Pages

Tuesday, June 12, 2012

Asas Islam 5


AKHLAK DALAM PEMBENTUKAN
JATI DIRI MUSLIM


1. Pendahuluan
Peranan akhlak dalam pembinaan sahsiah seseorang tidak boleh dinafikan lagi dari segi kepentingannya. Proses pembentukan akhlak adalah selaras dengan perkembangan jiwa manusia. Untuk membentuk akhlak yang baik memang sukar tetapi apa yang harus dilakukan oleh seorang muslim ialah dengan cara mempraktikkan usaha ke arah kesempurnaan akhlak seperti yang dituntut oleh agama Islam secara sedikit demi sedikit. Akhlak tidak dapat dipisahkan dari manusia walaupun sedetik daripada usianya. Setiap tingkahlaku atau perbuatannya atau geraklaku amalannya tidak terlepas dari lingkungan pengawasan Allah. Bagi memahami dengan lebih mendalam pengertian akhlak, pandangan dari kalangan ahli falsafah Islam, tokoh agama, al-Quran, al-Hadith, dan ahli sufi boleh diberi perhatian.

2. Definasi
2.1        Moral
Suatu sistem yang menilai tindakan zahir manusia dalam hubungan sesama manusia sahaja dan nilai baik buruknya ditentukan oleh masyarakat berdasarkan kepada pemikiran dan sentimen umum yang tertentu. Oleh yang demikian semua nilainya adalah bersifat relatif, subjektif dan sementara. Moral juga adalah tingkahlaku yang telah ditentukan oleh etika sebagai baik dan jahat. Yang baik ialah segala tingkahlaku yang dikenal pasti olek etika sebagai baik dan yang jahat ialah segala tingkahlaku yang dikenal pasti oleh etika sebagai jahat.

2.2  Etika
Perkataan etika berasal dari bahasa Inggeris ethic dan ia sebenarnya berpunca dari perkataan Greek iaitu ethos yang membawa maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan dengan sikap yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan.

Etika dan moral merupakan dua perkara yang saling berkaitan di antara satu sama lain. Oleh itu terdapat pengkaji etika yang menyamakan pengerertian moral dan etika. Mohd Nasir Omar memetik kata-kata Peter Baeiz yang antara lain menyatakan;
”Moral etika selalunya mempunyai makna yang sama. Walau bagaimanapun adalah berfaedah jika dapat dibezakan di antara keduanya sekalipun kita selalu tidak berjaya membezakannya”.

Oleh kerana etika merupakan teori yang dihasilkan oleh pemikiran manusia, muncul pelbagai mazhab dengan teori-teori etika atau teori moral yang berdasarkan fahaman masing-masing.

2.3  Akhlak
Akhlak merupakan perkataan bahasa Arab kata jamak atau plural dari perkataan al-khuluqun yang bermaksud budi pekerti, tingkahlaku dan tabiat. Perkataan ini adalah pecahan dari al-khalaq yang bererti ciptaan. Al-Quran menyatakan hakikat ini dengan bermaksud;
”Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimuliakan kejadiannya manusia berasal dari tanah”.

Manusia dicipta dengan penuh keindahan (sebaik-baik kejadian). Keindahan tersebut meliputi lahiriah (fizikal) dan batiniah (spiritual). Keindahan ciptaan fizikal diistilahkan sebagai al-khalqu seperti raut muka, warna kulit dan sebagainya. Sementara keindahan dalaman diri manusia terangkum dalam istilah al-khuluq yang menggambarkan keindahan jiwa meliputi kehendak, inspirasi dan sebagainya.

Dari sudut istilah, Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din mendefinasikan akhlak sebagai sifat tertanam dalam jiwa seseorang dan darinya terbentuk perbuatan dengan mudah tanpa berkehendakkan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Menurut Ibn Maskawaiyh, akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan tanpa melalui pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu. Prof. Dr. Ahmad Amin berpendapat akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan.

Akhlak dalam Islam adalah tindakan yang merangkumi aspek lahiriah dan batiniah seseorang. Aspek lahiriah melibatkan tingkahlaku perbuatan luaran. Manakala aspek batiniah pula merupakan keadaan dalaman (spiritual) seseorang. Dengan lain perkataan, aspek batiniah ialah keimanan yang ada dalam diri seseorang sehingga mereka melakukan sesuatu berdasarkan suruhan iman tersebut.

2.4 Akhlak Sebagai Asas Agama
Islam ialah al-Din yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. melalui Rasul-Nya untuk manusia di alam ini. Isi kandungan Islam yang utama ialah akidah, ibadah dan ketiga. Akidah sebagai keimanan dan kepercayaan serta iltizam manusia terhadap Allah. Ia disempurnakan melalui syariah dengan ibadah yang khusus dan umum. Akidah dan syariah inilah yang melahirkan akhlak. Akidah yang bersih dan syariah yang tetap membawa insan berperilaku sesuai dengan kehendak Allah. Sebaliknya akidah kacau bilau dan syariah yang tidak terlaksana boleh melahirkan akhlak yang rendah darjatnya. Oleh kerana itu para sarjana Islam menjelaskan;
”Akhlak ialah asas dalam akidah dan syariah. Tanpanya laksana satu badan yang tidak ada roh”.

Dalam  bidang akidah, keimanan seseorang kepada Allah s.w.t. akan menghalangnya dari melakukan perbuatan mungkar yang tidak diredhai Allah seperti mensyirikkan-Nya, takut kepada yang lain dari Allah dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

”Kesempurnaan iman seseorang itu ialah apabila dia berakhlak”.

Dari segi ibadah, keseluruhan yang terdapat dalam ajaran Islam jika tidak disertai dengan akhlak boleh menyebabkan ibadah yang dilaksanakan tersebut tidak bernilai bahkan tidak diterima oleh Allah s.w.t. Ini kerana Allah s.w.t. bersih zat dan sifat-Nya, sudah tentu mengutamakan kebersihan diri insan zahir dan batin. Sifat ikhlas sebagai contohnya hendaklah disertakan dalam setiap ibadah yang dikerjakan.

3. Kategori dan Skop Akhlak
3.1  Kategori Akhlak
a.  Akhlak Mahmudah
Akhlak mahmudah amat dituntut oleh Islam. Ia merupakan segala bentuk kebaikan yang dilakukan oleh manusia darip perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara yang sebesar-sebesarnya seperti keimanan yang mutlak kepada Allah, takwa, ihsan, jujur, amanah, pemurah, memelihara lidah serta lain-lain sifat yang menggambarkan sifat kebaikan. Akhlak mahmudah adalah semua perbuatan yang menggambarkan perlaksanaan tanggungjawab kepada perintah Allah dan akur kepada larangan-Nya dengan cara tidak melanggar larangan tersebut bukan sahaja dari perbuatan zahir tetapi juga hatinya (batin) akur dengan tuntutan tersebut.

b.  Akhlak Mazmumah
Akhlak mazmumah merupakan akhlak yang keji dan cela sebagai lawan kepada akhlak mahmudah. Ia merupakan segala bentuk perlakuan, sifat, tabiat dan perangai buruk yang dicela oleh syarak. Di antara sifat-sifat tersebut ialah syirik, derhaka kepada ibu bapa, sombong, fitnah, mengumpat, mencela, rasuah dan sebagainya. Sifat mazmumah ialah semua perbuatan yang melaksanakan larangan Allah dan meninggalkan suruhan-Nya. Terpuji atau tercela sesuatu perlakuan (perkara) bukan berdasarkan kepada ukuran akal tetapi berdasarkan kepada apa yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam konteks akhlak, al-Quran menggunakan pelbagai pendekatan untuk menjelaskan hakikat akhlak yang baik dan akhlak yang buruk. Kepentingan akhlak yang baik serta ancaman Allah kepada mereka yang berakhlak buruk. Akhlak yang baik disebutkan dalam al-Quran dengan istilah al-Khayr (kebaikan), birr (keburukan), qist (kesaksamaan), ’adl (keadilan), haqq (benar), ma’ruf (diketahui dan disahkan baiknya) dan sebagainya. Mereka yang melakukan amal kebaikan adalah orang yang berjaya.

Dalam menggambarkan konsep keburukan pula, al-Quran menggunakan istilah seperti al-Sayyi’at, al-Suu’ (kejahatan), al-Fahsya’ (perkara yang keji), al-Munkar (kemungkaran) dan sebagainya. Mereka yang mengamalkan amalan ini adalah orang yang keji di dunia dan di akhirat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
”Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang panah (bertenung nasib) adalah perbuatan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah: 90)

3.2  Skop Akhlak
Ciri-ciri akhlak Islam ialah lengkap (syumul) dan luas bidangnya yang meliputi semua aspek perbuatan manusia. Semua perbuatan mengenai dirinya, orang lain ataupun berkaitan dengan perseorangan atau kemasyarakatan dan kenegaraan. Tidak ada suatu pun perbuatan manusia yang terkeluar dan tidak diatur oleh peraturan akhlak dalam Islam. Kesyumulan akhlak Islam merangkumi;
a. Akhlak dengan Allah
Perkara pertama yang dituntut oleh Islam ke atas seorang muslim itu ialah menjadi muslim yang beriman dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t. Mukmin yang sejati dan benar adalah manusia yang sedar tentang kedudukan dirinya serta kekuasaan Allah. Setiap detik dan ketika bertambah keimanannya kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud;
”Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal”. (al-Maidah: 190)

i.         Taat setia menurut perintah Tuhan
Bukan suatu perkara baru jika seorang muslim taat setia kepada semua perintah Tuhannya. Patuh dan khusyuk kepada-Nya, berhenti dalam batas-batas-Nya, menunaikan perintah-Nya sekalipun bertentangan dengan hawa nafsu. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
”Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga hawa nafsunya mengikuti apa yang telah kamu bawa”
.
Firman Allah s.w.t bermaksud;
”Maka demi tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya”.

ii.      Redha menerima Qada’ dan Qadar
Muslim yang benar menerima Qada’ dan Qadar Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
”Ajaib urusan seorang muslim, sesungguhnya segala urusannya adalah baik. Apabila dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan apabila ia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka jadilah baik baginya”.

iii.    Sentiasa bertaubat kepada Allah
Kadangkala seseorang mukmin terlupa, terlalai dan jatuh ke dalam kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku, tetapi dia segera beringat dari lupanya dan memohon keampunan dari Allah. Maksud firman Allah;
”Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa ura-ura dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (al-A’raf: 201)

iv.    Mencari keredhaan Allah
Muslim yang berakhlak terhadap Tuhannya ialah mereka yang sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalan. Segala gerak geri hidupnya adalah untuk mencapai keredhaan Allah dan bukan untuk mengharapkan keredhaan manusia. Kadangkala dia terpaksa membuat sesuatu kerja yang menyebabkan dia dimarahi oleh manusia dalam rangka mencari redha Tuhannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud;
”Sesiapa yang mencari keredhaan Allah dengan kemurkaan manusia, nescaya Allah mencukupi dua dari urusan manusia. Dan Sesiapa yang mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah menyerahkannya kepada manusia”. (Riwayat al-Tarmizi)

v.      Melaksanakan perkara-perkara wajib, fardu dan sunat
Muslim yang berakhlak tinggi akan menunaikan segala rukun dan kewajipan Islam dengan sempurna tanpa melalaikannya. Dia tidak akan lupa atau mempermudah-mudahkannya.

b.  Akhlak Sesama Manusia
Akhlak Islam menetapkan dasar-dasar utama dalam sistem kekeluargaan.
i.        Hubungan suami isteri. Firman Allah s.w.t. bermaksud;
”Dan gaulilah olehmu isteri-isteri itu dengan baik”. (al-Nisa’)

ii.      Hubungan dengan ibu bapa.
Berbuat baik terhadap ibu bapa adalah satu tuntutan Islam yang terbesar. Firman Allah s.w.t. bermaksud;
”Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa”. (al-Nisa’:36)

iii.          Hubungan dengan anak-anak
Islam menetapkan peraturan terhadap anak-anak dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
”Kanak-kanak lelaki disembelih akikahnya pada hari yang ketujuh dari kelahirannya dan diberi nama yang baik, dan dihindarkan ia dari perkara-perkara yang memudharatkan. Apabila berusia enam tahun hendaklah diberi pengajaran dan pendidikan akhlak yang baik.
(Riwayat Ibn Hibban)

iv.          Hubungan dengan kaum kerabat
Islam menetapkan hubungan kekerabatan didasarkan di atas akhlak yang mulia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
”Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan dan memberi kepada kaum kerabat”.

v.            Hubungan kemasyarakatan
Akhlak Islam menetapkan peraturan kemasyarakatan yang luas ruang lingkupnya.
·               Hak-hak umum hidup bermasyarakat
Akhlak Islam menuntut setiap anggota masyarakat memenuhi hak-hak anggota masyarakat yang lain terhadapnya. Setiap anggota masyarakat wajib memelihara hati, lidah dan tangannya dari menyakiti orang lain dalam masyarakat.
·               Hidup berjiran
Islam mengambil berat tentang hidup berjiran sehingga seseorang itu tidak dianggap benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat sekiranya ia membiarkan jirannya tidur di waktu malam dengan perut yang kosong kerana tiada makanan. Akhlak Islam menetapkan adab-adab hidup berjiran sepertimana yang disimpulkan oleh hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia menghormati jirannya”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

·               Fakir miskin dan anak yatim
Islam menjamin hak orang fakir miskin dan anak-anak yatim dengan zakat. Firman Allah yang bermaksud;
”Dan dalam harta mereka ada hak orang yang meminta-minta dan orang miskin”.
 (al-Zariyat: 19)

·               Politik dan pemerintahan
Asas akhlak dalam politik dan pemerintahan ialah setiap urusan pemerintahan hanya diserah kepada mereka yang benar-benar layak untuk menjawatnya. Firman Allah yang bermaksud;
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil”. (al-Nisa’: 58)
·               Ekonomi
Dasar ekonomi Islam ialah takwa, kebaikan dan tolong menolong di antara satu sama lain. Ia bertujuan untuk membersihkan sebarang unsur penipuan dan penindasan di kalangan manusia dalam usaha memenuhi keperluan masing-masing. Dasar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya ia tidak sebati dalam akhlak dan tingkahlaku mereka yang terlibat dalam kegiatan ekonomi. Firman Allah yang bermaksud;
”kecelakaan besarlah bagi orang yang curang, (iaitu) orang yang apabila menerima pertukaran dari orang lain, mereka meminta dipenuhi. Dan apabila menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi”. (al-Mutaffifin: 1-3)

·               Ketenteraan dan peperangan
Ketenteraan dalam Islam adalah salah satu ibadah yang tinggi nilainya. Oleh kerana itu Islam menetapkan adab yang tersusun dan teratur mengenainya. Dalam fakta sejarah, tentera Islam merupakan tentera yang memiliki nilai akhlak yang tinggi yang tidak ada tolok bandingnya. Islam juga menetapkan undang-undang peperangan yang ditegakkan di atas asas-asas akhlak Islam yang mulia.
·               Hubungan antarabangsa
Dari sudut kemanusiaan, Islam menetapkan bahawa semua manusia adalah sama berdasarkan kepada kesatuan asal keturunannya sebagai Bani Adam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
”Kepada sesiapa sahaja di dunia ini, beriman atau tidak asalkan ia tidak memusuhi Islam, maka Islam menetapkan asas akhlak yang mulia bagi perhubungan manusia sejagat. Melalui perhubungan ini mereka dapat saling mentaati pengalaman, kebudayaan dan adat resam di antara satu sama lain demi kepentingan pengembangan tamadun manusia keseluruhan.
     (al-Isra’: 70)

c.  Akhlak dengan Makhluk Selain Manusia
Kesyumulan akhlak Islam bukan hanya terbatas dalam menetapkan hubungan terhadap sesama manusia sahaja malah ia menetapkan panduan akhlak terhadap seluruh makhluk Allah sama ada yang dicipta dari cahaya, api, yang tidak berakal dan juga yang tidak bernyawa.
·                Malaikat
Malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang berterusan memohon kebaikan dari Allah bagi para mukmin. Firman Allah yang bermaksud;
”Hampir sahaja langit itu pecah dari sebelah atasnya kerana kebesaran Allah dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohon ampun bagi orang yang ada di bumi”.  
                                                                                                                                       (al-Syura: 5)
Akhlak Islam menuntut seorang muslim menghormati para malaikat dengan menutup kemaluannya walaupun bersendirian dan tidak ada orang lain melihatnya.
·               Jin
Jin adalah makhluk Allah yang dicipta dari samun atau api yang tidak berasap. Sebahagian dari mereka beriman sedangkan sebahagian yang lain adalah kuncu-kuncu iblis. Firman Allah yang bermaksud;
”Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada yang salih dan ada di antara kami (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza”. (al-Jin:11)

Islam juga menetapkan beberapa adab terhadap golongan jin. Di antaranya Rasulullah s.a.w. melarang membuang air dalam lubang-lubang di bumi. Daripada Qatadah;
Nabi telah melarang kencing di lubang. Orang bertanya kepada Qatadah kenapa dilarang kencing di lubang? Jawabnya kerana itu adalah tempat kediaman jin”.
               (Riwayat Ahmad, Nasa’i, Abu Dawud, al-Hakim, Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

·               Haiwan ternakan
Islam menetapkan adab-adab akhlak terhadap haiwan ternakan. Sekiranya haiwan tersebut digunakan untuk membuat kerja, ia tidak boleh dibebani sesuatu yang di luar kesanggupannya. Haiwan tersebut tidak boleh dianiaya dan disakiti. Malahan ketika hendak menyembelih haiwan untuk dimakan sekalipun, hendaklah penyembelihan dilakukan dengan cara yang paling baik iaitu dengan menggunakan pisau yang tajam, tidak mengasah pisau di hadapan haiwan tersebut ataupun tidak menyembelih haiwan itu di samping haiwan sejenisnya yang lain.
·               Haiwan bukan ternakan
Terhadap haiwan selain daripada ternakan, Islam juga menetapkan agar mereka tidak dianiaya. Rasulullah s.a.w. menceritakan kisah seorang wanita jahat yang diampun oleh Allah kerana bersusah payah memberi minuman kepada anjing yang kehausan. Sedangkan seorang wanita yang banyak melakukan amalan-amalan kebaikan telah dimurkai Allah kerana menganiaya seekor kucing.
·               Alam raya
Alam dan sumber-sumbernya dicipta Allah bagi faedah manusia. Manusia diperintahkan untuk memakmurkan sumber-sumber alam demi kebaikan bersama dan tidak berlebih-lebihan hinggakan boleh membawa pembaziran dan kemudaratan. Akhlak Islam juga menetapkan bahawa alam ini tidak dicemari dengan kekotoran yang boleh merosakkan kehidupan manusia.

4. Pembinaan dan Pemantapan Akhlak
Usaha membina dan memantapkan akhlak bukan suatu perkara yang mudah. Seluruh potensi dan kekuatan perlu digarap secara bersama dan berterusan ke arah acuan yang sudah ditentukan. Di antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah;
·               Penghayatan al-Quran
Membiasakan diri membaca dan memahami ayat-ayat yang tersurat dan makna yang tersirat pada waktu pagi atau petang. Abdullah Nasih `Ulwan telah menasihatkan para pendidik supaya memberikan didikan al-Quran kepada anak-anak mereka.
”Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara; Cintakan kepada Nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta membaca al-Quran. Sesungguhnya para pembaca al-Quran itu berada di bawah naungan ’Arasy Allah pada hari tiada naungan-Nya bersama-sama para Nabi-Nya dan orang suci”.

Penghayatan al-Quran mendidik hati supaya sentiasa akur dan patuh kepada Allah, takut pada ancaman-Nya dan gembira dengan janji Allah yang sentiasa benar.
·               Menjadikan Rasulullah sebagai Uswah Hasanah
Nabi Muhammad s.a.w. adalah rujukan uswah hasanah (contoh tauladan) yang paling tepat bagi semua peringkat kehidupan. Rasulullah diutuskan kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak mulia supaya manusia dapat menjalani kehidupan dengan aman damai. Firman Allah yang bermaksud;
”Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu contoh ikutan yang baik”.
                                                                                                                        (al-Ahzab: 21)

Sebagai utusan Allah dan ikutan terbaik, baginda memiliki sifat-sifat mulia untuk dijadikan teladan. Ini dapat dilihat dari perjalanan hidup Nabi Muhammad s.a.w. yang begitu cemerlang walaupun berada di kalangan masyarakat jahiliyah. Pada diri baginda terdapat sifat-sifat kenabian seperti sidiq, amanah, tabligh, fathanah dan pelbagai sifat terpuji yang lain seperti berani, pemurah, lemah lembut, kasih sayang, tenang, sabar, tegas dan sebagainya.
·               Pendidikan dan pelaksanaan ibadah
Pendidikan merupakan salah satu cara untuk mencorak manusia menjadi seorang yang beriman. Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Penghayatan akhlak terpancar melalui perlaksanaan Rukun Islam yang lima. Contohnya, Allah mewajibkan solat pada hakikatnya adalah bertujuan untuk menjauhkan diri muslim dari perbuatan keji, membersihkan diri dari kekotoran rohani dan jasmani. Sehubungan dengan itu Allah berfirman yang bermaksud;
”Dirikanlah (olehmu) sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah (dirimu) daripada perbuatan keji dan mungkar”.(al-Ankabut: 45)

Begitu juga dalam soal zakat. Ia bukan semata-mata untuk melepaskan tanggungjawab membayar cukai harta dan seumpamanya tetapi perkara yang paling penting adalah untuk membersihkan diri manusia dari sifat-sifat mazmumah malah menyuburkan jiwa manusia dengan sifat-sifat mahmudah seperti firman Allah yang bermaksud;
”Ambillah dari harta mereka sedekah (zakat) untuk membersihkan (diri dan jiwa mereka) dengannya”.            (al-Taubah: 103)

Demikian juga tujuan dan hikmah di sebalik kewajipan puasa. Ia bukan sekadar amalan ibadah yang mencegah dan menahan diri manusia dari makan minum semata-mata, tetapi bertujuan melatih diri manusia supaya mengawal nafsu dan syahwat. Firman Allah yang bermaksud;
”Telah difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat yang terdahulu dari kamu semoga kamu bertakwa (menjauhi diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak diredhai Allah)”. (al-Baqarah: 182)

Ibadah haji pula bukan sekadar mengunjungi Baitullah semata-mata tetapi mempunyai hikmah yang begitu banyak seperti dapat menghubungkan silaturahim di kalangan umat Islam sedunia, mewujudkan perpaduan dan kerjasama, membersihkan hati, menjaga lidah daripada percakapan yang sia-sia, bertengkar dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud;
”(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadah haji itu, maka ia tidak boleh menyetubuhi isteri, dan tidak boleh berbuat maksiat, tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji”. (al-Baqarah: 179)

·               Ilmu pengetahuan
Akhlak dapat dibina, dimantapkan dan diperkasa melalui ilmu pengetahuan, didikan dan latihan. Ilmu pengetahuan di sini ialah ilmu pengetahuan mengenai akhlak yang baik yang diperintah agama dan akhlak keji yang dicela agama. Ilmu pengetahuan ini dididik, dilatih, dan ditanam dalam diri manusia supaya mereka tidak terlupa. Pendidikan yang berkesan tersusun di atas lima perkara iaitu pendidikan dengan contoh tauladan, pendidikan dengan pemerhatian dan pengawasan serta pendidikan dengan hukuman dan denda. Latihan juga penting kerana apa yang dididik perlu dilatih kerana dari kebiasaan yang baik akan menjadi akhlak yang baik.
·               Tarbiyah Ruhiyah
Manusia terdiri dari aspek fizikal (lahiriah) dan spiritual (dalaman atau ruhiyah). Serentak dengan pendidikan lahiriah ialah pendidikan batiniah iaitu pendidikan kerohanian manusia yang akan mengikat jiwa manusia dengan Allah dan menjadi orang yang sebenar beriman kepada Allah. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mendidik rohani seperti melalui zikrullah. Hati juga boleh dilembutkan melalui istighfar, selawat, tasbih, tahmid, berdoa dengan doa-doa yang ma’thur dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud;
”Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan perasaan lega dan diredhai. Masuklah ke dalam golongan hambaku dan masuklah ke dalam syurgaku”.

5.  Cabaran dan Penyelesaian
Dalam menghadapi arus kemajuan dan cabaran abad ke 21, keperluan terhadap pembentukan akhlak semakin mendesak memandangkan masalah-masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia. Bermula dari masalah disiplin di peringkat sekolah seperti ponteng, merokok, penyalahgunaan dadah sehingga kepada jenayah kolar putih di kalangan golongan yang berpendidikan seperti skandal seks, pecah amanah, rasuah dan penipuan. Akhlak mulia perlu wujud dalam kehidupan demi untuk melahirkan sebuah negara yang mulia dan maju dalam segenap bidang terutamanya melalui pendidikan dengan mengutamakan kecemerlangan ilmu dan akhlak. Kegagalan membentuk mesyarakat yang berakhlak akan mengakibatkan kehancuran di muka bumi ini. Firman Allah yang bermaksud;
”Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.       (al-Rum: 41)

5.1  Cabaran dalam pembentukan akhlak
Terlalu banyak cabaran yang dihadapi dalam pembentukan akhlak sehingga amat sukar untuk ditangani atau dihindari oleh individu, keluarga, masyarakat dan negara. Cabaran-cabaran tersebut boleh dibahagikan kepada dua, iaitu;
a.       Cabaran luaran
i.              Budaya negatif
Budaya negatif yang wujud pada hari ini seperti hedonisme dan lain-lain telah melahirkan sub budaya yang mencemaskan seperti budaya bohsia, lepak, penyalahgunaan dadah, pelacuran, pergaulan bebas, seks bebas, disko, rock, rap, black metal dan sebagainya. Gejala sosial yang dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam telah menjadi sebahagian dari amalan remaja Islam.
ii.            Masalah persekitaran
Keadaan persekitaran hidup memang banyak mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Jika individu itu hidup dalam keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup berakhlak maka jiwanya akan terdidik dengan tingkahlaku, tutur kata dan gaya hidup yang tidak baik. Contohnya suami isteri yang suka bergaduh akan melemaskan anak-anak menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan keluar (escapism). Biasanya tindakan yang diambil oleh anak-anak itu membawa kepada permasalahan sosial seperti lari dari rumah, menyertai rakan sebaya yang telah rosak akhlak dan sebagainya. Kecenderungan segolongan masyarakat dan golongan remaja yang suka membabitkan diri dengan sindrom yang tidak beretika ini mengakibatkan masyarakat umum turut terjebak dalam suasana yang lebih kritikal. Fenomena ini disokong oleh budaya masyarakat kini yang selalunya memihak kepada hedonisme seperti wujudnya peminat-peminat video games, karaoke, pub dan sebagainya yang merupakan masalah yang tidak berkesudahan.
iii.          Cabaran pendidikan
Pendidikan agama amat penting bagi melahirkan generasi yang berakhlak mulia. Menurut Mohd. Kamal Hassan, pendidikan moden yang bersifat liberal dan sekular tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek pembentukan akhlak dan rohani yang sihat. Tidak menghairankan sekiranya terdapat banyak kes-kes penipuan, pecah amanah, rasuah, politik wang dan manipulasi jahat untuk kepentingan diri di kalangan orang bijak pandai kini. Ini adalah sebahagian akibat dari pendidikan yang mengabaikan agama dan akhlak dalam keghairahan yang melulu terhadap pendidikan profesionalisme dan pendidikan untuk mengisi keperluan kebendaan manusia. Kegagalan dan kepincangan pendidikan moden untuk mengharmoniskan di antara ilmu, budi pekerti, jiwa yang luhur dan amal yang mulia akan membawa kepada kehancuran sesebuah negara jika tidak diambil langkah-langkah segera untuk mengatasinya.
iv.          Media massa
Pengaruh media massa terhadap masyarakat begitu kuat sekali. Ia boleh mencorakkan gaya hidup sesebuah masyarakat. Peranan media massa semasa sama ada media cetak atau media elektronik banyak mengarah kepada keburukan dari kebaikan terutama sekali kepada golongan remaja. Segala bentuk budaya luar sama ada dari Barat atau Timur dibawa masuk ke negara Islam melalui media massa. Media cetak yang berunsurkan hiburan lebih banyak memaparkan gaya hidup artis sehingga menyebabkan golongan remaja lebih mengenali artis dari tokoh-tokoh Islam. Manakala media elektronik pula terlalu memaparkan hiburan yang berunsur negatif yang berjaya mempengaruhi jiwa remaja. Contohnya seperti Rancangan Realiti yang dipaparkan dalam televisyen. Penularan budaya negatif dalam internet dengan berbagai informasi yang tidak terbatas merupakan sesuatu yang sukar dikawal. Adegan yang tidak bermoral seperti pendedahan aurat, ganas dan sebagainya boleh dilihat dengan senang melalui handphone milik persendirian dan sudah menjadi sebahagian gaya hidup golongan remaja kini.
v.            Serangan ideologi Barat
Ideologi berupa fahaman falsafah yang berbentuk teori dan andaian dihasilkan dari usaha pengamatan atau pengalaman manusia sebagai pegangan dalam perlaksanaan sesuatu sistem. Sekularisme merupakan induk kepada ideologi lain seperti kapitalisme, liberalisme dan lain-lain lagi adalah bercanggah dengan Islam. Serangan ideologi ini telah berjaya melemahkan akidah dan pemikiran umat Islam terhadap agama dan mereka lebih terpengaruh dengan cara hidup Barat yang mementingkan hiburan dan kebendaan sehingga merosakkan akhlak mereka.
vi.          Proses pembaratan terhadap umat Islam
Musuh Islam tidak senang dengan perpaduan umat Islam lantas marancang strategi untuk memesongkan pemikiran umat Islam sekaligus menghancurkan pegangan umat islam. Proses pembaratan kini tidak lagi melalui serangan persenjataan tetapi melalui serangan pemikiran yang halus bertunjangkan strategi memikat hati masyarakat Islam.

b.       Cabaran dalaman
  i.            Nafsu
Nafsu adalah anugerah Allah kepada manusia. Kebanyakan keburukan didorong oleh kehendak-kehendak manusia yang tidak pernah puas. Nafsu adalah umpama musuh yang telah bersebati dalam diri manusia yang terdiri dari anggota tubuh badan yang melaksanakan hasrat nafsu manusia. Hati sebagai ketua, mata dan telinga sebagai perisiknya. Ramai manusia mentaati nafsunya untuk melaksanakan keburukan. Dalam masa yang sama memusuhi orang lain yang berbuat baik (berakhlak mulia) dan ikhlas menasihatainya. Firman Allah yang bermaksud;
Adapun orang yang takut ketika berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya) dan (akan) menegah dirinya dari keinginan (mengikut) hawa nafsunya”. (al-Nazi’at: 40)

Firman-Nya lagi yang bermaksud;
”Maka janganlah kamu sekelian mengikuti kecenderungan hawa nafsu kerana sesungguhnya ia akan memesongkan kamu (dari jalan yang benar)”. (al-Nisa’: 135)

Manusia yang mengikut runtunan hawa nafsu pasti ditimpa padah yang boleh menghilangkan maruah diri, agama dan nilai budaya sesebuah masyarakat yang kemudian mereka akan terjerat dalam situasi kemungkaran sebagaimana yang berlaku dalam masyarakat kini.
ii.            Syaitan
Syaitan adalah musuh yang sentiasa mendampingi manusia dengan memperalatkan nafsu manusia. Firman Allah yang bermaksud;
”Sesungguhnya pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang yang menjadikan dia (syaitan) pemimpin mereka dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah”.
  (al-Nahl: 100)

Sejarah telah membuktikan kebencian iblis dan syaitan bermula sejak terciptanya Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. yang dijanjikan menjadi khalifah di bumi. Natijahnya, Iblis menjadi derhaka dan bersumpah kepada Allah untuk terus menggoda generasi Adam supaya dapat bersama syaitan di neraka pada Hari Akhirat kelak. Maksud Firman Allah;
”Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu, maka anggaplah ia sebagai musuh. Kerana sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut (manusia dan golongannya) supaya mereka menjadi penghuni neraka”. (Fatir: 6)

5.2  Penyelesaian masalah akhlak
Di antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah;

a.       Jihad berterusan (melawan nafsu dan syaitan)
Jihad ialah curahan segala daya dan kebolehan manusia untuk menghalang dan menjauhi setiap perkara yang tidak diredhai Allah. Usaha membangunkan akhlak ummah merupakan kerja-kerja yang tidak terpisah dari amal jihad. Manusia perlu sentiasa berjihad menentang nafsu yang sentiasa ingin memenuhi kehendak syahwat yang didorong oleh syaitan dalam berbagai bentuk seperti tamak terhadap herta benda, kedudukan, pangkat, wanita dan seumpamanya. Hanya mereka yang berjaya melepasi dugaan melawan nafsu sahaja yang bakal mendapat keuntungan di akhirat kelak.

b.       Bergaul dengan orang yang berakhlak baik
Langkah yang lebih berkesan untuk mengatasi cabaran akhlak adalah dengan cara bergaul dan merapatkan diri dengan orang yang salih dan salihah serta orang yang kuat imannya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
”Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah terdiri dari mereka yang berakhlak mulia. Keburukan dan berbuat keji tidak ada harganya dalam Islam. Orang yang baik dalam Islam adalah orang yang baik tingkahlaku (akhlak mulia)”.
Mendampingi orang yang baik dan salih akan mempengaruhi individu untuk turut serta berbuat baik.

c.       Persekitaran yang baik
Mewujudkan suasana persekitaran yang baik dalam keluarga dan juga masyarakat. Suasana yang sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah yang meletakkan dasar akhlak, iman dan amal dalam kehidupannya supaya akhlak manusia terus terpelihara. Berusaha menjauhi persekitaran yang baik boleh menjejaskan iman dan akhlak terutamanya tempat-tempat yang biasa menggamit manusia ke arah kemaksiatan. Langkah awal yang boleh diambil ialah dengan melarang manusia mendekati perkara-perrkara yang boleh membawa ke arah maksiat seperti larangan melihat perkara-perkara lucah kerana ditakuti akan membawa kepada zina, menjauhkan diri dari majlis-majlis pergaulan bebas, pesta-pesta hiburan dan seumpamanya.
d.       Memantapkan institusi kekeluargaan
Keluarga adalah asas kepada pembangunan sesebuah masyarakat. Baik sesebuah keluarga maka dengan sendirinya baiklah sesebuah masyarakat dan begitulah juga sebaliknya. Oleh itu ibubapa bertanggungjawab untuk memastikan anak-anak mereka diberi pendidikan akhlak yang sempurna untuk masa depan mereka dan masyarakat Islam seluruhnya untuk mengelak dari azab Allah s.w.t.

e.       Bebas dari ciri-ciri sekular dalam kehidupan
Sekular ialah pemisahan urusan agama dari kehidupan duniawi. Masyarakat Islam kini terlalu terpengaruh dengan cara hidup Barat yang merosakkan akhlak. Kadangkala kekaguman mereka terhadap Barat tidak kena pada tempatnya terutama apabila mereka meniru perkara-perkara buruk yang diamalkan oleh Barat.

f.        Sentiasa berdoa kepada Allah
Manusia walaupun dikurniakan akal fikiran ia tetap lemah. Apa jua usaha dan ikhtiar yang dilakukan manusia mesti meminta bantuan dan perlindungan dari Allah. Dalam menghadapi kegawatan keruntuhan akhlak kini, setiap individu mesti memohon dan berdoa agar dilindungi oleh Allah dari perkara-perkara yang tidak diingini.

Langkah-langkah lain yang perlu diberi perhatian ialah;
·               Pendidikan yang dilaksanakan dalam keluarga ataupun di sekolah hendaklah memberi penekanan yang bersepadu di antara pendidikan akademik dan pendidikan agama.
·               Memberi kefahaman kepada masyarakat tentang bahaya ideologi-ideologi Barat yang bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh membawa umat Islam kepada kehancuran.
·               Media massa jangan keterlaluan mementingkan keuntungan duniawi semata-mata dengan menyiarkan rancangan sensasi yang bertentangan dengan tatasusila Melayu-Islam. Kerajaan perlu mengawasi media massa supaya rancangan yang disiarkan boleh membina minda dan akhlak masyarakat.
·               Masyarakat perlu peka terhadap gejala sosial dan berusaha bersungguh-sungguh membenteras kerosakan akhlak.

6.  Kepentingan menghayati akhlak Rasulullah
Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w. bahawa baginda tidak pernah sama sekali memukul seseorang pun dengan tangannya melainkan kerana fisabilillah. Baginda juga tidak pernah menaruh dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke atas dirinya sendiri, melainkan apabila melihat kehormatan Allah dicabuli. Jika baginda diminta untuk memilih dua perkara, tanpa ragu-ragu lagi baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah di antaranya kecuali jika perkara tersebut dosa, ataupun akan menyebabkan terputusnya perhubungan silaturahim,maka baginda akan segera menjauhinya. Tidak pernah seseorang yang datang kepada Nabi sama ada yang merdeka atau hamba sahayanya (hamba sahaya perempuan) mengadukan keperluannya melainkan baginda memenuhi hajat masing-masing. Berkata Anas r.a.;
Demi zat yang mengutuskan dengan kebenaran, dia (nabi) tiada pernah berkata kepadaku dalam perkara yang tidak diingininya. Apabila isteri-isterinya memarahiku atas sesutu yang dilakukan, maka dia berkata kepada mereka: ”Biarkanlah si Anas itu dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap sesuatu itu berlaku menurut ketentuan dan kadar”.

6.1 Akhlak Rasulullah dalam sesuatu majlis
Apabila baginda menhadiri sesuatu majlis di antara sahabatnya, tidak pernah dikhususkan satu tempat untuknya melainkan di mana sahaja di situlah baginda duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa sahaja yang mendatanginya sehingga kadangkala baginda sampai menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Apabila di dalam sesuatu majlis yang ramai, baginda menumpukan perhatian kepada semua orang. Kehalusan budi pekertinya dan perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di dalam majlis tersebut.

6.2 Rasulullah s.a.w. dari aspek percakapan
Adapun Rasulullah s.a.w. seorang yang amat fasih dalam kata-kata dan amat manis sekali dalam tutur bicara. Kata bicara baginda sentiasa padat dan lengkap, tidak panjang, tidak pendek sehingga amat mudah bagi orang yang mendengar untuk menghafal dan menurut arahan. Apabila bercakap suara baginda sangat nyaring dan indah nadanya apabila didengar. Baginda tidak akan berbicara jika tidak perlu. Baginda tidak akan menyatakan sesuatu atau marah kecuali yang hak semata-mata. Apabila baginda berbicara dalam sesuatu majlis, semua para hadirin akan mendengar dengan penuh minat. Apabila selesai dari bicaranya barulah para hadirin pula berbicara. Seorang demi seorang tanpa bertelingkah antara satu dengan yang lain. Baginda seringkali tersenyum dan tertawa di hadapan para sahabatnya.

6.3 Akhlak Rasulullah sewaktu makan
Rasulullah s.a.w. sentiasa memakan apa sahaja makanan yang disediakan untuknya. Apabila makanan telah tersedia, baginda pun membaca;
”Dengan nama Allah! Wahai Tuhanku! Jadikanlah makanan ini suatu nikmat yang disyukuri yang akan menyampaikan nikmat ini kepada nikmat syurga”.

Baginda tidak suka memakan makanan yang panas. Sabdanya yang bermaksud;
”Sesungguhnya Allah tidak memberi kita makanan dari api. Sejukkanlah makanan itu dahulu.”
Apabila makan, baginda akan mengambil makanan yang paling hampir dengannya. Baginda menggunakan tangan kanan dan tidak berbunyi ketika mengunyah. Kebiasaan makanan sehariannya terdiri dari air dan kurma.

6.4 Akhlak Rasulullah dalam berpakaian
Rasulullah s.a.w. memakai apa sahaja pakaian tanpa memilih tetapi kebanyakan dari pakaiannya berwarna putih. Semua pakaian baginda labuh hingga ke buku lali dan selalu terkancing butangnya. Baginda mempunyai dua salinan baju khusus untuk sembahyang Jumaat selain pakaian-pakaian yang dipakainya pada hari-hari selain hari Jumaat. Pernah suatu ketika baginda mempunyai pakaian serba hitam yang dipakainya tetapi kemudian diberikannya kepada orang lain. Baginda juga memakai kopiah di bawah ikatan serbannya dan memakai kopiah sahaja tanpa serban. Apabila baginda memakai pakaian, baginda memulakan dari kanan. Apabila menanggalkan pakaian, dimulakan dari kiri dan apabila baginda menukar pakaian baru diberikannya yang lama itu kepada orang miskin.

6.5 Rasulullah bersifat pemaaf
Rasulullah s.a.w. seorang yang amat lapang dada dan suka memaafkan orang lain meskipun baginda mampu membalas dendam. Dalam satu peristiwa, banyak sekali berlaku di mana sahabat meminta izin membunuh orang yang berbuat jahat kepada Rasulullah s.a.w. mereka menyatakan; Izinknlah kami menetak kepalanya. Ya Rasulullah s.a.w.! Tetapi baginda tidak bersetuju dan melarang. Dalam hal ini baginda selalu bersabda yang bermaksud;
”Mudah-mudahan Allah merahmati saudaramu. Sebenatnya musuh itu telah disakiti lebih dari itu, baginda bersabar sahaja”.

6.6 Rasulullah seorang yang dermawan
Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat dermawan dan menghulurkan bantuannya untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Kedermawanan baginda bagaikan angin yang menghembus keras, ertinya sangat dermawan sehingga tangan yang mulia itu tidak menahan-nahan sesuatu kecuali disedekahkannya. Suatu ketika baginda menerima wang sebanyak 90 dirham lalu diletakkan di atas tikar. Wang itu dibahagi-bahagikan. Tidak seorang peminta pun yang ditolak oleh baginda sehingga habis semua wang tersebut. Tiba-tiba ada pula seorang datang kepada Rasulullah s.a.w. meminta sesuatu, kemudian beliau bersabda yang bermaksud;
”Sayang sekali saya sudah tidak mempunyai apa-apa lagi, tetapi belilah sesuatu dengan berhutang dan hutang itu tanggungkan kepadaku. Nanti, kalau sudah ada rezeki datang, akan saya penuhi”.

6.7 Rasulullah s.a.w seorang yang tawadhu’
Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat merendah diri. Baginda menonggang himar (keldai) dengan berlapikkan selembar kain dan kadang-kadang dengan memboncengkan orang lain. Rasulullah s.a.w. suka menziarahi orang sakit, menghantarkan jenazah, memenuhi undangan raja-raja, menjahit sandalnya dan menampal baju-bajunya. Dalam rumahnya, Rasulullah s.a.w. gemar mengerjakan sesuatu untuk kepentingan keluarganya. Para sahabatnya tidak suka berdiri untuk menghormatinya sebab mereka telah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. tidak suka demikian. Apabila Rasulullah s.a.w. berjalan melalui tempat kanak-kanak, baginda akan memberikan salam. Jikalau sedang duduk dengan sahabat-sahabatnya Rasulullah s.a.w. bercampur seolah-olah beliau adalah salah seorang di antara sahabat-sahabatnya itu. Oleh sebab itu, orang yang tidak mengenali Rasulullah tidak dapat membezakan yang mana satu di antara sahabat-sahabat itu adalah Rasulullah.

6.8 Akhlak Rasulullah kepada jiran
Berbuat baik kepada jiran adalah termasuk dalam satu perkara yang amat ditekankan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa baginda sendiri selalu mendapat pesanan dari malaikat Jibril a.s. supaya berbuat baik kepada jiran tetangga. Al-Quran juga menerangkan bahawa jiran termasuk golongan manusia yang harus diutamakan dan berinteraksi dengan baik, di samping golongan manusia yang lain seperti kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan sebagainya. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud;
”Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, janganlah menyakiti jiran tetangganya”.
                                                                                             (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berbuat baik kepada jiran tetangga dalam pengertian yang minimum ialah tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka atau tidak mengganggu mereka. Contohnya, tidak membuang sampah di depan rumah mereka atau tidak menyakiti hati mereka dengan perkataan-perkataan yang kasar. Berbuat baik kepada jiran dalam pengertian yang maksimum ialah bukan sahaja tidak mengganggu mereka tetapi juga mampu memberi bantuan dalam bentuk material ataupun moral.

6.9 Akhlak Rasulullah dalam ekonomi
Bekerja dan berniaga adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Baginda mula berniaga ketika umurnya sekitar 12 tahun. Ketika itu baginda mengikuti bapa saudaranya Abu Talib berniaga di Syam. Semasa mengikuti rombongan berniaga inilah Abu Talib ditemui oleh pendita Yahudi bernama Bukhaira. Pendita Yahudi ini mendapati adanya tanda-tanda kenabian pada Rasulullah s.a.w. dan menyuruh Abu Talib supaya segera membawa baginda pulang ke Makkah. Rasulullah s.a.w. juga diketahui sangat rajin sejak kecil. Baginda bekerja mengembala kambing dengan mendapat upah beberapa qirat (sen) sahaja. Menjelang usia remaja, Rasulullah s.a.w. terus bekerja dengan menjadi pengurus kepada syarikat perniagaan milik Ummul Mukminin, Khadijah Binti Khuwailid, seorang ahli korporat wanita terkenal di Makkah.

Pengalaman Rasulullah s.a.w. berniaga, bukan sekadar berniaga dan mencatatkan untung yang besar tetapi baginda diperhatikan oleh Maisarah bagaimana akhlak muamalatnya ketika melayan pelanggan, cara baginda berjual beli, menyukat timbangan, serta ketelitian, kesopanan dan kejujuran beginda sehingga memajukan perniagaan. Abu Bakar al-Siddiq r.a. meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
”Tiga golongan yang tidak masuk syurga iaitu; yang pertama golongan penipu, kedua golongan yang bakhil dan ketiga golongan yang suka mengungkit-ungkit”.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud;
”Sesungguhnya Allah sangat menyukai apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan itqan (tekun)”. (Riwayat al-Baihaqi)

Itqan bermaksud melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan barang yang dihasilkan mempunyai mutu yang tinggi dan baik, tidak ada penipuan, penyelewengan dan saduran. Harga yang dikenakan juga mesti sesuai dengan mutu serta kualiti produk yang dihasilkan.

7. Kesimpulan
Cabaran dalam pembentukan akhlak merupakan suatu agenda yang perlu ditangani. Usaha untuk merealisasikan pembentukan akhlak mulia semestinya mempunyai halangan-halangan yang perlu dihadapi dan difikirkan supaya hasrat untuk menjadikan setiap individu Muslim baik dalam semua aspek tercapai. Pengabaian terhadap akhlak akan mengakibatkan keruntuhan tamadun manusia sebagaimana yang sudah terbukti dalam lipatan sejarah.


Rujukan

Aboe Bakar Atjeh, Prof. 1979. Akhlak Dalam Islam. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Al-Ghazali. Penyakit-penyakit Hati. Terj. Muhd Labib Ahmad. Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd.

Al-Qardhawi, Prof. Dr. Yusof. 1993. Umat Islam Menangani Cabaran dan Tentangan Zaman. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.

Drs. Humaidi Tatapangarsa. 1981. Akhlak Yang Mulia. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd. Singapura.

------------------------------------. 1983. Pengantar Kuliah Akhlak. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Garner, Richard T. 1996. ”Ethic”. The Encyclopedia Americana, Connecticut: Grolier Incorporated.

Ghazali Darussalam. 1997. Dinamika Ilmu Akhlak Islamiyah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Harun Din, Prof. Dr. 1988. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd.

Mohd. Ali Hasyim. t.t.  Keperibadian Muslim. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Muhammad al-Ghazali. 1980. Pekerti Muslim Siri (1). Terjemahan Ismail bin Mohd Hassan. Siri Penerbitan Yayasan Islam Terengganu. Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd.

Muhammad Uthman El-Muhammady. 1984. Akhlaq Dalam Islam. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

Sabiq, Sayid. Unsur-Unsur Kekuatan Dalam Islam. Singapura: Pustaka Nasional.

Zaidan, Abdul Karim. 1987. Dasar-Dasar Ilmu Dakwah. Shah Alam: Pustaka Fajar.

No comments:

Post a Comment