IMAN DAN AMAL
OLEH
MOHD ZUHAIRI SAFUAN
“Sesiapa
yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki ataupun perempuan sedang ia
beriman, sesungguhnya kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang penuh
dengan kebaikan dan pasti Kami akan memberikan ganjaran kepada mereka dengan
ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan”. (al-Nahl: 97)
Iman mengikut
pengertian syarak ialah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah
dan melaksanakan dengan anggota. Inilah yang dinamakan ketaatan, amal yang salih
dan perlakuan yang baik. Iman sebagai syarat penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan
kerana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan
setelah ada iman di dalam diri pelakunya. Seseorang yang beriman
dengan Allah sebagai Tuhan yang esa dan maha berkuasa, perlu mematuhi segala
perintah dan larangan-Nya sehingga membentuk jati dirinya sebagai seorang
manusia Islam.
“Bukanlah
iman itu dengan berangan-angan mahupun berharap, tetapi iman ialah sesuatu yang
menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amal”.
(Hadith riwayat Ibn-Najjar dan al-Dailamy)
Iman adalah fitrah yang dicipta Allah kepada manusia. Ia
sifat jiwa manusia. Nabi Adam bersin menyebut “alhamdulillah”. Iman membentuk kecenderungan manusia. Manusia yang
beriman akan mencorakkan hidupnya menurut peraturan agama. Iman menundukkan
manusia kepada Allah dan membebaskannya dari perhambaan kepada yang boleh
menjahanamkan hidupnya. Ia mendorong manusia hidup bersih dan suci. Merangsang
manusia hormat-menghormati dan bersatupadu. Mengingatkan manusia mengenai
kesabaran dan kebaikan sesama manusia. Iman yang benar memberi kesan kepada
kepada manusia; jiwa kuat, yakin, tidak mudah kecewa, tidak lemah semangat;
redha dan tenang, bersih dari penyakit hati; jiwa yang suka kebaikan dan
membenci kejahatan;.
Iman mempunyai 6 rukun iaitu beriman kepada; Allah,
malaikat, rasul, kitab, hari Akhirat dan qada’ dan qadar. Iman adalah pendorong
kepada amal salih. Kafir pendorong kepada amal keburukan. Iman menjadi tenaga
kepada jiwa. Manusia yang beriman akan gigih, sabar dan tabah mengharungi hidup,
suka membantu, menjaga maruah diri. Walaupun ia tidak dipuji. Iman membawa kebahagiaan kerana manusia
memperoleh perlindungan Allah dan bersama-sama manusia lain belajar, bekerja dan solat. Tidak menyesali masa lalu dengan
sedih menangis, tidak menghadapi masa kini dengan keluh kesah dan tidak
menghadapi masa depan dengan takut. Tiada apa yang perlu ditakuti kerana Allah
segala-galanya seperti rezeki, jodoh dan ajal. Iman menghasilkan harapan,
optimis dan gembira kerana Allah maha berkuasa mengabulkan segala doa dan
menolak kemudaratan. Jika sakit, tak putus asa. Jika dalam kesulitan, ia
mengharapkan kemudahan. Iman menjadi pendinding amal dari melakukan perkara
sia-sia, mungkar dan dosa. Iman menyebabkan kita menghargai masa (muda, sihat,
lapang). Tidak lalai dan menangguh amal kebaikan, berdoa diberi kekuatan,
kesihatan dan kebaikan.
“Orang
yang melupakan Allah, maka Allah akan membuat mereka lupa kepada diri mereka
sendiri”
(al-Hasyr: 19)
“Apakah
manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah
beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka...”. (al-Ankabut: 2-3)
Iman berdepan dengan ujian; suka dan
duka sebagai bukti kebenaran ucapan lidah dan keyakinan hatinya. Iman boleh
bertambah besar dan boleh mengecil hilang dengan; menambah ilmu, membanyakkan
ibadah dan menjauhi segala larangan. Amal mendidik dengan persaudaraan,
persamaan, kerja keras, sabar dan fokus. Amal memakmurkan dunia dengan pelbagai
kegiatan. Tawakal bermaksud melakukan sebab amal dan menyerahkan hasilnya
kepada keputusan baik dari Allah.
“Allah
tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri mengubah nasib
mereka sendiri”. (al-Ra’d:
11)
Amal dan perubahan bukan perkara
mudah, ia perlu pengorbanan dan kekuatan iman. Adalah menjadi Sunnatullah,
orang yang pemalas tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakannya. Kita takut
kepada Allah sebab itu kita menyempurnakan amal (Ihsan) seolah-olah Allah
melihat amal kita. Ketenteraman jiwa dalam belajar kerana Allah bersama kita. Untuk
kesempurnaan ibadah, penghayatan Islam dan untuk kebahagiaan hidup.
No comments:
Post a Comment