Wednesday, February 26, 2014

Konsep Perlembagaan dan Hubungan Etnik (T3)


PERLEMBAGAAN MALAYSIA DAN HUBUNGAN ETNIK

Oleh

MOHD ZUHAIRI SAFUAN



1.              Pengenalan
Perlembagaan merupakan elemen penting dalam amalan sistem politik demokrasi. Ia adalah satu kumpulan peraturan atau undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan, pembahagian hak dan kuasa, prosedur, panduan kepada kerajaan dan rakyat. Ia adalah undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara. Ia berbentuk bertulis yang didokumentasikan dan juga tidak bertulis iaitu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen dan juga keputusan mahkamah.
Perlembagaan Amerika Syarikat digubal pada tahun 1787. Sementara Peranchis menggubalnya pada tahun 1795. Namun Magna Charta perlembagaan Inggeris digubal pada tahun 1215 sebagai satu sanjungan kepada sistem demokrasi. Perlembagaan ini  merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga sebagai panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara. Ia penting bagi melicinkan pentadbiran negara dan kestabilan politik.

2.              Perlembagaan Madinah
Nabi Muhammad S.A.W. telah menggubal Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah) iaitu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia yang mengiktiraf hak dan peranan orang Islam dan bukan Islam dengan tanggungjawab dan hal ehwal masing-masing dalam sebuah negara. Ia meletakkan Allah dan Rasul sebagai rujukan utama dalam segala hal, kesatuan ummah, kedudukan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai ketua negara serta komposisi rakyat dari kalangan Islam, Nasrani dan Yahudi. Ia sebagai bukti bersatunya orang Islam dan bukan Islam atas kepentingan bersama dalam satu negara dan sebagai tanda sebuah negara yang berdaulat.
Sahifah Madinah mengandungi 47 fasal yang terbahagi kepada dua komponan utama iaitu; 23 fasal menyentuh mengenai hubungan dan tanggungjawab orang Islam iaitu golongan Muhajirin dan Ansar. Manakala 24 fasal pula membabitkan golongan Yahudi dan Nasrani dan tanggungjawab mereka terhadap negara Madinah. Pada dasarnya ia meliputi aspek pembentukan ummah, hak asasi manusia, persatuan seagama, penyatuan segenap rakyat, golongan minoriti, tugas rakyat, melindungi negara, pemimpin negara dan politik perdamaian.
Sahifah Madinah menggambarkan kebijaksanaan untuk menghadapi musuh apabila setiap orang Islam tidak dibenarkan membiarkan saudaranya dalam keadaan terancam bahkan tindakan keras akan dikenakan terhadap orang yang melakukan pemberontakan dan kekacauan umum. Tambahan pula dilarang dari memberi bantuan kepada pihak yang berniat jahat terhadap negara Madinah. Di satu sisi yang lain, orang bukan Islam dilindungi nyawa, kepercayaan agama dan harta benda mereka. Akan tetapi mereka mesti bertanggungjawab sebagaimana orang Islam mempertahankan negara Madinah dari sebarang ancaman.

3.              Konsep Perlembagaan Malaysia
Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan perlembagaan bertulis yang mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual yang meliputi kuasa eksekutif, legislatif, kehakiman, kedudukan agama Islam, kewargenegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dan lain-lain lagi. Tidak ada undang-undang atau institusi boleh melangkaui perlembagaan sebagaimana termaktub dalan Perkara 4(1) iaitu; “Perlembagaan ini adalah undang-undang utama bagi Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang bertentangan dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat yang bertentangan itu”.

Perlembagaan bertujuan untuk memastikan kewujudan sebuah pemerintahan yang adil, menggelakkan penyalahgunaan kuasa, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat serta menjamin keamanan dan kestabilan negara.

