Wednesday, October 21, 2015

Survival Melayu-Bumiputera


STRATEGI SURVIVAL MELAYU-BUMIPUTERA DI MALAYSIA

Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 di tangan penjajah Portugis, kemudian Belanda, Inggeris dan Jepun silih-berganti menguasai Tanah Melayu. Penjajahan berlangsung selama 446 tahun telah menghancurkan hampir seluruh infrastruktur bangsa Melayu-Bumiputera seperti sistem pentadbiran, pendidikan, sosial, politik, perundangan dan ekonomi satu persatu. Apa yang tinggal bertahan menjadi benteng terakhir bangsa Melayu-Bumiputera hanyalah Islam yang bersifat urusan peribadi dan kekeluargaan sahaja serta adat istiadat Melayu yang bersifat sentimental. Hal yang sama berlaku terhadap Bumiputera di Sabah apabila diperintah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan James Brooke menjadi Raja Sarawak. Menjelang Perang Dunia Kedua, Sabah dan Sarawak diserahkan kepada kerajaan Inggeris.
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 sekaligus menyaksikan kemerdekaan Sabah dan Sarawak sepatutnya sudah boleh dilakukan sesuatu yang mengembalikan zaman kegemilangan Melayu-Bumiputera. Bukan sahaja setakat bangsa yang baru terlepas dari penjajahan tetapi lebih dari itu sebagai bangsa yang mengupayakan diri untuk survival masa hadapan Pemerintahan dan pentadbiran yang sebelumnya diterajui oleh Sultan dan para pembesar Melayu telah diambil alih oleh penasihat Inggeris. Pendidikan Barat moden yang diperkenalkan oleh Inggeris hanya dapat diakses di kawasan bandar sahaja yang bukan dihuni oleh Melayu-Bumiputera dan lepasan sekolah tersebut hanya layak untuk mendapat kerja berjawatan rendah dalam birokrasi kerajaan Inggeris. Perkembangan ekonomi berorientasikan ekspot bahan mentah telah membawa masuk buruh asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja. Inilah kemudiannya yang mengubah komposisi etnik di Asia Tenggara berbanding dengan penduduk peribumi akibat perbezaan warna kulit, bahasa, agama dan budaya. Pada masa yang sama untuk memudahkan penjajahan, Inggeris telah melaksanakan dasar “pecah dan perintah” yang menghalang wujudnya perpaduan di kalangan etnik yang pelbagai.
Pemerkasaan Melayu-Bumiputera bermaksud kelangsungan hak penguasaan dan jaminan kedudukan etnik Melayu-Bumiputera di negara ini yang merupakan negara tanah tumpah darah dan warisan nenek moyang yang perlu dipertahankan. Pemerkasaan Melayu/Bumiputera mesti dipertahankan dan diperkukuhkan dalam aspek politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Perlu ada perancangan dan usaha untuk menyusun semula dasar dan agenda negara supaya menyediakan peluang yang munasabah bagi memastikan Melayu-Bumiputera tidak ketinggalan dalam persaingan hidup kontemporari yang dinafikan kepada mereka di zaman penjajahan dulu.

Mengurus agenda survival Melayu-Bumiputera boleh dimulakan dengan menganalisa cara orang Melayu-Bumiputera berfikir, mengorganisasi diri dan kelompoknya, mengendali keperluan hidup seharian, cara memaju dan membangunkan diri sendiri. Selepas itu perlu diberi perhatian kepada sistem yang menunjangi kehidupan mereka meliputi dasar-dasar kerajaan, sistem pengurusan pembangunan yang diputuskan melalui dasar dan implimentasinya juga segala urusan agensi yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan yang perlu untuk orang Melayu-Bumiputera membangun. Kebangkitan semula orang Melayu-Bumiputera boleh dilakukan asalkan mereka mahu berubah dan agensi yang membawa perubahan itu memahami perubahan yang perlu dilakukan.

