Pages

Sunday, April 12, 2020

ISC08



KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH


1.       PENDAHULUAN
Kemahiran penyelesaian masalah diperlukan apabila wujud sesuatu rintangan dalam mencapai matlamat. Penyelesaian masalah merupakan keupayaan menggunakan minda untuk mencari idea dan langkah-langkah mengatasi kekurangan atau halangan yang ada untuk mencapai objektif yang dihasratkan. Menyelesaikan masalah dengan bijak adalah penting dalam kehidupan seharian kerana dapat memajukan kehidupan dan menjadikan kehidupan lebih selesa dan selamat.

2.       DEFINASI
Menyelesaikan masalah adalah satu proses mental untuk mengatasi halangan yang sedang dihadapi berdasarkan tujuan tertentu. Menyelesaikan sesuatu masalah boleh dijadikan sebagai cabaran kepada seseorang. Dengan ini seseorang individu akan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah sekiranya terdesak untuk menanggani keadaan yang tidak menyenangkan. Proses penyelesaian masalah bermula dengan menyedari masalah, mengenal pasti dan memahami masalah. Seterusnya, meneroka pilihan penyelesaian masalah dan meninjau kesan akibat pilihan penyelesaian masalah. Kemudian baru memilih penyelesaian masalah yang terbaik dan melaksanakannya. Apabila terdapat banyak kesan negatif, maka pilihan itu hendaklah dipertimbangkan semula ataupun ditolak.

3.       CARA MENYELESAIKAN MASALAH
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud; “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan apa yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan apa yang dilakukannya. (Mereka berdoa dengan berkata;)Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengira kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang yang terdahulu dari kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan ampunkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah penolong kami; Oleh itu tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir”.
Lantaran itu, dalam kehidupan seharian ini, setiap individu harus mengetahui cara menghadapi masalah supaya dapat meneruskan hidup dengan lebih baik. Hidup manusia adalah menyelesaikan masalah. Tiada individu yang tiada masalah. Masalah perlu diurus dengan sebaik mungkin. Di antara strategi untuk mengurus masalah ialah;
·      Kawal emosi  dan jauhkan diri dari situasi yang boleh menimbulkan kemarahan. Luahkan perasaan secara asertif (kawalan diri). Jangan tergesa-gesa membuat keputusan kerana pemikiran manusia boleh berubah-ubah. Jika tidak bersabar mungkin masalah akan menjadi lebih rumit. Bersangka baik kepada Allah bahawa pertolongan dan jalan keluar pasti ada.
·      Kenal pasti sebab berlakunya masalah. Banyak masalah hidup seperti kemiskinan, gejala sosial dan rasuah. Siapakah yang bertanggungjawab? Sekiranya perlu, jauhkan diri dari orang yang menimbulkan masalah dan memikirkan cara dan merancang strategi untuk menyelesaikannya. Berdoa mohon pertolongan kepada Allah dan merendahkan diri kepada-Nya. Solat dan doa boleh mententeramkan jiwa dan fikiran.
·      Bertanya kepada orang tersebut sama ada dia mempunyai masa untuk berbincang. Beritahu mereka bagaimana perasaan kita seperti contohnya: Saya sangat sedih ketika ini. Dengar apa yang hendak diperkatakan. Benarkan orang itu memberi maklum balas.
·      Berbincang tentang alternatif lain untuk menyelesaikan konflik tersebut. Teruskan untuk berbincang dengan tenang. Sekiranya konflik itu tidak boleh diselesaikan atau kemarahan anda semakin bertambah, beredar dan bicarakan tentang hal tersebut kemudian.
·      Pandukan kepada ajaran agama. Jauhi perkara yang boleh membawa kepada masalah seperti minum arak, berjudi, menghampiri dan melakukan zina, membunuh, memfitnah dan seumpamanya yang menjadi tegahan agama. Jika dilakukan juga, hendaklah segera bertaubat dengan ikhlas kepada Allah dan memohon ampun kemaafan kepada pihak yang terlibat.
·      Mengadakan mesyuarat yang melibatkan semua jabatan sekali atau dua kali sebulan adalah cara baik untuk berkongsi perkembangan (termasuk kejayaan dan cabaran) di jabatan masing-masing.
·      Para pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea bagaimana jabatan-jabatan mereka boleh bekerjasama bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil yang memberangsangkan. Dengan cara ini, mereka betul-betul dapat mengeluarkan anak buah mereka daripada gelembung pasukan dan memberi perspektif yang lebih meluas tentang sumbangan mereka kepada organisasi secara keseluruhannya.
·      Pemimpin yang efektif melibatkan diri dengan pasukan sepanjang masa. Mereka sentiasa memberi sokongan yang diperlukan dan mudah dihubungi untuk mendapatkan nasihat dan panduan. Mereka perlu bersifat proaktif dalam mengenal pasti apa yang diperlukan oleh kakitangan untuk menjalankan tugas dengan lebih baik.
·      Mungkin pahit untuk ditelan tetapi apabila semua orang diam seribu bahasa, inilah masanya pemimpin mengeluarkan kata-kata yang berani. Mungkin ada sesetengah pekerja yang kurang selesa berbicara tentang kesukaran kerja yang dialami dan mengapa ia timbul, tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengemudi organisasi anda untuk mencapai penyelesaian. Selesaikan masalah itu. Jangan lari dari masalah; ia hanya akan meruncingkan suasana dan menjadikannya lebih sukar untuk ditangani.
·      Tunjukkan penghargaan kepada sumbangan orang lain dengan kata-kata seperti, “Terima kasih Nurul Aswani kerana menyediakan slaid itu untuk saya atau bagus kerja kamu Faizzudin, saya sangat menghargainya.” Itu sudah cukup untuk membuat orang lain merasa dihargai. Atau boleh juga belanja mereka makan tengah hari di luar.
·      Sebagai seorang pemimpin, boleh menunjukkan keprihatinan dalam pelbagai cara dan yang paling mudah adalah dengan memberikan pujian ikhlas kepada kakitangan atau rakan sekerja setiap hari. Biasakan diri membuatnya tetapi ia haruslah ikhlas dan spesifik. Anda mungkin akan terkejut dengan perbezaan yang terhasil.
·      Gunakan perkataan ‘kita’ dan ‘kami’ sebanyak mana yang mungkin dalam pelbagai cara yang membina dan positif dan letakkan orang lain sebagai tumpuan utama. Jika organisasi mendapat kontrak yang besar, beritahu kejayaan ahli pasukan yang mendapatkan kontrak tersebut ke seluruh organisasi.
·      Kegagalan patut ditanggung bersama, seperti juga kejayaan. Tetapi apabila keadaan menjadi sukar, kakitangan akan memerlukan pemimpin yang membuat keputusan dan pemimpin yang baik adalah mereka yang tidak menuding jari kepada orang lain, tidak kira dalam apa jua keadaan.

4.    KEMAHIRAN MENYELESAIKAN MASALAH
Individu boleh zahirkan perasaan dan tindakan secara jujur, berterus terang dan ikhlas tanpa mencabuli batas hak orang lain. Menghormati diri sendiri dan diri orang lain. Berkelakuan asertif iaitu kita yang mengawal hidup diri kita sendiri serta tidak pula mengawal hak mutlak orang lain. Dalam kehidupan ini masalah dan konflik tidak dapat dielakkan. Gangguan emosi boleh wujud dengan segera disebabkan masalah perhubungan. Dengan bersikap asertif memperkatakan sesuatu secara berpatutan dan bertindak secara menghormati orang lain, dapat mewujudkan perhubungan yang tulin dan harmoni sesama manusia. Menyedari bahawa manusia adalah hamba Allah yang dijadikan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, menyedari bahawa manusia mempunyai beberapa kekurangan dan hidup ini sebagai "sharing" atau perkongsian sesama manusia.
Lazimnya, isu-isu dalam sesebuah organisasi berpunca daripada masalah-masalah biasa yang berkisar pada penglibatan dan pelaksanaan. Punca setiap masalah adalah kurangnya kesedaran diri, sama ada dalam kalangan pasukan kepimpinan atau kakitangan, atau kedua-duanya secara menyeluruh.

5.    KESIMPULAN
Kemahiran menyelesaikan masalah mampu untuk menyelesaikan masalah yang kecil hingga yang besar hingga ke akar umbi, juga masalah yang zahir dan juga yang batin serta mendapat keredhaan Allah. Kehidupan akan menjadi lebih tenang dan harmonis kerana sikap bersungguh-sungguh untuk menuju erti kebahagiaan hakiki.


No comments:

Post a Comment