Tuesday, June 19, 2012

Komentar Buku


KOMENTAR BUKU

TAMADUN ISLAM DAN TAMADUN ASIA: SUATU PERSPEKTIF
Oleh
MOHD ZUHAIRI BIN SAFUAN

  1. Buku ini merupakan penulisan bersama Mohd Zuhairi Bin Safuan dengan Siti Fatimah Tasir, Prof. Madya Dr. Russanani @Asiah Hassan dan Nurizam Yusof dari Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Kelantan pada bulan Julai 2009. Kumpulan ini juga secara bersama telah menulis beberapa buah buku lain seperti Konsep dan Penghayatan Islam, dan Tamadun Islam. Ia dicetak oleh penerbit dan pencetak buku yang terkenal di Kelantan iaitu Percetakan Aman Press Kota Bharu.
  2. Penulisan ini merupakan suatu sorotan perbincangan yang mencakupi dua tamadun besar dunia iaitu Tamadun Islam dan Tamadun Asia.
  3. Ia terlebih dahulu menjelaskan definasi Ilmu Ketamadunan secara terperinci merangkumi bahasa Arab, Inggeris dan bahasa Melayu sehingga tamadun dapat difahami secara komprehensif iaitu kemajuan material dan spiritual. Turut membahaskan hubungan antara Tamadun-Agama-Budaya. Fenomena perkembangan dan kejatuhan sesebuah tamadun digarap beserta contoh dengan baik. Survival sesuatu tamadun akan berterusan sekiranya ia mengamalkan sikap terbuka dan mengenepikan amalan tertutup juga dibincangkan dalam aspek interaksi antara Tamadun dalam bab 1 ini.
  4. Tamadun Islam memberi sumbangan yang tidak ternilai harganya kepada ketamadunan dunia hari ini apabila Islam memperkenalkan Sepanyol (Andalusia) dengan ilmu pengetahuan. Pengaruh pemerintahan Islam selama lebih 400 tahun memberi kesan yang besar kepada penyebaran ilmu sains dan teknologi, tradisi keilmuan dan juga perkembangan ilmu pengetahuan ke Eropah. Ini terbukti kerana Renaissance di Eropah adalah hasil interksi orang Barat dengan Tamadun Islam. Berikutnya ia menyingkap kedatangan Islam ke Eropah khususnya Andalusia (Sepanyol) dan mengupas sumbangan Tamadun Islam. Begit pun pada awal Bab 2 ini pembaca dibawa ntk melihat ssur galus kelahiran Tamaduun Islam di zaman Rasulllah s.a.w., Zaman Khlafa’ al-Rasyidin, Zaman Umaiyah dan Zaman Abbasiyah.
  5. Meneliti asas pembinaan Tamadun Malaysia di era pasca kemerdekaan 1957 dapat diketahui melalui Bab 3 yang memberi fokus kepada Islam dalam Tamadun Melayu dan Tamadun Malaysia sehingga dapat disimpulkan betapa jati diri Melayu ialah Islam dan Tamadn Malaysia bercirikan pola-pola keislaman. Bab ini didahului oleh senario alam Melayu sebelum kedatangan agama Islam, teori kedatangan Islam ke Alam Melayu sama ada Islam datang dari Tanah Arab, India ataupun China. Dijelaskan juga bagaimana Islam kemudian mendasari kehidupan masyarakat Melayu.
  6. Bab 4 merupakan huraian mengenai sistem kemasyarakatan dan kenegaraan Islam di Malaysia. Sistem kemasyarakatan Islam dijelaskan melalui aspek kekeluargaan, perkahwinan, kejiranan, institusi kemasyarakatan. Asas-asas hubungan sosial dalam Islam dan cara mengaplikasinya turut dijelaskan. Bab ini kemudian menghuraikan Islam dalam sistem Kenegaraan di Malaysia dengan menjurus kepada kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar-Dasar Islam kerajaan Malaysia seperti Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam, Islam Hadhari dan pentadbiran Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Mufti dan institusi Islam seperti JAKIM, Mahkamah Syariah, Tabung Haji, Bank Islam dan Takaful Islam..
  7. Tamadun Islam dan Tamadun Asia: Is-Is Kontemporari dan Cabaran terlebih dahl menyenth perkembangan semasa Dnia Islam seperti isu perpadan dan cabarannya
  8. Seterusnya ia memaparkan Islam, sistem dan pengaruhnya dalam Tamadun Melayu serta dalam pembinaan Tamadun Malaysia.
  9. Tamadun Islam dan Tamadun Asia turut berhadapan dengan pelbagai isu-isu kontemporer yang mencabar seperti perpaduan, globalisasi (politik, ekonomi, sosial), salah faham isu jihad dan dialog peradaban.
  10. Survival Tamadun Islam bergantung kepada agenda bertindak masyarakat Islam iaitu; membentuk masyarakat Islam yang sejati berpaksikan iman dan takwa, kembali kepada tradisi amalan Islam, melatih diri sensitif dengan maruah, belajar dari sejarah silam, keberkesanan sistem pendidikan, mewjdkan kmpuulan penggiat bidang strategik dan berorientasikan masa depan (futurism).
  11. Ia mempersembahkan kemajuan masa lampau Tamadun China dan juga Tamadun Indeia dengan asas jati diri, falsafah kehidupan, institusi dan pegangan keagamaan yang kuat, political will yang kuat, budaya ilmu dan inovasi yang tiada henti.
  12. Tanpa kita sedari betapa kemajuan yang kita kecapi pada hari ini merupakan lanjutan dari sumbangan tamadun lampau
  13. Tamadun tidak sunyi dari interaksi dan konfrantasi untuk merintis idea baru, sistem yang lebih sistematik dan tenaga manusia yang dinamik melalui interaksi tamadun Islam - tamadun Melayu,  tamadun Islam - tamadun India – Tam\dun China dan konfrantasi dengan tamadun Barat
  14. Walaupun tamadun Barat bersikap negatif dan berkonfrontasi, namun Tamadun Islam dan Asia mengambil aspek yang positif untuk memacu kemajuan hidup.
  15. Sains dan teknologi hari ini mempunyai asas yang kukuh dari Tamadun India-China-Islam.
  16. Buku ini mencadangkan betapa usaha untuk mewujudkan suasana kehidpan dunia yang lebih harmnoni dan menggembirakan hanya dapat diperolehi sekiranya kita mempunyai wawasan, perpaduan, daya intelektualisme, kecekapan menganalisis, kritisisme, semangat yang gigih dan daya juang yang kuat. 

Nilai murni dalam pendidikan

NILAI-NILAI MURNI DALAM PENDIDIKAN:
MENGHADAPI PERUBAHAN DAN CABARAN ALAF BARU

MOHD ZUHAIRI BIN SAFUAN

  1. Pengenalan
Buku “Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan: Menghadapi Perubahan dan Cabaran Alaf Baru” merupakan tulisan Profesor Dr. Abd. Rahim Abd. Rashid  pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. Buku setebal 171 halaman dibahagikan kepada 12 bab ini diterbitkan  oleh Utusan Publication & Distributors Sdn. Berhad cetakan tahun 2004 merupakan himpunan pengalamannya yang cukup menarik untuk dibincangkan sesuai dengan Misi dan Visi UiTM bagi melengkapkan proses pembinaan Modal Insan Rancangan Malaysia ke 9 (2006-2010) dan memenuhi aspirasi negara maju tahun 2020.

Buku ini membincangkan peranan sekolah dan sistem pendidikan ke arah membentuk perubahan sikap, nilai, tingkah laku, wawasan hidup, pembentukan watak dan sahsiah serta melahirkan generasi muda yang berketrampilan. Pada pandangan saya, peranan konstruktif dan dinamik sistem pendidikan begitu penting disebabkan oleh perubahan sistem sosial, ekonomi, budaya dan politik sehingga menimbulkan banyak masalah yang perlu ditangani dengan bijak. Ini kerana pendidikan dan persekolahan boleh berfungsi untuk memperkuatkan wawasan sosial dan moral bagi membentuk dan menanggani masalah serta perkembangan sosial generasi muda dengan memberi penekanan kepada aspek moral dan nilai-nilai murni.

  1. Perbincangan
            Penulis memulakan bab 1 untuk menentukan pendiriannya mengenai perspektif perkembangan nilai dengan memetik kenyataan Musgrave (1978) dalam bukunya The Moral Curiculum: A Socioligical Analysis bahawa agenda penting pendidikan dalam sesebuah negara termasuklah membangunkan aspek-aspek moral individu dan masyarakat. Penulis turut mengetengahkan kenyataan Lickona (1997) yang menyatakan bahawa watak-watak yang baik perlu dipupuk bagi melahirkan orang yang baik. Beliau memperkukuhkannya dengan kenyataan Bottery (1990) bahawa moraliti menjadi tumpuan sekolah selaras dengan matlamat persekolahan untuk menentukan apa juga bentuk yang perlu diketahui oleh generasi muda dan bagaimana mereka harus bertindak.

Dalam hal ini saya sependapat dengan penulis kerana perkara yang sama juga turut ditegaskan oleh Michael Allen (1988: 100-101) bahawa memupuk kesedaran tentang isu-isu moral, nilai moral tradisional, membina prinsip-prinsip nilai dan moral individu, berupaya membuat keputusan-keputusan moral, rasa tanggungjawab sosial, kebertanggungjawaban dan kejujuran merupakan salah satu matlamat penubuhan universiti-universiti British.. Saya amat bersetuju dengan semua pandangan ini kerana pada hakikatnya separuh daripada masa pelajar banyak dihabiskan dalam institusi pendidikan. Oleh yang demikian institusi pendidikan perlu memupuk nilai-nilai murni selaras dengan perkembangan individu dan masyarakat moden.

            Teori-teori perkembangan nilai dibincangkan penulis dalam bab 2. Menurut penulis, perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat seperti pendidikan moden, pengetahuan baru, teknologi, sejarah, sains, pengurusan, intelektual, kebebasan, media, perubahan peranan wanita, urbanisasi dan sebagainya merupakan unsur dinamik dalam perkembangan masyarakat sehingga boleh menyebabkan berlaku perubahan nilai dan mampu memberi kesan yang negatif kepada sistem sosial melalui proses asimilasi, akulturasi dan integrasi. Justeru itu institusi pendidikan berperanan membina nilai-nilai baru yang konstruktif serta menangani konflik dan dilema perubahan nilai. Penulis dalam halaman 13 memetik kata pengantar buku Bottery (1990) The Morality of The School: The Theory and Practice of Values in Education:
“Morality is at the heart of schooling; after all, schooling decides what a future generation should know and how that generation should think and behave. Moreover, all teachers must have certain basic beliefs about education itself - about a type of knowledge to be valued, the role of the child and of the teacher, and the relationship of both to the society”.

            Hala tuju pembangunan masyarakat dan negara perlu selaras dengan perkembangan nilai dalam masyarakat disentuh dalam Bab 3. Menurut penulis kejayaan masyarakat dan negara banyak bergantung kepada perubahan nilai yang berlaku dengan cara mempertahankan nilai sedia ada yang positif dan mengadaptasi nilai-nilai baru sesuai dengan tuntutan perubahan. Dalam hal ini saya berpendapat, semua institusi pendidikan di semua peringkat perlu menanamkan nilai-nilai positif selaras dengan Wawasan 2020 Malaysia Negara Maju kerana negara memerlukan warganegara yang diorientasi oleh sistem pendidikan yang boleh membentuk nilai-nilai dedikasi, rajin, cekal, bersih, cekap, amanah, optimistik, toleren, berilmu, berfikiran terbuka dan rasional.

Tambahan pula di antara ciri penting masyarakat maju ialah peka terhadap perkembangan semasa seperti teknologi, demokrasi, kebebasan, ekonomi, pemikiran, politik dan sebagainya. Nilai positif sebagai pendorong untuk kemajuan mestilah berupaya untuk membentuk tenaga manusia yang produktif untuk pembangunan negara. Oleh kerana itu pendidikan nilai mampu membenteras masalah sosial dengan menanamkan nilai-nilai moral, akhlak, kerohanian dan tingkahlaku yang baik sebagai benteng untuk mengekang gejala-gejala sosial yang membebankan negara
.
            Dalam bab 4 penulis membawa kita untuk memahami betapa nilai mempengaruhi perkembangan sosiobudaya sesuatu masyarakat melalui bahasa, estetika, simbol, idealisme, pemikiran, kreativiti, ritual dan world-view. Akan tetapi dari satu segi kelemahan nilai pula ialah kecenderungan berat sebelah, prejudis, persepsi negatif, motif, kepentingan diri dan pemaksaan nilai terhadap orang lain. Oleh itu dalam konteks UiTM nilai-nilai murni ini boleh disebarkan kepada pelajar supaya dihayati melalui proses pengajaran-pembelajaran di Dewan Kuliah, makmal bahasa dan komputer, studio dan bengkel, program pembangunan pelajar, latihan praktikal dan sebagainya secara menyeluruh dengan mengetahui kebaikan dan juga keburukan sistem nilai.

            Dalam bab 5, penulis menjelaskan psikologi nilai dalam konteks pembangunan manusia apabila nilai mempengaruhi perkembangan kejiwaan, kerohanian, harga diri, sentimen, dorongan, perkembangan ego dan sahsiah manusia. Perkembangan psikologi nilai mencorakkan kualiti pembangunan diri melalui proses penghayatan, pemupukan dan indoktrinasi untuk mencapai  kehidupan yang sejahtera.

            Kemahiran berfikir dalam pendidikan nilai diulas oleh penulis dalam bab 6. Nilai mempengaruhi perkembangan pemikiran dan tindakan kerana ia menjadi ukuran pemikiran seseorang dalam mengutarakan pendapat, membuat keputusan dan mengambil tindakan. UiTM harus memperkembangkan Kemahiran Berfikir dalam kurikulum supaya pelajar boleh dilatih berfikir secara kritis, rasional, logik dan analitikal. Mereka juga boleh dilatih dengan kebolehan membuat keputusan dan menyelesaikan masalah melalui kajian kes moral dengan menggunakan pertimbangan yang sempurna dan tidak secara membuta tuli. Akan tetapi ia juga boleh menimbulkan masalah sebagaimana yang dikomentarkan oleh Richard Pring (1987: 27);
”Therefore, we cannot, in preparing them for such a future, rely upon our traditional authority in teaching with confidence how they must deal with specific problems. First, we are not clear in detail what these problems will be. Secondly, part of the present moral and social climate is a distrust of authority, especially in the relm of  values. Thirdly, without an agreed tradition of values it is not easy to see how one can promote with confidence one particular set of values rather than another”.

            Falsafah nilai dalam pendidikan dibincangkan dalam Bab 7 di mana ia mencorakkan idealisme dan kualiti pendidikan yang dipelajari oleh sesuatu masyarakat sebagai panduan untuk menggubal kurikulum dan pembentukan pengetahuan. Perkembangan mutakhir menurut Elwyn Thomas menunjukkan pendidikan nilai diberi penekanan dalam kurikulum di sekolah di rantau Asia seperti di Malaysia, Singapura, Burma, Thailand dan Vietnam untuk membantu menyelesaikan masalah di universiti dan budaya. (Gardner, Roy., Cairns, Jo. & Lawton, Denis., 2000:261). Pada saya ini jelas menunjukkan falsafah nilai mampu mencorakkan wawasan, matlamat dan perkembangan individu serta masyarakat untuk mencapai kesejahteraan hidup dan menangani sebarang masalah.

            Bab 8 memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan nilai merentasi kurikulum. Penulis menegaskan bahawa nilai-nilai murni merupakan asas kepada pembinaan dan pembangunan manusia dan merupakan tanggungjawab masyarakat untuk mempertahankannya bagi mengatasi segala bentuk masalah sosial dan krisis moral. Ia perlu diterap dalam kurikulum dan segala bentuk pendidikan di sekolah. Nilai-nilai murni adalah tonggak kepada nilai kemanusiaan dan mampu membentuk dimensi pembinaan sahsiah, sosial dan kerohanian. Di Malaysia, penerapan nilai-nilai murni dilakukan terhadap semua mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) melalui pendekatan Nilai Merentasi Kurikulum. Ia turut diajarkan secara khusus dalam mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar muslim dan Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Islam. Hal ini telah berjaya diadaptasi di UiTM dan dilaksanakan dengan baik.

Nilai-nilai murni merupakan nilai universal yang tidak bercanggah dengan mana-mana agama, budaya dan masyarakat Malaysia dan ia berteraskan kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Nilai-nilai murni itu adalah; baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat. Pengajaran nilai boleh menggunakan prinsip-prinsip seperti; menghormati agama/undang-undang/norma hidup, menimbulkan kesedaran dan keinsafan, mempertahankan nilai baik dan menolak nilai buruk. Nilai ini diintegrasikan dengan pengetahuan serta aktiviti atau dengan cara menimbulkan dilema serta konflik nilai supaya pelajar boleh menggunakan kematangan berfikir, mengelak dari menyentuh sensitiviti agama dan budaya sesuatu kaum. Kepelbagaian sosiobudaya Malaysia menurut penulis merupakan aset berguna untuk penerapan nilai moral, etika, budaya dan kerohanian yang kukuh sebagai asas yang kuat bagi menghadapi cabaran  masa hadapan.

            Melalui bab 9 penulis menegaskan betapa kekuatan sesuatu kurikulum bergantung kepada sejauhmana pelajar dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran serta nilai-nilai murni sehingga ia dapat mencorakkan perkembangan emosi, sosial, akhlak dan moral pelajar. Nilai murni merentasi kurikulum berupaya menguatkan pembentukan sahsiah dan akhlak pelajar. Penulis mencadangkan melontarkan beberapa nilai-nilai masyarakat Malaysia seperti nilai-nilai Islam, nilai-nilai Global, nilai-nilai Timur dan nilai-nilai Barat boleh dikembangkan dalam sistem pendidikan. Begitupun kita perlu berhati-hati kerana nilai-nilai murni turut mengalami perubahan, penyesuaian dan boleh pupus sekiranya masyarakat tidak komited untuk mempertahankannya. Dilema nilai menurut Crawford dan Colin Riches (1992:3) juga boleh berlaku disebabkan oleh pertembungan nilai-nilai murni;
”It is important to ask where conflicting values and meanings come from. Some come from tradition, and are unique to an individual institution, or a subunit within one, such as a House at a public school. Others will come from forms of professional acculturation: from norms of acceptable behavior generated through work in a range of different schools and inculcated through the work of inspector or from individual’s training. Individuals will have developed others from their professional or general reading, or from external source as their political or religious belief. This combination of beliefs and values, derived form a variety of sources, will shape beliefs about what is a proper behaviour for teachers in schools and collages towards their students, towards parents or student’s sponser, and toward each other.”

            Penulis membicarakan 4 strategi mengembangkan nilai dalam pendidikan menerusi bab 10 iaitu melalui penggubalan kurikulum, strategi pengajaran, penggubalan bahan dan strategi pembelajaran. Ia boleh dilaksanakan melalui beberapa pendekatan seperti integrasi nilai dalam kurikulum, nilai merentasi kurikulum dan pengajaran nilai dalam topik yang dipilih khas. Manakala nilai-nilai asas yang diterap melalui pendidikan ialah kewarganegaraan, patriotisme, kebangsaan, moral atau etika, budaya dan kemanusiaan. Zainal Abidin Mohamed (1999: 39) menegaskan bahawa asuhan dan pendidikan yang seimbang boleh menghasilkan bakal-bakal pemimpin dan manusia yang bukan sahaja berpelajaran, cekal dan profesional tetapi setimpal pula dengan akhlak yang terpuji supaya dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke atas graduan mereka menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi mereka terhadap pengajaran nilai dalam semua program akademik dan ia memberi kelebihan kepada mereka untuk memenuhi kehendak pasaran kerja. (Munir Shuib, 2008: 288-296).  

            Kita boleh mempelajari proses pengajaran dan pembelajaran nilai dalam bab 11 iaitu menggunakan pendekatan isu moral, analisis nilai, dilema moral, penjelasan nilai dan kognitif melalui bidang bahasa, sains, sejarah, kebudayaan dan matematik dengan cara memupuk, menanam, mendedahkan isu dan nilai yang berkaitan, membanding, membezakan, mengkaji motif, menganalisis, melakukan role-model dan perbincangan nilai. Penulis turut mengemukakan contoh seperti melalui cerita, pengalaman hidup, lagu, puisi, kata-kata hikmat, madah pujangga, peribahasa, peristiwa semasa dan sebagainya.

            Menurut penulis salah satu kriteria utama bagi menentukan sekolah berkesan ialah ketinggian nilai moral di samping pencapaian akademik, kemudahan infrastruktur pembelajaran, kualiti pengajaran, pengurusan, pentadbiran dan kepimpinan, pengaruh sosioekonomi pelajar dan sebagainya. Dalam bab 12, beliau menegaskan bahawa sekolah yang mempunyai imej moral yang tinggi memberi suatu kekuatan semangat sekolah untuk mencapai perubahan dan kemajuan sama ada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik kerana ia memainkan peranan penting dalam pembinaan watak dan personaliti serta menggilap potensi individu untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Saya bersetuju dengan penulis kerana menurut Ballantine (2001: 313)  pelajar dari sekolah yang berprestij mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperolehi kerja atau pendapatan yang lebih baik. Oleh itu amat penting bagi UiTM mencorakkan perkembangan nilai melalui proses sosialisasi pengajaran-pembelajaran kerana peranan institusi pendidikan pada alaf ini bukan sahaja untuk mengeluarkan manusia seperti robot yang cekap dan pintar, tetapi juga menghasilkan insan yang mengamalkan nilai-nilai murni dan dapat mempertahankan kualiti moral dalam segala urusan penghidupan mereka.
                                          
  1. Penutup
Sesungguhnya kandungan buku ini amat menyeluruh dan menarik untuk dibaca dengan idea-idea yang dikemukakan oleh penulisnya amat berguna untuk mengenalpasti dan mengatasi masalah moral pelajar masa kini yang semakin kritikal dan dalam masa yang sama boleh membantu dalam proses membina modal insan yang cemerlang seiring dengan cabaran perubahan dan globalisasi..




Rujukan

  1. Abd Rahim Abd Rashid. 2004. Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan: Menghadapi Perubahan dan Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
  2. Allen, Michael. 1988. The Goals of University. Philadelphia: Open University Press.
  3. Ballantine, Jeanne H. 2001. The Sociology of Education: A Systematic Analysis. New Jersey: Prentice Hall.
  4. Bennett, Nigel., Crawford, Megan. & Riches, Colin. (ed.). Managing Change in Education: Individual and Organizational Perspectives. London: The Open University.
  5. Education and Economy In A Changing Society. 1989. Paris: Organization for Economic Co-operation and Development (OECD).
  6. Gardner, Roy., Cairns, Jo. & Lawton, Denis. 2000. Education For Values: Moral, Ethics and Citizenship in Contemporary Teaching. Kogan Page Limited. London and Sterling, VA.
  7. Leicester, Mal. & Taylor, Monica. (ed.). 1992. Ethics, Ethnicity and Education. London: Kogan Page Limited.
  8. Malkawi, Dr. Fathi & Abdul-Fattah, Dr. Hussein. 1992. The Education Conference Book: A Conference On Towards the Construction of A Contemporary Islamic Educational Theory. Amman: Islamic Studies and Research Association.
  9. Munir Shuib, Sarjit Kaur & Rozinah Jamaludin. (editors). 2008. Governance and Leadership in Higher Education. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
  10. Thacker, John., Pring, Richard & Evans, David. (ed.). 1987. Personal, Social and Moral Education in a Changing World. England: The NFER-NELSON Publishing Company Ltd.
  11. Zainal Abidin Mohamed. (Editor). 2007. Pengurusan Strategik di Sektor Pendidikan. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.



Friday, June 15, 2012

Perakaunan Islam 8



  1. Pengenalan
Aktiviti ekonomi boleh dilakukan secara individu jika mempunyai kekuatan yang sepatutnya. Ia juga boleh dilaksanakan secara perkongsian atau usahasama bagi membentuk keuatan bersama dan menggembeling kekuatan.
  1. Definasi
Percampuran harta yang dimiliki oleh dua orang sehingga tiada perbezaan antara mereka. Dua oran atau lebih membuat perjanjian perkongsian untuk menjalankan sesuatu projek perniagaan dan mereka bersama menyumbang modal dan berkongsi untung-rugi
  1. Jenis-Jenis Syarikat
            Syarikat Amwal (harta)
            Syarikat Ashkhas (Individu)
            Syarikat Mudharabah (Berhad)

  1. Perjanjian Syarikat
  2. Syarat-Syarat Syarikat
5.1 

Perakaunan Islam 7


INSURAN ISLAM / TAKAFUL



  1. Pengenalan
Konsep insuran Islam diasaskan kepada konsep takaful.
  1. Definasi Takaful
Perkataan takaful berasal dari perkataan bahasa Arab Ka, Fa dan Lam yang bermaksun tadhamun iaitu menjamin satu sama lain. Ia juga merujuk kepada perkataan al-Ta’min iaitu kesejahteraan dan al-musyarakah iaitu perkongsian. Oleh itu takaful ialah perkongsian tanggungjawab atau perkongsian jaminan di antara satu sama lain.

Takaful Islam beroperasi berasaskan perpaduan, rasa tanggungjawab dan hubungan persaudaraan di antara peserta. Peserta skim takaful ini bersetuju untuk memberi sumbangan kewangan berdasarkan tabarru’ (derma) dengan niat kerana Allah bagi membantu sesama mereka. Mereka bersetuju menanggung beban secara bersama kerana sebab-sebab kecederaan, kematian, kehilangan, kerosakan, bencana dan sebagainya.


  1. Perkembangan Takaful

  1. Falsafah Takaful
4.1  Bertanggungjawab
4.2  Bekerjasama bantu-membantu
4.3  Lindung-melindungi

  1. DAN KEPENTINGAN TAKAFUL


  1. Operasi Takaful
6.1  Takaful Keluarga
6.2  Takaful Am


  1. Perbezaan Takaful Islam dan Insuran Konvensional
7.1  Takaful mengamalkan konsep ta’awun (bekerjasama) sedangkan insuran konvensional mengamalkan system kapitalis berasaskan keuntungan.
7.2  Takaful mengamalkan konsep bersama menyertai sedangan 

Perakaunan Islam 6


BAB 6
AL-RAHN (Pajak Gadai Islam)




  1. Pengenalan
Al-Rahn merupakan salah satu mekanisme sistem ekonomi Islam sebagai suatu alternatif atau jalan keluar untuk menyelesaikan masalah untuk mendapatkan wang tunai segera terutama di kalangan masyarakat yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek/segera/mudah yang bebas dari amalan riba.

  1. Sejarah Perkembangan al-Rahn
Pajak gadai berkaitan dengan hutang dan berhutang merupakan sifat semulajadi manusia untuk mendapatkan barangan dan juga wang. Hutang menyebabkan wujud amalan riba sebagai jalan keluar untuk jaminan setiap hutang dibayar balik. Riba dikenakan oleh pemberi hutang dan mengenakan syarat sekiranya dalam tempoh tertentu sekiranya hutang gagal diselesaikan maka gadaian akan luput (hangus) atau menjadi hak milik pemberi hutang. Ini merupakan salah satu bentuk eksploitasi, tipu muslihat dan kezaliman orang yang berharta ke atas orang lain.

Di Malaysia industri Pajak Gadai tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 iaitu meerima atau mengambil dari seseorang sebarang benda untuk dijadikan cagaran untuk pembayaran balik sejumlah wang yang tidak melebihi RM 5,000.00 dengan perjanjian benda tersebut akan ditebus semula. Pada kebiasaannya pajak gadai konvensional menetapkan; apabila nilai barangan sandaran rendah maka tinggi kadar bunga, tidak memberikan nilai semasa barangan gadaian, penggadai akan kehilangan hak jika barang gadaian tidak ditebus.

  1. Definasi al-Rahn
Pinjaman wang dengan meletakkan barangan (emas) sebagai cagaran dalam tempoh tertentu. Atau menjadikan sesuatu (barangan atau emas) sebagai jaminan kepada hutang yang menjadikannya sebagai bayaran sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan.

  1. Hukum al-Rahn
Ia adalah harus sebagaimana transaksi jual beli yang lain. Bahkan Rasulullah s.a.w. bergadai baju besinya untuk mendapatkan gandum dari seorang Yahudi bernama Abu Shaham.

  1. Falsafah al-Rahn
5.1  Keadilan
Islam menentang segala bentuk penindasan, eksploitasi pemberi hutang ke atas orang yang berhutang. Keadilan mesti ditegakkan dalam kehidupan bukan sahaja sesama Islam tetapi juga sesame manusia.

5.2  Konsep harta
Harta adalah milik Allah yang dikurniakan kepada manusia hasil dari daya usaha yang dibenarkan syarak. Ia dikawal oleh manusia dan menjadi tanggungjawab kepada manusia untuk menguruskannya sebaik mungkin.

5.3  Tanggungjawab
Penggadai dan pihak yang menerima gadaian mesti bertanggungjawab dengan tidak merampas, menipu dan sebagainya dan bermuamalah dengan batasan kemanusiaan untuk bentu membantu untuk memberi modal dan kurang berkemampuan.

5.4  Kebajikan
Transaksi gadaian merupakan kerja amal untuk semata-mata kebajikan dan pertolongan terhadap mereka yang memerlukan. Ia bukan bermotifkan keuntungan walaupun ia adalah suatu industri perniagaan.

  1. RUKUN DAN SYARAT AL-RAHN
a.      Sighah atau ucapan penawaran dan penerimaan
b.      Orang yang menggadai (berhutang)
c.       Pemegang gadaian (pemberi hutang)
d.      Barang gadaian
e.       Sebab gadaian iaitu hutang

  1. OPERASI AL-RAHN DI MALAYSIA
7.1  Qard al-Hasan
Merupakan pinjaman tanpa faedah untuk mencari kebaikan/kebajikan. Peminjam hanya perlu membayar pokok pinjaman sahaja. Tiada bayaran lain yang dikenakan. Walau bagaimanapun sekiranya penggadai hendak memberi saguhati/hadiah adalah dibenarkan.

7.2  Bai Bi Thaman Ajil
Merupakan bayaran ansuran. Penjual barangan memberikan barangan kepada pembeli tetapi pembeli menangguhkan bayaran sehingga ke suatu tempoh tertentu.

7.3  Bai Wafa’
Jual beli hutang iaitu perniagaan hutang apabila seseorang yang memberi hutang kepada pihak lain boleh menjual haknya untuk mengutip hutang itu kepada pihak lain menurut sebagaimana harga yang dipersetujui.

7.4  Bayaran Perkhidmatan
Sejumlah bayaran tertentu meliputi kawalan keselamatan, lessen, deposit, sewa bangunan dan sebagainya untuk menjalankan kegiatan syarikat al-Rahn.

7.5  Upah Simpan
Bayaran untuk selain bayaran perkhidmatan seperti membayar gaji pekerja al-Rahn. Berdasarkan nilai barangan gadaian (emas tulen).

7.6  Barang gadaian tidak lupus
Barang yang digadai walaupun nilai gadaian itu pada kadar 65% atau 50% adalah menjadi hak penggadai dan tidak akan lupus bahkan jika ada lebihan hasil dari proses lelongan hendaklah diserahkan kepada penggadai kerana tidak boleh mengambil hak orang lain.

7.7  Pinjaman tanpa faedah
Pinjaman yang mencagarkan emas tulen.

7.8  Kadar upah mengikut nilai barang
Setelah penggadai membayar pinjamannya, ia boleh mendapatkan kembali barang gadaiannya dengan membayar sama upah simpan barang berdasarkan nilai barangan gadaian dan bukannnya jumlah pinjaman.

7.9  Lelong sebagai jalan terakhir
Melelong atau menjual barangan gadaian (emas) dibenarkan dengan syarat mendapat izin dari penggadai terlebih dahulu walaupun penerima gadaian juga mempunyai hak. Akan tetapi sekiranya penggadai enggan maka penerima gadaian boleh membawa tuntutan ke mahkamah bagi mendapatkan haknya kembali (hutang).

  1. PAJAK GADAI KONVENSIONAL: SUATU PERBANDINGAN DENGAN AL-RAHN
8.1  Nilai gadaian merosot.
8.2  Kadar faedah (riba) yang tinggi bagi pinjaman yang diberi.
8.3  Nilai gadaian yang rendah bahkan akan luput jika hutang tidak dapat dijelaskan dalam tempohnya.
8.4  Surat gadaian sukar difahami dengan tujuan untuk menjerat penggadai.
8.5  Melelong gadaian tanpa memberitahu penggadai supaya pemberi hutang gadaian boleh memindahkan milik barang gadaian kepada mereka.
8.6  Wang lebihan gadaian tidak dipulangkan kepada penggadai.
8.7  Acara lelong tidak disebarluaskan.
8.8  Pemegang gadai / pemberi hutang menuntut wang pendahuluan.

  1. PENUTUP
Sistem al-Rahn pesat berkembang di Malaysia. Banyak syarikat al-Rahn muncul seperti Sistem Gadaian Islam Kelantan (al-Rahn), Muassasah Gadaian Islam Terengganu, Sistem Gadaian al-Rahn Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Sistem Gadaian Islam Bank Islam Malaysia Berhad dan Sistem gadaian Islam (al-Rahn) Pahang. Ia menjadi satu skim kredit mikro untuk kegiatan ekonomi kecil dan sederhana malah membuktikan kepentingan emas sebagai cagaran/sandaran dalam urusan peminjaman wang.