlasan dalam beribadah.
·
Berada di
landasan yang betul dan tepat.
·
Menjauhkan diri
daripada sifat cintakan dunia (hubbud
dunya).
·
Membentuk
peribadi mulia dengan sifat mahmudah
dan menghindari sifat mazmumah.
·
Meletakkan
pergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan bertawakal.
·
Melahirkan rasa
syukur.
·
Membentuk sifat
berani kerana takut hanya kepada Allah.
2. TAQWA
Berasal dari perkataan waqa yang bererti memelihara
hubungan baik dengan Allah SWT
dengan melakukan
segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang. “Wahai orang yang
beriman! Hendaklah kamu memelihara diri kamu dan keluarga
kamu dari api Neraka. (al-Tahrim:
6). Syed Qutb menyatakan
dalam tafsir “Fi Zilal al-Quran” menjelaskan bahawa taqwa adalah kepekaan
hati, kehalusan perasaan, rasa khuatir yang berterusan dan berhati-hati terhadap semua larangan
Allah dalam kehidupan.
3. KHILAFAH
Bererti kepimpinan atau kekuasaan. Ia juga disebut dengan Imamah. Khilafah adalah kekuasaan umum
atas seluruh umat, pelaksanaan urusan umat, Imamah
atau Khilafah ditetapkan bagi pengganti kenabian dalam menjaga agama dan
pengaturan urusan dunia. Setiap individu perlu memahami bahawa mereka memikul
amanah Allah SWT, perlu mentadbir dan membangun alam ini sejajar dengan
ketetapan-Nya. Sebagai khalifah mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan
kemahiran serta memupuk nilai-nilai kemanusiaan yang baik demi kesejahteraan sejagat.
4.
TAZKIYYAH
Bermaksud pembersihan, penyucian atau penyuburan. Dalam konteks ahli tasawuf, tazkiyah merujuk kepada bersih daripada
sifat keji dalam diri dan kezaliman lahiriyah. Tazkiyah al-Nafs adalah melibatkan dua proses utama iaitu al-takhalli ialah membersihkan diri
daripada sifat-sifat yang tercela kerana ianya adalah najis maknawi yang menghalang
untuk sampai kepada hadrat Allah yang kudus. Tazkiyah al-Nafs amat penting dalam kehidupan manusia yang mahu
mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Tazkiyah bukan bermakna
menolak kehidupan dunia tetapi mengawal berlandaskan syariat. Tazkiyah al-Nafs membentuk jiwa manusia
dengan melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah.
5.
UKHUWWAH
Bermaksud saudara,teman,sahabat dan lain-lain
lagi. Dari segi istilah: Menurut al-Quran ukhuwwah ialah perasaan kasih sayang,
tolong menolong, bantu membantu, bertolak ansur bermesra dan cinta mencintai di antara sesama
umat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara
kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat”
(al-Hujurat: 10). Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Daripada Nu’man bin Bashir r.a.; Bahawa Rasulullah
SAW bersabda: “Perbandingan orang mukmin
pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu
anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”
A. Prinsip-prinsip
Ukhuwwah
· Perdamaian atau hubungan yang baik, saling
bermaaf-maafan dan tidak terlalu sensitif. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah
dan perbaikilah hubungan antara kamu dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya
sekiranya kamu orang yang beriman.”(al-Anfal:
12).
· Saling kasih mengasihi dan cinta mencintai ke arah mengeratkan
lagi ikatan ukhuwwah. Firman Allah yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan sebelum kamu menafkahkan
sebahagian harta yang kau cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya
Allah mengetahuinya”. (Ali-Imran:
92). Kasih Sayang dan cinta mencintai boleh dipertingkatkan melalui sedekah. Dapat
disuburkan sehingga mencapai taraf yang paling tinggi jika sanggup mengorbankan
sesuatu yang paling disayangi untuk membela nasib golongan yang memerlukan.
· Ikhlas. Hanya
orang ikhlas sahaja yang dapat mengorbankan segala-galanya untuk menyempurnakan
hidup berukhuwah. Ikhlas akan melahirkan insan yang berkhidmat tanpa noktah akhir.
· Amanah. Orang yang tidak amanah merupakan perosak sifat
kemanusian dan ketamadunan kerana Allah SWT telah memberikan amanah kepada
manusia untuk memakmurkan alam ini.
· Belas Kasihan. Sifat Ini penting kerana tanpanya menyebabkan
kekejaman dan penindasan berelaku secara berleluasa di dalam masyarakat.
B. Adab Ukhuwah
·
Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya. Jika tidak mampu diberikan apa yang lebih dari
hajatnya.
·
Bersegera membantu sahabat yang memerlukan bantuan.
·
Menyembunyi rahsia dan keaiban sahabat.
·
Menghindarkan perbuatan bantah-membantah.
·
Tidak sindir-menyindir dan perli-memperli.
·
Sentiasa mendoakan sahabat semasa senang atau susah.
·
Sentiasa melafazkan dengan perkataan “inni uhibbuka fillah” dan bertanya khabar.
·
Sentiasa mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan.
6.
KESIMPULAN
Asas pembentukan personaliti atau sahsiah muslim
adalah berpanduan acuan Rabbaniah.
Hidup manusia adalah dalam lingkungan
tiga pola hubungan iaitu hubungan dengan Pencipta, hubungan dengan sesama
manusia dan hubungan manusia dengan
alam. Ketiga-tiga hubungan tersebut mestilah berpaksikan kepada manual yang
telah ditentukan oleh Allah SWT. Ketiga-ketiga hubungan itu mestilah dijaga
dengan baik supaya tugas manusia sebagai khalifah di bumi dapat dilaksanakan
secara terbaik dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment