Pages

Tuesday, June 12, 2012

Asas Islam 2


AKIDAH TERAS PEMBANGUNAN MUSLIM

1.        Pendahuluan

Akidah  merupakan perkara yang paling asas dalam Islam, kerana ia merupakan titik tolak permulaan seseorang muslim. Ia merupakan cahaya yang menerangi seseorang kejalan yang lurus dan menjadi manusia tidak sesat dalam menjalani kehidupan di dunia serta menjauhkannya dari segala bentuk kejahatan. Dalam Islam akidah ialah iman atau kepercayaan.  Rasulullah  s.a.w. pernah member keterangan tentang iman dihadapan para sahabat ketika seorang lelaki  (malaikat jibril) yang menyamar dalam bentuk manusia menanyakan kepada baginda “apakah yang di maksudkan dengan iman? Rasulullah s.a.w. menerangkan; “Iman ialah engkau percaya kepada Allah dan malaikat-Nya dan dengan menyampaikannya dan dengan rasul-rasul-Nya dan engkau percaya dengan hari kebangkitan”.

2.        Definasi Akidah

Akidah dari segi bahasa berasal daripada perkataaan Arab, iaitu  Aqd yang bererti ikatan atau simpulan.  Perkataan akidah yang bererti dengan ikatan atau simpulan merujuk kepada dua  jenis ikatan iaitu dalam bentuk hissi dan maknawi.  Ikatan dalam bentuk hissi ialah sesuatau ikatan yang boleh dilihat dan dirasa oleh pacaindera seperti ikatan tali dan sebagainya.  Manakala ikatan dalam bentuk maknawi ialah suatu ikatan yang tidak dapat dikesan oleh pacaindera seperti ikatan perjanjian, ikatan perkahwinan dan seumpamanya.  Hakikatnya ikatan dalam bentuk manakwi adalah lebih kukuh daripada ikatan yang bersifat hissi, kerana ikatan dalam bentuk ini  boleh dirasa oleh hati dan perasaan. Lantaran itu tidak ada kuasa yang dapat merobah atau memutuskannya kecuali dengan izin Allah.  Dari ikatan maknawi inilah lahirnya perkataan akidah iaitu ikatan atau simpulan yang khusus bagi kepercayaan.

Manakala dari sudut istilah pula ditakrifkan sebagai kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terurai melainkan dengan kehendak dirinya sendiri dan dengan izin Allah s.w.t.  Akidah Islam bererti kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, tetap, kekal, pasti dan kudus seperti yang ditentukan oleh Islam, atau dengan perkataan lain ialah kepercayaan dan keyakinan yang kuat dalam jiwa seseorang terhadap Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul-Nya.

3.        Asas Akidah Islam

Asas-asas akidah Islam terkadung dalam Rukun Iman. 

Ø    Beriman kepada Allah
Ø    Beriman kepada Malaikat
Ø    Beriman kepada Kitab
Ø    Beriman kepada Rasul
Ø    Beriman kepada Hari akhirat
Ø    Beriman kepada Qada’ dan Qadar


3.1      Beriman Kepada Allah

Beriman kepada Allah merupakan perkara yang paling asas dan ianya mendasari seluruh ajaran Islam. Bermula dengan keimanan kepada Allah inilah akan bercambah kepada keimana-keimanan yang lain dan ia merupakan semulia-mulia keimanan.


a.        Bukti Kewujudan Allah

Kewujudan Allah adalah kenyataan yang tidak boleh disangkalkan dan boleh dibuktikan melalui beberapa kaedah:

i.          Melalui lojik akal

Kewujudan alam semesta dan sega isi kandungannya boleh digunakan sebagai bukti tentang kewujudan Allah.  Contohnya bumi  terbentang luas dan  segala isinya seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan segala yang ada disekeliling kita. Segala cakerawala dilangit  yang tersusun indah yang begitu menakjubkan kita, semuanya mempuyai pertalian erat dan saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain membuktikan kewujudan dan kesaan Allah. Dari segi lojik akal manusia tidak dapat menerima bahawa semuanya terjadi dengan sendiri tanpa ada pencipta.  Setiap sesuatu yang wujud mesti ada penciptanya sekalipun kita tidak mengenali dan mengetahui bagaimana ia dicipta.Firman Allah yang bermaksud:

            “Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya ialah malam dan siang, serta   matahari             dan bulan.  Jagan kamu sujud kepada matahari dan jangan    pula kamu sujud    kepada bulan,dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada     Allah yang   menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada       Allah.”
                                                                   (Fushshilat:37)

Islam menyeru manusia supaya menggunakan akal dan pacaindera untuk merenung tentang kejadian alam ini dengan penuh keajiban bagi mengenali Allah. Dengan renungan dan penyelidikan yang dilakukan sudah tentu manusia dapat mengenali sifat-sifat Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan.

·                     Dialah sahaja Tuhan yag sebenar-benarnya
·                     Dialah sahaja yang hidup secara mutlak
·                     Dialah sahaja yang kekal selama-lamanya
·                     Dialah sahaja yang menguasai segala yag ada dilangit dan di bumi.
·                     Dia sahajalah yang bebas melakukan segala yang dikehendaki
·                     Dialah Yang Maha mengetahui keadaan sekelian makhluk.

b.        Melalui Fitrah manusia

Secara fitrahnya dalam diri manusia ada satu sifat yang tertanam dalam jiwanya merasa kewujudan Allah dan perasaan ini dimiliki sejak manusia dilahirkan.  Allah telah menciptakan manusia dengan mempunyai sifat beragama dan mengakui kewujudan-Nya dan sifat inilah yang membezakan manusia dengan haiwan.  Kehendak beragama ini adakalanya terutup atau hilang disebabkan sebab yang mendatang sehingga menusia berada daam kelalailain dan tidak mengetahui kewajipannya kepada pencipta. Kelalaian dan kealpaan ini akan terubat apabila manusia ditimpa oleh kemudharan atau kesusahan dalam kehidupannya.  Firman Allah yang bermaksud:
  
“dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan);;;;

c.        Melalui Wahyu

Ayat-ayat al-Quran banyak  menjelaskan bahawa Allah adalah pencipta segala isi alam ini.  Nabi Muhammad s.a.w. adalah sebagai penjelas kepada ayat-ayat suci al-Quran.  Perutusan para nabi juga disebut oleh Allah dalam al-Quran.  Nabi-Nabi terdahulu sehinggalah kepada Nabi Muhammad , mereka mengajak manusia supaya mengimanai tuhan sebagai pencipta.    Antaranya doa nabi adam yang disebut dalam surah al-Ankabut ayat 23 bermaksud:

“Wahai Tuahan (pencipta) kami! Kami telah menzalimi diri kami, dan sekiranya engkau tidak ampun kami dan merahmati kami, pasti kami akan menjadi orang-orang yang rugi”.    

ii.         Metauhidkan Allah

Perkataan tauhid membawa maksud “Esa” atau  mengetauhi sesuatu itu satu. Mentauhidkan Allah ialah mengaku bahawa tidak ada benda lain, kuasa lain, samada manusia atau jin atau apa sahaja selain daripada Allah.  Tauhid adalah ajaran sepanjang sejarah manusia. Ajaran setiap Nabi dan rasul, sejak nabi Adam a.s. sehinggalah kepada nabi Muhammad s.a.w. Perkataan “al-Tauhid” dapat dibahagikan kepada tiga bahagia iaitu;

i.          Tauhid Rububiyyah

Tauhid Rububiyyah bererti mengesakan Allah sebagai pencipta,pemilik, pendidik, penguasa dan pentadbir seluruh alam.  Perkataan Rab banyak kali disebut dalam a-Quran dan juga al-Hadsi.  Contohnya dalam surah al-Fatihah ayat  2 yang bermaksud:

            “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan        sekelian alam”.
                                                                                                Al-Fatihah:2)

Segala yang ada dalam alam ini adalah dalam pengetahuan Allah. Dia bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya

Tauhid Rububiyyah ini dimiliki oleh semua manusia samada Islam atau kafir. 

ii.         Tauhid Uluhiyyah

Tauhid Uluhiyyah bererti yakin bahawa hanya Allah yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi dan sebagai tempat memohon pertolongan.  Tauhid  Uluhiyyah  menuntut manusia mengabdikan diri kepada Allah dari semua sudut, iaitu Alah sebagai matlamat pengabdian, Allah sebagai tempat perlindungan, Alah sebagai tempat tumpuan kecintaan, Allah sebagai  pemberi rezek. dan Alah sebagai sumber perundangan. 

iii.        Tauhid Asm’ dan Sifat

Tauhid asma’ dan sifat ialah mengesakan nama-nama Allah yang amat indah dan sifat-sifat-Nya yang sangat luhur.  Nama-nama dan sifat-sifat tersebut dianjurkan oleh Allah kepda manusia supaya menggunkannya untuk mengetahui dan mengenali dan mengesakan-Nya.  Dengan nama-nama ini juga manusia diperintahkan menyeru, memohon dan berdoa kepada-NYa .  Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah          orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya.  Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan”.
                                                                                                (al-A’raf:180)

Jumlah nama-nama Allah yang baik (Asma’ al-Husna) ada 99. Imam al-Bukhari, al-Muslim dan At. Tirmizi  meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

            “Allah itu mempunyai sembilan puluh sembilan nama.  Sesiapa yang           menghafaznya ia akan masuk syurga. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu ganjil dan        suka kepada yang ganjil”.

Sesungguhnya sifat-sifat Allah  bukan sahaja berjumlah sebanyak dua puluh sifat, tetapi terlalu banyak sehingga tidak ada sesiap yang mengetahui keculi Allah.

3.2      Beriman Kepada Malaikat

Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah yang bersifat halus  dan termasuk dalam perkara-perkara yang ghaib. Mereka hidup dialam yang berbeza dengan kehidupan alam semerta yang kita saksikan.  Hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan dan hakikat malaikat yang sebenarnya.  Beriman kepada malaikat bererti seseorang itu wajib memiliki iktikad atau keyakinan yang sebenar-benarnya bahawa Allah mempunyai beberapa makhluk yang ghaib yang tidak dapat dilihat, didengar, diraba, dicium dan dirasa.

Kewujudan malaikat tidak dapat dikesan dengan menyelidikan dan pemikiran.  Sumber pengetahuan kita berkaitan dengan malaikat ialah daripada al-Quran dan al-Sunnah.  Malaikat ialah makhluk Allah yang sentiasa tunduk dan taat kepada perintah Allah.  Firman Allah yang bermaksud:

            “(Ingatlah) ketika Tuhanmu watikahkan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku             menyertai kamu (member pertolongan),maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang             beriman.”.
                                                                                                                         (al-Anfal:12)

Konsep beriman kepada malaikat ialah:

i.          Supaya manusia mengetahui bahawa Allah s.w.t. berkuasa menjadikan apa-apa juga yang dikehendaki-Nya.
ii.         Supaya manusia insaf  bahawa dirinya adalah salah satu dari makhluk yang dijadikan Allah kerana itu janganlah menganggp sesuatu yang ghaib itu tidak wujud kerana semata-mata di tidak melihatnya.
iii.        Percaya dan yakin bahawa malaikat merupakan makhluk Allah s.w.t. yang mulia yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah.  Mereka sama sekali tidak pernah derhaka kepada Allah.


Kejadian dan hakikat malaikat

Hakikat kejadian  malaikat adalah berbeza dengan kejadian  manusia dan jin. Malaikat diciptakan daripada cahaya (nur).  Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud:

            “Malaikat diciptakan dari cayaha.  Jin diciptaan dari nyalaan api dan Adam diciptakan daripada apa yang telah  diterangkan padamu semua”.
                                                                                                            (hadis riwayat Muslim)

Malaikat disucikan daripada keinginan hawa nafsu dan terhindar dari perbuatan dosa dan maksiat. Mereka tidak seperti manusia yang suka makan, minum, tidur , tidak ada jantina lelaki dan perempuan.  Mereka mempunyai alam tersendiri dan bidang tugas tersendiri. Mereka merupakan makhluk yang dilengkapi Allah  dengan persediaan untuk mematuhi perintah Allah semata-mata dan tidak pernah mendurhak kepada Allah.

Malaikat merupakan makhluk Allah yang kuat dan memiliki sayap yang berbeza di antara  satu sama lain.  Firman Allah yang bermaksud:

            “Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap; dua, tiga dan empat;ia         menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya…”
                                                                                                                        (al-Faatir:1)

Perbezaan sayap menunjukkan  nilai dan kedudukannya disisi Allah.  Ia juga menunjukkan kebolehannya untuk bergerak samada cepat atau lambat dari satu tempata ke satu tempat yang lain.  Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

            “Rasulullah melihat jibril a.s. dan ia mempunyai enam sayap”
                                                                      (hadis riwayat Muslim)

Tugas Malaikat

Bilangan malaikat  amatlah banyak dan tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah.  Orang-orang beriman diwajibkan beriman kepada malaikat dengan cara ijmal (umum) melainkan sepuluh  malaikat sahaja yang diwajibkan beriman secara tafsil (terperinci) iaitu;

·                  Malikat Jibril – menyampaikan wahyu
·                  Malaikat Mikail – menguruskan hak ehwal kehidupan
·                  Malaikat Israfil – meniupkan sangkakal
·                  Malikat Izrail – mengetuai malaikat mengambil nyawa
·                  Malaikat Ridhwan – mengetuai malaikat menjaga syurga
·                  Malaikat Malik – Ketua malaikat menjaga neraka
·                  Malaikat Raqib dan Atid – menulis amalan manusia
·                  Malikat Mungkar dan Nakir – menyoal orang mati.

Selain itu ada juga malaikat yang ditugaskan untuk menjaga hal ehwal berhubung dengan manusia seperti berikut;

·                     Ada yang ditugaskan  mengawasi kejadian manusia sewaktu dalam kandungan rahim ibunya.
·                     Memerhati amalan-amalan manusia
·                     Mengucapkan perkataan Amin
·                     Memohon keampunan kepada orang yang bersembahyang dalam keadaan bersih.
·                     Berdoa kepada orang yang merapat saf dan orang-orang yang berada disaf yang pertama
·                     Mencatat susunan kedatangan ahli-ahli jumaat
·                     Berdoa untuk kebaikan orang-orang yang mengajar perkara-perkara yang baik
·                     Memberi penghormatan kepada penuntut ilmu
·                     Melaknat sesiapa yang menyeksa binatang.

Jelaslah beriman dengan malaikat menyebabkan manusia bertambah yakin tentang kekuasaan Allah dan keagungan Allah dan mendorong manusia untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran kerana mereka yakin setiap amalan yang dilakukan manusia akan dicatat oelh malaikat.

3,3      Beriman Kepada Kitab

Allah  s.w.t. telah mengutuskan para Rasul-Nya untuk menyampaikan ajaran-ajaran, hukum-hukum dan peraturan hidup kepada umat manusia untuk mencapai keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.  Ajaran-ajaran tersebut ada tercatat dalam kitab  dan ada yang tidak diketahui, tetapi yang jelasnya setiap nabi menerima risalah untuk disampaikan kepada kaumnya.

Manusia disuruh mempercayai kitab-kitab yang diturunkan-Nya kepada nabi-nabi dan Rasul-Nya.   Antara kitab-kitab yang diturunkan ialah:

·                     Kitab Zabur

Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s.. Firman Allah bermaksud:

“Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melibihkan setengah nabi-nabi atas setengahnya dengan yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.”
                                                                                                            (al-Isra’:55)

·                     Kitab Taurat

Kitab taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Firman Allah bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang menganungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi menyerah diri (kepada Allah)menetap hokum bagoi orang-orang Yahudi….”
                                                                                                            (al-Maidah:44)

Dalam kita ini diterangkan hukum-hukum syariat serta iktikad yang benar kepada Allah. Diterangkan juga mengenai nabi akhir zaman dari keturunan nabi Ismail a.s.  Walaubagaimanpun kitab ini telah diubah oleh orang-orang Yahudi.  Firman Allah bermaksud:

“ Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah ( isi Kitab Taurat) dari tempat dan maksudnya yang sebenar..”
(an-Nisa’:46)

·                        Kitab Injil

Kitab ini diturunkan kepada Nabi Isa a.s. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan di antara orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya…”

                                                                                                            (al-Maidah:14)

Dalam kitab ini dinyatakan perintah Allah supaya mengesakan_Nya dan larangan menyekutukan-Nya dan disebut nabi yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.  Walaubagaimanpun kitab ini telah diubah dan kitab-kitab Injil yang ada sekarang samada injil Matius, Injil Markus, Injil Lukas dan Injil Johannes semuanya karangan manusia dan bukan  wahyu dari Allah.


·                     Kitab Al-Quran

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan merupakan kitab yang terakhir.   Ia diturunkan ketika manusia terutamanya orang Yahudi dan Nasrani berada dalam persengkitaan dan perselisihan dalam berbagai masalah termasuklah masalah ketuhanan dan kerasulan.  Hakikat ini dinyatakan oleh Allah dalam firman_nya yang bermaksud;

“Ia menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan mengandungikebenran, yang mengesahkan isi kitab suci yang telah diturubkan dahulu daripadanya, dan ia jua menurunkan kitab-kitab Taurat dan injil”.
                                                                                                            (al-Midah 48/3-4)

Hukum syariat  yang terkandung dalam al-Quran akan kekal selama-lamanya sehingga hari kiamat.  Al-Quran terpelihara  keaslian pengajarannya dan terselamat dari  sebarang perubahan, pindaan dan tokok tambah. Allah s.w.t. sendiri menjaganya dari  sebarang perubahan .  firman Allah yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
(al-Hijr:9)

Perbezaan al-Quran dengan kitab-kitab sebelumnya

·                     Beriman dengan al-Quran bukan sekadar percaya bahawa ia adalah kalamullah, tetapi kita mesti mempelajari, memahami dan melaksanakan seluruh ajaran yang terkandung di dalamnya.  Manakala kitab-kitab yang lain  kita hanya dituntut supaya menyakini bahawa ianya dari Allah.
·                     Kitab-kitab suci yang lain telahpun mengalami perubahan sedangkan al-Quran masih asli dan terpelihara dari sebrang perubahan.
·                     Kitab-kitab suci yang lain sesuai untuk umat pada zaman itu sahaja, sedangkan al-Quran sesuai pada setiap masa dan tempat.  Manakala isi kandungannya lengkap dan mencakupi selurh aspek kehidupan manusia.

3.4      Beriman Kepada Rasul

Allah telah mengutus  nabi dan rasul kepada  setiap umat   untuk membimbing manusia kejalan yang benar. Nabi ialah orang yang menerima wahyu dari Allah.  Nabi yang diperintahkan oleh Allah menyampaikan wahyu dalam bentuk syariat disebut rasul Allah. Oleh itu seorang rasul adalah seorang nabi tetapi seorang nabi belum tentu menjadi rasul. Dalam al-Quran Allah menyatakan bilangan rasul seramai 25 orang.  Manakala bilangan nabi sebagimana yang dinyatakan oleh Rasulullah seramai 124,000 orang.

Rasul berkewajipan menyampaikan risalah  dan wahyu kepada manusia.  Oleh itu beriman kepada para rasul bererti mempercayai bahawa Allah telah memilih di antara manusia menjadi utusan-Nya untuk membimbing manusia kejalan yang lurus. Rasul memiliki empat sifat keistimewaan yang merupakan kelebihan mereka dari manusia lain.  Sifat-sifat yang menjadi bukti bagi seorang rasul ialah  sidiq (benar),amanah tabligh (menyampaikan) dan fathanah (kecerdikan/bijaksana).

Dalam Al-Quran Allah menyeru manusia supaya beriman kepada semua rasul-rasul.  Orang yang beriman kepada setengah rasul-rasul dan mengingkari yang lain tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman.  Tidak perbezaan di antara Nabi Muhammad dengan rasul-rasul yang lain kecuali dalam tiga perkara:

·                     Rasul yang lain diutuskan kepada umat mereka dan untuk masa yang tertentu.  Adapun nabi Muhammad diutuskan kepada seluruh  alam meliputi manusia, jin dan malaikat sehingga hari kiamat.
·                     Ajaran rasul yang terdahulu tidak terpelihara dalam bentuknya yang asal, sedangkan ajatran Nabi Muhammad akan terpelihara hingga hari kiamat.
·                     Ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul terdahulu tidak lengkap dan sempurna, sedangkan ajaran Nabi Muhammad merupakan ajaran yang lengkap dan sempurna.

3.5      Beriman Kepada Hari Akhirat

Keyakinan pada hari akhirat merupakan Rukun Imam yang kelima dan merupakan asas ajaran al-Quran dan al-Sunnah.  Hari akhirat berlaku dengan kemusnahan alam semesta.  Pada hari tersebut akan mati segala makhluk yang belum mati dan bumi akan berganti dengan alam yang lain yang disebut sebagai alam akhirat..  Firman Allah yang bermaksud:

            “(ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan             manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah Yang Maha Esa, lagi Maha             Kuasa”.
                                                                                                                        (Ibrahim:48)

Pada hari tersebut  Allah akan menghidupkan semula manusia yang telah mati dan mengumpulkan mereka di hadapan-Nya untuk dihisab seluruh amalan  sama ada yang baik atau yang jahat. Oleh itu barangsiapa mempunyai amalan kebaikan yang lebih akan dimasukkan ke dalam syurga dan sesiapa yang mempunyai  amalan kejahatan yang lebih akan dimasukakan kedalam neraka.

Hari Akhirat Merupan Impian Kecil Manusia

·                     Manusia hidup di atas muka bumi ini terlalu singkat, sedangkan cita-cita dan harpan mereka tidak terbatas.  Ketika ia mati banyak lagi hajat dan kemahuannya yang belum tercapai.  Sebagai contoh ia akan meninglkan orang yang disayangi yang menyebabkan ia merasa sdih dan terharu untuk bercerai dengan mereka dan mereka yang ditinggalkan juga merasa sedih  terhadap kehilangannya.  Oleh itu menjadi harapan mereka semoga Allah pertemukan mereka suatu hari nanti.
·                     Manusia selalu memerhatikan perkara-perkara yang berlaku disekeliling dan  dilihatnya berlaku pertembungan di antara kebaikan dan kjahatan dan kerap kali kejahatan mengalahkan kebaikan dan keburukan mengatasi kemuliaan.  Oleh itu hati kecil manusia mengharapkan kewujudan suatu tempat di mana orang yang melakukan kebaikan mendapat ganjaran yang setimpal dan orang yang melakukan kejahatan akan menerima hukumannya bagi membuktikan keadian Tuhan.
·                     Manusia telah memakmurkan bumi dan melakukan berbagai jenis kemajuan dan kebaikan padanya, sudah tentu tidak rela hati kecilnya menerima kesudahan seperti kesudahan sekor haiwan yang tidak melakukan satu apa pun.

Tanda-Tanda Berlakunya Kiamat

a.        Tanda-Tanda Kecil

·                     Banyak berlaku fitnah dan pembunuhan
·                     Ilmu agama dianggap remeh, tidak penting dan tidak berada dikedudukan yang sepatutnya.
·                     Banyak berlaku bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau dan sebagainya.
·                     Urusan kepiminan diserahkan  kepada orang bukan ahlinya
·                     Wanita menyerupai lelakiAnak-anak akan derhaka kepada ibubapa
·                     Kaum perempuan akan melebihi lelaki
·                     Kebangkitan nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan rasul terakhir.

b.        Tanda-Tanda Besar

·                     Keluar api dari hijaz
·                     Keluar Ya’jub Ma’juj
·                     Turunyan Dajjal
·                     Keluarnya sejenis binatang (Dabah)
·                     Terbitnya mmatahari dari arah barat
·                     Turunnya Nabi Isa
·                     Keluarnya imam Mahadi

Kepentingan Beriman Pada Hari Akhirat

i.          Melahirkan manusia yang benar-benar bertanggungjawab dalam setiap perbuatan             yang dilakukan
ii.         Manusia akan segera bertaubat kepada Allah apabila mereka melakukan kesalahan
iii.        Beriltizam melaksanakan ketaatan kepada Allah
iv.        Kehidupan manusia akan mempunyai matlamat untuk kebahagian yang kekal abadi
v.         Melahirkan masyarakat yang beriman dan Negara yang berpandukan syaraiat Islam

3.6      Beriman Kepada Qada’ dan Qadar

Allah menyatakan dalam al-Quran bahawa takdir adalah suatau peraturan yang ditetapkan oleh Allah ketasa segala yang ada di alam ini.  Jadi segala peraturan-peraturan tersebut adalah merupakan undang-undang umum dan ketentuan yang mengandungi sebab dan musabab atau akibat.  Firman Allah yang bermaksud:

            “Allah mengetahui apa yang dikandung oleh taip-tiap ibu, dan mengetahui apa yang             kurang dari yang dikandung dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap           sesuatu adalah ditetapkan disisinya dengan kadar yang tertentu.”
                                                                                                                         (ar-Ra’d:8)
Beriman kepada takdir ialah beruasaha menjalankan segala undang-undang peraturan dan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah  di mana Allah telah menetapkan bagi tiap-tiap sesuatu natijah dan pendahuluannya dan bagi tiat-tiap sesuatu musabab ada sebabnya serta bagi tiap-tiap suatu tujuan ada jalan untuk mencapainya.

Takdir merupakan ketetapan Allah, namun tidak adan satu makhluk pun dapat mengetahui tentang takdir yang akan diterimanya. Oleh itu, manusia masih diberi harapan dan kesempatan untuk beramal, kerana begitulah hikmah yang diberikan oelh Allah s.w.t. Takdir yang berhubung manusia terbahagi kepada tiga bahagian:

i.  Takdir Tuhan yang tidak dapat ditolak kerana manusia tidak diberi kuasa untuk menahannya daripada berlaku seperti bentuk tubuh badan, warna kulit, lelaki dan perempuan, ditimpa kemalanagn secara mengejut dan juga tidak berhasul apa yang diusahakan atau sebaliknya.  Takdir ini merupakan satu ujian daripada Tuhan bagi menguji kesabaran dan kesyukuran seseorang hamba. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

            “KeputusanKu  itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak     sekaili-          kali berlaku zalim kepada hamabaKu”.
                                                                                                                        (Qaaf:29)

ii.    Takdir Tuhan yang sepatutnya manusia menerima kewujudannya adalah seperti perasaan semulajai yang ada pada  diri mereka seperti perasaan ingin makan, minum, perlu kepada pasangan (Berkahwin) dan perasaan ingin bermasyarakat.  Takdir  ini sesungguh pun manusia kena menerimanya tetapi manusia  boleh mengawalnya dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

iii.   Takdir yang manusia diberi kebebasan untuk memilihnya tetapi manusia diberitahu supaya memilih takdir yang mendatangkan manfaat dan kesudahan yang baik, jangan memilih takdir yang mendatangkan kemudharatan dan akibat yang buruk.

4.        Pembinaan dan Pengukuhan Akidah
Pembinaan  akidah perlu merujuk kepada panduan Allah dan Rasul-Nya.  Jesteru itu menjadi kewajipan kepada setiap muslim untu mempelajari dan memahami manhaj Islam Islam yang sebenarnya.  Tanpa memahami petunjuk yang digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah, sukar untuk memperolehi hakikat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.  Untuk memperoeh iman dan taqwa secara ringkasnya  ulamak telah merumuskan kepada perkara berikut;

·         Ilmu

Memahami dan menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib.  Ilmu yang palin asas ialah ilmu mengenai Allah, rasul dan Islam.  Ilmu yang dikategorikan sebagai ilmu fardu ‘ain yang menjadi kewajipan bagi sdu mempelajarinya.  Ilmu ini dapat hati terhadap segala kecacatan amal perbuatan sehingga dapat menjaga seseorang dari melakukan perbuatan buruk  Dengan ilmu itu juga seseorang boleh berwaspada dan berhati-hati terhadap godaan syaitan.  Memahami dan menghayati kandungan Islam yang merangkumi solan akidah, syariah dan akhlak menajdikan seseorang sentiasa terikat kepada peraturan Allah  dan sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan perintah Allah kerana bimbang akan terkeluar daripada garis panduan yang telah ditetapkan Allah.

·         Mengelakakn diri dari suasana doosa dan jahiliyyah.

 Mengelakkan diri dari suasana dosa dan jihiliyyah(perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam seperti pergaulan bebas, pendedahan aurat dan sebgainya) boleh mengukukuhkan keimanan seseorang.  Sekirannya seseorang itu sentiasa berada dalam suasana dosa keimana akan menurun, kerana iman boleh bertambah dengan melakukan kebiakan dan iman akan berkurang apabila seseorang melakukan maksiat.  Firman Allah yang bermaksu:

“………di dalam hati manusia ada penyakit (al-Baqarah:10)

·         Iltizam meninggalkan perkara-perkara yang haram.

Iltizam ialah hidup berdasarkan petunjuk Allah.  Sentiasa berusaha meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.  Menjadi Islam sebagai pegangan hidup dan sentiasa menjaga nilai-nilai yang ditentukan oleh Allah.  Firman Allah yang bermaksud:

            “Sesungguhnya ucapan orang-orang yang beriman, apabila dipanggil oleh             Allah dan Rasul-Nya untuk diputuskan sesuatu perkara di kalangan mereka,             hanyalah berkata: “Kami dengan dan kami patuh” mereka itulah golongan             orang-orang yang mencari kemenangan.”
                                                                                                             (al-Nur:51)

·         Iltizam melakukan ibadah.

Melakukan sesuatu amalan hanya  semata-mata kerana Allah adalah salah satu daripada cirri-ciri orang-orang beriman.  Melakukan ibadah kepada Allah terutamanya sekali ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji boleh membentuk keimanan seseorang.  Amalan-amalan sunat pula merupakaan keuntungan yang mengangkat darjat  kepada kejayaan dan kemuliaan.


·         Mujahadah al-Nafs dan Muhasab diri

Mujahadah al-Nafs ialah pertarungan menentang nafsu dan perjuangan menegakkan agama Allah.  Ia perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan istigamah. Firman Allah yang bermaksud:

      “Beruntunglah ssiapa yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang       mengotorinya”.
                                                                                                      (al-Syams:9-10).

Muahsabah diri (sentiasa berfikir ke arah memperbaikai diri) adalah amalan dituntut oleh Islam.  Ia boleh membawa kepada peningkatan amalan seseorang kenara ia dapat mengenalpasti apakah kesalahan atau perlanggaran yang telah dilakukan terhadap Allah dan berusaha memperbaikai dan mempertingkatkannya.  Syaidina Umar r.a. telah berpesan kepada umat Islam”

      “hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, dan bersiaplah untuk menghadapi       pembentangan yang besar.  Sesungguhnya  hisab (perhitungan) yang ringan pada       hari kiamat ialah bagi sesiapa yang menghitung (menghisab) dirinya di Dunia.

·         Taubat dan Berdoa

Sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada Allah.  Firman Allah yang bermaksud:

      “dan bertaubatlah kepada Allah semuanya, wahai orrang yang beriman, agar kamu       mencapai kemenangan”.
                                                                                                                  (al-Nur:31)

Dalam apa jua usaha dan ikhtiar dilakukan manusia  mesti meminta bantuan dan perlindungan daripada Allah.  Allah memerintah agar hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya.  Rasulullah s.a.w. sendiri berdoa:

      “Ya Allah! Kurniakan pada jiwaku taqwa”.
                                                                              (Riwayat Muslim dan al-Nassai’e)

5,  Perkara yang membatalkan akidah

Akidah boleh menyeleweng dan rosak melalui berberapa perkara;

·            Percakapan.

Melalui percakapan/ucapan seseorang yang mengeluarkan kat-kata tyang bertentanagn dengan akidah Islam seperti ucapan mengatakan Islam tidak sesuai untuk dilaksanakan disepanjang zaman, mempermain-mainkan nama Allah, rasul-rasul_nya, kitab-kitab-Nya malaikat-malaikat-Nya, mengatakan undang-undang Islam zalim dan tidak sesuai dengan zaman moden dan sebagainya.

·            Perbuatan

Akidah boleh rosak melalui perbuatan seperti melakukan upacara-upacara ibadah sama dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam sama ada ditempat-tempat ibadah mereka atau dimana-mana sahaja yang menunjukkan amalan yang bertentangan dengan akidah Islam.  Contohnya membuat tanda salib, membakar colok untuk beribadah, menyembah pokok, menyembah nafsu, harta dan sebagainya.

·            Keyakianan

Iktikad/keyakinan bertapak di dalam hati.  Oleh itu hati perlu dijaga daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan keimanan.  Di antara kerosakan akidah dari sudut keyakinan ialah hati tidak yakin dengan Islam atau ragu-ragu  terhadap sebahagian dari ajaran Islam yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah.  Menyakini Islam dan peraturan yang diturunkan pleh Allah sama taraf nya dengan peraturan yang dicipta oleh manusia atau lebih baik dan sebgainya.]

6.    Peranan Akidah Dalam Pembentukan Ummah

Pembinaan tamadun ummah yang berteraskan kepada tauhid telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w..  Pembinaan dan pematapan akidah yang dilakukan oleh Rasulullah di Mekah selama 13 tahun mampu membina  peribadi yang mantap dan mempunyai daya katahanan yang tinggi dalam mempertahankan Islam dan akhirnya berjaya membina tamadun Islam yang cemerlang  dan menjadi model kepada generasi kemudian dalam membina tamadun yang dikehendaki oleh Allah selaras dengan fungsi manusia sebagai khalifah  iaitu untuk memakmurkan alam ini.  Antara peranan akidah dalam pembangunan ummah ialah;

·            Melahirkan ummah yang  patuh kepada ajaran Islam.  Ummah yang memiliki akidah yang mantap akan melaksanakan segala perintah yang diturunkan oelh Allah kepada rasul-Nya dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kerelaan tanpa dipaksa oleh sesiapa.  Golongan yang tidak mempunayai kekuatan akidah mereka tidak berupaya  untuk melaksanakan perintah Allah.  Keadaan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Jin ayat 14-15 yang bermaksud;

     “Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya al-Quran, nyatalah) ada di antara      kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kafir derhaka      dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam      (dengan beriman dan taat), maka merkalah golongan yang bersungguh-sungguh      mencari dan menuruti jalan yang benar, adapun orang-orang yang menyeleweng      dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka      jahannam”.

·            Melahirkan ummah yang mempunayi halatuju dan matlamat hidup yang jelas.   Ummah yang memilki akidah  yang jitu dapat memahami dengan jelas akan halatuju kehidupan mereka sama ada untuk kepentingan dunia dan juga akhirat.  Mereka mempunyai kesedaran bahawa tujuan mereka diciptakan adalah semata-mata untuk mengabdi diri kepada Allah dalam sgenap aspek kehidupan mereka.  Justeru itu, semua tindakan, perbuatan dan apa jua kerjaya  serta profesion yang mereka ceburi adalah selari dengan matlamat penciptaan mereka.  Ini adalah selari dengan firman Allah yang bermaksud;

            “Katakanlah sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku matiku, hanya             untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam.”
                                                                                                            (al-An’am:162)

         Natijahnya, kehidupan ummah yang berakidah ini akan terbina di atas asas yang          kukuh dan kehidupan mereka akan diwarnai oleh segala kebahagiaan, ketenangan dan          kedaiamian di dunia dan diakhirat.  Mereka sama sekali tidak sanggup untuk          melakukan sebrang penyelewenagn, penipuan, penyalahgunaan kuasa, mengambil          rasuah, politik wang dan sebagai kerana mereka mneyedari balasan siksaan Allah.

·               Melahirkan ummah yang memiliki keperibadian yang unggul.  Ummah yang yang berakhlak adalah manifestasi dari ummah yang berakhlak. Tanpa akidah tidak mungkin ummah akan memiliki akhlak yang mulia.  Permasalahan yang wujukk sejah mutakir ini  merupakan jawapan yang paling jelas bahawa dunia hari ni sedang menghadapi penyakit moral dan akhlak yang amat kronik.  Jestru itu akidah meminkan peranan penting dalam pembentukan sahsuah rupadiri ummah pada masa kini.  Ramai sarjana muslim memperakui bahawa akidah merupakan pemangkin kepada pembinaan peribadi mulia.

Situasi ummah mutakhir ini diakui dengan jelas oleh tokoh pemikir Islam yang terkenal di abad ini iaitu Dr. Yusof al-Qardhawi.  Menurut beliau, kegagalan terakhir yang dideritai oleh umat ini adalah kegagalan dalam pendidikan keimanan dan pendidikan akhlak sehingga muncul ditengah-tengah ummah tindakan-tindakan yang menyimpang dari nilai-nilai yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik.  Falsafah-falsafah Barat seperti pragmatism, hedonism, individualism dan sebagainya tersebar luas di kalangan umat Islam.  Perkara yang amat menyedihkan ialh umat Islam tidak mengambil nilai-nilai yang baik dari masayarakat Barat, tetapi sebaliknya mengambil nilai-nilai yang buruk daripada mereka khususu dalam perkara-perkara yang bersifat hedonistik dan perhambaan kepada nafsu syahwat.  Jika akhlak tidak ada kepada sesuatu bangsa, maka yang berkuasa ialah hawa nafsu dan kepentingan peribadi, maka kepimpinan ummah akan menjadi muflis  dalam segala ragam dan bentuk.  Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;

   “Kemudian mereka diganti oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan   sembahyang serat menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka        akan menghadapi azab (dalam neraka).”
                                                                                                               (Maryam:59)

·               Melahirkan ummah yang berfikiran kritis, progresif dan dinamis.  Ummah yang berakidah memiliki daya kekuatan untuk memehami sesuatu isu dalam masyarakat dengan membuat penilain secra kritis di antara kebenaran dan kepalsuan.  Jestru itu pemikiran mereka tidak mudah dipesongkan oleh sebrang unsur yang menyeleweng dari garis panduan Islam yang sebenarnya. Ummah yang berakidah juag akan bertindak secara progresif dan dinamis dengan melakukan penyelidikan secara terperinci terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat.  Al-Quran amat menekankan kepentingan menyelidiki sesuatu perkara sebelum membuat keputusan mengenainya terutama pada perkara yang melibatkan masyarakat dan kepentingan ummah.  Pastikan dahulu sumber maklumat yang diperolehi agar tidak berlaku tindakan yang boleh membawa penyeselan kemudiannya.  Firman Allah yang bermaksud;

            “Wahai orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang yang fasik
            membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan sesuatu perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”
                                                                                                                         (al-Hujurat:6).

·               Membangun ekonomi ummah secara komprehensif.  Dengan mematuhi ajaran islam dan mempunyai akidah yang mantap lagi jelas, maka ekonomi umat islam dapat dibangunkan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah dalam surah Hud ayat 61 yang bermaksud;

                        “Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka; Nabi Soleh. Ia                      berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada                                 Tuhan bagi kamu slain daripadaNya.  Dialah yang menajdikan kamu dari                                       bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

Maksud menjadikan kamu pemakmurnya ialah manusia diperintahkan supaya membangunkan dan memakmurkan bumi dengan sektor pertanian, perindustrian dan apa juga betuk yang boleh membawa kemakmuran,  manusia diminta membangunkan ekonomi, meningkatkan ilmu pengetahuan, meningkat kemakmuran dan memajukan pertanian.  Malah manusia diminta membuat peningkatan dalam semua lapangan kehidupan dengan syarat terus memelihara nilai-nilai ajaran islam.

·               Mewujudkan Kepimpinan yang adil.  Ummah yang berakidah ialah ummah yang memahami situasi diri mereka  yang sebenar sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan menjadi pemimpin yang menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan sebaik-baiknya.  Mereka percaya semua prilaku mereka akan dipersoalkan oleh Allah sepertimana firman-Nya yang bermaksud;

               “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas  daripada (balasan buruk bagi amal                   jahat) yang dikerjakan.”
                                                                                                    (al-Muddaththir:38)

Pengetahuan mengenai ayat ini secara tidak lansung akan menghindarkan diri seseorang pemimpin yang berakidah dari terjurunus ke kancah penyalahgunaan kuasa, gejala rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

7.    Kesimpulan

Akidah adalah tunggak ummah dalam menghadapi pelbagai masalah yang menimpa umat Islam di akhir zaman.  Tanpa pembinaan akidah yang mantap segala usaha yang dijalankan untuk mengislhakan ummah pada era mutakhir ini akan menghadapi kegagalan demi kegagalan dan seterusnya member ruang kepada musuh-musuh Islam mempengaruhi ummah dalam segala aspek kehidupan.




















Rujukan

Al-Quran dan Terjemahan (Tafsir Pmpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran .  Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (kini dikenali dengan JAKIM)

Abu A’la al-Maududi. 1977, Asas-Asas Islam, Terj. H.O.K. Rahmat, Dewan Pustaka Fajar

---------------------, 1984, Kebersihan Aqidah dan Kedamaian Hidup. Terj. Mustafa Ramadan, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam.

Che Hashim Mohd. Said “Akidah Teras Pembangunan Ummah”, kertas kerja Bengkel Pemntapan Pengajaran Kursus Prinsip Asas Islam (CTU 101). Pusat Islam, Shah Alam Selangor, 7-8 Disember 2005.

Dato’ Haji Muhammad Noor Haji Ibrahim, 1988, Mustika  Hadis Rasulullah S.A.W. Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur.

Haji Hassan Bin Haji Salleh, 1979, Dasar Hidup Islam.  Pustaka Aman  Press Sdn. Bhd. Kota Bharu.

Haron Din, Dr., 1981, Manusia dan Islam, Percetakaan Watan, Kuala Lumpur

Huzaimah Ismail dan Farahdina Abd. Manaf, 1977, Pendidikan Islam Asas, PPI, UiTM Shah Alam, Selangor.

Mohd. Asri Abdullah et.al, Prinsip-Prinsip Asas Islam- Islam dan Akidah, Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UItM , Shah Alam, Selangor.

Mohamad Sulaiman Haji Yasin, 1991, Pengantar Aqidah, Persatuan Mahasiswa Timur Tengah Malaysia.

Nik Mohd Rosdi dan Nik Kamaliah, 1993, Al-Islam, pustaka Amam Press Sdn. Bhd. Kota Bharu.

Sayid Sabiq, 1982, Aqidah Islam, Diponegoro, Bandung

Ustaz Che Kamaruddin dan Ustaz Nik Rosdi Nik Ahmad, 1991, Panduan Pembalajaran Pengantar Pendidikan Islam, Institut Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.





1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan, sy sangat tertarik dgn artikel tuan ini. Izikan saya copy utk bacaan ye

    ReplyDelete