Wednesday, February 26, 2014

Politik Malaysia (T4)


POLITIK DAN HUBUNGAN ETNIK

Oleh

MOHD ZUHAIRI SAFUAN



1.              Pendahuluan
Latar belakang politik Malaysia merupakan lanjutan dari kontrak sosial dan persetujuan politik-ekonomi-sosial di antara orang Melayu dan bukan Melayu semasa proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Persefahaman dan kerjasama merupakan ramuan penting untuk pembangunan politik di Malaysia. Ini merupakan panduan untuk pembangunan negara dan perpaduan rakyat. Wujudnya kepelbagaian etnik menyebabkan kemunculan parti-parti politik pelbagai etnik kerana ia memperjuangkan warisan dan masa depan setiap etnik.

2.              Latar Belakang Penduduk dan Sosio Budaya
Malaysia mempunyai masyarakat berbilang etnik dan kemajmukan wilayah, bahasa, budaya dan agama. Penduduknya berjumlah 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010. Penduduk lelaki seramai 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang. Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908). Dari 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8% warganegara dan 8.2% bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4%, Cina (24.6%), India (7.3%) dan lain-lain (0.7%). Di kalangan warganegara Malaysia, Melayu merupakan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1% manakala Iban mencatatkan 30.3% daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5% penduduk Sabah.
Orang Melayu lebih dominan tetapi kekuatan politiknya berbeza mengikut wilayah. Kelantan, Terengganu dan Perlis adalah wilayah dengan jumlah orang Melayu lebih daripada 90% penduduknya. Sementara Melaka, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor merupakan wilayah yang peratusan jumlah orang Melayu adalah melebihi 51% daripada penduduknya, oleh itu politik mereka di sini masih dominan. Sedangkan Pulau Pinang adalah negeri masyarakat plural yang tiada etnik majoriti mutlak.
Di Sarawak, kemajmukan lebih terserlah kerana tiada etnik yang dominan secara mutlak. Iban (30.1%) (0.6 juta), Bidayuh (8.3%) (181,500) dan Orang Ulu (128,800), Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut, Penan dan lain-lain mrmbentuk 5.9% dari penduduk  Sarawak. Mereka ini membentuk 44.3% daripada penduduk Sarawak sedangkan orang Melayu adalah 23.2% (505,800) dan Melanau 5.7% (124,400). Dari segi demografi; etnik Iban tinggal di Lembah Skrang-Saribas dan Lembah Rejang. Bidayuh di Serian, Samarahan dan Kuching. Orang Ulu di pedalaman dan tanah tinggi seperti di kawasan Baram, Limbang, Lawas dan Miri. Orang Melayu di Kuching dan Sibu. Orang Melanau di Mukah dan Matu Daro. Di Sabah juga tiada etnik yang terbesar secara ketara. Penduduk Kadazan/Dusun mewakili 24.8% (519,800), Bumiputera lain 20.6% (431,000), Bajau 18.5% (836,100) dan Melayu 18.5% (360,500).

3.              Demografi Politik
Parlimen Malaysia mengandungi Dewan Rakyat dengan keanggotaannya dipilih menerusi pilihanraya dan dinamakan sebagai Ahli Parlimen dan Dewan Negara yang anggotanya dilantik oleh Yang DiPertuan Agong dari kalangan mereka yang boleh member sumbangan kepada Negara dan ahli yang mewakili semua golongan masyarakat dan dinamakan sebagai Senator. Dewan Rakyat merupakan institusi utama menggubal dasar dan undang-undang negara. Ia mempunyai 222 ahli parlimen.
v Orang Melayu adalah dominan dalam politik mewakili 57.1% (125 kerusi) dengan bilangan pengundi mereka adalah majoriti di kawasan tersebut. 14.2% (31kerusi) merupakan majoriti bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini bererti penguasaan Orang Melayu/Bumiputera dalam politik Malaysia ialah 71.2% (156 kerusi).
v Orang Cina di Semenanjung Malaysia merupakan majoriti di 23 kawasan (10.5%). Di Sabah ada 1 kawasan dan di Sarawak ada 6 kawasan majoriti orang Cina. Ertinya orang Cina menguasai 13.7% (30 kerusi) Parlimen Malaysia.
v Tiada ada satu pun kawasan parlimen mempunyai majoriti orang India. Oleh yang demikian ahli politik dari kalangan etnik India akan bertanding di kawasan penduduk etnik bercampur di mana jumlah etnik mereka agak tinggi.
v Sementara 15.1% (33 kerusi) masyarakat plural yang tiada etnik majoriti.

4.         Sosio Budaya
Malaysia kaya dengan kepelbagaian sosio-budaya. Di Semenanjung Malaysia;
v Orang Melayu adalah etnik terbesar (65% penduduk Malaysia) dan mereka beragama Islam (dari segi undang-undang dan perlembagaan) serta mengamalkan budaya dan cara hidup Islam. Terdapat juga etnik lain yang memeluk agama Islam seperti Bajau, Murut, Melanau, India dan Cina. Umumnya mereka tinggal di luar bandar dengan kegiatan ekonomi pertanian dan nelayan bentuk sara diri. Ramai juga yang telah berhijrah ke bandar. Ada juga yang melibatkan diri dalam ekonomi komersil. Sebahagian besarnya terlibat dalam sektor perkhidmatan awam.
v Orang Cina adalah etnik kedua terbesar. Mereka penganut pelbagai agama seperti Buddha, Confucius, Kristian dan Islam. Terlibat dalam sektor komersil berskala besar dan tinggal di bandar-bandar utama.
v Orang India merupakan etnik ketiga terbesar. Mereka tinggal di kawasan estet. Kini ramai berhijrah ke bandar. Ada yang menceburi sektor komersil dan perkhidmatan. Mereka menganut agama Hindu, Sikh, Kristian dan juga Islam.
v Orang Asli tinggal di pendalaman Semenanjung Malaysia. Mereka menganut Animisme, Kristian, dan Islam. Kegiatan ekonomi mereka adalah berbentuk sara diri iaitu memungut hasil hutan. Namun ada yang sudah mula berkecimpung dalam bentuk sektor pertanian, penternakan dan perniagaan kecil-kecilan.
v Terdapat juga etnik kecil lain seperti Baba-Nyonya, Portugis (Melaka) dan Siam. Mereka melakukan pelbagai kegiatan ekonomi perniagaan dan perkhidmatan.
Di Sarawak;
v Hampir semua etnik bumiputera menganut Animisme, Kristian dan sedikit yang Islam. Etnik Iban/Dayak tinggal di luar bandar dengan ekonomi pertanian sara diri dan perikanan. Ada yang berjaya dalam ekonomi komersil.
v Orang Melayu tinggal di perkampungan luar bandar. Mengamalkan pertanian sara diri dan pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
v Orang Melanau tinggal di persisiran pantai. Ramai yang beragama Islam di samping Kristian dan Animisme. Kegiatan ekonomi utama mereka ialah perikanan, tanaman padi dan sagu.
v Orang Cina tinggal di bandar terlibat dalam bidang perniagaan dan komersil. Mereka menganut Buddha, Kristian dan Confucius.
Di Sabah;
v Etnik terbesar iaitu Kadazan/Dusun lebih cenderung kepada kepercayaan Animisme dan ramai juga yang beragama Kristian. Sementara etnik Bajau, Murut dan lain-lain lebih cenderung kepada Islam. Bilangan penganut Islam-Kristian adalah sama banyak. Kebanyakan meraka tinggal di luar bandar dengan aktiviti pertanian sara diri. Ramai juga yang terbabit dalam perkhidmatan awam.
v Orang Cina tinggal di bandar dan terlibat dalam bidang komersil. Ramai yang beragama Buddha, Confucius dan sedikit yang Islam.

4.              Politik Kepartian
Pada zaman penjajahan, kegiatan politik terhad ke atas anak-anak bangsawan yang berpeluang bekerja dengan pentadbiran Inggeris. Penjajahan Inggeris benar-benar mencengkam kehidupan politik orang Melayu. Pertentangan politik orang Melayu terhadap penjajahan digambarkan melalui perjuangan Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan sebagainya. Namun selepas pendudukan Jepun, gerakan yang lebih besar berlaku dengan penubuhan pelbagai kesatuan yang akhirnya menumbuhkan benih-benih politik kepartian khususnya untuk memperjuangkan kemerdekaan. Ini berlaku kerana antara lain tujuan asal kedatangan Jepun ke Asia Tenggara adalah untuk membebaskan negara-negara di rantau itu daripada penjajahan kuasa Barat. Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad memperjuangkan kemerdekaan negara bergabung dengan Indonesia yang disokong oleh Jepun. Jepun juga membantu orang India untuk menentang penjajahan Inggeris di India. Namun orang Cina menerima tekanan kerana membantu negara China dalam perang terhadap penjajahan Jepun. Oleh itu tempoh sebelum kedatangan Barat dan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah menggerakkan penubuhan parti yang memperjuangkan kemerdekaan dari penjajahan namun membawa pergeseran etnik antara orang Melayu dan Cina sehingga membawa kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM).

