Pages

Tuesday, June 12, 2012

Asas Islam 4



KONSEP IBADAH MEMBINA INSAN BERKUALITI




1. Pendahuluan
Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama atau kepercayaan-kepercayaan yang lain. Ia bukan perbuatan mengasingkan diri, ia juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu. Ada agama yang menganggap ibadah sebagai perbuatan mengasingkan diri atau memencil diri dari kehidupan, menjauhi diri  sama sekali dari menikmati nikmat di dunia ini. Ibadah juga bukanlah sepertimana yang biasa dfahamii oleh masyarakat umum iaitu pengucapan dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji, tetapi ia merangkumi pengertian yang amat luas. Ia merupakan hubungan langsung di antara hamba dengan Allah tanpa perantaraan sama ada orang biasa atau golongan ulama. Ibadah mencakupi semua perkara dan perbuatan yang sesuai dengan suruhan dan larangan Allah s.w.t. iaitu; mentaati segala yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang.
.
Islam telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa sekali. Dalam al-Quran dijelaskan bahawa seluruh jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk tujuan beribadah kepada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku”.   
         (al-Dzariyat: 56)

Semua Nabi dan Rasul yang diutuskan oleh Allah tidak ditugaskan kecuali menyampai dan menyeru manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat itu seorang rasul supaya mereka (menyerukan); Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut”. (al-Nahl: 36)                  

2. Definasi Ibadah

Ibadah dari segi bahasa berasal dari perkataan Arab ‘ain, baa dan dal yang membawa maksud merendahkan diri, patuh dan taat. Dari segi istilah pula ibadah bermaksud khusyuk kepada Allah, merendah diri dan tetap hati kepada-Nya. Jelas dari maksud ibadah dari segi istilah ini telah memfokuskan ketundukan dan kepatuhan seseorang manusia itu hanyalah ditujukan kepada Allah tanpa sekutu.  Jesteru itu sesuatu amalan yang pada zahirnya dilihat sebagai ibadah tidak dikira sebagai ibadah seandainya amalan tersebut dilakukan bukan ikhlas kerana Allah. Dalam al-Quran dijelaskan, ibadah sebagai ubudiyah dan ketaatan. Firman Allah yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya”. (al-Baqarah: 172)

Syeikh Ibn Taimiyyah dalam kitabnya al-Ubudiyah menyatakan bahawa ibadah bermakna kehinaan dan kecintaan kepada Allah s.w.t. Oleh itu pengertian ibadah ialah kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah dan kemuncak kecintaan kepada-Nya. Ia bermaksud seseorang hamba merasakan kehinaan dirinya di sisi Allah Yang Maha Perkasa dan merakamkan rasa kecintaan yang tidak berbelah bagi kepada-Nya dengan melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Terdapat juga ahli tafsir seperti al-Tabarani yang menjelaskan maksud ibadah sebagai: khusyuk kepada Allah, merendah diri dan tetap hati kepada-Nya.

Ini menunjukkan bahawa makna ibadah adalah sangat luas termasuk setiap apa yang disuruh dan ditegah oleh Allah dan Rasul-Nya sama ada perkataan, perbuatan zahir mahupun batin. Manusia mestilah merendah dan menghambakan dirinya kepada Allah dengan tulus ikhlas dan mentaati segala perintah dan larangan-Nya tanpa bantahan dan berdolak dalik. 

3. Pembahagian Ibadah

Ruang lingkup ibadah dalam Islam amat luas. Ia merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap perkara yang dilakukan baik yang berkaitan dengan individu mahupun masyarakat boleh menjadi ibadah kepada Allah s.w.t. jika ia memenuhi syarat-syarat tertentu. Ulama telah membahagikan ibadah kepada dua bahagian, iaitu;
a. Ibadah Khusus
Pengabdian kepada Allah dalam bentuk dan masa yang tertentu. Ia merupakan sekumpulan perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Islam. Ia tidak boleh direka dan dicipta sendiri oleh manusia mengikut kehendak hati mereka sama ada dengan menambah atau mengurangkannya seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran, zikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.” (Riwayat Bukhari)

Ibadah ini juga dinamakan sebagai ibadah fardhu Ain iaitu sesuatu amalan yang dituntut setiap individu mukalaf melakukannya dan berdosa sekiranya tidak melakukannya.

b.Ibadah Umum
Pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah menerusi semua urusan kehidupan duniawi yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia dan makhluk lain yang berlandaskan akidah dan syariat Islam. Ia juga dinamakan sebagai ibadah fardhu kifayah iaitu suatu amalan yang wajib dilakukan oleh sebahagian daripada anggota  masyarakat Islam demi untuk kemaslahatan umat Islam. Seandainya semua orang Islam dalam komuniti tesebut tidak melakukannya, maka semua orang Islam di kawasan tersebut berdosa. Sebaliknya jika terdapat beberapa individu muslim melaksanakannya ia akan menyelamatkan seluruh orang Islam dalam komuniti tersebut daripada dosa. Contahnya seperti menguruskan jenazah, mempelajari dan mengamalkan bidang profesional yang memberi manfaat kepada umat Islam seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan lain-lain lagi. Pengabdian dalam bentuk ini dapat dilaksanakan dengan mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam seluruh kehidupan. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu  contoh  teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan           (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah “. (al-Ahzab: 21)

Kedua-dua bahagian ini melengkapkan pengertian ibadah yang sebenar dalam Islam.  Ia juga menunjukkan kesyumulan Islam sebagaimana ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud;
Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun  dalam al-Kitab ini”.  (al-An’am: 38)

4. Syarat Sesuatu Amalan Menjadi Ibadah

Meskipun skop ibadah begitu luas, namun ia perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam agar dinilai dan diberi ganjaran pahala oleh Allah.  Sekiranya ibadah itu dilakukan tanpa memenuhi syarat-syaratnya, maka ibadah itu tertolak dan sia-sia sahaja. Perkara yang menjadi syarat suatu kerja atau amalan itu dikategorikan sebagai ibadah adalah;
a.  Kerja yang dilakukan itu hendaklah diakui oleh Islam sesuai dengan hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut. Ada pun amalan yang diingkari Islam seperti kerja yang ada hubungan dengan riba dan judi atau sebagainya tidak dianggap sebagai ibadah walaupun niatnya baik kerana ibadah. Ini kerana Allah bersifat suci dan bersih dan tidak menerima amalan yang kotor.      

b. Kerja itu hendaklah disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah. Firman Allah yang bermaksud;
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya.”. (al-Bayyinah: 5)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Sesungguhnya segala amal itu hendaklah dengan niat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai contohnya ialah mencari rezeki yang halal bertujuan untuk mengelakkan kemiskinan bagi menyara kehidupan diri dan keluarga supaya tidak bergantung kepada orang lain. Begitu juga dengan pekerjaan lain seperti bercucuk tanam, berniaga, belajar dan lain-lain.

c.  Kerja itu hendaklah dibuat dengan bersungguh-sungguh dan seelok-eloknya (sebaik mungkin) bagi menepati apa yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya”. (Riwayat Muslim)


d. Ketika melakukan sesuatu kerja, ia tidak bercampur dengan perkara maksiat (perkara yang bercanggah dengan hukum syarak) seperti menzalimi orang lain, khianat, menipu dan sebagainya.

e.  Kerja yang dilakukan itu tidak menghalang atau melalaikan seseorang muslim dari menjalankan kewajipan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman Allah yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.”
                                                                                                   (al-Munafiqun: 9)

Apabila seseorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya, ia adalah dikira sebagai beribadat kepada Allah meskipun dia tidak duduk di masjid atau di surau membuat kerja-kerja tersebut.

5. Ibadah Yang Afdhal

Mengikut pendapat yang kuat di kalangan ulama, ibadah yang afdhal ialah ibadah yang dilakukan bagi tujuan mencapai keredhaan Allah s.w.t. bagi setiap masa mengikut kehendak di masa itu seperti;
  • Ibadah yang afdhal ketika di medan jihad ialah berjihad.
·           Ibadah yang afdhal ketika tahajud ialah sembahyang sunat, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar.
·           Ibadah yang afdhal ketika azan ialah menjawab azan.
·           Ibadah yang afdhal ketika kesusahan ialah menolong orang yang ditimpa kesusahan.
·           Ibadah yang afdhal ketika ada yang sakit ialah menziarahi si sakit.

      5.  Asas-Asas Ibadah
Asas-asas kepada perlaksanaan ibadah yang lebih sempurna memerlukan kepada memiliki, memahami dan menghayati persoalan yang berkaitan dengan iman, ilmu, ihsan dan ikhlas.
5.1 Iman
Perkara asas dalam Islam ialah iman. Ia pembeza mutlak kualiti insan sama ada seseorang itu mukmin atau kufur. Justeru itu iman perlu dibina dan disuburkan. Iman dalam kefahaman Islam berteraskan tauhid iaitu meyakini keesaan Allah. Kesempurnaan iman seseorang memerlukan ia memahami Allah dan sifat-sifat-Nya, memahami kitab, mengenali para malaikat, rasul-rasul, Hari Akhirat dan mempercayai qada dan qadar Allah. Keimanan yang mantap mampu mendorong seseorang melakukan amalan semata-mata kerana Allah.

5.2 Ilmu
Ilmu adalah alat yang penting untuk membolehkan manusia memahami, menghayati dan mampu berfungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kepentingan ilmu  juga dapat dilihat melalui penurunan ayat yang pertama ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. iaitu yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan Penguasaan ilmu mesti meliputi ilmu-ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah supaya insan dapat memahami keluasan skop ibadah dalam Islam. Dengan ilmu juga manusia dapat memahami bagaimana cara untuk melaksana ibadah kepada Allah dengan lebih sempurna.

5.3 Ihsan
Perkataan Ihsan mempunyai makna yang luas. Segala bentuk kebajikan yang dilakukan bagi memenuhi keperluan seseorang dalam apa juga keadaan dikira sebagai ihsan.  Memberi makan orang yang lapar, memberi minum orang yang dahaga dan bersedekah mengikut keperluan keadaan adalah di antara contoh-contoh ihsan. Oleh itu kita perlu bersifat ihsan sebagaimana ihsannya Allah kepada hamba-Nya. Firman Allah yang bermaksud;
Berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”  
  (al-Qasas: 77)

Melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya kerana merasai bahawa Allah sentiasa melihat apa yang dilakukannya. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka (Dia) Allah melihat kamu”. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kepada hadith di atas dapat disimpulkan bahawa setiap amalan yang dilakukan baik dalam bentuk ibadah khusus atau pun ibadah umum mestilah disertai dengan ihsan  kerana Allah sentiasa memerhati setiap apa yang dlakukan oleh manusia. Hasil dari keyakinan dan kefahaman ini akan dijanjikan ganjaran baik daripada Allah untuk setiap amalan.

5.4 Ikhlas
Mengerjakan sesuatu perbuatan dengan suci hati dan tidak bercampur dengan unsur-unsur riya’. Melakukan sesuatu kewajipan semata-mata untuk Allah serta untuk mendapatkan rahmat dari-Nya. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;     
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”. (al-Bayyinah:  5)                           
                                                                                               
Ikhlas menjadi syarat penting kepada penerimaan segala amal ibadah dan pengabdian terhadap Allah. Ia juga merupakan sifat rohaniah yang membawa seseorang kepada kedudukan tinggi di sisi Allah dan juga di kalangan manusia. Dalam melakukan peribadatan kepada Allah, persoalan iman, ilmu, ihsan dan ikhlas perlu digandingkan dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Ia perlu dibina secara seimbang dan sepadu. Iman tanpa ilmu tidak kukuh dan mantap, sebaliknya ilmu tanpa iman akan menyesatkan. Amal tanpa ihsan dan ikhlas adalah sia-sia dan merugikan. Oleh yang demikian  keempat-empat unsur itu perlu digarap secara adil dan bersama untuk mendapatkan hasil yang positif di sisi Allah  dan juga kesejahteraan hidup di dunia.

6. Keistimewaan Ibadah
Ibadah dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang unik berbeza sama sekali dari konsep ibadah dalam agama dan kepercayaan yang lain. Keistimewaan ibadah dalam Islam terletak pada perkara-perkara berikut;
6.1 Ketundukan dan ketaatan sepenuhnya kepada Allah
Ibadah dalam Islam melambangkan ketundukan sepenuhnya seseorang kepada Allah dan ketaatan mutlak kepada-Nya. Ibadah khusus dilakukan menurut garis panduan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa melakukan sebarang perubahan. Manakala dalam ibadah umum dilaksanakan dengan mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam seluruh kehidupan. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud;
“Dan apa yang diperintah oleh Rasulullah (s.a.w.) kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amat berat azab siksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” (al-Hasyr: 7)

6.2 Bebas dari perantaraan
Dalam Islam, seseorang dapat menyembah Allah dan berhubung terus dengan Allah secara langsung tanpa sebarang perantaraan atau pihak ketiga. Pada setiap masa seseorang hamba dapat berhubung terus dengan Allah tanpa memerlukan bantuan sebarang perantaraan kerana setiap insan adalah bertanggungjawab secara langsung di hadapan penciptanya di akhirat kelak. Firman Allah yang bermaksud;
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa  apabila  ia berdoa kepada-Ku.” (al-Qasas: 186)

Peranan ulama dalam Islam bukanlah sebagai perantara di antara hamba dan Tuhannya sebagaimana yang ada dalam kepercayaan agama yang lain kerana mereka menjadikan paderi, sami dan roh nenek moyang sebagai perantara. Peranan ulama adalah lebih kepada menyampaikan ilmu pengetahuan dan cara yang betul untuk beribadah kepada Allah dan bukan untuk mengampunkan dosa atau mengkabulkan doa seseorang kepada Allah.

6.3 Tidak terikat dengan tempat tertentu
Islam memberikan kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk menyembah dan berhubung dengan Penciptanya tanpa sebarang sekatan dan untuk menentukan sesuatu tempat yang tertentu bagi tujuan tersebut. Manusia boleh beribadah kepada Allah di mana sahaja mereka berada dan dapat berhubung dengan Allah dari arah dan penjuru mana pun. Firman Allah yang bermaksud;
“Dia-lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah: dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nilmat-Nya dan takutilah kemurkaaan-Nya). (al-Mulk: 15)

Seorang peniaga sebagai contohnya boleh beribadah di gerai jualannya pada sepanjang hari seandainya kerja jual beli yang diuruskannya menepati syarat-syarat yang dinyatakan terdahulu. Islam menganggap seluruh bumi ini sebagai masjid kecuali tempat yang najis dan kotor. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad  yang bermaksud;
”Seluruh bumi ini adalah dijadikan masjid untukku; suci dan bersih”.
  (Riwayat Abu Daud)

6.4 Tidak membebankan
Mereka yang benar-benar memerhati dan mengkaji ibadah dalam Islam yang diwajibkan oleh Allah secara formal dan membandingkannya dengan ibadah dalam agama yang lain akan dapat melihat betapa ringannya beban ibadah dalam Islam dari segi kuantiti dan jangkamasa yang harus dihabiskan oleh seseorang yang menunaikan kewajipan ibadah. Solat sebagai contohnya hanya mengambil masa beberapa minit sahaja sebanyak lima kali dari jumlah dua puluh empat jam dalam sehari semalam. Zakat hanya diwajibkan ke atas orang yang mencukupi syarat-syarat tertentu sebanyak 1/40 pada kebiasaannya.Begitu juga ibadah puasa yang hanya diwajibkan pada waktu siang hari di bulan Ramadhan dan juga hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu sahaja. Mereka yang sakit dan uzur dibolehkan menggantikannya dengan fidyah.  Ibadah haji wajib ditunaikan sekali sahaja bagi orang yang mampu dalam seumur hidupnya.

Terdapat juga keringanan (rukhsah) yang diperuntukkan Islam seperti sembahyang jamak dan qasar bagi musafir, penggunaan debu tanah untuk tayamum menggantikan air dan lain-lain lagi. Semua ini menunjukkan bahawa ibadah dalam Islam sedikit pun tidak membebankan hamba-hambanya dan semuanya terbatas kepada kemampuan mereka. Firman Allah yang bermaksud;
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diuasahakannya.”
                                                                                                                  (al-Baqarah: 286)

6.5 Skop ibadah yang sangat luas
Skop ibadah dalam Islam adalah sangat luas. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan manusia dari bangun tidur sehingga mereka tidur kembali. Ia bukan hanya terbatas kepada hubungan dengan Allah semata-mata bahkan juga merangkumi hubungan manusia sesama manusia dan juga dengan alam semesta. Ia juga merangkumi aspek kehidupan dalam bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, anak isteri dan keluarga, jiran tetangga dan anggota masyarakat. Semua tanggungjawab ini jika dilakukan berlandaskan kepada tuntutan Allah adalah dikira sebagai ibadah. Keluasan ibadah seumpama ini hanya wujud dalam Islam kerana kebanyakan agama dan kepercayaan lain memisahkan di antara ibadah dan urusan kehidupan. Urusan ibadah hanya dipenjarakan di gereja dan kuil sahaja dan terbatas pula dalam hubungan mereka dengan tuhan semata-mata.

7.  Kesan Ibadah Dalam Kehidupan Muslim Berkualiti

7.1 Kesan Ibadah Secara Khusus

Kesan ibadah secara khusus dalam melahirkan insan berkualiti boleh diperolehi melalui perlaksanaan ibadah khusus yang terkandung dalam Rukun Islam. Ia  merupakan tanggungjawab yang ditetapkan oleh Allah kepada setiap individu muslim mukalaf untuk melaksanakannya.

a. Ibadah Solat

Perkataan solat berasal dari bahasa Arab yang bererti doa dan pujian, rahmat dan keampunan. Dari segi istilah, solat bermakna menghadapkan jiwa kepada Allah s.w.t. dalam keadaan takwa yang menimbulkan rasa keagungan-Nya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalam bentuk beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.
i. Kewajipan Solat
Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ia diwajibkan ke atas setiap penganutnya supaya mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Kewajipan solat adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
“Maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
                                                                                                                       (al-Nisa’: 103)

Tujuan Allah mewajibkan solat ke atas manusia adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan manusia sendiri baik di dunia dan juga di akhirat. Keadaan ini dapat dijelaskan melalui panggilan azan yang selalu disebut oleh mu’azzin yang bermaksud;
Marilah mengerjakan solat, marilah kepada kemenangan”.

ii. Kedudukan dan kepentingan solat
·         Solat merupakan Rukun Islam yang kedua dan satu-satunya ibadah yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. secara langsung daripada Allah s.w.t, sedangkan ibadah lain melalui wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril a.s.
·         Solat merupakan tiang agama. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;        “Sembahyang itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikan sembahyang sesungguhnya ia telah menegakkan agamanya. Dan siapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agamanya”.  (Riwayat Baihaqi)

Hadith di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya solat dalam kehidupan muslim. Dengan hanya meninggalkan solat bermakna seseorang itu telah meruntuhkan agamanya sendiri. Kita marah apabila ada orang menghina Islam, memperlekehkan ajaran agama, mencabar kewibawaan Islam dan sebagainya tetapi kita tidak sedar mungkin kita atau di kalangan keluarga sendiri serta masyarakat telah cuba merobohkan agamanya dengan cara meninggalkan solat.

·         Solat adalah penentu kepada ibadah-ibadah lain. Sabda Rasulullah yang bermaksud;
“Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab pada Hari Akhirat ialah sembahyang. Sekiranya lulus kiraan tentang sembahyang maka baiklah amalan-amalan yang lain. Tetapi sekiranya kiraan tentang sembahyang tidak lulus maka rosaklah amalan-amalan lain”.  (Riwayat Tirmizi)

·         Solat difardhukan secara langsung oleh Allah.
Kefardhuan solat berbeza dengan ibadah-ibadah lain kerana kebanyakan ibadah difardhukan Allah melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini berbeza dengan kefardhuan solat yang diterima secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang menunjukkan betapa pentingnya ibadah solat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
‘Solat difardhukan atas nabi s.a.w. pada malam ia diisrakkan sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangi sehingga lima, lalu dipanggil: “Wahai     Muhammad! Keputusan-Ku tidak dapat diubah lagi dan dengan solat lima waktu ini, kau tetap mendapat ganjaran lima puluh kali”. (Riwayat Ahmad, Nasaie dan Tarmizi)

iii. Pendapat ulama tentang meninggalkan solat
Ramai ulama telah memberi pendapat mereka tentang masalah di atas. Di antara pendapat mereka untuk menjadi renungan kita bersama ialah;
·         Meninggalkan solat boleh membawa kepada kekufuran kerana meninggalkan satu daripada Rukun Islam yang penting.
·         Tidak ada perselisihan di kalangan ulama tentang kekufuran orang mengingkari solat kecuali ia baru menganut Islam yang berkemungkinan tidak mengetahui wajibnya kerana tidak bergaul dengan orang Islam.
·         Meninggalkan solat kerana segan atau malas tetapi masih menganggap solat itu wajib bagi dirinya pada umumnya ulama berpendapat golongan ini termasuk ke dalam golongan orang fasik kerana melakukan dosa besar dengan mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam yang lima.

iv. Kesan perlaksanaan ibadah solat yang sempurna
·         Solat dapat mencegah seseorang dari melakukan amalan yang keji dan mungkar. Firman Allah yang bermaksud;
      Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perkara keji dan kemungkaran”. (al-Ankabut: 45)
Sifat-sifat jahat dan keji dapat dihindarkan. Keadaan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud;
“Sesungguhnya manusia dijadikan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kerugian ia mengeluh. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia menjadi kikir, kecuali mereka yang mendirikan solat. Iaitu mereka yang mendirikan solat dengan tetap”.
 (al-Ma’arij: 19-23)
·         Solat dapat membersihkan muslim dari segi zahir dan batin. Dari segi zahirnya melalui penyucian diri dari hadas kecil dan besar, tempat dan pakaian.  Dari segi batinnya pula ialah dengan pembersihan hati dari sesuatu yang lain dari Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.
·         Ibadah solat juga dapat mendidik muslim mengenai kepentingan pengurusan masa dan perlunya menepati masa dalam semua perkara. Sewajarnya umat Islam mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud;
Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara; masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati”.
                                                                                                   (Riwayat al-Baihaqi)
Kesedaran tentang kepentingan masa akan membawa kepada kehidupan yang lebih teratur dan bermanafaat. Keadaan ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-‘Asr di mana manusia yang rugi ialah mereka yang tidak mempergunakan masa kepada perkara-perkara kebaikan. Dalam syair Arab dinyatakan, “Waktu adalah pedang, kalau engkau tidak menggunakannya memotong maka engkau akan dipotongnya”. Manakala pepatah Inggeris menjelaskan “The time is money”. (masa adalah wang).
·         Ibadat solat berjamaah pula di samping menggandakan pahala, juga dapat melatih umat Islam supaya taat kepada pemimpin (imam), manakala pemimpin pula wajib mengambil berat terhadap rakyat (makmun). Ia juga dapat membentuk perpaduan, kasih sayang, ukhuwwah dan persamaan sesama mereka. Ia juga dapat menghapuskan rasa hasad dengki, dendam dan permusuhan di kalangan umat Islam.  


b. Ibadah zakat
Zakat dari segi bahasa bermakna subur, bersih dan berkembang. Menurut istilah syarak, zakat bermakna kadar dari harta tertentu yang wajib dikeluarkan kepada golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu.
i. Kewajipan Zakat
Zakat merupakan kefardhuan ke atas setiap muslim yang cukup syarat-syaratnya. Ia mula diwajibkan pada tahun kedua hijrah. Kewajipan zakat adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud;
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”.
                                                                                                            (al-Taubah: 103)
ii. Golongan yang berhak menerima zakat
Zakat perlu diagihkan kepada golongan atau asnaf-asnaf tertentu sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud;
“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskannya, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang dan (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan”. (al-Taubah: 60)

Zakat bukan sebagai derma, sagu hati atau ihsan daripada pengeluar zakat, tetapi ia  adalah hak masyarakat yang terletak di bawah pengawasan pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkannya. Firman Allah yang bermaksud;
“Dan pada harta mereka, (ada bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang menahan diri (daripada) meminta.”. (al-Zaariyat: 190)

iii. Kesan perlaksanaan zakat yang sempurna
·         Mendidik manusia melawan rasa cinta dan terikat dengan harta benda duniawi. Adalah menjadi naluri manusia sayang kepada apa yang dimilikinya. Namun demikian kadangkala terdapat keadaan-keadaan yang memerlukan pengorbanan dari apa yang dimilikinya demi kerana sesuatu yang lebih penting. Ibadat zakat  melatih manusia agar sanggup berkorban harta yang disayangi demi kerana tuntutan agama yang lebih penting.
·         Menjauhkan diri dari sifat mementingkan diri, angkuh serta takabur.  Kesanggupan mengeluarkan harta yang disayangi juga merupakan latihan kepada orang mukmin agar mereka tidak mementingkan diri sendiri.
·         Bukti kesyukuran dan pernyataan terima kasih terhadap nikmat Allah. Dengan mengeluarkan zakat bererti seseorang telah menggunakan nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya bagi memenuhi kehendak Allah.
·         Zakat merupakan jaminan sosial terhadap masyarakat kerana harta benda tersebut akan diagihkan dengan seimbang kepada semua golongan dalam masyarakat dan sekaligus dapat mengurangkan kadar kemiskinan. Kemiskinan dan kemelaratan adalah musuh yang harus dihapuskan. Kemiskinan adalah sumber kepada kejahatan dan kekufuran. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
Kefakiran itu membawa kepada kekufuran”. (Riwayat Abu Na’im)
Zakat juga dapat memupuk rasa kasih sayang dan saling mengerti antara seluruh masyarakat. Hubungan yang harmonis di antara golongan kaya dan miskin dapat diwujudkan. Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan hal ini dalam sabdanya yang bermaksud;
“Orang mukmin itu dalam sayang menyayangi dan santun-menyantuni tak ubah bagaikan satu tubuh yang apabila menderita satu anggota dari tubuh itu akan menderita pula seluruh tubuh itu dengan tidak dapat tidur dan demam.” (Riwayat Muslim)

·         Zakat menguatkan kedudukan politik dan ekonomi negara di samping dapat merapatkan hubungan orang kaya dan miskin. Harta zakat yang terkumpul  mesti diagihkan kepada golongan yang berhak. Ia juga perlu disuburkan dengan pelaburan untuk mendapatkan keuntungan supaya dapat menguatkan ekonomi umat Islam.

c. Ibadah puasa
Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri dari berbuat sesuatu. Dari segi istilah puasa ialah menahan diri dari sesuatu yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga tenggelam matahari dengan syarat-syarat tertentu.
i. Kewjipan Berpuasa
Ibadah puasa ialah Rukun Islam yang keempat dan diwajibkan kepada semua orang Islam yang cukup syarat. Ia diwajibkan pada tahun kedua hijrah selepas turunnya perintah solat dan zakat. Firman Allah yang bermaksud;
Wahai orang yang beriman! Diiwajibkan kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”. (al-Baqarah: 183)

Orang mukmin akan melalui bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehi kelebihannya. Dia sentiasa beringat bahawa bulan yang mulia ini adalah bulan dianugerahkan oleh Allah dengan berbagai kelebihan yang melimpah ruah, penuh rahmat, lebih menyeluruh dan lebih sempurna.
ii. Kesan perlaksanaan ibadah puasa
·         Puasa dapat menundukkan nafsu jahat dan dapat memelihara diri dari kejahatan syaitan. Nafsu ialah naluri atau perasaan yang mendorong kepada kejahatan. Keinginan hawa nafsu dan tuntutan jasmani yang melampau juga dapat dihindarkan.
·          Akhlak mulia terbentuk dengan berpuasa. Sifat-sifat mahmudah seperti sabar, ikhlas, menepati waktu, pemurah, memelihara lidah dan amalan yang keji akan menjadi perhiasan diri mereka yang berpuasa. Ini dibuktikan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu ialah mencegah diri dari segala perbuatan yang sia-sia (tidak bermenafaat) dan menjauhi perkataan kotor dan keji Sebab itu jika ada orang yang mengajak kamu berbuat keji.  Wajiblah engkau berkata: saya sedang berpuasa”.
                                            (Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dari Abu Hurairah)

·         Puasa melahirkan sifat takwa dengan memperbanyakkan amalan tilawah Quran, berdoa dan ibadah sunat yang lain. Takwa lahir di atas dasar keimanan dan disuburi dengan ibadah yang dilakukan kepada Allah.
·         Puasa menjadikan jasmani lebih sihat di samping menguatkan rohani. Sabda Rasulullah yang bermaksud;
“Berpuasalah agar kamu sihat.”
Dari segi jasmani puasa boleh mengurangkan berat badan dan dapat mengurangkan penyakit-penyakit yang merbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Manakala dari aspek rohani pula puasa dapat menahan diri daripada nafsu perut, nafsu jantina dan mencegah moral yang rendah seperti mengumpat, mencaci dan sebagainya.
·         Puasa melahirkan sifat kasihan belas, tolong menolong dan sanggup menghadapi cabaran hidup. Seorang pengarang bangsa Jerman bernama Jeharadat dalam tulisannya memuji hikmat puasa. Antara lain katanya, “Bagi menguatkan perasaan dan jiwa perlu dijadikan puasa sebagai asas kehidupan. Ini kerana ia menjadi cara yang berkesan bagi meninggikan pengaruh rohani ke atas jasmani”. Dengan demikian manusia dapat menguasai dirinya sendiri dan sebaliknya ia tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaanya.

d. Ibadah Haji
Dari segi bahasa haji bererti pergi atau menuju. Dari segi istilah ia bermaksud mengunjungi Baitullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun dan syarat-syarat yang tertentu dan dikerjakan pada masa yang tertentu. Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan mempunyai nilai-nilai yang mulia secara tersendiri.
i. Kewajipan haji
Ibadah haji merupakan Rukun Islam yang kelima dan diwajibkan pada tahun keenam hijrah. Dalil tentang kefardhuan haji sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya”. (ali-Imran: 97)

ii. Kesan dari perlaksanaan haji
·         Ibadah haji memperteguhkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah di samping mewujudkan rasa keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. terutama melalui ucapan talbiah.
·         Ia merupakan perhimpunan tahunan umat Islam di seluruh dunia yang akan dapat mewujudkan perpaduan, persamaan dan persaudaraan sesama mereka.
·         Ibadah haji dapat membentuk disiplin yang tinggi melalui tegahan dan larangan ketika berihram yang merupakan cabaran kepada fizikal dan spiritual manusia.
·         Iktibar dari sejarah juga boleh didapati oleh orang yang melaksanakan ibadah haji apabila mereka melihat sendiri tempat awal kewujudan Islam di samping memenuhi perintah Allah sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s.

7.2 Kesan Ibadah Secara Umum

Terdapat banyak kesan yang diperolehi dari ibadah yang dilakukan sama ada terhadap individu mahupun masyarakat. Di antara kesan-kesannya ialah;
·         Ibadah melahirkan perasaan bebas dari sebarang perhambaan kepada selain Allah.
·         Ibadah mencorakkan hidup muslim berdasarkan celupan Allah di mana mereka sentiasa terikat dan patuh kepada hukum dan peraturan Allah.
·         Ibadah melahirkan kesatuan matlamat dalam kehidupan individu dan masyarakat. Ia menjadikan muslim memusatkan perhatian kepada Allah segala amalan duniawi dan ukhrawi. Ia menjadi asas perpaduan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia dengan melafazkan niat, gerak dan bacaan yang sama malah menggunakan bacaan yang satu daripada bacaan al-Quran.
·         Ibadah membentuk akhlak dan melatih jiwa yang murni kerana orang yang beribadah sentiasa melatih diri untuk tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah dan ingin mencari keredhaan-Nya dalam semua aspek kehidupan.
·         Ibadah membina masyarakat yang produktif lantaran ibadah dilaksanakan dalam semua aspek kehidupan seperti dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Manusia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang murni lagi baik kerana semua aktiviti yang dilakukan tergolong dalam ibadah dan ingin mendapat keredhaan-Nya.
·         Ibadah dapat melahirkan sebuah negara Islam yang benar-benar melaksanakan hukum-hukum pentadbiran dan perundangan Islam.

7.3 Kesan pengabaian
Pengabaian ibadah boleh memberi kesan yang buruk terhadap individu, masyarakat dan negara. Kebahagiaan dan ketenangan tidak dapat dirasai di dunia ini lebih-lebih lagi di akhirat apabila seseorang mengabaikan perintah Allah. Di antara kesan pengabaiannya adalah seperti berikut;
·         Menjadikan manusia semakin jauh daripada Allah. Melakukan perbuatan bukan tujuan pengabdian kepada Allah sehingga akhirnya membawa berlakunya syirik terhadap Allah.
·         Manusia sentiasa melakukan kemaksiatan terhadap Allah dan semakin jauh daripada ajaran Islam. Melakukan sesuatu amalan tanpa terikat kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh agama serta mengikut kehendak hawa nafsu demi mencari kepentingan tersendiri yang bersifat duniawi.
·         Menjadikan individu dan masyarakat tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan ini. Masing-masing mempunyai hala tuju tersendiri kerana mereka tidak terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Berlakunya perpecahan dalam masyarakat kerana berbeza tujuan dan matlamat menyebabkan masyarakat Islam menjadi lemah.
·         Individu dan masyarakat kurang produktif dan tidak mampu untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang perekonomian. Kadar kemiskianan tidak dapat dikurangi dan seterusnya akan membawa kepada ketidakstabilan politik dalam sesebuah negara.
·         Manusia terikat dengan kesenangan hidup duniawi dan terlalu cintakan harta. Kurang perasaan kasihan belas terhadap golongan susah yang memerlukan  pertolongan.

7.4 Cara pemantapan ibadah
Untuk membina dan memantapkan ibadah manusia perlu merujuk kepada panduan Allah melalui Nabi Muhammad s.a.w. Justeru itu menjadi kewajipan kepada setiap muslim untuk mempelajari dan memahami manhaj Islam. Di antara cara untuk memantapkan ibadah ialah;
·         Memahami konsep ibadah yang sebenarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam. 
·         Memahami dan menyedari bahawa menuntut ilmu adalah wajib. Memahami ilmu yang paling asas ialah ilmu tentang Allah, rasul dan Islam.
·         Sentiasa berada di kalangan orang mukmin yang ikhlas.
·         Berusaha bersungguh-sungguh menjauhkan diri dari suasana dosa dan jahiliyah.
·         Mujahadah al-Nafs dan jihad al-Syaitan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan.

8. Kesimpulan
Konsep ibadah dalam Islam merangkumi skop yang begitu luas. Setiap pekerjaan adalah dikira sebagai ibadah sekiranya memenuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Dalam ajaran Islam ibadah yang dilakukan terutama ibadah khusus sebenarnya tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia kerana kesannya sangat besar kepada kehidupan seorang muslim sama ada di dunia mahupun di akhirat. Setiap yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia baik berupa suruhan ataupun larangan sudah pasti mempunyai manfaat tertentu untuk manusia. Allah tidak akan rugi atau berkurangan sedikitpun jika manusia tidak melakukan, sebaliknya yang akan rugi adalah manusia itu sendiri.


Rujukan

Al-Quran terjemahan

Abu Urwah.1990. Konsep-Konsep Umum Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Al-Qardawi.1986. Al-Ibadah fi al-Islam. (Terj.) Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Harun Din, Dato’ Dr. 2007. Islam Pembina Tamadun Manusia. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd

Mohd Nor Mamat (et.al). 2002. Insan dan Manhaj Ketuhanan. Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam.

Mukhlas Asy-Syarkani. 2002. Kejaiban Ibadah: Membongkar Rahsia dan Hikmah Ibadah. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher.

Prof. Dr Haron Din (et.al). 1988. Manusia dan Islam. cet.iv. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn Bhd.

Rasid Muhamad. 1993. Islam: Kefahaman dan Penghayatan. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn Bhd.

Us. Che Bakar dan Us. Bakri Sulaiman. (t.t). Teras Kefahaman Islam. Institut Teknologi Mara Cawangan Kelantan.

Nasruddin Razak, Drs. 1977. Dienul Islam. Cet. Kedua. Bandung: PT al- Ma’arif

No comments:

Post a Comment