Pages

Sunday, April 12, 2020

ISC07


KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI MUSLIM

1.    PENDAHULUAN
Pengurusan diri  muslim merupakan proses memantapkan urusan kendiri dari aspek rohani, jasmani, fizikal dan emosi. Ia adalah usaha mendisiplinkan diri dalam aktiviti seharian menurut sebagaimana ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Ini dilakukan supaya kehidupan individu berada dalam kawalan dan menggembirakan serta memberi ketenangan jiwa dan kerehatan.

2.    KRITERIA PENGURUSAN DIRI MUSLIM
Berikut merupakan kriteria pengurusan diri muslim;
A.    Ubudiyah; Melahirkan manusia yang taat dan sentiasa mencari keredhaan Allah. Individu yang menyerahkan segala tingkahlakunya untuk pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Semua aktiviti pengurusan diri tidak bertentangan dengan Islam.
B.    Mas’uliyah; Membentuk manusia yang amanah dan bertanggungjawab dalam pelaksanaan tugas dengan lebih baik. Ia melakukan kerja dengan dedikasi dan bertanggungjawab sehingga dapat mempertingkatkan prestasi kerja dengan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Ini sebagaimana maksud hadith; “Ketahuilah bahawa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia akan bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan ke atas mereka semua. Seorang wanita juga pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dipertanggungjawabkan ke atas mereka semua. Seorang hamba adalah pemimpin ke atas harta tuannya dan dia bertanggungjawab ke atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya”.
C.    Ketaatan; Prinsip utama ketaatan ialah arahan atau perintah dari pihak yang perlu dihormati itu tidak bercanggah dengan Islam. Terdapat beberapa faktor yang mesti diambil kira bagi menjadikan sesuatu arahan ditaati. Di antaranya ialah arahan tersebut berada dalam bidang tugas, tugas yang diarahkan oleh majikan atau organisasi terdapat dalam deskripsi kerja dan kerja tersebut boleh dilakukan mengikut keupayaan mental dan fizikal pekerja. Ketaatan dalam organisasi amat penting untuk melicinkan perjalanan organisasi sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi. Ketaatan tersebut juga melibatkan arahan yang tidak bercanggah dengan hukum dan nilai-nilai yang ditentukan oleh syarak. Maksud firman Allah SWT surah al-Nisa’: 59; “Wahai orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat“. Maksud hadith Rasulullah SAW, “Tidak ada ketaatan pada makhluk dalam perkara maksiat kepada al-Khaliq”. (Hadith Sahih al-Jami’). “Sesiapa yang mentaati perintahku, maka sesungguhnya ia mematuhi perintah Allah. Sesiapa yang mentaati perintah amir (ketua) sesungguhnya bererti mematuhi perintahku, dan sesiapa yang melanggar perintah amir (ketua) bererti ia melanggari perintahku”. (Riwayat Muslim)
Hadith di atas menunjukkan bahawa ketaatan itu sangat penting dan sesebuah organisasi  sangat memerlukan ketaatan seorang ketua dan seorang pengikut. Konflik organisasi akibat dari kelemahan soal ketaatan boleh menyebabkan keruntuhan koordinasi dan organisasi menjadi lemah dan gagal. Organisasi perlu menyediakan dasar dan peraturan supaya dipatuhi oleh setiap individu yang bekerja di dalamnya. Tanpa taat kepada disiplin, operasi organisasi akan jadi kacau bilau yang akibatnya akan memusnahkan organisasi. Setiap pengurus diamanahkan oleh majikan dan pihak pengurusan atasan bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan kerja diikuti oleh pekerjanya dan dirinya sendiri. Namun begitu ketaatan kepada kepimpinan organisasi boleh berlaku apabila organisasi itu milik pemerintah. Akan tetapi sekiranya organisasi itu bukan milik pemerintah (NGO), ketaatannya tidak sama seperti organisasi pemerintah.
D.   Mengawal emosi; Kebolehan seseorang untuk mengawal emosi serta perasaan diri sendiri dan orang lain adalah suatu usaha untuk meningkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Ia penting bagi menjaga perhubungan dengan orang lain. Kebolehan ini kemudiannya digunakan sebagai panduan untuk berfikir dan bertindak. Emosi merupakan hubungan intrapersonal aspek hubungan dalam diri iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami diri sendiri dan seterusnya berusaha untuk mempertingkatkan kualiti diri. Intrapersonal merangkumi aspek-aspek bagaimana seseorang itu berfikir, mengawal emosi, membina nilai diri, mengawal kemarahan dan membina kekuatan diri. Ia merupakan bagaimana seseorang berinteraksi dengan dirinya sendiri. Kebolehan seseorang mengawal perasaan dengan tidak menghamburkan kata-kata kesat ketika marah, bersikap optimis, sentiasa bermotivasi, berkebolehan meneutralkan keadaan, iaitu dengan tidak terlalu cepat menerima atau menafikan sesuatu, bertanggungjawab, berintegriti, berkeyakinan tinggi, bersikap terbuka juga dikatakan sebagai sebahagian daripada kemahiran intrapersonal untuk kawalan emosi. Kemahiran berinteraksi antara individu dengan diri sendiri dan juga orang lain akan terbina apabila kemahiran interpersonal dan intrapersonal digabungkan dengan sempurna.
Emosi adalah ekspresi perasaan naluri seperti gembira, sayang, malu, sedih, takut dan sebagainya. Ia merupakan ciri-ciri jiwa manusia yang terpancar dari psikologi atau mental seseorang mengikut naluri dalaman dan juga situasi luaran. Ia muncul apabila berlaku hubungan intrapersonal iaitu bagaimana seseorang itu dapat memahami dirinya sendiri dan seterusnya berusaha mempertingkatkan kualiti diri. Individu muslim seharusnya bijak mengawal emosi untuk mempertingkatkan kualiti diri dan kualiti kehidupan. Jangan biarkan emosi menguasai diri.
E.    Berketrampilan; Seseorang yang berupaya melakukan pekerjaan dengan cekap dan bijak menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan. Menjadualkan masa dengan menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan pelbagai kemahiran kerja dan kemahiran hidup. Individu muslim yang berketrampilan bijak menyesuaikan diri walau di mana ia berada, berkeupayaan berfikir secara kritis dan matang serta merancang semua aspek hidup ke arah tujuan yang positif dan teratur. Mahasiswa samalah juga dengan pekerja, mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam pendidikan tinggi dan persekitaran pembelajaran yang konsisten serta kehendak organisasi pekerjaan sama ada di bidang pengeluaran atau pun perkhidmatan.
Universiti dan juga organisasi kerja sepatutnya dijadikan sebagai tempat yang menyeronokkan untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran hidup. Di simpang itu bergaul bersama rakan dan tidak mempunyai hubungan yang negatif dengan pensyarah atau pemimpin organisasi. Selepas ibu bapa, pensyarah dan pemimpin organisasi merupakan orang yang patut dihormati kerana usahanya membentuk masa hadapan kita. Untuk menjadi mahasiswa dan pekerja yang berjaya, setiap individu perlu berupaya menjadualkan masa untuk menambah ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran, beriadah, menonton televisyen sebagainya. Di samping itu, mesti berkebolehan mengingati sesuatu fakta pembelajaran dalam jangka masa yang lebih panjang.
F.    Mengurus kewangan; Kemahiran merancang semua aspek hidup amat penting sama ada untuk melakukan sesuatu dan juga apa yang telah dilakukan. Mahasiswa dan pekerja mesti mempunyai arah tujuan yang positif untuk masa hadapan dan bukan hanya hidup mengikut arus sekeliling sahaja. Individu sepatutnya mempunyai matlamat kewangan dan mengutamakan belanjawan, membuat tabungan dan menyelesaikan hutang. Ini setelah ia berusaha gigih mencari rezeki yang halal di mana sahaja ada peluang dalam memenuhi keperluan kehidupan.
Bagi orang Islam, Nabi Muhammad S.A.W. berpesan bahawa; “akan datang lima perkara sebelum lima perkara: Sihat sebelum sakit, Kaya sebelum miskin, Lapang sebelum sibuk, Muda sebelum tua, Hidup sebelum mati”.
Secara tidak langsung, dapat difahami kepentingan menetapkan matlamat supaya dapat melaksanakan tanggungjawab. Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut dalam surah al-Jum’ah, ayat 10 yang bermaksud: “Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” Rezeki dan limpah kurniaan Allah sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah dan tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama. Mereka juga boleh melanggan produk takaful sebagai persediaan menghadapi musibah. Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insuran kerana ia menggunakan konsep bantu-membantu di kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana kontrak insuran konvensional. Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit dan kemalangan. Ia sebagai suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta. Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda. Sumber kewangan yang ada juga boleh dibuat pelaburan untuk menambah nilai daripada apa yang dimiliki. Kita tidak digalakkan oleh pakar kewangan meminjam untuk pelaburan. Ini kerana setiap pelaburan mempunyai risiko. Pinjaman mengikat kita dengan komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira kita untung atau pun rugi. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul. Kegagalan pinjaman menyebabkan tindakan disaman atau diisytiharkan muflis bagi kes yang berat. Dengan wang yang ada sepatutnya dilaburkan dalam saham amanah yang patuh Syariah. Sebagai rasa bertanggungjawab dan bersyukur, individu dikehendaki menunaikan zakat dan bersedekah (Infaq). Zakat sebagai rukun Islam yang keempat apabila harta yang dimiliki telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul) dengan kadar 2.5% daripada pendapatan. Amalan ini amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama. Sekiranya ada kelebihan harta, kita disunatkan bersedekah mengikut kemampuan dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Inilah ciri orang yang bertakwa. Surah Ali Imran (131-132) bermaksud; “Dan segeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik”.
G.   Belajar; Mahasiswa dan pekerja mesti berkeupayaan berfikir secara kritis, positif dan matang. Kemahiran berfikir ini harus dipelajari dan dipraktikkan dan tidak hanya mengikut logik semata-mata. Belajar bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak pula terlalu sukar. Untuk menjadikan belajar itu mudah, mereka mesti menguasai kemahiran belajar yang sistematik seperti membaca, membuat rujukan dan nota. Boleh dikatakan semua orang boleh membaca tetapi tidak ramai yang boleh membaca dengan pantas dan dalam masa yang sama dapat memahami dan mengingati apa yang dibaca. Mereka perlu ada kemahiran merujuk dan menyelidik dari buku buku, akhbar, majalah, membuat temu ramah dan sebagainya. Terdapat pelbagai cara membuat nota tetapi yang penting, nota mesti mudah difahami supaya mudah disampaikan semula kepada pihak lain dengan berkesan sama ada dalam bentuk tulisan mahupun lisan.
Mahasiswa dan pekerja organisasi mesti berupaya menilai kelemahan dan kekuatan diri sendiri di samping sentiasa berusaha memperbaiki segala kelemahan diri. Jangan sesekali menyalahkan orang lain jika gagal. Adalah lebih baik menyalahkan diri sendiri dan melihat kelemahan diri dan seterusnya bertekad untuk berjaya. Walau apa keadaan sekalipun, kita mestilah sentiasa bersyukur dan bertakwa agar Allah SWT akan memberkati segala usaha kita.

3.    MASALAH PENGURUSAN DIRI
A.      Emosi terganggu. Ini berlaku apabila seseorang berhadapan dengan konflik yang tidak dapat diselesaikan sehingga diri menjadi resah gelisah dan gagal melakukan sesuatu dengan baik. Ada kalangan yang terlibat pernah cuba untuk bunuh diri dan mencederakan diri. Gangguan emosi ini menyebabkan tekanan perasaan yang teruk sehingga individu memencilkan diri, merasa rendah diri dan terlalu sensitif.
B.      Tidak mempunyai ilmu agama yang cukup. Ini boleh menyebabkan individu menjadi sesat, salah faham, mudah terpengaruh dan salah dalam amalan ibadah. Semua ini menyebabkan amal ibadah tidak diterima oleh Allah. Bahkan boleh terjerumus kepada pertelagahan, tingkahlaku maksiat dan jenayah.
C.      Tidak menepati masa. Ia berlaku kerana masa yang ada iaitu 24 jam tidak dirancang dengan sistematik sehingga hilang keutamaan. Tiada penjadualan aktiviti seharian sehingga banyak kerja yang penting tidak dapat diselesaikan dengan baik dan banyak perkara yang tertangguh.
D.      Gagal mengurus kewangan. Kecenderungan negatif seperti malas bekerja kuat untuk mencari sumber kehidupan, boros berbelanja kepada barangan perkhidmatan yang bukan keperluan dan bersukaria. Banyak berhutang sehingga khuatir tidak mampu dilunaskan. Tidak mengagihkan sebahagian dari pendapatan untuk simpanan masa hadapan atau ketika kesusahan. Tidak memberi nafkah kepada keluarga, ibu bapa, berzakat dan bersedekah.
E.       Tidak menjaga penampilan diri. Ini meliputi pakaian yang tidak terurus bahkan dilihat kotor, tidak kemas, tidak mengutamakan kebersihan tubuh badan seperti bau yang tidak menyenangkan, rambut tidak bersikat, tidak mandi dan tidak gosok gigi sehingga rakan-rakan menjauhi diri dan dipandang rendah oleh masyarakat.

4.    CARA MENGATASI MASALAH
·      Mengawal minda; Berusaha mencari ketenangan diri di tempat yang jauh dari sebarang gangguan dan bertenang sambil berzikir menyebut nama Allah, beristighfar, memuji-Nya dan bersalawat ke atas Nabi Muhammad SAW supaya kita bebas dari kegelisahan emosi dan mempunyai harapan untuk menghadapi masa hadapan. Ekspresi emosi mesti diarahkan kepada kepada suka, gembira, syukur dan berani mengatasi ekspresi negate seperti takut, bimbang, duka dan sedih.
·      Merancang dan menepati masa; Setiap individu mesti berusaha mempertingkatkan ketrampilan dalam banyak bidang kehidupan supaya ia dapat menjalankan tugas dengan cekap dan meyakinkan. Dengan itu individu harus bijak merancang aktiviti seharian supaya bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama. Setiap hari yang dilalui baik siang atau pun malam adalah sangat berharga untuk disia-siakan.
·      Menambah ilmu keagamaan; Ini dilakukan bagi mencari keredhaan Allah melalui ubudiyyah ikhlas kepada Allah supaya setiap amalan itu betul dan diterima oleh Allah.
·      Merancang belanjawan dan menentukan matlamat kewangan; Individu hendaklah berbelanja dengan bijak. Penggunaan segala sumber kewangan dengan berhemat dan elakkan pembaziran pada perkara tidak perlu dengan menyusun keutamaan perbelanjaan. Mencarai rezeki melalui pekerjaan yang halal, membuat tabungan dan menyelesaikan hutang bagi mendapat keberkatan Allah.
·      Menjaga kebersihan diri; Penampilan yang bersih dan rapi membuatkan orang di sekeliling merasa selesa dan gembira untuk bertemu dan berkomunikasi dengan kita. Kebersihan diri harus diutamakan dengan memberus gigi secara teratur, mandi, memakai pakaian yang bersih kemas dan menyikat rambut.

5.    KESIMPULAN
Pengurusan diri harus dilaksanakan secara sepadu iaitu diri spiritual dan juga diri fizikal. Diri spiritual hendaklah diuruskan terlebih dahulu sebelum mengurus diri fizikal kerana segala yang nyata fizikal ini merupakan cerminan diri spiritual. Positifkan diri spiritual maka positif diri fizikal. Justeru kerana kebahagiaan itu bukan terletak pada material tetapi dari dalam diri manusia.



No comments:

Post a Comment