KONSEP EKONOMI ISLAM
Ekonomi Islam mempunyai misi dan juga aktiviti tertentu yang mesti diketahui secara sempurna dan tepat. Penilitian terhadap aspek konseptual ini amat penting bagi melihat perbezaan di antara Ekonomi Islam dan Ekonomi Konvensional. Sekaligus menjawab dakwaan bahawa Ekonomi Islam adalah sama dengan Ekonomi Konvensional ataupun Ekonomi Islam merupakan tiruan kepada Ekonomi Konvensional. Keunikan ini akan diulas secara teliti seperti berikut.
2.1 FALSAFAH EKONOMI ISLAM
2.1.1 Tauhid
Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di dunia ini dengan amanah dan tanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan kegiatan hidup yang diredhai oleh Allah. Semua kegiatan ekonomi yang dilaksanakan hendaklah tidak bercanggah dengan kehendak Allah dan tidak memusnahkan kedamaian hidup manusia.
2.1.2 Rububiyah
Allah merupakan pencipta kepada sumber dan harta di alam ini. Dia juga adalah pemilik mutlaknya dan Dia berhak menetapkan peraturan bagi penggunaan harta dan sumber tersebut bagi diikuti oleh manusia. Manusia sebagai khalifah Allah di bumi berhak memanipulasikan sumber alam selama ia tidak bercanggah dengan arahan dan juga peraturan pemilik sebenarnya iaitu Allah.
2.1.3 Khalifah
Manusia dilantik Allah sebagai khalifah di bumi bagi menguruskan segala sumber manusia dan harta dengan sebaik mungkin dalam usaha peribadatan kepada Allah dan memenuhi kesempurnaan kebaikan hidupnya.
2.1.4 Tazkiyah
Penyucian pemikiran / roh dan fizikal / tindakan manusia dari kecenderungan kepada kemungkaran, kezaliman dan penganiayaan. Ia menyucikan manusia dari kegiatan ekonomi perdagangan, perindustrian, pertanian dan sebagainya daripada simptom yang boleh memudaratkan kehidupan seperti amalan riba, arak, dadah dan sorok barang. Allah mahu manusia bergembira dengan manfaat-manfaat keduniaan dan mahu manusia menggelakkan kebinasaan sehingga membawa kepada ketenteraman jiwa.
“Wahai manusia! Makanlah yang halal lagi baik segala apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”.
(al-Baqarah:2: 168)
2.1.5 Ukhuwwah/Persaudaraan
Amalan saling bantu-membantu dan bekerjasama melahirkan persaudaraan. Dari persaudaraan lahir perasaan hormat menghormati dan bertanggungjawab kepada sesama manusia. Amalan penipuan, penindasan, pemerasan, bakhil dan seumpamanya tidak boleh wujud dalam sistem Ekonomi Islam kerana ia lahir dalam dasar pemikiran yang berbeza.
Ukhuwwah melahirkan keadilan sosial sehingga menjadikan kehidupan manusia penuh dengan kebaikan dan keharmonian. Ini kerana dalam satu masa yang sama setiap individu harus gigih berusaha untuk menyara kehidupan diri, keluarga dan juga memberi bantuan kepada orang lain. Firman Allah;
“Janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan”.
(al-An’am:6:141)
2.2 PRINSIP-PRINSIP EKONOMI ISLAM
Ekonomi Islam mempunyai prinsip-prinsip yang berpunca dari semangat ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang dijadikan sebagai garis panduan dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi. Di antaranya ialah;
2.2.1 Kebebasan ekonomi terikat dengan nilai akhlak
Islam menggalakkan manusia terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan mereka seperti pengeluaran, pengunaan dan pengagihan. Kegiatan ekonomi diletakkan sebagai kategori ibadah. Oleh itu manusia bebas memilih jenis kerja dan mengumpul seberapa banyak harta kekayaan mengikut keupayaan masing-masing. Kebebasan ekonomi terikat dengan peraturan syariat seperti haram, halal, harus, syubhah dan sebagainya. Manakala nilai akhlak ialah penyayang, bekerjasama, persaudaraan, amanah dan seumpamanya.
Semua ini supaya kehidupan manusia didorong oleh perasaan persaudaraan kepada orang lain, bekerja keras, ihsan, amanah dan membuat pelaburan harta. Dalam masa yang sama penipuan, riba, pembaziran, monopoli, pembekuan modal, rasuah dan sebagainya tiada tempat dalam amalan Ekonomi Islam.