6.         Asas politik Malaysia
Semasa penjajahan, penglibatan rakyat dalam proses politik dan pentadbiran adalah terhad. Kedudukan paling tinggi yang dapat dicapai hanyalah sebagai pegawai rendah. Di saat akhir penjajahan Inggeris, sistem pendidikan yang terbuka menyebabkan anak-anak pembesar tempatan mendapat tempat dalam pentadbiran negara. Ia mengalami perubahan drastik selepas penjajahan Jepun. Apabila kembali ke Tanah Melayu, Inggeris menubuhkan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang terdiri dari sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka. Ciri-ciri Malayan Union (Kesatuan Malaya) ialah;
·       Pemusatan kuasa kerajaan pusat
·       Raja-raja Melayu hilang kuasa ( kecuali agama dan adat istiadat Melayu)
·       Hak kerakyatan bebas (jus soli)(tempat lahir)
Kesannya, pada tahun 1946 orang Melayu yang diketuai oleh Onn Jaafar menubuhkan UMNO (United Malay National Organization) di Johor Bahru dengan sokongan orang Melayu dan bekas pegawai Inggeris bangkit menentang idea penubuhan Malayan Union. Kemudian muncul pula Kongres India Malaya (Malayan Indian Congress)(MIC) pimpinan John Thivy untuk menjaga kepentingan orang India di Tanah Melayu dan Persatuan Cina Malaya (Malayan Chinese Association)(MCA) bagi menjaga kepentingan orang Cina di Tanah Melayu. Penubuhan MIC dan MCA membuktikan kepada Inggeris bahawa orang India dan Cina sedia bekerjasama dan setia kepada orang Melayu dan Tanah Melayu.
UMNO, MCA dan MIC kemudian menubuhkan satu gabungan parti pelbagai etnik iaitu Parti Perikatan yang merupakan mekanisme kerjasama etnik dan berjaya memenangi 51 dari 52 kerusi dalam pilihanraya pertama Persekutuan Tanah Melayu 27 julai 1955. Manakala IMP (Independence Malaya Party) parti pelbagai etnik pimpinan Onn Jaafar setelah keluar dari UMNO tewas dan tidak mendapat sokongan. Selaras dengan penubuhan Persekutuan Malaysia, Parti Perikatan mengembangkan sayapnya. Di Semenanjung, PAS (Parti Islam SeMalayaia) dan di Sarawak, SNAP (Sarawak National Party) diterima sebagai ahli baru dan Parti Perikatan bertukar nama kepada Barisan Nasional.
Sejak kemerdekaan, parti politik berasaskan etnik dimonopoli oleh satu etnik sahaja. Orang Melayu bernaung kepada UMNO, PAS dan Semangat 46. PAS mendapat sokongan di negeri-negeri majoriti penduduknya orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Semangat 46 merupakan parti serpihan UMNO pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak dapat bertahan lama dan dibubarkan dengan ramai ahlinya kembali kepada UMNO dan juga PAS. Parti Keadilan Rakyat (PKR) didominasi oleh etnik Melayu tetapi merupakan parti pelbagai etnik.
Orang Cina dalam MCA bersaing secara aman dengan GERAKAN dalam Barisan Nasional dan di luar bersaing dengan DAP (Democratic Action Party) yang ditubuhkan lanjutan perpisahan Singapura dari Persekutuan Malaysia. GERAKAN dan DAP adalah parti dominasi etnik Cina walaupun ia parti pelbagai etnik. Tema perjuangan DAP ialah “Malaysia for Malaysian” dan ia mendapat sokongan besar sebahagian orang Cina.
Orang India selesa dengan MIC sehingga tahun 1990an tiada pesaing sehinggalah kemasukan PPP (People Progressive Party) dalam Barisan Nasional. PPP adalah parti pelbagai etnik yang dikuasai kepimpinannya oleh etnik India. PPP mempunyai pengaruh kuat di Perak. Di luar Barisan Nasional, MIC bersaing dengan IPF (India Progressive Front) pimpinan M.G. Pandithan yang bekerjasama denagan BN tetapi tidak diterima sebagai ahli BN kerana bangkangan oleh MIC.
Di Malaysia Timur; penubuhan parti politik merupakan respon Sabah dan Sarawak untuk menyertai Persektuan Malaysia. Di Sarawak ditubuhkan SUPP (Sarawak United People Party) yang digalakkan penubuhannya oleh Inggeris bagi persediaan mencapai kemerdekaan. Keahlian SUPP pelbagai etnik tetapi dimonopoli oleh etnik Cina. Etnik bumiputera kemudiannya menubuhkan parti masing-masing bagi menjamin hak mereka. Etnik Dayak dan Iban menubuhkan SNAP (Sarawak National Party) dan PESAKA (Parti Pesaka Anak Sarawak). Orang Melayu menubuhkan PANAS (Parti Negara Sarawak) dan BERJASA (Barisan Rakyat Jati Sarawak). Pada 1962, SCA (Sarawak Chinese Association) yang bertindak sama seperti kedudukan MCA di Semenanjung Malaysia ditubuhkan. Semua parti tersebut membentuk perikatan kecuali SUPP. Perikatan ini diketuai oleh Stephan Kalong Ningkan dari SUPP. Walaupun dalam Parti Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) Sarawak, mereka sebenarnya bersaing sesama sendiri. Orang Dayak dan Iban berpecah kepada SNAP dan PESAKA. Orang Melayu dan Melanau terbahagi antara BERJASA dan PANAS. Majoriti orang Cina menyokong SUPP dan minoriti kepada SCA.
Selepas Sarawak merdeka melalui Malaysia, pola politik Sarawak berubah kepada dominasi orang Cina, Melayu dan Melanau. Bagi orang Cina populariti SUPP meningkat apabila ia menjadi parti penting untuk menjalin kerjasama dengan orang Melayu dan Melanau bagi membentuk kerajaan. Dalam pilihanraya 1970, SCA hilang dalam persaingan politik Sarawak tetapi muncul pula DAP (Democratic Action Party) sebagai pesaing sokongan pengundi orang Cina. Akan tetapi kemunculannya tidak mengugat kedudukan SUPP dalam BN. Kedudukan orang Melayu dan Melanau menjadi semakin kukuh dengan penubuhan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti gabungan di antara BERJASA (pimpinan Abdul Rahman Yaakob) dan PANAS (pimpinan Abdul Taib Mahmud) yang berjaya menguasai kerajaan Sarawak. Ia bertambah kukuh apabila Temenggung Jugah menggabungkan parti Pesaka sokongan orang Iban/Dayak ke dalam PBB.
Begitupun segelintir orang Melayu yang merasakan mereka diketepikan bertindak membentuk parti PERMAS (Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak) di pertengahan 1980an yang digerakkan oleh Abdul Rahman Yaakub, Bujang Uilis dan Sharifah Mordiah. Pilihanraya negeri 1987 menyaksikan pakatan PERMAS dan PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak) hampir menumbangkan PBB dan BN Sarawak. PBDS dipimpin oleh Leo Moggie iaitu parti serpihan SNAP yang mewakili etnik Iban/Dayak. PBDS kemudiannya bergolak dan diharamkan sehingga muncul kumpulan serpihan James Masing untuk membentuk PRS (Parti Rakyat Sarawak). SNAP juga berpecah kepada SPDP (Sarawak People Democratic Party) yang dipimpin oleh William Mawan.
Di Sabah, setiap etnik mempunyai parti masing-masing dan mengalami keadaan turun naik. Apabila merdeka melalui Malaysia, Sabah diperintah oleh semua etnik utama. Usaha dilakukan oleh Donald Stephan dengan menubuhkan UNKO (United Kadazandusun National Organization) untuk menyatukan Kadazan/Dusun dan bumiputera bukan Islam pada ogos 1961. Mustapha Harun menubuhkan USNO (United Sabah National Organization) mewakili etnik Bajau, Murut dan etnik lain. Orang Cina bernaung di bawah UCNO (United Chinese National Organization). Tiga parti ini kemudiannya bergabung membentuk Perikatan Sabah. Namun ada parti lain yang muncul menjadi saingan untuk sokongan bumiputera bukan Islam iaitu Pasok Momogun pimpinan G.S. Sundang dan di kalangan pengundi Cina muncul Parti Sosial Demokratik dan Parti Demokratik. Kerajaan Sabah pertama dipimpin oleh Donald Stephan sebagai Ketua Menteri dari Perikatan Sabah yang mewakili pelbagai etnik sementara Mustapha Harun sebagai Gabenor Sabah. Ia merupakan suatu rancangan pembahagian kuasa di antara bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam. Mustapha Harun kemudian dari itu berjaya membentuk kerajaan Perikatan atau Barisan Nasional Sabah pada awal tahun 1970an. Pertengahan 1970an menyaksikan kemunculan parti Berjaya berbilang etnik monopoli bumiputera Islam pimpinan Harris Salleh berjaya menumbangkan BN Sabah. Ia kemudiannya ditumbangkan pula oleh PBS (Parti Bersatu Sabah) pimpinan Joseph Pairin Kitingan yang berbilang etnik monopoli orang bukan Islam.
Apabila UMNO bertapak di Sabah menggantikan USNO, ia berjaya menjatuhkan PBS dan memulakan tradisi penggiliran jawatan Ketua Menteri di kalangan bumiputera Islam, bumiputera bukan Islam dan orang Cina. PBS melahirkan parti serpihan seperti PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) pimpinan Joseph Kurup), PDS (Parti Demokratik Sabah) pimpinan Bernard Dompok dan SAPP (Parti Progresif Sabah) pimpinan Yong Teck Lee dan melahirkan bekas Ketua Menteri yang paling ramai. Apa yang pasti kehadiran UMNO dalam pentas politik Sabah telah berjaya menyatukan etnik Bajau, Murut dan lain-lain bumiputera beragama Islam. Manakala perpaduan etnik Kadazan/Dusun dan bumiputera bukan Islam masih diusahakan khususnya di bawah parti PBS. Etnik Cina pula bernaung di bawah SAPP yang dibayangi oleh pengaruh DAP.

6.1       Kontrak Sosial 1948
Merupakan persetujuan yang dicapai di antara orang Melayu, Cina dan India semasa mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu di bawah naungan Inggeris. Ia berkaitan dengan bantahan etnik Melayu terhadap perlembagaan Malayan Union 1946. Kontrak sosial itu adalah;
·        Kedudukan, kedaulatan dan kemuliaan Raja-raja Melayu
·        Hak keistimewaan orang Melayu
·        Kerakyatan berasaskan prinsip Jus Soli (tempat lahir)
·        Islam sebagai agama persekutuan tapi agama lain boleh diamalkan tanpa sebarang sekatan
·        Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bahasa lain boleh digunakan

6.2       Perjanjian Malaysia 1963
Penggabungan Singapura, Sabah, Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) tidak mengubah kontrak sosial malah melanjutkan kuatkuasanya kepada negeri-negeri tersebut. Ia dinamakan Perjanjian Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Ia turut mengandungi tuntutan (20 perkara) oleh Singapura, Sarawak dan Sabah yang dipersetujui. Sebagai contohnya 20 perkara adalah tuntutan Sabah untuk menyertai Malaysia yang di antara lainnya menyentuh:
·        Tiada agama rasmi negeri (Sabah)
·        Setuju bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi memohon bahasa Inggeris boleh diguna tanpa had masa
·        Perlembagaan Malaya sebagai asas Perlembagaan Malaysia tetapi penggubalannya melibatkan semua negeri
·        Imigresen sebagai kuasa kerajaan pusat namun keluar masuk ke Sabah mesti dikawal oleh Sabah sendiri
·        Sabah mengurus kewangannya sendiri
·        Bumiputra Sabah mendapat hak istimewa seperti orang Melayu

7.       Pembangunan Politik dan Hubungan Etnik
7.1          Rancangan Malaya/Malaysia
Rancangan atau pelan pembangunan negara Malaysia setiap lima tahun bertujuan untuk memberi penakanan khusus kepada sektor-sektor tertentu dalam memastikan pembangunan negara berjalan dengan lancar. Ia memberi perhatian kepada mewujudkan peluang-peluang ekonomi dan menyediakan peruntukan kewangan serta menyediakan tenaga kerja yang diperlukan.

7.2          Dasar Pertanian Negara
Pada tahun 1984 kerajaan memperkenalkan Dasar Pertanian Negara dengan tujuan untuk memajukan sektor pertanian supaya ia berupaya memenuhi keperluan negara dan untuk tujuan ekspot. Ini dilakukan melalui penyediaan tenaga kerja, sumber tanah, infrastruktur, latihan kepada petani (penternak dan nelayan) dan peralatan yang sempurna. Usaha juga dilakukan agar sektor pertanian yang sebelum ini merupakan lubuk kepada kemiskinan mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada para petani dan sekaligus mengurangkan impot input pertanian. Di samping sektor pertanian makanan, pertanian komoditi juga diberi perhatian supaya ia dapat menjana pendapatan negara.

7.3          Dasar Perindustrian Negara
Bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak bergantung kepada komoditi getah dan timah. Memperkembangkan industri gantian impot, menyediakan peluang pekerjaan, kemahiran tinggi, galakan ekspot, industri berat berteknologi tinggi, mewujudkan koridor ekonomi di seluruh negara, tingkat daya saing industri dan pekerja ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara industri.

7.4          Dasar Penswastaan
Dalam usaha untuk menggembeling tanggungjawab swasta dan kerajaan untuk pembangunan negara, pada tahun 1984 kerajaan memperkenalkan dasar menyerahkan kepentingan dan syarikat kerajaan dalam pelbagai sektor dan industri tertentu seperti kesihatan, jalanraya, tenaga, logistik, keselamatan, makanan, pengangkutan dan sebagainya kepada pihak swasta sama ada sebahagian atau keseluruhan entitinya. Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan pengurusan kerajaan serta meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam pembangunan negara. Ia juga untuk meningkatkan tahap kecekapan kerja, daya saing dan mengurus serta penghasilan kerja dan perkhidmatan yang efisen dari segi kos yang boleh menjana keuntungan yang baik. Dalam pada itu kerajaan akan mendapat pulangan dalam bentuk cukai dan penjimatan belanja mengurus. Matlamat Dasar Ekonomi Baru juga dapat dicapai segera melalui pemindahan pemilikan kepada konglomerat bumiputera yang kompeten dan berdaya maju. Ia dapat membantu menjana pertumbuhan dan pembangunan negara.
Selepas berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969, banyak dasar-dasar negara yang difikirkan secara lebih serius untuk menuju kepada perpaduan etnik setelah mengambilkira faktor pluraliti masyarakat yang ada. Penglibatan semua kaum diambilkira dalam membentuk dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru.

7.5          Dasar Pembangunan Nasional
Dalam rangka tuju menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020 dan kesinambungan dari Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dilaksanakan dengan tujuan mengekalkan kestabilan sosio, politik dan pembangunan ekonomi. Dasar ini sebagai proses panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran dan kecemerlangan ekonomi. Ia meneruskan usaha mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara etnik, golongan kaya-miskin dan antara wilayah. Pendekatan yang digunakan ialah; keseimbangan pertumbuhan dan pengagihan ekonomi, pembangunan seimbang antara sektor utama ekonomi, mengurang dan menghapuskan ketaksamaan sosio-ekonomi, galakan integrasi nasional, membangun masyarakat progresif dengan nilai hidup yang positif, memajukan sumber manusia dengan didiplin dan kemahiran, menjadikan sains dan teknologi sebagai teras pembangunan dan perlindungan alam sekitar.

7.6          Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar Pendidikan diharap dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih. Ia berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara yang memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Beberapa strategi dilakukan seperti: Menjadikan bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan, kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama dan berorientasikan semangat Malaysia bagi semua jenis sekolah, menyediakan  pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu; pendemokrasian pendidikan asas selama sembilan tahun, peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan, mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin.

7.7          Dasar Kebudayaan Kebangsaan
Bagi mewujudkan garis panduan bagi membentuk satu bangsa yang bersatupadu dan mengekalkan identiti negara dalam konteks masyarakat pelbagai etnik, kerajaan menetapkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memberi fokus untuk meraikan sifat-sifat persamaan di kalangan etnik yang berbeza. Suatu proses yang berterusan dilakukan untuk menerima semua kebudayaan rakyat asal rantau Alam Melayu, unsur kebudayaan lain seperti Arab, India, China, Portugal, Siam, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Rukun Negara, asas moral dan kerohanian sejagat serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Untuk tujuan itu berbagai agenda bertindak dilakukan seperti melakukan penyelidikan, pengembangan, menubuhkan institusi dan aktiviti tentang kebudayaan dan kesenian.

7.8          Dasar Pandang ke Timur
Bertujuan untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan ekonomi negara, Malaysia mengambil contoh dan pendekatan Negara-negara sebelah Timur seperti Jepun dan Korea yang sudah berjaya menjadi negara maju dengan inisiatif untuk belajar dan mendapatkan pengalaman.
Pada 8 februari 1982 kerajaan Malaysia melancarkan Dasar Pandang                                                                                                                                                                                                                                                          ke Timur (Look East Policy) dengan beberapa pengubahsuaian supaya sesuai dengan persekitaran dan budaya Malaysia. Perkara yang menjadi fokus dalam dasar ini ialah; kerajinan, disiplin, kesetiaan, produktiviti, kualiti, kecekapan, hubungan majikan-pekerja, nilai nurni. Untuk itu banyak perjanjian kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan dan sektor swasta Jepun dan Korea dilakukan dalam bidang ekonomi, perindustrian, latihan teknikal dan akademik, program eksekutif dan penyelidikan. Kakitangan awam dan pelajar Malaysia dihantar ke Jepun dan Korea untuk mendalami ilmu pengurusan dan teknologi. Bagi memantapkan dasar ini perubahan yang dilakukan ialah punch card, name tag, pasukan meningkatkan mutu kerja, pejabat terbuka, fail meja, manual prosedur kerja, perkhidmatan cemerlang, Bersih, Cekap dan Amanah (BCA), Kepimpinan Melalui Teladan (KMT), program latihan akademik, teknikal, eksekutif dan usahawan.

7.9          Wawasan 2020
Pada 28 Februari 1991 dilancarkan Wawasan 2020 sebagai rangka kerja Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020. Maju tidak hanya dalam bidang ekonomi sahaja tetapi merangkumi semua aspek kehidupan seperti politik, sosial, kebudayaan dan kerohanian. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri dengan rakyat pelbagai etnik bersatu sebagai bangsa Malaysia yang bersatu, berdikari, demokratik, bermoral, toleran, progresif, penyayang, adil dan mampu bersaing. Semua sembilan cabaran ini dihadapi dalam usaha untuk membentuk negara bangsa Malaysia, negara industri, keadilan ekonomi dan sosial, menyanjung moral dan etika serta pembangunan sistem masyarakat.

7.1.        Dasar-Dasar Negara / Dasar Ekonomi Baru (DEB)
Peristiwa rusuhan kaum pada 13 mei 1969 (pergaduhan Melayu-Cina) dan Kg Medan (pergaduhan Melayu-India) pada tahun 2001 cukup tragis untuk diingati. Ia menunjukkan bahawa ketegangan berasaskan etnik sentiasa boleh timbul jika tidak ditangani dengan baik, walaupun pada asalnya pergaduhan etnik tidak bermula kerana berbeza etnik tetapi kerana ada faktor lain yang menjadi penyebab. Kadangkala kerajaan terpaksa menggunakan Internal Security Act (ISA) untuk menahan tanpa perbicaraan pihak yang membakar perasaan perkauman. Proses politik dan pentadbiran negara ternyata berjaya membawa pelbagai etnik dalam satu kesatuan padu. Dunia memerlukan momentum untuk membawa perpaduan etnik dalam pelbagai aspek hidup yang lain.

7.2.        Pencapaian
Perpaduan dan integrasi boleh berlaku sekiranya individu yang terlibat dapat melihat faedahnya dan melihat serta memikirkan juga kesan buruk jika ia diabaikan. Ia juga memerlukan usaha gigih kerajaan kerana pelbagai etnik Malaysia hidup terpisah dan tiada ruang untuk sentiasa bertemu. Ini boleh dilakukan melalui interaksi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Adalah lebih baik membiarkan semua etnik merasakan bahawa mereka semua telah memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan Malaysia untuk ke arah mewujudkan suatu bangsa Malaysia yang pelbagai etnik tapi mempunyai satu wawasan untuk negara.

7.3.        Cabaran
Dasar negara untuk perpaduan dan interaksi ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pelaksanaan DEB dari tahun 1970 hingga 1990 dalam pelbagai peringkat adalah tidak selaras dan kadangkala diabaikan oleh pihak swasta walaupun iklim perpaduan rakyat cukup baik. Semangat untuk DEB diteruskan pada tahun 1991 melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan pada tahun 2001 melalui Wawasan 2020. Badan pemantau pelaksanaan dasar-dasar tersebut wajar ditubuhkan supaya ia mencapai matlamatnya.

8.       Kesimpulan
Malaysia adalah negara pelbagai etnik. Kemajmukannya berbeza mengikut wilayah. Di Malaysia Barat, ia melibatkan hubungan etnik Melayu dan Cina, India dan Orang Asli. Di Malaysia Timur, terdapat pelbagai etnik yang tiada majoriti yang mutlak. Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang memperlihatkan etnik Melayu dan etnik lain adalah sama banyak. Justeru itu mereka perlu bekerjasama dan tidak boleh etnik tertentu secara sendiri membentuk kerajaan. Kerajaan Pusat sedia ada iaitu Barisan Nasional dan juga kerajaan negeri Pakatan Rakyat harus sentiasa berusaha menyatupadukan semua etnik dalam kerajaan dan menyelesaikan masalah politik dengan mengambil kira faedah untuk pelbagai etnik di Malaysia.



1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya sebagai pelajar mengucapkan ribuan terima kasih kerana berkongsi ilmu.

    ReplyDelete