PERAKAUNAN
DALAM INSTITUSI KEWANGAN ISLAM
(BANK ISLAM)
- PENGENALAN
Sistem kewangan Islam berpunca daripada fiqh muamalah
iaitu satu cabang dari Cara hidup Islam (al-Din). Dari sistem itu muncul pula
institusi kewangan Islam dan perakaunan Islam sebagai lanjutan dari
perkembangan sistem ekonomi Islam. Keutamaan bidang ini adalah untuk
menggelakkan transaksi yang melibatkan riba keranan amalan riba telah memberi
kesan yang sangat negatif kepada masyarakat
dalam pelbagai aspek kehidupan.
- SEJARAH BANK ISLAM
Tahap pertama
Pada tahun 1940an sarjana ekonomi Islam sudah mula
melahirkan idea perbankan tanpa riba dengan mengutarakan kesan keburukan riba
kepada kehidupan masyarakat dan negara. Ini dirintis oleh Dr. Muhammad Uzir (1955)
melalui An Outline of Interestless Banking serta penulis lain seperti
Muhammad Abdul Mannan (1958).
Tahap kedua
Di sekitar tahun 1960an telah wujud model perbankan tanpa
riba di Mitt Ghamr, Mesir dalam lingkungan masyarakat petani yang diasaskan
oleh Ahmed al-Naggar dalam usaha untuk memberi pinjaman kepada usahawan untuk
memulakan perusahaan berskala kecil. Ia telah mendapat sambutan hangat apabila
ramai kalangan pendduduk menjadi penyimpan dan peminjam untuk aktiviti ekonomi
sehingga kerajaan Mesir menutupnya kerana sebab ia bukan inisiatif kerajaan.
Tahap ketiga
Pada tahun 1970an, idea penubuhan Bank Islam telah
dijadikan agenda mesyuarat menteri-menteri luar OIC (Pertubuhan Kerjasama
Islam). Mesir untuk agenda sosio politikmenubuhkan Nasser Social Bank (1971),
Bank Pembangunan Islam (IDB)(1975) untuk galakkan pembangunan ekonomi dan
sosial negara-negara Islam. Terdapat juga bank persendirian seperti Dubai
Islamic Bank (1975). Malah
penubuhan bank berstatus syarikat awam seperti Kuwait Finance House, Faisal
Islamic Bank of Mesir dan Faisal Islamic Bank of Sudan . Perkembangan yang
memberangsangkan berlaku di tahun 1980an apabila ditubuhkan Bank Islam di
Bahrain, Abu Dhabi, Qatar, Malaysia, Mauritania, Zanzibar, Iraq dan Turki.
Serta institusi seumpamanya di Jordan, UAE, Kuwait
dan Pakistan .
- DEFINASI PERBANKAN ISLAM
Organisasi yang terlibat secara langsung dengan amalan
kewangan dan harta yang berasaskan syariah dalam perlaksanaan aktivitinya. Ia
memberi pembiayaan atau menyediakan dana dari pelabur dan penyimpan bagi
mengerakkan kegiatan ekonomi.
- FALSAFAH BANK ISLAM
Konsep pemilik
Allah pemilik sebenar segala sumber kekayaan di alam ini
termasuk juga manusia. Dia berhak menentukan segala peraturan bagi penggunaan
segala sumber di alam ini. Manusia hanya pengguna yang diberi tanggungjawab
penggunaan yang baik.
Konsep khalifah
Manusia adalah khalifah Allah di bumi. Ia
bertanggungjawab bagi pihak Allah memegang amanah mengurus segala sumber di
alam ini selaras dengan peraturan yang ditentukan oleh Allah untuk pembangunan
dan kebahagiaan manusia.
Integrasi nilai
akhlak
Semua kegiatan ekonomi yang dibiayai oleh dana bank Islam
mesti mematuhi nilai-nilai akhlak murni dan mengenepikan akhlak yang negatif
supaya mampu membawa kesejahteraan sosio-ekonomi kepada masyarakat. Bank Islam
membiayai projek yang membawa kepada ketinggian moral dan bersama-sama
menyokong usaha ke arah ketinggian nilai akhlak.
Positif terhadap
pembangunan ekonomi
Segala sumber ekonomi hendaklah dimanfaatkan sebaik
mungkin dengan aktiviti pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang menjadi
keperluan asasi (dharuriyah) masyarakat secara efisyen dan membenteras segala
penyelewengan dan aktiviti ekonomi yang buruk seperti menyorok harta, salahguna
harta, riba dan sebagainya.
Agihan semula
berasaskan sosial
Tanggungjawab pemilik harta adalah untuk membantu
golongan yang kurang berkemampuan dengan zakat, sedekah, derna dan sebagainya
sebagai suatu tanggungjawab sosial. Bank Islam membuat pengagihan zakat dan
keuntungan untuk membantu usaha memperkasakan sistem sosial masyarakat.
Menolak riba
Riba adalah sutu bentuk pemerasan terhadap golongan
miskin dan kurang berkemampuan apabila terlibat dengan transaksi hutang. Riba
amat berbeza dengan transaksi jual beli. Ia merampas hak orang lain dengan cara
zalim sehingga memberi kesan negatif kepada pemilikan, kuasa beli, tekanan
psikologi dan sebagainya.
Perkongsian
untung
Kerjasama perniagaan antara pelabur dan pengusaha atau
bank dan pengusaha dapat membawa kepada penerokaan peluang-peluang perniagaan
yang lebih luas dengan pulangan untung yang diagih secara saksama sebagaimana
nisbah pembahagian yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat. Ia
merupakan kerjasama modal dan kemahiran yang bersifat integratif dan berdaya
saing untuk pembangunan ekonomi.
- CIRI-CIRI BANK ISLAM
Orientasi akidah
Operasi Bank Islam terikat dengan sistem akidah Islam
iaitu kepercayaan terhadap keesaan Allah. Ini bererti operasi bank Islam mesti
mengikut panduan Allah dan tidak menyekutukannya dengan mengambil panduan
operasi bank yang bercanggahan dengan kehendak Allah.
Orientasi sosial
Bank Islam beroperasi untuk membangunkan masyarakat
menerusi pembiayaan dana projek ekonomi yang berdaya maju dalam masyarakat,
membangunkan modal insan melalui pembiayaan pendidikan dan kemahiran serta
turut sama menyumbang hasil keuntungannya untuk menyelesaikan pelbagai segmen
lemah dalam masyarakat.
Tazkiyah
Bank Islam berusaha untuk menyucikan masyarakat dari
unsur-unsur dosa seperti amalan riba, aktiviti ekonomi yang sah menurut syarak
dan amalan ekonomi yang berakhlak supaya mampu memberi sumbangan kepada
pembangunan yang mampan.
Ukhuwwah dan
ta’awun
Bank Islam memberi penekanan kepada sifat setiakawan dan
kerjasama strategik antara bank-usahawan atau antara pemodal-usahawan melalui
prinsip al-mudharabah dan al-musyarakah. Pelbagai pihak boleh saling bantu
membantu memperkuat semua aspek yang lemah dan mampu menjana keuntungan melalui
gabungan kerja dan modal.
Adil
Bank Islam bersifat adil dengan tidak mengenakan riba
yang bersifat zalim bahkan berusaha mencari peluang perniagaan dan pelaburan
baru. Keuntungan hasil perniagaan akan dibahagi secara adil menurut nisbah
pembahagian yang dipersetujui dan bukan sebagaimana bank konvensional yang
hanya memberikan kadar interst yang tidak begitu memberangsangkan dan di masa
yang sama mengenakan kadar interest yang tinggi.
Pelbagai
Bank Islam mempunyai fungsi yang pelbagai seperti bank
sosial, bank antarabangsa, bank pelaburan, bank kerajaan dan bank pelbagai.
- OPERASI BANK ISLAM
Sumber dana
a Ekuiti pemilik
saham
Diperolehi dari pemilik saham asal iaitu majlis-majlis
agama Islam negeri, Tabung Haji dan juga hasil penyenaraian di Bursa Saham
Kuala Lumpur.
b. Akaun semasa
Untuk individu dan juga syarikat disediakan atas prinsip
al-Wadi’ah yad Dhamanah iaitu bank boleh menggunakan wang penyimpan dengan izin.
Keuntungan dan manfaatnya menjadi milik bank atau bank boleh mengenakan bayaran
tertentu kepada penyimpan atas perkhidmatan tertentu. Dalam pada itu, penyimpan
boleh menggunakan wangnya dengan mengeluarkan semua atau sebahagian pada bila
masa sahaja yang diperlukan.
c. Akaun simpanan. Bank memberi buku simpanan
dan menawarkan perkhidmatan yang lain kepada penyimpan. Bank memberikan
sebahagian keuntungan kepada penyimpan mengikut budi bicara bank.
- Akaun pelaburan. Bank sebagai pengusaha dan
penyimpan sebagai pemilik modal. Kedua mereka bersetuju membahagi
keuntungan yang diperolehi dari pelaburan bank mengikut nisbah yang
ditentukan oleh bank (eg. 70:30)(60:40). Mengikut prinsip mudharabah ini,
simpanan pelaburan yang dibuat oleh peyimpan hendaklah ditentukan
tempohnya seperti 3,6,9,12,15,18 atau 24 bulan dan penyimpan tidak boleh
mencampuri urusan pelaburan wangnya.
Pimbiayaan dana
- Kontrak al-Mudarabah. Bank menyediakan modal projek
tetapi tidak terlibat secara langsung. Bank hanya menyelia.
- Kontrak al-Musyarakah. Bank bersama dengan pengusaha melakukan
kerja dan menyediakan modal bersama-sama mengikut nisbah yang dipersetujui.
Mereka sama-sama terlibat dan mempunyai hak yang sama dalam mengurus
projek. Untung rugi akan dikongsi bersama.
- Kontrak al-Bay bi thaman al-Ajil. Jualan beransur
iaitu menjual sesuatu dengan serahan segera barangan dan ditangguhkan
bayaran (dibayar secara ansuran) pada suatu masa kelak. Bank membeli aset
yang dikehendaki oleh pelanggan dan kemudian menjual semula barangan
tersebut kepada pelanggan pada tingkat harga yang dipersetujui meliputi
harga kos dan margin untung.
- Kontrak al-Ijarah. Pembiayaan sewaan kepada
pelanggan yang hendak mendapatkan hak perkhidmatan. Bank Islam membeli
aset dan meyewakan kepada pelanggan dengan syarat-syarat yang dipersetujui
bersama.
- Kontrak al-Murabahah atau Buyu’ al-amanah kerana
bank/penjual dikehendaki menyatakan harga barangan yang dibeli sebelum ia
hendak jual semula. Bank menjual semula secara hutang sesuatu barangan
pada harga termasuk keuntungan (mark-up)(Cost-plus) yang dipersetujui oleh
kedua-dua belah pihak.
- Kontrak Bay’ al-Salam. Membeli barangan yang
dinyatakan kretarianya tetapi barangan dan harganya ditangguhkan bayaran
dan penerimaanya.
- PERBEZAAN ANTARA BANK ISLAM DAN BANK KONVENSIONAL
- Menghapuskan unsur riba dalam semua kegiatan ekonomi
Bank Islam meyediakan dana pembiayaan kepada pelaburan
untk pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh orang Islam.
Menentukan barangan dan perkhidmatan itu juga adalah halal. Malah memastikan
semua peringkat pengeluaran adalah mengikut syarak. Menentukan semua faktor pengeluaran mengikut syarak dan menentukan
keperluan utama masyarakat didahului.
- Keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pembangunan
sosial melalui pembiayaan dalam sektor yang halal yang boleh membantu
pembangunan negara serta memberi peluang yang saksama kepada semua lapisan
rakyat.
- PENUTUP
Perbankan Islam merupakan suatu industri yang diperlukan
untuk membantu menjana aktiviti pembangunan negara. Ia merupakan hasil dari
pengamalan sistem ekonomi Islam. Operasi perbankan Islam melalui sumber dana
dan pembiayaan dana memerlukan kemahiran perakaunan supaya ia mampu memberikan
yang terbaik kepada kehidupan individu, masyarakat dan negara.
No comments:
Post a Comment