7.1  PERANAN KERAJAAN
Dalam sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang sempurna seperti Malaysia, persoalan hubungan etnik merupakan isu utama negara yang mesti ditanggani dengan sebaik mungkin supaya seluruh tenaga, modal dan fikiran dapat disalurkan kepada kemakmuran pembangunan negara dan rakyat dapat hidup aman damai dan bebas tanpa ketakutan, berinteraksi secara sihat dan harmonis. Untuk mencapai hasrat murni tersebut, negara mesti berusaha untuk membentuk jatidiri rakyatnya iaitu bangsa Malaysia yang terangkum dalam semangat, kepercayaan, sikap dan visi dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
a.             Politik
Sejak Barisan Nasional ditubuhkan kerjasama antara parti politik pelbagai etnik menjadi ramuan utama perkongsian kuasa, kuasa Melayu yang diwakili oleh UMNO telah menjadi kuasa teras dalam pakatan politik. Melalui kuasa teras ini, etnik Melayu dapat menguasai kerajaan dan menjadi kuasa penentu kebanyakan dasar kerajaan. Kerajaan juga dapat merancang dan melaksanakan segala dasar dan program bagi mengukuhkan survival Melayu. Perkongsian kuasa Barisan Nasional  (BN) dapat memastikan kestabilan dan mengurus konflik dengan baik. Walau bagaimanapun keputusan pilihan raya ke 12 (2008) dan ke 13 (2013) memperlihatkan kerajaan BN telah kehilangan sokongan daripada rakyat pelbagai etnik dan juga generasi muda. Pengundi lebih cenderung menyokong parti pembangkang seperti PAS (Parti Islam SeMalaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP (Democratic Action Party). Kemerosotan sokongan ini dibimbangi akan menghakis kuasa Melayu/Bumiputera dalam kerajaan dan boleh melemahkan dasar yang menyokong survival Melayu-Bumiputera. Etnik Cina dilihat tidak menyokong BN dan sokongan sebahagian orang Melayu kepada PAS dan PKR memecahkan kekuatan Melayu sekaligus kekuatan Melayu dalam kerajaan semakin mengecil. Kebimbangan tersebut menyebabkan segelintir daripada etnik Melayu mengutarakan keperluan pembentukan kerajaan perpaduan dengan membawa masuk parti-parti politik Melayu seperti PAS (Parti Islam SeMalaysia)  ke dalam kerajaan bersama UMNO (United Malay National Organization) bagi mengukuhkan kuasa politik Melayu-Islam bagi menghadapi cabaran tuntutan etnik lain.
Kerajaan yang dipimpin oleh UMNO disarankan agar lebih memberi perhatian terhadap tuntutan dan pembangunan etnik Melayu terutama di luar bandar yang rata-rata masih teguh menyokong BN. Ini kerana dalam bidang politik, masyarakat majmuk lebih cenderung mementingkan survival masing-masing. Mereka suka dipimpin oleh kalangan mereka sendiri dan sukar menerima kalangan pemimpin etnik lain. Setiap etnik mempunyai parti politik tersendiri. Orang Melayu mempunyai UMNO dan PAS, orang Cina bernaung di bawah MCA, DAP dan Gerakan, orang India berjuang dalam MIC dan IPF. Demikian juga di Sabah dan Sarawak setiap etnik mempunyai satu atau dua parti politik. Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum tidak begitu mendapat kepercayaan rakyat jika dibandingkan dengan parti mewakili etnik.
Sistem politik demokrasi berparlimen menyaksikan kemunculan parti politik berasaskan etnik menyuarakan kepentingan masing-masing sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan semangat perkauman terutamanya pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Mereka akan bertanding dalam pilihanraya setiap lima tahun dan rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan memilih wakil mereka untuk menduduki kerusi parlimen. Sistem demokrasi “satu orang satu undi” memerlukan parti politik mendapatkan sokongan sebanyak yang mungkin dan ini memberi konotasi mudah betapa parti yang diwakili oleh etnik yang majoriti berupaya untuk menang. Begitupun etnik yang minoriti menjadi kuasa penentu parti yang menang mutlak. Untuk memastikan survival orang Melayu/Bumiputera, mereka hendaklah mendaftar sebagai pengundi supaya layak menentukan kedudukan istimewa mereka dapat dikekalkan seperti agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan Raja-Raja Melayu yang pasti tidak dapat dikekalkan sekiranya negara diperintah oleh etnik lain dari Melayu. Sistem pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan kuasa eksekutif iaitu Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia memastikan Raja-Raja Melayu di sembilan buah negeri Melayu memilih kalangan mereka institusi Yang DiPertuan Agong sebagai payung pelindung orang Melayu dan Ketua Agama Islam. Ini dilindungi dalam perlembagaan persekutuan dan mesti dipertahankan oleh orang Melayu.

b.            Ekonomi
Kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu/Bumiputera dalam bidang ekonomi yang berleluasa selepas merdeka berjaya dikurangkan dengan pengenalan satu dasar eksklusif iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari tahun 1970-1990. Selain itu usaha untuk meningkatkan daya pengeluaran dilaksanakan melalui projek perikanan, penternakan, pertanian, pembuatan, perniagaan dan perkhidmatan moden. Kerajaan membantu dengan menyediakan kemudahan mikro kredit, infrastruktur, teknikal dan pemasaran. Fokus pemerkasaan ekonomi yang paling utama ialah menggalakkan orang Melayu/Bumiputera menceburi sektor IKS (Industri Kecil dan Sederhana) dengan memperhebatkan aktiviti keusahawanan dan perniagaan kerana perubahan ini penting bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Beberapa masalah yang telah dikenalpasti seperti teknologi pengeluaran yang ketinggalan, kekurangan modal dan pasaran yang terhad mesti diselesaikan secara tuntas. Ini diharap dapat diatasi melalui usaha keras agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, MARA, PUNB dengan menambah bilangan usahawan bumiputera melalui penambahan peruntukan yang dikeluarkan.
Satu lagi usaha besar kerajaan ialah bagi membentuk masyarakat perdagangan dan perindustrian Melayu/Bumiputera di semua peringkat aktiviti ekonomi. Antaranya ialah melalui Dasar Penswastaan perkhidmatan kerajaan yang berdaya maju kepada Melayu/Bumiputera yang mempunyai daya saing, inovatif, berani mengambil risiko dan berminat. Dalam pada itu usaha memperkukuhkan pemilikan aset bukan kewangan Melayu/Bumiputera seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersil dipergiatkan. Begitu juga hartanah wakaf dan tanah pusaka yang kelihatan seperti tidak terurus dan terbiar sehingga menyebabkan nilainya merosot dan rendah diperkasakan dengan pengurusan berasaskan perniagaan. Ini dapat diperbaiki contohnya melalui penubuhan Yayasan Wakaf Malaysia dan usaha lebih gigih Pelaburan Hartanah Berhad, Perbadanan Usahawan Bumiputera dan MARA bagi membangunkan hartanah komersil dan industri. Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Negeri boleh memperbanyakkan rumah mampu milik kepada Melayu/Bumiputera supaya mereka memiliki keperluan asas tersebut dan boleh tinggal di kawasan bandar yang peast membangun bersama rakyat Malaysia yang lain.
Had maksimum pelaburan individu dalam Amanah Saham Bumiputera telah dipertingkatkan kepada RM200,000.00 bagi menggalakkan penyertaan golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham. Manakala ASB2 yang dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad mendapat suntikan permulaan dari kerajaan sebanyak 10 billion unit saham. Meningkatkan pembangunan usahawan Bumiputera dengan mengukuhkan sistem pembangunan vendor Bumiputera dan mewujudkan usahawan baru.  
Untuk memperkasakan survival dalam bidang ekonomi, kerajaan mesti memastikan tidak wujud campurtangan politik dalam proses membuat keputusan sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan gagal berfungsi melonjak kedudukan bangsa Melayu. Demikian juga penyelewengan yang berlaku dihampir semua agensi yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu mesti dibedah siasat supaya tidak menjadi beban kepada usaha kerajaan tetapi sebagai aset yang membantu Melayu-Bumiputera. Kuasa yang diberi tidak lagi menjadi amanah, tetapi sebaliknya menjadi agensi yang berkaitan sebagai lubok untuk mengkayakan diri sendiri. Padahal  fungsi sebenar penubuhannya ialah untuk membangun bangsa Melayu. Kekecewaan orang Melayu sangat memilukan. Nelayan Melayu terus ketinggalan dihimpit kemiskinan sedangkan yang kelihatan hebat ialah pejabat LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia). Samalah juga dengan pekebun kecil yang berterusan miskin berbanding dengan pejabat Risda dan Felcra yang bertambah mewah.
c.              Sosial
Akta Pelajaran 1996 melalui Perkara 13 (1) telah menetapkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama sistem pendidikan dengan memperkukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai medium perpaduan nasional serta pemerkasaan pendidikan agama sebagai asas survival ummah. Pelajar Melayu/Bumiputera yang berjaya dari segi akademik akan diberikan tempat di Institusi Pengajian Tinggi di dalam dan luar negara. Bagi golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan kemahiran supaya mendapatkan lebih peluang pekerjaan.
Peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk menambah pusat latihan, menyediakan peralatan berteknologi tinggi dan menambah program latihan. MARA dan JPA berperanan menyediakan biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada pelajar Melayu-Bumiputera bagi memenuhi keperluan bidang kritikal masa depan dan berteknologi tinggi bagi melahirkan Melayu-Bumiputera yang berkualiti, berwibawa dan cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Bagi graduan Melayu-Bumiputera yang mengganggur, kerajaan akan menggiatkan program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skill untuk menambah bilangan penerima faedah supaya mereka lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.

7.2  PERANAN NGO
Penubuhan NGO (Non-Government Organization) Melayu/Islam amat penting bagi memastikan survival Melayu/Bumiputera. Banyak NGO ditubuhkan dengan matlamat dan pendekatan yang berbeza. Ia boleh berperanan sebagai golongan pendesak yang kritis terhadap setiap perkara yang ada hubungannya dengan etnik Melayu. Antara yang paling jelas ialah penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa yang bermatlamat untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera di dalam Perlembagaan. Dalam perjuangannya Perkasa sentiasa kritis terhadap mana-mana pihak yang menafikan atau melemahkan hak Melayu/Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan GPMS (Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) yang ditubuhkan untuk meningkatkan pendidikan dan menjaga kebajikan pelajar Melayu  di samping tidak melupakan peranannya memperjuangkan survival orang Melayu seperti kedudukan bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan kedudukan Istimewa Orang Melayu.

7.3  PERANAN ISLAM
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan Malaysia. Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama selain dari Islam untuk mengurus hal ehwal masing-masing tetapi dalam masa yang sama dilarang menyebar agama mereka ke atas orang yang menganut agama Islam. Islam di Malaysia sebenarnya mengangkat martabat Melayu dari mundur kepada bertamadun sehingga Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan umpama “isi dan kuku”. Islam menjadi benteng kukuh menghadapi penjajahan Inggeris dan Islam jugalah yang menjadi pendorong menentang penjajahan. Islam kemudiannya menjadi salah satu asas penting Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan ajaran Islam diperkukuhkan di Malaysia dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, pembangunan dan lain-lain.

7.4  PERANAN ETNIK MELAYU/BUMIPUTERA
Seterusnya orang Melayu-Bumiputera perlu memerdekakan diri mereka daripada segala masalah yang wujud yang melingkari hidup mereka dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya. Semua masalah yang meruntun bangsa Melayu-Bumiputera mesti dicari penyelesaiannya dan pada masa yang sama usaha untuk melonjakkan potensi Melayu-Bumiputera mesti diteruskan. Orang Melayu-Bumiputera mesti membina psikologi yang kuat, tekad dan nekad serta tidak mudah mengalah. Sejarah bangsa Melayu-Bumiputera sebenarnya sarat dengan kecemerlangan dan kegemilangan. Bangsa Melayu pernah hebat, sama ada sebagai pelayar, pejuang dan peneroka belantara. Sebagai peneroka belantara, orang Melayu dahulu membina perkampungan dan kemudian menjadi pekan dan bandar. Namun malangnya sekarang, semuanya sudah diambil-alih oleh enik lain. Padahal kita yang memulakannya tetapi yang dapat hasilnya orang lain.
Rugi apabila kita tidak membina kekuatan asal bangsa Melayu yang jatidirinya bertunjangkan Islam kerana yang kita lebih utamakan ialah nilai-nilai asing dari Barat atau Timur. Bangsa Melayu seolah-olah kehilangan diri sendiri di tengah-tengah arus kemajuan dan pemodenan.




No comments:

Post a Comment