STRATEGI SURVIVAL MELAYU-BUMIPUTERA
DI MALAYSIA
Kegemilangan
Kesultanan Melayu Melaka berakhir pada 1511 di tangan penjajah Portugis,
kemudian Belanda, Inggeris dan Jepun silih-berganti menguasai Tanah Melayu. Penjajahan
berlangsung selama 446 tahun telah menghancurkan hampir seluruh infrastruktur
bangsa Melayu-Bumiputera seperti sistem pentadbiran, pendidikan, sosial,
politik, perundangan dan ekonomi satu persatu. Apa yang tinggal bertahan menjadi
benteng terakhir bangsa Melayu-Bumiputera hanyalah Islam yang bersifat urusan
peribadi dan kekeluargaan sahaja serta adat istiadat Melayu yang bersifat
sentimental. Hal yang sama berlaku terhadap Bumiputera di Sabah apabila
diperintah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan James Brooke menjadi Raja
Sarawak. Menjelang Perang Dunia Kedua, Sabah dan Sarawak diserahkan kepada
kerajaan Inggeris.
Kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan Persekutuan Malaysia
pada tahun 1963 sekaligus menyaksikan kemerdekaan Sabah dan Sarawak sepatutnya sudah
boleh dilakukan sesuatu yang mengembalikan zaman kegemilangan Melayu-Bumiputera.
Bukan sahaja setakat bangsa yang baru terlepas dari penjajahan tetapi lebih
dari itu sebagai bangsa yang mengupayakan diri untuk survival masa hadapan Pemerintahan dan pentadbiran yang sebelumnya
diterajui oleh Sultan dan para pembesar Melayu telah diambil alih oleh
penasihat Inggeris. Pendidikan Barat moden yang diperkenalkan oleh Inggeris hanya
dapat diakses di kawasan bandar sahaja yang bukan dihuni oleh Melayu-Bumiputera
dan lepasan sekolah tersebut hanya layak untuk mendapat kerja berjawatan rendah
dalam birokrasi kerajaan Inggeris. Perkembangan ekonomi berorientasikan ekspot
bahan mentah telah membawa masuk buruh asing bagi memenuhi keperluan tenaga
kerja. Inilah kemudiannya yang mengubah komposisi etnik di Asia Tenggara
berbanding dengan penduduk peribumi akibat perbezaan warna kulit, bahasa, agama
dan budaya. Pada masa yang sama untuk memudahkan penjajahan, Inggeris telah
melaksanakan dasar “pecah dan perintah” yang menghalang wujudnya perpaduan di
kalangan etnik yang pelbagai.
Pemerkasaan Melayu-Bumiputera
bermaksud kelangsungan hak penguasaan
dan jaminan kedudukan etnik Melayu-Bumiputera di negara ini yang merupakan
negara tanah tumpah darah dan warisan nenek moyang yang perlu dipertahankan.
Pemerkasaan Melayu/Bumiputera mesti dipertahankan dan diperkukuhkan dalam aspek
politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pembangunan dan sebagainya. Perlu ada perancangan dan usaha untuk
menyusun semula dasar dan agenda negara supaya menyediakan peluang yang
munasabah bagi memastikan Melayu-Bumiputera tidak ketinggalan dalam persaingan
hidup kontemporari yang dinafikan kepada mereka di zaman penjajahan dulu.
Mengurus agenda survival Melayu-Bumiputera boleh
dimulakan dengan menganalisa cara orang Melayu-Bumiputera berfikir,
mengorganisasi diri dan kelompoknya, mengendali keperluan hidup seharian, cara memaju
dan membangunkan diri sendiri. Selepas itu perlu diberi perhatian kepada sistem
yang menunjangi kehidupan mereka meliputi dasar-dasar kerajaan, sistem
pengurusan pembangunan yang diputuskan melalui dasar dan implimentasinya juga
segala urusan agensi yang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan yang
perlu untuk orang Melayu-Bumiputera membangun. Kebangkitan semula
orang Melayu-Bumiputera boleh dilakukan asalkan mereka mahu berubah dan agensi yang
membawa perubahan itu memahami perubahan yang perlu dilakukan.
7.1 PERANAN
KERAJAAN
Dalam
sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang sempurna seperti Malaysia,
persoalan hubungan etnik merupakan isu utama negara yang mesti ditanggani
dengan sebaik mungkin supaya seluruh tenaga, modal dan fikiran dapat disalurkan
kepada kemakmuran pembangunan negara dan rakyat dapat hidup aman damai dan
bebas tanpa ketakutan, berinteraksi secara sihat dan harmonis. Untuk mencapai
hasrat murni tersebut, negara mesti berusaha untuk membentuk jatidiri rakyatnya
iaitu bangsa Malaysia yang terangkum dalam semangat, kepercayaan, sikap dan
visi dan seterusnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
a.
Politik
Sejak Barisan Nasional
ditubuhkan kerjasama antara parti politik pelbagai etnik menjadi ramuan utama
perkongsian kuasa, kuasa Melayu yang diwakili oleh UMNO telah menjadi kuasa teras dalam pakatan politik. Melalui
kuasa teras ini, etnik Melayu dapat
menguasai kerajaan dan menjadi kuasa penentu kebanyakan dasar kerajaan. Kerajaan
juga dapat merancang dan melaksanakan
segala dasar dan program bagi mengukuhkan survival Melayu. Perkongsian kuasa
Barisan Nasional (BN) dapat memastikan
kestabilan dan mengurus konflik dengan baik. Walau bagaimanapun keputusan
pilihan raya ke 12 (2008) dan ke 13
(2013) memperlihatkan kerajaan BN telah kehilangan sokongan daripada rakyat
pelbagai etnik dan juga generasi muda. Pengundi lebih cenderung menyokong parti pembangkang seperti PAS
(Parti Islam SeMalaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP (Democratic
Action Party). Kemerosotan sokongan ini dibimbangi akan menghakis kuasa
Melayu/Bumiputera dalam kerajaan dan boleh melemahkan dasar yang menyokong
survival Melayu-Bumiputera. Etnik Cina dilihat tidak menyokong BN dan sokongan
sebahagian orang Melayu kepada PAS dan PKR memecahkan kekuatan Melayu sekaligus
kekuatan Melayu dalam kerajaan semakin mengecil. Kebimbangan tersebut
menyebabkan segelintir daripada etnik Melayu mengutarakan keperluan pembentukan
kerajaan perpaduan dengan membawa masuk parti-parti politik Melayu seperti PAS
(Parti Islam SeMalaysia) ke dalam
kerajaan bersama UMNO (United Malay National Organization) bagi mengukuhkan
kuasa politik Melayu-Islam bagi menghadapi cabaran tuntutan etnik lain.
Kerajaan yang dipimpin oleh
UMNO disarankan agar lebih memberi perhatian terhadap tuntutan dan pembangunan
etnik Melayu terutama di luar bandar yang rata-rata masih teguh menyokong BN. Ini kerana dalam bidang politik, masyarakat majmuk
lebih cenderung mementingkan survival masing-masing. Mereka suka dipimpin oleh
kalangan mereka sendiri dan sukar menerima kalangan pemimpin etnik lain. Setiap
etnik mempunyai parti politik tersendiri. Orang Melayu mempunyai UMNO dan PAS,
orang Cina bernaung di bawah MCA, DAP dan Gerakan, orang India berjuang dalam
MIC dan IPF. Demikian juga di Sabah dan Sarawak setiap etnik mempunyai satu
atau dua parti politik. Parti yang berasaskan agama dan pelbagai kaum tidak
begitu mendapat kepercayaan rakyat jika dibandingkan dengan parti mewakili
etnik.
Sistem politik demokrasi berparlimen menyaksikan
kemunculan parti politik berasaskan etnik menyuarakan kepentingan masing-masing
sehingga menimbulkan persaingan kepentingan dan semangat perkauman terutamanya
pada isu-isu seperti bahasa, agama, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Mereka
akan bertanding dalam pilihanraya setiap lima tahun dan rakyat yang mendaftar
sebagai pemilih akan memilih wakil mereka untuk menduduki kerusi parlimen.
Sistem demokrasi “satu orang satu undi” memerlukan parti politik mendapatkan
sokongan sebanyak yang mungkin dan ini memberi konotasi mudah betapa parti yang
diwakili oleh etnik yang majoriti berupaya untuk menang. Begitupun etnik yang
minoriti menjadi kuasa penentu parti yang menang mutlak. Untuk memastikan
survival orang Melayu/Bumiputera, mereka hendaklah mendaftar sebagai pengundi
supaya layak menentukan kedudukan istimewa mereka dapat dikekalkan seperti
agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
kedudukan Raja-Raja Melayu yang pasti tidak dapat dikekalkan sekiranya negara
diperintah oleh etnik lain dari Melayu. Sistem pentadbiran Raja Berperlembagaan
dengan kuasa eksekutif iaitu Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia
memastikan Raja-Raja Melayu di sembilan buah negeri Melayu memilih kalangan
mereka institusi Yang DiPertuan Agong sebagai payung pelindung orang Melayu dan
Ketua Agama Islam. Ini dilindungi dalam perlembagaan persekutuan dan mesti
dipertahankan oleh orang Melayu.
b.
Ekonomi
Kemiskinan dan ketinggalan orang Melayu/Bumiputera dalam
bidang ekonomi yang berleluasa selepas merdeka berjaya dikurangkan dengan
pengenalan satu dasar eksklusif iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) dari tahun
1970-1990. Selain itu usaha untuk meningkatkan daya pengeluaran dilaksanakan
melalui projek perikanan, penternakan, pertanian, pembuatan, perniagaan dan
perkhidmatan moden. Kerajaan membantu dengan menyediakan kemudahan mikro
kredit, infrastruktur, teknikal dan pemasaran. Fokus pemerkasaan ekonomi yang
paling utama ialah menggalakkan orang Melayu/Bumiputera menceburi sektor IKS
(Industri Kecil dan Sederhana) dengan memperhebatkan aktiviti keusahawanan dan
perniagaan kerana perubahan ini penting bagi menjana pendapatan dan kekayaan.
Beberapa masalah yang telah dikenalpasti seperti teknologi pengeluaran yang
ketinggalan, kekurangan modal dan pasaran yang terhad mesti diselesaikan secara
tuntas. Ini diharap dapat diatasi melalui usaha keras agensi seperti Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, MARA, PUNB dengan menambah bilangan
usahawan bumiputera melalui penambahan peruntukan yang dikeluarkan.
Satu lagi usaha besar kerajaan ialah bagi membentuk
masyarakat perdagangan dan perindustrian Melayu/Bumiputera di semua peringkat
aktiviti ekonomi. Antaranya ialah melalui Dasar Penswastaan perkhidmatan
kerajaan yang berdaya maju kepada Melayu/Bumiputera yang mempunyai daya saing,
inovatif, berani mengambil risiko dan berminat. Dalam pada itu usaha memperkukuhkan
pemilikan aset bukan kewangan Melayu/Bumiputera seperti rumah kediaman, premis
industri dan kompleks komersil dipergiatkan. Begitu juga hartanah wakaf dan
tanah pusaka yang kelihatan seperti tidak terurus dan terbiar sehingga menyebabkan
nilainya merosot dan rendah diperkasakan dengan pengurusan berasaskan
perniagaan. Ini dapat diperbaiki contohnya melalui penubuhan Yayasan Wakaf
Malaysia dan usaha lebih gigih Pelaburan Hartanah Berhad, Perbadanan Usahawan
Bumiputera dan MARA bagi membangunkan hartanah komersil dan industri. Syarikat
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA), Syarikat Perumahan Negara Berhad dan
Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Negeri boleh memperbanyakkan rumah mampu milik
kepada Melayu/Bumiputera supaya mereka memiliki keperluan asas tersebut dan
boleh tinggal di kawasan bandar yang peast membangun bersama rakyat Malaysia
yang lain.
Had maksimum pelaburan individu
dalam Amanah Saham Bumiputera telah dipertingkatkan kepada RM200,000.00 bagi
menggalakkan penyertaan golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham.
Manakala ASB2 yang dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad mendapat suntikan
permulaan dari kerajaan sebanyak 10 billion unit saham. Meningkatkan pembangunan
usahawan Bumiputera dengan mengukuhkan sistem
pembangunan vendor Bumiputera dan mewujudkan usahawan baru.
Untuk memperkasakan
survival dalam bidang ekonomi, kerajaan mesti memastikan tidak wujud campurtangan politik dalam proses membuat keputusan
sehingga menyebabkan agensi-agensi kerajaan gagal berfungsi melonjak kedudukan
bangsa Melayu. Demikian juga penyelewengan yang berlaku dihampir semua agensi
yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu mesti dibedah siasat supaya tidak
menjadi beban kepada usaha kerajaan tetapi sebagai aset yang membantu
Melayu-Bumiputera. Kuasa yang diberi tidak lagi menjadi amanah, tetapi sebaliknya
menjadi agensi yang berkaitan sebagai lubok untuk mengkayakan diri sendiri. Padahal fungsi sebenar penubuhannya ialah untuk membangun
bangsa Melayu. Kekecewaan orang Melayu sangat memilukan. Nelayan Melayu terus
ketinggalan dihimpit kemiskinan sedangkan yang kelihatan hebat ialah pejabat
LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia). Samalah juga dengan pekebun kecil yang
berterusan miskin berbanding dengan pejabat Risda dan Felcra yang bertambah mewah.
c.
Sosial
Akta
Pelajaran 1996 melalui Perkara 13 (1) telah menetapkan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama
sistem pendidikan dengan memperkukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai medium
perpaduan nasional serta pemerkasaan pendidikan agama sebagai asas survival
ummah. Pelajar Melayu/Bumiputera yang berjaya dari segi akademik akan diberikan
tempat di Institusi Pengajian Tinggi di dalam dan luar negara. Bagi
golongan remaja yang rendah pencapaian
akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan memperbanyakkan program peningkatan
kemahiran supaya mendapatkan lebih peluang pekerjaan.
Peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA, Institut Latihan
Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk menambah
pusat latihan, menyediakan peralatan berteknologi tinggi dan menambah program
latihan. MARA dan JPA berperanan menyediakan biasiswa dan pinjaman pendidikan
kepada pelajar Melayu-Bumiputera bagi memenuhi keperluan bidang kritikal masa
depan dan berteknologi tinggi bagi melahirkan Melayu-Bumiputera yang
berkualiti, berwibawa dan cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Bagi graduan Melayu-Bumiputera
yang mengganggur, kerajaan akan menggiatkan program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate
Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skill untuk
menambah bilangan penerima faedah supaya
mereka lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.
7.2 PERANAN NGO
Penubuhan NGO (Non-Government Organization)
Melayu/Islam amat penting bagi memastikan survival Melayu/Bumiputera. Banyak
NGO ditubuhkan dengan matlamat dan pendekatan yang berbeza. Ia boleh berperanan
sebagai golongan pendesak yang kritis terhadap setiap perkara yang ada hubungannya
dengan etnik Melayu. Antara yang paling jelas ialah penubuhan Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia atau Perkasa yang bermatlamat untuk mempertahankan hak-hak
orang Melayu dan Bumiputera di dalam Perlembagaan. Dalam perjuangannya Perkasa
sentiasa kritis terhadap mana-mana pihak yang menafikan atau melemahkan hak
Melayu/Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan. Begitu juga dengan GPMS
(Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung) yang ditubuhkan untuk meningkatkan pendidikan dan menjaga kebajikan pelajar
Melayu di samping tidak melupakan peranannya
memperjuangkan survival orang Melayu seperti kedudukan bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu,
agama Islam dan kedudukan Istimewa Orang Melayu.
7.3 PERANAN ISLAM
Perkara
3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi
persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian
Persekutuan Malaysia. Perkara
11(1) menjamin kebebasan beragama selain dari Islam untuk mengurus hal ehwal
masing-masing tetapi dalam masa yang sama dilarang menyebar agama mereka ke
atas orang yang menganut agama Islam. Islam di Malaysia sebenarnya mengangkat martabat Melayu dari mundur
kepada bertamadun sehingga Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan umpama “isi
dan kuku”. Islam menjadi benteng kukuh menghadapi penjajahan Inggeris dan Islam
jugalah yang menjadi pendorong menentang penjajahan. Islam kemudiannya menjadi salah satu asas penting Perlembagaan
Persekutuan yang membolehkan ajaran Islam diperkukuhkan di Malaysia dalam
pelbagai bidang seperti undang-undang, ekonomi, pendidikan, sains dan
teknologi, pembangunan dan lain-lain.
7.4 PERANAN ETNIK MELAYU/BUMIPUTERA
Seterusnya orang Melayu-Bumiputera perlu
memerdekakan diri mereka daripada segala masalah yang wujud yang melingkari
hidup mereka dalam politik, sosial, budaya, ekonomi dan sebagainya. Semua
masalah yang meruntun bangsa Melayu-Bumiputera mesti dicari penyelesaiannya dan
pada masa yang sama usaha untuk melonjakkan potensi Melayu-Bumiputera mesti
diteruskan. Orang Melayu-Bumiputera mesti membina psikologi yang kuat, tekad
dan nekad serta tidak mudah mengalah. Sejarah bangsa Melayu-Bumiputera
sebenarnya sarat dengan kecemerlangan dan kegemilangan. Bangsa Melayu pernah
hebat, sama ada sebagai pelayar, pejuang dan peneroka belantara. Sebagai
peneroka belantara, orang Melayu dahulu membina perkampungan dan kemudian
menjadi pekan dan bandar. Namun malangnya sekarang, semuanya sudah diambil-alih
oleh enik lain. Padahal kita yang memulakannya tetapi yang dapat hasilnya orang
lain.
Rugi apabila kita tidak membina kekuatan asal
bangsa Melayu yang jatidirinya bertunjangkan Islam kerana yang kita lebih
utamakan ialah nilai-nilai asing dari Barat atau Timur. Bangsa Melayu seolah-olah
kehilangan diri sendiri di tengah-tengah arus kemajuan dan pemodenan.