2.2.2 Harta milik Allah
Allah adalah pemilik segala sesuatu dan pencipta semua makhluk. Manusia adalah pemegang amanah atau pengguna semua harta di dunia ini. Mereka dibenarkan mengeluar, memproses dan mengagihkannya untuk tujuan kebaikan dalam kehidupannya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah.
Private ownership dibenarkan selama mana ia halal, bagaimana cara mendapatkannya, melaksanakan tanggungjawab berzakat dan membayar cukai serta mengikut batasan yang dibenarkan. Public ownership ialah harta yang kegunaannya dinikmati secara bersama oleh masyarakat dan disimpan oleh masyarakat seperti air, rumput, api, garam, bahan galian (seperti timah, besi, minyak dan gas) dan tanah. Ia dikawal selia oleh kerajaan bagi pelaksanaan sesuatu projek yang dapat menjamin kebajikan masyarakat dan kemajuan umum. Jika ia diserahkan kepada pemilikan individu maka ia terdedah kepada suatu yang membahayakan masyarakat jika individu itu berniat jahat ataupun bakhil, boros, tidak cekap dan sebagainya.
2.2.3 Keadilan sosial
Keadilan perlu ditegakkan supaya supaya seluruh kehidupan sosial manusia penuh dengan keharmonian dan kebaikan. Keadilan mesti dilakukan melalui proses pengeluaran, penggunaan dan pengagihan kerana ia mampu melindungi manusia daripada kejahatan kegiatan ekonomi yang melampaui batas syariat dan norma-norma kemanusiaan abadi. Ketidakadilan ekonomi boleh berlaku apabila orang kaya menggunakan cara yang tidak adil dalam memperolehi kekayaan atau mereka membelanjakan harta secara boros yang boleh membawa keruntuhan kepada kestabilan ekonomi. Begitu juga kegiatan pengeluaran barangan haram dan yang boleh meruntuhkan akhlak boleh memporak perandakan sosial.
Keadilan sosial diasaskan kepada kepercayaan bahawa manusia adalah khalifah yang diberi tanggungjawab menguruskan harta Allah dengan amanah, manusia dari rumpun yang satu, sama dan saling memerlukan antara satu sama lain dan untuk memaksimumkan kesejahteraan hidup manusia melalui polisi kerja, kawalan harga dan pembangunan yang seimbang.
2.2.4 Campurtangan kerajaan
Kerajaan bertanggungjawab dalam system ekonomi dalam bentuk pengurusan, seliaan, kawalan, penyusunan, perancangan dan pengagihan. Kerajaan harus campurtangan dalam urusan ekonomi bagi melindungi keadilan sosial dan menjamin kestabilan ekonomi. Kerajaan mesti memastikan keperluan dan kemudahan awam diberi perhatian dan disediakan. Tugas kerajaan menjaga hak awam seperti orang miskin, lemah dan melarat, mencegah orang ramai mengamalkan riba, mencuri dan menindas orang lemah. Kerajaan berusaha melaksanakan ajaran Islam, melaksanakan polisi ekonomi yang baik dan menjadikan rakyat bertakwa.
Kerajaan memberi jaminan sosial dengan menyediakan dana bantuan kepada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan ekonomi. Kerajaan menjamin peluang yang sama kepada semua individu, mengawalselia pasaran supaya berfungsi dengan baik, melaksanakan polisi kerja dan sebagainya. Fokus campurtangan kerajaan ialah jaminan keperluan hidup yang minimum kepada semua ahli masyarakat, agihan pendapatan, jaminan persamaan peluang, pengawasan pasaran, memerangi riba, rasuah dan monopoli serta menetapkan polisi kerja dan kadar upah.
2.3 MATLAMAT EKONOMI ISLAM
2.3.1 Mencapai kesejahteraan ekonomi dan memenuhi keperluan hidup
Islam mahu umatnya sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan hidup yang asas seperti makan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Manusia mesti berusaha gigih dan berhak untuk mendapatkan keperluan tersebut. Islam juga melarang umatnya meminta-minta daripada orang lain bagi memenuhi keperluan kehidupannya. Islam berusaha menjauhi kemiskinan dan kelaparan dalam masyarakat.
2.3.2 Pengagihan pendapatan yang adil dan saksama
Agihan pendapatan dan harta hendaklah dilakukan dengan adil dan saksama supaya harta tertentu tidak hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja dan membiarkan golongan yang lain hidup menderita. Islam melihat harta sebagai milik masyarakat yang harus digunakan untuk faedah masyarakat. Ini boleh dilakukan melalui menyediakan peluang pekerjaan, pemberian nafkah, pembayaran zakat, faraidh, sedekah, wakaf dan sebagainya.
2.3.3 Persaudaraan sejagat
Hubungan manusia berpunca dari Adam dan Hawa. Oleh itu mereka mesti hidup bekerjasama, tolong-menolong dalam memenuhi keperluan hidup dan bukannya menindas, khianat dan sebagainya. Dalam kegiatan ekonomi sifat muafakat membawa berkat. Persaingan ekonomi harus membawa kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial.
2.3.4 Perkhidmatan dan kebajikan sosial
Setiap individu muslim yang melakukan sesuatu aktiviti ekonomi adalah menyumbang kepada kebajikan sosial kerana ia dapat memenuhi kehendak manusia lain dalam kehidupannya. Dalam masa yang sama seseorang itu bukan setakat beroleh pahala kebaikan tetapi juga punca pendapatan dan kekayaan. Ini secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup umum dan menyediakan keperluan semasa mereka.
2.3.5 Kebebasan
Umat Islam harus membina kekuatan supaya tidak bergantung kepada pihak lain dalam memenuhi keperluan hidupnya atau berusaha gigih bagi memecahkan monopoli sesuatu pihak dalam kegiatan ekonomi bagi membina kekuatan seperti makanan, minuman, ubat-ubatan, keselamatan, pendidikan, kewangan dan sebagainya. Bahkan Islam melarang umatnya bekerjasama dengan pihak yang memusuhi Islam dalam setiap bidang yang boleh melemahkan kekuatan ekonomi umat Islam. Ia juga boleh membebaskan individu dari sikap meminta bantuan kepada orang lain.
2.4 ETIKA EKONOMI ISLAM
Gelagat pengguna muslim ditentukan oleh kepatuhannya kepada syariat Allah iaitu mengamalkan etika dalam aktiviti ekonomi. Etika dalam Ekonomi Islam diulas oleh Syed Nawab Haider Naqvi sebagai;
2.4.1 Tauhid
Kepercayaan seseorang akan membentuk sikap dan tindakannya. Bagi pengguna muslim kepercayaannya bahawa cara hidup Islam ciptaan Allah Yang Maha Agung adalah yang terbaik buat hidupnya akan membentuk sikap dan tingkah lakunya. Percaya bahawa Allah adalah pemilik semua harta di dunia ini dan manusia perlu melaksanakan tanggungjawab harta dengan amanah dan tanpa berlaku penyelewengan. Tauhid memastikan manusia melakukan amalan baik dalam proses pengeluaran, penggunaan dan pengagihan.
2.4.2 Adil
Meletakkan sesuatu betul pada tempatnya yang sesuai. Setiap kegiatan ekonomi seperti pengeluaran penggunaan dan pengagihan hendaklah selari dengan syariat Allah yang memastikan kebaikan kepada kehidupan manusia. Justeru itu riba, penipuan, rasuah merupakan tindakan ekonomi yang tidak adil atau zalim kepada manusia lain. Lantaran itu ia perlu dijauhi dan dielakkan.
2.4.3 Kebebasan kehendak
Manusia bebas memenuhi kehendak dirinya tetapi dalam batasan syarak kerana Allah yang menciptanya dan dunianya lebih tahu mengenai kelebihan dan kekurangannya. Dengan itu manusia bebas untuk bekerja dan bebas membelanjakan hartanya menurut kemampuan masing-masing.
2.4.4 Bertanggungjawab
Setiap muslim mesti bertanggungjawab dalam setiap aktiviti ekonomi yang diceburinya supaya tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang lain seperti penindasan harga, kerendahan kualiti dan pencemaran alam sekitar. Mereka mestilah melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
2.5 PENUTUP
Ekonomi Islam mempunyai misi yang jelas iaitu untuk membawa kebajikan kepada manusia dan berusaha untuk menjauhkan manusia dari sebarang keburukan melalui langkah-langkah pencegahan dan pembaikan. Ia mengajar manusia mengenai pengertian kepatuhan, keikhlasan dan ibadah supaya manusia mendapat kebaikan dalam setiap aktiviti ekonomi yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment