Pages

Tuesday, June 12, 2012

Asas Islam 1


KONSEPSI ISLAM SEBAGAI
SUATU CARA HIDUP (AL-DIN)


  1. Pendahuluan
Persoalan agama telah menjadi tema perbincangan pelbagai pihak khususnya dari kalangan ahli sosiologi, antropologi dan sains untuk melihat asal usul agama, kandungannya dan keperluan manusia kepadanya. Mereka cuba mengkaji hakikat kejadian manusia dan apakah kesudahan bagi kehidupan manusia. Namun tidak dapat menemukan jawapan konkrit yang dapat dipertanggungjawabkan. Al-Quran sebagai wahyu Allah dan sumber utama Islam telah memberikan jawapan kepada semua persoalan tersebut dan telah menegaskan bahawa Islam adalah agama dari Allah dan agama yang benar untuk panduan hidup manusia.

  1. Manusia dan Agama
Manusia sering membuat kajian siapakah dirinya yang sebenar. Namun jawapannya tidak pernah memuaskan hati mereka sendiri kecuali jawapan itu datang dari pencipta manusia itu sendiri. Menurut Islam, manusia dijadikan Allah sebagai makhluk yang paling sempurna yang tiada tolok bandingnya dengan makhluk yang lain. Manusia berasal dari Nabi Adam a.s. sebagai manusia yang pertama dan diciptakan Allah dari unsur-unsur tanah. Kemudian Allah meniupkan roh ke tubuh Adam dan jadilah Adam sebagai makhluk yang mempunyai dan unsur iaitu roh dan jasad atau spiritual dan fizikal.

Proses kejadian manusia seterusnya bermula dengan proses yang berperingkat-peringkat; air mani (nutfah), segumpal darah (alaqah), segumpal darah yang sempurna (mudghah), tulang dan daging. Kejadian Adam daripada tanah disempurnakan apabila Allah meniupkan padanya roh yang membolehkan Adam bernafas dan hidup. Bentuk manusia yang sempurna dan indah dari segi fizikal dan spiritual ini adalah kejadian makhluk yang tiada tandingannya jika dibandingkan dengan kejadian makhluk-makhluk yang lain sehingga pada suatu keadaan ia mengundang perasaan dengki iblis dan dendamnya untuk memusnahkan anak cucu Adam a.s.

Walaupun manusia dianugerahi Allah akal namun akal mempunyai kelemahan iaitu kemampuan yang terbatas dan relatif, tidak dapat membezakan perkara (nilai) baik dan buruk dengan tepat, mudah terpengaruh dengan godaan hawa nafsu mementingkan diri sendiri, tidak mampu mengetahui secara tepat tentang masa depan. Kedudukannya sebagai hamba Allah iaitu makhluk yang dicipta Allah membawa pengertian bahawa manusia perlu patuh, taat dan menyerah diri kepada Allah sebagai penciptanya secara total dalam kehidupannya. Inilah yang dinamakan konsep manusia sebagai khalifah di muka bumi. Ia mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan dibekalkan dengan segala persediaan yang rapi.

Agama dapat menyelamatkan manusia dari kelemahan manusia ini dan berupaya menjadikan manusia yang baiki keperibadiannya Agama dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan kerana akal manusia dan pengalamannya yang terbatas. Tidak dapat memahami hakikat Tuhan, perkara alam ghaib dan sebagainya. Beragama merupakan fitrah manusia dan menjadi salah satu daripada ciri-ciri ketamadunan manusia. Fitrah beragama mendorong manusia melakukan sesuatu yang mulia dan meninggalkan sesuatu yang buruk sesuai dengan kehendak kepercayaan beragamanya. Agama sebagai manusia meletakkan pengharapan dari hambatan cabaran hidup dan manusia mencari panduan untuk kehidupan. Manusia dalam perjalanan hidupnya ingin mencari Tuhannya dan menuju kembali kepada ketuhanan iaitu agama. Fitrah ini wujud dalam diri manusia secara tetap. Maksud firman Allah;
“Sekiranya kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Tentu mereka akan mengatakan; Allah”. (Luqman: 25)

Dalam perjalanan hidup dunia ada manusia yang terlupa akan fitrah ini tetapi ia akan muncul kembali ketika mana manusia terbelenggu dengan kehidupan yang penuh dengan kesukaran, kesedihan, malapetaka dan sebagainya. Ketika ini manusia secara spontan akan menyebut tentang Tuhan dan agama lantas memohon bantuan Tuhannya. Justeru itu manusia memerlukan agama kerana;
·         Agama merupakan fitrah manusia
·         Mengawal kemurnian kepercayaan
·         Keselamatan jiwa dan ketenteraman hidup
·         Kejahilan manusia untuk memahami hakikat kehidupan
·         Kelemahan akal manusia untuk mencipta panduan hidup
·         Membentuk masyarakat dan negara yang sistematik

