Pages

Sunday, April 12, 2020

ISC11


KEMAHIRAN KERJA BERJEMAAH



1.    PENDAHULUAN
Kerja berjemaah (amal jamai’e) dikenali juga sebagai team work atau kerja berkumpulan. Ia boleh membantu seseorang untuk mendapatkan kekuatan dalam diri bagi memenuhi keperluan sosial dan psikologikal serta mencapai matlamat hidup. Pepatah Melayu ada menyebutkan tentang perumpamaan lidi jika diikat banyak boleh menjadi penyapu yang mampu mengumpulkan sampah yang banyak.

2.    DEFINASI
Menurut Kamus Dewan, amal ialah apa sahaja yang dilakukan, perbuatan dan pekerjaan. Jamai’e ialah sekumpulan manusia yang berkumpul untuk bekerjasama untuk mencapai tujuan yang sama. Ia bermaksud sekumpulan manusia bersepakat untuk bekerjasama melakukan sesuatu aktiviti dengan mengupayakan setiap potensi yang dimiliki untuk mencapai sesuatu objektif. Mustafa Masyhur (2001) melihat amal jamai’e sebagai sesuatu yang dirancang oleh pasukan yang mempunyai peraturan, sistem dan prinsip bagi mencapai matlamat yang diimpikan. Amal atau kerja yang dilakukan itu bukan hanya dari segi fizikal dan material sahaja tetapi juga meliputi  aspek spiritual kerana aspek akidah merupakan elemen yang mengikat diri setiap orang dalam melaksanakan tugasnya secara berjamaah. Yusuf al-Qardhawi melihat amal jamai’e sebagai suatu keperluan bagi mendepani tuntutan kehidupan seperti menyuruh bekerjasama dalam melaksanakan perkara kebajikan dan ketakwaan (1981). Begitu pun bagi Said Hawwa, amal jamai’e tidak akan berjaya sekiranya wujud sifat mementingkan diri sendiri serta tidak ada pengorbanan harta benda, jiwa dan tenaga. (2006).
Dari suatu sisi yang berbeza, K. Smith (2000) menegaskan bahawa kerja berpasukan lebih produktif daripada kerja secara individu. Ia akan cepat dapat membantu organisasi mencapai matlamat organisasi kerana setiap ahli dalam organisasi merasakan bahawa mereka berada dalam satu pasukan dan diterima baik oleh ahli lain dalam pasukan tersebut. Oxford Dictionary mendefinasikan team work sebagai pasukan yang bekerja bersama atau kerjasama yang disusun.
3.    CIRI-CIRI KERJA BERJEMAAH
Dalam sesuatu organisasi, ciri-ciri kerja berjemaah merupakan teras utama bagi mendokong kejayaan organisasi. Di antaranya ialah;
A.   Kerjasama
Merupakan suatu usaha yang dilakukan oleh beberapa orang atau kelompok untuk mencapai tujuan bersama. Dalam kehidupan seharian dan dalam sesuatu organisasi, kerjasama amat diperlukan untuk menjayakan sesuatu tugasan melalui bersama-sama menghasilkan idea yang bernas dan seterusnya bersama dalam melaksanakannya. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, merupakan peribahasa Melayu yang menjadi pendorong kepada kerja berjemaah.
B.    Amanah
Merupakan asas kepada kecemerlangan pekerjaan. Tidak amanah membawa kegagalan. Amanah tidak sahaja kepada kerja dan tugasan dan diberi tetapi juga amanah kepada Allah kerana segala yang diamanahkan kepada seseorang akan dinilai di akhirat kelak. Setiap ahli organisasi mesti bersifat amanah dalam melaksanakan tugas dan tidak menyalahgunakan kuasa, melakukan penyelewengan dan cuai dalam melakukan pekerjaan. Dengan amalan sifat amanah, setiap ahli organisasi akan dapat melaksanakan kerja dengan tekun, gigih dan bersungguh-sungguh.
C.    Kepercayaan
Ia sangat penting dalam organisasi sebagai daya dorong untuk membina kesepakatan bagi melahirkan strategi yang berkesan dan mencapai matlamat yang diingini. Dalam organisasi, harapan yang tinggi biasanya diletakkan kepada seseorang yang boleh dipercayai untuk melaksanakan sesuatu tugasan besar dan penting bagi mengatasi sesuatu masalah. Memilih orang yang sangat dipercayai amat penting bagi mengetuai organisasi kerana kekuatan organisasi terletak kepada kepercayaan yang lahir dalam diri setiap ahli organisasi. Kepercayaan yang kuat ini akan menzahirkan strategi yang berkesan melalui semangat bekerja kuat untuk kejayaan organisasi.
D.   Komitmen
Ia terhasil dari keyakinan individu terhadap nilai, misi dan tujuan organisasi. Organisasi memerlukan ahli yang komited bersungguh-sungguh untuk melaksanakan misi dan tujuan organisasi. Lantaran itu individu yang mempunyai komitmen yang tinggi akan terus menyumbang kepada matlamat organisasi tanpa merasa penat dan jemu. Ini sekaligus akan membawa organisasi ke arah kecemerlangan.

4.    KEPENTINGAN KERJA BERJEMAAH
A.   Berkongsi maklumat dan bertukar pandangan
Setiap ahli organisasi perlu sentiasa bertukar fikiran dan berkongsi idea supaya boleh dimanfaatkan bersama untuk organisasi. Ini dapat membantu kalangan mereka menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman untuk mengendalikan tugasan dalam organisasi. Ini bolehmenjadikan setiap tugasan yang dilakukan dapat dilaksanakan dengan pantas dan efektif.
B.    Dapat menyelesaikan kerja yang rumit dan sukar
Ironinya bekerja secara berkumpulan bukan sesuatu yang mudah kerana setiap ahli organisasi mempunyai masalah yang tersendiri. Akan tetapi, setiap masalah tersebut jika dikongsi bersama dengan menggunakan tenaga yang optimum sudah pasti ia akan cepat diselesaikan dengan bantuan antara satu sama lain. Kerja yang sukar akan menjadi lebih mudah dan masa yang panjang akan menjadi lebih pendek dengan kualiti hasil kerja yang terbaik.
C.    Menzahirkan daya kreativiti yang lebih lancar
Setiap individu mempunyai cara dan kaedah tersendiri untuk menyelesaikan tugasan mereka dalam sesebuah organisasi. Sekiranya setiap idea ini diraikan dan dihargai, ia boleh dikombinasikan untuk menjadi lebih komprehensif dan kreatif. Pada masa yang sama perasaan tertekan emosi untuk cepat menyelesaikan tugasan secara individu menjadi berkurangan kerana masalah itu telah diselesaikan secara bersama dengan menggunakan idea berkumpulan. Idea baru dan saling bantu membantu dapat memajukan organisasi.
D.   Mengeratkan semangat ukhuwah dan setiakawan
Apabila setiap ahli organisasi bergerak serentak maka banyak nilai-nilai murni yang ada dalam diri mereka seperti kasih-sayang, ambil berat, tolong-menolong dan bertolak ansur akan terpancar ketika mana mereka melaksanakan tugasan organisasi. Setiap mereka mesti berkomunikasi baik supaya segala mesej dapat difahami sekaligus dapat mengeratkan hubungan kemanusiaan. Berkomunikasi secara positif dengan lemah lembut, menjaga percakapan dan sopan-santun. Pada masa yang sama sikap negatif seperti bercakap besar, panas baran dan penggunaan kata-kata kesat hendaklah dielakkan kerana ia boleh menyebabkan perasaan kecil hati dan mengundang persengketaan.
5.    CABARAN TERHADAP KERJA BERJEMAAH
A.   Memberi kefahaman terhadap ahli organisasi atau pasukan
Setiap organisasi mempunyai matlamat yang hendak dicapai sama ada untuk mencapai tingkat keuntungan atau kebajikan sosial atau kredibiliti kepimpinan atau seumpamanya. Seluruh gerak kerja dan infrastruktur organisasi diarahkan kepada matlamat organisasi. Walau bagaimanapun ada kalangan ahli organisasi kerana tahap pengetahuan dan latar belakang yang berbeza menyebabkan berlaku salah faham terhadap matlamat organisasi sehingga melambatkan kalau tidak pun menggagalkan matlamat organisasi. Oleh itu organisasi perlu memastikan setiap matlamat organisasi diketahui dan dapat difahami serta berupaya mempertingkatkan komitmen ahli untuk memajukan organisasi.
B.    Kepimpinan yang lemah tidak efektif
Pemimpin yang berkarisma boleh memajukan organisasi dengan arahan yang jelas, bacaan yang tepat dan bimbingan yang meyakinkan. Pemimpin organisasi mesti dipilih dari kalangan mereka yang berpengetahuan, berkemahiran, berpengalaman, cekap dan bertanggungjawab bagi menghadapi situasi sukar dan memutuskan hala tuju organisasi. Organisasi yang barisan kepimpinannya tidak memiliki sifat-sifat ini bakal menjerumuskan organisasi ke jurang kegagalan, kerugian dan menghancurkan harapan setiap ahli organisasi.
C.    Komunikasi yang kurang berkesan
Mewujudkan kepercayaan di antara setiap ahli dalam organisasi adalah amat penting walaupun sukar untuk disempurnakan. Komunikasi yang lemah dan kurang berkesan menyebabkan tiadanya suasana bertukar-tukar pandangan dan bersama-sama menyelesaikan tugasan organisasi. Komunikasi yang berkesan boleh memberi panduan kepada ahli organisasi bagi mengurangkan salah faham di kalangan mereka. Ahli organisasi juga perlu menjadi individu yang terbaik dari segi mental dan fizikal dengan bertindak balas cepat menyelesaikan masalah organisasi dengan berupaya berkomunikasi secara terbuka dan jujur di antara mereka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan berani menghadapi setiap konflik yang timbul.
D.   Budaya negatif
Tiada sikap tolong menolong, bekerjasama dan bertolak ansur. Sikap negatif ahli-ahli dalam organisasi mesti diminimakan untuk kemantapan organisasi. Jangan keterlaluan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mahu bertolak ansur dengan orang lain. Jangan saling membenci, bermusuhan dan memandang rendah orang lain. Jangan tenggelam dengan masalah peribadi sehingga sukar memajukan organisasi. Sebaiknya merendah diri, memahami dan belajar bekerjasama serta bertolak ansur.
E.    Strategi kerja yang tidak terancang
Strategi kerja seperti arahan yang jelas, amalan berpsikologi dan pembahagian tugas amat penting bagi keberkesanan organisasi. Setiap tugasan perlu disusun dengan teratur supaya dapat dilaksanakan dengan lancar. Sekiranya organisasi tidak mempunyai strategi yang mantap, pasukan kerja akan hilang rujukan, merasa tertekan dan hilang semangat kerja merupakan kegagalan organisasi.

6.    PENYELESAIAN MASALAH
A.   Mempertingkatkan kualiti diri
Ini dilakukan melalui pencarian ilmu, kemahiran dan pengalaman yang mantap. Setiap ahli organisasi perlu saling melengkapi antara satu sama lain dengan menutup kekurangan dan kelemahan yang ada. Berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan, memantapkan kemahiran dan mencari pelbagai pengalaman bagi memperkayakan organisasi dalam semua proses kerja.
B.    Meningkatkan karisma kepimpinan
Dalam kerja berpasukan melalui amalan shura dan bertindak mengutamakan keadilan dan kebebasan menyatakan pandangan yang berbeza untuk kepentingan bersama. Pemimpin mesti dibentuk supaya bertanggungjawab, memberi harapan, meningkatkan keyakinan diri dan peniup semangat. Pemimpin bukan sahaja sebagai penunjuk arah tetapi juga sebagai pembimbing ahli organisasi untuk memastikan segala urusan kerja berjalan baik.
C.    Komunikasi yang berkesan
Dalam sesuatu pasukan adalah amat penting dipupuk amalan komunikasi secara sopan, pengucapan intonasi yang betul dan bahasa badan yang tepat serta niat yang baik. Setiap ahli organisasi berusaha untuk berkomunikasi secara  jujur, terbuka dan menerima perbezaan serta bersedia menghadapi konflik bagi menghadapi salah faham, tekanan dan persengketaan. Komunikasi yang baik memberikan semangat berpasukan yang kuat dan komunikasi yang lemah mengoyahkan semangat untuk bekerja secara efisyen.
D.   Peningkatan nilai akhlak dalam diri
Merupakan suatu keperluan bagi organisasi untuk membentuk ahli yang berfikiran terbuka, benar, tabah, tolak ansur dan saling membantu perlu diutamakan dalam hala tuju organisasi. Sikap negatif seperti malas, irihati dan adu domba wajar dielakkan supaya suasana dalam organisasi diwarnai dengan semangat setiakawan dan kegembiraan. Ini mesti diusahakan walaupun sukar.
E.    Peningkatan strategi kerja
Melalui perancangan yang teratur, pemimpin organisasi akan memberi tugasan kepada ahli organisasi supaya dapat diselesaikan pada masa yang ditetapkan sebagaimana spesifikasi yang dikehendaki. Sekiranya tugasan tersebut berhadapan dengan masalah, setiap ahli organisasi perlu bersatu menyelesaikannya dan menambahbaik perkara tersebut supaya berada di landasan yang betul untuk kejayaan organisasi.
F.    Pengabdian diri kepada Allah
Ahli dan kepimpinan organisasi mesti menunjukkan peningkatan pengabdian diri kepada Allah melalui amalan solat, doa, zikir dan tawakal bagi mendapat keberkatan hidup dan kerahmatan organisasi. Membina hubungan spiritual dengan Allah mempu menjadikan suasana organisasi teratur dan tenang serta menggelakkan ketegangan.

Kemahiran kerja berjemaah melibatkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain daripada pelbagai latar belakang sosio budaya untuk mencapai matlamat yang sama. Ia adalah kebolehan untuk;
·      membina hubungan baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai matlamat yang sama.
·      Kebolehan memahami orang lain dan mengambil peranan silih berganti sebagai pemimpin dan yang dipimpin.
·      Mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain untuk memudahkan mengurus konflik.
·      Memberi sumbangan kepada perancangan dan menyelaras hasil usaha jemaah untuk menghasilkan produk berkualiti atau perkhidmatan yang berkesan.
·      Bertanggungjawab terhadap keputusan kumpulan dengan menyelesaikan setiap kekurangan.
Dalam berorganisasi, membina kumpulan jemaah yang mantap sangat penting kerana ia dapat menyumbang kepada produktiviti dan perkhidmatan yang berkualiti. Jemaah ini dibentuk melalui penghargaan terhadap setiap orang, keputusan dibuat berdasarkan shura, setiap ahli jemaah saling mempercayai dan hormat menghormati. Setiap orang diberikan kebebasan untuk menggunakan kreativitinya, kemampuannya dan kepakarannya. Sentiasa wujud suasana mesra di antara ahli. Setiap mereka berbangga dengan hasil kerja jemaah dan pencapaian organisasi.
·      Melatih kemahiran kepimpinan, mengurus dan amalan berorganisasi.
·      Memupuk kebolehan berkomunikasi dan jaringan sosial.
·      Mendorong sifat mempercayai, menghormati , kerjasama dan saling membantu.
·      Melahirkan minat untuk menggunakan kreativiti, meneroka idea-idea baru dan menerima perubahan.
·      Melahirkan ahli jemaah yang berkebolehan menyelesaikan masalah secara kolektif dan sistematik dengan suasana mesra.
·      Memberi peluang kepada ahli menyertai proses membuat keputusan dalam perkara yang berkaitan tugas harian mereka.
·      Mengurangkan krisis dan konflik serta mewujudkan suasana harmoni dan selesa serta berbangga dengan hasil kerja pasukan.
Islam sering menyeru supaya kita hidup dalam berjemaah. Ini dibuktikan dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud “Seseorang yang solat jemaah lebih baik daripada solat berseorangan”. Begitu juga sorotan sejarah Islam membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting sepertimana peristiwa Perang Uhud apabila tentera Islam yang bilangannya lebih kecil tetapi brsatu dapat menewaskan pihak musuh yang lebih besar jumlahnya, apabila mereka bertindak secara berkumpulan dan mempunyai perancangan yang teliti.

7.    KESIMPULAN
Kemahiran kerja berjemaah merupakansatu daripada sistem pengurusan gerak kerja yang sistematik dalam sesebuah organisasi. Sebagai satu prosedur kerja yang berpandukan ketetapan yang digariskan oleh organisasi, banyak faedah yang boleh diperolehi oleh organisasi dan individu yang terlibat dengan organisasi yang berkenaan dari segi psikologikal, sosiologikal dan ekonomikal.



RUJUKAN

Baba, S. 2005. Konsep Khalifah dan Komunikasi Dalam Pasukan.
Hawa, S. 2006. Memahami Prinsip-Prinsip Amal Islami. Terj. Darus Sanawi. Kula Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Smith, K. 2000. Teamwork Content. Canada.


No comments:

Post a Comment