L5
EKONOMI DAN HUBUNGAN ETNIK
1.
Konsep
Modenisasi
Modenisasi merupakan suatu proses
perubahan seluruh aspek kehidupan yang mesti ditempuh oleh semua bangsa atau
negara. Modenisasi sama ada wujud dengan
perancangan yang mempunyai matlamat, kaedah dan ukuran pencapaian ataupun wujud
tanpa adanya perancangan. Perubahan yang ada perancangan dinamakan modenisasi
dan ia mengandungi pembangunan ekonomi dan pembangunan politik. Matlamat
pembangunan ekonomi adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat industri. Kaedah
yang sering digunakan ialah pembangunan teknologi menggunakan teknologi
canggih, pembangunan pertanian menggunakan teknologi, kaedah komersil dan
industrialisasi menggunakan skala besar dan teknologi canggih. Ukuran
pencapaiannya menggunakan Keluaran Negara Kasar atau Gross National Product (GNP).
Manakala matlamat pembangunan politik
adalah untuk pembinaan negara bangsa. Negara bangsa ialah kawasan yang
mempunyai sempadan, kerajaan dan bangsa. Namun demikian akibat proses migrasi,
perang dan penjajahan, ada negara yang tiada bangsa. Oleh kerana matlamat
pembangunan politik adalah pembinaan negara bangsa, kaedah yang digunakan ialah
dasar-dasar negara seperti Dasar kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan
dan sebagainya. Manakala ukuran yang digunakan ialah kekerapan konflik,
pilihanraya dan sebagainya.
Modenisasi ini mula tercetus di Eropah
Barat melalui Revolusi Perindustrian di Peranchis pada akhir abad ke 18 Masihi
dan awal abad ke19 Masihi apabila berlaku perubahan besar dalam sektor pertanian,
pembuatan dan pengangkutan. Secara umumnya model pembangunan ekonomi dan
politik Barat menjadi contoh pembangunan di negara-negara Membangun. Oleh itu
harus dibezakan di antara permodenan dan pembaratan. Pemodenan ialah perubahan
semua aspek hidup secara berperancangan. Manakala pembaratan ialah meniru gaya
hidup Barat secara tidak berperancangan.
2.
Malaysia
dan Modenisasi
Selepas mengharungi era penjajahan,
modenisasi Malaysia melalui beberapa penyesuaian dan perubahan struktur.
Malaysia berhasrat untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan mewujudkan
masyarakat industri dengan tumpuan kepada infrastruktur ekonomi, pembangunan
pertanian dan industri gantian import. Pada tahun 1960an, pembangunan ekonomi
bertumpu kepada eksport. Di tahun 2000an, pembangunan ekonomi secara K-ekonomi
(Knowledge-Economy). Ukuran
pencapaiannya ialah melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks kualiti
hidup, kadar kemiskinan dan kadar inflasi.
Dalam usaha mewujudkan sebuah negara
bangsa, Malaysia memerlukan persekitaran negara yang stabil dan berintegrasi.
Untuk mencapai hasrat tersebut, kaedah yang digunakan ialah dasar-dasar negara
seperti Rukun Negara, Dasar Pertanian, Dasar Perindustrian dan sebagainya.
Ekonomi Malaysia cukup unik kerana faktor-faktor pengeluaran (modal, buruh,
tanah dan sebagainya) dimanipulasi bukan sahaja untuk tujuan ekonomi tetapi
juga pembangunan negara yang mempunyai kepelbagaian etnik. Infrastruktur
ekonomi dibangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit. Jaringan perhubungan
jalan raya, pelabuhan dan keretapi dimajukan. Tenaga buruh dan modal disediakan
mengikut etnik. Sungguh pun setiap etnik terpisah tetapi mereka saling
memerlukan antara satu sama lain untuk melakukan kegiatan ekonomi. Etnik Melayu
dari segi demografi sosial adalah majoriti jika dibandingkan dengan etnik Cina
dan India, tetapi dari segi ekonomi etnik Cina adalah majoriti dan dominan.
Inilah yang seterusnya menjadi isu dalam pembangunan ekonomi dan agihan ekonomi
negara. Sesuatu harus dilakukan supaya keseimbangan dapat dilaksanakan dalam
soal ekonomi.
3.
Pembangunan
Ekonomi dan Penyertaan Etnik
·
Rancangan
Pembangunan Lima Tahun (1950-1955) diusahakan untuk merancang dan melaksanakan
pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang serta mengatasi masalah
politik sosial dan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua bermula pada tahun 1950
oleh Inggeris.
·
Rancangan
Malaya Pertama (1956-1960) seterusnya telah dirancang sendiri oleh kerajaan Persekutuan
Tanah Melayu dengan matlamat untuk membangunkan sektor ekonomi luar bandar dan
mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar. Ini dilakukan melalui usaha
memulihkan perusahaan getah, penubuhan RIDA (Rural Industry Development
Authority) kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun
1966 dan penubuhan LKTP pada 1967 yang ditukar nama kepada FELDA pada tahun
1971 dalam kegiatan membuka tanah pertanian baru, penempatan semula dan
memperbaiki taraf hidup.
·
Rancangan
Malaya Kedua (1961-1965) dengan memberi fokus kepada memajukan infrastruktur asas
ekonomi dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi luar bandar melalui kemudahan
kesihatan, perumahan, pendidikan dan aktiviti pertanian.
·
Rancangan
Malaysia Pertama (1966-1970) dengan memberi fokus kepada pembangunan negara
secara menyeluruh dalam semua sektor ekonomi di Semenanjang, Sabah dan Sarawak
ke arah perindustrian ganti import untuk menyediakan peluang pekerjaan,
meningkatkan pendapatan dan integrasi nasional. Dalam usaha ini, kerajaan
membuka banyak rancangan tanah FELDA secara besar-besaran, penubuhan LPP
(Lembaga Pertubuhan Peladang), MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia), FELCRA (Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan)
dan MADA (Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia) untuk meningkatkan taraf
hidup penduduk luar bandar supaya dapat keluar dari kemelut kemiskinan.
·
Rancangan
Malaysia Kedua (1971-1975) dengan memberi fokus kepada menyelesaikan masalah
perbezaan ekonomi yang tidak seimbang antara kaum agar kestabilan ekonomi dan
politik dapat dicapai. Ini dilakukan melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru
(DEB) yang berjalan selama 20 tahun (1970-1990) dengan dua matlamat iaitu
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira etnik. Banyak
usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kadar pengangguran, mengurangkan jurang
pendapatan antara etnik dan wilayah, menyediakan peluang latihan dan modal,
memperbaiki kualiti kehidupan melalui penubuhan agensi seperti KEJORA, DARA,
PERNAS, UDA, RISDA dan LPP.
·
Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) sebagai
lanjutan rancangan pembangunan yang sebelumnya dan merupakan peringkat kedua
pelaksanaan DEB. Pembangunan ekonomi pertanian diperkukuhkan dengan penubuhan
KETENGAH dan KESEDAR dengan tanaman getah dan kelapa sawit untuk meningkatkan
komoditi ekspot dan menambah peluang pekerjaan.
·
Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985) memberi
perhatian untuk mengatasi kemelesetan ekonomi dunia dengan kejatuhan harga
komoditi pertanian. Dalam pada itu sektor industri berat dan teknologi tinggi
mula diperkenalkan melalui penubuhan HICOM dan PROTON. Rancangan Malaysia
Kelima (1986-1990) dan Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995) dengan fokus
kepada industri teknologi maju dan penswastaan supaya sektor swasta menjadi
pemain utama dalam pembangunan ekonomi negara selari dengan pelancaran Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) yang bermatlamat untuk mengurangkan dan menghapuskan
ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara.
·
Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) memberi
penekanan kepada pembangunan seimbang semua etnik dalam pertumbuhan dan agihan,
kepentingan sumber manusia menerusi latihan dan pendidikan dalam usaha untuk
mengekalkan pembangunan dan menjayakan ekonomi negara. Manakala Rancangan
Malaysia Kelapan (2001-2005) memberi fokus kepada industri yang berteraskan
ilmu pengetahuan iaitu K-ekonomi (knowledge-Economy)
sesuai dengan Dasar Wawasan Negara iaitu Wawasan 2020 untuk mewujudkan
pertumbuhan ekonomi mapan dan mewujudkan masyarakat bersatu dan saksama.
Beberapa strategi digunakan untuk mejayakannya seperti dasar kewangan dan
fiskal berhemah, pemantapan pengetahuan dan kemahiran pekerja, meningkatkan
perindustrian dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta
memupuk nilai murni antara rakyat.
·
Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) merupakan
peringkat kedua Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Untuk tujuan itu pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan nilai tambah
ekonomi, meningkatkan pengetahuan dan inovasi, pembangunan seimbang dan saksama
serta mengukuhkan keupayaan institusi negara melalui pelancaran koridor-koridor
ekonomi Utara, Selatan, Pantai Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.
·
Rancangan
Malaysia Kesepuluh (2011-2015) memberi fokus kepada kemakmuran ekonomi dan
keadilan sosial Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Model
Baru Ekonomi. Ini dilakukan melalui usaha-usaha memacu ekonomi, memanfaatkan
kebolehan pelbagai etnik, tingkat produktiviti, pendapatan tinggi, inovasi,
modal insan cemerlang, perkongsian pintar sektor awam dan swasta, pembangunan
inklusif, alam sekitar dan daya saing global.
3.1
Dasar
Pertanian
Meskipun perubahan corak ekonomi
telah beralih kepada sektor perindustrian, sektor pertanian tetap diberi
keutamaan kerana sifatnya yang strategik. Kerajaan Malaysia mewujudkan agensi
pelaksana seperti Federal Land
Development Authority (FELDA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan atau
Federal Agricultural Marketing Authority
(FAMA), Federal Land Consolidation and
Rehabilitation Authority (FELCRA), Malaysian
Agricultural Research and Development Institute (MARDI) Bank Pertanian
Malaysia (Agro Bank), BERNAS (Beras Nasional) LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan
Malaysia), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian
Kemubu (KADA) dan seumpamanya untuk memajukan sektor pertanian dan membasmi
kemiskinan di kalangan peladang dan masyarakat luar bandar melalui pemberian
tanah, bantuan kewangan, khidmat nasihat, strategi pemasaran dan subsidi untuk
baja, biji, benih dan racun. Ia memberikan penekanan kepada peningkatan
produktiviti, kecekapan dan persaingan.
Semua ini dilakukan bagi memenuhi
keperluan makanan negara dan sebagai asas sumber mentah untuk industri dan
meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian. Strategi untuk
meningkatkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Melayu dan bumiputera
dilakukan untuk menyusun semua masyarakat.
3.2
Dasar
Perindustrian
Kerajaan Malaysia serius untuk
mempergiatkan proses industrialisasi agar sektor pembuatan menjadi penggerak
utama pertumbuhan ekonomi negara. Selaras dengan itu kerajaan memperkenalkan
Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, Teknologi ICT (Internet, Computer and telecomunication) dan K-ekonomi (Knowledge Economy). Dalam masa yang sama
sistem pendidikan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan, penubuhan prasarana
latihan industri seperti Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat
Latihan Kemahiran Tinggi. Banyak infrastruktur industri dibangunkan seperti
kawasan perindustrian, lebuhraya, bank dan pelabuhan di samping
insentif-insentif kewangan dan percukaian. Industri memproses bahan mentah
diteruskan di samping industri teknologi tinggi serta industri kecil dan
sederhana (IKS).
4.
Isu-isu
Hubungan Etnik Dalam Ekonomi Malaysia
4.1
Pertumbuhan
dan agihan
Apabila berlaku pertumbuhan ekonomi, maka
timbul persoalan agihan pendapatan dan kekayaan. Agihan mestilah merata, saksama
dan seimbang di kalangan semua rakyat Malaysia yang telah berkorban untuk
kemajuan kerana terdapat:
·
Kelas
sosial yang berbeza iaitu golongan atas, menengah dan bawah.
·
Etnik
yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India serta etnik lain di Semenanjung
Malaysia, Sabah dan Sarawak.
·
Wilayah
Semenanjung yangg terdiri dari Pantai Barat dan Pantai Timur serta Wilayah
Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak.
4.2
Persamaan
(Equality) dalam Fasal 8 Perlembagaan
dan Hak Istimewa Orang Melayu (Malay Special Privilage) dalam Fasal 153
Perlembagaan Malaysia
Fasal 8 menegaskan bahawa semua orang
adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di
sisi undang-undang. Oleh itu keadilan dan kesamarataan mesti diperjuangkan di
Malaysia di kalangan rakyat. Fasal 153 ialah Hak Istimewa Orang Melayu dengan
tidak mendiskriminasi etnik yang lain semata-mata kerana sebab agama, etnik,
keturunan dan jantina. Usaha serius mesti dilakukan bagi memastikan tiada
kelompok etnik yang ketinggalan dalam merebut peluang dalam semua sektor
ekonomi.
4.3
Dasar
Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990)
Bagi menyelesaikan masalah perbezaan
ekonomi antara sektor dan kaum supaya kestabilan politik dan ekonomi dapat
dicapai. Matlamat Dasar Ekonomi Baru ialah untuk membasmi kemiskinan tanpa
mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Pelbagai usaha dilakukan untuk
meningkatkan pemilikan saham bumiputera kepada 30% menjelang 1990 dan menyusun
semula ekonomi bagi memastikan setiap etnik tidak cemburu atau dengki dengan
pencapaian etnik lain. Usaha menyelesaikan masalah sosio ekonomi ini dilakukan
dengan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan daya pengeluaran dan
pendapatan, memodenkan kehidupan luar bandar dan memperbaiki kualiti hidup. Rangka
kerja yang dilakukan antara lain ialah mewujudkan lembaga kemajuan pembangunan wilayah
seperti KESEDAR, KETENGAH, DARA, KEJORA dan MADA.
4.4
Pendidikan
dan Ekonomi
Pendidikan menjadi alat untuk
pembangunan ekonomi. Bahasa Kebangsaan menjadi medium untuk perpaduan kaum,
pendidikan menjadi alat mobiliti sosio-ekonomi bagi mendapat peluang hidup yang
lebih baik menerusi akademik, latihan dan kepakaran. Anak-anak Melayu dan
Bumiputera diberi peluang pendidikan tinggi dengan kemudahan seperti asrama
desa, Sekolah Berasrama Penuh, MRSM, Giat MARA, IKBN, bantuan persekolahan dan
sebagainya dengan harapan supaya mereka dapat mempersiapkan diri untuk bersaing
dengan etnik lain untuk mobiliti sosial. Sumber manusia yang berkualiti,
berwibawa dan cemerlang mampu menjana pembangunan negara menerusi pengembangan
bakat, kreativiti dan inovasi serta sentiasa memenuhi kehendak majikan.
5.
Globalisasi,
Ekonomi Malaysia dan Hubungan Etnik
Keadaan ekonomi dunia yang sentiasa mengembang
dan menguncup sering menyebabkan berlaku keluar masuk modal asing dalam pasaran
Malaysia sehingga membawa kepada kemakmuran ekonomi. Akan tetapi ia juga boleh
membawa kesan buruk kepada ekonomi apabila berlaku kemelesetan (recession) melalui pengaliran keluar modal asing sehingga
menyebabkan berlaku inflasi dan pengangguran.
5.1
Krisis
ekonomi (1985-1986, 1997-1998 dan 2007-2008)
Turun-naik aliran ekonomi dunia
dipengaruhi oleh harga minyak, harga komoditi dan krisis kewangan apabila
aktiviti ekonomi diperlahankan ataupun diberhentikan. Ia memberi kesan besar
kepada semua syarikat besar, sederhana dan kecil yang melibatkan peniaga Melayu
dan juga bukan Melayu. Syarikat bukan Melayu yang telah lebih lama berkecimpung
dalam perniagaan lebih berdaya saing dan teguh serta mempunyai plan
menyelesaikan konflik ekonomi. Akan tetapi ia menjadi suatu kesukaran kepada
syarikat Melayu dan bumiputera yang baru muncul kerana Dasar Ekonomi Baru dan
Dasar Penswastaan kerana kurang modal, pengalaman dan pengetahuan menyebabkan
mereka mengalami kerugian dan muflis.
5.2
Ekonomi
Islam
Fenomena Kebangkitan Islam yang
tercetus di tahun 1970an yang menganjurkan kembali kepada pengamalan Cara Hidup
Islam telah mencetuskan dimensi baru dalam bidang ekonomi iaitu menubuhkan
institusi ekonomi dan melaksanakan kegiatan ekonomi yang bertepatan dengan
ajaran Islam. Kerajaan Malaysia melaksanakan agenda Ekonomi Islam di tahun
1980an dengan pengenalan institusi pengurusan harta seperti Tabung Haji (TH), sistem
perbankan Islam, sistem takaful (insuran Islam), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),
al-Rahn (Pajak Gadai), perniagaan halal
dengan penglibatan besar etnik Melayu secara serius dalam kegiatan ekonomi
selaras dengan syarak.
5.3
Dasar
Penswastaan
Melibatkan secara serius penglibatan
bumiputera yang berdaya maju dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan yang
selama ini dimiliki oleh kerajaan. Ini berupaya membentuk suasana baru apabila
ia mencipta peluang pekerjaan, latihan pengurusan dan mengembangkan perniagaan
serta perusahaan Melayu dan Bumiputera. Kerajaan memindahkan tanggungjawab
memberi perkhidmatan dan melakukan kegiatan perindustrian kepada pihak swasta
supaya lebih cekap, berorientasikan keuntungan dan berdaya maju. Mereka diberi
peluang untuk bergiat dalam sektor tertentu seperti perkhidmatan pembersihan,
kawalan keselamatan, lebuhraya, pelabuhan, pengangkutan, pendidikan,
telekomunikasi dan sebagainya. Ia turut dapat mengurangkan beban kewangan dan
pengurusan kerajaan, meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan dan
juga dapat menjana kutipan cukai yang tinggi. Antara syarikat utama dalam corak
ekonomi ini ialah TM, TNB, KTM, BERNAS, Radicare, POS Malaysia, Malaysia
Airline System, Lembaga Pelabuhan Johor, Lembaga Pelabuhan Kelang, PLUS dan
IJN.
5.4
Industri
Otomobil
Diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir
Mohamad pada 1980an dengan usahasama industri Jepun iaitu Mitsuhishi
Corporation melalui Dasar Pandang Ke Timur. Fokus utamanya ialah pemindahan
teknologi. Ia sebagai memberi peluang kepada etnik Melayu menceburkan diri
dalam sektor industri dan pengedaraan otomobil. Ramai pelajar dari Etnik Melayu
dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal ke Jepun dan Korea.
Usahawan Melayu diberi lesen untuk menjadi pengedar dan penjual kereta nasional
serta industri yang berkaitan dengannya seperti vendor peralatan, eksosari
kenderaan, perbankan, insuran dan sebagainya.
6.
Kesimpulan
Walaupun Malaysia merupakan warisan
struktur ekonomi penjajah Inggeris, namun kerajaan telah melaksanakan pelbagai
dasar pembangunan ekonomi yang boleh merapatkan hubungan antara etnik. Banyak
peluang ekonomi diagihkan secara seimbang dan meluas bagi memastikan kekayaan
ekonomi negara dapat dikecapi oleh semua etnik di Malaysia.