Dalam hal ini, Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam memberi panduan kepada manusia untuk memenuhi fitrah hidupnya dengan panduan yang positif seperti cara berfikir, berpakaian, makan, minum, berkahwin, bersosial, berekonomi dan bernegara. Agama merupakan unsur yang mampu menyempurnakan kehidupan manusia. Islam mengajarkan tentang kesedaran sejagat, perhubungan yang bermakna bagi hubungan sesama manusia dan hubungan hidup manusia dengan alam tabie yang luas. Sebab itu tafakur tentang alam tabie atau bahagian-bahagiannya kerap dianjurkan oleh al-Quran.
”Tidakkah mereka memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan? Dan langit bagaimana ia dihamparkan?”. (al-Ghasiyah: 17-20)

2.1 Definasi Agama
Menurut Kamus Dewan, agama ialah kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya. Perkataan agama berasal dari bahasa sanskrit. Dalam bahasa Inggeris disebut religion. Perkataan agama selalu digunakan sebagai menggambarkan hubungan manusia dan Tuhan dalam bentuk kepercayaan dan amalan khas yang tertentu.

  1. Definasi al-Din
Al-Din ialah sistem hidup atau cara hidup Islam merupakan sistem hidup yang benar dijadikan Allah untuk panduan hidup manusia bagi membantu mereka untuk mendapatkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Skop al-Din lebih luas dari skop agama kerana ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia; spiritual dan material, dunia dan akhirat, individu dan masyarakat.

Islam sebagai al-Din bermaksud tiada pertentangan atau pemisahan di antara Islam dengan seluruh aspek kehidupan manusia. Ia adalah sistem hidup yang sempurna kerana dicipta oleh Allah Yang Maha Sempurna. Islam sebagai al-Din ialah agama yang benar yang menyelamatkan manusia, kerana perkara-perkara berikut;
·         Islam memberikan kepada manusia huraian tentang perhubungan yang tepat antara manusia, Tuhan dan alam semesta.
·         Islam memberikan manusia kaedah perlaksanaan tugas rohaniah demi untuk menjadikannya berjaya sebagai makhluk rohaniah serta hubungannya dengan Tuhan yang menjadikannya. Kebahagiaan hidupnya terletak pada perlaksanaan tugas rohaniah yang murni.
·         Islam dan budayanya membantu manusia dalam menentukan keutamaan dalam dirinya dan dalam kehidupannya. Inilah yang menjayakan kejayaan dalam diri dan masyarakat serta peradaban yang didokongnya.
·         Islam dan budayanya memberikan manusia aturan-aturan kehidupan yang lengkap dari masalah yang paling kecil hingga kepada masalah yang paling besar melalui sistem syariat yang puncanya adalah transenden (melangkaui), berbeza dari undang-undang ciptaan manusia yang tidak boleh mencapai penghormatan sebagaimana yang diperolehi oleh Islam yang transenden.

Islam bukan agama yang keluar dari kekosongan. Ia keluar dari mata air yang bersih. Mata air itu adalah masyarakat Islam itu sendiri yang individu di dalamnya melaksanakan kehidupan secara islami. Antara perkara penting yang perlu dilakukan sekarang ialah semua orang Islam menyedari kedudukan tradisi Islam mereka sendiri serta ciri-cirinya dan kepentingan untuk mereka beriltizam dengan Islam.

  1. Definasi Islam
        Bahasa
Dari segi bahasa Islam berasal dari perkataan Salam yang bererti damai, suci, sejahtera dan menyerah.

        Istilah
Dari segi istilah syarak, Islam ialah kepatuhan terhadap kehendak Allah, mentauhidkan-Nya dan patuh taat terhadap peraturan dan ajaran-Nya. Peraturan dan ajaran Allah ini adalah bermanfaat dan menjadi penyelamat kepada manusia. Islam datang dari Allah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nama Islam sendiri diberi oleh Allah.
”Sesungguhnya al-Din di sisi Allah ialah Islam”. (Ali Imran: 19)
“Pada hari ini Aku telah menyempurnakan ke atas kamu nikmat-Ku dan Aku redhakan untuk kamu Islam sebagai al-Din”. (al-Maidah: 3)

Islam tidak dicipta oleh Nabi Muhammad sebagaimana tohmahan segelintir orientalis menggelar penganut Islam sebagai Muhammedan dan Islam sebagai Muhammedanisme iaitu ajaran Nabi Muhammad. Oleh itu Islam bukan berasal dari nama seorang tokoh seperti agama Buddha dari Siddartha Gautama Buddha dan agama Kristian dari tokoh bernama Jesus Christ ataupun sempena nama tempat yang suci seperti agama Hindu dari nama Lembah Indus ataupun nama suatu bangsa seperti agama Yahudi.

  1. Skop Ajaran Islam
Islam sebagai al-Din merangkumi dua dimensi utama iaitu; hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan kehidupan dunia. Dua dimensi ini saling berkaitan, sepadu dan harmonis dalam Sistem Asas Islam dan Sistem Hidup Islam. Dengan pengertian apabila seseorang melaksanakan konsep akidah Islam dalam masa yang sama ia terkesan juga dalam bidang ekonomi, politik dan sosial iaitu satu kesedaran bahawa Allah menyediakan metod kehidupan dan sentiasa memerhati bagaimana manusia melaksanakan kehidupannya sama ada betul atau pun salah. Oleh yang demikian jangkauan skop ajaran Islam adalah seluas aspek kehidupan  manusia  itu sendiri.

        Sistem Asas Islam
  1. Akidah
Merupakan kepercayaan yang tersimpul kukuh dalam jiwa mengenai hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, tetap, pasti dan suci. Ia berteraskan akal dan perasaan yang berpandukan wahyu. Ia bertunjangkan keimanan kepada Allah Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Akidah mendorong manusia bertindak selaras dengan kepercayaannya sebagai motivasi dalam kehidupan. Akidah menjadikan manusia bersifat takwa, ikhlas dan ihsan. Ia merupakan ikatan kukuh antara manusia dan Allah. Fokus utama akidah ialah kepercayaan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Akhirat serta Qada’ dan Qadar.

  1. Syariah
Merupakan panduan, peraturan, sistem, hukum yang ditetapkan Allah untuk mengatur kehidupan manusia secara individu, seperti; bersuci (Toharah), sembahyang, puasa, zakat dan haji; meliputi juga urusan individu yang berkaitan dengan masyarakat seperti; perkahwinan (Munakahat), pewarisan (Warathah); dan juga urusan kenegaraan seperti; perniagaan, pemerintahan, jenayah, persoalan antarabangsa dan sebagainya.

Syariah memberi panduan kepada tingkahlaku perbuatan manusia berupa kaedah ibadah khusus dan juga ibadah umum sebagai latihan jasmani dan rohani manusia supaya dapat memakmurkan dunia ini dengan kebijaksanaan dan kebaikan. Syariah juga menetapkan sesuatu perkara itu sebagai wajib, sunat, batal, haram, halal, makruh dan harus.

  1. Akhlak
Islam menawarkan sistem akhlak yang lengkap yang menyusun tingkahlaku manusia dari segi zahir dan batin. Akhlak ialah sifat yang tertanam dalam jiwa melahirkan tingkahlaku perbuatan manusia secara spontan. Islam mengajarkan tentang kebaikan akhlak dan menjauhi akhlak yang buruk. Akhlak menentukan watak manusia sama ada baik atau pun jahat. Watak manusia bakal mewarnai kehidupan dunia sama ada bahagia ataupun derita. Tujuan perutusan Rasulullah juga adalah untuk kesempurnaan akhlak yang baik bagi manusia. Semua aspek kehidupan manusia mempunyai panduan akhlak. Manusia yang tidak berakhlak baik bakal menjerumuskan kehidupan kepada persengketaan, ketegangan fikiran dan kehancuran. Akhlak dalam Islam merangkumi pelbagai dimensi seperti;
·         Perkara berkaitan dengan individu.
Rohani atau jiwa ada perasaan dan potensinya. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”.

Jasmani ada keperluan yang perlu dipenuhi. Maksud firman Allah;
”Makan dan minumlah kamu, tetapi jangan berlebih-lebihan”.(al-A’raf: 31)

Akal ada bakat dan lapangannya yang istimewa. Maksud firman Allah;
”Katakanlah: Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepada kamu satu perkara sahaja iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau bersendirian kemudian kam fikirkan”. (Saba’: 46)

·         Perkara berkaitan dengan keluarga
Perhubungan suami isteri atas dasar saling hormat-menghormati, kasih-sayang, bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing. Maksud firman Allah;
”Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka (maka bersabarlah) kerana mngkin kamu tidak menyukai sesuatu. Padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”. (al-Nisa’: 19)

Perhubungan anak dan ibu bapa. Anak dilarang dari menyakiti dan menyusahkan ibubapa. Ibu bapa dikehendaki memberi nafkah, menjaga kebajikan dan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka.
”Kami perintahkan manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya”. (al-Ahqaf: 15)

Perhubungan antara kaum kerabat dan sanak saudara dengan penuh kebaikan atas perasaan ambil berat dan tanggungjawab. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebajikan dan membantu kaum kerabat”. (al-Nahl: 90)
         
·         Perkara berkaitan dengan masyarakat
Adab sopan dalam pergaulan. Menghormati antara satu sama lain. Maksud firman Allah;
”Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, agar kamu selalu beringat”. (al-Nur: 27)

Amanah dalam kegiatan ekonomi. Saling bekerjasama untuk memenuhi segala keperluan antara satu sama lain lebih utama dari meraih keuntungan. Maksud firman Allah;
”Kecelakaan besarlah bagi orang yang curang iaitu mereka yang apabila menerima tukaran dari orang lain, mereka meminta dipenuhi. Dan apabila mereka menukar atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi”. (al-Muthaffifin: 1-3)

Adil dalam politik dan pemerintahan. Kehidupan rakyat akan lebih terjamin dan harmonis jika pemerintah amanah dan bertanggungjawab. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukuman di antara manusia supaya menetapkannya dengan adil”. (al-Nisa: 58)

·         Perkara berkaitan dengan makhluk yang tidak berakal
Hendaklah melakukan kebaikan. Maksud firman Allah;
”Peliharalah dirimu dari siksa Allah yang berkenaan dengan binatang-binatang yang tidak boleh bercakap. Tunggangilah ia dengan cara yang baik dan makanlah ia dengan cara yang baik”. (Hadith)

·         Perkara berkaitan dengan alam raya
Tafakur mencari kebenaran. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal iaitu orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk serta dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata; Wahai Tuhan kami! Tidak Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau”. (Ali Imran: 190-191).

        Sistem Hidup Islam
  1. Politik
Politik atau al-siyasah bermaksud kewajipan menanggani sesuatu yang mendatangkan permasalahan. Ahli politik ialah orang yang menyelesaikan sesuatu masalah. Politik adalah perkara asas dalam pengurusan dan pentadbiran negara. Ia adalah perjuangan untuk mendapatkan dan melaksanakan pemerintahan. Matlamat politik Islam ialah menyebarkan amanah, kebaikan, keadilan, keamanan, akhlak, kebebasan, musyawarah, tanggungjawab dan kebajikan serta menghapuskan kejahatan dan kemungkaran.

Politik dalam Islam berpaksikan tauhid, risalah dan khilafah. Tauhid dalam politik ertinya Allah adalah pemilik kedaulatan di alam ini termasuklah manusia dan sistem politiknya. Risalah politik ertinya perlaksanaan sistem politik mesti selari dengan ajaran yang disampaikan oleh rasulullah dari al-Quran dan al-Sunnah. Manakala Khilafah politik ialah manusia sebagai khalifah bertindak mewakili Allah dalam urusan politiknya. Oleh itu ia tidak bebas bertindak kecuali mengikut kehendak Allah.  Politik, pemerintahan dan pentadbiran tidak boleh dipisahkan dari Islam kerana Islam telah memberikan panduan lengkap mengenainya. Pemisahan politik dari Islam boleh membawa kepada berlakunya perkara-perkara larangan Islam seperti ketidakadilan, rasuah, pecah amanah, penipuan, pembaziran, salahguna kuasa, kezaliman, permusuhan dan sebagainya.

Politik Islam terbuka kepada ijtihad selaras dengan perkembangan masyarakat yang sentiasa berubah dalam setiap bidang. Nabi Muhammad s.a.w. menyusun pentadbiran negara melalui Sahifah Madinah iaitu perlembagaan bertulis yang pertama di dunia bagi mengatur hubungan muhajirin-ansar dan tanggungjawab kepada negara bagi orang yahudi dan nasrani.

  1. Ekonomi
Ekonomi adalah ilmu yang mengkaji kegiatan manusia selaras dengan tuntutan syariah sama ada dalam aspek pengeluaran, pemasaran, penggunaan ataupun pengurusan sumber untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara dari segi rohani dan jasmani bagi memperoleh keredhaan Allah. Ekonomi merupakan antara aspek terpenting Cara Hidup Islam kerana ia memperlihatkan keadilan dan memberi kebahagiaan kepada hidup manusia. Islam mengajar manusia bahawa sistem ekonomi mesti diasaskan kepada prinsip kebenaran, keadilan dan amanah dengan galakkan untuk usaha-usaha mencari rezeki kehidupan di semua penjuru dunia.

Ekonomi juga adalah prasyarat pembinaan sesuatu tamadun yang utuh. Ciri-ciri Ekonomi dalam Islam ialah; tidak bercanggah dengan prinsip dan syariat Islam. Penipuan, penyelewengan, perjudian, riba dan rasuah ditegah. Barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan hendaklah halal, bersih, suci dan berguna serta tidak membahayakan. Ekonomi Islam menggalakkan berjimat cermat dan larangan pembaziran, pemborosan, menunjuk kemewahan dan bakhil. Penggunaan sumber ekonomi hendaklah mengikut etika dan ketentuan syariat. Bukan mengikut kehendak nafsu manusia. Islam membenarkan persaingan ekonomi selama mana ia bersifat terbuka dan adil untuk semua yang terbabit dalam ekonomi di samping menuntut mereka saling tolong menolong dan berakhlak dalam aktiviti itu.

Ekonomi dalam Islam juga mengajarkan tentang tanggungjawab peserta ekonomi kepada tanggungjawab agama, masyarakat dan negara melalui bayaran cukai, zakat dan sumbangan. Ia juga sebagai jaminan sosial kepada ahli masyarakat yang tidak berupaya untuk terlibat aktif dalam bidang ekonomi. Unsur-unsur yang haram dalam aktiviti ekonomi seperti yang melibatkan arak, judi, pelacuran, riba, penipuan dan sebagainya yang memudaratkan semua pihak diberi perhatian berat.

  1. Sosial
Fokus utama ajaran Islam dalam sosial ialah membentuk masyarakat maju, berjaya dan bahagia. Islam memberi fokus kepada manusia dengan ketetapan bahawa asal usul manusia adalah sama iaitu Adam dan Hawa. Islam menghormati hak-hak kemanusiaan dengan mengiktiraf perbezaan geografi, bangsa dan agama. Manusia perlu hidup bekerjasama dan bermasyarakat. Islam menganjurkan persaudaraan manusia sejagat melalui amalan akhlak. Manusia berkembang melalui institusi perkahwinan sehingga wujud berbagai bangsa, bahasa dan budaya. Individu membentuk masyarakat dan watak setiap individu menentukan kehidupan sosial. Islam memantapkan sistem kekeluargaan dengan peranan dan tanggungjawab suami-isteri dalam hubungan berbentuk kasih sayang dan belas kasihan.

Islam menolak assabiyah melampau yang tidak membawa kebaikan. Ajaran sosial Islam menekankan kebaikan, kebajikan, bantu membantu, jamin menjamin, silaturahim dan toleransi. Sistem perhambaan dihapuskan oleh ajaran sosial Islam. Islam menentang hubungan liar lelaki-perempuan kerana ia boleh menghancurkan tamadun manusia. Larangan menceroboh hak individu atau golongan lain. Islam mengambil berat hak keluarga, saudara mara, sahabat dan jiran. Sifat individualisme melampau dikecam dan Islam menggalakkan tanggungjawab bersama. Islam meninggikan penghormatan terhadap wanita serta kasih sayang terhadap kanak-kanak.

  1. Pengawalan Ajaran Islam
        Dakwah
Berasal dari perkataan Arab da’a yang bererti seruan. Dari segi istilah syarak, dakwah ertinya menyeru orang lain kepada kebaikan dan melarangnya dari melakukan kejahatan atau keburukan. Ini dapat difahami melalui ayat 24 surah al-Nahl iaitu;
“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan”.

Melaksanakan tuntutan dakwah adalah fardhu ain iaitu wajib ke atas setiap orang Islam menurut keupayaan masing-masing dan hukumnya menjadi fardhu kifayah bagi organisasi dakwah di kalangan umat Islam untuk menyediakan pendakwah yang mahir berdakwah dalam apa jua keadaan dan pada kumpulan sasaran yang berbeza. Mereka berdakwah kepada cara hidup Islam dalam kehidupan individu dam masyarakat. Dalam masa yang sama menangkis segala tohmahan buruk mengenai Islam.

        Jihad
Merupakan daya dinamik dalam Islam yang boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan umat Islam. Ia berasal dari perkataan Arab al-Jahdu yang membawa erti kekuatan, keupayaan, kesusahan dan keberatan. Dari segi syarak, jihad ialah setiap usaha yang memerlukan curahan daya dan tenaga kekuatan demi memartabatkan Islam, mendapatkan keampunan dan keredhaan Allah.

Oleh yang demikian tindakan setiap individu menggunakan segala idea, tindakan dan pendiriannya dengan menggunakan sumber material atau keupayaan yang dipunyainya dengan tujuan untuk pengamalan Cara Hidup Islam atau untuk meninggikan syiar Islam ataupun untuk menghalang serangan musuh dikategorikan sebagai jihad. Maksud firman Allah;
“Wahai orang yang beriman! Sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad ke jalan Allah dengan harta dan jiwam. Itulah yang lebih baik jika kamu mengetahuinya”. (al-Saff: 10-11)

Jihad adalah tuntutan Islam bagi menjamin kesejahteraan manusia. Ruang lingkup jihad adalah seluas Islam sebagai cara hidup. Malah ia bersesuaian dengan keupayaan dan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada setiap manusia.

Banyak jenis jihad yang boleh diceburi mengikut kemampuan dan situasi. Di antaranya ialah jihad hati, jihad lisan, jihad tulisan, jihad kekuasaan, jihad perang dan sebagainya. Seseorang yang tidak rela kemngkaran dan dosa yang berlaku tetapi ia tidak berkemampuan untuk menghalangnya dengan kekuatan atau kuasa dinamakan sebagai jihad hati. Dinamakan jihad lisan apabila mulut digunakan melalui ceramah, dialog, syarahan, pidato dan sebagainya. Jihad tulisan ialah menggunakan pena atau penulisan seperti melalui buku, jurnal, majalah, blog, surat khabar dan sebagainya untuk mempertahankan Cara Hidup Islam serta membongkar kepalsuan, kekeliruan dan penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Jihad harta ialah membelanjakan harta kepada sesuatu yang diredhai oleh Allah seperti memberi nafkah, sedekah, wakaf, hadiah dan sebagainya. Ini amat penting untuk menguatkan daya dalaman iaitu semangat persaudaraan sesama Islam dan keprihatinan sesama manusia jika ia ditimpa malapetaka. Bahkan jihad harta juga adalah penggerak dan prasyarat semua jenis jihad kerana jihad menjadi kurang sempurna tanpa sumbangan harta. Jihad perang merupakan usaha terakhir untuk mempertahankan Islam. Ia berlaku apabila tidak ada jalan lain lagi yang boleh digunakan terutamanya apabila musuh Islam bertindak lebih agresif menyerang Islam dan umatnya. Maka menjadi kewajipan bagi umat Islam mempertahankan diri dan agamanya.

  1. Sumber Ajaran Islam
        Al-Quran
Merupakan Kalamullah (wahyu Allah) yang diturunkan melalui Rasulullah s.a.w. sebagai petunjuk kepada manusia dalam bahasa Arab dan membacanya adalah ibadah, Ia bersifat mukjizat khas kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ajarannya bersifat universal untuk seluruh umat manusia. Kekal tidak berubah hingga Hari Kiamat kerana ia dijamin oleh Allah dan ajarannya bersifat fundamental iaitu hanya menyentuh perkara-perkara asas sahaja. Ia diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Al-Quran membicarakan prinsip-prinsip asas yang boleh membawa kemajuan kepada kebajikan manusia dalam semua bidang kehidupan. Ia bukan setakat menghuraikan kepentingan hubungan di antara manusia dengan Tuhan tetapi juga menjelaskan mengenai semua yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan sosial mereka. Maksud firman Allah;
Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini”. (al-An’am: 38)

Al-Quran memberi petunjuk, penjelasan dan peringatan. Ia mengandungi nilai, prinsip, hukum, nasihat, anjuran, pengajaran dan amaran. Mengandungi asas pelbagai ilmu seperti bahasa, sastera, sains, ekonomi, matematik, senibina, psikologi, perubatan, politik dan sebagainya. Kaedah al-Quran dalam menjelaskan hukum ialah secara menyeluruh (kulli) iaitu kaedah umum sebagai garis panduan kepada hukum-hukum yang terperinci, ringkas (ijmali) terutamanya dalam aspek ibadah dan terperinci (tafsili) seperti pembunuhan, harta pusaka dan mencuri.

        Al-Sunnah
Merupakan perkataan, perbuatan dan pengakuan Nabi Muhammad s.a.w. bagi mentafsirkan ajaran al-Quran dan perlaksanaan Islam sebagai cara hiduup. Sunnah Rasulullah adalah sumber yang berfungsi sebagai penguat, penyokong, pentafsir, penghurai hukum dan keterangan al-Quran. Metodologi al-Sunnah dalam menerangkan hukum dalam al-Quran ialah; menyokong dan menguatkan hukum yang telah dinyatakan dalam al-Quran seperti larangan menderhakai ibu bapa. Penerang, penjelas dan pentafsir ayat-ayat al-Quran seperti menghuraikan perkara yang disebut secara ringkas dan umum seperti kewajipan sembahyang dan cara bersembahyang, menentukan ayat-ayat yang mutlak atau mengkhususkan ayat yang umum seperti menerangkan hukum potong tangan pencuri, menyatakan hukum yang tidak dinyatakan dalam al-Quran seperti haram bagi lelaki memakai emas dan sutera serta haram memakan binatang liar yang bertaring.

Al-Sunnah merupakan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. Baginda diperintahkan Allah melalui al-Quran supaya menyelesaikan masalah-masalah manusia mengikut panduan wahyu. Al-Sunnah bersifat dinamik dengan menyediakan jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam kehidupan supaya manusia dapat hidup menurut cahaya Ilahi dan tidak tersesat dari kebenaran.

        Al-Ijmak dan al-Ijtihad
Al-Ijmak ialah keazaman dan persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. pada suatu masa tertentu selepas kewafatan baginda mengenai sesuatu hukum syarak. Ia muncul setelah menggunakan logik akal dengan berdasarkan ayat al-Quran dan al-Sunnah. Ia bersifat dinamik bagi menyelesaikan pelbagai keperluan semasa. Maksud hadith;
“Umatku tidak akan bersepakat dalam perkara salah”.

Al-Ijtihad ialah curahan daya pemikiran untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak atas penemuan baru dalam berbagai bidang yang tiada hukumnya secara jelas dari al-Quran dan al-Sunnah. Ia menggunakan nilai dan semangat ajaran Islam memberi kekuatan dan keluasan untuk kehidupan masa hadapan yang pantas berubah.

        Al-Qiyas
Menyamakan hukum sesuatu perkara yang tidak ada nas hukumnya dengan sesuatu perkara yang telah ada nas hukumnya kerana adanya persamaan illat (sebab) hukum antara kedua-duanya. Contohnya seperti menyamakan hukum menggunakan harta anak yatim untuk membeli pakaian dengan hukum memakan harta anak yatim  kerana persamaan kedua-duanya dari segi menghabiskan harta dan menzaliminya.
“Maka jadikanlah sesuatu itu pengajaran, wahai oran yang mempunyai pandangan”.
(al-Hasyr: 2)

Al-Quran dan al-Sunnah sebagai otoriti yang menentukan semua aspek kehidupan manusia dan bersifat muktamad. Perkara yang tidak disebut di dalam al-Quran akan diambil ketentuannya dari al-Sunnah. Apabila tidak didapati dari al-Sunnah baru digunakan ijtihad sendiri atau keputusan pemikiran mereka yang ahli dengan berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu; dengan mentaati syarat-syarat tertentu maka sesuatu keputusan itu dianggap keputusan yang boleh diakui dan bukan keputusan yang bersifat sebagai pendapat biasa sahaja. Oleh kerana sikap yang demikian, dalam tradisi Islam selain dari al-Quran dan al-Sunnah, pandangan dan penjelasan para ulama adalah sangat dihormati. Mereka dianggap sebagai pemimpin keagamaan yang mewakili para Nabi. Ini dijelaskan dalam sebuah hadith yang bermaksud;
“Ulama adalah pewaris para Anbia”. (Riwayat al-Bukhari)

  1. Keistimewaan Islam
        Rabbani/Ketuhanan
Islam bersumberkan wahyu Allah. Ketuhanan Ilahi dan tauhid bersepadu dalam kehidupan manusia. Allah memiliki sifat-sifat kesempurnaan yang mutlak dan mencipta Islam yang sempurna, sedangkan manusia banyak kelemahan dan kekurangan. Islam bebas daripada campurtangan manusia dalam menentukan perlaksanaannya sebagai suatu cara hidup untuk manusia. Ia terjelma dalam sastera, ilmu, pentadbiran, ekonomi, perubatan, sains dan sebagainya secara bersepadu.

        Syumul/Lengkap
Islam memberi panduan  kepada kehidupan manusia secara keseluruhannya dari aspek individu, masyarakat serta bernegara. Islam adalah agama yang lengkap kerana Islam tidak memisahkan kehidupan material dengan spiritual. Islam tidak menyeru kepada pengasingan dari kehidupan dunia seperti pertapaan tetapi Islam menyeru manusia memenuhi keperluan hidup secara bijaksana dan sederhana. Islam mengajarkan manusia supaya sentiasa menyucikan jiwa dengan amalan yang baik supaya dapat memperbaiki kehidupan material dengan cara-cara yang baik.. Islam menolak konsep pemisahan agama dari persoalan kehidupan kerana ia bakal menjerumuskan manusia kepada kejahatan kemanusiaan.

        Wasatiyah/Keseimbangan
Islam memberi keseimbangan antara tuntutan individu dan juga masyarakat. Manusia mempunyai hak-hak asasi yang perlu dihormati yang boleh membawa kejayaan kepada hidup individu. Dalam pada itu Islam meletakkan tanggungjawab sosial kepada individu supaya memelihara keseimbangan antara hak individu dan kehendak masyarakat supaya dapat mewujudkan kesejahteraan hidup. Ini boleh diperhatikan melalui amalan solat berjemaah, kewajipan berzakat dan berdakwah.

        Waqie/Realiti
Islam agama yang realiti mudah diamalkan konsep dan ajarannya. Ajaran Islam meliputi kepercayaan dan amalannya mudah difahami, mudah dan bebas dari sesuatu yang tidak dapat difahami oleh akal dan bebas dari tahyul. Tiada kepercayaan yang terlalu berliku-liku dan amalan beragama yang sukar. Semua orang boleh mempelajari al-Quran dan mengamalkan ajarannya tanpa diskriminasi. Islam mahu manusia menggunakan kemampuan kebijaksanaan akal untuk melihat Islam secara realiti sebagai suatu cara hidup. Kepercayaan mesti diamalkan dan bukan teori kosong yang bersifat utopia yang tidak mampu dilaksanakan dalam realiti kehidupan.

        Insaniyah/Kemanusiaan
Ajaran Islam bertujuan untuk membawa kebaikan dalam kehidupan semua peringkat manusia; kaya dan miskin, kanak-kanak dan dewasa, individu dan masyarakat dan sebagainya. Ia juga membantu manusia memenuhi seluruh keperluan hidupnya bagi memenuhi tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Manusia harus membantu memenuhi keperluan hidup antara satu sama lain dan bekerjasama. Ajaran Islam adalah untuk seluruh umat manusia tanpa mengira warna kulit, bahasa dan bangsa. Islam juga tidak melihat kepada status sosial dan rantau geografi manusia. Islam menyatukan semua umat manusia.

        Alami/Global
Islam adalah agama untuk seluruh alam. Ia tidak dibatasi oleh zaman tertentu ataupun generasi tertentu.Ia adalah rahmat dan petunjuk untuk seluruh alam. Islam tidak menganggap perbezaan darjat, pangkat, bangsa, warna kulit dan bahasa sebagai faktor perpecahan. Ia seharusnya diekspolitasi secara positif menjadi punca interaksi dan komunikasi antara sesama manusia. Islam meraikan perbezaan dari segala segi asalkan mengakui Islam sebagai agama. Masyarakat Islam terdiri dari pelbagai ras, bangsa, etnik, budaya, negara, bahasa dan warna kulit adalah sama jika mereka melaksanakan syariat Allah. Tidak ada kasta sosial dalam Islam kerana yang paling mulia ialah mereka yang melaksanakan perintah Allah dengan penuh ketakwaan. Islam mahu mengelakkan pertelagahan dan permusuhan antara manusia sebaliknya mahu kehidupan manusia yang lebih baik. Islam menolak gagasan nasionalisme sempit tetapi menyanjung toleransi. Gagasan nasionalime dari segi sejarahnya banyak membawa manusia kepada peperangan, kemusnahan dan prejudis yang tidak berkesudahan.

  1. Penyelewengan Dari Ajaran Islam
Masyarakat Islam perlu berhati-hati terhadap penyelewengan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam seperti sistem pemikiran Barat moden dalam berbagai bentuknya seperti komunisme, positivisme, liberalisme, humanisme, historisisme, saintisme, utilitarianisme dan sebagainya. Fahaman menyeleweng ini disebar melalui medium teknologi maklumat dan komunikasi.

Masyarakat Islam juga perlu menggelak diri dari terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat yang bertopengkan dakwah, tarikat dan sebagainya dengan memperkenalkan amalan-amalan yang pelik, berahsia dan dijanjikan masuk syurga dengan cara yang mudah ataupun perlu taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ketua kumpulan tersebut. Ajaran sesat ini mudah tersebar kerana kejahilan masyarakat Islam mengenai Islam yang menjadi anutannya.

  1. Kesimpulan
Islam merupakan al-Din yang benar, lengkap, seimbang dan harmonis yang mampu memberi panduan kepada semua persoalan dalam kehidupan manusia. Ia telah berjaya melalui satu sejarah kemanusiaan yang panjang, menempuh pelbagai fitnah dan tribulasi dari zaman Adam a.s. sehingga ke saat ini. Daya tahan Islam ini telah membuktikan kebenaran sifatnya sebagai al-Din. Walau bagaimanapun terdapat segelintir manusia yang terpesona dengan permainan dunia seperti pangkat harta, nama dan mengikut runtunan hawa nafsu seperti tamak, dengki dan sombong tidak dapat melihat keunggulan Islam sebagai cara hidup yang sebenarnya.



Rujukan

Abdalati, Hammudah. 1982. Islam Dalam Sorotan (Islam In Focus). Terj. Anshari Thayib. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Abdullah, Abdul Rahman. 1999. A Glimpse at the Beuty of Islam. ed. Riyadh: Darussalam Publishers and Distributors.

Abu’Urwah. 1989. Sistem-Sistem Islam. Shah Alam: Pustaka Salam.

Ahmad, Khursid. 1983. Islam: Its Meaning and Message. London: Islam Council of Europe.

Al-Mawdudi, Abu al-A’la. 1975. Prinsip-Prinsip Islam. Terj. Abdullah Shaili. Bandung: P.T. al-Ma’arif.

Al-Qardhawi, Yusuf. 1977. al-Khasa’is al-‘Ammah Li al-Islam. Kaherah: Maktabah Wahbah.

Bey Ariffin. 1977. Kami Pilih Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Emerick, Yahiya J. 2002. The Complete Idiot’s Guide To Understanding Islam. United States: A Pearson Education Company.

Esposito, John. L. 2002. What Everyone Needs To Know About Islam. New York: Oxford University Press.

Haron Din, Dato’ Dr. 2007. ISLAM: Ada Apa Dengan Islam. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Md. Akhir Hj Yaacob. 1986. Jihad: Kaedah dan Pelaksanaannya. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

Mohd Sulaiman Haji Yasin. 1984. Pengantar Aqidah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mutahhari, Murtadha. 1984. Perspektif al-Quran Tentang Manusia dan Agama. Bandung: Pustaka Mizan.

‘Ulwan, Abdullah Naseh. 1988. Ciri-Ciri Da’wah Islamiyah. Terj. Hj. Mohd Tahir Daeng Mengati. Kuala Kangsar: Pustaka Ikhwan.

Wan Hussein Azmi. 1988. Panduan Da’wah Islamiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Watt, W. Montgomery. 1979. What Is Islam. 2nd Edition. London and New York: Longman.

Zaidan, Abdul Karim. 1980. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah. Terj. HM Asywady Syukur LC. Jakarta: Penerbit Media Dakwah.


1 comment: