BAB 7
KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM
7.1 KETAATAN
Prinsip
utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu
tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira
bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada
dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat
dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan
mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk
melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai
oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah
dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak.
Maksud
firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai
orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah
dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian
jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah
kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya
jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“.
Maksud
hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada
ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada Al Khaliq”. (Hadith
Shahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati
perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati
perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa
yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”.
(Riwayat Muslim)
Namun
begitu ketaatan pada pimpinan organisasi boleh berlaku apabila;
Organisasi itu milik pemerintah.
Organisasi bukan milik pemerintah (NGO),
ketaatan tidak sama seperti pemerintah.
Hadith
di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan
seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh
menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi
perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang
bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi
kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus
diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala
peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan
dirinya sendiri.
7.2 EMOSI
Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan
diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri
dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain.
Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk
berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan
dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan
seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal
merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi,
membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan
bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang
mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah,
bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan,
iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu,
bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga
dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan
emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga
orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal
digabungkan dengan sempurna.
7.3 PENAMPILAN
Pengurusan Diri
Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu
menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran
yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang
pengeluaran atau pun perkhidmatan. Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya
dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan
kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai
hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu
bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan orang yang patut dihormati kerana usahanya
membentuk masa hadapan kita.
Mengurus Masa
Bagi menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, anda
mesti berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan
kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti
berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih
panjang.
Perancangan
Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting
sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa
dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan
bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja.
Kemahiran Berfikir dan Belajar
Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir
secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan
dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu
yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah,
mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca,
membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi
tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat
memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan
menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat
pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami
supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada
dalam bentuk tulisan mahupun lisan. Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti
berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa
berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang
lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat
kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun,
kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah S.W.T akan memberkati
segala usaha kita.
7.4 PERWATAKAN
(Rujuk
Artikel Sebelum ini)
7.5 KEWANGAN
Bagi orang Islam, Nabi
Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan
datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum
miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.
Secara tidak langsung,
kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan
tanggungjawab. 4 strategi pengurusan kewangan Islam ialah;
1. Mencari Rezeki Yang Halal. Allah Maha Pemurah dan Pemberi
Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah,
ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian,
setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa
yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah
banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di
akhirat.” Rezeki dan
limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang
halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau
rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman
dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi
dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.
2. Melanggan Takaful Sebagai Persediaan Menghadapi Musibah. Takaful ialah produk
perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans
kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ di kalangan peserta takaful.
Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar)
sebagaimana kontrak insurans konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi
anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah
seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta
takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan.
Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila
berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada
peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika
seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya
dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit
daripada beban kewangan yang melanda.
3. Melabur Tanpa Berhutang. Matlamat pelaburan
kita ialah untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak
digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap
pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang.
Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang
akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan
pinjaman mendedahkan kita kepada tindakan saman atau diisytiharkan muflis bagi kes
yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya kita melabur dalam melabur dalam
saham amanah yang patuh Syariah.
4. Menunaikan Zakat dan
Bersedekah (Infaq). Kita mesti melaksanakan
tanggungjawab zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang kita miliki
telah cukup jumlahnya (nisab) dan
tempohnya (haul) dengan kadar 2.5%
daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang
memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama.
Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan
dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah
Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan
kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang
yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan
susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan
orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.
merujuk artikel sebelum ini? tu artikel mende pulok
ReplyDelete