4.              Penggubalan Perlembagaan Malaysia
Rentetan beberapa peristiwa semasa dalam perkembangan sejarah orang Melayu yang begitu aktif menentang segala bentuk penjajahan oleh kuasa Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun telah mencetuskan semangat nasionalisme Melayu. Apatah lagi kedatangan Jepun dengan slogan “Asia untuk Asia” menyemarakkan semangat nasionalisme  Melayu menentang penjajah Barat. Jepun dilihat sebagai membantu nasionalisme Melayu dan memusuhi etnik Cina. Ini membawa kepada penubuhan beberapa kesatuan seperti Kesatuan Melayu Selangor, Kesatuan Melayu Perak dan media massa seperti al-Imam, Majlis, Saudara, Utusan Melayu yang menentang penjajahan dan menyedarkan orang Melayu bangkit menuntut perubahan. Mereka dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Syed Syeikh al-Hadi, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Rahim Kajai dan ramai lagi.

Perjuangan bertambah hebat apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua. Sebelum Inggeris datang semula ke Tanah Melayu, wujud kekosongan pemerintah dan berlaku huru-hara selama 13 hari melibatkan Parti Komunis Malaya (PKM) dan orang Melayu. Inggeris kemudiannya memperkenalkan British Military Administration (BMA) dan Malayan Union. Sir Harold MacMichael ditugaskan untuk mendapatkan persetujuan Raja-Raja Melayu. Beliau menggunakan paksaan dan ugutan terhadap Raja-Raja Melayu setuju ataupun dilucutkan kuasa. Malayan Union mengesahkan cengkaman pentadbiran Inggeris terhadap Tanah Melayu melalui kuasa gabenor Inggeris, Sultan hanya berkuasa pada aspek agama dan adat Melayu.

Manakala soal kewarganegaraan syaratnya amat longgar (jus soli) diberikan kepada etnik bukan Melayu. Malayan Union yang terdiri dari kawalan pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu serta Negeri-negeri Selat diisytiharkan di King’s House (Corcosa Seri Negara), Kuala Lumpur dengan Sir Edward Gent sebagai gabenor pertama.  Serentak dengan itu orang Melayu bangkit menentang kerana bimbang status quo mereka yang terhakis dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Mereka membuat perhimpunan bantahan besar-besaran sehingga memaksa Inggeris membatalkan Malayan Union dan membuat rundingan semula dengan wakil Sultan dan wakil UMNO serta kemudiannya pada tahun 1947 dengan disertai oleh wakil orang Eropah, Cina dan India. Hasil usaha ini kemudiannya melahirkan Persekutuan Tanah Melayu.
Pada 1 februari 1948, Inggeris mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Raja-Raja Melayu kekal mempunyai kuasa memerintah dengan nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Perundangan Negeri, syarat kewarganegaraan diperketatkan dan orang Melayu diberi keistimewaan sebagai bumiputera. Persekutuan ini merupakan gabungan negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat dengan kerajaan Persekutuan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris.
Pada tahun 1951 diadakan pilihanraya perbandaran yang pertama dalam usaha membina kerajaan sendiri di kalangan rakyat Malaysia. Pilihanraya 1955 menyaksikan parti Perikatan (gabungan UMNO, MCA dan MIC) bertanding dan menang 51 dari 52 kerusi dan 1 kerusi oleh PAS (Parti Islam SeMalaysia). Aspek penting di sini ialah wujudnya kompromi kerusi tanpa mengikut majoriti penduduk kawasan mengundi dan penubuhan kerajaan dari parti yang banyak kerusi di parlimen. Kerjasama pelbagai etnik ini adalah untuk kebajikan dan kepentingan etnik masing-masing dan bukan kerana politik. UMNO sanggup berkongsi, berkorban dan toleran demi untuk perpaduan.
Perundingan kemerdekaan negara disertai oleh wakil parti Perikatan iaitu Tengku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun H.S Lee telah pergi ke London dan menandatangani Perjanjian London pada 8 februari 1956 sebagai membuka jalan kepada kemerdekaan dan dipersetujui tarikh 31 Ogos 1957 serta pelaksanaan sistem demokrasi, penyertaan dalam Komanwel Inggeris, penempatan tentera Inggeris dan penubuhkan Suruhanjaya Reid untuk menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dan dibantu oleh Sir Ivor Jennings (British), Sir William Mckell (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Ia sentiasa mendapatkan maklum balas untuk menggubal perlembagaan dari parti politik, orang ramai, individu dan Raja-Raja Melayu. Inilah yang dikatakan sebagai kontrak sosial iaitu orang Melayu dan bukan Melayu bersetuju atas beberapa perkara penting untuk kestabilan seperti konsep jus soli dalam kewarganegaraan orang bukan Melayu dan orang Melayu mendapat bahasa Melayu, agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Perlembagaan yang sama ini kemudiannya dipanjangkan apabila tertubuhnya Persekutuan Malaysia pada 16 september 1963.

5.              Unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia
Unsur-unsur tradisi telah wujud sebelum perlembagaan digubal pada 1957 dan berperanan untuk menstabilkan negara. Ia dianggap isu sensitif dan diletak di bawah Akta Hasutan 1948. Oleh itu, setiap rakyat Malaysia tidak boleh mempersoalkannya kerana ia boleh mencetuskan salah faham, ketegangan dan kekacauan awam serta pertentangan etnik. Ia kemudian dipanjangkan amalannya apabila ditubuhkan Persekutuan Malaysia 1963 iaitu bumiputera Sabah dan Sarawak diberi status yang sama dengan orang Melayu dalam Perkara 153 dan kuasa Yang Dipertua Negeri adalah sama dengan kuasa Sultan iaitu Raja-Raja Melayu.
Perlembagaan Malaysia dalam soal hubungan etnik merupakan kontrak sosial yang dipersetujui bersama sebagai keseimbangan hak semua etnik dan ia disentuh secara khusus dalam;
*    Perkara 8; persamaan dan hak sama rata setiap warganegara di sisi undang-undang. Semua warganegara tanpa dibezakan oleh agama, kedudukan sosial, pekerjaan, politik, agama dan demografi diberi layanan yang sama dan adil tanpa diskriminasi Pengecualian hanya dalam soal agama Islam dan hak istimewa orang Melayu.
*    Perkara 10(4); batasan hak setiap warganegara kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan membentuk persatuan sebagai bukti amalan demokrasi selama ia dapat menjamin keselamatan negara dan ketenteraman masyarakat. Akan tetapi adalah dilarang untuk menyentuh kedudukan Raja-Raja, agama Islam, orang Melayu dan kewarganegaraan kerana ia boleh menjejaskan sensitiviti dan kemarahan pihak yang berkaitan sehingga menimbulkan isu keselamatan dan ketenteraman.
*    Perkara 38;”Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja”.  Ini memberi peruntukkan kuasa kepada Majlis Raja-Raja bagi menghalang Parlimen membuat undang-undang mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam, orang Melayu dan bahasa Melayu. Raja merupakan ketua negeri yang punya kedudukan tinggi dan dihormati. Sebelum penjajahan raja memiliki kuasa politik, ekonomi dan sosial dengan segala kebesarannya. Perlembagaan mengiktiraf raja sebagai Raja Berperlembagaan sebagai satu tunjang dari kuasa eksekutif.
*    Perkara 150 (6a); kedudukan agama Islam, adat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak dan kewarganegaraan.
*    Perkara 152; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menafikan hak etnik lain menggunakan bahasa ibunda mereka.
*    Perkara 153; kedudukan istimewa orang Melayu tanpa menafikan kedudukan etnik lain.
4.1       Pemerintahan Beraja
             Sebelum era penjajahan, Raja-Raja Melayu merupakan pemerintah mutlak negeri masing-masing dengan dibantu oleh pembesar negeri dalam sistem pemerintahan beraja. Perubahan berlaku di era penjajahan apabila Raja-Raja Melayu dikehendaki mendapatkan nasihat dari Residen Inggeris dengan kuasa hanya dalam soal agama dan adat istiadat Melayu. Selepas kemerdekaan, institusi beraja terus dikekalkan apabila Raja-Raja Melayu atau Sultan di sembilan buah negeri Melayu iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan diiktiraf sebagai Raja Berperlembagaan. Raja Melayu menjalankan pemerintahan negeri mengikut peruntukan perlembagaan negeri dan persekutuan iaitu dengan mendapat nasihat Perdana Menteri dan Menteri kabinet di peringkat persekutuan ataupun Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik menerusi pilihanraya. Mereka tidak lagi berkuasa mutlak.

4.2       Bahasa Melayu
Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan untuk tujuan rasmi kerajaan dan dalam masa yang sama tiada larangan penggunaan terhadap bahasa-bahasa yang lain seperti tertera dalam Perkara 152. Ini kerana bahasa Melayu sebelum ini telah menjadi Lingua Franca dalam hubungan dagangan dan kalangan penduduk Alam Melayu kerana ia mudah untuk dipertuturkan dan difahami. Pada era penjajahan, pegawai Inggeris dikehendaki mempelajari dan menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berurusan dengan penduduk tempatan. Selepas kemerdekaan, semua urusan rasmi kerajaan seperti mesyuarat, surat menyurat, penyiaran dan seminar menggunakan bahasa Melayu. Ia menjadi bahasa perpaduan bagi masyarakat Malaysia pelbagai etnik dan pengenalan kepada bangsa Malaysia.  
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                 
4.3       Agama Islam
Dalam Perkara 3(1) Islam adalah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Malaysia. Ini kerana Islam telah bertapak kukuh sebelum penjajahan dengan kewujudan negeri-negeri Islam yang diperintah oleh Sultan dan penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Penjajah Inggeris juga tidak campurtangan dalam soal agama Islam dan menyerahkan hal ehwal tersebut kepada Sultan. Ini berlaku lama sebelum kedatangan imigran dari China dan India.
Walau bagaimanapun agama selain dari Islam bebas diamalkan tanpa sekatan selama ia tidak mengugat institusi Islam. Sebagai agama persekutuan, Yang DiPertuan Agong diberi hak untuk memastikan Islam mempunyai hak untuk mendapatkan sumber kewangan, cuti umum perayaan Islam, institusi, yayasan, sekolah, penyiaran, pengajaran Islam di sekolah dan khidmat sokongan. Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama selain dari Islam untuk mengurus hal ehwal masing-masing dan dalam masa yang sama dilarang menyebarkan agama mereka ke atas orang yang menganut agama Islam.

4.4       Kedudukan Istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak
Perkara 153 memberikan tanggungjawab kepada YangDipertuan Agong kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera kerana mereka adalah penduduk asal sebelum datang imigran dari China dan India. Tambahan pula merekalah yang dijajah dan ramai yang terkorban menentang penjajahan yang silih berganti. Yang Dipertuan Agong diberi kuasa untuk melaksanakan dasar bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan jawatan dalam perkhidmatan awam, Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD), biasiswa, perniagaan, pendidikan, latihan dan kemudahan khas yang lain seperti tanah Rezab Melayu, permit, lesen dan konsesi. Dalam masa yang sama hak etnik yang lain turut dilindungi oleh Yang DiPertuan Agong dalam soal kewarganegaraan, amalan agama, bahasa ibunda, pemilikan harta dan peluang kehidupan. Orang Melayu ditakrifkan dalam perlembagaan sebagai orang yang bertutur  bahasa Melayu, menganut Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Di Sarawak bumiputeranya ialah Bukitan, Bisayuh, Dusun, Dayak Darat, Dayak Laut, Kedayan, Kelabit, Kayan, Kenyah, Kajang, Lugat, Lisum, Melayu, Melanau, Murut, Penan, Sian, Tagal, Tabun, Ukit dan keturunan campuran dari kaum tersebut. Di Sabah bumiputeranya ialah anak cucu dari suatu suku kaum asli Sabah dan dilahirkan di Sabah. Keistimewaan diberi kepada orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak kerana mereka ditindas, disisihkan dan ketinggalan dalam persaingan hidup.

5.         Kesimpulan
Semangat perpaduan perlu dipupuk di kalangan rakyat Malaysia kerana banyak pengorbanan dan toleransi dilakukan oleh generasi awal dalam usaha membina negara  yang aman damai. Kontrak sosial yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia merupakan muafakat untuk pentadbiran negara yang mampan dan hubungan etnik yang seimbang kerana orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapat kedudukan istimewa di samping pemberian kewarganegaraan kepada etnik-etnik lain. Perlembagaan perlu sentiasa dijadikan panduan dalam membina hubungan etnik bagi memastikan pembangunan negara tidak terjejas.




No comments:

Post a Comment