KESEPADUAN DALAM
KEPELBAGAIAN
1. Pengenalan
Pengetahuan
mengenai psiko-sosial amat penting untuk mengetahui banyak perkara mengenai
manusia dan kemanusiaan sebagai pemudahcara mengurus hal ehwal manusia yang
cukup komplikated. Dunia hari ini telah melalui fasa-fasa terakhir perkembangan
manusia yang hampir menuju kesempurnaan dengan pengetahuan mengenai unsur
spiritual dan fizikal manusia ditambah pula dengan kehebatan manusia
menundukkan teknologi yang saban hari semakin maju. Semua ini penting bagi
memastikan kejayaan mengurus manusia dan kehidupannya sehingga mampu memberi
kesejahteraan hidup yang lebih bermakna.
2. Konsep Masyarakat dan Budaya
2.1 Perspektif Barat
Orang yang tinggal di Barat iaitu di benua Eropah
dan Amerika dinamakan sebagai masyarakat Barat dan mereka berfikiran lebih
terbuka dalam banyak aspek kehidupan. Budaya
Barat merupakan pewaris
tamadun lama greek-Kristian. Ia mewakili nilai dan pengaruh kebudayaan Kristian dan Bible dalam pemikiran
rohani, adat resam dan tradisi etnik atau moral. Kebudayaan Barat berkembang
dengan beraneka ragam falsafah zaman pertengahan dan humanisme Kristian dan
juga sekular. Pemikiran rasional berkembang sepanjang zaman dan berlaku eksperimen
kesedaran, naturalisme, romantisisme, sains, demokrasi dan sosialisme serta
sekularisme.
2.2 Perspektif Islam
Manusia berasal dari keturunan
yang satu iaitu Adam dan Hawa. Dari sini manusia berkembang menjadi beberapa
keluarga, puak dan etnik serta berlaku proses migrasi ke seluruh benua penjuru
dunia. Ini menyebabkan manusia berpecah kepada pelbagai etnik dengan bahasa, warna
kulit, bentuk tubuh, negara, kepercayaan dan kebudayaan yang berbeza lantaran iklim
dan bentuk rupa bumi yang berbeza. Dari asal-usul yang sama ini manusia membina
persaudaraan besar dan mengurangkan tekanan kebanggaan kepada etnik kerana
manusia akan menuju kepada destinasi yang sama akhirnya iaitu kembali kepada
Allah. Allah akan menilai hanya kebaikan dalam kehidupan mereka.
Islam sebagai al-Din atau Suatu Cara Hidup menerima
hakikat perbezaan ini dan melihat perbezaan sebagai satu kelebihan. Islam
menolak pendirian fanatik dari segala perbezaan warna kulit, bahasa, etnik dan kebudayaan.
Islam berpendapat pendirian tersebut sebagai sesat dan khurafat di sepanjang
zaman. Islam menyanjung kemanusiaan sejati (humanisme)
dan pembentukan masyarakat dunia yang bersatu pada kepercayaan dan norma tingkahlaku
yang tertentu. Tidak ada perbezaan mulia atau hina atas dasar etnik, bahasa,
warna kulit, lokaliti dan sebagainya. Kemuliaan individu atau etnik adalah
kerana takwanya kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Pertentangan
kelas, kasta sosial, kesukuan, kawalan kekayaan dan dominasi individu dalam
masyarakat bertentangan dengan cara hidup sosial dalam Islam.
Suatu hakikat betapa setiap
masyarakat manusia atau etnik mempunyai bukan sahaja keunikan fizikal seperti
seperti bentuk dan saiz tubuh badan tetapi juga perbezaan sistem nilai,
psikologi, agama, budaya, sejarah, bahasa, budaya, sosial, ekonomi dan juga
politik. Kepelbagaian manusia mewujudkan kerencaman pola kehidupan masyarakat
sehingga sering menimbulkan polimik, salah faham dan persepsi yang
bertentangan. Tambahan pula agama sering dijadikan titik pemisah yang nyata
antara perhubungan sesama masyarakat yang berbeza. Pada hal interaksi kalangan
etnik yang berbeza dalam sektor ekonomi dan percampuran sosial mereka boleh
membina kepercayaan kebersamaan mereka bagi memecahkan tembok tebal
chauvinistik sedia ada. Ini sekaligus mampu membentuk sensitiviti dan sentimen
yang positif.
3. Konsep Kesepaduan Dalam Kepelbagaian Etnik
3.1
Realiti Kepelbagaian Masyarakat Di
Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara
yang unik kerana mempunyai penduduk pelbagai etnik sama ada di Semenanjung
Malaysia mahupun di Malaysia Timur iaitu Sabah serta Sarawak. Melayu, Cina,
India, Kadazan, Bajau, Murut, Iban, Dayak dan Orang Asli merupakan antara etnik
terbesar yang mewarnai kehidupan berbeza dalam satu kesatuan bangsa Malaysia.
Dalam konteks antropologi dan sosiologi, kajian terhadap etnik berbeza
merupakan suatu yang penting bagi mewujudkan perhubungan baik dan harmonis di
kalangan pelbagai etnik. Pengetahuan dan kefahaman antara satu sama lain
membolehkan kerjasama padu antara mereka untuk berganding bahu membawa kemajuan
kepada negara Malaysia. Justeru itu amat penting untuk mengetahui konsep-konsep
antropologi dan sosiologi berikut untuk memahami realiti kepelbagaian
masyarakat.
i.
Kebudayaan
(Culture)
Seluruh
cara hidup manusia dalam aspek pemikiran dan kebendaan meliputi kepercayaan,
ilmu pengetahuan, undang-undang, ekonomi, politik, kesusilaan, kesenian, seni
bina, kebolehan serta kebiasaan dan sebagainya. Kebudayaan boleh diwarisi dari
satu generasi ke generasi berikutnya melalui pembelajaran dan ia berbeza di
antara satu masyarakat dengan masyarakat yang lain. Kebudayaan manusia boleh
dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persekitaran tempat tinggal, etnik,
psikologi dan kegiatan ekonomi.
ii.
Masyarakat
(Society)
Satu
organisasi sosial yang besar, kompleks dan moden di mana ahli-ahlinya hidup
bersama dalam satu kawasan, saling bergantung, bekerjasama, berkongsi nilai,
budaya dan wujud garis panduan tingkah laku sosial bagi menggambarkan
organisasi yang bersatu padu dan berbeza dengan yang lain. Masyarakat boleh
dikelaskan mengikut kegiatan ekonomi seperti masyarakat feudal, kapitalis dan
sosialis. Ia juga boleh dikelaskan mengikut agama seperti masyarakat Islam,
Kristian, Hindu dan Buddha ataupun mengikut jenis pengeluaran ekonomi seperti
masyarakat tani dan masyarakat industri. Pada asasnya masyarakat berpunca dari
sekumpulan keluarga dan keluarga merupakan gabungan antara seorang lelaki dan
perempuan yang berkahwin serta bersatu atas suatu tanggungjawab kehidupan.
iii.
Institusi
Sosial (Social Institution)
Pola tingkah laku yang telah
dipersetujui bersama bagi memenuhi keperluan sosial atau suatu cara yang
seragam (standard) untuk mengatasi
berbagai masalah yang timbul dalam masyarakat. Di antara contohnya ialah
institusi politik, pendidikan, agama, ekonomi, perkahwinan dan sebagainya.
Kewujudan institusi sosial ini berupaya memberikan kehidupan yang lebih stabil
dan terkawal dalam masyarakat.
iv. Mobiliti Sosial
Proses perubahan individu atau
masyarakat dari suatu tingkat sosial ke suatu tingkat sosial lain yang lebih
tinggi dalam satu sistem stratifikasi (tingkat) sosial. Ia berupa mobiliti yang
bersifat mendatar (horizontal) dan
juga menaik (vertical). Pada masa ini
mobiliti sosial biasanya dilihat dari segi pekerjaan. Stratifikasi sosial
sesebuah masyarakat yang terlalu ketat (rigid)
seperti mengikut ras, keturunan dan juga warna kulit boleh menyebabkan tidak
berlaku mobiliti sosial secara terbuka. Pada masa ini sebenarnya peluang untuk
mobiliti sosial adalah anjal (fleksible),
terbuka dan luas. Ia tidak seperti keadaan dalam masyarakat yang mempunyai
sistem sosial seperti kasta dan apartheid
yang tiada langsung peluang untuk mobiliti sosial akibat dari penindasan bahkan
kezaliman.
iv.
Perubahan
Sosial (Social Change)
Perubahan struktur dan fungsi
atau perubahan peranan suatu sistem sosial. Perubahan sosial boleh berlaku
secara perlahan (evolusi) dan juga cepat (revolusi) kerana penerimaan idea-idea
baru yang ada di sekeliling dan juga tekanan ke arah untuk proses perubahan. Ia
merupakan suatu proses yang berlaku kerana keperluan bersama dalam masyarakat
untuk melakukan perubahan demi memperkuatkan kedudukan mereka dan
menyempurnakan kehidupan masyarakat. Oleh kerana itu berlaku banyak perubahan
dalam kehidupan berkeluarga, politik, ekonomi, nilai, agama, teknik dan
sebagainya. Banyak contoh yang boleh diketengahkan antaranya ialah hilangnya
semangat gotong royong, masyarakat berteknologi, berkembangnya institusi
didikan kanak-kanak pra-sekolah serta rumah jagaan untuk orang tua, wanita
keluar bekerja dan sebagainya.
vi. Status Sosial (Social Status)
Kedudukan sosial
atau peranan individu dalam masyarakat. Ia merupakan manifestasi bahawa setiap
individu memiliki status sosialnya yang tersendiri. Ia adalah sesuatu yang
berkaitan dengan hak dan tanggungjawab tetapi tidak semestinya berbentuk hiraki
tinggi ataupun rendah. Status sosial boleh dinilai melalui jawatan, pendidikan,
kekayaan, keturunan dan sebagainya. Contohnya antara lain ialah peguam,
menteri, doktor, pekerja kilang, petani, pengurus, imam, ibu dan datuk. Apabila
status sosial dilihat dari sudut lebih tinggi maka akan wujud hiraki yang
biasanya dikaitkan dengan pangkat atau darjat. Ia juga merupakan penghormatan
masyarakat terhadap individu. Status sosial ini boleh diwarisi dari generasi ke
generasi sejak lahir dan juga boleh diusahakan untuk memperolehinya dengan
latihan kerja keras. Oleh kerana status sosial berkait rapat dengan peranan
seseorang dalam masyarakat maka adakalanya seseorang individu memiliki dua
status sosial seperti seorang ibu dan juga sebagai seorang yang berkerjaya,
seorang ketua kampung tetapi juga menjadi imam masjid, seorang ahli politik dan
juga seorang usahawan.
vii. Masyarakat Majmuk (Plural Society)
Masyarakat yang
terdiri dari berbagai kelompok ras dan etnik yang berlainan cara hidup tetapi
berada di bawah satu bentuk pemerintahan politik. Masyarakat majmuk pelbagai
etnik ini mempunyai kebudayaan, agama, bahasa, warna kulit dan adat resam yang
tersendiri dan berbeza. Mereka tidak bergantung kepada etnik lain tetapi hidup
bersama-sama dan bercampur gaul. Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah
perpecahan, konflik, percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dalam
satu sistem yang tersendiri, walaupun hidup berdekatan antara satu sama lain
dan berlaku interaksi sosial terhad yang biasanya pada sektor ekonomi sahaja.
viii. Sekularisasi (Secularization)
Sekularisasi
merupakan suatu proses untuk menjadi sekular. Ia suatu konsep bahawa kerajaan
atau entiti lain seperti ekonomi, pendidikan dan sebagainya harus wujud secara
terasing dari agama. Dari suatu segi, sekularisme dapat memberikan hak untuk
menjadi bebas dari peraturan dan ajaran agama. Ia juga merupakan kebebasan dari
pengenaan agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali
pada hal ehwal agama. Dari segi lain, ia turut merujukkan pada pandangan bahawa
aktiviti manusia dan semua keputusan hidup yang dibuat harus berasaskan pada
bukti dan fakta yang tidak berat sebelah kepada pengaruh keagamaan. Ia juga
merupakan proses keruntuhan peranan agama dalam hidup sehingga masyarakat bercorak
lebih bebas dari penguasaan simbol dan institusi agama. Kebebasan dari
kongkongan agama dan memperkecilkan peranan agama dalam kehidupan manusia
adalah intipati sekularisme.
3.2 Konsep Ras, Etnik dan Bangsa
i. Ras (Race)
Sekelompok
manusia yang mempunyai persamaan fizikal seperti warna kulit, bentuk kepala,
mata, telinga, rambut, saiz dan sebagainya kerana dari baka atau biologi yang
sama. Ada tiga ras utama di dunia, iaitu; Caucacoid (orang putih), Negroid
(orang negro) dan Mongoloid (orang berkulit coklat). Tiga etnik ini mempunyai
perbezaan bentuk tubuh badan dan warna kulit. Mereka berbeza kerana
menyesuaikan diri mengikut iklim dan bentuk geografi alam yang didiami.
Sebenarnya manusia sering bergerak dari satu kawasan ke kawasan yang lain dan
perkahwinan campur kerap berlaku sehingga sukar membuat penggolongan
berdasarkan ras sedemikian.
ii. Rasisme (Racism)
Kepercayaan bahawa sesuatu ras
adalah lebih utama, unggul (superior)
dari ras yang lain berdasarkan faktor keturunan, biologi, kebolehan,
kecerdasan, keupayaan, kebudayaan dan sebagainya. Ia terbentuk dalam pemikiran
dan kepercayaan serta boleh dilihat dalam perjalanan sesuatu institusi
masyarakat seperti agama, bahasa, warna kulit dan sebagainya. Pelaksanaan
rasisme menyebabkan wujud sikap ketidakadilan, diskriminasi, kebencian,
permusuhan dan ketidaksamaan terhadap orang lain yang berlainan ras. Contohnya
orang kulit putih di Afrika Selatan merasa lebih hebat daripada orang kulit
hitam.
iii. Etnik (Ethnic)
Merupakan klasifikasi manusia
berasaskan faktor sosial dan kebudayaan iaitu sekelompok manusia yang
mengamalkan budaya yang hampir seragam termasuk adat resam, pakaian, bahasa,
politik dan kegiatan ekonomi tetapi ia membezakan mereka dari kelompok lain dalam
sesuatu masyarakat manusia yang lebih besar. Etnik berkait rapat dengan konsep
ras dan bangsa. Akan tetapi ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan
fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama)
antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat
pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan tetapi hidup di bawah suatu sistem
politik yang sama. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Di
Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Bajau, Melanau, Iban, Dayak
dan pelbagai lagi dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat
etnosentrik iaitu menganggap ciri-ciri budayanya sahaja sebagai sebagai wajar,
betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah. Konsep
etnik juga membentuk etnisiti iaitu semangat kekitaan sesuatu kumpulan etnik.
Sebagai contohnya orang Portugis di Melaka percaya mereka adalah sama etnik
dengan orang Portugis di Portugal kerana nilai, adat resam, tradisi dan
kepercayaan yang sama.
3.3 Konsep Prejudis, Stereotaip dan
Diskriminasi
i.
Prejudis
(Prejudice)
Sangkaan
kurang baik (prasangka) atau tanggapan negatif terhadap individu atau kelompok
lain kerana faktor-faktor tertentu seperti ras, agama, pekerjaan, jantina,
negeri dan kelas. Ia tidak diluahkan secara terbuka tetapi hanya dalam hati. Prasangka
biasanya bersifat umum yang tidak rasional iaitu penilaian yang dibentuk
sebelum tinjauan dibuat terhadap faktor-faktor tersebut. Ia juga bersifat
stereotaip, emosional dan diskriminasi. Sikap ini sukar diubah atau tidak
berubah walaupun individu itu telah mendapat pengetahuan dan bukti baru yang
berbeza. Prasangka juga boleh mendatangkan kesan melalui perkataan dan
perbuatan seperti mencaci kelompok lain, melakukan diskriminasi malah perlakuan
jenayah. Contohnya, orang Melayu malas berusaha sebab itu hidup dalam
kesusahan. Adakah ini betul?
ii. Stereotaip
Kenyataan umum yang negatif dan
luahan pandangan yang sempit seseorang terhadap individu atau kelompok lain
sama ada negatif ataupun positif secara berlebih-lebihan. Akan tetapi pada
realitinya pandangan itu tidak betul. Walau bagaimanapun stereotaip negatif
selalu terserlah dalam persoalan hubungan antara etnik. Contohnya, Islam agama
keganasan dan setiap orang Islam adalah pengganas. Ini dikaitkan dengan
kegiatan IS (Islamic State) yang
membunuh sesiapa sahaja dengan cara yang kejam.
iii. Diskriminasi
Tindakan
individu atau kelompok atau organisasi menafikan hak pihak lain untuk untuk
mendapat hak atau manfaat yang sepatutnya dari segi undang-undang. Ia juga
adalah layanan yang berbeza diberikan kepada individu atau kelompok kerana
faktor ras, agama etnik dan jantina. Contohnya, wanita di negara-negara Asia perlu
melalui beberapa tapisan sebelum layak untuk memegang jawatan tinggi berbanding
dengan jantina lelaki.
iv. Segregasi
Pemisahan atau pengasingan antara
satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara
sehingga berlaku interaksi yang minima ataupun sehingga tiada langsung
interaksi antara mereka. Pemisahan dan pengasingan berlaku dalam pekerjaan,
tempat tinggal, perkahwinan, kemudahan kesihatan, sistem persekolahan,
pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada didasari oleh
undang-undang seperti Dasar Apartheid di
Afrika Selatan (1948-1994) dan juga sikap memencilkan diri etnik tertentu untuk
menentang asimilasi dengan etnik lain.
3.4 Konsep Asimilasi, Akomodasi, Amalgamasi dan Akulturasi.
i. Asimilasi (Assimilation)
Asimilasi
merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan
budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang
sama. Ia melibatkan kumpulan etnik minoriti kehilangan identiti dan terserap
kepada kebudayaan dan sosial etnik majoriti. Mereka yang berfikir, berperasaan
dan bertindak secara berlainan akhirnya menjadi satu dalam kesatuan sosial
serta budaya yang sama. Asimilasi sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan
penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti seperti bahasa, pakaian dan
adat resam. Konsep asimilasi mutlak digambarkan dengan formula A+B+C=A, dalam
hal ini A mewakili golongan majoriti dominan sementara B dan C mewakili
kumpulan etnik minoriti. Contohnya orang Melayu di Selatan Thailand mengalami
proses asimilasi sehingga menyebabkan nama, bahasa, fesyen dan hampir semua
aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara
hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku ke atas masyarakat Jawa, Bugis,
Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi.
Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan Nyonya, asimilasi berlaku
dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama etnik
tersebut. Kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik
minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik
majoriti dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik
minoriti.
ii. Akomodasi (Accomodation)
Penyesuaian iaitu suatu
keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk
menghentikan atau mengelakkan konflik dengan mengadakan interaksi secara damai
untuk sementara ataupun untuk selama-lamanya. Ini dilakukan menerusi
perundingan dan juga tolak ansur tetapi mereka meneruskan sikap mereka untuk
hidup berasingan. Ia juga melibatkan proses kerjasama dan tolak ansur yang
menekankan keseimbangan serta tidak menghilangkan indentiti sesuatu kelompok.
Di Malaysia contoh akomodasi yang ketara ialah penggunaan bahasa Melayu dan
amalan kebebasan beragama terhadap rakyat yang terdiri dari etnik bukan Melayu.
iii. Amalgamasi (Amalgamation)
Satu
proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis
budaya dan ras baru iaitu penyatuan biologi. Bentuk proses amalgamasi adalah
perkahwinan campur antara kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza. Teori
amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, di mana A, B, dan C
mewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru
terhasil daripada penyatuan A, B dan C yang biasanya dinamakan antara lain
seperti Pan-Asia, Melayu-Arab, China-India dan seumpamanya.
iv. Akulturasi (Acculturation)
Akulturasi
ialah proses perubahan kebudayaan melalui pinjam meminjam kebudayaan hasil dari
perhubungan antara kelompok yang berlainan. Ia merupakan proses penerimaan
unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan
lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan
kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang
berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam
kebudayaan sendiri. Ia tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat
penerima tetapi merupakan proses pinjam meminjam dengan diolah menjadi unsur
kebudayaan sendiri. Di Malaysia contohnya ialah bahasa, tali leher, angpau,
makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi jika tidak diolah dengan baik, ia akan
memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat.
4. KONSEP MASYARAKAT MAJMUK MENURUT ISLAM
4.1 Masyarakat
Majmuk
Dalam
menghadapi kehidupan masyarakat majmuk, Islam telah meletakkan panduan kepada
umatnya seperti bertolak ansur, keadilan, kebaikan dan rahmat. Islam adalah
agama yang menjadi rahmat untuk dunia kerana Islam telah bersungguh-sungguh
menentang sifat perkauman dan menyeru kepada perpaduan. Perkataan Islam sendiri
membawa pengertian selamat, sejahtera dan keamanan. Ini membawa pengertian
seseorang yang menganut Islam telah mendapat kesejahteraan dan ketika
berinteraksi dengan orang lain mereka dikehendaki mengamalkan akhlak dan
nilai-nilai yang baik seperti kasih-sayang, membantu dan belas kasihan.
Beberapa asas
telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w ketika berurusan dengan warganegara yang
bukan Islam. Sikap menghormati akidah orang lain sekalipun ia berbeza dengan
akidah Islam dan sikap tasamuh dalam
pergaulan serta sikap mementingkan keadilan seperti yang dituntut oleh ajaran
Islam telah menyebabkan agama Islam dan penganutnya dihormati dan disanjung. Tasamuh ialah
sama-sama berlaku baik, lemah lembut dan saling pemaaf. Ia membawa kepada
pengamalan akhlak terpuji dalam pergaulan, rasa saling menghargai antara satu
sama lain, toleransi beragama dengan saling menghormati hak dan kewajiban dan
tidak saling menganggu. Tidak memandang
rendah suku bangsa, agama atau kebudayaan lain, apa lagi bersikap menghina,
membenci atau memusuhinyn. Tidak boleh menyerang dan mencela dengan celaan yang
membuat pihak lain sakit perasaannya. Asas ini terkandung dalam banyak ayat
al-Quran di antaranya:
"Dan janganlah kamu mencela
oorang yang berdoa kepada selain Allah, yang menyebabkan mereka mencela Allah
dengan permusuhan dengan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami menghiasi untuk
setiap umat amalan mereka, lalu Dia memberitakan kepada apa yang mereka
lakukan".
(al-An'am, 6: 108)
Islam
telah memperuntukkan hak-hak tertentu untuk orang bukan Islam yang bernaung di
bawah pemerintahan Islam. Mereka diistilahkan sebagai golongan zimmi iaitu
orang yang dijamin oleh Islam untuk mendapat perlindungan dan pembelaan dari
serangan musuh. Dengan ini jiwa, harta dan maruah mereka adalah dihormati dan
dilindungi secara adil dan saksama. Masyarakat Islam tidak boleh campur tangan
dalam akidah, ibadat, adat, kebudayaan dan peraturan hidup orang bukan Islam.
Mereka diberi otonomi dalam aspek kepercayaan dan bebas untuk melakukan
peribadatan. Mereka juga dibenarkan bergiat dalam aspek sosio-ekonomi dalam
batas yang tidak mengganggu ketertiban umum dan tidak berlawanan dengan nilai
akhlak yang telah ditetapkan. Ini kerana masyarakat Islam adalah masyarakat
yang menjunjung tinggi prinsip keadilan dan memperjuangkan keadilan untuk
seluruh warganya tanpa memandang kepercayaan, bangsa dan sebagainya. Pada
pandangan Islam, keadilan adalah hak semua manusia, baik musuh atau kawan.
Islam tidak membenarkan permusuhan dan kebencian mengalahkan keadilan bahkan
Islam menganggap bahawa keadilan lebih dekat kepada takwa.
4.2
Konsep Umat
“Wahai manusia! Sesungguhnya
Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan; Sesungguhnya yang
paling mulia di kalangan kamu pada sisi Allah ialah yang lebih takwanya antara
kamu; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”.
(al-Hujurat, 49: 13)
“Semoga Allah akan mengadakan
perasaan kasih-sayang antara kamu dengan orang yang kamu musuhi daripada
mereka. Dan Allah Maha Kuasa dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang
yang tidak memerangi kamu kerana agama tersebut (Islam), dan tidak mengeluarkan
kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mangasihi orang yang berlaku
adil. Sesungguhnya Allah melarang kamu dari menjadikan teman orang yang
memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu; dan sesiapa yang menjadi teman mereka, maka itulah orang yang zalim”.
(al-Mumtahanah, 60: 7-9)
Masyarakat Islam
adalah masyarakat yang berpegang kuat kepada al-Din Islam iaitu mengesakan Allah sebagai Tuhan Pencipta Alam
Yang Maha Besar yang suci dari segala sifat kekurangan dan tiada yang menjadi
saingan bagi-Nya. Masyarakat Islam menjadikan ajaran Islam sebagai panduan
hidup. Peranan individu dalam masyarakat adalah saling melengkapi dan muncul
tanggungjawab sosial di mana setiap individu bertanggungjawab ke atas
kesejahteraan bersama dalam masyarakat. Tanggungjawab ini tidak semata-mata
kepada masyarakat tetapi juga kepada Allah. Dalam masa yang sama, masyarakat juga
bertanggungjawab ke atas individu yang menjadi ahli masyarakat. Mereka saling
mempunyai hak dan tanggungjawab. Islam menyeru masyarakat Islam menyanjung
perpaduan bersendikan iman bukan kerana keturunan, warna kulit, bahasa, negeri
dan juga melalui amalan ibadah khusus dan am seperti solat dan haji. Masyarakat
Islam menjaga kebenaran, kebaikan dan tegas memerangi kejahatan dan keburukan.
Masyarakat Islam perlu saling menyayangi antara satu sama lain, mengasihi yang
muda dan menghormati yang tua, menggembirakan mereka yang ditimpa masalah,
mengunjungi yang sakit, menghargai hak orang lain dan sebagainya.
4.3 Asas
Masyarakat Islam
Ajaran Islam
melalui al-Qur’an dan al-Sunnah telah meletakkan asas-asas
yang kukuh dalam pembentukan kehidupan masyarakat Islam. Di antaranya ialah;
·
Akidah Islam
Asas utama pembentukan masyarakat Islam adalah untuk
memelihara, menjaga dan menegakkan akidah tauhid. Ia membebaskan manusia
daripada belenggu khurafat yang boleh membawa kemunduran iaitu kepercayaan
karut yang tidak berasaskan rasional. Akidah tauhid juga membebaskan manusia
daripada belenggu modenisme yang menafikan kewujudan Tuhan sehingga membawa
kehancuran akhlak manusia dan sistem nilai. Dalam apa keadaan dan suasana, segala
sistem yang digariskan oleh manusia, sama ada ekonomi, politik, pendidikan
mahupun sosial merupakan persoalan akidah. Akidah adalah dasar hidup manusia.
