PLURALITI SOSIAL DAN HUBUNGAN ETNIK
Oleh
MOHD ZUHAIRI SAFUAN
1.
Konsep
Pluraliti
Sebelum kedatangan kuasa Barat, Alam
Melayu adalah masyarakat plural kerana ia menjadi tempat pertemuan pelbagai
tamadun dan budaya dunia. Masyarakat Eropah pernah datang ke Alam Melayu untuk
mencari sumber kekayaan. Masyarakat Alam Melayu sendiri sering berhijrah ke
sekitar kawasan rantau ini untuk berniaga, berkahwin, berperang, bekerja dan
belajar. Adalah tidak menghairankan sekiranya di Champa, rajanya seorang Melayu
sedangkan rakyatnya beragama Buddha yang menguruskan perniagaan dengan India, China
dan masyarakat Alam Melayu.
Pluraliti seperti ini berlaku secara
semulajadi dan tanpa ada sebarang unsur paksaan sehingga wujud interaksi yang
harmonis dengan penduduk peribumi setempat. Ada juga yang mengalami proses
asimilasi melalui perkahwinan dengan penduduk Alam Melayu sehingga mewujudkan
masyarakat Cina Baba-Nyonya ataupun proses asimilasi adat perkahwinan
masyarakat Melayu dengan orang India sehingga melahirkan komuniti mamak atau
India Muslim yang terus tinggal di Melaka dan Pulau Pinang dan perkahwinan
golongan pedagang Arab yang berjaya seperti golongan Syed atau Sheikh dengan
golongan atasan Melayu telah mewujudkan kelompok Melayu-Arab dengan gelaran
Syed-Sharifah. Mereka ini kemudian terus melakukan asimilasi dengan peribumi
tempatan dalam banyak perkara.
Kedatangan kuasa Barat atau Eropah merubah
pluraliti kepada bentuk paksaan. Mereka memperkenalkan kawasan pluraliti yang
tersendiri dan memperkenalkan sistem pemerintahan mereka. Barat kemudiannya
memperkenalkan pluraliti baru dengan membawa masuk agama Kristian dan imigran
dari China dan India untuk bekerja di kalangan masyarakat peribumi Alam Melayu.
Setelah kedatangan Barat pluraliti berlaku secara paksaan. Orang Cina dan India
dibawa ke Alam Melayu untuk tujuan ekonomi di sektor perladangan dan
perlombongan serta tujuan politik penjajah untuk memecahbelahkan peribumi asal.
Mereka dibawa masuk tanpa disertai oleh keluarga dengan harapan mereka akan
kembali semula ke tanah air mereka kelak. Ini mengakibatkan asimilasi mereka
dengan masyarakat Alam Melayu tidak begitu berjaya. Mereka mewujudkan
masyarakat yang tersendiri dari segi agama dan sistem budaya yang terasing
daripada masyarakat lain walaupun tinggal dalam satu kawasan yang sama. Inilah
yang dimaksudkan sebagai satu bentuk masyarakat plural baru. Masyarakat plural
baru ini mempunyai ilmu, bahasa dan institusi yang tersendiri yang tidak begitu
diketahui dan difahami oleh peribumi.
Masyarakat plural ini kemudiannya lebih dikenali
mengikut negara bangsa yang tersendiri seperti Malaysia, Indonesia, Filipina
dan sebagainya. Dari segi persamaannya, masyarakat plural mewujudkan masyarakat
berbilang etnik di Alam Melayu seperti Melayu, Cina, India, Eropah dan
lain-lain. Perkara yang membezakan di antara mereka ialah dari segi masa bila
proses pembentukannya.
Kedatangan penjajahan Barat ke Alam Melayu
merupakan titik pemisah di antara pluraliti dan masyarakat plural. Penjajah
Inggeris sebagai contohnya melaksanakan penjajahan aspek fizikal dan mental. Kekayaan
hasil bumi dikaut keluar bersama dengan membawa masuk masalah iaitu orang Cina
dan India. Inggeris kemudiannya turut memperkenalkan sistem sosio-politik baru.
Alam yang wujud di Alam Melayu adalah plural. Bunga kebangsaan Malaysia iaitu
bunga raya umpamanya bukan berasal dari Malaysia sendiri tetapi dari Hawaii di
Amerika Syarikat. Pokok getah yang popular di Malaysia pula berasal dari
Brazil. Ini bererti secara semulajadinya alam ini boleh menerima pluraliti.
2. Latar Belakang Pluraliti
di Alam Melayu
2.1 Hubungan dengan China dan India
Hubungan ini telah berlaku begitu lama
kerana kedudukan strategik laluan Timur dan Barat telah menjadikan Alam Melayu
tempat persinggahan, pusat penyebaran ilmu pengetahuan di antara China dan
India. Kewujudan kerajaan di Lembah Bujang di Kedah, Srivijaya di Sumatera,
Majapahit di Pulau Jawa merupakan bukti bahawa Alam Melayu juga pernah menjadi
pusat perkembangan Hinduisme. Begitu juga kedatangan armada kapal tentera laut
China di zaman Dinasti Ming telah memulakan hubungan diplomatik antara dua
negara sehingga memberikan kestabilan kepada kedudukan Melaka sebagai pelabuhan
antarabangsa yang strategik.
2.2 Pengaruh
Hinduisme dan Buddhisme
Hinduisme dan Buddhisme tidak memberi
kesan yang mendalam di Alam Melayu. Sebaliknya Islam lebih mempengaruhi rakyat biasa
seperti dari segi penggunaan nama dan budaya. Akan tetapi pemerintah di Alam Melayu
menerima Hinduisme dan Buddhisme dengan baik kerana ada impak politik yang
menguntungkan mereka. Ada metos Hindu mengenai raja bahawa mereka adalah anak Tuhan
yang diutus ke bumi bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa raja mesti ditaati.
Raja sebagai bayangan dan juga wakil Tuhan di muka bumi memerlukan ketaatan
tanpa berbelah bagi daripada rakyat. Raja juga dibekalkan dengan metos kekuatan
mistik supaya ketaatan rakyat mudah diperolehi. Pengaruh Hindu masih wujud sehingga
ke hari ini dengan kewujudan Candi Borobodur di Pulau Jawa manakala Angkor Wat
di Kampuchea adalah warisan agama Buddha.
2.3 Material dan non
material
Masyarakat Alam Melayu lebih cenderung kepada
ilmu metafizik seperti amalan dukun, jampi, ghaib dan sebagainya sehingga
mempengaruhi cara berfikir dan tindakan mereka. Kedatangan penjajahan merubah ilmu
kepada berasaskan rasional saintifik dan pembuktian material seperti pengenalan
institusi, bahasa, ekonomi, politik dan sebagainya yang tidak diketahui oleh masyarakat
Alam Melayu sebelum ini.
3. Empayar Melaka Sebagai Kemuncak
Pluraliti
3.1 Pemerintahan
Melaka diperintah oleh sultan dan pembesar yang bijaksana dan bersifat diplomasi
serta terbuka. Pemerintahan yang cekap telah menjadikan Melaka tempat tumpuan pedagang
dari Timur dan Barat. Sultan Melaka dibantu oleh Bendahara, Laksamana,
Shahbandar dan sebagainya bagi melancarkan pemerintahan. Pemerintah menekankan keharmonian
hidup di kalangan setiap orang yang berada di Melaka. Ada kalangan pembesar
yang bukan dari kalangan Melayu seperti dari kalangan orang India seperti Raja
Mendaliar, Tun Mutahir terus menyumbang kepada kegemilangan Melaka. Perkahwinan
campur di antara Sultan dan anak perempuan maharaja China iaitu Sultan Mansur
Shah dengan Puteri Hang Li Po berjaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan
negara China yang memberi kesan besar kepada politik dan ekonomi Melaka.
3.2 Perdagangan
Pelabuhan Melaka ditadbir dengan cekap oleh
Laksamana sehingga kawalan keselamatan menjamin kegiatan perdagangan dari
sebarang ancaman lanun dan musuh. Keamanan ini dijamin dengan penguatkuasaan
Hukm Kanun Melaka dan Undang-Undang laut Melaka. Suasana selamat dan aman menjamin
kedatangan pedagang dari seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan barang dagangan
di Melaka iaitu rempah ratus. Ia turut menyediakan kemudahan yang secukupnya
seperti tempat berniaga, gudang, tempat tinggal, bekalan makan-minum dan dermaga
untuk membaiki kapal.
3.3 Kebudayaan
Pemerintah Melaka mengamalkan dasar terbuka
sehingga menggalakkan ramai orang asing datang menetap di Melaka sehingga menjadikannya
kota multi-culture dengan setiap
budaya mempunyai tempat yang tersendiri. Kedatangan orang Arab, India dan China
membawa agama, bahasa, ilmu pengetahuan dan adat resam yang tersendiri
berinteraksi dengan penduduk tempatan sehingga memperkayakan budaya Melaka.
3.4 Penduduk
Dasar terbuka pemerintah Melaka diteruskan
oleh sikap mesra penduduk Melaka yang menggalakkan kehadiran pedagang dari
seluruh dunia seperti Arab, India, China, Portugis, Belanda, Sepanyol,
Peranchis dan Inggeris untuk datang ke Melaka mendapatkan barangan keperluan
mereka seperti rempah, teh, bijih dan sutera. Mereka kemudian melakukan proses
asimilasi dengan penduduk tempatan melalui penggunaan bahasa, perkahwinan dan
budaya.
4. Penjajahan dan
Pluraliti
4.1 Pluraliti
yang dibawa oleh Portugis, Belanda dan Inggeris
Penjajah merupakan bangsa yang telah maju
dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Kedatangan mereka ke Alam Melayu
membawa misi “3G” iaitu Gospel
(Agama-Injil), Gold (Ekonomi-Emas)
dan Glory (Politik-Kegemilangan).
Mereka berusaha merebut jalan perdagangan ke Timur. Mereka mempunyai prinsip,
struktur dan sistem dalam melaksanakan pemerintahan di Alam Melayu. Inggeris
sebagai contohnya memperkenalkan pemisahan agama dan negara. Inggeris
menguruskan hal ehwal pentadbiran negara sedangkan adat istiadat dan agama diletakkan
di bawah tanggungjawab Raja-Raja Melayu. Pemisahan fungsi ini dinamakan
sekularisme. Sekularisme merupakan konflik antara ilmuan Barat dan agama
Kristian pada zaman Renaissance
sehingga menimbulkan suatu keadaan di mana ilmu sains moden telah dijadikan
asas pemerintahan negara dan penyerahan aspek keagamaan kepada gereja Kristian.
5. Asas Plural Society dalam negara Malaysia
5.1 Struktur pentadbiran penjajahan
Inggeris: Prinsip, sistem dan dasar
Penjajah Inggeris merupakan bangsa yang
telah maju dan bertamadun sebelum mereka datang ke Alam Melayu. Mereka cukup
berpengetahuan tinggi dalam politik, ekonomi, sosial dan sains. Pengetahuan
mereka yang tinggi telah memudahkan mereka membuat perancangan untuk melakukan
penjajahan.
5.2 Prinsip Sekularisme
Diperkenalkan oleh Inggeris apabila datang
ke Tanah Melayu menerusi Perjanjian Pangkor 1874 iaitu pemisahan di antara
agama dan negara. Aspek pentadbiran negara dikawal selia oleh Inggeris
sementara hal ehwal agama dan adat istiadat Melayu diserah kepada pengawasan
sultan. Ia adalah lanjutan dari pergolakan yang berlaku di Eropah di era Renaissance iaitu konflik di antara
gereja dan ilmuan Barat atau konflik antara agama dan ilmu sains. Lanjutan dari
itu, ilmu sains moden telah dijadikan asas untuk pemerintahan negara. Inggeris
juga memperkenalkan institusi kehakiman, eksekutif dan perundangan yang
menjalankan tugas masing-masing tanpa bercampur aduk sedangkan sebelum Inggeris
datang sultan mempunyai kuasa mutlak dalam semua perkara termasuk pentadbiran,
agama, budaya dan pungutan cukai.
5.3 Pemisahan
Kapitalisme-Modenisme
Pemisahan agama dan negara melahirkan
negara moden berasaskan materialisme. Sebelum penjajahan, kerajaan di Alam
Melayu mencantumkan aspek agama dan negara sehingga wujud kerajaan-kerajaan
Islam seperti di Melaka, Acheh, Johor, Pasai dan seumpamanya. Raja-Raja Melayu
atau Sultan dalam menjalankan urusan pemerintahannya akan merujuk kepada
penasihat agama iaitu mufti dalam perjalanan negara. Manakala Inggeris
memperkenalkan pemisahan kehidupan dari aspek keagamaan dengan menggunakan
rasional ilmu pengetahuan.
5.4 Dasar pentadbiran, ekonomi
dan pendidikan
Ia berasaskan kepada kaedah rasional
saintifik yang memisahkan negara dan agama. Pentadbiran negara dilaksanakan
menggunakan ilmu pengetahuan rasional. Ekonomi bergantung kepada gerakan
kuasa-kuasa pasaran yang berasaskan sistem kapitalis yang memastikan keuntungan
menjadi motif utama. Sistem pendidikan diwujudkan secara terpisah di antara
pendidikan agama dan pendidikan akademik sehingga menjadikan satu maju dan yang
satu lagi mundur.
6. Pluraliti Baru
6.1 Federalisme berlapis; Persekutuan
Tanah Melayu
dan Persekutuan Malaysia
Pluraliti baru yang dibentuk selepas
penjajahan dinamakan sebagai federalisme berlapis kerana wujud dua bentuk
persekutuan iaitu Persekutuan Tanah Melayu dan Persekutuan Malaysia. Anggota
Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah negeri-negeri di Semenanjung
Malaysia sahaja. Namun apabila Persekutuan Malaysia
ditubuhkan pada 16 september 1963, anggotanya bertambah dengan Singapura, Sabah
dan Sarawak. Manakala Brunei menarik diri dari menyertai federalisme ini
sewaktu rundingan diadakan.
6.2 Perlembagaan dan pembangunan
ekonomi; kontrak sosial
yang dirundingi oleh parti politik pelbagai etnik
Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang
tertinggi di Persekutuan Malaysia. Ia merupakan suatu pemantapan dari bentuk persekutuan
berlapis sebelumnya iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Ia menjadi asas
perlaksanaan sistem politik di Malaysia. Ia mencatatkan mengenai wujudnya kontrak
sosial iaitu janji taat setia (wa’ad) dan saling menghormati di
antara rakyat dan raja (Demang Lebar Daun mewakili rakyat dengan Sang Sapurba mewakili
Raja Melayu).
Kontrak sosial tahap kedua dalam konteks masyarakat
plural sebagai syarat Inggeris untuk memberi kemerdekaan ialah setiap etnik mesti
mempunyai perwakilan dalam bentuk parti politik dan mereka mesti mencapai persetujuan
untuk hidup bersama aman dan damai. Pada 1948 dibentuk Communities
Liaison Committee (CLC) dengan kaum yang besar seperti Melayu, Cina
dan India menghantar wakil untuk membincangkan kontrak sosial yang mereka
persetujui. Ini adalah asas pembentukan gabungan parti politik pelbagai etnik seperti
Parti Perikatan, Barisan Nasional dan juga Barisan Alternatif (Pakatan Rakyat)
yang menunjukkan survival parti politik
di Malaysia adalah secara pakatan atau gabungan dan bukan secara bersendirian.
6.3 Pembangunan berencana; Rancangan
Malaysia
Mulai tahun 1950 ketika itu Malaysia belum
ada tapi entiti yang ada ialah Persekutuan Tanah Melayu. Usaha merancang
pembangunan negara telah dimulakan dari tahun 1950-1965. Apabila Malaysia
ditubuhkan barulah rancangan pembangunan lima tahun dilakukan iaitu dari 1966
hingga 1970. Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang
mempunyai hala tuju kepada perindustrian dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara maju pada tahun 2020.
7. Kesimpulan
Orang Melayu dan
peribumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan penduduk asal negara Malaysia
sebelum kedatangan orang Arab, China, India dan Eropah sehingga memberi kesan
jangka panjang pembentukan masyarakat plural yang sempurna warna warni bangsa
Malaysia. Mereka turut bekerjasama menempuh zaman penjajahan dan kemerdekaan
bagi memastikan masa hadapan negara terus dalam keadaan aman dan harmoni.
Info yang amat membantu dalam memberi pemahaman, terima kasih.
ReplyDelete