Pages

Tuesday, June 12, 2012

Tamadun Islam 1


KONSEP TAMADUN


1.   Konsep Tamadun
1.1 Definisi Tamadun Menurut Bahasa dan Istilah
Mengikut Kamus Dewan, perkataan tamadun bererti kebudayaan, peradaban dan kemajuan. Kemajuan meliputi dari sudut rohani (spiritual) dan jasmani (fizikal) sesuatu bangsa atau masyarakat. Pengertian ini menepati makna tamadun dari kacamata Islam.

Dalam bahasa Melayu/Indonesia perkataan peradaban adalah sinonim dengan tamadun. Beradab bererti bersopan, terhormat, hidup diatur oleh hukum, mempunyai tingkat kebudayaan (cara hidup) yang lebih tinggi daripada orang lain (biadab). Dari segi penggunaan, istilah tamadun lebih menyeluruh daripada istilah peradaban.

Dalam bahasa Inggeris pula perkataan yang sama pengertiannya dengan tamadun ialah ”civilization”. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin iaitu ”civitas” yang membawa maksud kota atau city dalam bahasa Inggeris.  Penggunaan perkatan ini mula digunakan dan terjelma dalam buku-buku Inggeris pada kurun ke-19 Masihi.

Dalam bahasa Arab terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam membicarakan konsep tamadun iaitu istilah ”umran”, ”hadarah”, ”madaniah” dan ”tamadun”. Sejarawan Muslim pertama menulis tentang tamadun ialah Ibn khaldun yang merupakan seorang pakar ilmu kemasyarakatan Islam yang ulung. Perbincangannya tentang tamadun terkandung dalam bukunya yang bertajuk “Al-Muqaddimah li Kitab al-Ibar”. Beliau menggunakan istilah “umran” bagi menerangkan sifat-sifat tamadun. Prof Franz Rosenthal (seorang sarjana Barat) menterjemahkan istilah “umran” sebagai perbandaran (urbanization) dan tamadun (civilization). Jesteru itu apa yang dikatakan “umran” dalam kurun ke-14 adalah sama dengan pengertian tamadun dalam kurun ke-20.

Dari segi bahasa istilah “umran” adalah kata terbitan dari perkataan “amara” yang  bererti sebagai kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju, yang berlawanan dengan kawasan kering, tandus atau terbiar dan binasa. Dengan pengertian lain “umran” menyatakan penghidupan menetap yang menjadi asas kepada semua tamadun. Untuk menjelaskan lagi konsep Umran Ibn Khaldun telah meletakkan beberapa ciri bagi “umran” iaitu seperti mempunyai;
*           Pegangan agama yang kuat
*           Sistem kenegaraan yang tersusun rapi
*           Kehidupan cara bandar
*           Pencapaian kaedah penulisan yang tinggi
*           Kepakaran dalam bidang senilukis dan senireka.

Jelas di sini bahawa konsep “umran” yang diutarakan oleh Ibn Khaldun merangkumi semua aspek kemajuan dalam masyarakat. Ibn Khaldun turut menggunakan istilah “hadharah” dengan diberi pengertian yang sama dengan “umran” (kehidupan yang menetap). Dari segi bahasa “hadharah” bermaksud “satu wilayah, daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan yang berlawanan dengan perkataan “badwi” atau “badawah”.

Istilah ”hadarah” ini turut digunakan oleh Malik Bennabi (seorang pemikir Islam dari Algeria). Menurut beliau istilah hadarah bermakna “berada di tahap maju”.  Lawannya ialah “badawah” yang selalu difahami sebagai hidup ditepi-tepi bukit (jauh dari kemajuan). Kehidupan “badawah” lebih banyak bersandarkan kepada pertanian dan ternakan untuk memenuhi keperluan hidup, sedangkan kehidupan hadarah lebih banyak bersandarkan perindustrian dan perniagaan.

Menurut Malik Bennabi terdapat dua pengertian yang khusus bagi istilah “hadharah” iaitu:
i.    Pengertian Objektif
            Iaitu satu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dalam sesebuah masyarakat.

ii.   Pengertian Yang Subjektif
            Ia menggambarkan suatu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas, atau digambarkan sebagai kehidupan yang dapat atau hampir dapat ideal. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan nilai-nilai yang dianuti.

Sehubungan dengan itu apa yang dikehendaki oleh Malik Bennabi ialah suatu kehidupan di mana manusia dapat mempergunakan unsur-unsur alam yang berbentuk material dengan sebaik mungkin untuk memudahkan kelangsungan hidup di dunia ini dengan mengambil nilai kerohanian sebagai dasar perjuangan. Beliau berpendapat sebarang bentuk tamadun yang tidak berasaskan kerohanian tidak akan berjaya serta tidak dapat bertahan lama.

Istilah ”madaniah” pula muncul pada abad ke 20 Masihi. Penulis-penulis seperti Muhammad Farid Wajdi dan Syeikh Muhammad Abduh telah menggunakan perkataan tersebut dengan meluas dalam tulisan-tulisan mereka. Istilah “madaniah” mempunyai perkaitan dengan tamadun atau kebudayaan bandar (city-based culture) kerana ia diambil dari perkataan Arab “madinah” atau “city” dari bahasa Latin. Pertalian di antara ”civitas”dan ”civilization” mempunyai banyak persamaan dengan perkataan ”madinah” dan ”madaniah”. Wujudnya perkaitan antara tamadun dengan bandar kerana bandar biasanya menginduki sesebuah tamadun.

Pada abad ke 20 Jurji Zaydan (penulis Arab Kristian) telah menggunakan perkataan tamadun dalam bukunya ”Tarikh al-Tamadun al-Islami”. Buku ini terkenal sebagai sebuah buku yang lengkap dalam memperkatakan tamadun Islam dan sejarah perkembangannya dan telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Dari segi bahasa, tamadun berasal dari perkataan ”madinah” yang membawa erti membina, mendirikan bandar, menaikan taraf ke tahap beradab, menghaluskan budi pekerti, menimbulkan sifat keinsanan sejati serta menjauhi sifat kebinatangan dan telah mencapai tahap kehalusan budi pekerti serta kebudayaan yang luhur.

Dr. Lutpi Ibrahim telah membuat rumusan terhadap penggunaan istilah di atas seperti berikut:
*     Al-Hadharah merupakan pencapaian dalam hal kerohanian seperti pemikiran dan sebagainya yang berdasarkan akidah, syariah dan akhlak.  Ini merupakan hubungan manusia demgan manusia yang bersumberkan wahyu.
*     Al-Madaniah merupakan pencapaian dari segi kebendaan seperti alat teknologi dalam pertanian, pengeluaran, pengangkutan, seni bina dan lain-lain lagi. Ia merupakan hubungan dengan alam sekitar yang bersifat kebendaan dan bersumberkan wahyu.
*     Tamadun merangkumi kedua-dua aspek yang tersebut di atas.

Kesimpulannya, pentakrifan tamadun iaitu satu bentuk pencapaian kehidupan manusia dalam aspek pemikiran, rohani dan jasmani. Ia meliputi kehidupan yang diatur oleh hukum dan mempunyai tingkat kebudayaan (cara hidup) yang tinggi.

1.2 Definasi Tamadun Islam
Pelbagai definasi tamadun yang telah diutarakan oleh sarjana dan para pengkaji tamadun Islam.  Di antaranya ialah:
Prof. Syed Naquib Al-Attas telah memberi satu takrifan mengenai tamadun Islam sebagai keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya.

Ibn Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebehi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni. Tamadun Islam ialah satu tamadun yang didirikan oleh masyarakat yang mengelarkan diri mereka Muslim.

Muhammad Asad mensifatkan tamadun Islam sebagai satu tamadun yang bersifat ideologi. Beliau menyatakan, tamadun kita adalah tamadun yang berideologi, al-Quran adalah sumber ideologi tersebut dan lebih dari itu sebagai justifikasinya yang unggul dan proses pembentukannya adalah berdasarkan syariah.

Al-Syahid Syed Qutb dalam bukunya ”Ma’alim fi at-Tariq” telah membicarakan tentang masyarakat Islam. Menurut beliau,, masyarakat Islam ialah masyarakat yang bertamadun. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang di dalamnya dilaksanakan Islam dari sudut akidah, ibadah, undang-undang, akhlak dan cara hidup.

Manakala Profesor Ismail al-Faruqi dalam kertas kerjanya yang bertajuk ”Islam: The Civilization Force”, menyatakan bahawa tauhid merupakan inti dasar kepada tamadun Islam kini merupakan idea yang bertemakan kenyataan yang menggambarkan peranan manusia masa kini dan masa lampau. Ilmu tauhid juga memberi gambaran dan membentuk cara berfikir dan tingkahlaku umat Islam ke jalan yang diredhai oleh Allah. Ilmu tauhid merupakan sumber penggerak yang penting dalam membentuk identiti dan kebudayaan dan tamadun Islam.

Jelaslah di sini menampakkan bahawa tamadun Islam itu merupakan sebuah tamadun yang bebas dari mana-mana pengaruh asing. Ia bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

1.3 Masyarakat yang bertamadun menurut Islam
Masyarakat bertamadun menurut Islam ialah masyarakat yang dibentuk berasaskan  Islam sebagai al-Din berteraskan kepada akidah, syariah dan akhlak.  Masyarakat yang benar-benar melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di bumi dan menumpukan sepenuh pengabdian kepada Allah s.w.t. Masyarakat yang menghayati syariah dan undang-undang dalam segenap kehidupan dan menolak undang-undang dan sistem selain undang-undang Allah. Membina kehidupan di atas nilai-nilai moral yang ditentukan Allah dan mengambil manfaat daripada peraturan alam dengan menggunakanya untuk memajukan kehidupan manusia.

Dalam menggambarkan masyarakat Islam yang bertamadun al--Syahid Syed Qutb dalam bukunya “Ma’alim fi at-Tariq” telah menjelaskan masyarakat Islam ialah masyarakat yang bertamadun iaitu masyarakat yang melaksanakan Islam dari sudut akidah, ibadah, undang-undang, akhlak dan cara hidup. Pembinaan masyarakat Islam yang pertama di Madinah oleh Rasulullah s.a.w. adalah sebagai penjelasan kepada maksud sebenarnya masyarakat yang bertamadun mengikut konteks Islam.

1.4 Asas-Asas Tamadun Islam
Tamadun Islam dibentuk daripada berbagai corak dan rupa itu mempunyai asas-asas yang kukuh.  Asas-asasnya adalah seperti berikut;
i.    Akidah
Akidah ialah kepercayaan seluruh jiwa raga terhadap keEsaan Allah, kudrat dan iradat-Nya, tiada yang disembah selain-Nya. Apabila seseorang itu sudah beriman dengan Allah maka ia wajib  mematuhi segala apa yang terkandung dalam lafaz syahadah. Keyakinan individu terhadap akidah atau konsep tauhid inilah menyebabkan ia sanggup mempertahankan kebenaran dan menumpaskan kebatilan dengan mengorbankan hartabenda juga jiwa raga semata-mata kerana Allah sebagai bukti ketakwaan. Contohnya seperti Abu Bakar As-Siddik, Bilal Bin al-Rabah dan lain-lain. 

Bertitiktolak daripada asas ini umat Islam telah bersatu dan berjaya membina tamadun yang tinggi bukan kerana mengejar harta kekayaan dan kesenangan hidup duniawai semata-mata atau kerana kepentingan golongan tertentu yang terdiri daripada pelbagai puak, bangsa dan keturunan. Tujuan utamanya ialah untuk menjalin hubungan di antara manusia dengan Tuhan, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam sekitar.

ii.   Syariah
Syariah merupakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia untuk membawa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Pengamalan syariah sesungguhnya mampu membentuk manusia berakhlak mulia dan manusia tersebut pula dapat melahirkan tamadun yang unggul berbanding dengan peradaban lain. Orang Islam yang mengamalkan syariah akan memenuhi tanggungjawab mereka terhadap sesama manusia, Tuhan dan makhluk-makhluk yang lain sebagai tanggungjawab khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh itu usaha ke arah kemajuan bukanlah melonggokkan alat-alat canggih, komputer, pesawat, nuklear dan sebagainya, kerana tamadun Islam tidak akan lahir daripada longgokan material sahaja tetapi ia lahir daripada dasar murni keagamaan yang bersepadu.

iii. Akhlak    
 Akhlak merupakan amalan mulia yang menjadi teras sesuatu umat. Ia merupakan kelakuan atau tingkahlaku dalam menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan  hubungan manusia dengan alam. Ia juga merupakan hasil tindakan yang lahir dari seseorang muslim yang berasaskan dari iman dan pelaksanaan undang-undang Allah melalui amalan. Dari akidah dan syariah akan lahir menifestasi tingkahlaku sebenar sifat-sifat muslim yang terpuji. Dari sini juga lahir Muslim sufi, zahid dan sebagainya dengan cara mempelajari dan mengamalkan ilmu tasawuf.

iv.  Ilmu Pengetahuan
Kegemilangan tamadun Islam silam ditempa di antara lain berdasarkan penghayatan budaya ilmu yang tinggi di kalangan masyarakatnya. Dalam al-Quran terdapat begitu banyak ayat-ayat tentang kepentingan ilmu pengetahuan menghendaki supaya manusia berfikir dan belajar.  Ini jelas daripada penurunan wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w. melalui surah al-Alaq ayat 1-5. Islam menjelaskan bahawa menuntut ilmu adalah satu proses seumur hidup yang berterusan mulai dari buaian hingga ke liang lahat. Islam telah menjelaskan kepentingan ilmu pengetahuan dalam proses pembinaan manusia dan ketamadunannya. Dengan ilmu manusia mengenal Allah, mengetahui kehidupan ini, mengetahui siapa dirinya serta alam sekitarnya. Dengan ilmu yang telah membawa umat Islam ke mercu kejayaan sebagaimana yang telah dicapai oleh umat Islam terdahulu. Meninjau kedudukan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat Islam kini amat mendukacitakan terutama dalam bidang sains dan teknologi. Seharusnya umat Islam berusaha menanganinya secepat mungkin demi menjaga maruah agama Islam di samping meletakkan umat Islam setara dengan bangsa-bangsa lain di zaman moden ini.

v.   Kekuatan Material
Pada  dasarnya  Islam  tidak  menolak  keduniaan,  malah  Islam  menggalakan  umatnya memanfaatkan dengan sewajarnya sebarang bentuk material baik  di langit mahupun di bumi. Menurut perspektif Islam, unsur material yang dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan sebaik-baiknya dan dijadikan modal dalam pembinaan tamadun. Kekuatan material ditanggapi masyarakat moden hari ini sebagai kekuatan ekonomi dari sudut kepesatan perindustrian, kecanggihan alat-alat persenjataan, penemuan-penemuan hasil kajian sains dan teknologi dan lain-lain. Sehubungan dengan itu, umat Islam hari ini harus peka dengan keperluan berkenaan dan bersedia menerima cabaran itu demi meningkatkan martabat umat Islam.  Material juga  perlu untuk kemajuan dan penyebaran agama serta untuk peningkatan taraf hidup manusia.

1.5 Sumber-Sumber Tamadun Islam
Di antara sumber-sumber tamadun Islam ialah:
i.          Al-Quran
ii.         Al-Sunnah
iii.        Al-Ijmak
iv.        Al-Ijtihad
v.         Tamadun yang lain.

i.    Al-Quran
Al-Quran merupakan sumber utama yang mengarahkan perjalanan tamadun sepanjang sejarah perkembangannya. Oleh itu pembangunan tamadun Islam mendapat hidayah daripada kitab al-Quran khususnya dalam memantapkan beberapa aspek nilai yang menjadi asas orientasi mukmin dalam merancang dan melaksanakan pembangunan tamadunnya.

Al-Quran adalah kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia. Di dalamnya terkandung risalah Islam yang merangkumi ilmu, hikmat dan petunjuk berkaitan dengan kepercayaaan, ibadat, kemasyarakatan, pentadbiran, hukum dan isi pengajaran yang berkaitan dengan hidup. Al-Quran juga merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad yang kekal sepanjang zaman. Al-Quran juga sebagai sumber pencetus kepada  kebanyakan bidang ilmu. Oleh itu adalah wajar dikatakan al-Qur’an adalah sumber inspirasi dalam membina tamadun Islam kerana pendorong dan penggerak utama orang Islam adalah al-Quran. Ahmad Shalaby menjelaskan ”al-Quran mengandungi asas-asas sistem yang kukuh teguh bagi agama dan dunia (tamadun). Andainya kita dapat mentafsirkan asas-asas ini dengan sebaik-baiknya nescaya bakal terbentuk suatu sistem yang sempurna dan sesuai untuk manusia seluruhnya di berbagai zaman dan tempat”.

ii.   Al-Sunnah
Al-Sunnah didefinisikan sebagai apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w. selain daripada al-Quran meliputi perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dijadikan dalil hukum. Dalam konteks tamadun Islam, al-Sunnah merupakan sumber yang kedua selepas al-Quran.  Al-Sunnah berfungsi sebagai penguat dan penyokong kepada hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran, penghurai dan pentafsir kepada ayat-ayat al-Quran dengan berbagai cara menjadikan keterangan tasyri’ iaitu menentukan sesuatu hukum yang tidak ada dalam al-Quran dan keterangan bagi nas. Al-Quran menyediakan panduan sedangkan al-Sunnah pula berperanan melaksanakannya.

Fungsi al-Sunnah boleh dikatakan sebagai penterjemah amali dan perincian kepada al-Quran. Kedua-dua sumber ini merupakan sumber inspirasi umat Islam untuk membentuk, membangun dan mengembangkan tamadun mereka.  Dari sinilah datangnya dorongan dan semangat mereka untuk menerokai alam kemajuan di segenap bidang. Segala kemajuan yang dicipta dikehendaki mengikuti lunas-lunas yang telah ditentukan oleh kedua-dua sumber ini.

iii. Ijma’
Ijma’ ialah kesepakatan seluruh ulama Islam pada suatu masa sesudah kewafatan Rasulullah terhadap sesuatu hukum syarak yang berlaku di atas sesuatu perkara yang berkaitan dengan al-Din. Ijma’ adalah hujjah atau dalil dalam pembinaan hukum. Malah ia merupakan asas yang ketiga dalam pembinaan hukum Islam. Kedudukan Ijma’ dari segi ketepatan hukum adalah sama seperti hukum-hukum yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.  Ini berdasarkan  kepada firman Allah yang bermaksud;
            ”Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan ulil amri di kalangan kamu....”. (Al-Nisa’: 59).

vi.  Ijtihad
Ijtihad  ialah pencurahan daya pemikiran secara bersungguh-sungguh dan habis-habisan untuk mendapatkan sesuatu hukum syarak mengenai sesuatu masalah yang tidak terdapat hukumnya secara qat’ie atau  secara putus dari al-Quran dan al-Sunnah. Ijtihad dilakukan dengan berpandukan kepada dasar-dasar umum dan roh yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam hal ini bukan semua orang boleh mengeluarkan hukum syarak. Di antara syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang mujtahid ialah orang yang benar-benar menguasai bahasa Arab dan ertikata yang sebenarnya memahami al-Quran dalam erti kata mengetahui ayat-ayat yang nasikh dan mansukh dan sebagainya. Memahami hadith dengan betul dan boleh meneliti dengan baik.  Mengetahui kaedah-kaedah mengambil hukum, mengetahui masalah-masalah yang telah diijmakkan dan berbagai-bagai lagi. Perlu diingatkan ijtihad hanya berlaku kepada perkara-perkara yang tidak qat’ie.

Berhubung dengan dalil kebenaran menggunakan ijtihad; Muaz Bin Jabal yang diutuskan oleh Rasulullah ke negeri Yaman. Baginda bertanya kepada Muaz apa yang beliau akan lakukan sekiranya dikemukakan sesuatu masalah? Jawab Muaz: ‘Dengan kitab Allah’. Tanya Nabi: ‘Jika tidak terdapat jawapannya dari kitab Allah?. Jawab Muaz: Sunnah Rasulullah’. Berkata Nabi: ‘Jika masih belum didapati jawapannya?. Jawab Muaz, ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku’.  Rasulullah gembira dengan pendapat Muaz itu.

v.   Tamadun Asing.
Islam tidak menolak segala hasil tamadun asing yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun selagi ianya tidak bercanggah dengan nilai Islam. Berdasarkan keistimewaan inilah tamadun Islam berkembang dengan cemerlang.

Sehubungan dengan ini Profesor Muhammad Qutb menjelaskan  bahawa Islam melindungi dan menyuburkan hasil-hasil tamadun yang dirintis oleh Greek, Romawi, Parsi dan negeri-negeri yang berada di bawah kekuasaannya selagi ia tidak bercanggah dengan konsep kepercayaan kepada Allah dan tidak menyelewengkan manusia dari tugasnya beribadat kepada-Nya. Begitu juga menurut beliau lagi, Islam tidak menentang perkembangan kemajuan dan tamadun lain selama ia mendatangkan kebaikan kepada manusia. Tamadun Islam tampil menentang tamadun-tamadun palsu dan akan berjuang sedaya upaya untuk melindungi umat manusia dari kemusnahan.

1.6 Prinsip-Prinsip tamadun Islam
i.          Memelihara jiwa dan nyawa
ii.         Memelihara akal
iii.        Memelihara maruah dan keturunan
vi.        Memelihara harta benda
v.         Memelihara hak dan kebebasan

1.7 Matlamat Tamadun Islam
Terdapat jurang perbezaan di antara matlamat tamadun Islam dengan matlamat tamadun moden khasnya Barat. Matlamat tamadun Barat hanya berkisar di sekitar melahirkan hubungan harmonis di antara manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar atas dasar perhubungan yang berbentuk material semata-mata tanpa mengambilkira aspek spritual (akidah dan akhlak).  Matlamat tamadun Islam ialah menjalinkan hubungan di antara manusia dengan Allah sebagai pencipta alam, di antara manusia sesama manusia dan di antara manusia dengan alam sekelilingnya. Oleh itu hubungan manusia dengan Allah adalah sebagai perkara utama yang perlu ditekankan dan sebagai landasan kepada manusia untuk menjalin hubungan sesama mereka dan menjalinkan hubungan dengan alam.

i.    Hubungan Di antara Manusia Dengan Allah
Hubungan manusia dengan Allah disebut sebagai ”hablum minnallah”.  Hubungan yang wujud itu meliputi hubungan fizikal dan metafizik, kebendaan dan kerohanian. Allah menjadikan manusia dengan tujuan untuk menghambakan diri kepada-Nya iaitu untuk beribadah kepada-Nya seperti yang diterangkan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
            “Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”
                                                                                                                        (al-Zariat: 56)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa hubungan di antara manusia dengan penciptanya adalah hubungan yang berterusan dan tidak putus-putus dalam kehidupan seseorang Muslim. Prinsip hubungan seorang hamba dengan Khaliknya mesti dijelmakan dalam setiap aspek  hidup sama ada hubungan itu berbentuk ibadah khusus mahupun ibadah umum. Ini akan dapat mewujudkan fenomena yang dikehendaki Islam iaitu manusia meletakkan Allah sebagai keutamaan yang teratas dalam setiap agenda. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
            “Tiga perkara apabila ada pada seseorang dapatlah dia merasakan kemanisan imannya;  Pertama, Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala yang lain. Kedua, dia tidak menyintai seseorang kecuali kerana Allah dan yang ktiga, dia benci kepada perbuatan kufur sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka”.

Hubungan yang erat di antara hamba dan pencipta pasti melahirkan jiwa yang bersih dan tenteram yang mampu memakmurkan alam ini dalam bentuk serta acuan yang dikehendaki oleh syariat di samping melaksanakan segala tuntutan ”amar makruf nahi mungkar” (seru kepada yang baik dan cegah dari keburukan) dalam segala agenda bertindak mereka.

ii.   Hubungan Sesama Manusia
Hubungan manusia sesama manusia dikenali sebagai ”hablum minannas”.  Manusia pada setiap masa perlu menghubungkan diri sesama manusia dalam segenap bidang kehidupan. Masyarakat Islam ialah sebuah masyarakat yang bersifat universal. Islam terbuka kepada seluruh umat manusia tanpa memandang kepada perbezaan jenis, warna kulit, bahasa, bangsa, adat resam serta tidak terbatas kepada lingkungan geografi. Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah saling kenal mengenal serta mengadakan hubungan yang baik sesama manusia dalam segenap lapangan hidup sama ada yang berupa peribadi atau kemasyarakatan. Perbezaan yang sedia ada seperti perbezaan warna kulit, kelainan keturunan, bahasa dan bangsa adalah menggambarkan kebesaran Allah serta sebagai satu rahmat kepada manusia. Ini juga dapat menyedarkan manusia bahawa mereka sebenarnya saling memerlukan di antara satu sama lain. Ini diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
            “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita, lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling takwa di antara kamu”. (al-Hujurat: 13)

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan sering berlaku dalam tamadun moden pada hari ini ialah isu kezaliman dan penganiayaan sesama manusia yang berlaku secara meluas. Nilai sebagai manusia tidak terjamin, kemanusiaan sudah luput lalu nilai-nilai kebinatangan yang menjadi pegangan orang yang tidak berakidah. Pada hari ini isu-isu perbezaan bangsa, warna kulit dan etnik menjadi penghalang besar kepada wujudnya kesatuan di kalangan manusia. Berbeza sekali dengan Islam yang menyeru kepada konsep persaudaraan sejagat. Keanggotaannya terbuka luas untuk semua umat manusia tanpa mengira darjat atau keturunan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud;
            “Tidak ada kelebihan seorang Arab ke atas seorang ‘ajam (bukan Arab) kecuali kerana takwanya”.

iii. Hubungan Manusia Dengan Alam
Manusia ditugaskan sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan alam ini. Segala kemakmuran dan kerosakan yang berlaku di alam ini akan dipersoalkan oleh Allah. Mereka sentiasa diperingatkan oleh Allah supaya tidak melakukan kerosakan dan kemusnahan seperti firman Allah yang bermaksud;
            “Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi ini”. (al-Baqarah: 11)

Mustafa Haji Daud  menjelaskan bahawa perundangan yang telah digubal oleh Allah dalam hubungan manusia dengan alam sekitarnya mempengaruhi atau memberi kesan kepada manusia dalam dua perkara iaitu;
a)   Supaya manusia sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah apabila ia dikurniakan pangkat, kebesaran dan harta kekayaan.
b)   Supaya semua dipergunakan sebaik mungkin bagi memperolehi keredhaan Allah.

Hubungan manusia dengan alam sejagat boleh dibahagikan kepada:
a)   Hubungan manusia dengan alam ”nabatat” iaitu alam tumbuh-tumbuhan adalah makhluk Allah yang perlu dipelihara dengan sebaiknya.
b)   hubungan manusia dengan alam ”jamadat” iaitu alam rijid seperti batu, tanah, gunung dan kayu
c)   Hubungan manusia dengan ”hayawaniyat” aitu alam haiwan juga perlu dijaga.

Manusia dituntut supaya mengasihani dan mempunyai perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama makhluk walaupun terhadap haiwan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
            “Sesiapa yang tidak mengasihani terhadap makhluk di bumi nescaya ia tidak akan dikasihani makhluk di langit

Sehubungan dengan itu manusia sebagai pembina tamadun harus merencana sesuatu perkara terlebih dahulu. Mereka harus mengambil kira kemakmuran dan keselesaan setiap makhluk yang ada di alam ini. Kerosakan dan kemusnahan yang berlaku ke atas makhluk bererti mereka melanggar perintah Allah dan akan menerima balasan. Kegagalan manusia memegang amanah Allah ini membawa kesan terhadap alam sekitar malah kehidupan mereka sendiri.  Segala kerosakan yang berlaku di alam ini adalah hasil daripada tindakan atau perlakuan manusia itu sendiri. Keadaan ini telah dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
            “Telah berlaku kerosakan di bumi dan di laut disebabkan oleh tangan-tangan manusia”.
                                                                                                                        (al-Rum: 41)
.
1.8  Ciri-Ciri Tamadun Islam
Terdapat beberapa ciri-ciri yang membantu untuk mencapai matlamat tamadun Islam di antaranya ialah;
a.   Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam.  Tulisan mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam dan seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan manusia. Contohnya Kebangkitan kecemerlangan tamadun Islam di Sepanyol (Andalusia) pada abad ke 8M adalah kerana pemimpin Islam pada ketika itu cintakan kepada ilmu pengetahuan.

b.   Kemunculan kota atau bandar bagi menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang datang untuk pelbagai aktiviti lain. Contoh pada peringakat awal Islam bandar Makkah dan Madinah sahaja yang ditadbirkan Islam, kemudian muncul pula bandar-bandar lain seperti di Afrika Utara, Afrika Tengah, Andalus dan lain-lain.

c.   Wujud ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam dan akhirnya turut sama-sama membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju.  Perbezaan peranan yang dimainkan melahirkan pembahagian kerja seterusnya wujud suatu bentuk ekonomi bandar. 

d.   Wujud bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan generasi berikutnya seperti istana, masjid dan monumen-monumen penting lain yang mempunyai ciri-ciri senibina tersendiri.

e.   Wujud negara Islam. Menurut sebahagian penulis-penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam. (keterangan lebih lanjut lihat  tamadun Islam dan Tamadun Alam Melayu oleh Wan Abdullah Wan Mahmood).

1.9 Ciri-Ciri Khusus Tamadun Islam
Ciri-ciri umum tamadun Islam pada dasarnya mempunyai persamaan dengan ciri-ciri tamadun Barat sebagaimana yang telah diperkatakan sebelum ini. Ciri-ciri khusus tamadun Islam terkandung dalam ciri-ciri keistimewaan tamadun Islam yang menggambarkan nilai sebenarnya ketamadunan Islam yang merupakan ciri-ciri yang membezakannya dengan tamadun yang lain. Di antara ciri-ciri tersebut ialah;
i)    Pegangan akidah
Tamadun Islam berbeza dengan tamadun lain, kerana tamadun Islam didasari oleh nilai-nilai ketuhanan dan keagamaan. Sumber matlamat dan tujuan kehidupan manusia adalah ditetapkan oleh Allah. Al-Quran sebagai kitab Allah yang terakhir diturunkan kepada manusia mengandungi segala nilai, dasar, prinsip serta hukum-hakam yang membimbing manusia untuk mencapai perkembangan dan kesempurnaan hidupnya. Ajaran-ajaran yang dibawa oleh al-Quran telah mewujudkan tamadun yang unggul yang dipersembahkan oleh Islam kepada kemanusiaan. 



ii)  Tidak dipengaruhi hawa nafsu
Tamadun yang berteraskan kepada ajaran Islam sebagai “al-Din” memiliki panduan yang asli dan menyeluruh sebagai panduan sepanjang hayat dan tidak dipengaruhi hawa nafsu dan pendangan individu. Perkara-perkara yang berkaitan dengan halal haram, baik buruk, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh semuanya jelas tertera di dalam kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya.  Panduannya bersifat kekal, sesiapa  sahaja yang melakukan kesalahan tetap akan diadili dengan panduan atau undang-undang yang sama-sama. Ini berbeza dengan perundangan manusia yang dicipta oleh satu kumpulan atau bangsa yang tidak terjamin dari dipengaruhi oleh dorongan hawa nafsu dalam mewujudkan undang-undang tersebut.

iii) Terbuka kepada semua tamadun
Tamadun Islam bersifat universal kerana al-Quran dan al-Sunnah adalah sumber utama kepada seluruh umat manusia. Ajarannya bersifat terbuka dan menerima semua tamadun atau kebudayaan asalkan tidak bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. Pada peringkat awal, Islam dibawa oleh bangsa Arab diketuai oleh Rasulullah s.a.w. seolah-olah bersifat tempatan, kesukuan seperti agama kristian dan Yahudi. Akan tetapi ajarannya berbeza kerana  Negara Islam tidak memperjuang hak bangsa Arab semata-mata malah bersifat universal.  Sikap Islam amat menghargai perkara yang berfaedah bagi kepentingan ummah.  Oleh itu pada hari ini dunia telah menyaksikan realiti bahawa kebudayaan Arab, Parsi, India, China, Greek dan lain-lain yang bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah menjadi sumber terbesar dalam tamadun Islam.

iv)  Sesuai dengan fitrah manusia
Tamadun Islam tegak di atas dasar yang seimbang dengan fitrah atau tabiat semualajadi dan selaras dengan kehendak manusia itu sendiri. Ia bertujuan untuk meningkatkan taraf kemanusiaan ke peringkat yang sempurna sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri. Oleh itulah Allah telah menurunkan Islam kepada umat manusia untuk diaplikasikan di dunia ini. Segala kepatuhan terhadap suruhan Allah adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Ajaran-ajaran dan nilai yang di bawa oleh Islam adalah bertujuan untuk kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Justeru itu tidak hairan jika tamadun Islam yang berteraskan kepada ajaran-ajarannya selaras dengan  fitrah dan keperluan manusia.

v)   Bersifat syumul, konsisten dan global (universal)
Kesyumulan atau kesempurnaan ajaran Islam yang mendasari tamadun boleh diterangkan seperti berikut;
Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek kehidupan manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.

Tamadun Islam tidak menghadkan batas-batas dalam kehidupan manusia.  Tidak terikat kepada bangsa-bangsa tertentu atau tempat tertentu tetapi ia milik seluruh manusia yang berpegang kepada al-Din. Ini bermakna tamadun Islam sangat sesuai dengan segala situasi dan menepati keperluan dan peredaran zaman. Perkembangan tamadun Islam berpegang kepada konsep ummah dan tidak disandarkan kepada sesuatu bangsa atau sempadan geografi tertentu dan inilah yang membezakannya dengan tamadun lain seperti tamadun China, Greek, Parsi atau tamadun Barat hari ini.

vi)  Sepadu (intergrated)
Tamadun Islam bersifat intergrated iaitu memadukan antara nilai rohani (spritual) dengan nilai kebendaan (material). Kesepaduan di antara tanggungjawab ibadah kepada Allah s.w.t. dan urusan kehidupan duniawi dan antara kepentingan individu dan masyarakat. Konsep kesepaduan dan keseimbangan  ini selaras dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri dari unsur rohani dan jasmani. Ini adalah berbeza dengan tamadun Barat yang mengamalkan konsep dualisme dalam tamadunnya. 

1.10  Faktor Keruntuhan Tamadun
Menurut Ibn Khaldun kemerosotan sesebuah tamadun merupakan putaran sejarah. Pada peringkat permulaan sesuatu tamadun itu berjaya kerana berpegang kepada  nilai-nilai baik tetapi selepas mencapai kegemilangan nilai-nilai tersebut merosot kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan. Para sarjana yang lain pula berpendapat sesebuah tamadun itu merosot bukan disebabkan oleh hukum sejarah. Kemerosotan sesebuah tamadun itu boleh dielakkan sekiranya mereka belajar dari sejarah dengan mengekalkan nilai-nilai yang baik. Berdasarkan sejarah, sesebuah tamadun itu boleh merosot disebabkan faktor-faktor berikut;
a)   Berlaku ketidakadilan dengan wujudnya jurang perbezaan yang begitu ketara di antara golongan kaya dan miskin. Situasi seperti ini dapat diperhatikan di penghujung tamadun Romawi pada kurun ke 3M dan ke 4M.

b)   Berleluasanya penindasan dan kezaliman sehingga persoalan hak-hak kemanusiaan telah diketepikan sama sekali. Kehidupan bertamadun sudah tidak bermakna lagi apabila sistem kenegaraan dan perundangan telah tidak dihormati malah dicabuli dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya.  wilayah kolonial yang merupakan sebahagian daripada tamadun Barat telah tumbang disebabkan penindasan dan kezaliman  yang dilakukan.

c)   Berlaku keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat terutama di kalangan pemimpin yang menandakan musnahnya penghayatan terhadap budi pekerti yang murni dan mulia. Berdasarkan sejarah kemerosotan tamadun Yunani, Romawi dan Islam boleh dikaitkan dengan keruntuhan moral dan nilai terutama di kalangan pemimpin.  Seorang penyair Arab, Ahmad Shauqi Bek pernah menukilkan ” Sesungguhnya tertegaknya sebuah umat itu adalah disebabkan ketinggian moralnya. Sekiranya moral mereka hilang maka umat tersebut lenyap”.

d)   Amalan sikap tertutup dan tidak mahu menerima perubahan terutama dari segi perubahan teknologi atau perubahan struktur politik, ekonomi dan sosial. Sikap tertutup seperti ini sudah tentu merencatkan daya kreativiti dan inovatif sesebuah masyarakat yang seterusnya membawa mereka dalam keadaan beku atau jumud berpanjangan. Seorang tokoh pemikir semasa bernama Edward de Bono menyatakan bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap anjakan paradigma (paradigm shift).  Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyah mengalami keruntuhan dari dalam disebabkan oleh sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial.

e)   Mala petaka atau bencana alam seperti banjir dan gempa bumi yang menyebabkan kerosakan secara besar-besaran dan boleh memusnahkan sesebuah tamadun. Faktor seperti ini juga merupakan salah satu penyebab kemerosotan sesebuah tamadun.   Bagaimana pun faktor ini diluar kawalan manusia untuk menghalangnya daripada berlaku.

d)   Penolakan agama sebagai sistem kehidupan (agama tidak lagi menjadi faktor penting dalam pemikiran dan tindakan politik pemimpin negara-negara).


2.   Konsep Tamadun Barat
Kebanyakan pemikir Barat lebih menonjolkan aspek pencapaian kebendaan atau material sebagai ukuran bagi menentukan sesebuah masyarakat itu bertamadun ataupun tidak. Keadaan begini tidak aneh jika dirujuk kepada asas aspirasi tamadun Barat yang lebih merujuk kepada falsafah tamadun Yunani dan Romawi yang diwarisi masyarakat Barat sama ada melalui sistem politik, falsafah, pemikiran, sosial mahupun ilmu pengetahuan.

Sebagai contohnya nature tamadun Yunani itu sendiri lebih tertumpu kepada sesuatu yang bersifat fizikal yang terangkum dalam empat ciri utama;
·         Hanya yakin terhadap sesuatu yang dapat dirasa melalui pancaindera dan mengabaikan perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera.
·         Kurang cenderung kepada nilai-nilai agama.
·         Amat meminati sesuatu yang bersifat duniawi dan kemewahan hidup kebendaan.
·         Mendukung daya fanatik kebangsaan yang cukup kuat.

2.1  Definisi Tamadun Barat
Konsep dan pengertian tamadun Barat boleh dilihat melalui huraian yang  diutarakan oleh tokoh-tokoh Barat berikut;

·         Arnold Toynbee
“Tamadun ialah satu sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambahkan hasil pengeluaran atau produktiviti dan ia mempunyai empat elemen iaitu bahan-bahan ekonomi, sistem politik, pengetahuan dan seni”.

·         J.K.Fiebleman
“Tamadun ialah kepandaian mengeksploitasi material oleh masyarakat. Dengan lain perkataan, proses masyarakat terhadap material dengan menjadikan barang baru bagi keperluan tertentu. Di samping world view masyarakat itu sendiri berubah oleh benda-benda itu, ataupun daya usaha manusia itu dan kesannya ke  atas nilai manusia itu”.

·         Will Durant
”Tamadun ialah peraturan masyarakat yang dapat membantu meningkatkan pengeluaran kebudayaan dan ia merangkumi empat elemen iaitu ekonomi, sistem politik, tradisi moral dan kesenian”.

2.2   Perkembangan Tamadun Barat
Pemikiran dan falsafah sejarah Barat adalah berteraskan pemikiran dan falsafah sejarah Yunani dan juga Rumawi. Ia menjadi asas kehidupan bagi orang Barat sejak beribu-ribu tahun dahulu setelah negara-negara Barat dikuasai oleh agama Kristian yang menjadi empayar Rom dan Byzantine. Orang Kristian lebih menumpukan kepada bidang kerohanian dari bidang keduniaan yang akhirnya membawa pemisahan di antara agama dari sistem pemerintahan atau gereja dan negara. Paderi-paderi Kristian telah menyalahgunakan kuasa gereja sehingga berlakunya pemberontakan terhadap institusi gereja dan agama Kristian di Eropah. Serentak dengan itu lahir ideologi sekular di Barat (fahaman yang memisahkan di antara urusan dunia dan akhirat/agama).

Akhirnya, orang Barat mula menerokai bidang sains khususnya sains fizik dengan membelakangkan falsafah agama yang berbentuk spritual. Bermula pemisahan keilmuan di antara kehidupan dan beragama dalam masyarakat Barat. Agama menjadi sesuatu yang asing dan terpencil, gereja ditinggalkan oleh manusia Barat dan kehidupan seharian terpisah dari ajaran agama. Kemudian timbul pula teori-teori falsafah dan pemikiran seperti teori evolusi dipelopori oleh Darwin pada tahun 1959, teori kesatuan kebudayaan oleh Oswald Spengler, teori nasionalisme dan lain-lain. Daripada pemikiran dan falsafah inilah yang membentuk kerangka kehidupan masyarakat moden sekarang.

2.3 Dasar Tamadun Barat
Dasar tamadun Barat amat berkaitan dengan falsafah dan tradisi berfikir masyarakat Barat yang melahirkan tamadun tersebut. Orang Barat telah melahirkan aliran pemikiran yang disebut materialisme. Menurut Dr. Yusof al-Qardhawi, materialisme ialah pemikiran yang hanya mempercayai segala sesuatu yang ada kaitannya dengan material semata-mata. Beliau menjelaskan pemikiran Barat adalah pemikiran materialisme yang memandang rendah terhadap perkara-perkara spritual. Dalam menjelaskan ciri-ciri pemikiran tamadun Barat, Dr. Yusof al-Qardhawi telah merumuskan kepada perkara-perkara berikut;
·         Kejahilan dalam memahami konsep ketuhanan
·         Kecenderungan kebendaan
·         Aliran sekularisme
·         Perbalahan dan pertelingkahan
·         Rasa lebih tinggi daripada orang lain.

Manakala sifat-sifat asasi tamadun Barat yang diutarakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seperti berikut;
·         Tamadun Barat diikat dengan pengaruh adat-adat dahulu.
·         Berasaskan falsafah  (pemikiran)dan bukannya agama.
·         Bersifat humanisme iaitu manusia sebagai penentu nilai.
·         Dualisme dalam kehidupan iaitu memisahkan di antara rohani dan jasmani, juga membezakan antara wahyu dan sains.
·         Tiada konsep tauhid.

Berdasarkan pandangan-pandangan di atas dapat disimpulkan bahawa tamadun Barat berteraskan kepada falsafah kemanusiaan mutlak (bersifat kebendaan).  Oleh kerana keterikatan dengan manusia secara mutlak maka segala nilai yang wujud dalam tamadun Barat adalah berdasarkan lingkungan yang berbentuk jasmani semata-mata malah diadun pula dengan unsur nafsu. Justeru itu ia menafikan peranan tauhid atau peranan agama dalam pembentukan tamadun.

Maryam Jameelah membuat komentar terhadap falsafah tamadun Barat sebagai tamadun yang mempunyai jasad, tetapi tidak mempunyai jiwa dan tidak mempunyai nilai akhlak. Akhirnya tamadun ini tidak lebih daripada tamadun ”Ciptaan Mesin”. Masyarakatnya pula dibentuk oleh mesin, sedangkan mesin tidak mempunyai jiwa dan perasaan. Inilah faktor yang menyeret masyarakat Barat gagal mengemukakan tamadun yang mampu mewujudkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Ia cuma mampu memberi kepuasan fizikal tetapi tidak kejiwaan dan kerohanian.

2.4  Perbezaan Di antara Tamadun Islam dan Barat
Perbezaan di antara tamadun Islam dan Barat dapat dilihat dalam aspek-aspek berikut;
·         Agama.
Dalam tamadun Islam, agama Islam yang mengatur setiap aspek kehidupan manusia merangkumi akidah, syariah dan akhlak. Ia juga mengatur sistem politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Manakala dalam tamadun Barat, agama adalah sebahagian dari kebudayaan. Oleh itu aspek lain mengalami perubahan, pengembangan dan kemerosotan. Mereka mengatur kehidupan berasaskan kepada pemikiran semata-mata. Dalam masa yang sama peranan agama disempitkan kepada persoalan nikah kahwin, kematian dan upacara-upacara ibadah khusus.

·         Kesepaduan dan Pengawalan
Dalam Islam terdapat konsep kesepaduan dan pengawalan.  Hubungan manusia dengan Allah berkait rapat dengan hubungan sesama manusia. Begitu juga dengan perkembangan ”Maddi” (kebendaan) berkait rapat dengan perkembangan ”Ruhi” (Spritual).  Segala kegiatan kehidupan seharian mesti mengikut prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh Islam. Walaupun ia merupakan kegiatan antara sesama manusia tetapi ia tidak terlepas dari kawalan Ilahi.

Pada Tamadun Barat, tidak wujud konsep kesepaduan. Sistem sekular Barat mangajarkan bahawa perkara-perkara keduniaan hanya untuk kepentingan  duniawi semata-mata tanpa ada kaitan dengan keagamaan dan keakhiratan.  Aktiviti kehidupan dianggap tidak ada hubungan dengan Tuhan. Segala nilai baik seperti keadilan, keikhlasan, amanah dan sebagainya tidak wujud.  Golongan yang kuat, berada dan berpengaruh akan terus menerus hidup dalam kesenangan manakala golongan yang lemah selama-lamanya akan teraniaya.

·         Konsep kemajuan
Konsep kemajuan dalam tamadun Islam dicapai dan diperolehi dengan cara yang betul serta mempunyai matlamat yang jelas dan dibenarkan oleh agama.  Islam bukan hanya melihat kepada matlamat yang baik tetapi kaedah dan wasilahnya yang digunakan mestilah halal dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak. Sebagai contohnya, Islam menggalakkan kemajuan dan penerokaan sains dan teknologi tetapi tidak membenarkan menggunakannya untuk tujuan kemusnahan. Islam juga menggalakkan membina kemajuan tetapi melarang membuat penindasan ke atas rakyat untuk mencapai tujuan tersebut.  Kaedah fiqh ada menyatakan ”matlamat tidak menghalalkan cara”.

Konsep kemajuan menurut kaca mata Barat pula lebih menjuruskan kepada untuk mendapatkan keuntungan, mengeluarkan produk-produk dalam kuantiti yang dirasakan perlu, mencanangkan ciptaan-ciptaan baru dan seumpamanya.  Ia tidak mempersoalkan kemajuan itu bagaimana dicapai, apakah bentuk pembaharuan itu, bagaimana ia dicapai dan apakah matlamatnya. Dalam tamadun Barat  semua cara  adalah  halal asalkan matlamat mereka tercapai, walaupun pencapaian itu mungkin di atas pertumpahan darah, maksiat, kezaliman dan tangisan orang lain.

·         Kesempurnaan Kemajuan
Tamadun Islam memberi penekanan kepada akhlak, rohani, jasmani dan akliah secara seimbang dan sepadu. Penekanannya bersifat ”komprehensif” dan ”multidemension”. Pembangunan kebendaan atau fizikal adalah sebagai alat untuk menyempurnakan tuntutan keagamaan dan kerohanian. Contohnya kita perlu mempunyai kekuatan dan kemantapan ekonomi supaya dapat memenuhi kewajipan dalam Islam seperti zakat, mengerjakan haji serta dapat membangunkan masyarakat dengan sumbangan-sumbangan yang lain.

Sedangkan Tamadun Barat memberi tumpuan hanya kepada pembangunan kebendaan semata-mata dan soal-soal  spritual di kesampingkan. Keadaan ini menjadikan manusia sentiasa berlumba-lumba untuk memenuhi tuntutan dunia dan nafsu yang tidak terbatas. Akhirnya lahir manusia yang maju dari segi material tetapi kosong jiwanya.

Islam menolak tamadun asing  atau mana-mana tamadun yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata. Menurut Islam, tamadun yang berasaskan kebendaan tanpa diimbangi dengan keutuhan spritual sebagai tamadun yang sakit dan termasuk dalam konsep tamadun jahiliyah yang akibatnya membawa kepada kerosakan. Keadaan ini disebut dalam al-Quran sebagaimana firman Allah yang bermaksud:    
                  ”Maka apakah mereka tidak menjadikan perjalanan di muka bumi sehingga mereka dapat memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, Allah telah menimpakan kebinasaan atas mereka dan orang-orang kafir akan menerima (akibat-akibat) seperti itu” (Muhammad : 10)


3    Nilai-Nilai Universal Dalam Tamadun
3.1 Definisi Nilai
Perkataan nilai berasal dari perkataan Latin ”Valere” yang bererti untuk menjadi kuat dan bernilai. Ia digunakan untuk semua perkara seperti sikap, idea dan matlamat yang bermutu (bernilai). Sebenarnya perkataan nilai dimaksudkan kepada kepentingan sesuatu. Ia merupakan sifat ketinggian (pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain). Di kalangan ahli falsafah, nilai ini merujuk kepada pemikiran atau sesuatu sistem politik, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya. Dalam konteks psikologi masyarakat, nilai adalah suatu perkara yang penting kerana ia dianggap sebagai faktor penentu kepada tingkah laku sosial.

3.2 Nilai-Nilai Universal dalam Tamadun
·         Nilai kepercayaan
Nilai kepercayaan ialah mempercayai keesaan Allah.  Nilai keimanan terhadap Allah menjadi asas motivasi yang menggerakkan seseorang muslim ke arah pelbagai bidang bagi menghadapi cabaran hidup. Pada waktu yang sama ia berfungsi sebagai hamba yang taat kepada Allah dan berjihad ke jalan-Nya serta kuat berusaha meraih segala peluang kebaikan yang diredhai oleh Tuhannya.

Nilai kepercayaan merupakan aspek asasi dalam tamadun Islam dan juga dalam ajaran Islam. Kekuatan ajaran Islam terletak pada aspek ini, contohnya nilai takwa, ikhlas, ihsan dan lain-lain. Aspek ini membawa insan ke martabat yang tinggi di sisi Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
            ”....Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa”. (Al-Hujurat : 13)


·         Nilai keilmuan
Keilmuan mengikut perspektif tamadun Islam merupakan nilai yang tidak terpisah dari akidah. Ia sering berkaitan dan akidah menjadi asas motivasi kecemerlangan ilmu.  Hal ini disebabkan akidah Islam tegak di atas keilmuan. Keimanan dan keyakinan kepada Allah dalam Islam adalah berasaskan kepada kesedaran fikiran dan pengetahuan, hal ini jelas kenyataannya dalam al-Quran di mana ayat-ayat al-Quran yang diturunkan tentang ketuhanan dan kejadian yang menunjukkan kekuasaan Allah. Menganjur dan mendorongkan manusia supaya berfikir, memerhati dan bukannya menerima dengan membuta tuli kebenarannya.

Perhatian Islam terhadap kepentingan ilmu pengetahuan amat jelas. Ayat-ayat al-Quran yang mula diturunkan menekankan masalah ini, di mana perkataan Iqra’ (bacalah) dan perkataan Qalam (pena) digunakan (lihat surah al-’Alaq :1-5).  Bacaan dan pena sebagai alat untuk menulis merupakan dua perkara penting bagi menyampaikan seseorang kepada pengetahuan.  Maka berasaskan ayat-ayat ini tidak sepatutnya wujud orang yang buta huruf dan jahil dalam masyarakat Islam.

·         Nilai Akhlak
Akhlak menurut perspektif Islam ialah meletakkan keimanan seseorang kepada Allah dalam bentuk praktis.  Firman Allah yang bermaksud;
            ”Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah sedang dia pun mengerjakan kebaikan”. (al-Nisa’ : 125).

Manusia yang berakhlak menurut Islam ialah manusia yang menyerahkan diri secara menyeluruh kepada Allah. Penyerahan dan perhambaan kepada Allah ini membebaskan manusia dari segala bentuk kepatuhan dan perhambaan selain daripada Allah.

Tamadun yang dibina di atas nilai kebendaan semata-mata seumpama jasad tanpa roh seperti tamadun Barat sekarang. Aspek akhlak ini menjadi nilai yang penting kerana nilai-nilai inilah yang akan dibawa oleh manusia untuk menemui Allah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran. Tanpa  akhlak, nilai keimanan dan amal tidak akan sempurna dan tamadun Islam tidak akan terbina ataupun jika terbina, hanyalah dalam bentuk yang pincang.

·         Nilai Ekonomi /Kebendaan
Walaupun Islam menekankan nilai kerohanian dan akhlak dalam pembinaan tamadunnya, ini tidak bererti Islam menolak langsung nilai kebendaan. Islam menerima nilai kebendaan atau material sebagai aspek pembantu dalam tamadunnya. Dalam membangunkan aspek-aspek material, kepakaran di bidang sains dan teknologi amat diperlukan. Penggunaan sains dan teknologi untuk pembangunan mestilah dalam bentuk yang diredhai Allah dan dapat memberi keamanan kepada manusia dan bukan untuk mencabuli hak-hak Allah serta memudharatkan manusia.

Nilai kebendaan penting dalam Tamadun Islam kerana pada al-Quran dan al-Sunnah sendiri terdapat penekanan kepada ibadah-ibadah dalam bentuk material seperti penunaian zakat, jihad (harta) dan lain-lain. Firman Allah yang bermaksud;
            ”.. dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui”.  (al-Taubah: 41).

·         Nilai Kerja /Usaha
Nilai kerja dan usaha berfungsi sebagai bukti yang praktis untuk teori-teori yang dihasilkan oleh ilmu. Ini kerana teori keilmuan berkaitan dengan kehidupan  tidak mungkin mewujudkan tamadun dan berguna kepada masyarakat kecuali apabila dilaksanakan melalui usaha dan pekerjaan yang nyata. Nilai pekerjaan mendapat kedudukan yang istimewa iaitu pekerjaan yang sedia memberi ruang keselesaan kepada kehidupan dan mampu memenuhi tuntutannya. Pekerjaan mencakupi segala bidang perkhidmatan manusia, termasuklah segala macam kelengkapan, keperluan dan peningkatan penghasilan. Pekerjaan yang merangkumi seluruh pekhidmatan ini berfungsi kepada penghidupan dan pembangunan tamadun. Pekerjaan dari segi perspektif tamadun Islam ialah sebarang pekerjaan yang dirancangkan dengan rapi sehingga menjelaskan kesepaduan di antara iman, ilmu dan amal.

·         Nilai kemanusiaan
Apabila nilai kemanusiaan atau ”moral manusia” menjadi asas hidup umat manusia dalam sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun. Sebaliknya bila  sahaja ”benda atau ”kebendaan” merupakan nilai yang tinggi atau diutamakan bagi sesebuah masyarakat, maka masyarakat itu adalah masyarakat yang dikira mundur, terkebelakang atau dalam ertikata sebenarnya tidak bertamadun. Sesungguhnya Islam mengiktiraf nilai kemanusiaan yang menyebabkan lahirnya aspek yang membezakan antara manusia dan haiwan.

·         Nilai Kekeluargaaan
Keluarga menjadi kaedah utama dalam pembentukan masyarakat dan keluarga dibina di atas asas pembahagian tugas di antara suami dan isteri, maka masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun kerana keluarga dalam bentuk ini merupakan tapak dan pengkalan kepada nilai-nilai kemanusiaan itu dibentuk dan dipupuk untuk menjadi panduan generasi muda. Nilai-nilai itu tidak mungkin dibentuk kecuali dalam sebuah keluarga.


4    Interaksi Dalam Tamadun
Interaksi merupakan proses sosial hasil daripada situasi pertembungan di antara budaya/peradaban atau pendukung-pendukung budaya/peradaban itu sendiri, ataupun pertembungan itu boleh berlaku tanpa pendukung-pendukungnya. Tindakan atau perkembangan aktif antara satu sama lain dan mesti berlaku tindakbalas dua atau beberapa pihak yang terlibat.

4.1 Faktor-Faktor Yang Mewujudkan Interaksi
·         Toleransi pemimpin
Kepimpinan merupakan faktor penting yang mempengaruhi interaksi antara tamadun. Interaksi antara tamadun berlaku dalam keadaan aman apabila terdapatnya seorang pemimpin atau raja bersifat toleransi dan adil. Sebaliknya seorang pemerintah atau raja yang zalim serta tidak mempunyai sifat toleransi menyukarkan interaksi antara tamadun. Contohnya, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang pemimpin yang mempunyai sifat toleransi. Baginda tidak menyekat kegiatan agama penganut-penganut Yahudi dan Kristian semasa pemerintahan Islam di Madinah sebaliknya hak mereka telah dilindungi secara perundangan.

·         Sikap golongan agama
Lazimnya golongan ini seperti sami, paderi serta alim ulama sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana harmonis dan memberi penekanan kepada sifat-sifat keinsanan. Nilai-nilai keinsanan dalam kehidupan sentiasa ditekankan kerana setiap agama menyeru  manusia supaya berbaik-baik di antara manusia.  Namun demikian terdapat juga contoh-contoh yang menunjukkan bahawa golongan agama turut mewujudkan konflik antara masyarakat yang berbeza tamadun. Contohnya, Paus Urban II dalam perjumpaan besar-besaran penganut Kristian di Clermont, Perancis pada tahun 1095M telah menyeru orang-orang Kristian berperang dengan orang-orang Islam yang dikatakan bertindak zalim ke atas penganut-penganut Kristian.

·         Pemikiran Yang Terbuka
Sikap terbuka sesuatu tamadun memberi peluang kepada berlakunya percambahan pemikiran dan budaya serta memperkayakan lagi tamadun tersebut dalam pelbagai aspek. Sikap terbuka tamadun Islam contohnya terhadap tamadun Greek, Romawi dan Parsi terutama dalam aspek keilmuan telah membawa umat Islam ke mercu kejayaan dalam bidang tersebut.

Sikap tertutup dan tidak mahu menerima perubahan terutama dari segi perubahan teknologi atau perubahan struktur politik, ekonomi dan sosial mampu merencatkan daya kreativiti dan inovatif sesebuah masyarakat yang seterusnya membawa mereka dalam keadaan beku atau jumud berpanjangan.  Seorang tokoh pemikir kini, Edward de Bono menyatakan bahawa sikap tertutup merupakan halangan yang paling besar terhadap anjakan paradigma (paradigm shift). Dalam sejarah dapat dilihat bagaimana tamadun Islam Uthmaniyah mengalami keruntuhan dari dalam disebabkan sikap tertutup yang tidak mahu menerima perubahan teknologi dan sosial.

·         Persamaan Aspek Nilai
Tamadun besar dunia mempunyai persamaan dari aspek nilai seperti nilai akhlak yang merangkumi  pendidikan,  ekonomi,  keluarga,  nilai komuniti atau masyarakat dan politik dan pemerintahan. Pendidikan merupakan aspek yang penting dalam setiap tamadun. Transformasi dalaman dilakukan kepada seseorang individu sebelum dia dapat menguasai persekitaran luaran. Cuma yang berbeza di antara tamadun ialah bagaimana transformasi tersebut dilakukan dan apakah elemen-elemen yang dipentingkan. Dalam Tamadun Islam tauhid memainkan peranan penting dalam transformai manusia.  Manakala dalam ajaran Budha dan beberapa ajaran Hindu, transformasi sifat dapat dicapai melalui proses mencari diri sendiri.

Dalam kegiatan ekonomi dalam tamadun awal berlangsung dalam konteks ”moral semesta”. Dalam ajaran Buddha muncul konsep hak-hak kehidupan, manakala dalam ajaran Islam prinsip berkaitan dengan halal dan haram mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan akhlak. Penipuan, riba, rasuah dan penyelewengan ditegah dalam Islam. Keadaan ini adalah sama dalam ajaran kristian yang melarang  perkara-perkara tersebut.

Institusi keluarga merupakan unit yang penting dalam setiap tamadun. Tamadun China menekankan kepada pentingnya hubungan kasih sayang dan hirarki kuasa dalam hubungan sesama manusia. Dalam Tamadun Islam, tanggungjawab perlu dilakukan oleh setiap anggota keluarga yang berasaskan kepada perasaan kasih sayang dan hormat menghormati. Manakala dalam Tamadun Hindu pembinaan keluarga mempunyai matlamat untuk membentuk sokongan yang berbentuk fizikal dan kerohanian di samping menjadi penerusan zuriat. Ikatan keluarga didasarkan kepada kasih sayang dan rasa hormat.

Komuniti atau masyarakat merupakan unit yang penting dalam setiap tamadun.  Dalam Tamadun Islam ikatan sesama anggota kominiti bukan sahaja ditentukan oleh hubungan kekerabatan, tetapi hubungan sesama agama dan hubungan sesama manusia yang merangkumi hubungan dengan orang Islam dan bukan Islam. Pembentukan komuniti China banyak dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan China di mana hubungan kekerabatan berasaskan hubungan darah dan pemusatan kuasa kepada bapa atau lelaki adalah amat kuat. Dalam Tamadun India pula hubungan yang berlaku dalam komuniti adalah berasaskan kepada sistem kasta yang mempengaruhi setiap tindakan dalam komuniti tersebut.

Dalam aspek politik dan kerajaan, falsafah  tamadun-tamadun tradisional  menekankan kepada moraliti atau akhlak sebagai asas kerajaan. Peranan dan tanggungjawab kerajaan dijelaskan melalui peranan dan tanggungjawab pemerintah. Raja sebagai pemimpin mesti mempunyai akhlak yang baik. Adil adalah prinsip asas yang mesti dimiliki oleh seorang pemimpin.

·         Institusi
Agama merupakan unsur yang penting dalam tamadun. Setiap agama mempunyai institusinya yang tersendiri seperti masjid bagi agama Islam, gereja untuk agama Kristian dan kuil dalam agama Hindu dan Buddha. Institusi-institusi ini mempunyai peranan yang sama dalam masyarakat iaitu sebagai tempat ibadah dan upacara-upacara keagamaan tertentu di samping  mempunyai fungsi-fungsi yang lain seperti sosial dan ekonomi. Dalam Tamadun Islam masjid pada peringkat awal Islam merupakan tempat perhimpunan penting bagi umat Islam di samping aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain.  Begitu juga dengan peranan gereja dalam Tamadun Barat, ia bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga merupakan pusat kegiatan sosial setempat. Keadaan yang sama juga berlaku di kuil dalam agama Hindu dan Buddha.

Semua tamadun mempunyai nilai, etika dan institusi yang tersendiri dan ia merupakan keunikan bagi sesebuah tamadun. Walaupun begitu kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat juga sudut-sudut tertentu dalam aspek-aspek tersebut mempunyai persamaan-persamaan yang memudahkan berlakunya interaksi antara tamadun dalam keadaan yang selesa.


4.2  Kesan interaksi
Interaksi antara tamadun wujud disebabkan oleh semangat toleransi yang tinggi serta sikap saling menghormati di antara satu tamadun dengan tamadun yang lain. Keterbukaan seperti ini memungkinkan berlakunya percambahan pemikiran dan budaya lalu mengelakkan kebekuan atau kejumudan yang boleh menyebabkan kemerosotan sesebuah tamadun. Interaksi antara tamadun memberi dua kesan yang penting iaitu kesan positif dan kesan negatif.
a.      Positif
Interaksi antara tamadun Hinduisme dan tamadun Buddhisme pada zaman silam pada keseluruhannya membuahkan kesan positif. Buddhisme sebagai sebuah agama yang lahir dalam masyarakat Hindu memiliki ciri-ciri tertentu dari falsafah Hinduisme seperti Karma, Dharma dan Mokhsa. Selepas Buddha dan misinya, reformasi Hinduisme dipengaruhi pula oleh pemikiran-pemikiran  tertentu dari Buddhisme seperti kritikan terhadap sistem kasta, pemusatan kuasa rohaniah golongan Brahma, penafian hak-hak tertentu kaum wanita dan lain-lain. Situasi seperti ini menunjukkan kedua-dua pihak memperolehi manfaat daripada kewujudan interaksi antara tamadun.

Interaksi antara Islam dengan Yahudi dan Islam dengan Kristian pada saat kelahiran Islam di Semenanjung Arab turut memperlihatkan kesan positif.  Hak masyarakat Yahudi, Kristian dan kelompok-kelompok kaum yang lain diberi jaminan perlindungan dalam Piagam Madinah yang digubal Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Tempat peribadatan dilindungi dan kebebasan mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa rasa takut selama mana tidak menggangu atau menceroboh Islam ataupun masyarakat Muslim. Pada zaman pemerintahan Umaiyah hingga zaman pemerintahan Uthamaniyah, masyarakat  Yahudi dan kristian hidup harmoni dan damai di tengah-tengah masyarakat Muslim yang merupakan majoriti. Mereka bebas mengamalkan agama masing-masing dan ada di antara mereka diberi kedudukan tinggi dalam pentadbiran kerajaan Islam terutamanya di Andalus.

Interaksi antara Buddhisme di Asia Tenggara dari segi sosial masyarakat Muslim berinteraksi dengan masyarakat Buddha di Thailand, Kemboja, Indonesia (Jawa) dan Malaysia sebelum zaman kolonial lagi. Kewujudan Candi Borobudur di Pulau Jawa yang majoriti penduduknya beragama Islam merupakan lambang kepada sikap toleransi seperti ini. Begitu juga Interaksi tamadun Melayu dan Cina ialah memunculkan komuniti Baba dan Nyonya

Saling berhubung Muslim dan Hindu di India sebelum zaman kolonial memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Contohnya budaya dalam berpakaian, pemakanan dan seni bina masyarakat di utara India mengalami perubahan positif akibat pertembungan dengan tamadun Islam. Wujudnya pengaruh seni bina Islam dalam seni bina India seperti Taj Mahal. Dari aspek bahasa pula lahir bahasa Urdu yang merupakan interaksi bahasa Parsi (Islam) dan bahasa Hindi (Hindu). Manakala bidang muzik pula melahirkan muzik sitar. Begitu juga masyarakat Muslim di India menerima gaya hidup masyarakat Hindu seperti seni bina, muzik dan lain-lain. 

Interaksi antara tamadun China dengan tamadun Melayu melibatkan kemahiran dan teknologi serta kebendaan.  Tamadun China membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu, contohnya di Jawa. Begitu juga kemahiran dalam perusahaan sutera, membuat tembikar serta pertukangan logam.

b.      Negatif
Hubungan antara Kristian dan Yahudi kurang memuaskan sejak dari permulaan lagi. Berlaku di Eropah antara kurun  ke 9 dan ke 18M, beberapa siri pembunuhan orang Yahudi secara beramai-ramai. Faktor-faktor berkaitan teologi, ekonomi dan sosial bertanggungjawab terhadap keadaan seperti ini.  Demikian juga terdapat putera-putera kristian Eropah di zaman pertengahan melancarkan siri Perang Salib (Crusades) terhadap masyarakat Islam di Timur Tengah sehingga begitu ramai orang Islam dan Yahudi dibunuh. Sekali lagi faktor-faktor yang berkaitan dengan teologi, ekonomi dan sosial bertanggungjawab selain faktor politik.

Dalam sejarah terdapat beberapa kes di India, panglima dan tentera Islam bertindak menghancurkan kuil-kuil Hindu sungguhpun perkara sebegini dilarang oleh hukum Islam sendiri. Keadaan yang sama turut berlaku apabila raja-raja Hindu bertindak membunuh rakyatnya yang beragama Islam. Keadaan yang sama juga berlaku sebelum kedatangan Islam ke India, di mana terdapatnya kejadian golongan Hindu memusnahkan kuil-kuil Hindu dan golongan Hindu melakukan tindakan yang sama menghancurkan kuil-kuil Budha.

Pemimpin yang ingin menguasai dunia akan menimbulkan kacau-bilau dan peperangan (Hitler, Bush Jr., Napoleon dan sebagainya). Semangat nasionalisme yang sempit, seperti usaha Jepun meletakkan seluruh dunia di bawah satu bumbung penguasaan Jepun atau “Hakko-ichui” telah membawa penglibatan Jepun dalam Perang Dunia ke 2. Persaingan menguasai sumber ekonomi negara lain bagi memenuhi keperluan ekonomi kapitalis seperti negara-negara Barat menjajah hampir seluruh dunia dengan matlamat 3G (God, Gold, Glory).

Namun begitu secara keseluruhannya situasi di benua Asia sebelum zaman penjajah Barat tanpa mengambil kira hubungan Kristian dan Yahudi, penganut-penganut Islam, Hindu, Buddha, Konfusianisme, Taoisme termasu penganut Kristian sendiri berjaya hidup harmonis dan aman damai.


Rujukan

Al-Quran terjemahan

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1977. Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

.................................................................... 2001. Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.

Abdul Latif Muda. 1983. Pemikiran Islam Menghadapi Cabaran: Satu kajian Tentang Pemikiran Malek Bennabi. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Abdul Rauh Yaacob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam. (ed.). Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Qardhawi, Yusuf. 1992. Wawasan Islam: Antara Keaslian dan Kemodenan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Azam Hamzah dan Zulekha Yusoff. 1990. Tamadun Islam: Konsep Pencapaiannya.  Selangor:  Academe Art  Printing Services Sdn. Bhd.

Azhar Hj. Mad Aros. 2000. TITAS 1. (et. al. ). Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ibrahim Abu Shah, Prof. Dr., Lelawati Abdul Hamid, Mohd Asri Abdullah. 1977. Kecemerlangan Tamadun Islam: Dalam Menghadapi Cabaran Abad Ke-15 Hijrah/21 Masihi. (et.al.). Shah Alam: Biroteks ITM.

Ismail al-Faruqi, Dr. Prof. 1984. Islam: The Civilization Forcs Islamic Civilazation. Seminar, kuala Lumpur, 18-22 May, 1984, Anjuran Berita Harian dan Ministry of Culture Youth And sports.

Mahayudin Haji Yahya. 1986. Tamadun Islam dan Ideologi-Ideologi Masa Kini. Selangor: Penerbit Nadhi.

M.A.J. Beg, 1980. Islamic And Western Concepts of Civilization. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

................... 1980. The Image of Islamic Civilization. Kuala Lumpur: National Universiti of Malaysia.

Wan Kamariah Lemah (et.al). 1997. Sejarah dan Tamadun Islam. Shah Alam: Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd.









































2 comments:

  1. Salam, saya nak tanya tentang pandangan barat terhadap tamadun islam. Boleh encik huraikan. Terima kasih.

    ReplyDelete