Hidup tanpa iman adalah hidup yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Dengan kata
lain setiap sagmen kehidupan manusia mesti berdasarkan keimanan. Islam
merupakan agama yang benar, lengkap dan mencakupi keseluruhan sistem hidup
manusia. Ia adalah agama yang diciptakan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana yang menjadikan seluruh makhluk alam ini. Oleh itu masyarakat Islam
adalah masyarakat yang diikat dengan ikatan akidah Islam. Orang yang beriman
adalah mereka yang percaya kepada Allah Yang Maha Esa, menerima segala ajaran
yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sebagai sistem yang berdasarkan nilai iman
dan takwa. Asas inilah yang menyatukan seluruh umat manusia di dunia ini.
Mereka lahir daripada jenis yang sama, keturunan yang sama dan agama yang sama
yang diwarisi daripada Nabi Adam A.S. Mereka semua adalah hamba Allah dan
mereka bersaudara dan berkasih sayang. Persaudaraan yang diikat dengan asas
keimanan akan membentuk suatu hubungan yang kukuh antara umat Islam. Ia
melahirkan perasaan dan semangat bantu membantu dan tolong menolong antara satu
sama lain. Hubungan kasih sayang yang berteraskan iman pula laksana satu jasad;
apabila salah satu anggotanya sakit, maka seluruh jasad turut merasai sakit dan
demam serta berjaga malam.
•Syariah Islam
Allah yang mencipta sekalian makhluk, mentadbir dan
mengurus serta mengawasinya. Allah memberikan manusia akal yang terbatas
keupayaannya. Manusia perlu panduan Allah untuk menjalani hidup yang sempurna
dan bagi mendapatkan kesejahteraan dunia dan akhirat. Semua manusia perlu patuh
kepada undang-undang Allah atau syariah. Mereka perlu hidup berperaturan mengikut
ketetapan yang ditentukan Allah untuk menjamin kestabilan alam keseluruhannya.
Syariah Islam yang diciptakan Allah S.W.T. diturunkan bagi mengatur kehidupan
manusia dalam hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan hubungan
manusia dengan makhluk lain. Tujuan syariah adalah untuk memelihara agama,
nyawa, akal, keturunan dan harta benda daripada sebarang bentuk kemudaratan.
Apabila manusia berpegang kepada peraturan Allah maka tertegaklah sebuah
masyarakat yang kuat dan bersatu padu kerana semuanya mempunyak hak, tatacara
hidup, tujuan dan matlamat yang sama.
•Akhlak Islam
Akhlak merupakan asas utama untuk melahirkan
masyarakat yang bertamadun. Misi kedatangan Rasulullah S.A.W. adalah untuk
menyempurnakan akhlak manusia. Baginda adalah contoh yang paling unggul dalam
akhlak. Tingkah laku Rasulullah menjadi ikutan orang Islam. Apabila akhlak yang
terpuji diamalkan oleh setiap orang Islam sama ada sebagai suami, isteri, ibu,
bapa, anak, pemimpin atau rakyat dan lain-lain, secara tidak langsung telah
mempamerkan suatu sikap yang sama di antara satu sama lain dalam masyarakat. Keseragaman
sikap dan tindakan melambangkan wujud kesefahaman dalam fikiran akan membentuk
sebuah masyarakat yang bersatu padu dan kukuh.
5. KESIMPULAN
Manusia
perlu hidup bermasyarakat kerana keperluan jasmani dan rohani yang tidak mampu
diusahakan sendiri. Hidup bermasyarakat dalam Islam bermaksud hidup dalam satu
organisasi yang berpaksikan Islam sebagai suatu cara hidup. Kehidupan manusia
tidak akan mantap tanpa wujudnya organisasi bernama masyarakat. Ini kerana
hanya masyarakat Islam sahaja yang boleh menjamin kebahagiaan hakiki melalui jalinan
erat antara hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan sesama
manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar.