Wednesday, February 26, 2014

Pluraliti Sosial (T2)



PLURALITI SOSIAL DAN HUBUNGAN ETNIK

Oleh

MOHD ZUHAIRI SAFUAN

1.              Konsep Pluraliti
Sebelum kedatangan kuasa Barat, Alam Melayu adalah masyarakat plural kerana ia menjadi tempat pertemuan pelbagai tamadun dan budaya dunia. Masyarakat Eropah pernah datang ke Alam Melayu untuk mencari sumber kekayaan. Masyarakat Alam Melayu sendiri sering berhijrah ke sekitar kawasan rantau ini untuk berniaga, berkahwin, berperang, bekerja dan belajar. Adalah tidak menghairankan sekiranya di Champa, rajanya seorang Melayu sedangkan rakyatnya beragama Buddha yang menguruskan perniagaan dengan India, China dan masyarakat Alam Melayu.
Pluraliti seperti ini berlaku secara semulajadi dan tanpa ada sebarang unsur paksaan sehingga wujud interaksi yang harmonis dengan penduduk peribumi setempat. Ada juga yang mengalami proses asimilasi melalui perkahwinan dengan penduduk Alam Melayu sehingga mewujudkan masyarakat Cina Baba-Nyonya ataupun proses asimilasi adat perkahwinan masyarakat Melayu dengan orang India sehingga melahirkan komuniti mamak atau India Muslim yang terus tinggal di Melaka dan Pulau Pinang dan perkahwinan golongan pedagang Arab yang berjaya seperti golongan Syed atau Sheikh dengan golongan atasan Melayu telah mewujudkan kelompok Melayu-Arab dengan gelaran Syed-Sharifah. Mereka ini kemudian terus melakukan asimilasi dengan peribumi tempatan dalam banyak perkara.
Kedatangan kuasa Barat atau Eropah merubah pluraliti kepada bentuk paksaan. Mereka memperkenalkan kawasan pluraliti yang tersendiri dan memperkenalkan sistem pemerintahan mereka. Barat kemudiannya memperkenalkan pluraliti baru dengan membawa masuk agama Kristian dan imigran dari China dan India untuk bekerja di kalangan masyarakat peribumi Alam Melayu. Setelah kedatangan Barat pluraliti berlaku secara paksaan. Orang Cina dan India dibawa ke Alam Melayu untuk tujuan ekonomi di sektor perladangan dan perlombongan serta tujuan politik penjajah untuk memecahbelahkan peribumi asal. Mereka dibawa masuk tanpa disertai oleh keluarga dengan harapan mereka akan kembali semula ke tanah air mereka kelak. Ini mengakibatkan asimilasi mereka dengan masyarakat Alam Melayu tidak begitu berjaya. Mereka mewujudkan masyarakat yang tersendiri dari segi agama dan sistem budaya yang terasing daripada masyarakat lain walaupun tinggal dalam satu kawasan yang sama. Inilah yang dimaksudkan sebagai satu bentuk masyarakat plural baru. Masyarakat plural baru ini mempunyai ilmu, bahasa dan institusi yang tersendiri yang tidak begitu diketahui dan difahami oleh peribumi.
Masyarakat plural ini kemudiannya lebih dikenali mengikut negara bangsa yang tersendiri seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan sebagainya. Dari segi persamaannya, masyarakat plural mewujudkan masyarakat berbilang etnik di Alam Melayu seperti Melayu, Cina, India, Eropah dan lain-lain. Perkara yang membezakan di antara mereka ialah dari segi masa bila proses pembentukannya.
Kedatangan penjajahan Barat ke Alam Melayu merupakan titik pemisah di antara pluraliti dan masyarakat plural. Penjajah Inggeris sebagai contohnya melaksanakan penjajahan aspek fizikal dan mental. Kekayaan hasil bumi dikaut keluar bersama dengan membawa masuk masalah iaitu orang Cina dan India. Inggeris kemudiannya turut memperkenalkan sistem sosio-politik baru. Alam yang wujud di Alam Melayu adalah plural. Bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya umpamanya bukan berasal dari Malaysia sendiri tetapi dari Hawaii di Amerika Syarikat. Pokok getah yang popular di Malaysia pula berasal dari Brazil. Ini bererti secara semulajadinya alam ini boleh menerima pluraliti.

2.         Latar Belakang Pluraliti di Alam Melayu
2.1       Hubungan dengan China dan India
Hubungan ini telah berlaku begitu lama kerana kedudukan strategik laluan Timur dan Barat telah menjadikan Alam Melayu tempat persinggahan, pusat penyebaran ilmu pengetahuan di antara China dan India. Kewujudan kerajaan di Lembah Bujang di Kedah, Srivijaya di Sumatera, Majapahit di Pulau Jawa merupakan bukti bahawa Alam Melayu juga pernah menjadi pusat perkembangan Hinduisme. Begitu juga kedatangan armada kapal tentera laut China di zaman Dinasti Ming telah memulakan hubungan diplomatik antara dua negara sehingga memberikan kestabilan kepada kedudukan Melaka sebagai pelabuhan antarabangsa yang strategik.

2.2  Pengaruh Hinduisme dan Buddhisme
Hinduisme dan Buddhisme tidak memberi kesan yang mendalam di Alam Melayu. Sebaliknya Islam lebih mempengaruhi rakyat biasa seperti dari segi penggunaan nama dan budaya. Akan tetapi pemerintah di Alam Melayu menerima Hinduisme dan Buddhisme dengan baik kerana ada impak politik yang menguntungkan mereka. Ada metos Hindu mengenai raja bahawa mereka adalah anak Tuhan yang diutus ke bumi bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa raja mesti ditaati. Raja sebagai bayangan dan juga wakil Tuhan di muka bumi memerlukan ketaatan tanpa berbelah bagi daripada rakyat. Raja juga dibekalkan dengan metos kekuatan mistik supaya ketaatan rakyat mudah diperolehi. Pengaruh Hindu masih wujud sehingga ke hari ini dengan kewujudan Candi Borobodur di Pulau Jawa manakala Angkor Wat di Kampuchea adalah warisan agama Buddha.

2.3       Material dan non material
Masyarakat Alam Melayu lebih cenderung kepada ilmu metafizik seperti amalan dukun, jampi, ghaib dan sebagainya sehingga mempengaruhi cara berfikir dan tindakan mereka. Kedatangan penjajahan merubah ilmu kepada berasaskan rasional saintifik dan pembuktian material seperti pengenalan institusi, bahasa, ekonomi, politik dan sebagainya yang tidak diketahui oleh masyarakat Alam Melayu sebelum ini.

3.         Empayar Melaka Sebagai Kemuncak Pluraliti
3.1  Pemerintahan
Melaka diperintah oleh sultan dan pembesar yang bijaksana dan bersifat diplomasi serta terbuka. Pemerintahan yang cekap telah menjadikan Melaka tempat tumpuan pedagang dari Timur dan Barat. Sultan Melaka dibantu oleh Bendahara, Laksamana, Shahbandar dan sebagainya bagi melancarkan pemerintahan. Pemerintah menekankan keharmonian hidup di kalangan setiap orang yang berada di Melaka. Ada kalangan pembesar yang bukan dari kalangan Melayu seperti dari kalangan orang India seperti Raja Mendaliar, Tun Mutahir terus menyumbang kepada kegemilangan Melaka. Perkahwinan campur di antara Sultan dan anak perempuan maharaja China iaitu Sultan Mansur Shah dengan Puteri Hang Li Po berjaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara China yang memberi kesan besar kepada politik dan ekonomi Melaka.
3.2       Perdagangan
Pelabuhan Melaka ditadbir dengan cekap oleh Laksamana sehingga kawalan keselamatan menjamin kegiatan perdagangan dari sebarang ancaman lanun dan musuh. Keamanan ini dijamin dengan penguatkuasaan Hukm Kanun Melaka dan Undang-Undang laut Melaka. Suasana selamat dan aman menjamin kedatangan pedagang dari seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan barang dagangan di Melaka iaitu rempah ratus. Ia turut menyediakan kemudahan yang secukupnya seperti tempat berniaga, gudang, tempat tinggal, bekalan makan-minum dan dermaga untuk membaiki kapal.

3.3  Kebudayaan
Pemerintah Melaka mengamalkan dasar terbuka sehingga menggalakkan ramai orang asing datang menetap di Melaka sehingga menjadikannya kota multi-culture dengan setiap budaya mempunyai tempat yang tersendiri. Kedatangan orang Arab, India dan China membawa agama, bahasa, ilmu pengetahuan dan adat resam yang tersendiri berinteraksi dengan penduduk tempatan sehingga memperkayakan budaya Melaka.

3.4  Penduduk
Dasar terbuka pemerintah Melaka diteruskan oleh sikap mesra penduduk Melaka yang menggalakkan kehadiran pedagang dari seluruh dunia seperti Arab, India, China, Portugis, Belanda, Sepanyol, Peranchis dan Inggeris untuk datang ke Melaka mendapatkan barangan keperluan mereka seperti rempah, teh, bijih dan sutera. Mereka kemudian melakukan proses asimilasi dengan penduduk tempatan melalui penggunaan bahasa, perkahwinan dan budaya.

4.         Penjajahan dan Pluraliti
4.1  Pluraliti yang dibawa oleh Portugis, Belanda dan Inggeris
Penjajah merupakan bangsa yang telah maju dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Kedatangan mereka ke Alam Melayu membawa misi “3G” iaitu Gospel (Agama-Injil), Gold (Ekonomi-Emas) dan Glory (Politik-Kegemilangan). Mereka berusaha merebut jalan perdagangan ke Timur. Mereka mempunyai prinsip, struktur dan sistem dalam melaksanakan pemerintahan di Alam Melayu. Inggeris sebagai contohnya memperkenalkan pemisahan agama dan negara. Inggeris menguruskan hal ehwal pentadbiran negara sedangkan adat istiadat dan agama diletakkan di bawah tanggungjawab Raja-Raja Melayu. Pemisahan fungsi ini dinamakan sekularisme. Sekularisme merupakan konflik antara ilmuan Barat dan agama Kristian pada zaman Renaissance sehingga menimbulkan suatu keadaan di mana ilmu sains moden telah dijadikan asas pemerintahan negara dan penyerahan aspek keagamaan kepada gereja Kristian.

5.         Asas Plural Society dalam negara Malaysia
5.1  Struktur pentadbiran penjajahan Inggeris: Prinsip, sistem dan dasar
Penjajah Inggeris merupakan bangsa yang telah maju dan bertamadun sebelum mereka datang ke Alam Melayu. Mereka cukup berpengetahuan tinggi dalam politik, ekonomi, sosial dan sains. Pengetahuan mereka yang tinggi telah memudahkan mereka membuat perancangan untuk melakukan penjajahan.

5.2  Prinsip Sekularisme
Diperkenalkan oleh Inggeris apabila datang ke Tanah Melayu menerusi Perjanjian Pangkor 1874 iaitu pemisahan di antara agama dan negara. Aspek pentadbiran negara dikawal selia oleh Inggeris sementara hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu diserah kepada pengawasan sultan. Ia adalah lanjutan dari pergolakan yang berlaku di Eropah di era Renaissance iaitu konflik di antara gereja dan ilmuan Barat atau konflik antara agama dan ilmu sains. Lanjutan dari itu, ilmu sains moden telah dijadikan asas untuk pemerintahan negara. Inggeris juga memperkenalkan institusi kehakiman, eksekutif dan perundangan yang menjalankan tugas masing-masing tanpa bercampur aduk sedangkan sebelum Inggeris datang sultan mempunyai kuasa mutlak dalam semua perkara termasuk pentadbiran, agama, budaya dan pungutan cukai.

5.3       Pemisahan Kapitalisme-Modenisme
Pemisahan agama dan negara melahirkan negara moden berasaskan materialisme. Sebelum penjajahan, kerajaan di Alam Melayu mencantumkan aspek agama dan negara sehingga wujud kerajaan-kerajaan Islam seperti di Melaka, Acheh, Johor, Pasai dan seumpamanya. Raja-Raja Melayu atau Sultan dalam menjalankan urusan pemerintahannya akan merujuk kepada penasihat agama iaitu mufti dalam perjalanan negara. Manakala Inggeris memperkenalkan pemisahan kehidupan dari aspek keagamaan dengan menggunakan rasional ilmu pengetahuan.

5.4  Dasar pentadbiran, ekonomi dan pendidikan
Ia berasaskan kepada kaedah rasional saintifik yang memisahkan negara dan agama. Pentadbiran negara dilaksanakan menggunakan ilmu pengetahuan rasional. Ekonomi bergantung kepada gerakan kuasa-kuasa pasaran yang berasaskan sistem kapitalis yang memastikan keuntungan menjadi motif utama. Sistem pendidikan diwujudkan secara terpisah di antara pendidikan agama dan pendidikan akademik sehingga menjadikan satu maju dan yang satu lagi mundur.

6.         Pluraliti Baru
6.1  Federalisme berlapis; Persekutuan Tanah Melayu
       dan Persekutuan Malaysia
Pluraliti baru yang dibentuk selepas penjajahan dinamakan sebagai federalisme berlapis kerana wujud dua bentuk persekutuan iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia. Anggota Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sahaja. Namun apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 september 1963, anggotanya bertambah dengan Singapura, Sabah dan Sarawak. Manakala Brunei menarik diri dari menyertai federalisme ini sewaktu rundingan diadakan.

6.2  Perlembagaan dan pembangunan ekonomi; kontrak sosial
       yang dirundingi oleh parti politik pelbagai etnik
Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Persekutuan Malaysia. Ia merupakan suatu pemantapan dari bentuk persekutuan berlapis sebelumnya iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Ia menjadi asas perlaksanaan sistem politik di Malaysia. Ia mencatatkan mengenai wujudnya kontrak sosial iaitu janji taat setia (wa’ad) dan saling menghormati di antara rakyat dan raja (Demang Lebar Daun mewakili rakyat dengan Sang Sapurba mewakili Raja Melayu).
Kontrak sosial tahap kedua dalam konteks masyarakat plural sebagai syarat Inggeris untuk memberi kemerdekaan ialah setiap etnik mesti mempunyai perwakilan dalam bentuk parti politik dan mereka mesti mencapai persetujuan untuk hidup bersama aman dan damai. Pada 1948 dibentuk Communities Liaison Committee (CLC) dengan kaum yang besar seperti Melayu, Cina dan India menghantar wakil untuk membincangkan kontrak sosial yang mereka persetujui. Ini adalah asas pembentukan gabungan parti politik pelbagai etnik seperti Parti Perikatan, Barisan Nasional dan juga Barisan Alternatif (Pakatan Rakyat) yang menunjukkan survival parti politik di Malaysia adalah secara pakatan atau gabungan dan bukan secara bersendirian.

6.3  Pembangunan berencana; Rancangan Malaysia   
Mulai tahun 1950 ketika itu Malaysia belum ada tapi entiti yang ada ialah Persekutuan Tanah Melayu. Usaha merancang pembangunan negara telah dimulakan dari tahun 1950-1965. Apabila Malaysia ditubuhkan barulah rancangan pembangunan lima tahun dilakukan iaitu dari 1966 hingga 1970. Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang mempunyai hala tuju kepada perindustrian dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.

7.         Kesimpulan
             Orang Melayu dan peribumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan penduduk asal negara Malaysia sebelum kedatangan orang Arab, China, India dan Eropah sehingga memberi kesan jangka panjang pembentukan masyarakat plural yang sempurna warna warni bangsa Malaysia. Mereka turut bekerjasama menempuh zaman penjajahan dan kemerdekaan bagi memastikan masa hadapan negara terus dalam keadaan aman dan harmoni.

1 comment:

  1. Info yang amat membantu dalam memberi pemahaman, terima kasih.

    ReplyDelete